SMK Labuan Johan Karnival Kadet JPJ Peringkat WP Labuan 2019
Labuan, 28 Ogos – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan Jabatan Muzium Chimney telah menganjurkan Program Karnival Kadet JPJ Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2019, bertempat di Muzium Chimney pada 23 Ogos yang lalu.
SMK Labuan dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Karnival Kadet JPJ Labuan 2019 dengan mengungguli 4 aktiviti daripada 6 aktiviti yang dipertandingkan. SMK Labuan telah memenangi aktiviti simpulan dan ikatan, Puzzle dan susunan silang kata, melukis secara berkumpulan dan aktiviti membuat monumen dari barang hanyut.
SMK Pantai pula memenangi aktviti tali terpanjang, manakala SMK Mutiara unggul dalam aktviti masakan ikhtiar hidup.
Matlamat utama program ini diadakan adalah untuk memupuk semangat bersatu padu dalam satu kumpulan kadet JPJ dan melahirkan kadet JPJ yang berdisiplin, berdedikasi, berketrampilan serta mampu menjadi pemimpin yang berkaliber.
SMK Labuan yang diwakili oleh 20 orang pelajar Kadet JPJ sekolah telah diiringi oleh Encik Nazrin Ismail, Puan Noraslindah Hassan dan Puan Emma Fadzilah Adis.
Majlis perasmian penutupan karnival ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli, Ahli Parlimen Labuan.
Turut hadir Encik Mohammad Afdhal Mohd Ruslan, Pengarah JPJ Labuan, Encik Nazli Ho Abdullah, Pemangku Pengarah Muzium Labuan dan Encik Aminuddin Abdul Malek, Pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan.
Berita Oleh : SMK Labuan
Berdiri dari kiri – Ustazah Emma Fadzilah Adis dan Cikgu Noraslindah Hassan bersama pasukan Kadet JPJ SMK Labuan
Sekolah Kluster Kecemerlangan SK Rancha-Rancha Muncul Johan Kategori Tahap 2 dan Tahap 1 Pertandingan Bercerita Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan 2019
LABUAN, 28 OGOS – Murid tahun lima, Amni Naeelah binti Ahmad Saifuddin dan murid tahun tiga, Gabriella Isabelle Huminodun Jisty masing-masing dari Sekolah Kluster Kecemerlangan SK Rancha-Rancha muncul johan bagi kategori Tahap 2 dan Tahap 1 dalam pertandingan Bercerita Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan 2019 yang berlangsung di dewan terbuka dan pusat sumber sekolah, SK Rancha-Rancha, W.P Labuan. Dengan kejayaan itu, kedua-duanya akan mewakili Labuan ke peringkat Kebangsaan. Naib johan kategori Tahap 2 menjadi milik Ahmad Wafiq bin Mohd Redzuan dari SK Kerupang manakala ketiga murid SK Pekan 2, Iris Qasreena binti Mohamad Haszri. Bagi kategori Tahap 1, naib johan dimenangi murid SK Tanjung Aru, Auni Hannani binti Hasbudin dan tempat ketiga disandang Vanessa Trinity Jason yang mewakili SK St Anne. Ketua hakim pertandingan bercerita Tahap 1, Jamilah Ag. Kanak dan Rositah Abdul Rahman selaku ketua hakim Tahap 2. Barisan hakim Tahap 1 Fauziah Saamah dan Saripah Suip, manakala bagi Tahap 2 ialah Hasnan bin Mohd Saad dan Norailing Vou. Pengerusi Teknik bagi pertandingan ini ialah Norliah Abd Gapar sementara SK Rancha-Rancha merupakan pengelola pertandingan itu. Sebanyak 16 buah sekolah rendah dengan 16 peserta Tahap 1 dan 16 peserta Tahap 2 menyertai pertandingan ini. Ketua Unit Kokurikulum, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan (SPPK) JPNWPL, Jaafar Hj Matusin menyampaikan hadiah kepada pemenang. Turut hadir Penolong Pengarah Unit Kelab Persatuan, SPPK JPNWPL, Asmawi Hj Ahmad dan Guru Besar SK Rancha-Rancha, Norinnie binti Kassim.
