KPPM : Inovasi Bantu Memudahkan Pembelajaran Murid

Labuan, 27 Apr – ” Inovasi adalah salah satu cara pendekatan yang dapat membantu memudahkan pembelajaran dan perkembangan murid “, demikian ucapan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Amin bin Senin semasa merasmikan Karnival ‘Mai Tah Bainovasi’ WP Labuan Peringkat Kebangsaan 2019 yang berlangsung di ruang legar Ujana Kewangan, Labuan hari ini.

Beliau berkata, guru harus menggunakan cara dan pendekatan berbeza termasuk mencipta inovasi dalam mentansformasikan pendidikan dengan menitikberatkan pembelajaran berorientasikan perkembangan murid, bukan setakat menghabiskan sukatan mata pelajaran semata-mata.

Pendekatan sistem pendidikan sekarang agak berbeza berbanding sebelumnya kerana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menekankan aspek pembinaan watak dan sahsiah murid.

Justeru katanya, guru perlu beralih daripada memfokuskan kecemerlangan keputusan peperiksaan kepada pembelajaran berasaskan perkembangan murid.

Pada tahun ini penyertaan dalam Pertandingan Inovasi Guru (TIC) meningkat, iaitu 115 inovasi berbanding penyertaan 73 inovasi pada tahun 2018.

Pertandingan Inovasi Guru melibatkan peserta dari negeri Sabah, Sarawak, Perak, Selangor, Terengganu, Johor, WP Kuala Lumpur dan WP Labuan sendiri, di mana inovator terdiri daripada guru-guru dan pensyarah-pensyarah IPG, Matrikulasi mahupun Universiti.

Peserta dari Sarawak sedang memberi penerangan ciptaan inovasi mereka kepada Datuk Dr. Amin Senin

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Saidin dalam ucapan aluan berkata karnival ini mampu menjadi medan percambahan ilmu, membina karakter pendidik untuk sentiasa hidup mendidik dengan seronok melalui inovasi dan kreativiti.

Encik Raisin Saidin juga sentiasa mengingatkan semua guru agar memastikan roh guru sentiasa mendarah daging dalam setiap diri guru, yang matlamat akhirnya ialah kemenjadian anak-anak murid Labuan.

Karnival Mai Tah Bainovasi @ Labuan ini mengandungi tiga aktiviti utama iaitu Jom KICK (Kongsi Inovasi, Cerita Kreativiti), Pertandingan Inovasi Guru (TIC- Teachers Innovation Competition) dan Santai Seni BuNT (Bunyi, Nyanyi dan Tari).

Datuk Dr. Amin Senin juga berkesempatan menyampaikan hadiah kepada Ikon Guru, Guru Inovatif dan Guru Adiwira PAK21 sempena sambutan Hari Guru Tahun 2019.

Cikgu Rahman bin Jaafar dari SK Pekan Dua telah dinobatkan sebagai Ikon Guru Sukan, Cikgu Jasmini binti Daud , guru SMK Rancha-Rancha dipilih sebagai Ikon Guru Seni, Manakala Ustaz Abdul Kahar, guru SK Pantai memenangi kategori Ikon Guru Kokurikulum.

Anugerah Kategori Guru Inovatif pula dianugerahkan kepada guru SK Pekan Dua, Cikgu Jesste Valentine Stidi (Kategori Sekolah Rendah), Cikgu Mohd Azlan bin Mohd Rani, guru SMK Labuan (Kategori sekolah Menengah ) dan kategori kumpulan telah dimenangi oleh SMK Taman Perumahan Bedaun yang terdiri dari Cikgu Juraidah Aman, Cikgu Ahmad Fitry Ismail dan Cikgu Gabriel Chin Vui Wen.

Anugerah Guru Inovatif Berkumpulan 2019 : SMK Taman Perumahan Bedaun
Datuk Dr Amin Senin menyampaikan sijil kepada salah seorang Guru Adiwira PAK21, Cikgu Yahya dari SM Sains Labuan

Pada sebelah petang berlangsung majlis penutupan dan penyampaian hadiah yang telah disempurnakan sendiri oleh Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin.

Dalam ucapan penutupan, beliau mengucapkan setinggi penghargaan kepada para inovator kerana sudi berkolaboratif dengan Jabatan Pendidikan WP Labuan untuk menyemarakkan daya kreativiti seterusnya membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dalam bilik darjah kepada murid-murid.

Encik Raisin Saidin menyarankan agar program ini dapat diperluaskan kepada murid-murid. Ini akan menggalakkan pula murid-murid menghasilkan inovasi seterusnya mengongsikan inovasi mereka dengan murid-murid lain. Hal ini akan menjadi pemangkin kepada kemenjadian murid secara menyeluruh.

