Perhimpunan Bulanan JPWPL, Januari 2019 : Pemansuhan Peperiksaan Tahap 1

Labuan, 8 Januari – Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan kaedah pentaksiran yang bersifat autentik dan holistik, serta lebih berfokus kepada perkembangan dan pembelajaran murid dan bukan lagi berorientasikan peperiksaan.

Pelaksanaan PBD juga dapat mewujudkan budaya pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan bermakna.

Pemansuhan amalan peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun di Tahap 1 (Murid Tahun 1 hingga Tahun 3) adalah untuk membolehkan guru memberikan lebih penumpuan terhadap PdP yang dapat membina karakter dan sahsiah murid serta amalan nilai rutin harian.

Pelibatan ibu bapa juga penting dalam usaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan bebas tekanan kepada murid di peringkat awal usia persekolahan.

PBD merupakan sebahagian daripada PdP di dalam bilik darjah dan dijalankan secara berterusan.

PBD secara sumatif dalam bentuk peperiksaan pertengahan dan akhir tahun diganti dengan aktiviti pentaksiran berupa projek mudah, kuiz, permainan, main peranan dan bercerita.

Hasil kerja murid dinilai sebagai bahan pentaksiran yang dijalankan dalam PdP.

Pelaksanaan PBD bertujuan untuk mendapatkan gambaran tentang perkembangan dan kemajuan pembelajaran, mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid supaya tindakan susulan yang sesuai sama ada untuk meningkatkan atau memperbaiki pembelajaran murid dapat diambil secara serta-merta.

Di samping itu, PBD dapat memberi maklum balas tentang keberkesanan pengajaran guru.

Demikian penerangan Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan semasa berucap di perhimpunan bulanan bagi bulan Januari 2019 di BTPN Labuan hari ini, 8 Januari 2019.

Guru-guru mestilah bersungguh-sungguh dalam melaksanakan pentaksiran di bilik darjah bagi mengembangkan potensi dan kebolehan murid dalam pembelajaran. Encik Raisin Saidin.

Majlis perhimpunan diserikan dengan bacaan lafaz ikrar perkhidmatan awam, ikrar integriti perkhidmatan awam, ikrar Akta Rahsia Rasmi 1972, penyampaian sijil penghargaan dan sambutan hari lahir.

Jasamu dikenang kepada Puan Norismah Ab Moin, mantan Ketua Sektor Akademik dan Madam Chin Tsuey Wei, mantan SISC+ Bahasa Inggeris yang telah bersara juga turut diadakan dengan tayangan video dan penyampaian cenderahati persaraan.

Selamat Bersara Puan Norismah dan Madam Chin ! Seluruh warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mendoakan agar Puan Norismah dan Madam Chin  sentiasa diberi perlindungan, kesihatan berpanjangan dan dimurahkan rezeki serta berbahagia bersama keluarga tercinta.

Sambutan hari lahir bagi bulan Januari kepada warga Jabatan Pendidikan WP Labuan



Hargai Murid, Tingkatkan Motivasi Murid Hadir Ke Sekolah

Labuan, 7 Januari – Hargai murid ke sekolah merupakan elemen penting dalam meningkatkan motivasi murid untuk hadir ke sekolah pada setiap hari persekolahan.

Pendekatan guru penyayang yang dilaksanakan di sekolah adalah antara kaedah mendekati murid-murid supaya rajin ke sekolah selain memastikan keselamatan mereka terjamin.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin ketika berucap pada Perhimpunan Pagi di Sekolah Kluster Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha berkata, kehadiran yang memberangsangkan murid-murid hadir ke sekolah setiap hari menandakan mereka seronok bersekolah dan rasa dihargai.

Guru-guru penyayang dan suasana sekolah yang menarik serta ceria adalah antara daya tarikan untuk murid-murid hadir ke sekolah setiap hari.

Salah satu inisiatif SKK Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha dengan memberi penghargaan semasa perhimpunan kepada murid yang hadir penuh ke sekolah

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan oleh sekolah ialah program Sekolah Penyayang dan Transisi Tahun Satu.

