PROJEK O.M.B.A.K. MURID BERMULA 20 MEI 2026, PERKASA LITERASI AI DI SEKOLAH LABUAN

Labuan, 20 Mei 2026 – Projek O.M.B.A.K. Murid 2026 telah memulakan pelaksanaannya pada 20 Mei 2026, bermula di SM St. Anne dan SMK Taman Perumahan Bedaun sebagai langkah awal Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dalam memperkukuh literasi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan murid.
 
Projek O.M.B.A.K., iaitu Olahan Minda melalui Bimbingan AI dan Kreativiti, merupakan inisiatif di bawah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), JPWPL yang bergerak seiring dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) ke arah melahirkan murid yang celik digital, kreatif, beretika dan bersedia menghadapi landskap pendidikan masa hadapan.
 
Melalui pelaksanaan ini, Pasukan TeknoDidik SSTP akan turun ke sekolah-sekolah bagi membimbing murid menggunakan teknologi AI secara berhemah, kreatif dan bertanggungjawab. Fokus bimbingan bukan sahaja kepada kemahiran menggunakan AI untuk menjana idea dan menghasilkan bahan digital, malah turut menekankan etika penggunaan, keselamatan data, ketulenan hasil kerja serta pemikiran kritis ketika berinteraksi dengan teknologi.
 
Pelaksanaan yang bermula pada 20 Mei 2026 di SM St. Anne dan SMK Taman Perumahan Bedaun ini menjadi titik permulaan sebelum projek tersebut diperluas secara berfasa ke semua sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Dengan sokongan Pasukan TeknoDidik SSTP, Projek O.M.B.A.K. Murid diyakini mampu menjadi gelombang baharu transformasi pendidikan digital di Labuan, selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memperkasa ekosistem pendidikan yang inklusif, inovatif dan relevan dengan keperluan masa depan.



Mesyuarat Pemuafakatan antara Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Keningau, 22 Mei 2026 – Mesyuarat Pemuafakatan antara Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diadakan bertujuan:
1.Memperkukuh kerjasama strategik dalam menangani isu sahsiah dan disiplin murid di sekolah.
 
2.Penekanan kepada pendekatan bersepadu melibatkan pihak sekolah, ibu bapa dan agensi keselamatan dalam usaha mencegah salah laku seperti buli, seksual, ponteng sekolah dan salah laku disiplin.
 
3.Peranan PDRM melalui program pencegahan, ceramah kesedaran dan rondaan berkala turut diperkasakan bagi memastikan persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif.
 
Hasil perbincangan turut mencadangkan pelaksanaan intervensi awal, perkongsian data serta pemantauan berterusan bagi meningkatkan keberkesanan tindakan.
 
Secara keseluruhannya, mesyuarat ini berjaya memperkukuh komitmen bersama ke arah melahirkan murid yang berdisiplin, beradab dan seimbang selaras dengan aspirasi pendidikan negara.
 
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YDH Datuk Jauteh bin Dikun, Pesuruhjaya Polis Sabah.
Turut hadir bersama-sama YBrs En Yahya bin Ahmad Puteh,Pengarah Pendidikan WP Labuan dan YBrs En Muddin bin Beting wakil rasmi Pengarah Pendidikan JPN Sabah.



BENGKEL KAJIAN TINDAKAN DAN INOVASI INSTITUSI PENDIDIKAN SWASTA (IPS) BERDAFTAR DI BAWAH JPWPL TAHUN 2026

Labuan, 21 Mei 2026 – Program anjuran Unit Pendidikan Swasta, Sektor Pengurusan Sekolah, JPWPL ini telah melibatkan penyertaan seramai 32 orang guru dari Institut Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar di bawah Jabatan Pendidikan W.P. Labuan.
 
🎙️ Bengkel telah disampaikan oleh penceramah jemputan Dr.Hyginus Lester Junior Lee merupakan SISC+ JPWPL, yang berkongsi ilmu serta pendedahan berkaitan konsep, kepentingan dan pelaksanaan kajian tindakan serta inovasi dalam bidang pendidikan.
 
