SK Sungai Bedaun Bersedia Menerima Kehadiran Murid Untuk Sesi Persekolahan Pasca PKP
Labuan – SK Sungai Bedaun telah membuat persediaan dari segi fizikal sekolah mengikut SOP yang ditetapkan oleh KPM, MKN dan KKM.
Persediaan pembukaan semula sesi persekolahan telah dilaksanakan oleh pentadbir, guru-guru, AKP dan pekerja pembersihan sekolah. Kerjasama daripada semua pihak menjadikan SKSB bersedia menerima kehadiran murid untuk sesi persekolahan pasca PKP.
Pada 04 Julai 2020 (Sabtu), SK Sungai Bedaun telah menerima kunjungan pemantauan dan bimbingan dari Pegawai Khas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Sektor Operasi Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia, Tuan Haji Abdul Razak Sulaiman bersama rombongan pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan.
Sesi lawatan ke bilik-bilik kelas yang telah disusun atur mengikut SOP.
Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memantau dan memastikan pihak sekolah telah bersedia dalam pengurusan pelaksanaan SOP (Standard Operation Procedure) bagi mengelakkan penularan jangkitan wabak Covid-19 apabila sekolah dibuka semula nanti.
Sesi pemantauan memfokuskan kepada persediaan sekolah sebelum sesi persekolahan norma baharu.
Selain itu, sekolah juga diingatkan agar menitikberatkan SOP dalam setiap aspek persediaan yang dijalankan oleh pihak sekolah sebelum sesi persekolahan bermula pada 14 Julai 2020 (Rabu).
Antara SOP yang dititikberatkan sewaktu pemantauan termasuklah stesen imbas suhu, penjarakan sosial (bilik darjah/bilik guru/pejabat), pelan dan label laluan kawasan sekolah dan bilik darjah, tatacara pembelian makanan di kantin, penyediaan bilik isolasi, penyediaan tempat membasuh tangan dan pensanitasi tangan.
Sesi lawatan ke Makmal Sains
Tuan Haji Abdul Razak berpuas hati dan mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah dengan persiapan yang telah dibuat bagi menerima kehadiran murid pada pembukaan sekolah 15 Julai nanti.
Guru Besar Sk Sungai Bedaun, Puan Dg Sarifah A.Mahmod berkata, semua warga sekolah berganding bahu melakukan persiapan yang rapi serta mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah.
Beliau berharap agar segala usaha yang telah dijalankan pihak sekolah dapat membantu mencegah penularan serta memutuskan rantaian Covid-19.
Sementara itu, kelas prasekolah telah memulakan sesi pembelajaran pada 01 Julai 2020. Murid-murid prasekolah amat teruja untuk kembali ke sekolah. Alhamdulillah sesi persekolahan prasekolah di SK Sungai Bedaun berjalan lancar.
Harapan daripada Guru Besar agar ibu bapa saling bekerjasama untuk menyampaikan maklumat kepada anak-anak supaya bersedia mengamalkan norma baharu apabila kembali ke sekolah nanti.
Antara norma baharu yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa adalah memastikan anak-anak tidak ke sekolah jika bergejala, menasihati anak mengamalkan penjarakan sosial, mengajar anak-anak langkah mencuci tangan dengan betul dan mendidik amalan batuk dan bersin dengan betul.
Hari pertama persekolahan prasekolah, murid teruja untuk belajar.
Untuk makluman, SK Sungai Bedaun memilih model persekolahan 1 sesi bagi prasekolah dan kelas perdana. Sesi persekolahan semula bagi murid tahun 5 dan 6 akan bermula pada 15 Julai 2020 manakala murid-murid yang lain akan kembali ke sekolah pada 22 Julai 2020.
Oleh itu, sama-sama kita merealisasikan harapan kerajaan Malaysia untuk memerangi wabak Covid-19 dengan menggunakan tanda pagar kita mesti menang. #Kitamestimenang.
Berita Oleh : SK Sungai Bedaun
Menyukat suhu apabila tiba di perkarangan sekolah.Murid dihantar ke sekolah oleh ibu bapa dan maklumat murid direkod melalui sistem QR Code.
