MPSM LABUAN Sertai Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Negeri 2019

Labuan, 24 Ogos – Dua pengetua telah mewakili MPSM membentang di dalam Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Negeri yang telah diadakan pada 23 Ogos 2019 bertempat di Bilik Benua, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN).

Encik Ismail Abdullah, Pengetua SMK Labuan yang juga merupakan YDP MPSM Labuan telah membentang kajian tindakan bertajuk Meningkatkan Amalan PLC Dalam Kalangan Guru di SMK Labuan Dengan Menggunakan Strategi ‘I-LEAD’.

Menurut beliau, strategi ‘I-LEAD’ telah berjaya meningkatkan pelibatan guru dalam menjadikan PLC sebagai medium meningkatkan kualiti PdP dalam kalangan guru di SMK Labuan. Strategi ini juga telah memberi impak positif dalam meningkatkan prestasi akademik di SMK Labuan secara keseluruhan.

Puan Hajjah Jijah Mohamad Suhai pula membuat pembentangan bertajuk ‘Practice Makes Perfect’ dalam kolokium ini. Beliau merupakan pengetua di SMK Taman Perumahan Bedaun.

Dalam pembentangan tersebut beliau memberi fokus kepada kaedah terbaik meningkatkan kefahaman dalam kalangan murid Tingkatan 5 berkaitan tajuk ‘Bumi Sebagai Sfera’.

Sebelum pengenalan kaedah ini, murid-murid yang lemah menghadapi kesukaran dalam menguasai kandungan pembelajaran tajuk berkenaan. Beliau berusaha dari semasa ke semasa membuat kajian dan penambahbaikan dalam kaedah PdP dan akhirnya tercetus inovasi yang dinamakan ‘Practice Makes Perfect’.

Hasilnya, pembelajaran murid di dalam mata pelajaran matematik tingktan 5 terutamanya tajuk ‘Bumi Sebagai Sfera’ telah menjadi lebih mudah untuk difahami dan penguasaan murid meningkat.

Kolokium anjuran Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pendidikan W.P.Labuan ini pertama kali seumpamanya diadakan susulan daripada empat siri bengkel kajian 12 langkah Kajian Tindakan yang telah dikendalikan oleh ikon inovasi negeri Cik Suriani Alland Rice Oxley.

Kajian Tindakan yang dihasilkan oleh Encik Ismail bin Abdullah dan Puan Jijah Mohamad Suhai telah berjaya dianugerah pingat perak oleh para juri. MPSM berasa bangga dan mengucapkan tahniah atas pencapaian yang diraih oleh kedua-dua pengetua tersebut.

Perasmian penutupan kolokium kajian tindakan telah disempurnakan oleh Encik Raisin bin Saidin, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan W. P. Labuan.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua-ketua sektor, para pengetua dan para guru besar semua sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan termasuk LIS.

Berita Oleh : Encik Mohd Nizam Yasim, Pengetua SMK Mutiara

Encik Raisin Saidin (duduk tengah), Puan Khaziyati (kiri), Encik Ag Marten (kanan) bersama peserta kolokium



Program Tahsin Sahsiah Remaja Muslim, ‘Sucikan Dirimu’ SMK Mutiara Bantu Murid Menyucikan Diri Secara Tertib

Labuan – Seramai 158 murid-murid Tingkatan 4 dan 5 SMK Mutiara dibimbing secara amali di dalam Program Tahsin Sahsiah Remaja Muslim, Sucikan Dirimu yang telah diadakan di Surau Al Marjan, SMK Mutiara pada 23 Ogos 2019 lalu.

Program ini dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam SMK Mutiara. Menurut penyelaras program, Ustazah Siti Sarah, aktiviti ini dianjurkan untuk memberi pengetahuan dan kemahiran mandi wajib secara amali. Inisiatif ini diambil kerana hasil tinjauan mendapati ramai murid belum tahu tentang kaedah mandi wajib secara tertib.

Beliau juga mengucapkan terima kasih atas kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Bomba dan Kecemasan Labuan dalam menjayakan program ini.

Sebelum sesi amali, satu sesi ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Abdull Basir Bin Mahadi dari JAWI Labuan. Dalam ceramah beliau, Ustaz Abdull Basir telah menekankan konsep kebersihan dan kesucian terutamanya dalam melaksanakan ibadat kepada Allah dan kehidupan seharian.

