Sambutan Aidiladha 2022, Ibadah Korban Anjuran PEKDIS Labuan Kembali Meriah

Labuan, 13 Julai – Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-sekolah (PEKDIS) Cawangan Labuan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah menganjurkan korban berkelompok di perkarangan Pusat ko-Kurikulum, Kampung Ganggarak baru-baru ini.

Pelaksanaan ibadah korban kali ini kembali disambut dengan penuh rasa syukur dan meriah selepas dua tahun terikat dengan SOP susulan pandemik Covid-19.

Walaupun SOP mengekang Covid-19 dilonggarkan, orang ramai yang hadir untuk membantu menyempurnakan ibadah korban tetap mengamalkan kawalan kendiri pemakaian pelitup muka dan mensanitasi tangan sebagai langkah berjaga-jaga.

Program Korban Berkelompok merupakan inisiatif PEKDIS untuk mendekati masyarakat, memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga Pendidikan selain dapat meraikan golongan kurang berkemampuan dan wajar diberi perhatian. Sebanyak tiga ekor lembu telah dikorbankan pada pagi 10 Zulhijjah iaitu sejurus solat sunat hari raya Aidil Adha.

Penyelaras Program Korban PEKDIS Ustaz Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim berkata, bagi memastikan kelancaran program, pihak urus setia sentiasa mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa dan membuat tinjauan di Pusat Ko-Kurikulum.

Merakam kenangan: Para petugas di bahagian melapah daging sempat merakam gambar bersama tuan pengarah

“Alhamdulillah, kehadiran ramai petugas secara sukarela amat membantu dalam menyempurnakan pengurusan ibadah korban. Seawal pagi ada yang telah menimba lubang kumbahan yang dipenuhi air hujan. Mereka begitu bersemangat membantu menumbangkan lembu untuk penyembelihan.

“Semangat pengorbanan yang ditunjukkan jelas terpancar sepanjang melaksanakan kerja-kerja melapah daging, menimbang, memotong dan membungkus daging,” katanya.

Proses agihan kepada 54 orang asnaf miskin dalam kalangan murid-murid sekolah sekitar wilayah Persekutuan Labuan berjalan lancar. Begitu juga agihan yang dilakukan untuk peserta korban sendiri serta agihan untuk sahabat dan jiran terdekat.

Sementara itu, Pengerusi PEKDIS Cawangan Labuan Ustazah Kamariah Salim berkata perancangan untuk program korban ini telah dilakukan sejak Januari lagi di mana para peserta membuat bayaran ansuran.

 “Terima kasih diucapkan kepada semua peserta korban yang begitu bersungguh-sungguh dalam merealisasikan hajat ini. Begitu juga petugas yang datang membantu dan berkongsi juadah yang lazat untuk dinikmati bersama di pagi Aidil Adha.

“Ibadah korban disebutkan oleh al-Quran sebagai syiar Allah di mana terdapat kebaikan untuk umat manusia iaitu bukan sekadar menyembelih lembu.

Tuan Yusup Bin Haji Mohamad (kiri) dan  Ustazah Kamariah Binti Salim (kanan) bergambar bersama daging korban.

“Kerana itu, di samping kita digalakkan untuk mensyukuri dan mengingati nama Allah semasa menjalankan ibadah korban, kita tidak boleh melupakan ada bahagian yang perlu diberikan untuk mereka yang memerlukan dan alhamdulillah, kita berjaya menyantuni 54 orang asnaf miskin untuk agihan daging korban tahun ini.

“Kesyukuran itu bukan semata-mata amalan peribadi tetapi juga mempunyai sisi kemasyarakatan yang dizahirkan melalui amalan membantu dan memberi makan golongan fakir miskin dan mereka yang memerlukan” katanya lagi.

Kehadiran Tuan Pengarah Pendidikan, Encik Yusup Hj Mohamad ke Pusat Ko- kurikulum telah menambah seri program tersebut. Beliau turut dibawa meninjau ke kawasan melapah, memotong dan membungkus daging korban. Proses agihan daging dan kerja-kerja pembersihan kawasan berakhir jam 1.30 petang.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Tuan Yusup Bin Haji Mohamad turut hadir memeriahkan majlis dan meninjau proses memotong dan mencincang daging.