Lawatan Kerja Rasmi Bagi Pemantauan Pembukaan Sekolah Di SKK St Anne
5 Julai 2020 – Tuan Raisin bin Saidin A.D.K Timbalan Pengarah Kanan Sektor Perancangan dan Pengoperasian Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia mewakili Tuan Haji Adzman bin Talib, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Sektor Operasi Sekolah mengadakan lawatan kerja rasmi bagi Pemantauan Pembukaan Sekolah di SKK St Anne
Turut sama hadir, Ketua Sektor Pengurusan Akademik (SPA),
Encik Yusup bin Mohamad merangkap pemangku Pengarah Pendidikan JPWPL
bersama-sama barisan ketua-ketua sektor JPWPL
Fokus pemantauan adalah untuk melihat persiapan sekolah
dalam menerima murid tahun 5 dan 6 pada 15 Julai dan tahun 1 hingga 4 pada 22
Julai 2020 nanti.
Pihak sekolah SKK St Anne telah memilih model 1 bagi pembukaan sekolah iaitu model sekolah satu sesi. Secara keseluruhannya, pihak sekolah SKK St Anne telah melaksanakan langkah-langkah keselamatan dalam Garis Panduan Pembukaan Sekolah dan berjaya dalam permohonan untuk melaksanakan pembukaan sekolah model 1. Pihak sekolah dan para guru juga telah bersedia sepenuhnya untuk beroperasi.
Pengukuran jarak di lakukan oleh pasukan pemantau
Guru Besar SKK St Anne Pn Cecilia @ Chua Lai Eng menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada guru guru yang telah bertungkus lumus membuat persiapan pembukaan persekolahan berdasarkan model satu.
Taklimat hasil pemantauan
P2MP Menjadi Program Berkesan Ketika Sekolah Normal Baharu – Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha
LABUAN- Pusat Sumber 5 bintang W.P Labuan, Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha melaksanakan P2MP (Pencegahan dan Pemulihan Melalui Pendidikan) dengan menerbitkan sebuah rancangan “Selamat Pagi Labuan (SPL) – Jom Kembali Ke Sekolah Norma Baharu” oleh Ranchas’TV. Rancangan SPL yang diterbitkan oleh TV Pusat Sumber Sekolah yang dikenali Ranchas TV pada kali ini memfokuskan kepada pembukaan sekolah pada 24 Jun 2020. Banyak maklumat perkongsian dalam persiapan sekolah normal baharu telah diberikan oleh pentadbir , guru , ibu bapa serta pelajar.
Proses pengambaran program Selamat Pagi Labuan oleh Team Ranchas Production daripada Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha
Untuk julung kalinya Ranchas TV telah melibatkan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan 6 buah sekolah termasuklah Kolej Vokasional Sepang, SMK Syed Abu Bakar Baling Kedah, SMK Putrajaya Presint 9 (2), Sekolah Menengah Sains Labuan, SMK Labuan dan guru serta pelajar SMK Rancha-Rancha. Malah, pihak komuniti yang terdiri daripada ibu bapa setempat juga turut terlibat dalam menjayakan rancangan ini. Ranchas’ Production ingin melibatkan lebih banyak komuniti dan sekolah luar Labuan untuk meluaskan lagi rancangan SPL ini dan nama SMK Rancha-Rancha itu sendiri.
Pengacara bertugas saudara Aiman Hakim dan Nasrullah Hanuddin dari Ranchas TV
Selamat Pagi Labuan (SPL) – Jom Kembali Ke Sekolah Normal Baharu yang diacarakan oleh 4 pengacara Ranchas’TV dan Ranchas’FM iaitu Aiman, Balqis, Nasrul dan Raziq yang menyampaikan info pendidikan mengenai Pencegahan dan Pemulihan pandemik Covid-19 dalam situasi Normal Baharu. Seperti biasa, penggambaran ini dilakukan secara atas talian dengan menggunakan skype untuk mencegah penyebaran Covid-19 dan melibatkan guru serta pelajar dari Semenanjung Malaysia.
Selain dari melakukan P2MP, SMK Rancha-Rancha juga bersedia untuk menerima pelajar walaupun perlu memberikan banyak penekanan dari aspek keselamatan pelajar. Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah melakukan penilaian terhadap SMK Rancha-Rancha pada 17 Jun yang lalu. Puan Khaziyati Osman, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan , Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan juga turut sempat meluahkan rasa gembiranya terhadap persediaan SMK Rancha-Rancha melalui Rancangan Selamat Pagi Labuan – Jom Kembali Kesekolah Normal Baharu bersama Warga Pendidik.