Di sekolah-sekolah Labuan, bagi menghargai murid-murid yang hadir penuh ke sekolah, inisiatif  oleh pihak sekolah bagi menarik minat untuk hadir ke sekolah seperti memberikan penghargaan dan hadiah yang disumbangkan oleh pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.

Lawatan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bagi melihat keadaan sekolah dan suasana persekolahan diteruskan di Sekolah Kebangsaan Patau-Patau dengan disambut oleh Guru Besar Encik Abd Rahman Salim.

Terdahulu, Encik Raisin Saidin bersama rombongan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah melawat Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun dan Sekolah Kebangsaan Bebuloh pada 3hb Januari 2019, serta lawatan hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan dan Sekolah Kebangsaan Pekan Dua pada 2hb Januari 2019.

Amalan guru penyayang oleh warga pendidik Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun bagi menghargai murid yang hadir ke sekolah

 

Minggu Transisi Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Bebuloh untuk membantu murid baharu menghadapi perubahan dalam keadaan transisi dan pendidikan tidak formal di rumah atau Prasekolah ke arah pendidikan formal di Tahun Satu.




Kunjungan Ketua Polis Labuan Pada Hari Pertama Persekolahan

Labuan, 7 Januari – Ketua Polis IPD Labuan Superintendan Hj Mohamad Farid bin Ahmad dan rombongan telah membuat kunjungan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan pada 2hb Januari 2019 iaitu pada hari pertama persekolahan tahun 2019.

Ketika berucap dalam perhimpunan pagi, Superintendan Hj Mohamad Farid menyeru murid-murid sekolah sentiasa memberi tumpuan kepada pelajaran dan penglibatan dalam aktiviti-aktiviti sekolah yang bertujuan memupuk kebolehan diri serta meningkatkan kualiti sahsiah diri.

Murid-murid mesti mempunyai kekuatan untuk menghindarkan diri daripada risiko dan pengaruh yang tidak baik daripada rakan-rakan sebaya.

Kesilapan dalam membuat pertimbangan akan menjejaskan tumpuan kepada pelajaran dan usaha untuk mencapai sesuatu kejayaan.

Beliau juga berharap, murid-murid dapat bertindak sebagai mata dan telinga pihak polis , memberi maklumat berkaitan kegiatan-kegiatan tidak sihat yang berlaku dalam kalangan rakan-rakan.

Tujuannya supaya kegiatan tersebut dapat dibanteras dan murid-murid yang terlibat tidak terjerumus dalam kegiatan yang merosakkan masa depan mereka.

Pihak polis akan sentiasa membantu pihak sekolah dari segi pencegahan dan pembangunan diri murid-murid kerana itu merupakan sebahagian daripada sumbangan pihak polis kepada masyarakat.

Sementara itu, dalam ucapan aluan Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah, pihak sekolah  sangat menghargai komitmen pihak IPD membantu sekolah dalam hal berkaitan pencegahan jenayah dan aktiviti-aktiviti tidak sihat dalam kalangan murid SMK Labuan.

Pihak sekolah telah mewujudkan medium komunikasi whatsapp bersama pegawai perhubungan polis untuk memudahkan penyaluran maklumat dari kedua-dua pihak.

Semoga kerjasama ini dapat membantu memudahkan usaha sekolah melakar kejayaan dan mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang, memberi peluang kepada ramai murid terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang boleh membawa nama baik SMK Labuan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Turut hadir  DSP Firdaus bin Ramli, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, ASP Syed Asrul Sani bin Syed Adnan, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Labuan, merangkap Pegawai Perhubungan Polis SMK Labuan, ASP Sukvinderjeet Singh, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, IPD Labuan,  En Mohd Nizam bin Yasim, Pegawai Sektor Pengurusan Akademik JPWP Labuan, merangkap Pegawai Angkat SMK Labuan, Ustazah Marziawati binti Mardan, Penolong Kanan HEM SMK Labuan, En Cheah Teong Aik, Penolong Kanan Kokurikulum, SMK Labuan, En Saminan bin Sabtu, Penolong Kanan Pusat Tingkatan Enam, SMK Labuan.