Inovasi yang telah memenangi Pingat Emas dan Anugerah Platinum ialah Project Introduction Supporting Materials (PRISM) : Transforming Students Perceptions Towards Learning Chemistry, Ketinting SuKa, Islamic Maths Game, Rotactor Gold, Celik Abjad dan Mobile Wudhu.

Karnival ini diterajui oleh Sektor Jaminan Kualiti, yang diketuai oleh Ketua Sektor, Puan Khaziyati Osman.

Encik Raisin Saidin menyampaikan piala kepada pemenang Anugerah Emas dan Platinum
Encik Raisin Saidin menyampaikan piala kepada pemenang Anugerah Emas dan Platinum
Gambar kenangan Datuk Dr Amin Senin, Encik Raisin Saidin, Encik Mohd Idris bersama Ketua-ketua Sektor Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan



Hari Keusahawanan SKLL tingkat Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta

Labuan – Selari dengan anjakan ke 9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, Hari Keusahawanan Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan WP. Labuan telah berjaya memperluas serta meningkatkan pelibatan ibu ba­pa, komuniti dan sektor swasta dalam bidang pendidikan keusahawanan.

Guru Besar sekolah ini, Hajah Dayang Saidah Bte Hj Md
Yassin berkata, “Hubungan baik yang diwujudkan antara gu­ru dan ibu bapa,
komuniti serta pi­hak swasta menerusi program se­begini seharusnya menjadi
contoh kepada semua dalam merealisasikan agenda pendidikan negara”.

Karnival sehari anjuran bersama Unit Hem dan PIBG yang diketuai oleh Cikgu Tuan Mohd. Edzuwan Bin Tuan Mohd. Raffi, Pengerusi Kelab Kebajikan Guru sekolah ini telah dirasmikan oleh YBhg. Tuan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Encik Raisin Saidin di Dewan Surapit SK. Layang-Layangan WP. Labuan.

Dalam ucapannya, Encik Raisin Saidin berkata “Melalui pelibatan semua pihak yang berkepentingan dalam bidang pendidikan ini, diharap dapat menjalin silaturrahim yang baik di samping mengumpul dana bagi mengisi tabung Per­­satuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk pembangunan seko­lah”.

Turut menyantuni undangan ke majlis ini ialah YBhg. Tuan Ismuni Bin Bohari, Pengarah Kesihatan Negeri WP. Labuan, En. Jumadi Bin Kastari YDP PIBG SK. Layang-Layangan, Puan Zaleha Bte Salleh Pegawai Meja PIBK Negeri, PDRM, AADK dan Ketua Kampung Sg. Labu.

Para tetamu minum susu Ducth Lady 

Karnival yang disekalikan dengan program 3K iaitu Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan ini dapat memberi impak dan kesedaran kepada masyarakat dan murid-murid sekolah ini betapa pentingnya melestarikan anugerah alam dan menjaga kebersihan persekitaran dan mengutamakan kesihatan dan keselamatan.

Program ini berjaya mendapat pelbagai sumbangan dan
tajaan daripada pelbagai agensi terma­suk pihak PIBKK, Dutch Lady, PDRM, SSPN,
AADK, Bank Rakyat, Jabatan Kesihatan, Labuan Soceity, Jabatan Alam Sekitar,
Jabatan Penerangan dan masyarakat setempat turut memberikan sokongan padu de­ngan
menyertai aktiviti gerai jualan, menyaksikan pameran agensi kerajaan dan
membeli produk jualan warga sekolah.

Pelbagai aktiviti turut dijalankan antaranya Minum Susu Ducth Lady beramai-ramai, pameran NGO, pemeriksaan kesihatan percuma, Jualan Amal, Bekam, pertandingan mewarna Ibu dan Anak yang disertai seramai 80 peserta, Karaoke, Sukaneka dan Senamrobik, Pertandingan Masakan dan Gubahan Tuala, Rumah Hantu serta fenomena Beyblade yang disertai seramai 170 orang peserta dan 13 buah gerai jualan pelbagai menu menyemarakkan lagi Karnival Hari Keusahawanan SKLL.

Sebelum itu para VIP telah menanam pokok betik sebagai tanda perasmian Sekolah Lestari Alam Sekitar yang mana sekolah ini akan turut bertanding di peringkat negeri begitu juga pelibatan sekolah dalam petandingan Patrol Dangue.