“Berdasarkan pemantauan kami di bilik-bilik darjah, bilik khas, kantin dan persekitaran lain, saya mendapati sekolah ini memang cukup bersedia untuk pembukaan semula sekolah pada 24 Jun nanti. Semua garis panduan dan penekanan terhadap keselamatan iaitu penjarakan sosial dan kesihatan memang dilaksanakan”. – katanya dalam rancangan SPL – Warga Pendidik.
Cikgu Nurafidah Mohd Khalid dari Sekolah Menengah Putrajaya Presint 9-2 bersiaran bersama Ranchas TV
Cikgu Yahya
Ahmad Puteh Pengetua SMK Rancha-Rancha berkata, Ranchas’ TV merupakan satu-satunya pusat sumber di
Labuan yang menjalankan pencegahan dan pemulihan pandemik covid 19 kepada
pelajar, guru dan warga setempat melalui medium radio dan televisyen . “ saya
sangat berbangga akan usaha ini kerana para pelajar dari generasi muda telah
mulai sedar akan tanggungjawab mereka untuk memutuskan rantaian covid 19 “
ujarnya.
Manakala Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Jabatan Pendidikan W.P. Labuan, Encik Ag Marten bin Datuk Haji Abdul Rahman memuji akan perancangan Pusat Sumber Sekolah DSDN SMK Rancha- Rancha dengan mewujudkan TV Pusat Sumber. Tambah beliau lagi , pelajar didedahkan dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi secara profesional melalui aplikasi teknologi digital semasa yang sangat memberi manfaat kepada para pelajar.
Pusat Sumber Sekolah SMK Rancha-Rancha akan menerbitkan lebih banyak program pencegahan dan pemulihan terutamanya kepada para pelajar melalui medium radio dan televisyen. Cikgu Sapri bin Idris percaya , komitmen dan kemahiran yang dimiliki oleh team Ranchas Production akan berupaya menerbitkan banyak lagi rancangan yang memberi pendidikan ketika pandemik covid.
Ranchas TV bersiaran secara langsung bersama Puan Khaziyati Osman, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Jabatan Pendidikan WP Labuan. Turut bersiaran Puan Maimo0n Haji Matnoh Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan WP Labuan.
Untuk rancangan Selamat Pagi Labuan, Team Ranchas’ Production yang terdiri dari Ranchas’TV dan Ranchas’FM melakukan penggambaran selama 2 hari untuk rancangan pada kali ini yang melibatkan ramai warga pendidik, komuniti dan pelajar. Pembantu team produksi juga mematuhi SOP ketika penggambaran berlangsung iaitu penjarakan sosial 1 meter, penggunaan pelitup muka, malah pelajar dari W.P Labuan sendiri melakukan penggambaran hanya secara atas talian. Rancangan SPL ini akan ditayangkan pada penghujung bulan Jun melalui pelantar YouTube Channel Ranchas’ Production.
Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha
Pembukaan Semula Prasekolah di Labuan Dengan SOP Ketat
Labuan, 1 Julai : Selepas lebih tiga bulan ditutup susulan pandemik COVID-19, hari ini pembukaan semula prasekolah di seluruh negeri termasuk di Labuan.
Semua sekolah di Labuan dibuka dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ketika memasuki kawasan sekolah.
Setiap murid perlu diperiksa suhu badan, mencuci tangan menggunakan cecair pensanitasi tangan sebelum masuk ke kelas termasuk penjarakan sosial di dalam kelas.
Ceria bertemu rakan-rakan, murid-murid mematuhi panduan guru dan mengikuti SOP termasuk jarakan sosial walaupun agak kekok kerana terpaksa duduk berjauhan antara satu sama lain.
Menurut Puan Maimoon Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, seramai 803 orang murid prasekolah memulakan persekolahan hari ini, melibatkan 14 buah prasekolah Kementerian Pendidikan Malaysia.
15 tadika swasta juga dibuka hari ini melibatkan 1,513 orang murid.
Imbasan suhu sebelum memasuki kawasan sekolah
Murid diajar mencuci tangan dengan betul
Puan Maimoon sedang mendengar penerangan daripada Puan Mahani, Guru Besar SK PantaiTimbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Labuan, Yusup Mohamad ketika membuat tinjauan hari pertama persekolahan prasekolah, di sini semalam.
