Perhimpunan Bulanan JPWPL, April 2019 : PBPPP, Pemangkin Kecemerlangan Guru

Labuan, 17 April : Perhimpunan Bulanan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bagi bulan April telah diadakan kelmarin, bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin dalam ucapan amanatnya berkata Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP) merupakan suatu penilaian berdasarkan konsep Tugas dan Tempat Bertugas berdasarkan standard prestasi yang telah ditetapkan selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP 2.0) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 –2025.

Beliau berkata proses penilaian guru bermula dengan keprihatinan dan kesungguhan. Penilaian perlu dinilai dengan tepat dan professional bagi mengenalpasti kompetensi dan potensi pegawai yang dinilai agar membolehkan pembangunan profesionalisme berterusan dilaksanakan.

“Menilai kompetensi dan potensi guru secara individu, bukan bertujuan untuk menghukum, perlu ada unsur coaching mentoring, termasuk mewujudkan interaksi dan bersemuka semasa penilaian dilaksanakan”. Encik Raisin Saidin.

Terdahulu, majlis pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan 2019 telah dilancarkan oleh Encik Raisin Saidin. Taklimat dekad membaca telah disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah BTPN Labuan, Encik Ag. Marten bin Datuk Hj Abdul Rahman .

Encik Raisin Saidin melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan 2019, peringkat WP Labuan sambil diperhatikan oleh Encik Ag. Marten dan Puan Maimoon

Kementerian Pendidikan berhasrat untuk menjadikan tempoh masa 10 tahun iaitu dari tahun 2021 sehingga 2030 sebagai Dekad Membaca Kebangsaan dan ia sebahagian usaha ke arah menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang 2030.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian sijil anugerah kepada sekolah, sijil kenaikan pangkat, sijil persaraan, staff of the month, sambutan hari lahir dan sijil anugerah khas pengarah.

Anugerah Khas Pengarah bagi bulan April telah diberikan kepada Encik Samsul Mandisin,  Ketua Unit Pusat Kokurikulum dan Encik Awang Zain bin Awang Anak, Ketua Unit Sukan di atas kecemerlangan di atas kecemerlangan Penganjuran Kejohanan Golf MSSM 2019 Peringkat Kebangsaan.

Cikgu Angeline Leong dari Sekolah Kebangsaan Kerupang telah dinobatkan sebagai Adiwira Guru PAK21 Labuan bagi bulan April 2019.

Encik Awang Zain menerima Anugerah Khas Pengarah
Adiwirah Guru PAK21, bulan April 2019 : Cikgu Angelin Leong
Encik Benry Betty menerima sijil Staff of the Month daripada pengarah



Lawatan Pengarah Pertanian Bandar ke SMK Mutiara

Labuan, 16 April : Pengarah Jabatan Pertanian seluruh Malaysia telah membuat lawatan ke Tapak Tanaman Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara WP Labuan.

Rombongan lawatan diketui oleh Pengarah Pertanian Bandar, Encik Mustapa bin umar bersama 30 orang Pengarah Jabatan Pertanian seluruh Malaysia.

Encik Mustapa berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah yg telah melaksana aktiviti pertanian bandar dengan menanam pelbagai sayuran, buah-buahan dan tanaman hiasan.

Beliau mencadangkan agar pihak sekolah mengamalkan penanaman secara organik dan menyarankan agar guru dan murid mengikuti kursus penghasilan plant booster yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian WP Labuan.

Berita Oleh : SMK Mutiara




Karnival Hari Guru PBD 2019 Disambut Meriah

Labuan, 15 April : Hasil kerjasama pelbagai pihak telah melakar sejarah penganjuran Karnival Hari Guru PBD Tahun 2019. Sokongan Sektor, Sekolah, PIBG, PIBK dan Agensi Swasta menjadikan sambutan tahun ini begitu bermakna.

Dengan bertemakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), karnival ini telah disambut dengan meriah dan berjaya menarik lebih kurang 2000 pengunjung termasuk guru, ibu bapa dan murid-murid.

Karnival Hari Guru PBD 2019 ini berlangsung di perkarangan
Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri dan Sekolah Menengah Kebangsaan
Rancha-Rancha seawal jam 7.30 pagi dan berakhir 5 petang.