Dalam pada itu perasmian Bilik PIBK SK. Layang-Layangan juga telah disempurnakan oleh YBhg. Tuan Pengarah, Encik Raisin Saidin. Beliau begitu teruja melihat pameran dan kagum dengan usaha pihak sekolah dapat menyediakan bilik yang selesa untuk kegunaan Ibu Bapa dan Komuniti.

Semoga usaha menarik minat usahawan muda dan Ibu Bapa oleh guru-guru dapat membuka mata dan minda warga SKLL supaya mendidik masyarakat tentang erti  berdikari dan terus berusaha.

Berita Oleh : SK Layang-Layangan

Perasmian Bilik PIBK SK. Layang-Layangan oleh Encik Raisin Saidin
SSPN antara yang mengikuti pameran dan promosi menabung



Guru, Obor Hemah Menyinar Pertiwi

Labuan – Lebih 1,200 golongan pendidik di Labuan diraikan dalam majlis Sambutan Hari Guru 2019 yang bertemakan “Guru, obor hemah menyinari pertiwi” yang berlangsung di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan, sabtu lalu.

Majlis telah disempurnakan oleh Dato’ Sri Haji Amir Bin Haji Hussien, Pengerusi Perbadanan Labuan.

Dato Sri Amir Hj Hussin berkata dengan tema sambutan hari guru pada tahun ini Guru Obor Hemah Menyinari Pertiwi amat signifikan dalam membina kerangka negara yang bertamadun.

Tambah beliau objektif membangunkan modal insan yang holistik dapat direalisasikan dengan kelangsungan pelan pembangunan pendidikan malaysia 2013-2025.

Beliau berharap dengan pelan pendidikan itu berupaya membina sebuah negara melalui sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan menzahirkan ucapan Terima Kasih Cikgu di atas pengorbanan dan dedikasi yang ditunjukkan dalam mendidik anak bangsa untuk mencapai kejayaan dengan penuh cabaran.

Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua guru yang telah berjaya membawa nama Labuan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Apa pun kejayaan yang dikecapi oleh guru, sebenarnya hala tuju akhirnya perlu dibalas dengan kemenjadian dan peningkatan kualiti anak-anak murid kita”. Encik Raisin Saidin

Ikrar Hari Guru Oleh Guru-Guru Sekolah Kebangsaan Bebuloh

Mantan Guru Besar SK Pantai, Cikgu Jumat Latip telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Peringkat WP Labuan Tahun 2019.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan koir hari guru oleh SK Pantai yang sungguh menarik perhatian ramai, selain anugerah anak guru cemerlang, deklamasi puisi, gimik dan multimedia hari guru 2019.

Jabatan Pendidikan menzahirkan setinggi penghargaan terima kasih kepada Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam di atas sumbangan yang cukup bermakna kepada tokoh guru dan guru inovatif 2019.

Turut hadir dalam majlis tersebut Tuan Haji Zaidi Yazid Pengarah Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Ketua-Ketua Sektor, para Pengetua, Guru Besar, PIBG, PIBK, agensi kerajaan dan agensi swasta, Pegawai Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Islam.

Setinggi penghargaaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Persatuan Pesara Guru Labuan yang turut hadir memeriahkan majlis Sambutan Hari Guru 2019.

Encik Jumat Latip bersama Persatuan Pesara Guru Labuan
Guru-guru ceria menunjukkan kreativiti dengan menzahirkan Selamat Hari Guru dengan menggunakan telefon bimbit
Warga SK Pantai Johan penampilan Hari Guru 2019 bersama tokoh guru 2019
Encik Raisin Saidin menyampaikan Anugerah Anak Guru Cemerlang kepada anak beliau sendiri
Gambar kenangan Guru Besar bersama Dato’ Sri Haji Amir



Pelancaran Gerakan Massa : Terima Kasih Cikgu

Labuan 22 April : Majlis Pelancaran Gerakan Massa, Terima Kasih Cikgu Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan sempena Sambutan Hari Guru 2019 telah diadakan di pentas terbuka Dataran Anggerik, Ujana Kewangan pada Jumaat lepas yang telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Saidin.

16 Mei disambut bagi tujuan mengenang jasa bakti dan pengorbanan para guru dalam mencurahkan ilmu dan kesungguhan memberi tunjuk ajar mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa, dan negara.

Program Gerakan Massa, Terima Kasih Cikgu ini merupakan pra pelancaran kepada sambutan Hari Guru 2019 dan sambutan tahun ini cukup bermakna kerana ia juga diusahakan bersama persatuan ibu bapa dan komuniti (PIBK). Ini menunjukkan bahawa pendidikan adalah milik semua dan tanggungjawab semua.