27 Kertas Kajian Tindakan Dibentangkan Di Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2019
Labuan – SATU Kolokium
Kajian Tindakan Peringkat Negeri W.P.Labuan telah diadakan pada 23 Ogos 2019 di
Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Labuan. Kolokium Kajian Tindakan
ini merupakan satu program khusus untuk para pemimpin sekolah dan guru-guru
yang telah menyertai Bengkel Kajian Tindakan menggunakan Borang Inovasi 12
Langkah.
Bengkel Kajian Tindakan menggunakan Borang Inovasi 12 Langkah ini telah dijalankan sebanyak 2 fasa iaitu Fasa Perancangan & Pelaksanaan dan Fasa Penyediaan Slaid Pembentangan. Di dalam fasa 1, sebanyak 4 siri bengkel telah dijalankan iaitu siri 1 pada 31 Januari, siri 2 pada 18 Februari, siri 3 pada 26 Februari dan siri 4 pada 4 Mac. Manakala di fasa 2 pula, sebanyak 2 siri bengkel telah dijalankan iaitu siri 1 pada 4 & 5 Julai dan siri 2 pada 19 Julai 2019.
Borang Inovasi 12 Langkah yang digunakan dibengkel ini adalah borang inovasi yang dihasilkan oleh Puan Suriani Alland Oxley, School Improvement Specialist Coaches (SISC+) Labuan.
Borang Inovasi 12 Langkah ini merupakan borang yang mengandungi 12 soalan mudah bagi membantu peserta menjana idea mereka dalam menyelesaikan isu pengajaran dan pembelajaran (P&P), pengurusan panitia dan kepimpinan sekolah melalui strategi kajian tindakan.
Strategi kajian tindakan bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kualiti pedagogi, pengurusan dan kepimpinan guru dan pemimpin sekolah malah kajian tindakan membantu meningkatkan tahap profesionalisme mereka melalui amalan pembelajaran kendiri yang berilmiah.
Selain itu, kajian tindakan juga merupakan satu kaedah yang boleh dijadikan rujukan kerana kajian tindakan menyediakan data dan evidens sahih mengenai proses perubahan amalan pedagogi, pengurusan dan kepimpinan guru dan pemimpin sekolah yang terbaik.
Seramai 34 orang pembentang yang terdiri daripada 3 orang pengetua dari S.M.K Labuan, S.M.K Taman Perumahan Bedaun dan Sekolah Antarabangsa Labuan, 3 orang Guru Besar dari S.K Bebuloh, S.K Pantai dan S.K Tanjung Aru serta 28 orang guru dari Pusat Tingkatan 6 S.M.K Labuan, Penolong Kanan Kurikulum S.M.K Taman Perumahan Bedaun, S.K Bukit Kalam, S.K Layang-Layangan, S.J.K(C) Chi Wen, S.K Pekan Satu, S.K.K S.K ST Anne, S.K Pantai, S.K Pekan Dua, S.K Lubok Temiang dan Sekolah Antarabangsa Labuan telah membentangkan 27 kertas kajian tindakan di kolokium ini.
Gambar-gambar sekitar kolokium kajian tindakan
Selain daripada berkongsi dapatan, kajian tindakan para pembentang juga turut diberikan penilaian bintang emas, perak dan gangsa yang dinilai oleh 4 orang juri iaitu Puan Khaziyati Osman (Ketua Sektor Jaminan Kualiti) merangkap ketua juri, Puan Maimoon Matnoh (Ketua Sektor Pengurusan Sekolah), Encik Hasbollah bin Amit (Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan) dan Encik Awang Marten bin Hj Abdul Rahman (Ketua Penolong Pengarah BTPN).
Sebanyak 8 kertas kajian tindakan telah diberikan bintang emas, 13 bintang perak dan 6 bintang gangsa di kolokium ini.
Majlis perasmian penutupan dan penyampaian sijil Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Negeri W.P.Labuan telah disempurnakan oleh Tuan Raisin Bin Saidin, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Turut sama dimajlis ini ialah para jemputan yang terdiri daripada para pemimpin sekolah dan guru-guru di Labuan.
