LABUAN, Sekolah Menengah St. Anthony amat bersyukur kerana mendapat keprihatinan daripada masyarakat atau komuniti setempat di pulau ini termasuk pihak NGO.
Sebagai sebuah sekolah bantuan modal yang mempunyai 419 orang murid, sekolah memerlukan bantuan dan kemudahan bagi meningkatkan kemenjadian murid dalam pelbagai bidang yang diceburi khususnya dalam bidang kokurikulum dan akademik.
Pada 18 Februari 2019 LABUAN Lions Club Mandarin telah mengadakan salah satu projek amal membantu murid-murid dari keluarga berpendapatan rendah dalam bentuk pemberian kupon pemakanan berkhasiat.
Presiden Lions Club Encik Chin Kin Yin telah menyumbangkan sebanyak RM8300.00 kepada 10 orang murid terpilih di Sekolah Menengah St. Anthony W.P.Labuan dalam bentuk kupon pemakanan berkhasiat.
Encik Chin Kin Yin dalam ucapan beliau semasa majlis penyerahan sumbangan di SM. St. Anthony , berharap dengan sumbangan dapat meringankan beban ibu bapa sekaligus menyokong para pelajar untuk meneruskan persekolahan mereka.
Selain itu pihak sekolah juga menerima sumbangan satu set komputer Acer dan HP dari Encik Franky Tay Kian Lo pemilik syarikat FT Maju Enterprise .
Manakala satu set kumputer jenama Acer disumbangkan oleh Puan Evelyn Kok Hui Ching, yang merupakan salah seorang Alumni SM St. Anthony tahun 1979 – 1983. Kedua-dua penyumbang ini mempunyai anak yang sedang bersekolah di sekolah ini.
Komputer ini untuk kegunaan pejabat sekolah bagi pengurusan hal ehwal murid serta aktiviti kokurikulum sekolah.
Encik Franky Tay Kian Lo ( tengah ) menyumbangkan 1 set komputer jenama ACER dan HP kepada Dona disaksikan oleh Jackson ( PK Kokurikulum ), Yee Choon Hian (PK HEM) Liberie (PK Pentadbiran)
Sekolah juga menerima sumbangan sebuah meja ping pong terpakai yang masih baru dari Encik Ker Chin Chuan dan isteri Puan Marilou Beth Tubar.
Sumbangan ini telah diusahakan oleh Encik Yee Choon Hian Penolong Kanan HEM sekolah ini.
Semoga dengan sumbangan ini dapat memberikan kemudahan kepada para pelajar untuk mengadakan latihan pada Rabu semasa aktiviti kokurikulum.
Dari Kiri : Jerrey ( Guru Penasihat Kelab Ping Pong ), Beth Tubar ( Penyumbang ) dan Yee Choon Hian
PK HEM )
Dona selaku Pengetua sekolah sentiasa mengalu-alukan sumbangan komuniti di pulau ini sama ada pihak swasta atau NGO serta orang perseorangan dalam apa jua bentuk bagi menyokong pembangunan pendidikan di sekolah ini khususnya. Mudah-mudahan dengan kerjasama baik antara sekolah dan komuniti ini meningkatkan lagi kecemerlangan dan kemenjadian murid di sekolah ini.
Sumbangan 1 set computer jenama ACER dari Evelyn Kok Hui Ching ( ALUMNI SAS ). Sumbangan disampaikan oleh wakil Syarikat Picotec kepada Liberie (PK Pentadbiran) disaksikan oleh Yee Choon Hian (PK HEM dan En Kuanfuh@Jackson (PK Kokurikulum)
Berita Oleh : SM St Anthony
150 Orang Murid sertai Kejohanan Sukan Olahraga SMK Lajau kali ke 22
LABUAN : Kejohanan Sukan Olahraga SMK Lajau yang ke 22 telah diadakan pada 25 hingga 27 Februari 2019 bertempat di SMK Lajau dan Kompleks Sukan Labuan.