LAMBAIAN KASIH, SANJUNGAN BUDI Majlis Persaraan Lima Orang Pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan
Labuan, 2 Julai 2020 :“Perkhidmatanmu disanjung, pemergianmu dirasai”, begitulah ungkapan terbaik bagi lima orang pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) yang akan bersara wajib dan pilihan pada tahun 2020 setelah menabur bakti sekian lamanya di Jabatan ini.
Majlis Persaraan Lambaian Kasih, Sanjungan Budi kepada Tuan Haji Yunus bin Yussof, Puan Rainah bt Rauf, Puan Suhana bt Sablee, Encik Aminuddin bin Abdul Malek dan Tuan Haji Jaafar bin Abu Bakar telah diadakan di salah sebuah hotel di Labuan, semalam.
Dalam suasana norma baharu, Majlis anjuran Kelab Pendidikan JPWPL ini telah berlangsung harmoni dan penuh makna dengan kehadiran warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup bin Mohamad dalam ucapannya, mewakili seluruh warga Jabatan menzahirkan ungkapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pegawai-pegawai bersara yang diraikan, atas perkhidmatan cemerlang sepanjang berkhidmat di jabatan ini.
Turut menceriakan majlis tersebut, dengan kehadiran Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Yasmin bt Hussain, Timbalan-timbalan pengarah dan Ketua-ketua Penolong Pengarah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Ucapan Yang Bersara, Tuan Haji Yunus
Encik Mohd Aminuddin
Tuan Haji Yunus bin Yussof telah menabur bakti dalam dunia pendidikan selama 38 tahun. Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang pendidik dengan menjadi guru pada 4 Januari 1982 di SRK Pamol, Beluran Sabah.
Anak jati Labuan ini, telah menabur bakti di tanah kelahiran sendiri bermula 5 Jun 1987 sebagai guru di SK Patau-Patau.
Tuan Haji Yunus pernah dilantik sebagai Guru Penolong Kanan di SK Patau-Patau pada tahun 2001, pemangku Guru Besar dan Penolong Kanan Pentadbiran pada tahun tahun 2007-2008 di SK Pekan Satu, Labuan.
Kerjaya beliau diteruskan di Jabatan Pendidikan WP Labuan iaitu di Sektor Pengurusan Sekolah bermula 31 Disember 2008 dan pernah menjawat Ketua Unit Perhubungan dan Rendah.
Tuan Haji Yunus, merupakan pegawai yang banyak berjasa kepada jabatan dalam bidang perhubungan, unit rendah dan biro aduan.
Beliau bersara pilihan pada 1 Julai 2020.
Tuan Haji Yunus Yussof, pegawai yang banyak berjasa kepada jabatan dalam bidang perhubungan, unit rendah dan biro aduan, menerima cenderahati daripada Datuk Dr Yasmin Hussain
Puan Rainah Rauf juga merupakan anak jati Labuan mengambil keputusan untuk bersara pilihan setelah berkhidmat selama 31 tahun dalam perkhidmatan awam.
Puan Rainah, mula berkhidmat pada 1 April 1989 di Jabatan Pendididikan Sabah sebagai Pembantu Kerani, seterusnya dilantik sebagai Pegawai Kerani Pendidikan di Jabatan sama pada tahun 1991.
Merupakan pegawai yang banyak berjasa kepada jabatan dalam bidang perkhidmatan perjawatan, naik pangkat dan tatatertib.
Beliau menabur bakti selama 25 tahun di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 16 November 1995 dan pernah menjadi Ketua Unit Perjawatan dan Naik Pangkat.
Puan Rainah Rauf bersara pilihan pada 1 Julai 2020.
Puan Rainah Rauf (kiri), pegawai yang banyak berjasa jabatan dalam bidang perkhidmatan perjawatan dan naik pangkat bersama Datuk Dr. Yasmin, Encik Yusup dan Puan Maimoon
Puan Suhana Sablee telah dilantik sebagai pembantu tadbir pada 1 April 1989 di SM Sains Labuan sehingga tahun 1997.
Beliau juga pernah berkhidmat di SMK Lajau (1997-2002) dan SK Bebuloh pada tahun 2002 sehingga 2006.
Puan Suhana banyak menyumbang bakti kepada jabatan dalam bidang pengurusan dan perkhidmatan.
Bermula tahun 2006, Puan Suhana berkhidmat di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan berkhidmat selama 14 tahun sehingga beliau bersara wajib pada 2 Julai 2020.