Antara acara utama sepanjang karnival ialah perkongsian amalan terbaik berkaitan PBD, simulasi PBD dalam PdP, e-Pentaksiran PBD, pameran Inovasi PBD dan Kupi-kupi Haei Gu’u.

Sambutan ibubapa, murid dan guru-guru melebihi jangkaan terhadap pelbagai acara yang disediakan, antaranya amazing race, mini hoki, catur blitz, kuiz online, pancing santai, golf on the go, dart bull, carrom, bowling kelapa, gubahan bunga dan sukaneka.

Pentaksiran Bilik Darjah

Karnival kali ini turut dimeriahkan dengan program sehari bersama kaunselor anda, gerai pameran agensi swasta dan gerai-gerai jualan oleh ahli PIBG dan PIBK.

Menariknya, karnival ini juga telah berlangsung secara live melalui Facebook rasmi Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan
Labuan, Encik Raisin Saidin telah mengunjungi tapak karnival memberi sokongan
dan dorongan kepada pelaksanaan karnival ini.

Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih atas
sokongan semua pihak dalam menjayakan anjakan ke-9 PPPM dalam meningkatkan
kerjasama agensi swasta dan komuniti dalam aktiviti pendidikan.

Beliau turut berharap agar tema hari guru tahun ini iaitu
Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi dapat diterjemah dalam pelbagai bentuk tindakan
disemua peringkat.

Pelibatan pelbagai pihak dalam karnival kali ini telah berjaya menimbulkan kesedaran terhadap peri penting sokongan dan kerjasama semua pihak dalam bidang pendidikan terutamanya ke arah menzahirkan slogan Labuan Cemerlang, Guru Sayang Muridnya, Kecemerlangan dan Kemenjadian Murid Labuan Bermula Di sini.

Berita Oleh : Cikgu Mohd Nizam Yassim

Encik Raisin Saidin (tengah) dan Puan Maimoon (kiri) bersama guru-guru dalam Pameran Inovasi PBD
Sukankeka Hari Guru 2019
Pertandingan Bowling Kelapa
Pertandingan Catur Blitz



Selangor ‘tebas’ Kejohanan Golf MSSM 2019

Labuan, 11 April :   Selangor muncul juara keseluruhan Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2019 dengan mengumpul 400 mata daripada 12 acara individu dan berpasukan bagi ketiga-tiga kategori umur bawah 12, 15 dan 18 tahun.

Selangor mengungguli dan muncul juara bagi acara Berpasukan Lelaki (Bawah 12), Berpasukan Perempuan (Bawah 15), Berpasukan Perempuan (Bawah 12), Individu Lelaki (Bawah 18) dan Individu Lelaki (Bawah 12).

Selangor juga memperoleh naib juara bagi kategori Individu (Lelaki B15), selain meraih tempat ketiga bagi acara Individu (Lelaki B12), Individu (Perempuan B15) dan Individu (Perempuan B12).

Naib juara keseluruhan menjadi milik Sarawak yang beroleh 262 mata dengan pencapaian terbaiknya ialah muncul juara Individu Lelaki B15, Berpasukan Lelaki B15, selain meraih tempat ketiga acara Berpasukan Lelaki B12 dan Berpasukan Perempuan B15.

Kontinjen Sarawak : Naib Johan Keseluruhan Golf MSSM 2019

Kedah di tempat ketiga dengan mengutip 228 mata selepas menjuarai Berpasukan Perempuan B18, naib juara Berpasukan Perempuan B15, dan tempat ketiga Berpasukan Lelaki B18.

Acara yang berlangsung di Kelab Golf Antarbangsa Labuan dan Kelab Golf Labuan bermula 8 April hingga 10 April 2019 berjalan lancar dan teratur dengan cuaca yang baik sepanjang kejohanan.

Majlis Perasmian Penutupan telah berlangsung di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, Labuan hari ini yang telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Haji Amir Bin Haji Hussien, Pengerusi Perbadanan Labuan.

Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia kerana telah memberi peluang kepada Wilayah Persekutuan Labuan menjadi tuan rumah Kejohanan Golf MSSM 2019 yang julung kalinya diadakan di Labuan.