Ustaz Abdull Basir bin Mahadi sedang menyampaikan ceramah berkaitan konsep kebersihan dan kesucian

Program bimbingan dilaksanakan secara berasingan antara murid-murid lelaki dan murid-murid perempuan.

Peserta-peserta yang ditemui telah melahirkan rasa teruja dalam melaksanakan amali tersebut. Mereka merasakan program ini sangat berguna terutama kepada golongan remaja dalam proses ‘menyucikan diri’. Hal ini kerana kebanyakan remaja merasa malu untuk bertanya tentang hal ini walaupun kepada ibubapa sendiri. Mereka berharap agar program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang demi kebaikan murid-murid.

Program diakhiri dengan Solat Taubah secara berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Abdull Basir.

Berita Oleh : SMK Mutiara




SKK ST Anne Rangkul Anugerah Emas Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) 2019

Labuan, 24 Ogos – Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) merupakan salah satu daripada aktiviti kokurikulum berimpak tinggi kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Sasbadi Holdings Berhad yang memberikan penekanan terhadap aspek inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar melalui pembelajaran berasaskan pengalaman yang menarik dan menyeronokkan.

Pertandingan ini menggalakkan murid
mengaplikasikan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) serta pelbagai strategi
untuk mereka bentuk dan membina robot yang hebat, seterusnya dapat mempromosi
inovasi dalam bidang sains dan teknologi di semua sekolah.

SKK SK St. Anne telah menghantar tiga
pasukan bagi menyertai pertandingan yang amat berprestij ini. Ketiga-tiga
pasukan ini menyertai “Regular Category (PRO) – Primary School (Smart Passenger
Transport) dan dibimbing oleh Cikgu Diana Farahdilla dan Cikgu Kamaliah.

Berikut merupakan pencapaian yang diperolehi oleh pasukan SKK SK St. Anne;

ANUGERAH EMAS

  • Alden Daniel Ronnie Pett
  • Jonathan Abel Jeffrey
  • Love Valentina Almodiel

ANUGERAH PERAK

  • Derwin Poh Chun Teck
  • Joycee Diedree Jostelen
  • Nur Maisarah binti Suwardi

ANUGERAH GANGSA (TEMPAT KELIMA)

  • Mohammad Carlos Raqeem bin Mahathir
  • Nur Izyan Qairina binti Tarmiji
  • Lana Aelviella Peter Charles
Pasukan yang berjaya mendapat ANUGERAH PERAK. Tahniah!

Pasukan yang berjaya mendapat ANUGERAH EMAS
dalam pertandingan ini akan mewakili WP Labuan ke peringkat kebangsaan. Semoga
program NRC ini dapat dijalankan secara berterusan untuk tahun-tahun yang
mendatang supaya terus dapat dimanfaatkan sepenuhnya supaya matlamat
kemenjadian murid dapat direalisasikan.




SKK Rancha-Rancha mendapat Anugerah Emas Kategori Regular (Rookie) Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) Peringkat Negeri W.P Labuan

LABUAN, 24 Ogos – Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) SK Rancha-Rancha mendapat Anugerah Emas Kategori Regular (Rookie) Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) Peringkat Negeri W.P Labuan kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Sasbadi Holdings Berhad yang telah diadakan pada 24 Ogos 2019 bertempat di Dewan Konvensyen Kompleks Ujana Kewangan.
Dengan kejayaan itu, SKK SK Rancha-Rancha membawa pulang plak, sijil dan pingat emas bagi setiap peserta. Peserta ialah Luqman Hafiz bin Abd Ghaffar, Adi Zackwan bin Zanki Maududi dan Muhammad Haikal bin Asmadi. Jurulatih dan guru pengiring ialah Encik Heveldy bin Morudin dan Puan Setia Pautas.

Guru besar SKK SK Rancha-Rancha, Puan Norinnie binti Kassim mengucapkan tahniah atas kejayaan pasukan itu dan berharap agar terus berjaya dalam pertandingan yang akan datang.
Penutupan dan majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Encik Jaafar bin Hj Matusin, Ketua Unit Kokurikulum, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPN W.P Labuan. Turut hadir Encik Aminuddin bin Abd Malek, dari JPN W.P Labuan dan Ustaz Abdul Kahar bin Abdul Rahim, PK Ko-kurikulum SK Sg Lada.




