PERTANDINGAN BERBALAS PANTUN MERIAHKAN PELANCARAN BUKU PANTUN KELPEN DI PESTA BUKU LABUAN 2025

Labuan, 26 Jun 2025 – Suasana penuh gemilang dan sarat nilai warisan budaya mewarnai malam pelancaran Buku Pantun KELPEN yang berlangsung di Pentas Anggerik, Ujana Kewangan Labuan sempena Pesta Buku Labuan 2025. Majlis yang bermula jam 7.30 malam ini diserikan dengan Pertandingan Berbalas Pantun Peringkat Negeri yang menampilkan kehebatan seni kata empat pasukan mewakili Rumah Kuning, Biru, Hijau dan Merah.
Acara berprestij ini dirasmikan oleh Penasihat Kelab Pendidikan Labuan (KELPEN), Encik Yahya Ahmad Puteh yang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua peserta atas komitmen dan semangat dalam memartabatkan seni warisan Melayu. Turut hadir ialah Pengerusi KELPEN bersama-sama barisan ahli kelab yang memberikan sokongan padu terhadap penganjuran acara tersebut.

Dalam pertandingan penuh semangat dan kreativiti itu, Rumah Merah berjaya memukau para juri sekaligus dinobatkan sebagai johan dan membawa pulang pingat emas. Tempat kedua diraih oleh Rumah Kuning dengan pingat perak, manakala Rumah Hijau dan Rumah Biru masing-masing meraih gangsa, berkongsi kedudukan tempat ketiga.
Panel hakim yang terdiri daripada tokoh-tokoh berpengalaman dalam bidang bahasa dan sastera – Puan Siti Zaharah Mohammad, Puan Rodziah Abdul Rahman, Encik Hasnan Md Saad dan Encik Yahya Burhanuddin – telah menilai dengan teliti dari segi penguasaan bahasa, kepetahan berpantun, isi pantun serta gaya persembahan.
Pertandingan ini bukan sahaja menyemarakkan semangat cintakan bahasa dan budaya dalam kalangan pelajar dan masyarakat, malah menjadi platform menggalakkan penghayatan seni berpantun dalam konteks pendidikan dan kesusasteraan moden.
Majlis pelancaran buku pantun ini sekaligus memperkukuh peranan KELPEN dalam usaha mendokumentasi, menghidup dan menyemai kecintaan terhadap seni kata dalam kalangan generasi muda dan masyarakat umum.
“Pantun dijunjung, warisan disanjung; generasi mendatang pasti terpanggil mengangkat budaya yang kian terpinggir.”