Semasa ucapan perasmian, Encik Raisin Saidin berkata beliau amat bersyukur dan berterima kasih atas sokongan padu yang diberikan oleh semua warga pendidik, termasuk PIBK terhadap usaha dan inisiatif dalam memartabatkan pendidikan negara.

Guru memikul satu tanggungjawab yang besar dalam memupuk perpaduan serta mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatan negara melalui sistem pendidikan. Encik Raisin Saidin

Konvoi Terima Kasih Cikgu dengan menggunakan motorsikal berkuasa tinggi oleh PIBK Labuan

Sungguhpun jasa dan bakti guru sukar untuk dibalas, namun sebagai imbalan yang wajar kepada jasa-jasa guru, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada usaha untuk memartabatkan profesion keguruan.

Dalam konteks ini, pelbagai anugerah dan penghargaan dalam perkhidmatan telah dirangka oleh pihak Kementerian untuk mempertingkatkan profesionalisme keguruan termasuklah mempromosi kejayaan guru di dalam dan di luar negara.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk memajukan pendidikan di Malaysia melalui pembudayaan amalan pendidikan yang berteraskan kegembiraan, kasih sayang dan saling hormat-menghormati dalam membangunkan sahsiah ke arah kemenjadian murid.

“Program Ziarah Cakna misalnya cukup bermakna kerana ia memperkukuh hubungan antara sekolah dengan ibu bapa melalui amalan ziarah guru ke rumah murid untuk bertanya khabar ibu bapa mahupun penjaga” Encik Raisin Saidin.

Program Ziarah Cakna Perluas Konsep Sekolah Penyayang

Gabungan Jabatan, Sekolah, PIBG, PIBK dan Tadika Swasta dalam menjayakan Gerakan Massa, Terima Kasih Cikgu 2019



APC 2018 JPWPL : Perkhidmatan Cemerlang, Integriti Dijulang

Labuan, 17 April :  Seramai 118 orang dari ibu pejabat dan sekolah di wilayah ini telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018, peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan di Dewan SJK(C) Chung Hwa Labuan, pada selasa lalu.

Majlis ini diadakan setiap tahun, untuk menghargai dan mengiktiraf pegawai-pegawai KPM yang telah memberi perkhidmatan cemerlang berdasarkan prestasi tahunan dalam melunaskan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

APC 2018 telah disampaikan sendiri oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin.

Beliau menzahirkan ucapan syabas, tahniah dan terima kasih atas kecemerlangan yang ditunjukkan, hasil daripada kerja keras, ketekunan dan kecekalan dalam menjalankan tugas kepada semua penerima APC 2018.

Dalam ucapan beliau, majlis penganugerahan ini berupaya untuk membentuk sinergi padu dan berterusan dalam usaha untuk terus membangunkan artikulasi pendidikan bagi melahirkan insan terdidik.

“Saya menyeru agar kita membulatkan azam, tekadkan semangat dan tetap istiqamah dalam melakukan penambahbaikan berterusan bagi memastikan kecemerlangan perkhidmatan awam pada hari-hari yang mendatang”. Encik Raisin Saidin.

Encik Raisin Saidin menyampaikan sijil APC 2018 kepada Tuan Haji Razak

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua warga jabatan dan sekolah yang terus-menerus menyumbangkan khidmat bakti tanpa mengira masa dan tenaga dalam mempertingkatkan prestasi jabatan.

Tema APC Tahun 2018 ialah “Perkhidmatan Cemerlang, Integriti Dijulang”, bertepatan dengan salah satu fokus negara untuk memastikan integriti dan elemen pencegahan rasuah menjadi tunjang kepada tadbir urus.

Sekalung tahniah dan terima kasih kepada barisan urus setia serta semua pihak yang telah menjayakan APC 2018.




Dr Hyginus Menang Anugerah Ikon Inovasi World Invention Intellectual Property Associations (WIIPA) , Taiwan

Labuan : Dr Hyginus Lester Junior Lee, Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+), Jabatan Pendidikan Labuan melakar sejarah dengan kejayaan memenangi Anugerah Ikon Inovasi kategori Mentor Inovasi dalam acara rasmi World Invention Intellectual Property Associations (WIIPA), sebuah organisasi yang berpusat di Taipei City, Taiwan.

International Innovation, Creativity and Technology Exhibition 2019 (i2CreaTE) yang berlangsung di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur pada 12-14 April 2019 telah dianjurkan bersama oleh World Invention Intellectual Property Associations (WIIPA), Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Perlis (JHEPA UniMAP).