Dari Kiri, ASP Syed Asrul Sani, Encik Ismail, Encik Nizam, Superintendan Hj Mohamad Farid, DSP Firdaus dan ASP Sukvinderjeet Singh

Berita Oleh:
Encik Ismail Abdullah
Pengetua SMK Labuan




Penggal Persekolahan 2019 di Wilayah Persekutuan Labuan Bermula

Labuan, 2 Januari – Penggal Persekolahan 2019 di Wilayah Persekutuan Labuan bermula hari ini dengan mencatatkan seramai 16,633 orang murid berdaftar, peningkatan data sebanyak 606 murid berbanding 16,027 murid pada tahun 2018.

Bagi kemasukan murid ke Tahun Satu, seramai 1,635 murid  memulakan sesi persekolahan di 17 buah sekolah rendah di Labuan pada tahun ini. Manakala bilangan murid prasekolah mencatatkan 807 orang murid.

Keseluruhan murid sekolah rendah termasuk prasekolah di Labuan adalah seramai 10,427 orang dan murid sekolah menengah pula seramai 5399 orang.

Pelaksanaan Minggu Transisi Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Pekan Dua

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin ketika berucap pada perhimpunan pagi di Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan memohon agar murid-murid serta ibu bapa sentiasa mengamalkan kebersihan dan menjaga kesihatan diri setiap masa bagi memastikan murid hadir ke sekolah setiap hari.

Menurutnya lagi, Tahun 2019, peperiksaan bagi murid tahap satu iaitu dari tahun satu hingga tahun tiga telah dimansuhkan.

Pembelajaran tahap satu tahun ini adalah berpusatkan kepada murid melalui pendekatan didik dan hibur, pemikiran kreatif, berbentuk kuiz, bercerita, pelaksanaan projek-projek pembelajaran inovasi dan kreatif secara individu mahupun berkumpulan bagi mengasah bakat dan potensi serta kerjasama di kalangan murid.

Bagi pemakaian kasut pula, Encik Raisin Saidin berkata ianya tidak menjadi isu kerana pemakaian kasut sekolah berwarna hitam di semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan hanya akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 2021.

Dalam tempoh transisi tersebut (tahun 2019-2020), murid-murid boleh memilih sama ada menggunakan kasut sekolah berwarna hitam ataupun kasut sekolah berwarna putih.

Murid-murid Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan : Dalam tempoh transisi tahun 2019-2020, murid-murid masih dibenarkan untuk memakai kasut berwarna putih

 

 




Pendaftaran Kemasukan Tahun Satu dan Tingkatan Satu di Labuan Berjalan Lancar

Labuan, 31 Disember : Pendaftaran kemasukan pelajar ke tahun satu  dan tingkatan satu di Wilayah Persekutuan Labuan telah berjalan dengan lancar dan teratur, bermula pada 29 hingga 30 Disember 2018.

seramai 1669 orang murid akan melangkah ke tahun satu, manakala 1271 orang pelajar mendaftar ke tingkatan satu di 27 buah sekolah rendah dan menengah di sini.

Untuk rekod, seramai 15080 orang pelajar akan memulakan sesi persekolahan tahun 2019 melibatkan 9345 orang murid sekolah rendah dan 5735 orang pelajar sekolah rendah.

Manakala, prasekolah pula mencatatkan 807 orang murid yang akan bersekolah pada tahun hadapan.

Pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak sekolah dan ibu bapa kerana telah berjaya melaksanakan pendaftaran tahun satu dan tingkatan satu dengan jayanya.

Semoga hari pertama persekolahan pada 2hb Januari 2019 juga berlangsung dengan teratur dan lancar.

Guru memberi penerangan kepada ibu bapa yang hadir dalam sesi pendaftaran 2019




Perhimpunan Bulanan JPWPL Disember 2018 : Kemampuan Berdepan dan Menangani Perubahan

Labuan, 13 Dis – Perhimpunan bulanan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bagi bulan Disember merupakan pelengkap bagi kejayaan Tahun 2018, yang telah diadakan hari ini di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri.