Puan Suhana Sablee (kiri), PKP yang banyak berjasa kepada jabatan dalam bidang pengurusan dan perkhidmatan menerima cenderahati daripada Datuk Dr Yasmin.
Encik Mohd Aminuddin bin Abdul Malek yang berasal dari negeri Perak telah berhijrah ke Sabah di usia awal 20-an. Minat dalam bidang pendidikan mendorongnya untuk menabur bakti sebagai guru pada 27 April 1982 di SMK Kota Marudu, Sabah.
Setelah 15 tahun bergelumang dalam dunia pendidikan di negeri bawah bayu, beliau telah berhijrah ke Pulau Labuan pada tahun 1996 menyambung bakti mendidik anak-anak murid di SMK Membedai dan seterusnya di SM ST Anne pada tahun 1997.
Pada tahun 2001, beliau dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Kokurikulum di SK Lubok Temiang, seterusnya menjadi Penolong Kanan Pentadbiran di SK St Anne pada tahun 2005.
Kerjaya beliau diteruskan lagi di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 16 April 2008. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Unit Pasukan Badan Beruniform bermula tahun 2014.
Beliau banyak berjasa kepada jabatan dalam bidang sukan, ko-kurikulum dan pasukan badan beruniform. Setelah 38 tahun berkhidmat dalam pendidikan. Encik Mohd Aminuddin akan bersara wajib pada bulan Ogos 2020.
Encik Mohd Aminuddin Abdul Malek, pegawai yang banyak berjasa kepada jabatan dalam bidang sukan, ko-kurikulum dan pasukan badan beruniform menerima cenderahati daripada Datuk Dr Yasmin Hussain
Tuan Haji Jaafar bin Abu Bakar pula memulakan kerjaya sebagai seorang guru pada 5 Januari 1981 di SRK Limau-Limauan, Kudat.
Seterusnya beliau telah menabur bakti di SK Talontang, Kota Marudu pada 16 Ogos 1982.
Pada tahun 1984 berhijrah ke Pitas dengan meneruskan kerjaya
sebagai guru di SK Pagoh Pitas dan SK Pekan Pitas tahun 1986.
Beliau memulakan langkah dan menyumbang bakti mendidik anak bangsa di Pulau Labuan pada 5 Januari 1987 di SK Kerupang.
Tuan Haji Jaafar merupakan pegawai yang banyak berjasa kepada jabatan dalam bidang Pengurusan Hal Ehwal Murid (HEM).
Beliau akan bersara wajib pada bulan September 2020. Tuan Haji Jaafar tidak dapat bersama pada majlis tersebut kerana tidak berada di Labuan.
Tuan Haji Abdul Rahman mewakili Tuan Haji Jaafar yang tidak dapat hadir, menerima cenderahati daripada Datuk Dr Yasmin Hussain Gambar Kenangan : Tuan Haji Jaafar (berbaju putih) bersama Encik Mohamad ketika melaksanakan tugas
Seluruh warga Jabatan mengucapkan SELAMAT BERSARA kepada YB (Yang Bersara) Tuan Haji Yunus Yussof, Puan Rainah Rauf, Puan Suhana Sablee, Encik Mohd Aminuddin Abdul Malek dan Tuan Haji Jaafar. Jasa Tuan Puan sentiasa dikenang, “Perkhidmatanmu disanjung, pemergianmu dirasai”.
Sekalung tahniah dan penghargaan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Kerja yang bertungkus lumus menjayakan majlis yang penuh bermakna ini.
Encik Yusup Mohamad menyampaikan cenderahati kepada Datuk Dr Yasmin di atas lawatan kerja Rasmi ke sekolah-sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Labuan
Foto oleh : Encik Mohd Firlii Firzuan Lee, SSTP
Kursus Pembugaran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Semasa Pasca PKP
Labuan, 25 Jun – Kursus Pembangunan Profesionalisme Berterusan Guru-Guru Pendidikan Islam Dalam Memantapkan Kemahiran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) telah diadakan secara dalam talian dengan disertai seramai 208 peserta dengan jayanya.
Kursus ini diadakan untuk meningkatkan kompetensi warga pendidik khususnya Guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab dalam mengaplikasikan Pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara maya dan membugarkan kemahiran Pentaksiran Bilik Darjah.
Peserta
kursus terdiri daripada Guru Besar, pegawai-pegawai SISC+, pegawai di Jabatan
Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Guru Pendidikan Islam dan Bahasa
Arab serta guru-guru di wilayah ini.