Acara kejohanan sukan pada tahun ini bermula dengan empat acara padang yang diadakan di SMK Lajau iaitu acara lompat jauh, lompat tinggi, lontar peluru dan merejam lembing.
Kejohanan Sukan Olahraga ini telah dijayakan oleh 150 orang murid yang mengambil bahagian dalam pelbagai acara padang dan acara balapan seperti lari pecut 100 meter dan 200 meter serta larian jarak jauh 800 meter dan 1500 meter.
Manakala peserta perbarisan pula terdiri daripada 185 orang murid. Selain itu, pada hari kemuncak kejohanan yang dilangsungkan di Kompleks Sukan Labuan telah diadakan juga acara terbuka larian 4 x 50 meter untuk ibu bapa dan ahli-ahli PIBG yang hadir menyaksikan anak-anak mereka bertanding dan acara terbuka khas untuk murid-murid istimewa dari kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta pertandingan merebut gula-gula dan coklat khas untuk anak-anak berumur di bawah enam tahun.
Lintas hormat peserta rumah sukan
Objektif Kejohanan Sukan Olahraga ini diadakan bertujuan untuk memilih peserta dan pasukan sekolah bagi pertandingan ke peringkat negeri yang dijadualkan pada pertengahan bulan Mac nanti.
Selain itu, kejohanan ini diadakan untuk memperkembangkan potensi murid dalam sukan olahraga dan sebagai pendedahan kepada murid-murid situasi sebenar pertandingan pada peringkat yang lebih tinggi.
Acara kejohanan yang dipertandingan menerusi lima buah rumah sukan ini iaitu Rumah Perdana, Rumah Satria, Rumah Wira, Rumah Inspira dan Rumah Waja yang mendapat sambutan sambutan yang amat baik dari semua murid SMK Lajau.
Kejohanan Sukan Olahraga di SMK Lajau pada tahun ini dijayakan dengan kerjasama padu oleh semua guru dan kakitangan sekolah yang bergabung tenaga membentuk jawatankuasa yang mantap selain bantuan dari pihak luar seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Labuan.
Acara larian khas untuk pelajar-pelajar PPKI juga turut diadakan
Kejayaan kejohanan sukan pada tahun ini juga mendapat sokongan dari pihak-pihak lain dan individu-individu terlibat dengan beberapa tajaan yang diberikan seperti minuman untuk peserta dan petugas yang ditaja oleh Koperasi SMK Lajau Berhad dan McDonald’s Labuan Airport.
Kejohanan Sukan Olahraga pada tahun ini menampilkan atlet-atlet baharu bagi setiap kategori.
Antaranya ialah adik Nisdawati binti Amil yang muncul sebagai olahragawati bagi kategori perempuan bawah 15 tahun dan adik Mohd Aiman Nazim bin Bobby menyandang gelaran olahragawan bagi kategori lelaki bawah 15. Bagi kategori bawah 18 tahun pula, olahragawan disandang oleh adik Mohd Shafwan bin Zulkifli dan adik Celestyn Teo Yen Wei telah berjaya menyandang gelaran olahragawati bagi tahun 2019.
Rumah sukan Satria 16 pingat Emas, 11 Perak dan 8 Gamgsa ( 35 ) telah menyandang johan keseluruhan Kejohanan Olahraga pada tahun ini diikuti rumah sukan Waja 8 Emas, 10 Perak dan 12 Gangsa ( 30 ) tempat kedua, rumah sukan Perdana 8 Emas, 8 Perak dan 13 Gangsa ( 29 ) tempat ketiga, rumah sukan Wira 5 Emas, 9 Gangsa dan 7 Emas ( 21 ) tempat keempat dan rumah sukan Inspira 5 Emas, 4 Perak dan 1 Gangsa ( 10 ) tempat kelima.
Kejohanan Sukan Olahraga tahun ini menjadi suntikan semangat kepada semua murid SMK Lajau untuk terus bersaing secara sihat sesama mereka dalam acara sukan.