Kedah : Tempat Ketiga Keseluruhan Golf MSSM 2019

Sementara itu, dalam ucapan aluan, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin berkata kejohanan Golf ini merupakan medan mencungkil bakat baharu dan ruang untuk memilih wakil-wakil negara dalam golf di peringkat antarabangsa.

“Besarlah harapan saya agar kejohanan golf ini dapat menampilkan golfers yang gah samada kejohanan tempatan mahupun antarabangsa pada masa hadapan”. Encik Raisin Saidin

Atlet yang telah menjuarai kategori L18 ialah Marcus Lim Pang Chuen dari kontinjen Selangor. Manakala P18 dimenangi oleh Ng Yu Xuan yang mewakili Negeri Sembilan.

Ini diikuti oleh juara kategori L15, Anson Yeo Boon Xiang dari kontinjen Sarawak. Juara kategori P15 pula ialah Ashley Chin Yen Ling yang berasal dari negeri Pulau Pinang.

Kontinjen Selangor sekali lagi menjuarai acara individu kategori L12 iaitu adik Muhd Ajmal Amin M. Fajri.

Usaha Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang tidak berputus asa, akhirnya berjaya dijelmakan dengan kejuaraan oleh adik Wang Xin Yao yang bertanding dalam kategori P12.

Syabas dan Tahniah kepada semua pihak yang berjaya menjayakan Kejohanan Golf MSSM 2019 ini dengan penuh gemilang.

Satu Murid Satu Sukan, Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan !

Buletin kejohanan boleh didapati melalui pautan ini (klik disini)

Juara Individu P18, Ng Yu Xuan (kiri) dari Negeri Sembilan dan Juara Individu L18 (dua dari kanan) dari Selangor bersama tetamu VIP.
Encik Raisin Saidin (tengah) dan Encik Hasbollah (kanan) bersama para Golfers yang bertanding dalam Kejohanan Golf MSSM 2019



Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang Melakar Sejarah Penganjuran LIGuM2019

LABUAN, 4 April –
Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang (SKLT) melakar sejarah tersendiri apabila
menjadi sekolah pertama di Wilayah Persekutuan Labuan menganjurkan program
berbentuk pendidikan santai, Lubok Ilmu Guru dan Murid (LIGuM2019) Edisi 1.
LIGuM2019 yang bertemakan Program Pembelajaran Profesional (PLC) – Inovasi
Bahan dan Pedagogi telah berjaya menghimpunkan seramai 30 orang guru inovatif
seluruh Labuan dan Sabah termasuk 4 SISC+ dari Labuan dan 1 SISC+ dari PPD,
Tenom, Sabah.

            Pengarah Pendidikan WP Labuan turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada SK Lubok Temiang yang telah merintis jalan dengan membudayakan dan mengamalkan gaya pembelajaran profesional dalam komuniti yang pertama di Labuan dan menjadi contoh kepada sekolah lain. Teks ucapan beliau telah disampaikan oleh Hasbollah bin Amit, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan.

            Hadir dalam majlis yang sama adalah
guru besar SK Lubok Temiang, Haji Adam bin Abdul Rahim dan Mohd Dzulfaizal bin
Abd Manan, YDP (PIBG). Dalam program yang sama, hampir 500 orang pengunjung
yang hadir terdiri daripada guru-guru sekolah-sekolah rendah di WP Labuan, ibu
bapa dan murid SKLT sendiri.

            Pada majlis itu, Mohd Asyraf bin Abd Hamid telah dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon LIGuM2019 Edisi 1, SKLT. Mohd Asyraf bakal graduan dari IPG Kampus Keningau adalah juga merupakan bekas murid SKLT dan penduduk tetap Kampung Batu Manikar. Pemilihan Mohd Asyraf sangat bertepatan apabila baru-baru ini beliau telah dianugerahkan Penerima “Young South East Asia Leaders” oleh Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur serta Pemenang anugerah The Honourable Mention in Bali Asia International Model United Nations di Bali, Indonesia apabila beliau terpilih antara 16 belia terbaik dunia.