Kursus telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Pegawai SISC+ Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah PPD Melaka Tengah, Puan Hjh Rohaizan Othman.
Peserta kursus yang hadir secara dalam talian.Penerangan tentang cadangan aktiviti Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21)
Menurut Puan Hjh Rohaizan, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bertujuan menambah baik pembelajaran murid melalui pentaksiran formatif iaitu mentaksir perkembangan untuk pembelajaran secara berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran sumatif yang mentaksir perkembangan tentang pembelajaran pada akhir sesuatu tempoh, tajuk atau bidang pembelajaran.
“PBD akan memberi tumpuan kepada perkembangan pelajaran murid atau berorientasikan pembelajaran, bukan lagi berorientasikan peperiksaan. Ia berfokus kepada perkembangan dan kemenjadian murid secara holistik.
Pelaporan PBD dilakukan sebanyak dua kali iaitu di pertengahan tahun dan di akhir tahun”. Katanya semasa kursus tersebut.
Puan Hjh Rohaizan sedang berkongsi ilmu dan bersedia menjawab persoalan daripada peserta kursus.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Puan Kamariah Salim merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian penceramah berkongsi ilmu dengan warga pendidik di W.P.Labuan biarpun secara maya. Guru-guru turut berpeluang untuk bertanya soalan dan merungkai segala permasalahan berkaitan PBD .
”Tahniah diucapkan kepada
guru-guru yang telah mengambil pelbagai inisiatif dalam memastikan penyampaian
pengajaran dan pembelajaran (PdP) kepada anak didik mereka terus berjalan
walaupun dalam keadaan sukar semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP).
“Dalam konteks normal baharu iaitu pembelajaran semasa PKP, PBD masih dijalankan secara dalam talian melalui kaedah pemerhatian, penulisan dan lisan. Guru boleh menggunakan pelbagai kaedah pentaksiran dengan menggunakan bentuk komunikasi dan aplikasi yang bersesuaian untuk mentaksir murid”. Katanya semasa majlis penutupan kursus tersebut.
Kamariah menyampaikan ucapan ringkas semasa telesidang Kursus Pembangunan Profesionalisme Berterusan Guru-Guru Pendidikan Islam Dalam Memantapkan Kemahiran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
Kursus yang dianjurkan oleh Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) diadakan selepas sesi pembukaan semula persekolahan setelah lebih tiga bulan bercuti disebabkan pendemik COVIC-19 yang melanda seluruh dunia.
Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam
Selamat Kembali Ke Sekolah, 1264 Murid Di Labuan Mulakan Persekolahan
Labuan, 24 Jun 2020 – Hari ini bermulalah kembali sesi persekolahan membabitkan 1264 orang murid tingkatan 5 dan tingkatan 6 yang mengambil peperiksaan awam di Labuan melibatkan 10 buah sekolah menengah termasuk Kolej Vokasional.
Walaupun perasaan khuatir yang dirasai oleh murid, mereka tetap teruja dan bersemangat untuk hadir ke sekolah dengan kes COVID-19 yang semakin terkawal.
Ini dibuktikan dengan catatan kehadiran murid di Labuan pada hari pembukaan sekolah sangat memberangsangkan dengan peratus kehadiran 97.16%.
Setelah 3 bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekolah turut diarahkan tutup akibat penularan wabak COVID-19, tinjauan pembukaan sekolah-sekolah di Labuan, mendapati berjalan lancar berpandukan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Antara norma baharu di sekolah yang disarankan oleh KKM ialah saringan kesihatan di pintu masuk sekolah, kerap mencuci tangan dengan sabun (hand sanitizer), pematuhan penjarakan sosial dan tiada aktiviti yang melibatkan perhimpunan.
Guru menunjukkan cara-cara membasuh tangan menggunakan hand sanitizer kepada murid
Pemeriksaan suhu bagi murid, guru dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah juga akan dilaksanakan setiap hari. Mereka yang mencatatkan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius atau bergejala tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah.
Kedudukan meja di dalam kelas disusun pada jarak 1 meter dan kapasiti maksimum sebuah kelas tidak melebihi 20 orang murid.
Waktu rehat secara berperingkat akan dikuatkuasakan buat semua murid. Makanan dan minuman di kantin akan siap dibungkus dan murid akan makan di dalam kelas masing-masing di bawah pengawasan guru.