Encik Raisin Saidin berucap semasa majlis perasmian penutupan Kolokium Kajian Tindakan
SK Pekan Satu Muncul Johan Kalam Jamaie, dan Seni Khat Sempena Karnival Dakwah Sekolah-Sekolah (KDSS) WP Labuan
Labuan, 23 Ogos– Karnival Dakwah Sekolah-Sekolah (KDSS) peringkat Wilayah Persekutuan Labuan telah berlangsung pada 22 dan 23 Ogos 2019 yang lalu. Tiga acara telah diadakan sepanjang dua hari karnival ini berlangsung iaitu Kalam Jamaie, Seni Khat dan Khatam al-Quran Perdana bagi peserta-peserta sekolah rendah.
Sekolah Kebangsaan Pekan Satu menghantar penyertaan bagi ketiga-tiga acara iaitu seramai 25 orang murid mewakili pertandingan kalam jamaie, 2 orang murid mewakili pertandingan seni khat dan 2 orang mewakili acara khatam al-quran perdana di bawah bimbingan Puan Sanisah binti Zulkifle sebagai jurulatih utama dan guru pengiring.
Kumpulan Al-Hannan telah muncul johan bagi pertandingan Kalam Jamaie dan telah dipilih menerima hadiah kategori lirik terbaik. Kumpulan ini dianggotai oleh 25 orang murid yang diketuai oleh adik Nur Amna Ammiera binti Amiruddin sebagai konduktor pasukan. Kumpulan Al-Hannan mempersembahkan kalam jamaie bertajuk “Arriyadhotu” di bawah tema “Fil Mal’abi”.
Kejayaan ini telah melayakkan kumpulan Al-Hannan untuk mewakili Wilayah Persekutuan Labuan ke Karnival Dakwah Sekolah-Sekolah (KDSS) peringkat kebangsaan di Selangor Darul Ehsan pada Oktober depan.
Kumpulan Al-Hannan mendapat giliran pertama untuk memulakan pertandingan
Kejayaan terus dirai oleh peserta SK Pekan Satu apabila adik Mohd Luqman Hakim Bin Mohamad diumumkan sebagai johan bagi acara seni khat kategori lelaki sekolah rendah.
Kejayaan ini turut melayakkan adik Mohd Luqman Hakim Bin Mohamad untuk bersama kontinjen Wilayah Persekutuan Labuan ke KDSS peringkat kebangsaan nanti. Bagi pertandingan Seni Khat kategori perempuan sekolah rendah, adik Alya Mahirah Binti Wahid telah mendapat tempat ketiga.
Acara khatam al-quran perdana yang sememangnya merupakan acara tahunan ini telah disertai oleh adik Muhammad Azhad Irsyadee Bin Abd Danan dan adik Nur Fatin Madiha Binti Hamka bagi mewakili SK Pekan Satu. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua yang telah mewakili sekolah.
Diharapkan agar keberanian yang ditonjolkan dan kejayaan yang telah diperoleh oleh adik-adik ini menjadi penyuntik semangat kepada rakan-rakan yang lain untuk tampil ke hadapan mengasah bakat masing-masing. Semoga kejayaan ini menjadi platform terbaik untuk semua wakil SK Pekan Satu terus mencintai al-quran , Bahasa Arab dan seni khat.
Berita Oleh : SK Pekan Satu
MPSM LABUAN Sertai Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Negeri 2019
Labuan, 24 Ogos – Dua pengetua telah mewakili MPSM membentang di dalam Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Negeri yang telah diadakan pada 23 Ogos 2019 bertempat di Bilik Benua, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN).
Encik Ismail Abdullah, Pengetua SMK Labuan yang juga merupakan YDP MPSM Labuan telah membentang kajian tindakan bertajuk Meningkatkan Amalan PLC Dalam Kalangan Guru di SMK Labuan Dengan Menggunakan Strategi ‘I-LEAD’.
Menurut beliau, strategi ‘I-LEAD’ telah berjaya meningkatkan pelibatan guru dalam menjadikan PLC sebagai medium meningkatkan kualiti PdP dalam kalangan guru di SMK Labuan. Strategi ini juga telah memberi impak positif dalam meningkatkan prestasi akademik di SMK Labuan secara keseluruhan.
Puan Hajjah Jijah Mohamad Suhai pula membuat pembentangan bertajuk ‘Practice Makes Perfect’ dalam kolokium ini. Beliau merupakan pengetua di SMK Taman Perumahan Bedaun.
Dalam pembentangan tersebut beliau memberi fokus kepada kaedah terbaik meningkatkan kefahaman dalam kalangan murid Tingkatan 5 berkaitan tajuk ‘Bumi Sebagai Sfera’.