            Menurut penyelaras program, Hasnan bin Md Saad, LIGuM2019 akan dijadikan sebagai acara tahunan SKLT pada bulan April setiap tahun dan akan mengetengahkan pelbagai tema serta medium berlainan. Haji Adam, guru besar SKLT sangat yakin bahawa LIGuM akan menjadi acara berprestij satu hari nanti serta berupaya mengangkat SKLT di mata masyarakat setempat. Perasmian LIGuM turut dihadiri oleh ketua-ketua sektor, pegawai-pegawai jabatan, guru-guru besar dan wakil media.




Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Lajau Penghubung Silaturrahim

Labuan : Mesyuarat Agung Tahunan PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Lajau kali ke-18 tahun 2019 berjalan dengan lancar mengikut agenda yang telah ditetapkan.

Tepat jam 7.30 pagi ibu bapa telah membuat pendaftaran di luar Dewan Mini, SMK Lajau mengikut kelas anak masing-masing.

Pada masa yang sama, kutipan sumbangan satu rim kertas A4 bagi satu keluarga turut berlangsung. Sebanyak 86 rim kertas A4 yang telah disumbangkan oleh ibu bapa.

Sementara menunggu ketibaan perasmi, penyampaian sijil kepada penceramah dan cabutan bertuah sesi pertama berlangsung dan disampaikan oleh Penolong Kanan PPKI iaitu Puan Noraini Hj. Sabudin.

Bermula jam 8.00 pagi, pengisian ceramah daripada Unit Pengurusan Farmasi, Jabatan Kesihatan Labuan iaitu Cik Wan Amira Atiqah bin Wan Omar dengan ceramah yang bertajuk “Kenali Ubat Anda”.

Tepat jam 9.30 pagi, ketibaan perasmi Datuk Rozman Bin Datuk Hj. Isli telah disambut oleh pengetua SMK Lajau beserta tetamu jemputan yang lain .

Seterusnya, sesi ceramah yang kedua daripada Unit Psikiatri Dan Kesihatan Mental , Hospital Labuan iaitu Dr. Ng Boon Seng.

Ceramah kesihatan oleh Dr. Ng Boon Seng

Sebaik ketibaan Yang Berhormat di dalam Dewan Mini, SMK Lajau, nyanyian lagu Negaraku dan lagu Wilayah Maju dan Sejahtera berkumandang. Kemudian, iringan doa oleh Ustaz Muhd Zuraihi bin Razali. 

Ucapan pertama daripada YDP PIBG SMK Lajau bagi sesi 2018/2019 Iaitu Encik Tapa Bin Jani, diikuti ucapan Pengetua SMK Lajau Encik Mohd Jamatin Bin Abd Latip.

Ucapan akhir, ucapan perasmian yang dinanti-nantikan daripada Yang  Berhormat Datuk Rozman Bin Datuk Hj. Isli.

Selepas tamat ucapan, Yang Berhormat melancarkan gimik perasmian dengan meletakkan tapak tangan pada telefon pintar tab yang disediakan seterusnya video perasmian ditayangkan.

Tepat jam 11.15 pagi, pembentangan minit mesyuarat agung tahun lepas yang dipengerusikan oleh YDP PIBG. Pengesahan minit mesyuarat , laporan setiausaha dan laporan kewangan turut dibentangkan. Akhir sekali pembubaran AJK PIBG Sesi 2018 / 2019 secara rasmi oleh YDP PIBG En. Tapa bin Jani.  

Bagi menghargai sumbangan AJK PIBG yang lepas, Penyampaian Sijil dan Plak disampaikan oleh Pengetua SMK Lajau Encik  Mohd Jamatin bin Abd Latip,.

Pengetua menjalankan tanggungjawab sebagai pengerusi sementara dan mengetuai pemilihan ahli jawatankuasa PIBG bagi sesi 2019/2021 dengan memilih YDP dan Naib YDP.

Semua ibu bapa yang hadir sebulat suara mengekalkan jawatan YDP sebelum ini iaitu Encik Tapa bin Jani dan NYDP iaitu Puan Sarina bin Shaari.

Pengetua juga menyenaraikan pelantikan dalam kalangan guru iaitu Cik Nur Athirah Binti Abdul Rashid selaku Setiausaha dan Cik Noramira Asyikin binti Arun sebagai Penolong Setiausaha.   

Manakala Cik Fazera Jane binti Rosmin dilantik sebagai Bendahari yang baharu bagi sesi 2019/2021.