🎯 Antara fokus utama bengkel:
✅ Meningkatkan kefahaman tentang kajian tindakan dan inovasi
✅ Memantapkan kemahiran merancang serta melaksanakan kajian tindakan
✅ Membimbing penyediaan kertas cadangan kajian tindakan
✅ Menggalakkan penghasilan inovasi dalam PdP dan pengurusan
✅ Persediaan pembentangan hasil kajian dan inovasi
 
👏 Bengkel ini merupakan antara usaha berterusan jabatan dalam mentranformasikan guru-guru agar berkeupayaan tinggi dan berorentasikan masa depan. Tahniah dan syabas kepada semua peserta atas komitmen serta penglibatan aktif sepanjang program berlangsung. Semoga ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam meningkatkan kualiti pendidikan di institusi masing-masing.



LAWATAN KERJA PELAKSANAAN SEKOLAH ANGKAT MADANI SK BEBULOH WP LABUAN

Labuan, 20 Mei 2026 — Jabatan Wilayah Persekutuan telah mengadakan lawatan kerja bagi pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI di SK Bebuloh, Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Rombongan lawatan telah diketuai oleh Encik Wahyun Anwar bin Abd Rahman bersama dua orang pegawai jabatan. Kehadiran rombongan telah disantuni oleh Encik Ag. Rozlan bin Manan, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran yang mewakili Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Lawatan ini bertujuan untuk membincangkan pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI di SK Bebuloh selain memperkukuhkan hubungan kerjasama strategik antara Jabatan Wilayah Persekutuan dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Program Sekolah Angkat MADANI merupakan inisiatif kerajaan dalam menyokong pembangunan pendidikan serta kebajikan murid melalui pendekatan kolaboratif bersama agensi kerajaan dan komuniti setempat.
 
Semoga pelaksanaan program ini dapat memberi impak positif kepada warga sekolah serta membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan sejahtera.



Dialog Prestasi Berfokus Sahsiah peringkat Negeri WP Labuan

Labuan, 20 Mei 2026 – Dialog ini membincangkan usaha memperkukuh pembentukan dan mengenalpasti isu sahsiah murid di sekolah, dengan penekanan bahawa kecemerlangan akademik perlu seiring dengan akhlak dan adab yang baik.
 
Dalam dialog ini, beliau menegaskan peranan pentadbir sekolah dan guru sebagai contoh teladan utama dalam menerapkan nilai murni kepada murid melalui PdP dan interaksi harian, termasuk memupuk sikap hormat-menghormati, berdisiplin, bertanggungjawab serta menjaga tutur kata dan tingkah laku.
 
Antara adab murid yang diberi penekanan ialah menghormati guru dan rakan, mematuhi peraturan sekolah, mengamalkan kesopanan serta bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan.
 
Selain itu, sekolah disaran melaksanakan intervensi sahsiah secara berfokus, menggunakan data disiplin untuk tindakan susulan, membuat pemantauan berterusan serta melibatkan ibu bapa dan komuniti bagi memastikan keberkesanan pembentukan sahsiah murid secara menyeluruh.
 
Sasaran : Pengetua, Guru Besar dan GPK HEM.
Turut hadir: Pengurusan Tertinggi JPWPL
Urusetia : Sektor Pembangunan Murid,JPWPL.



BENGKEL ASAS FOTOGRAFI & PELANTIKAN KREW LENSA JPWPL

Labuan, 18 Mei 2026 – Bengkel Asas Fotografi & Pelantikan Krew LENSA JPWPL telah berlangsung bertempat di Bilik Rafflesia, Ujana Kewangan.
 
Bengkel ini telah disampaikan oleh Encik Rizahanddy Mokti dan melibatkan seramai 45 orang peserta yang terdiri daripada wakil setiap sektor di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan serta wakil sekolah.
 
Program ini bertujuan memperkukuh kemahiran asas fotografi dalam kalangan peserta, khususnya bagi menyokong dokumentasi program, pelaporan visual dan penghasilan bahan hebahan rasmi yang lebih berkualiti, tersusun dan berimpak.
 
Sepanjang bengkel, peserta telah didedahkan dengan asas pengendalian kamera, teknik komposisi gambar, pencahayaan, sudut rakaman serta etika fotografi dalam majlis dan program rasmi.
 
Sebagai kesinambungan kepada kursus ini, para peserta turut menjalani sesi amali fotografi pada 19 hingga 21 Mei 2026 di lokasi dan program yang berbeza. Sesi amali ini memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan kemahiran yang telah dipelajari secara langsung dalam suasana program sebenar.