Selepas  montaj Deklarasi 1Borneo ditayangkan, para Pengetua Guru Besar sekolah telah menyerahkan dokumentasi kejayaan sekolah kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin sebagai simbolik bagi pelaksanaan kerja buat sekolah sepanjang tahun 2018.

Selaras dengan 19 Deklarasi 1Borneo 2018 yang telah dibuat pada penghujung tahun 2017, Encik Raisin Saidin memohon Pengetua Guru Besar agar sentiasa membuat refleksi kendiri terhadap pelaksanaan program sekolah demi kemenjadian anak-anak murid Labuan.

Penyerahan dokumentasi Deklarasi 1Borneo 2018 oleh Pengetua kepada Pengarah, Encik Raisin Saidin

Sepanjang tahun 2018, pelbagai lonjakan kejayaan telah dikecapi oleh Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan terutama kejayaan dan kemenjadian anak-anak murid di Labuan.

Antaranya ialah Anugerah Karnival Inovasi Teknologi Hijau Kebangsaan, Anugerah Silver C Pertandingan Koir Antarabangsa, Johan Pertandingan School Lab Kebangsaan, Anugerah Emas Karnival Kesenian Murid Malaysia Kebangsaan, Penarafan 5 bintang PIBK Kebangsaan, Johan Pramusaji Karnival Kemahiran Pendidikan Khas Kebangsaan, Pingat Emas Sukan Lawn Bowl SUKMA Perak, Pingat Perak ‘3rd Malaysia Open International Taekwondo Championship, Johan Pertandingan Cabaran Keselamatan Siber Nasional, Naib Johan Pertandingan Bercerita Kisah Al-Quran Kebangsaan, Naib Johan Pertandingan Syarahan Bahasa Melayu Piala Perpaduan Perdana Menteri, Anugerah Perkhemahan Kadet Bomba & Penyelamat Kebangsaan, Johan Kejohanan 9th Silent Knight Cup dan banyak lagi ( Rujuk Kejayaan JPWPL 2018 ).

Tema Perhimpunan Bulanan bagi bulan Disember ialah Kemampuan Berdepan dan Menangani Perubahan.

Encik Raisin Saidin menyeru agar pihak sekolah memberi fokus kepada pelaporan dan pemantauan kemenjadian anak murid secara menyeluruh di tahap Sekolah Rendah melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang meliputi Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan & Kokurikulum (PAJSK), Penilaian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK), Penilaian Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Psikometrik.

Pentaksiran psikometrik digunakan untuk mendapatkan lebih maklumat tentang kemampuan, kekuatan, kelemahan, bakat, sikap, potensi, minat dan personaliti seseorang murid bagi tujuan membantu dalam memperkembangkan potensi dan pertumbuhan seseorang murid.

Penyampaian Anugerah Pertandingan Inovasi EKSA 2018

Majlis diserikan lagi dengan taklimat zakat,  pelancaran aplikasi E-Kalendar JPWPL, Anugerah Khas Pengarah, Anugerah Pertandingan Inovasi EKSA 2018, Penyerahan Surat kenaikan pangkat, meraikan persaraan, sijil staff of the month, sambutan hari lahir dan Imbasan Perhimpunan Bulanan 2018.

Ketua Sektor Pengurusan Akademik,  Puan Norismah Ab Moin akan bersara pilihan pada bulan hadapan dan Ketua Sektor Khidmat Pengurusan Pembangunan, Puan Caroline Boni akan berpindah ke Kementerian Pendidikan Malaysia di atas urusan kenaikan pangkat.

Pihak Jabatan mengucapkan ribuan terima kasih, syabas dan tahniah atas sumbangan yang diberikan selama berkhidmat di jabatan ini dengan meninggalkan legasi yang cemerlang di sektor masing-masing.

Cikgu Mahmud, Jasamu Dikenang selama berkhidmat sebagai seorang pendidik anak bangsa

Berita Oleh : Ustaz Mohd Syahir bin Mohd Yussof ( Ketua Sektor Pendidikan Islam ) 




Hari Keluarga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2018

Labuan – Hari Keluarga anjuran Kelab Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan berlangsung sederhana tetapi meriah.