Tetamu Jemputan merakam kenangan bersama semua ibu bapa dan guru

Dengan pelantikan Ahli Jawatankuasa PIBG sesi 2019 / 2021 tersebut maka sempurnalah majlis Mesyuarat Agung Tahunan PIBG kali ke-18 tahun 2019 Sekolah Menengah Kebangsan Lajau dan semoga tanggungjawab yang diamanahkan dapat disempurnakan dengan jayanya.

Berita Oleh : SMK Lajau




Cikgu Louis Pulong Galas Cabaran Pertandingan Video Pendek PAK21 Peringkat Kebangsaan

Penyertaan penulisan esei dan video pendek tentang Pembelajaran Abad Ke-21(PAK21) mata pelajaran Sejarah Tahun 4 bertajuk Zaman Prasejarah telah memberi tuah kepada Cikgu Louis Pulong dari SK Kerupang kerana terpilih menduduki 10 senarai teratas peringkat kebangsaan.

Susulan itu, pihak Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) telah berkunjung ke SK Kerupang untuk membuat penggambaran penuh sesi PdPc bagi menghasilkan video dokumentari yang akan dikongsikan sebagai inspirasi kepada guru-guru di seluruh Malaysia.

Video tersebut juga akan dinilai bagi menentukan pemenang pertandingan PAK21 ini.

Selain itu video tersebut akan turut ditayangkan semasa majlis penutupan kempen PAK21 yang dijangka akan diadakan pada April nanti.

Sesi penggambaran pada 18 Mac lalu dilakukan oleh 13 krew profesional dari syarikat World Communications Network Resources yang telah dilantik oleh PADU.

Penggambaran melibatkan 35 murid yang dibimbing oleh Cikgu Louis. Sesi penggambaran telah berjalan lancar bermula jam 8.30 pagi sehingga 4.00 petang.

Antara aktiviti menarik semasa sesi penggambaran PdPc tersebut ialah simulasi ekskavasi arkeologi untuk mendapatkan bukti tinggalan sejarah bagi empat zaman masyarakat prasejarah.

Tapak ekskavasi telah direka khas oleh Cikgu Louis. Tinggalan sejarah bagi setiap zaman ditanam menggunakan warna tanah yang berbeza bagi memudahkan murid membuat perbandingan zaman kewujudan tinggalan  masyarakat prasejarah. Tapak ini telah bertindak sebagai sebahagian dari Bahan  Bantu Belajar (BBB) bagi memudahkan proses PdPc yang melibatkan simulasi kaedah arkeologi itu.

Cikgu Louis telah berjaya menerapkan elemen komunikasi, kolaborasi, kreativiti, pemikiran kritis serta nilai dan etika dalam aktiviti sepanjang penggambaran tersebut sesuai dengan saranan PAK-21. Murid-murid juga telah menunjukkan sifat ingin tahu dan keberanian yang tinggi.

Ini menjadi bukti bahawa pelaksanaan PdP yang terancang dan tersusun oleh Cikgu Louis berjaya menarik minat murid untuk mempelajari mata pelajaran Sejarah.

Di akhir sesi penggambaran, Cikgu Louis mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas kerjasama yang diberikan bagi menjayakan penggambaran pada hari tersebut. Tambahnya lagi, kejayaan terpilih antara 10 terbaik peringkat kebangsaan bukan mudah dan amat bermakna baginya pada usia perkhidmatan yang baru mencecah 1 tahun.

Pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL)  berharap agar Cikgu Louis Pulong akan berjaya dalam pertandingan ini dan mengharumkan nama Wilayah Persekutuan Labuan di peringkat yang lebih tinggi.

Berita Oleh : Cikgu Mohd Nizam Yasim

Penggambaran video pendek turut melibatkan murid-murid Sekolah Kebangsaan Kerupang



Kejohanan Majlis Sukan Sekolah WP Labuan Melabuhkan Tirainya Dengan Penuh Dramatik

Labuan, 24 Mac : Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan melabuhkan tirainya Jumaat lepas dengan penuh dramatik.

Kedudukan untuk menentukan juara keseluruhan bagi kategori sekolah menengah cukup sengit, dengan acara terakhir kejohanan menjadi penentu kemenangan.