Calon dikehendaki mengemukakan eviden penyertaan aktif dalam program-program inovasi dan penyelidikan sepanjang tahun 2015 hingga 2019. Pemilihan pemenang telah dibuat oleh panel pakar yang dilantik.

Pencarian Ikon Inovasi terbahagi kepada empat kategori iaitu Ikon Cilik (sekolah rendah), Ikon Remaja (sekolah menengah), Ikon Varsiti (institusi pengajian tinggi) dan Mentor Inovasi (guru sekolah rendah dan menengah).

Penganugerahan diadakan dalam majlis perasmian penutup yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis.

Dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah, Hyginus telah bertugas sebagai Guru Cemerlang Bahasa Inggeris serta Guru Kanan Bidang Kreativiti dan Inovasi di Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara. Beliau bergiat aktif dalam inovasi dan penyelidikan sejak tahun 2010.

Beliau mula berkecimpung dalam bidang ini setelah didorong oleh mantan pengetua beliau, Hajah Zamzam Haji Abdul Rashid, yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk menghasilkan produk bagi membantu meningkatkan penguasaan serta minat murid dalam bahasa Inggeris.

Inovasi pertama beliau adalah SMARTies: Simple, Meaningful and Rewarding Test: I am an English Specialist. Inovasi ini pernah memenangi Anugerah Guru Inovatif Mutiara pada tahun 2010 dan johan peringkat negeri Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2011.

Kemudiannya, inovasi itu telah dipertandingkan dalam The 20th MELTA International Conference Creative Teacher Showcase di Terengganu dan mendapat anugerah gangsa.

SMARTies turut dibentangkan dalam The 9th Asia TEFL International Conference di Seoul, Korea Selatan dan The 1st Indonesia International Conference on Linguistics, Language Teaching and Culture, Universitas Pamulang, Indonesia.

Inovasi I SPY 5 Stars beliau pula memberi fokus kepada cara mudah dan berkesan untuk menguasai elemen tatabahasa ‘subject-verb agreement’.

Inovasi itu telah memenangi Anugerah Guru Inovatif peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, Anugerah Khas Inovasi dan Kreativiti Hari Guru, Inovasi Terbaik Program Jejak Inovasi Negara 2012, 21st MELTA International Conference Creative Teacher Showcase Silver Award, Anugerah Khas Pengaran Pendidikan, Inovasi Generasi Muda Terbaik 2012-2013, dan Asia TEFL (Korea) Travel Grant Award 2013.

Kajian tindakan keberkesanan inovasi I SPY 5 Stars telah dibentangkan dalam The 11th Asia TEFL International Conference di Ateneo de Manila University, Filipina, Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia dan The 4th MELTA International Research Conference in English Language Education.

Atas usaha penambahbaikan, Hyginus memperkenalkan lagi I SPY 5 Stars Version 2.0. Kajian terhadap inovasi itu telah dibentang di 2015 Applied Linguistics Association of Korea (ALAK) International Conference di Chung-Ang University, Korea Selatan, 1st Creative and Innovative English Language Teaching Seminar 2016, dan 2nd Creativity and Innovation Exhibition & Language Teaching Seminar 2017 serta Labuan International Conference on Educational Research 2017.

Pada tahun 2015, beliau mengetuai pasukan inovatif SMK Mutiara bersama Noor Hasimah Mohd Ayub dan Nor Adliana Ahmad Basaruddin, dan berjaya menghasilkan Kit Pengurusan Panitia.

Inovasi itu mampu membantu ketua-ketua panitia mata pelajaran di sekolah untuk mengurus dan merekod maklumat guru, panitia serta kurikulum dengan lebih sistematik dan mudah diakses.

Pada tahun 2016, beliau telah membantu guru bukan opsyen bahasa Inggeris mengajar murid lemah untuk mengenal pasti kedudukan subjek, kata kerja, objek dan predikat dalam ayat serta teknik pembinaan ayat mudah dengan betul dan bermakna.

Kesungguhan beliau bersama Norzuliana Abd Hamid telah menghasilkan SuVA Game dan SuVA Grammar Cards. Mereka turut memenangi Anugerah Guru Inovatif.

Usaha berterusan beliau membantu golongan pendidik telah diiktiraf dengan menerima Anugerah Warga Pendidikan Kreatif dan Inovatif, Anugerah Khas Guru Pembimbing Inovasi, Anugerah Galakan Inovasi Pemimpin di Sekolah, dan Anugerah Khas Sokongan Inovasi pada tahun 2017.

Tahun 2018 melihat pembangunan terbaharu inovasi beliau dengan ciptaan I SPY 5 Starflowers yang memudahkan pengusaan tatabahasa ‘subject-verb agreement’ dan ‘plural nouns’ dalam bentuk kelopak bunga.