Sebelum pengenalan kaedah ini, murid-murid yang lemah menghadapi kesukaran dalam menguasai kandungan pembelajaran tajuk berkenaan. Beliau berusaha dari semasa ke semasa membuat kajian dan penambahbaikan dalam kaedah PdP dan akhirnya tercetus inovasi yang dinamakan ‘Practice Makes Perfect’.
Hasilnya, pembelajaran murid di dalam mata pelajaran matematik tingktan 5 terutamanya tajuk ‘Bumi Sebagai Sfera’ telah menjadi lebih mudah untuk difahami dan penguasaan murid meningkat.
Kolokium anjuran Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pendidikan W.P.Labuan ini pertama kali seumpamanya diadakan susulan daripada empat siri bengkel kajian 12 langkah Kajian Tindakan yang telah dikendalikan oleh ikon inovasi negeri Cik Suriani Alland Rice Oxley.
Kajian Tindakan yang dihasilkan oleh Encik Ismail bin Abdullah dan Puan Jijah Mohamad Suhai telah berjaya dianugerah pingat perak oleh para juri. MPSM berasa bangga dan mengucapkan tahniah atas pencapaian yang diraih oleh kedua-dua pengetua tersebut.
Perasmian penutupan kolokium kajian tindakan telah disempurnakan oleh Encik Raisin bin Saidin, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan W. P. Labuan.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua-ketua sektor, para pengetua dan para guru besar semua sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan termasuk LIS.
Berita Oleh : Encik Mohd Nizam Yasim, Pengetua SMK Mutiara
Encik Raisin Saidin (duduk tengah), Puan Khaziyati (kiri), Encik Ag Marten (kanan) bersama peserta kolokium
Program Tahsin Sahsiah Remaja Muslim, ‘Sucikan Dirimu’ SMK Mutiara Bantu Murid Menyucikan Diri Secara Tertib
Labuan – Seramai 158 murid-murid Tingkatan 4 dan 5 SMK Mutiara dibimbing secara amali di dalam Program Tahsin Sahsiah Remaja Muslim, Sucikan Dirimu yang telah diadakan di Surau Al Marjan, SMK Mutiara pada 23 Ogos 2019 lalu.
Program ini dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam SMK Mutiara. Menurut penyelaras program, Ustazah Siti Sarah, aktiviti ini dianjurkan untuk memberi pengetahuan dan kemahiran mandi wajib secara amali. Inisiatif ini diambil kerana hasil tinjauan mendapati ramai murid belum tahu tentang kaedah mandi wajib secara tertib.
Beliau juga mengucapkan terima kasih atas kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Bomba dan Kecemasan Labuan dalam menjayakan program ini.
Sebelum sesi amali, satu sesi ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Abdull Basir Bin Mahadi dari JAWI Labuan. Dalam ceramah beliau, Ustaz Abdull Basir telah menekankan konsep kebersihan dan kesucian terutamanya dalam melaksanakan ibadat kepada Allah dan kehidupan seharian.
Ustaz Abdull Basir bin Mahadi sedang menyampaikan ceramah berkaitan konsep kebersihan dan kesucian
Program bimbingan dilaksanakan secara berasingan antara murid-murid lelaki dan murid-murid perempuan.
Peserta-peserta yang ditemui telah melahirkan rasa teruja dalam melaksanakan amali tersebut. Mereka merasakan program ini sangat berguna terutama kepada golongan remaja dalam proses ‘menyucikan diri’. Hal ini kerana kebanyakan remaja merasa malu untuk bertanya tentang hal ini walaupun kepada ibubapa sendiri. Mereka berharap agar program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang demi kebaikan murid-murid.
Program diakhiri dengan Solat Taubah secara berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Abdull Basir.
Berita Oleh : SMK Mutiara
SKK ST Anne Rangkul Anugerah Emas Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) 2019
Labuan, 24 Ogos – Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) merupakan salah satu daripada aktiviti kokurikulum berimpak tinggi kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Sasbadi Holdings Berhad yang memberikan penekanan terhadap aspek inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar melalui pembelajaran berasaskan pengalaman yang menarik dan menyeronokkan.
Pertandingan ini menggalakkan murid
mengaplikasikan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) serta pelbagai strategi
untuk mereka bentuk dan membina robot yang hebat, seterusnya dapat mempromosi
inovasi dalam bidang sains dan teknologi di semua sekolah.