Akhirnya dengan catatan rekod baharu kejohanan 3 minit 37.65 saat oleh atlet 4 x 400 Lelaki 18 Tahun, SMK Pantai sekali lagi muncul sebagai juara, disambut dengan kegembiraan dan tangisan para atlet, mahupun jurulatih.

SMK Pantai merangkul 17 pingat emas, 8 perak dan 14 gangsa, hanya dibezakan 1 pingat emas dengan SMK Mutiara yang meraih 16 pingat emas, 10 perak dan 7 gangsa.

Persaingan yang cukup sengit ini mengulangi skrip catatan pungutan pingat emas kejohanan tahun lalu, dengan SMK Pantai juga merangkul 17 emas dan SMK Mutiara meraih 16 emas. Klik sini untuk berita MSSWPL 2018

SMK Labuan kekal di tempat ketiga dengan 11 pingat emas, 9 perak dan 10 gangsa tetapi memperbaiki pungutan emas berbanding 8 emas yang dicipta pada tahun 2018.

Saingan sengit bagi kategori Sekolah Rendah juga tidak kurang hebatnya.

Dengan pungutan pingat yang sama iaitu 3 pingat emas, 2 perak dan 2 gangsa, akhirnya SKK SK Rancha-Rancha dan SK Lubok Temiang diistihar sebagai johan bersama, satu lagi tinta sejarah dalam kejohanan MSS WPL kali ini.

Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan kejohanan Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan 2019. Sesungguhnya “Anda Semua Adalah Juara”.

Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Pengerusi Perbadanan Labuan,
Dato’ Sri Haji Amir Bin Hussien.

Dipetik dari Buletin MSSWPL 2019 : Sekalung Tahniah kepada Petugas Buletin SK Bukit Kalam
Klik Sini untuk Buletin Penuh



SK Sungai Bedaun Meraikan Majlis Apresiasi Sukan, Hari Profesional dan Majlis Penghargaan Jasamu Dikenang

Labuan – Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) mengadakan Majlis Apresiasi Sukan, Hari Profesional dan Majlis Penghargaan Jasamu Di Kenang serentak pada 14hb Mac 2019 Khamis.

Majlis Apresiasi diadakan setiap kali selesainya pelaksanaan suatu program atau aktiviti di SKSB.

Majlis ini diadakan bagi meraikan kejayaan pelaksanaan Kejohanan Sukan Olahraga serta memberi penghargaan kepada atlet dan ahli rumah sukan yang telah berjaya mendapat pingat dalam acara sukan dan juga perbarisan.

Semua ahli rumah sukan gembira dengan jamuan yang diadakan oleh guru dan menerima pingat serta hadiah kemenangan dalam majlis tersebut.

Majlis di adakan di Dewan Permata dan Kantin SKSB.

Ahli Rumah Cenderawasih merakamkan gambar kenangan bersama guru penasihat dan jurulatih dalam Majlis Apresiasi Sukan Olahraga

Menurut Penolong Kanan Ko Kurikulum Cikgu Mohd Aizam Bin Abdul Rahim, Majlis seumpama ini diadakan sebagai wadah penghubung antara guru-guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan murid-murid untuk berinteraksi dengan lebih progresif secara santai.

Ia bertujuan untuk menzahirkan rasa terima kasih dan tahniah kepada seluruh warga SKSB yang telah bersungguh – sungguh menyumbangkan tenaga dan buah fikiran dalam menjayakan Kejohanan Sukan Olahraga tempoh hari.

“Pihak sekolah sentiasa mengingati jasa dan pengorbanan dalam setiap kerja yang dilakukan. Semoga  majlis ini dapat meningkatkan motivasi dan keyakinan warga sekolah untuk lebih proaktif dalam melaksanakan program sekolah pada masa akan datang” . Cikgu Mohd Aizam

Murid-murid yang berjaya meraih pingat dalam kejohanan sukan olahraga SKSB 2019 kelihatan ceria dan gembira bersama guru

Pada sebelah petangnya diadakan Hari Profesional di sebuah hotel terkenal di Labuan.