The Makers Sempena Karnival Robotik Matrikulasi ‘ROBOTRIX 2019’ Peringkat Kebangsaan

Labuan, 25 Ogos 2019 – Sekolah kebangsaan Pekan Satu telah dinobatkan sebagai Johan The Makers sekolah-sekolah peringkat kebangsaan sekali gus merangkul pingat emas.

Pertandingan The Makers yang berlangsung di Dewan Mutiara, Matrikulasi Labuan berjaya mencungkil bakat dan keyakinan murid dalam berucap dan menerangkan di hadapan orang ramai.

Projek inovasi yang dibentangkan iaitu F.W.E Cleaner merupakan satu projek yang menguji Kemahiran Proses Sains (KPS) murid dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kalangan murid.

Seramai empat orang peserta telah mewakili Sekolah Kebangsaan Pekan Satu dalam pertandingan ini iaitu Al Basri bin Hasby (4 Bestari), Siti Nadzwiya Nadzwa binti Nadir (4 Bestari), Muhammad Armah Khan bin Amin Khan (4 Bestari) dan Arisa Ariana (4 Bestari) di bawah bimbingan Cik Izasyahira binti Duasah dan Puan Asbaidah binti Tahir sebagai jurulatih utama dan guru pengiring.

Dari kiri Al Basri bin Hasby, Siti Nadzwiya Nadzwa binti Nadir, Muhammad Armah Khan bin Amin Khan dan Arisa Ariana.

Kejayaan yang diraih adalah satu kejayaan yang membanggakan kerana ini merupakan pengalaman kali pertama murid dalam menyertai pertandingan inovasi. Kejayaan yang diperoleh juga memberi dorongan kepada murid untuk lebih yakin dengan kebolehan diri dan menilai kekurangan untuk menambahbaik projek yang mereka jalankan. Diharapkan peluang menyertai pertandingan inovasi The Makers ini berjaya membuka minda dan minat murid ke arah pembudayaan pemikiran inovatif.

Ringkasnya, pertandingan-pertandingan yang dianjurkan merupakan salah satu peluang untuk guru-guru melatih dan mengilap bakat murid bagi membentuk kemenjadian murid dari usia muda. Diharapkan pengalaman yang murid peroleh dapat menjadikan murid lebih bersedia bagi menghadapi persaingan yang lebih hebat di peringkat yang lebih tinggi kelak. Syabas dan tahniah kepada para peserta kerana berani menyahut cabaran yang diberikan. 

Murid dan guru pengiring bersama-sama dengan juri pertandingan.
Murid bersungguh-sungguh membentangkan projek inovasi F.W.E Cleaner kepada para juri.



SMK Mutiara Johan Pertandingan Grafik Keselamatan Jalan Raya

Labuan, 23 Ogos – SMK Mutiara berjaya merangkul tempat pertama dalam pertandingan grafik keselamatan jalan raya anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Labuan. Pertandingan ini terbuka kepada sekolah-sekolah menengah yang menawarkan ko-kurikulum JPJ sebagai aktiviti badan beruniform di sekolah.

Setiap penyertaan diwajibkan menghasilkan satu poster berbentuk grafik yang berkonsepkan keselamatan jalan raya. SMK Mutiara tampil dengan imej grafik berkonsepkan bahaya menggunakan telefon bimbit semasa pemanduan. Poster tersebut telah membawa tuah kepada SMK Mutiara yang berjaya mengatasi SMK Labuan di tempat kedua dan SM ST. Anthony di tempat ketiga.

SMK Mutiara diwakili oleh Adik Mohamad Aswatul Zikrullah Bin Mohd Ayub dan Adik Abzan Shah Bin Abel, murid tingkatan 2 sekolah ini. Manakala tiga orang pelajar lagi ialah Ahmed Syazwi Najmi Bin Ahmad Nawati, Muhammad Mifzal Bin Mohd Rafi dan Mohamed Affizie Bin Sawang @ Rizal dari Tingkatan 3.