SKK SK St. Anne telah menghantar tiga
pasukan bagi menyertai pertandingan yang amat berprestij ini. Ketiga-tiga
pasukan ini menyertai “Regular Category (PRO) – Primary School (Smart Passenger
Transport) dan dibimbing oleh Cikgu Diana Farahdilla dan Cikgu Kamaliah.
Berikut merupakan pencapaian yang diperolehi oleh pasukan SKK SK St. Anne;
ANUGERAH EMAS
Alden Daniel Ronnie Pett
Jonathan Abel Jeffrey
Love Valentina Almodiel
ANUGERAH PERAK
Derwin Poh Chun Teck
Joycee Diedree Jostelen
Nur Maisarah binti Suwardi
ANUGERAH GANGSA (TEMPAT KELIMA)
Mohammad Carlos Raqeem bin Mahathir
Nur Izyan Qairina binti Tarmiji
Lana Aelviella Peter Charles
Pasukan yang berjaya mendapat ANUGERAH PERAK. Tahniah!
Pasukan yang berjaya mendapat ANUGERAH EMAS
dalam pertandingan ini akan mewakili WP Labuan ke peringkat kebangsaan. Semoga
program NRC ini dapat dijalankan secara berterusan untuk tahun-tahun yang
mendatang supaya terus dapat dimanfaatkan sepenuhnya supaya matlamat
kemenjadian murid dapat direalisasikan.
SKK Rancha-Rancha mendapat Anugerah Emas Kategori Regular (Rookie) Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) Peringkat Negeri W.P Labuan
LABUAN, 24 Ogos – Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) SK Rancha-Rancha mendapat Anugerah Emas Kategori Regular (Rookie) Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) Peringkat Negeri W.P Labuan kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Sasbadi Holdings Berhad yang telah diadakan pada 24 Ogos 2019 bertempat di Dewan Konvensyen Kompleks Ujana Kewangan. Dengan kejayaan itu, SKK SK Rancha-Rancha membawa pulang plak, sijil dan pingat emas bagi setiap peserta. Peserta ialah Luqman Hafiz bin Abd Ghaffar, Adi Zackwan bin Zanki Maududi dan Muhammad Haikal bin Asmadi. Jurulatih dan guru pengiring ialah Encik Heveldy bin Morudin dan Puan Setia Pautas.
Guru besar SKK SK Rancha-Rancha, Puan Norinnie binti Kassim mengucapkan tahniah atas kejayaan pasukan itu dan berharap agar terus berjaya dalam pertandingan yang akan datang. Penutupan dan majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Encik Jaafar bin Hj Matusin, Ketua Unit Kokurikulum, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPN W.P Labuan. Turut hadir Encik Aminuddin bin Abd Malek, dari JPN W.P Labuan dan Ustaz Abdul Kahar bin Abdul Rahim, PK Ko-kurikulum SK Sg Lada.
The Makers Sempena Karnival Robotik Matrikulasi ‘ROBOTRIX 2019’ Peringkat Kebangsaan
Labuan, 25 Ogos 2019 – Sekolah kebangsaan Pekan Satu telah dinobatkan sebagai Johan The Makers sekolah-sekolah peringkat kebangsaan sekali gus merangkul pingat emas.
Pertandingan The Makers yang berlangsung di Dewan Mutiara, Matrikulasi Labuan berjaya mencungkil bakat dan keyakinan murid dalam berucap dan menerangkan di hadapan orang ramai.
Projek inovasi yang dibentangkan iaitu F.W.E Cleaner merupakan satu projek yang menguji Kemahiran Proses Sains (KPS) murid dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kalangan murid.
Seramai empat orang peserta telah mewakili Sekolah Kebangsaan Pekan Satu dalam pertandingan ini iaitu Al Basri bin Hasby (4 Bestari), Siti Nadzwiya Nadzwa binti Nadir (4 Bestari), Muhammad Armah Khan bin Amin Khan (4 Bestari) dan Arisa Ariana (4 Bestari) di bawah bimbingan Cik Izasyahira binti Duasah dan Puan Asbaidah binti Tahir sebagai jurulatih utama dan guru pengiring.