Idea itu telah mendapat kerjasama profesional daripada Ketua Panitia Bahasa Inggeris SMK Mutiara Cik Debbie Lawrence dan Ketua Pentaksir ULBS Sekolah Onnia Ahngol.

Perkongsian amalan terbaik mereka dibentang dalam The 3rd International Creativity and Innovation Exhibition & Language Teaching Seminar 2018.

Hyginus dianugerahkan Tokoh Penyelidikan dan Inovasi, Commendation for Research and Innovation 2018 serta Anugerah Khas Pengarah Pendidikan.

Kemahiran pementoran Hyginus terserlah apabila pasukan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) sekolah beliau buat julung kalinya menyertai Pertandingan KIK peringkat negeri dan memenangi tempat ketiga untuk ciptaan Sistem e-Merit Mutiara (SeMMut), sebuah platform pengisian markah merit murid untuk sumbangan kurikulum, kokurikulum dan sahsian peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan.

Inovasi SeMMut memenangi Anugerah Pilihan Hakim dalam The 3rd International CAIELTS 2018 dan Anugerah Inovasi Organisasi.

Hyginus juga membimbing Panitia Bahasa Melayu SMK Mutiara dalam penghasilan inovasi ‘Rogaba’ untuk komponen kesusasteraan yang memenangi Anugerah Pilihan Hakim Pertandingan Kreativiti dan Inovasi Karnival Keusahawanan PIBG 2018.

Sebagai Guru Kanan Bidang Kreativiti dan Inovasi, beliau mengadakan sesi Pembelajaran Profesional Komuniti (Professional Learning Community – PLC) dua kali setiap bulan dan melibatkan kesemua panitia di sekolah.

Keberhasilan PLC yang telah dijalankan berjaya melahirkan 10 inovasi panitia di mana 10 inovasi itu bertanding dalam pertandingan kreativiti dan inovasi peringkat negeri serta dibentangkan dalam Seminar Kajian Tindakan Panitia 2019 baru-baru ini.

Justeru, Hyginus merakamkan penghargaan kejayaan penganugerahan Mentor Inovasi itu kepada Pengarah Pendidikan Labuan Raisin Saidin, Ketua Sektor Jaminan Kualiti Khaziyati Osman dan mantan Pengetua SMK Mutiara, Louren Abon atas sokongan dan dorongan mereka.

Beliau adalah Ikon Guru Labuan 2014 dan Ikon Guru Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia 2015 dan merupakan penerima Bett Asia 2016 Global Citizen Award.

Graduan Victoria University of Wellington (Sarjana Muda Pendidikan TESOL), Universiti Utara Malaysia (Sarjana Pendidikan) dan Universiti Malaysia Sabah (Doktor Falsafah) ini sekarang bertugas sebagai Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) bermula April 2019.

i2CreaTE 2019 Kuala Lumpur disertai oleh 12 negara. World Invention Intellectual Property Associations (WIIPA) mempunyai keahlian daripada 26 negara yang terdiri daripada persatuan-persatuan inovasi, sekolah, dan organisasi berkaitan termasuk Brazil, Kanada, Croatia, Mesir, Hong Kong, Indonesia, Iran, Itali, Jepun, Korea, Macau, Malaysia, Myanmar, Filipina, Poland, Qatar, Romania, Saudi Arabia, Singapura, Sri Lanka, Thailand, Turki, Emeriah Arab Bersatu, Amerika Syarikat, dan Vietnam.




Perhimpunan Bulanan JPWPL, April 2019 : PBPPP, Pemangkin Kecemerlangan Guru

Labuan, 17 April : Perhimpunan Bulanan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bagi bulan April telah diadakan kelmarin, bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin dalam ucapan amanatnya berkata Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP) merupakan suatu penilaian berdasarkan konsep Tugas dan Tempat Bertugas berdasarkan standard prestasi yang telah ditetapkan selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP 2.0) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 –2025.

Beliau berkata proses penilaian guru bermula dengan keprihatinan dan kesungguhan. Penilaian perlu dinilai dengan tepat dan professional bagi mengenalpasti kompetensi dan potensi pegawai yang dinilai agar membolehkan pembangunan profesionalisme berterusan dilaksanakan.

“Menilai kompetensi dan potensi guru secara individu, bukan bertujuan untuk menghukum, perlu ada unsur coaching mentoring, termasuk mewujudkan interaksi dan bersemuka semasa penilaian dilaksanakan”. Encik Raisin Saidin.