Semasa ditemui, adik Aswatul Zikrullah memberitahu mereka mengambil masa dalam masa seminggu untuk menghasilkan poster tersebut. Idea timbul daripada pemerhatian seharian mereka di mana sikap pemandu yang asyik menggunakan telefon bimbit sering menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Mereka juga mengucapkan terima kasih kepada guru-guru pembimbing yang begitu komited dalam membantu penghasilan poster tersebut. Guru tersebut Ini termasuklah Cikgu Ilias Bin Zakaria dan Cikgu Rohani Binti Tali @ Md Ali (Guru Penasihat Kadet JPJ SMKM), Cikgu Mohd Asrul Bin Jais (grafik) dan Cikgu Felix Heng Yong Yuen (mencetak). Cik Debbie Lawrence pula membantu membuat terjemahan idea ke dalam bahasa inggeris. Adik Aswatul Zikrullah juga menekankan prinsip kerjasama telah membuahkan hasil dan menyifatkan kemenangan ini merupakan kemenangan SMK Mutiara secara keseluruhan.

Peserta pertandingan grafik keselamatan jalan raya bergambar kenangan bersama Pengarah JPJ.

Johan pertandingan membawa pulang hadiah wang tunai RM250, tropi dan sijil kemenangan selaku johan dalam pertandingan ini. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Pengarah JPJ Labuan yang diadakan serentak dengan Majlis Perhimpunan Bulanan JPJ.

Turut hadir di dalam majlis tersebut ialah Encik Aminuddin Abdul Malek, Penyelia Kanan Pasukan Badan Beruniform selaku wakil rasmi Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan W.P.Labuan.

Berita Oleh : SMK Mutiara




Warga SK Sungai Bedaun Berkongsi Nikmat Rezeki Dalam Ibadah Korban

Labuan – Seramai 47 murid daripada golongan asnaf dan anak yatim diraikan dalam program korban yang dianjurkan oleh Musalla Al Kauthar dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam dan Kelab Guru dan Staf, Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) pada 11 Ogos lalu di padang SKSB.

SK Sungai Bedaun telah mengadakan program korban sejak tahun 2018. Pada tahun ini, dua ekor lembu telah disumbangkan oleh guru-guru untuk ibadah korban.

Program ini diadakan sejurus selepas solat sunat Aidiladha dan selesai selepas solat zohor. Warga SKSB bersama Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) bergotong- royong bagi menyempurnakan program ini.

Proses penyembelihan telah dilakukan oleh Ustaz Sahrum Bin Samlan, Penolong Pengarah Pembangunan Adab dan Nilai, Jabatan Pendidikan W.P.Labuan yang juga merupakan ahli PIBG dan alumni SKSB.

Menurut Puan
Dayang Sarifah Binti A. Mahmod, Guru Besar SKSB, Program korban pada tahun
ini  sangat meriah dengan kehadiran ramai
ibu bapa yang membantu pihak sekolah menguruskan kerja-kerja penyembelehan,
melapah, mengagihkan daging serta memasak untuk kenduri korban.   

“Alhamdulillah, majlis berjalan lancar dan saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para penyumbang dan semua yang terbabit menjayakan program korban tahun ini,” katanya.

Puan Dg. Sarifah (dua dari kiri) mengagihkan daging korban dan juadah kenduri kepada penerima sambil diperhatikan oleh Puan Rina Farrina (kiri) dan Ustaz Sahrum (kanan).

Menurut Puan
Saudah Binti Abdul Wahab Penyelaras Program Korban, banyak permintaan daripada
guru-guru untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun ini namun pihak sekolah
terpaksa menghadkan kepada dua ekor lembu sahaja memandangkan tenaga kerja
untuk melapah daging tidak mencukupi.

“InshaAllah,
pihak urusetia akan meneruskan program korban berkelompok di tahun hadapan. Sekiranya
ada permintaan kita akan menambah kouta kepada tiga ekor lembu”. Katanya.

Antara juadah
yang disediakan untuk kenduri korban tersebut ialah sup tulang, daging goreng
dan  sayur campur. Daging yang siap
dibungkus kemudian diagihkan kepada golongan asnaf dan anak yatim bermula jam
12.30 tengah hari. Pengagihan 143 kg daging korban juga berjalan lancar dan
sistematik.

Semoga Program korban ini mendapat keberkatan serta mengeratkan lagi silaturrahim di kalangan warga SK Sungai Bedaun dan komuniti setempat.