Guru Besar SKSB, Cikgu Dg. Sarifah Binti A.Mahmod berkata, Hari profesional pada hari ini di adakan di luar sekolah untuk memberi suntikan semangat dan nafas baru kepada semua anggota kerja di SKSB agar lebih bersemangat dalam bekerja.

Dalam majlis tersebut telah disampaikan watikah pelantikan di bawah Pengurusan Pentadbiran, Kurikulum, Hal Ehwal Murid (HEM) dan Ko-Kurikulum. Turut hadir ialah Puan Wiwik Iswandari Binti Sudirman, Yang Di Pertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG), Cikgu Rina Farrina Binti Dalim, Penolong Kanan Pentadbiran, Ustazah Kamariah Binti Salim, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Cikgu Mohd Aizam Bin Abdul Rahim, Penolong Kanan Ko Kurikulum.

“ Pihak sekolah amat  menghargai seluruh warga pendidik dan AKP. Anda adalah nadi terhadap kecemerlangan sekolah. Sikap tidak berkira dalam melaksanakan tugas tanpa mengira penat, wang ringgit, masa dan  tenaga amat kami sanjungi.  Semua pihak sentiasa melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan secara professional dengan penuh komitmen, cekap dan berkesan”. Cikgu Dg. Sarifah

Ustazah Anfal menerima watikah pelantikan daripada Cikgu Dg. Sarifah ( kiri) sambil diiringi oleh Puan Wiwik Iswandari ( dua dari kanan) dan barisan penolong kanan.

Dalam masa yang sama turut diadakan Majlis Penghargaan & Jasamu Dikenang bagi menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada 6 orang guru yang berpindah.

Cikgu Sunah Binti Tahir, PK HEM telah berpindah ke SK Lubuk Temiang, Cikgu Muhammad Faiz Bin Abd.Fatah ke SK.Kerupang, Cikgu Nur Izzati Binti Ahadin ke SKJK Chi Wen, Cikgu Aqmal Bin Ekhlas ke SKK.St.Anne, Cikgu Ritzwandy Faezy bin Samsi ke SK.Lubok Temiang manakala Sahrum Bin Samlan telah bertukar ke Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL).

Dalam ucapannya, Cikgu Dg. Sarifah mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang telah berpindah kerana telah memberikan perkhidmatan terbaik untuk sekolah sehingga SKSB berjaya meraih pelbagai kejayaan pada tahun 2018.

Sesungguhnya khidmat bakti yang dicurahkan tidak mampu di balas. Semoga mereka terus cemerlang di tempat baharu.

Semoga SKSB mekar terbilang.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Merakam kenangan : Cikgu Dg. Sarifah (tengah) , Cikgu Mohd Aizam (empat dari kiri), Cikgu Rina Farrina (empat dari kanan) dan Ustazah Kamariah (kanan) bergambar bersama guru-guru yang telah berpindah. Cikgu Sunah (tiga dari kanan), Cikgu Nur Izzati (dua dari kanan), Cikgu Muhammad Faiz (kiri), Cikgu Ritzwandy Faezy (dua dari kiri) dan Cikgu Aqmal (tiga dari kiri)



Lawatan Penanda Aras Dari PPD Ranau, Sabah Ke SK Pekan Satu

Labuan, 21 Mac –Sekolah
Kebangsaan Pekan Satu telah menerima lawatan penanda aras dari PPD Ranau,
Sabah. Lawatan ini bersempena dengan Majlis Guru Besar PPD Ranau. Seramai 40
orang yang hadir bagi memeriahkan lagi majlis tersebut. Tidak ketinggalan juga seramai
15 orang dari Majlis Guru Besar Labuan yang turut hadir. Dua orang wakil
Jabatan Pendidikan Negeri Labuan turut serta ke majlis ini.

Majlis ini merupakan satu program untuk menyatupadukan
dan merapatkan lagi hubungan baik semua guru-guru besar sekolah-sekolah rendah
di daerah ranau dengan guru-guru besar sekolah rendah di Wilayah Persekutuan
Labuan.

Pn. Anita Shyamini S. Azman, Guru Besar SK Pekan Satu, menekankan kerjasama di antara dua pihak iaitu dari kalangan guru-guru besar adalah penting untuk menjamin keadaan sekolah yang kondusif sesuai untuk murid-murid belajar.