Aktiviti di luar bilik darjah seperti sukan dan kokurikulum secara bersemuka, tidak dilaksanakan sehingga suatu tarikh dimaklumkan kelak.
Suasana di dalam kelas SMK Mutiara, penjarakan meja 1 meter dan murid makan dalam kelas di bawah pengawasan guru
Pada hari pertama pembukaan sekolah, kehadiran guru juga amat baik dengan 99.6% guru termasuk guru-guru sekolah rendah di Labuan hadir untuk memulakan tugas di sekolah masing-masing.
Warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang terdiri daripada Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua Penolong Pengarah dan Pegawai Angkat Sekolah juga turut membuat lawatan ke semua sekolah di Wilayah ini bagi melihat perkembangan dan membantu pihak sekolah dalam memulakan era norma baharu pembukaan sekolah.
Pengarah Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Dr Ismuni Bohari, Pengarah Majlis Keselamatan Negeri Labuan, Puan Nurzalizah Kartika Abdullah dan Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Puan Khaziyati Osman juga turut bekesempatan turun padang ke Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan bagi melihat sendiri pematuhan SOP yang telah ditetapkan.
Murid SMK Lajau : Amalan murid membasuh tangan sebelum memasuki kawasan sekolahMurid SMK Labuan mengikut laluan pergerakan yang ditetapkan menuju ke kelas masing-masingDr Ismuni, Pengarah Kesihatan Negeri Labuan sedang berbincang sesuatu dengan Encik Ismail, Pengetua SMK Labuan Suasana norma baharu sekolah SM St AnneSuasana di pintu masuk sekolah SMK Rancha-RanchaGuru-guru SK Membedai : Kami Sentiasa Bersedia !
Bacaan Surah Yassin dan Doa Selamat Sempena Pembukaan Semula Sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan
Labuan, 23 Jun – Majlis Bacaan Yaasin dan Doa Selamat sempena Pembukaan Semula Sekolah diadakan secara serentak bermula jam 8.30 pagi di 26 buah sekolah menengah dan sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) secara online dengan disertai lebih daripada 1,110 orang warga pendidik di seluruh Labuan.
Majlis
Bacaan Yaasin dan Doa Selamat diadakan untuk memohon perlindungan ke hadrat
Allah s.w.t agar dipermudahkan segala urusan sesi pembukaan semula sekolah pada
24 Jun 2020 ini setelah lebih tiga bulan bercuti disebabkan pendemik Covic-19
yang melanda seluruh dunia. Cuti Pertengahan Penggal Persekolahan bermula 14
Mac 2020 dan ianya bersambung dengan cuti semasa Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP) bermula 18 Mac 2020 sehinggalah 23 Jun 2020.
Majlis
tersebut telah diurus setiakan oleh Ketua Panitia Pendidikan Islam di semua
sekolah di wilayah ini. Ianya turut dihadiri oleh Majlis Pengurusan Tertinggi
(MPT), pegawai angkat sekolah, Ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),ibu bapa
dan murid-murid.
Menurut
Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran merangkap Pemangku Pengarah, Encik Yusup
bin Mohamad, majlis ini bertujuan untuk meniupkan semangat kembali ke sekolah
setelah lama bercuti dan meningkatkan motivasi kepada para guru-guru agar
bekerja dengan lebih bersunguh-sungguh dalam melaksanakan tugas hakiki iaitu
pengajaran dan pembelajaran.
Dalam ucapannya selepas bacaan doa selamat, Encik Yusup
bin Mohamad merakamkan ucapan terima
kasih kepada guru yang telah mengambil pelbagai inisiatif dalam memastikan
penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) kepada anak didik terus berjalan.
Kaedah ‘Home Based Learning’ (HBL) dilaksanakan sepanjang Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP). Kaedah HBL ini
akan diteruskan kepada semua murid di sekolah rendah dan murid tingkatan satu
hingga tingkatan empat di sekolah menengah sehingga sesi persekolahan mereka
bermula.
Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Puan Kamariah binti Salim turut merakamkan ucapan terima kasih di atas komitmen daripada ibu bapa yang cakna terhadap pembelajaran anak-anak di rumah dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti akses internet dan peranti digital.
Sekitar Majlis Bacaan surah Yassin dan Doa Selamat Sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan secara telesidang menggunakan aplikasi google meet berjalan lancar.