Pihak sekolah berharap agar program ini dapat memberi sinar kegembiraan kepada golongan asnaf untuk sama-sama meraikan Aidiladha dengan penuh kegembiraan.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun




Perhimpunan Bulanan JPWPL, Ogos 2019 : Anugerah Wira Muda Bangkit Semangat dan Mengangkat Martabat Murid

Labuan, 21 Ogos – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan
telah mengadakan Perhimpunan Bulanan bagi bulan Ogos 2019 bertempat di Bahagian
Teknologi Pendidikan Negeri, hari ini.

Empat orang murid telah mendapat Anugerah Khas Pengarah bagi bulan Ogos 2019
iaitu Anugerah Wira Muda yang disampaikan sendiri oleh Encik Raisin Saidin.

Anugerah Wira Muda ini merupakan anugerah yang julung kali diperkenalkan oleh Encik Raisin Saidin bagi memberi pengiktirafan kepada murid yg telah mengharumkan nama Labuan di persada antarabangsa.

Adik Mohd Miniezam bin Maswandi dari SK Tanjung Aru telah muncul sebagai
Johan Kategori Heavy, umur 10 hingga 12 tahun bagi acara Sparring di Kejohanan Malaysia
Open International Taekwondo Championship 2019
yang berlangsung di Bukit
Kiara Kuala Lumpur.

Adik Mohd Daniel Hakim bin Matdaim dari SM Sains Labuan telah dinobatkan sebagai Johan Deklamasi Puisi peringkat kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Sempena Pertandingan Koakademik Bahasa Melayu dan Program Bakat Tunas Remaja Peringkat Kebangsaan yang berlangsung pada 23 Julai lalu.

Adik Elmus Zechary Tonduyuk Salibun dari SM St Anthony telah terpilih
sebagai Pengerusi Majlis Perwakilan Kanak-Kanak Kebangsaan bagi sesi tahun 2019-2021.

Seorang lagi Wira Muda bagi bulan Ogos telah dianugerahkan kepada adik
Arhadin bin Prome dari Sekolah Sukan Malaysia Sabah.

Encik Raisin Saidin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Adiwira Muda dan
berharap anugerah serupa dapat dilaksanakan di sekolah. Sesungguhnya setiap
murid mempunyai nilai tersendiri dan pihak sekolah seharusnya dapat menggilap
bakat dan potensi murid di sekolah masing-masing.

Kelaziman, acara dimulai dengan nyanyian lagu Negaraku, Maju dan Sejahtera
diikuti dengan bacaan doa dan Ikrar Perkhidmatan Awam serta Integriti
Perkhidmatan Awam.

Seterusnya, pelancaran Program Meningkatkan Kesedaran Kesejahteraan Psikologi Guru #3A peringkat Wilayah Persekutuan telah dirasmikan oleh Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pelancaran Program Meningkatkan Kesedaran Kesejahteraan Psikologi Guru #3A

Cikgu Shamsuria Ebni Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SKK Sekolah Kebangsaan ST Anne telah dinobat sebgai Adiwira Guru bagi bulan Ogos 2019.

Persembahan khas jemputan pengarah oleh murid-murid SMK Taman Perumahan Bedaun telah menghiburkan warga jabatan yang hadir dengan membawa persembahan angklung.

Sempena pelancaran Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan baru-baru ini,
Encik Raisin Saidin tidak lupa mengingatkan para Pengetua dan Guru Besar agara
sentiasa berusaha menanamkan Pendidikan Sivik dalam diri anak murid. Peranan
dan tanggungjawab sekolah mengenai pendidikan amat dituntut bagi melahirkan
generasi maju yang prihatin dan berdisiplin.

Di akhir majlis, Tayangan Video Ucapan Perdana Menteri semasa pelancaran Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan telah dipertontonkan kepada para hadirin.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Pendidikan Sivik yang mula dilaksanakan di sekolah sejak Jun lepas akan membentuk masyarakat dan individu yang bertanggungjawab, prihatin dan bertimbang rasa kepada pihak lain.

Dalam hidup bermasyarakat, katanya sifat-sifat itu amat penting bagi memastikan setiap individu tidak melakukan sesuatu yang memburukkan keadaan di sekeliling mereka.

“Dengan itu, percayalah negara kita akan menjadi negara yang maju, bersih dan dipandang tinggi oleh masyarakat dunia,” Tun Dr. Mahathir Mohamad

Majlis ditutup dengan nyanyian beramai-ramai lagu Tanggal 31 Ogos 2019 sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019.