Encik Jamatin menyampaikan hadiah kepada Olahragawan Lelaki 15 tahun Mohd Aiman Nazim bin Bobby
Dalam ucapan alu-aluan pengetua SMK Lajau Encik Mohd Jamatin bin Abd Latip, mengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua ahli jawatankuasa yang menjayakan kejohanan Sukan Olahraga SMK Lajau tahun ini dengan kerjasama yang sangat baik di bawah bimbingan Penolong Kanan Kokurikulum baharu iaitu Encik Subari bin Dwar.
Pengetua juga mengucapkan terima kasih kepada semua ibu bapa yang memberikan kerjasama dan sokongan kepada sekolah dalam menjayakan kejohanan sukan olaharaga pada tahun ini.
Pelibatan ibu bapa dalam kejohanan ini amat dihargai.
Pengetua juga menzahirkan harapan agar atlet-atlet yang berjaya pada kejohanan kali ini akan memberikan kilauan emas kepada sekolah dalam kejohanan Sukan Olahraga antara sekolah-sekolah peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang dijangka diadakan pada bulan Mac 2019.
Beliau juga memberikan harapan kepada atlet-atlet yang berjaya mendapat pingat emas dihadiah sebanyak RM50.00 bagi setiap pingat.
Kejohanan Sukan Olahraga SMK Lajau Kali Ke 22 tahun 2019 telah dirasmikan oleh Encik Tapa bin Jani, selaku YDP PIBG SMK Lajau.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyeru agar semua murid terus bergiat aktif dalam bidang sukan bagi melahirkan lebih ramai pelapis sukan dalam acara olahraga terutamanya sebagai pengganti para atlet yang ada pada masa kini.
Berita Oleh : SMK Lajau
Pentadbir dan PIBG sekolah meraikan para pemenang kejohanan
Hari Keluarga SKK Rancha-Rancha
LABUAN,3 Mac- Hari Keluarga SKK Rancha-Rancha telah diadakan di padang sekolah SKK Rancha-Rancha berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti menarik. Antara aktiviti yang diadakan adalah acara sukaneka murid dan acara sukaneka ibu bapa dan anak. Program bertujuan mengeratkan hubungan antara guru bersama ibu bapa serta murid sekolah tersebut.
Guru Besar SK Rancha-Rancha, Norinnie binti Kassim berkata, kira-kira 90 orang ibubapa dan guru, termasuk kanak-kanak menjayakan hari keluarga tersebut. Turut hadir Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), Encik Mohd Rasid bin Hj Jaludin dan Timbalan Naib Yang Dipertua, Encik Abd Ghaffar bin Yaakop.
Katanya, pihaknya juga dapat mendekati ibu bapa dan masyarakat dengan lebih dekat serta dapat memupuk semangat kerjasama yang tinggi. Beliau berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam usaha mengukuhkan hubungan antara pelbagai pihak Majlis diakhiri dengan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang acara sukaneka.
Jalinan Pintar SISC+ Terengganu dan Labuan
Labuan, 24-27 Februari 2019 : Seramai 8 orang Pembimbing Pakar Rakan Peningkatan Sekolah (SISC+) dari Jabatan Pendidikan Terengganu telah berkunjung ke Labuan bagi melaksanakan Program Jalinan Pintar Pegawai SISC+ Negeri Terengganu dan Pegawai SISC+ W.P.Labuan : ‘A Focussed Conversation’.
Program Jalinan Pintar Pegawai SISC+ ini merupakan program yang julung kalinya diadakan di W.P.Labuan sebagai satu bentuk perkongsian ilmu melalui kerjasama, koloborasi dan permuafakatan antara SISC+ Terengganu dan SISC+ W.P.Labuan.
Rombongan SISC+ Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu yang diketuai oleh Rohaida Ngah ini telah dibawa melawat ke 4 buah sekolah di W.P.Labuan dengan diiringi oleh pegawai-pegawai SISC+ W.P.Labuan.