Dari kiri Al Basri bin Hasby, Siti Nadzwiya Nadzwa binti Nadir, Muhammad Armah Khan bin Amin Khan dan Arisa Ariana.
Kejayaan yang diraih adalah satu kejayaan yang membanggakan kerana ini merupakan pengalaman kali pertama murid dalam menyertai pertandingan inovasi. Kejayaan yang diperoleh juga memberi dorongan kepada murid untuk lebih yakin dengan kebolehan diri dan menilai kekurangan untuk menambahbaik projek yang mereka jalankan. Diharapkan peluang menyertai pertandingan inovasi The Makers ini berjaya membuka minda dan minat murid ke arah pembudayaan pemikiran inovatif.
Ringkasnya, pertandingan-pertandingan yang dianjurkan merupakan salah satu peluang untuk guru-guru melatih dan mengilap bakat murid bagi membentuk kemenjadian murid dari usia muda. Diharapkan pengalaman yang murid peroleh dapat menjadikan murid lebih bersedia bagi menghadapi persaingan yang lebih hebat di peringkat yang lebih tinggi kelak. Syabas dan tahniah kepada para peserta kerana berani menyahut cabaran yang diberikan.
Murid dan guru pengiring bersama-sama dengan juri pertandingan.Murid bersungguh-sungguh membentangkan projek inovasi F.W.E Cleaner kepada para juri.
SMK Mutiara Johan Pertandingan Grafik Keselamatan Jalan Raya
Labuan, 23 Ogos – SMK Mutiara berjaya merangkul tempat pertama dalam pertandingan grafik keselamatan jalan raya anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Labuan. Pertandingan ini terbuka kepada sekolah-sekolah menengah yang menawarkan ko-kurikulum JPJ sebagai aktiviti badan beruniform di sekolah.
Setiap penyertaan diwajibkan menghasilkan satu poster berbentuk grafik yang berkonsepkan keselamatan jalan raya. SMK Mutiara tampil dengan imej grafik berkonsepkan bahaya menggunakan telefon bimbit semasa pemanduan. Poster tersebut telah membawa tuah kepada SMK Mutiara yang berjaya mengatasi SMK Labuan di tempat kedua dan SM ST. Anthony di tempat ketiga.
SMK Mutiara diwakili oleh Adik Mohamad Aswatul Zikrullah Bin Mohd Ayub dan Adik Abzan Shah Bin Abel, murid tingkatan 2 sekolah ini. Manakala tiga orang pelajar lagi ialah Ahmed Syazwi Najmi Bin Ahmad Nawati, Muhammad Mifzal Bin Mohd Rafi dan Mohamed Affizie Bin Sawang @ Rizal dari Tingkatan 3.
Semasa ditemui, adik Aswatul Zikrullah memberitahu mereka mengambil masa dalam masa seminggu untuk menghasilkan poster tersebut. Idea timbul daripada pemerhatian seharian mereka di mana sikap pemandu yang asyik menggunakan telefon bimbit sering menyumbang kepada kemalangan jalan raya.
Mereka juga mengucapkan terima kasih kepada guru-guru pembimbing yang begitu komited dalam membantu penghasilan poster tersebut. Guru tersebut Ini termasuklah Cikgu Ilias Bin Zakaria dan Cikgu Rohani Binti Tali @ Md Ali (Guru Penasihat Kadet JPJ SMKM), Cikgu Mohd Asrul Bin Jais (grafik) dan Cikgu Felix Heng Yong Yuen (mencetak). Cik Debbie Lawrence pula membantu membuat terjemahan idea ke dalam bahasa inggeris. Adik Aswatul Zikrullah juga menekankan prinsip kerjasama telah membuahkan hasil dan menyifatkan kemenangan ini merupakan kemenangan SMK Mutiara secara keseluruhan.
Peserta pertandingan grafik keselamatan jalan raya bergambar kenangan bersama Pengarah JPJ.
Johan pertandingan membawa pulang hadiah wang tunai RM250, tropi dan sijil kemenangan selaku johan dalam pertandingan ini. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Pengarah JPJ Labuan yang diadakan serentak dengan Majlis Perhimpunan Bulanan JPJ.
Turut hadir di dalam majlis tersebut ialah Encik Aminuddin Abdul Malek, Penyelia Kanan Pasukan Badan Beruniform selaku wakil rasmi Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan W.P.Labuan.