Terdahulu, majlis pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan 2019 telah dilancarkan oleh Encik Raisin Saidin. Taklimat dekad membaca telah disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah BTPN Labuan, Encik Ag. Marten bin Datuk Hj Abdul Rahman .

Encik Raisin Saidin melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan 2019, peringkat WP Labuan sambil diperhatikan oleh Encik Ag. Marten dan Puan Maimoon

Kementerian Pendidikan berhasrat untuk menjadikan tempoh masa 10 tahun iaitu dari tahun 2021 sehingga 2030 sebagai Dekad Membaca Kebangsaan dan ia sebahagian usaha ke arah menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang 2030.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian sijil anugerah kepada sekolah, sijil kenaikan pangkat, sijil persaraan, staff of the month, sambutan hari lahir dan sijil anugerah khas pengarah.

Anugerah Khas Pengarah bagi bulan April telah diberikan kepada Encik Samsul Mandisin,  Ketua Unit Pusat Kokurikulum dan Encik Awang Zain bin Awang Anak, Ketua Unit Sukan di atas kecemerlangan di atas kecemerlangan Penganjuran Kejohanan Golf MSSM 2019 Peringkat Kebangsaan.

Cikgu Angeline Leong dari Sekolah Kebangsaan Kerupang telah dinobatkan sebagai Adiwira Guru PAK21 Labuan bagi bulan April 2019.

Encik Awang Zain menerima Anugerah Khas Pengarah
Adiwirah Guru PAK21, bulan April 2019 : Cikgu Angelin Leong
Encik Benry Betty menerima sijil Staff of the Month daripada pengarah



Lawatan Pengarah Pertanian Bandar ke SMK Mutiara

Labuan, 16 April : Pengarah Jabatan Pertanian seluruh Malaysia telah membuat lawatan ke Tapak Tanaman Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara WP Labuan.

Rombongan lawatan diketui oleh Pengarah Pertanian Bandar, Encik Mustapa bin umar bersama 30 orang Pengarah Jabatan Pertanian seluruh Malaysia.

Encik Mustapa berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah yg telah melaksana aktiviti pertanian bandar dengan menanam pelbagai sayuran, buah-buahan dan tanaman hiasan.

Beliau mencadangkan agar pihak sekolah mengamalkan penanaman secara organik dan menyarankan agar guru dan murid mengikuti kursus penghasilan plant booster yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian WP Labuan.

Berita Oleh : SMK Mutiara




Karnival Hari Guru PBD 2019 Disambut Meriah

Labuan, 15 April : Hasil kerjasama pelbagai pihak telah melakar sejarah penganjuran Karnival Hari Guru PBD Tahun 2019. Sokongan Sektor, Sekolah, PIBG, PIBK dan Agensi Swasta menjadikan sambutan tahun ini begitu bermakna.

Dengan bertemakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), karnival ini telah disambut dengan meriah dan berjaya menarik lebih kurang 2000 pengunjung termasuk guru, ibu bapa dan murid-murid.

Karnival Hari Guru PBD 2019 ini berlangsung di perkarangan
Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri dan Sekolah Menengah Kebangsaan
Rancha-Rancha seawal jam 7.30 pagi dan berakhir 5 petang.

Antara acara utama sepanjang karnival ialah perkongsian amalan terbaik berkaitan PBD, simulasi PBD dalam PdP, e-Pentaksiran PBD, pameran Inovasi PBD dan Kupi-kupi Haei Gu’u.

Sambutan ibubapa, murid dan guru-guru melebihi jangkaan terhadap pelbagai acara yang disediakan, antaranya amazing race, mini hoki, catur blitz, kuiz online, pancing santai, golf on the go, dart bull, carrom, bowling kelapa, gubahan bunga dan sukaneka.

Pentaksiran Bilik Darjah

Karnival kali ini turut dimeriahkan dengan program sehari bersama kaunselor anda, gerai pameran agensi swasta dan gerai-gerai jualan oleh ahli PIBG dan PIBK.

Menariknya, karnival ini juga telah berlangsung secara live melalui Facebook rasmi Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan
Labuan, Encik Raisin Saidin telah mengunjungi tapak karnival memberi sokongan
dan dorongan kepada pelaksanaan karnival ini.

Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih atas
sokongan semua pihak dalam menjayakan anjakan ke-9 PPPM dalam meningkatkan
kerjasama agensi swasta dan komuniti dalam aktiviti pendidikan.

Beliau turut berharap agar tema hari guru tahun ini iaitu
Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi dapat diterjemah dalam pelbagai bentuk tindakan
disemua peringkat.