Sekolah-sekolah yang dilawati adalah SKK ST.Anne bagi melihat pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah, SM.ST.Anthony bagi melihat pelaksanaan ‘Highly Immersive Programme’ atau HIP, SMK Pantai bagi melihat pelaksanaan ‘The IB Middle Years Programme’ dan SK Bebuloh bagi melihat pelaksanaan Program TS25 Kohort 3.
Pegawai-pegawai SISC+ Negeri Terengganu & W.P.Labuan bersama Pengetua, Pentadbir dan guru-guru di SM.ST.Anthony
Di dalam program ini juga sebanyak 7 kertas kajian dan amalan terbaik SISC+ Negeri Terengganu dan W.P.Labuan telah dikongsikan kepada semua rakan SISC+.
Sesi perkongsian dimulakan dengan pembentangan inovasi ‘R Pengiran M’ oleh Pangiran Kadir Bin Pangiran Budin (SISC+ W.P.Labuan), diikuti oleh Rohaida Ngah (SISC+ Terengganu) yang membentangkan kajian bertajuk ‘Inspiring Students To Write Through Drawing’, Hjh Siti Zahara Mohamad (SISC+ W.P.Labuan) yang membentangkan kajian bertajuk Keberkesanan Tingkap Sintaksis Dalam Pembelajaran Bahasa Melayu dan Siti Nurbaya Binti Zakaria (SISC+ Terengganu) yang membentangkan amalan terbaiknya bertajuk ‘School Support System Through PLC’.
Sesi Perkongsian Amalan Terbaik Antara SISC+ ini diteruskan lagi dengan perkongsian daripada Arni Samiraty Abdol Samat (SISC+ W.P.Labuan) yang membentangkan amalan terbaiknya bertajuk ‘HI 5G2’, Azimah Dollah (SISC+ Terengganu) yang membentangkan amalan terbaiknya bertajuk Model PAU : Penyelarasan Aspirasi Unik dan Asy Assuara Razak (SISC+ Terengganu) yang membentangkan amalan terbaiknya bertajuk SKPMg2 : An Explanation Through Video.
Sesi Perkongsian Amalan Terbaik Antara SISC+ ini telah dilaksanakan di Bilik Mesyuarat Botanikal, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) W.P. Labuan.
Pegawai-pegawai SISC+ Negeri Terengganu & W.P.Labuan bersama Barisan Pentadbir dan guru-guru di SMK Pantai IB World School
Di akhir lawatan, peserta rombongan turut berkesempatan melawat pejabat Jabatan Pendidikan Negeri W.P.Labuan, pejabat Sektor Pengurusan Akademik, pejabat SISC+ dan beberapa tempat yang menarik di W.P.Labuan.
Selain itu, 8 orang Pembimbing Pakar Rakan Peningkatan Sekolah (SISC+) dari Jabatan Pendidikan Terengganu ini juga turut berpeluang mengikuti Bengkel Merancang dan Melaksanakan Kajian Tindakan Dengan Menggunakan Borang Inovasi ’12 Langkah’ yang disampaikan oleh Suriani Alland Rice Oxley (SISC+ W.P.Labuan) di BTPN anjuran Sektor Jaminan Kualiti, JPN W.P.Labuan.
Bengkel Kajian Tindakan ini turut dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi Jabatan Pendidikan W.P.Labuan serta barisan kepimpinan atasan dan pertengahan sekolah.
Menurut kata Ketua Rombongan SISC+ Negeri Terengganu, Rohaida Ngah, “Program lawatan ini merupakan satu program perkongsian yang telah berjaya mencapai objektif yang disasarkan. Semua rakan SISC+ yang terlibat telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan melaluinya, Tahap Profesionalisme SISC+ ini telah dapat ditingkatkan.”
Pegawai-pegawai SISC+ Negeri Terengganu bersama Guru Besar, Pentadbir dan guru-guru di SK Bebuloh
Sukan Gimnasrada, Tarikan Baru di Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun
Labuan, 1 Mac : Seramai 80 orang murid Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) menjalani latihan gimnasrada yang diadakan setiap hari sepanjang Cuti Tahun Baru Cina di Dewan Permata, SKSB.