Program ini telah diadakan pada 8hb Disember 2018, bertempat di Taman Damai, Layang-Layangan dihadiri kira-kira 200 orang warga dan ahli keluarga Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Program bermula seawal jam 7.30 pagi itu didahului dengan aktiviti riadah dan senamrobik diketuai sendiri oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin.

Aktiviti senamrobik

Pelbagai aktviti menarik diadakan seperti acara sukaneka, pertandingan mewarna kategori kanak-kanak, pertandingan memancing, futsal pantai karaoke santai dan cabutan tiket bertuah.

Encik Raisin Saidin merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur Kelab Pendidikan yang berjaya melaksanakan program ini dengan baik.

Saya mengucapkan terima kasih kepada warga Jabatan Pendidikan yang hadir bersama keluarga masing-masing dan turut serta dalam acara yang telah disusun atur. katanya.

Program diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang dan sesi gotong-royong membersihkan kawasan aktiviti sehingga selesai pada pukul 1.30 petang.

Aktiviti barbeque

Pertandingan bowling kelapa

Encik Raisin Saidin menyampaikan hadiah kepada Puan Zaleha sambil diperhatikan oleh Encik Roziman




SMK Labuan Raih 3 Anugerah Sempena Majlis Apresiasi PIBK WP Labuan 2018

Labuan, 28 Nov – SMK Labuan telah meraih tiga anugerah sempena Majlis Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2018 pada 23 November 2018 di salah sebuah hotel di Labuan.

Tiga anugerah yang diraih oleh SMK Labuan ialah Anugerah Ikon PIBK Dalam Pembangunan Kokurikulum Sekolah Menengah, Anugerah Pengurusan PIBG Cemerlang Sekolah Menengah dan Anugerah Khas PIBK (Program PIBK Terbaik 2018).

Menurut Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah, kemenangan ini adalah hasil daripada komitmen semua pihak sama ada guru, ibu bapa dan komuniti yang secara sukarela menyumbang kewangan dan tenaga menjayakan aktiviti-aktiviti sekolah.

Harapan agar pengurusan PIBG dan aktiviti PIBK akan lebih terancang dan teratur. Pelan Strategik SMK Labuan 2019-2025 telah meletakkan Hubungan Komuniti sebagai Matlamat Strategik yang keempat. Ini akan memperkasakan pengurusan PIBG dan memantapkan lagi aspek pelibatan komuniti. katanya.

PIBG dan PIBK diyakini akan membawa impak besar kepada kemenjadian murid-murid SMK Labuan jika pelibatan ibu bapa dan komuniti lebih menyeluruh.

Tetamu kehormat yang hadir pada malam tersebut YB Datuk Rozman bin Datuk Hj Isli, Ahli Parlimen Labuan dan Encik Raisin bin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Turut hadir Puan Maimoon binti Matnoh, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah dan Puan Norismah binti Abd Moin, Ketua Sektor Pengurusan Akademik.




Pencapaian Membanggakan SMK Labuan dan SMK Lajau : Karnival Inovasi Teknologi Hijau Kebangsaan 2018

Labuan, 27 Nov – SMK Labuan meraih tempat ketiga Pertandingan Inovasi Bio Jisim sempena Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan Tahun 2018 pada 21-23 November 2018 bertempat di Pulai Springs Resort, Johor.

SMK Labuan diwakili oleh tiga pelajar tingkatan 4 SMK Labuan iaitu  Nurul Syahidah Binti Azzril, Nur Ain Rabiatul Farraliza Binti M.Kasim dan Umi Khairunnisa Binti Muhammad Asri. Cikgu  Anggarab melibatkan

Pelajar tingkatan 4 tersebut dibimbing oleh Cikgu Isabella Kim dan Cikgu Nur Farhanah Binti Mohamed Ibrahim menerima sijil, trofi dan wang tunai RM 500.

SMK Lajau juga turut meraih tempat kedua dalam Pertandingan Green Cooker Challenge.