Majlis Penyerahan Bendera MSSWPL ke MSSM 2026

LABUAN, 20 Mei 2026 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah mengadakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) ke Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2026 bertempat di Pusat Kokurikulum Negeri, hari ini.
 
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yahya bin Ahmad Putih selaku Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan W.P. Labuan dengan kehadiran pegawai-pegawai kanan sektor pembangunan murid, pengerusi teknik pembangunan sukan negeri, jurulatih, guru pengiring, ibu bapa serta para atlet MSSWPL.
 
Dalam ucapan beliau, Pengarah Pendidikan memaklumkan bahawa seramai 119 orang atlet dan 42 orang guru akan mewakili W.P. Labuan dalam Kejohanan MSSM Fasa 1 Tahun 2026 melibatkan sembilan jenis sukan iaitu akuatik, bola tampar, catur, golf, bola keranjang, tenis, memanah, badminton dan ragbi.
 
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua Pengerusi Teknik Pembangunan Sukan Negeri, jurulatih serta guru-guru yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan persediaan atlet berjalan lancar melalui latihan pusat dan proses pemilihan atlet terbaik ke peringkat kebangsaan.
 
Menurut beliau lagi, beberapa kontinjen mencatat sejarah tersendiri pada tahun ini termasuk kontinjen catur yang menghantar penyertaan penuh seramai 36 atlet, manakala kontinjen golf pula merekodkan penyertaan tertinggi dalam sejarah penglibatan MSSWPL berikutan lokasi kejohanan yang diadakan di negeri Sabah.
 
Beliau turut menegaskan bahawa penyertaan ke MSSM bukan sekadar untuk menimba pengalaman, sebaliknya membawa misi untuk mencipta kejayaan dan membawa pulang pingat demi mengharumkan nama Labuan di persada kebangsaan.
 
“JPWPL, guru-guru, jurulatih, ibu bapa dan seluruh warga Labuan menaruh harapan tinggi kepada atlet-atlet yang terpilih. Jagalah disiplin, kesihatan dan nama baik Labuan sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya.
 
Majlis diteruskan dengan acara simbolik penyerahan bendera Labuan kepada pengurus-pengurus pasukan bagi setiap kontinjen sebagai tanda amanah dan semangat perjuangan membawa nama wilayah ke Kejohanan MSSM yang akan berlangsung bermula 5 Jun 2026 di beberapa negeri seluruh negara.
 
Antara kontinjen yang menerima bendera ialah Akuatik ke Perak, Bola Tampar ke Putrajaya, Catur ke Miri, Golf ke Sabah, Bola Keranjang ke Pulau Pinang, Tenis ke Johor, Memanah ke Selangor, Badminton ke Kedah dan Ragbi ke Perak.
 
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama semua atlet, jurulatih dan pegawai kontinjen sebelum taklimat akhir kejohanan diadakan kepada semua peserta dan guru pengiring.



PELEPASAN KONTINJEN MERENTAS DESA PENDIDIKAN KHAS WP LABUAN KE KEJOHANAN MERENTAS DESA PENDIDIKAN KHAS MSSM JOHOR 2026

Labuan, 18 Mei 2026 – Majlis pelepasan Kontinjen Merentas Desa Pendidikan Khas WP Labuan ke Kejohanan Merentas Desa Pendidikan Khas MSSM Johor 2026 telah berlangsung dengan jayanya pada jam 10.00 pagi di Lapangan Terbang Labuan.
 
Kejohanan Merentas Desa Pendidikan Khas MSSM Johor 2026 akan berlangsung bermula 18 hingga 21 Mei 2026. Bagi kejohanan pada tahun ini, kontinjen WP Labuan diwakili oleh seramai 18 orang atlet dan 7 orang pegawai pengiring yang diketuai oleh Tuan Haji Sahbudin bin Ag Muhamad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan , bagi membawa cabaran negeri dalam kejohanan tersebut.
 
Semoga kontinjen Merentas Desa Pendidikan Khas WP Labuan terus bersemangat tinggi, memperoleh kejayaan cemerlang serta mengharumkan nama Wilayah Persekutuan Labuan di pentas Kejohanan Merentas Desa Pendidikan Khas MSSM Johor 2026.
 