Gimnasrada adalah gabungan gimnastik, erobik dan pergerakan kreatif dengan iringan muzik.
Menurut Jurulatihnya Cikgu Norlisa Rusly yang merupakan Guru Pendidikan Jasmani SKSB, kumpulan gimnasrada diwujudkan bagi memberi peluang kepada murid-murid mengetahui tentang asas gimnastik dan kelebihannya.
Selain itu aktiviti ini juga dapat mendisiplinkan murid kerana mereka perlu fokus dalam setiap pergerakan agar persembahan yang dilakukan kemas dan teratur bersesuaian dengan muzik iringan.
Sementara itu Guru Besar SKSB, Cikgu Dg. Sarifah binti A.Mahmod menyatakan gimnasrada merupakan bidang sukan yang baru diperkenalkan kepada murid-murid di sekolah ini.
Ia akan dipersembahkan sempena Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah yang akan berlangsung pada 3 Mac 2019 di Kompleks Sukan, Wilayah Persekutuan Labuan.
Pihak sekolah berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh jurulatih dan murid-murid yang menjalani latihan sepanjang cuti yang lalu. Begitu juga penglibatan Penggerak Ibu bapa dan Komuniti (PIBK) yang diketuai oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Puan Wiwik Iswandari Sulaiman untuk turut sama mengawasi anak-anak. Malah mereka sanggup menyediakan sarapan sepanjang sesi latihan berlangsung”. Cikgu Dg. Sarifah binti A.Mahmod.
Cikgu Mohd Aizam Abdul Rahim (berdiri di tengah) bersama Puan Wiwik Iswandari Sulaiman dan Norlisa Rusly merakamkan gambar bersama peserta gimnasrada.
Penolong Kanan Ko Kurikulum SKSB, Cikgu Mohd Aizam Abdul Rahim, berkata biarpun sukan gimnasrada ini baru diperkenalkan namun murid-murid cepat menguasai kemahiran.
Komitmen, disiplin dan semangat murid-murid dititikberatkan sepanjang latihan Gimnasrada dapat dihasilkan dengan jayanya dalam masa 2 minggu sahaja.
Pihak sekolah mengucapkan tahniah kepada jurulatih dan ibu bapa yang telah berkorban masa, tenaga dan cuti mereka semata-mata untuk memberi peluang kepada anak-anak SKSB mencungkil bakat dalam bidang ini.
Semoga gimnasrada terus diminati dan menjadi salah satu tarikan yang boleh ditonjolkan dalam kemenjadian murid SKSB.
Ayuh ! sama-sama kita menyaksikan persembahan gimnasrada dan memeriahkan sukan tahunan SK Sungai Bedaun yang akan berlangsung pada 3 Mac 2019, sebelah petang di Kompleks Sukan Labuan.
Berita Oleh : Sk Sungai Bedaun
SISC+ JPN Terengganu di Bengkel Teknik 12 Langkah Metodologi Kajian Tindakan W.P Labuan
Labuan, 26 Februari : Seramai 9 orang SISC+ JPN Terengganu telah turut hadir dalam Bengkel Teknik 12 Langkah, yang telah dianjurkan oleh Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pendidikan W.P Labuan semalam. Bengkel yang diadakan di Bilik Layangan BTPN telah dikendalikan oleh Puan Suriani Alland Rice Oxley, Pegawai SISC+ Jabatan Pendidikan W.P Labuan.
Bengkel ini dilaksanakan sebanyak 4 siri yang mana peserta adalah terdiri daripada Ketua-Ketua Sektor Jabatan Pendidikan W.P Labuan, Pengetua, Guru Besar, dan Pemimpin Pertengahan sekolah-sekolah di W.P Labuan.
Bengkel ini menekankan 12 langkah penyoalan sebagai teknik yang boleh menghasilkan satu kerangka kajian tindakan dalam tempoh 2 jam.
Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Puan Khaziyati binti Osman telah memaklumkan bahawa modus operandi penyebaran ilmu penyelidikan dan inovasi pada tahun 2019 ini dibuat secara penawaran atas talian. Tujuannya untuk membina akauntabiliti kendiri kepada Pasukan Kepimpinan Sekolah (SLT) dan Pasukan Pemimpin Pertengahan (MLT) sekolah-sekolah W.P Labuan.
SISC+ JPN Terengganu telah menyatakan rasa gembira atas perkongsian yang telah diberikan. Jaringan komunikasi SISC+ Jabatan Pendidikan W.P Labuan dengan JPN Terengganu bukan hanya mewujudkan interaksi nasional malah memberi peluang perkongsian pintar yang berterusan.
Para peserta telah melahirkan rasa puas hati dengan penganjuran Bengkel Teknik 12 Langkah ini dan berkeyakinan untuk menyediakan laporan kajian tindakan hasil kerja buat tugas mereka sebagai guru dan pemimpin sekolah.
Khaziyati dan Suriani sedang menerangkan penyediaan kajian tindakan kepada Guru Besar SK Pekan Satu, Puan Anita Syamini AP Azman.
SKK SK St. Anne Raih Tempat Kedua Kejohanan Ping Pong MSSWPL 2019
Labuan – SK ST. Anne berjaya meraih tempat kedua keseluruhan Sekolah Rendah di dalam Kejohanan Ping Pong MSSWPL yang telah diadakan pada 22 hingga 23 Februari 2019.
Pengiraan skor bagi pemenang-pemenang keseluruhan adalah berdasarkan mata kemenangan bagi kategori perseorangan dan bergu.
SK ST. Anne berjaya merangkul tempat ketiga bagi acara bergu lelaki dan bergu perempuan.
Pasukan Ping Pong SK ST. Anne ini telah dibimbing oleh Cikgu Lau Lee Soh, Cikgu Muharna, Cikgu Surianty dan Cikgu Musliah.
Pasukan ini telah menjalani latihan setiap petang bagi memantapkan kemahiran peserta.
Peserta-peserta adalah terdiri daripada murid-murid tahun 4, 5 dan 6. Di mana, sekolah telah menghantar 10 penyertaan perseorangan lelaki, 5 bergu lelaki, 4 perseorangan perempuan dan 2 bergu perempuan.
Pihak pentadbir iaitu Cikgu Shim Ching Teo amat menggalakkan sekolah menyertai kejohanan seperti ini. Ditambah lagi, dengan sokongan kuat daripada Penolong Kanan Kokurikulum iaitu Cikgu Shafeena James Adong.
Sokongan yang padu daripada ibu bapa juga merupakan salah satu faktor kejayaan SK ST. Anne pada tahun ini.
Berita Oleh : SKK St Anne
Jurulatih SKK SK St Anne, meraikan murid yang berjaya memenangi pingat dalam Kejohanan Ping Pong MSSWPL 2019
Pengarah BPSH Sertai Program Ziarah Cakna SMK Labuan
Labuan, 25 Februari : Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) Kementerian Pendidikan Malaysia, Encik Mohd Jamil Mohamed berkesempatan untuk turut serta dalam Program Ziarah Cakna SMK Labuan di dua buah rumah terpilih di Labuan pada 22 Februari lalu.
Beliau diiringi oleh Tuan Haji Pesol Md Saad, Timbalan Pengarah BPSH, Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Ketua-ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri seluruh Malaysia dan Encik Ismail Abdullah, Pengetua SMK Labuan.
Program Ziarah Cakna ini bertujuan memperluaskan konsep sekolah penyayang dan memperkukuh hubungan antara sekolah dan ibu bapa serta penjaga.
Objektif program ialah berkongsi kemenjadian diri murid bersama-sama ibu bapa / penjaga, memahami latar belakang keluarga murid dan berkongsi pandangan antara ibu bapa/penjaga dengan guru bagi mengembangkan potensi murid.