Karnival Inovasi Teknologi Hijau ini merupakan salah satu aktiviti bagi memberi kesedaran teknologi hijau kepada sekolah merentasi kurikulum dan kokurikulum bagi pemantapan pendidikan lestari.

Acara ini disasarkan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia.

Untuk rekod, Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan 2018 merupakan acara tahunan dan SM Sains Labuan pernah meraih Naib Johan Pertandingan Kuiz Teknologi Hijau pada tahun 2016.

Syabas Tahniah diucapkan kepada SMK Labuan dan SMK Lajau di atas pencapaian membanggakan pada Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan 2018. Kemenjadian dan Kecemerlangan Murid Bermula disini !




Bola Sepak PSKPP 2018 : Ibu Pejabat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Kekal Juara

Labuan, 23 Nov – Ibu Pejabat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan sekali lagi membuktikan kehebatan apabila mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan Bola Sepak sempena Pesta Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) WP Labuan tahun 2018.

Pasukan Ibu Pejabat JPWPL kekal juara dengan mengalahkan pasukan sekolah dari Zon 2 dengan penuh debaran dan dramatik sehingga berlarutan ke penentuan sepakan penalti.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Padang sintetik, Kompleks Sukan Labuan, juara bertahan itu ketinggalan 2-0 sebelum bangkit mengikat kedudukan 2-2, sebelum wisel penamat ditiupkan.

Penjaga gol, Azman Akhmad menjadi wira Ibu Pejabat dengan menyelamatkan 2 sepakan penalti pihak lawan selain 1 sepakan melambung tinggi menjadikan keputusan akhir 3-1.

Ketangkasan Azman menyelamatkan sepakan penalti

Ia merupakan kejuaraan kedua berturut-turut dimenangi skuad Ibu Pejabat selepas muncul juara dengan menundukkan pasukan sekolah Zon 4, pada perlawanan akhir tahun lalu.

Terdahulu, pada peringkat kumpulan pasukan Ibu Pejabat JPWPL telah menewaskan pasukan sekolah Zon 3 dengan keputusan 3-1, menewaskan Kolej Matrikulasi Labuan 2-1 dan seri 0-0 dengan pasukan sekolah Zon 5.

Jaringan tunggal Jyclso Bryan pada perlawanan separuh akhir memastikan pasukan Ibu Pejabat mara ke perlawanan akhir dengan menewaskan pasukan sekolah Zon 4 dengan kemenangan tipis 1-0.

Pada tahun ini Pasukan Ibu Pejabat bergabung tenaga dengan Sekolah Antarabangsa Labuan yang diperkuatkan 4 orang pemain.

Pengurus Pasukan Roziman Sabtu dan Kapten digalas oleh Zait Mohd Shafie.

Kenangan Encik Raisin Saidin bersama Ketua Unit Sukan Awang Zain dan para pemain

Sementara itu, pasukan sekolah Zon 4 tetap pulang ceria apabila menduduki tangga ketiga keseluruhan setelah mengecewakan pasukan sekolah zon 5 dengan keputusan 2-0.

Sebanyak 8 pasukan mengambil bahagian dalam edisi tahun ini yang dianjurkan oleh gabungan sekolah Zon 5.

Hadiah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin yang hadir sepanjang kejohanan berlangsung. Hadir sama, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan dan Kemanusiaan, Encik Hasbollah Amit.

Encik Raisin Saidin mengucapkan syabas tahniah kepada pasukan Ibu Pejabat di atas semangat juang yang tinggi hingga berjaya mengekalkan kejuaraan.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua pasukan yang bertanding di atas disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi ditunjukkan sepanjang dua hari kejohanan bola sepak PSKPP berlangsung.

Dalam ucapannya, Encik Raisin Saidin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan WP Labuan yang telah memberikan kebenaran menggunakan padang sintetik jabatan itu sepanjang kejohanan tersebut. Beliau berharap agar kerjasama antara dua jabatan ini terus mantap.

Kapten Pasukan Zait Mohd Shafie

Pemain Terbaik, Adam Mizmar Harun

Penjaga Gol Terbaik, Azman Akhmad