“Lari dengan semangat, capai dengan tekad, raih kejayaan demi WP Labuan.”



𝗦𝗔𝗠𝗕𝗨𝗧𝗔𝗡 𝗛𝗔𝗥𝗜 𝗚𝗨𝗥𝗨 𝗣𝗘𝗥𝗜𝗡𝗚𝗞𝗔𝗧 𝗞𝗘𝗕𝗔𝗡𝗚𝗦𝗔𝗔𝗡 𝗞𝗔𝗟𝗜 𝗞𝗘-𝟱𝟱

 

Ipoh, 16 Mei 2026 – Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Ipoh, Perak pada 15 dan 16 Mei 2026 telah menghimpunkan warga pendidik dari seluruh negara bagi meraikan jasa, pengorbanan dan dedikasi guru dalam mendidik anak bangsa serta membentuk generasi masa depan negara.
 
Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan turut hadir bersama kontinjen WP Labuan serta dua penerima Anugerah Hari Guru Kebangsaan pada tahun ini. Kehadiran delegasi WP Labuan mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa pendidikan serta menghargai peranan guru sebagai pemacu kemenjadian murid dan pembangunan negara.
 
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada dua penerima anugerah dari Wilayah Persekutuan Labuan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2026.
 
🎉𝘼𝙣𝙪𝙜𝙚𝙧𝙖𝙝 𝙆𝙝𝙖𝙨 𝙋𝙚𝙣𝙙𝙞𝙙𝙞𝙠𝙖𝙣 : 𝙆𝙚𝙥𝙞𝙢𝙥𝙞𝙣𝙖𝙣 𝙎𝙚𝙠𝙤𝙡𝙖𝙝 𝙎𝙬𝙖𝙨𝙩𝙖
Puan Fadlin Aimuni Binting
Labuan International School
🎉𝘼𝙣𝙪𝙜𝙚𝙧𝙖𝙝 𝙂𝙪𝙧𝙪 𝙄𝙣𝙤𝙫𝙖𝙩𝙞𝙛 : 𝙄𝙣𝙙𝙞𝙫𝙞𝙙𝙪 𝙇𝙚𝙥𝙖𝙨 𝙎𝙚𝙠𝙤𝙡𝙖𝙝 𝙈𝙚𝙣𝙚𝙣𝙜𝙖𝙝
Puan Azlinda binti Tuah
Kolej Matrikulasi Labuan
 
Selamat Hari Guru 2026
“Guru Bitara, Nadi Negara”



𝗠𝗲𝗺𝗽𝗲𝗿𝗸𝗮𝘀𝗮 𝗟𝗶𝘁𝗲𝗿𝗮𝘀𝗶 𝗠𝗮𝗸𝗹𝘂𝗺𝗮𝘁 𝗚𝗲𝗻𝗲𝗿𝗮𝘀𝗶 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜 𝗠𝗲𝗹𝗮𝗹𝘂𝗶 𝗣𝗿𝗼𝗴𝗿𝗮𝗺 𝗘𝗸𝘀𝗽𝗹𝗼𝗿𝗮𝘀𝗶 𝗦𝘂𝗺𝗯𝗲𝗿 𝗠𝗮𝗸𝗹𝘂𝗺𝗮𝘁

Labuan, 15 hingga 16 Mei 2026 – SMA MAIWP Labuan bersama Darul Kifayah MAIWP Cawangan Labuan menganjurkan Program Eksplorasi Sumber Maklumat yang berlangsung selama dua hari bermula 15 hingga 16 Mei 2026 bertempat di Dewan Kompleks Darul Kifayah MAIWP Cawangan Labuan.
 
Program ini melibatkan 250 orang pelajar terdiri daripada penghuni Darul Kifayah MAIWP Cawangan Labuan serta pelajar SMA MAIWP Labuan dengan objektif untuk melahirkan generasi pelajar yang berpengetahuan luas, celik maklumat, berkeupayaan mengakses, menilai dan memanfaatkan sumber maklumat secara beretika.
 
Semoga penganjuran program seumpama ini terus menjadi medium penting dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik malah mampu berfikir kritis, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia moden berlandaskan nilai ilmu dan integriti.
 
 
SUMBER BERITA : FB Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan – MAIWP