Guru sebagai seorang yang memiliki sifat kepedulian, bertanggungjawab dan penyayang terhadap setiap perkara yang berkaitan dengan muridnya.
Encik Ismail ketika memberi taklimat Ziarah Cakna SMK Labuan kepada rombongan BPSH
Rumah pertama yang dikunjungi iaitu rumah pasangan seorang buruh Encik Abdul Rajit bin Zakaria dan Puan Erni Embaran yang tinggal di Kampung Saguking. Anaknya Abdul Rashid bin Abdul Rajit merupakan murid tingkatan 2 di SMK Labuan.
Rumah kedua yang terpilih pada kali ini ialah rumah Encik Ramlan bin Gapor seorang peniaga burger dan isteri Siti Norimah Suhaili yang tinggal di kampung Patau-Patau Satu.
Anak pasangan tersebut, Mohamad Aniq Aqlan bin Ramlan merupakan murid tingkatan 1 di SMK Labuan.
En Mohd Jamil Mohamed mengucapkan tahniah kepada SMK Labuan kerana berjaya merancang dan melaksanakan Program Ziarah Cakna dengan teratur.
Harapan beliau agar guru-guru memberi perhatian kepada setiap murid walaupun berlainan latar belakang, kebolehan, kelemahan dan kekuatan.
Slogan SMK Labuan iaitu “Setiap Murid Bernilai” sangat bertepatan dengan matlamat Program Ziarah Cakna ini.
Encik Mohd Jamil menyampaikan hamper kepada keluarga Encik Abdul Rajit
Sementara itu Encik Raisin Saidin Pengarah Jabatan Pendidikan berharap sasaran SMK labuan menziarahi 65 orang muridnya dalam program ini tercapai.
‘Pihak sekolah hendaklah melakukan tindak susul ke atas murid yang dilawati. Misalnya dengan menjadikan murid tersebut sebagai anak angkat kepada guru dan guru angkat ini akan memantau perkembangan murid ini sehingga tamat persekolahan di SMK labuan”, tambah Encik Raisin Saidin lagi.
“Selain itu, saya juga berharap agar sekolah-sekolah lain di WP Labuan menetapkan KPI bilangan murid yang dilawati”.
Encik Raisin Saidin menyampaikan hamper kepada keluarga adik Mohd Aniq Aqlan
Sumber Berita : SMK Labuan
SMK Labuan Johan Keseluruhan Ping Pong dan Ketiga Keseluruhan Badminton MSSWPL 2019
Labuan, 25 Februari : Berlangsung di Dewan SJK(C) Chi Wen, SMK Labuan muncul johan keseluruhan Kejohanan Ping Pong Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2019 yang telah diadakan pada 22 hingga 23 Feb 2019.
Kategori yang dipertandingan bagi kejohanan ini ialah perseorangan lelaki dan perempuan 18 tahun, beregu lelaki dan perempuan 18 tahun.
Walaupun baru berusia 13 tahun, pelajar tingkatan 1 Harmoni, Derica Goh unggul membantu SMK Labuan menjadi juara dengan memenangi perseorangan perempuan bawah 18 tahun, selain meraih tempat ketiga dalam kategori beregu perempuan 18 tahun bergandingan dengan Vannesa Goh.
Celine Tan dan Samantha Tan juga dari SMK Labuan mendapat tempat ketiga dalam kategori yang sama.
Perseorangan lelaki 18 tahun pula menyaksikan Alvin Shim muncul naib johan, manakala Billy Goh meraih tempat ketiga.
Pasukan SMK Labuan mendapat naib johan dalam kategori beregu lelaki dan perempuan 18 tahun yang diwakili oleh gandingan Billy Goh, Alvin Shim (kategori lelaki) dan gandingan Celine Tan, Shau Yunn Shin (kategori perempuan).
Derica Goh, johan perseorangan perempuan 18 tahun
Jurulatih SMK Labuan yang membantu sekolah muncul juara edisi kali ini ialah Cikgu Ting Liu Jeng, Cikgu Hasriah Sidik dan Ustaz Mohd Sharafuddin bin Iliah.
Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Ag Mohd Zain Ag Anak, Ketua Unit Sukan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Turut hadir Puan Chan Kwi Fong, Pengetua SM ST Anne dan Encik Kuanfuh Jackson Tondoliu, Penolong Kanan Kokurikulum, SM St Anthony.
Kejohanan Ping Pong MSSM peringkat kebangsaan akan berlangsung pada 24-28 mac 2019 di negeri Kedah Darul Aman.
Sementara itu, pada 19 hingga 23hb Februari 2019, bertempat di Kompleks Sukan Labuan telah berlangsung kejohanan Badminton MSSM Wilayah Persekutuan Labuan.
Pasukan SMK Labuan juga turut menghantar 18 orang peserta dan pasukan ini tidak kurang hebatnya dengan meraih 2 emas, 1 perak dan 3 gangsa untuk muncul tempat ketiga keseluruhannya.
Marina Wong muncul johan perseorangan kategori perempuan 18 tahun. Beliau terus unggul dengan menggondol pingat emas, bergandingan dengan Arneete Venessa dalam kategori beregu perempuan 18 tahun.
Badminton Johan Bergu P18 Marina dan Arnette
SMK Labuan juga turut meraih Naib Johan Bergu Campuran (Nuramirah Atiqah dan Mohd Nor Hafizh), Tempat Ketiga Bergu Perempuan 15 Tahun (Tee Yun Yan dan Shuhada Fitri), Tempat Ketiga Perseorangan 15 Tahun (Shuhada Fitri) dan Tempat Ketiga Bergu Lelaki 15 Tahun (Brandon Tan dan Stefano).
Kejohanan Badminton MSSM peringkat kebangsaan akan diadakan pada 25-30 Mac di Melaka.
Pasukan badminton bersama Cikgu Cheah dan Cikgu Hjh Saniati
Sumber Berita : SMK Labuan
Latihan Kebakaran Tingkat Kesedaran Warga SKK SK St Anne
Pada hari Rabu, 20 Februari 2019, Jawatankuasa Keselamatan SKK Sekolah Kebangsaan St Anne dan Sekolah Menengah St. Anne dengan kerjasama Jabatan Bomba Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Latihan Kebakaran (Fire Drill) Bilangan 1 bagi tahun 2019.
Aktiviti yang dilaksanakan dua kali setahun ini bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada warga sekolah tentang tindakan awal yang perlu di ambil apabila berlaku kecemasan atau kebakaran.
Latihan kebakaran ini telah dirancang dan diadakan tanpa pengetahuan murid supaya mereka dapat merasai sendiri pengalaman berada dalam situasi kecemasan.
Diketuai oleh Tuan Kamarudin Sogon, Penolong Kanan Penguasa Bomba sebagai Ketua Cawangan Program Kesedaran Awam, Jabatan Bomba & Penyelamat Wilayah Persekutuan Labuan bersama 2 orang pegawai dan 8 orang anggota bomba berserta satu jentera telah terlibat di dalam menjayakan latihan kebakaran pada kali ini.
Program ini diakhiri dengan ulasan pihak bomba terhadap perancangan dan tindakan pihak sekolah di dalam menghadapi situasi kecemasan yang tidak diduga.
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat WP Labuan mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah kerana dapat membuat pergerakan keluar semua warga sekolah ke tempat berkumpul di bawah masa 3 minit.
Apabila warga sekolah mendengar loceng kecemasan dibunyikan tanpa henti, semua warga sekolah perlu serta merta berhenti membuat kerja.
Murid perlu mendengar arahan guru yang berada dalam kelas pada waktu tersebut dan keluar dari kelas dengan teratur menuju ke kawasan perhimpunan dalam keadaan yang senyap pada kadar yang segera.
Guru memastikan murid menuju ke kawasan perhimpunan dengan teratur
Guru kelas perlu memastikan semua murid berada di kawasan perhimpunan dalam keadaan selamat berpandukan buku kedatangan murid.