Pelibatan pelbagai pihak dalam karnival kali ini telah berjaya menimbulkan kesedaran terhadap peri penting sokongan dan kerjasama semua pihak dalam bidang pendidikan terutamanya ke arah menzahirkan slogan Labuan Cemerlang, Guru Sayang Muridnya, Kecemerlangan dan Kemenjadian Murid Labuan Bermula Di sini.

Berita Oleh : Cikgu Mohd Nizam Yassim

Encik Raisin Saidin (tengah) dan Puan Maimoon (kiri) bersama guru-guru dalam Pameran Inovasi PBD
Sukankeka Hari Guru 2019
Pertandingan Bowling Kelapa
Pertandingan Catur Blitz



Selangor ‘tebas’ Kejohanan Golf MSSM 2019

Labuan, 11 April :   Selangor muncul juara keseluruhan Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2019 dengan mengumpul 400 mata daripada 12 acara individu dan berpasukan bagi ketiga-tiga kategori umur bawah 12, 15 dan 18 tahun.

Selangor mengungguli dan muncul juara bagi acara Berpasukan Lelaki (Bawah 12), Berpasukan Perempuan (Bawah 15), Berpasukan Perempuan (Bawah 12), Individu Lelaki (Bawah 18) dan Individu Lelaki (Bawah 12).

Selangor juga memperoleh naib juara bagi kategori Individu (Lelaki B15), selain meraih tempat ketiga bagi acara Individu (Lelaki B12), Individu (Perempuan B15) dan Individu (Perempuan B12).

Naib juara keseluruhan menjadi milik Sarawak yang beroleh 262 mata dengan pencapaian terbaiknya ialah muncul juara Individu Lelaki B15, Berpasukan Lelaki B15, selain meraih tempat ketiga acara Berpasukan Lelaki B12 dan Berpasukan Perempuan B15.

Kontinjen Sarawak : Naib Johan Keseluruhan Golf MSSM 2019

Kedah di tempat ketiga dengan mengutip 228 mata selepas menjuarai Berpasukan Perempuan B18, naib juara Berpasukan Perempuan B15, dan tempat ketiga Berpasukan Lelaki B18.

Acara yang berlangsung di Kelab Golf Antarbangsa Labuan dan Kelab Golf Labuan bermula 8 April hingga 10 April 2019 berjalan lancar dan teratur dengan cuaca yang baik sepanjang kejohanan.

Majlis Perasmian Penutupan telah berlangsung di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, Labuan hari ini yang telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Haji Amir Bin Haji Hussien, Pengerusi Perbadanan Labuan.

Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia kerana telah memberi peluang kepada Wilayah Persekutuan Labuan menjadi tuan rumah Kejohanan Golf MSSM 2019 yang julung kalinya diadakan di Labuan.

Kedah : Tempat Ketiga Keseluruhan Golf MSSM 2019

Sementara itu, dalam ucapan aluan, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin berkata kejohanan Golf ini merupakan medan mencungkil bakat baharu dan ruang untuk memilih wakil-wakil negara dalam golf di peringkat antarabangsa.

“Besarlah harapan saya agar kejohanan golf ini dapat menampilkan golfers yang gah samada kejohanan tempatan mahupun antarabangsa pada masa hadapan”. Encik Raisin Saidin

Atlet yang telah menjuarai kategori L18 ialah Marcus Lim Pang Chuen dari kontinjen Selangor. Manakala P18 dimenangi oleh Ng Yu Xuan yang mewakili Negeri Sembilan.

Ini diikuti oleh juara kategori L15, Anson Yeo Boon Xiang dari kontinjen Sarawak. Juara kategori P15 pula ialah Ashley Chin Yen Ling yang berasal dari negeri Pulau Pinang.

Kontinjen Selangor sekali lagi menjuarai acara individu kategori L12 iaitu adik Muhd Ajmal Amin M. Fajri.

Usaha Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang tidak berputus asa, akhirnya berjaya dijelmakan dengan kejuaraan oleh adik Wang Xin Yao yang bertanding dalam kategori P12.

Syabas dan Tahniah kepada semua pihak yang berjaya menjayakan Kejohanan Golf MSSM 2019 ini dengan penuh gemilang.

Satu Murid Satu Sukan, Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan !

Buletin kejohanan boleh didapati melalui pautan ini (klik disini)

Juara Individu P18, Ng Yu Xuan (kiri) dari Negeri Sembilan dan Juara Individu L18 (dua dari kanan) dari Selangor bersama tetamu VIP.
Encik Raisin Saidin (tengah) dan Encik Hasbollah (kanan) bersama para Golfers yang bertanding dalam Kejohanan Golf MSSM 2019