“Kita memahami semangat berkobar-kobar anak-anak yang ingin kembali ke sekolah untuk belajar seperti biasa dan bertemu guru-guru serta rakan-rakan. Begitu juga kerinduan guru-guru untuk hadir ke sekolah bagi melaksanakan PdP. InshaAllah pada 24 Jun 2020 ini sesi persekolahan semula akan dibuka bagi murid-murid tingkatan 5 dan tingkatan 6 di lapan buah sekolah menengah dan sebuah Kolej Vokasional di Labuan”. Katanya semasa Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat Sekolah Menengah St Anthony secara maya pagi tadi.
Sekolah-sekolah di wilayah ini dalam keadaan kesiapsiagaan menerima kehadiran murid dan pembukaan semula sesi persekolahan. Pemantauan dan kunjung bantu daripada pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) ke semua sekolah telah dilaksanakan. Begitu juga penataran Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca PKP kepada guru-guru, PIBG turut dilakukan bagi memastikan pengurusan sekolah berjalan lancar, Pengajaran dan Pembelajaran berlaku dalam keadaan selamat dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
Kamariah Salim menyampaikan ucapan ringkas semasa telesidang Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat bersama warga Sekolah Menengah St Anthony.
Sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2020
Labuan, 13 Jun – Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih berkuatkuasa sehingga 31 Ogos depan, Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (JPNWPL) telah menganjurkan Sambutan Hari Guru 2020 secara maya.
Sambutan Hari Guru Peringkat W.P Labuan dengan tema “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman.
Dr, Fary dalam ucapan perasmiannya berkata, guru memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga dalam pengajaran bagi memberi impak positif terhadap kualiti anak didik.
Ini seterusnya melahirkan modal insan yang holistik dan berguna kepada masyarakat, selain mampu membina negara bangsa yang cemerlang dan gemilang.
Meskipun diadakan secara maya, namun sambutan itu tetap memberi makna besar kepada dua pesara guru yang berjasa kepada Labuan iaitu mantan Guru Besar SK Sungai Lada, Encik Abdul Safar Awang Damit dan Mantan Pengetua SMK Pantai IBWS, Encik Sahar Misron yang masing- masing dinobatkan Tokoh Guru 2020.
Turut diumumkan Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2019 dalam kalangan anak guru, Ikon Guru, Guru Inovatif dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan.
Sambutan ini mendapat tontonan 2000 orang melalui platform Youtube.
Hadir sama menjayakan sambutan secara maya itu ialah Timbalan Pengarah (Sektor Pembelajaran), JPWPL, Encik Yusup Mohammad, Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua Penolong Pengarah, Para Pengetua, Guru Besar, Guru-Guru dan Warga Jabatan Pendidikan WP Labuan.
TOKOH GURU 2020 Mantan Guru Besar SK Sg. Lada Encik Abd. Safar Awang DamitTOKOH GURU 2020, Encik Sahar Misron mantan Pengetua SMK Pantai IBWS.
Selingkar kenangan bersama Tuan Walau sedetik Cuma Ianya amat mahal untuk dinilai Ianya amat luas untuk diukur Bicaramu tuan bak tinta di jiwa kami Menguntum senyummu tuan, membunga di hati kami Kau nyalakan kandil hakiki Menyuluh arah haluan nan murni Dengan tekad nan suci Menggunung harapan cita kami Kau tak lupa kukuhkan tiang seri pusaka Buat sokong di kala rebah Permaidani kasih kau hamparkan Di sepanjang lantai usang Kelak membunga mekar setaman
Walau sesekali walang terusik Oleh dengkur dan dengus Lara wargamu kausirami dengan benih-benih keimanan Rangsangan jua dorongan kau salurkan Teguranmu pasti membina kami Nasihatmu pasti kami tak lupa Jasamu pasti kami abadikan Tinta kami ini adalah titipan kasih buat Tuan Bukan sekadar metafora dalam kuntuman sajak Yang berbalut kiasan wacana
Semoga Tautan Kasih kami akan kekal utuh menjadi Selingkar Kenangan pada Tuan Selaut kasih, selangit kasturi, seharum setanggi, sejambak bunga terima kasih, Titipan seikhlas budi seindah kenangan Buatmu Tuan Pengarah.
Salam Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin.
Tuan Raisin Saidin, 2 Nov 2015 – 5 Mei 2020
Dengan Ingatan Tulus Ikhlas, Daripada Warga SK Pekan II.