Adiwira Guru bagi bulan Ogos 2019, Cikgu Shamsuria
Sambutan Hari Jadi bulan Ogos 2019 kepada Encik Azlan Sugianto



SMK Labuan Johan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat WP Labuan 2019

Labuan, 21 Ogos – Lima orang pelajar Tingkatan Enam SMK Labuan yang menamakan kumpulan mereka sebagai Kumpulan Pengisahan Sinaran Maida telah berjaya menjuarai Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 2019 Peringkat WP Labuan pada 17 Ogos 2019 di Anjung Budaya Layang-Layangan.

Pertandingan Pengisahan Kenegaraan ini terbuka kepada peserta-peserta berumur 18 tahun ke atas.

Sinaran Maida terdiri daripada tiga orang pelakon iaitu Mohamad Azuan bin Isack (6 Atas), Mohamad Syazwan Firdaus bin Mohd Sufry (6 Rendah) dan Elly Nazirah binti Sufri (6 Rendah).

Mereka dibantu oleh 2 orang krew iaitu Aleeya Nazurin binti Dzulhaide dan Nurul Ateyrah binti Yusaili, kedua-duanya pelajar 6 Rendah.

Sinaran Maida yang telah berjaya merangkul hadiah RM3000 berserta trofi dan sijil, menewaskan saingan kumpulan Pearl Revolution di tempat kedua dan Team Pisangs di tempat ketiga.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh YBhg Dato’ Sri Haji Amir bin Hussien, Pengerusi Perbadanan Labuan.

Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Sri Hj Amir berkata, di sebalik kenikmatan yang dirasai sebagai rakyat yang bernaung di bawah Negara yang bebas, sudah pasti terdapat tokoh-tokoh yang berjuang di sebaliknya bagi mendapatkan kemerdekaan.

” Sentiasa menghargai dan mengingati perjuangan tokoh-tokoh negara ini adalah salah satu cara bagaimana kita menyuburkan semangat patriotism dan cinta kepada negara dalam kalangan warganegara Malaysia.” Dato’ Sri Hj Amir

Sinaran Maida akan mewakili WP Labuan dalam Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Terengganu pada 27-28 September 2019.

Berita Oleh : SMK Labuan




SMK Mutiara Anjur Ceramah Remaja, Penyalahgunaan Dadah, Inhalan dan Bahan Terlarang

Labuan, 20 Ogos – Seramai 36 murid SMK Mutiara mengikuti ceramah tentang bahaya najis dadah oleh AADK bertempat di Dewan Semarak sekolah ini.

Sesi ceramah telah disampaikan oleh Encik Md. Hasri bin Jeinia, Pegawai Pencegahan AADK Cawangan Labuan. Ceramah selama 1 jam 30 minit telah menyentuh pelbagai aspek pengetahuan dan kemahiran remaja menangkis ancaman bahaya najis dadah.

Menurut Encik Hasri, golongan remaja semakin terdedah kepada ancaman najis dadah. Perkara utama yang diperlukan oleh remaja masakini ialah kekuatan dalaman termasuk disiplin diri dan didikan agama yang kukuh.

Tambah beliau, faktor utama remaja terjebak dalam penyalahgunaan dadah ialah disebabkan pengaruh rakan sebaya. Justeru remaja dinasihatkan untuk bijak memilih rakan dalam pergaulan harian.

Encik Hasri sedang memberi ceramah kepada murid-murid mengenai bahayanya penyalahgunaan dadah kepada murid-murid SMK Mutiara

Ceramah ini dilaksanakan sempena Minggu Antidadah peringkat sekolah yang diadakan mulai 19 sehingga 23 Ogos 2019.

Menurut Encik Hafiz, penyalaras program yang juga Kaunselor sekolah memberitahu aktiviti-aktiviti lain yang turut diadakan sepanjang minggu antidadah ialah Cafe teen, lawatan ke Pusat Koreksional Labuan dan IPD Labuan, pertandingan melukis poster dan menulis esei serta pertandingan keceriaan lorong PPDa di sekolah.

Acara perasmian Minggu Antidadah yang bertemakan ‘Komuniti Kita Tanggungjawab Kita’ telah disempurnakan oleh pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim.

Berita Oleh : SMK Mutiara