‘Zero To Hero Transformation Carnival’ Tingkat Prestasi Bahasa Inggeris SPM

LABUAN, 24 Julai – “Program ‘Zero To Hero Transformation Carnival 2017’ hasil inisiatif Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lajau ini dilihat bukan sahaja mampu meningkatkan prestasi calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kalangan pelajar sekolah tersebut bahkan para calon SPM dari sekolah-sekolah lain di Labuan ini.”

Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Hasbollah Hamid berkata demikian menyampaikan ucapan Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Raisin Saidin pada perasmian karnival tersebut di Perkarangan Bangunan Ujana Kewangan, di sini, pada Sabtu.

Hasbollah (kiri sekali) dan Yusup (dua dari kiri) sempat mencuba salah satu permainan pada karnival tersebut.
Hasbollah (kiri sekali) dan Yusup (dua dari kiri) sempat mencuba salah satu permainan pada karnival tersebut.

Tambahnya, program ini yang julung-julung kali diadakan merupakan salah satu langkah besar-besaran yang seharusnya mendapat sambutan menyeluruh dari murid dan guru di Labuan ini.

“Penyertaan para peserta dari beberapa sekolah di pulau ini mampu sedikit sebanyak membantu dalam pembelajaran bahasa Inggeris yang menjadi ‘Lingua Franca’ iaitu bahasa komunikasi antarabangsa khususnya meningkatkan prestasi subjek bahasa Inggeris di dalam peperiksaan SPM tahun ini,” katanya lagi.

Menurut Pengetua SMK Lajau, Yusup Mohamad, program ‘Zero To Hero’ ini merupakan cetusan idea Guru Cemerlang bahasa Inggeris sekolah tersebut iaitu Janet Rose Tanakinjal dalam membimbing calon-calon SPM dalam mata pelajaran bahasa Inggeris khususnya aspek komponen sastera yang melibatkan novel, cerita pendek, teks puisi dalam subjek tersebut yang diperkenalkan dalam periksaan SPM sejak tahun lepas.

“Memandangkan komponen sastera bahasa inggeris tersebut agak mencabar yang mana novel berjudul ‘Captain Nobody’ merupakan novel yang menjadi rujukan bagi calon-calon SPM bagi subjek Bahasa Inggeris untuk tahun ini, maka Cikgu Janet telah mengambil usaha mahupun inisiatif menghasilkan program ini agar kaedah pembelajaran menjadi mudah dan seronok.

“Menerusi karnival ini juga, pembimbing rakan sebaya yang mahir dalam program tersebut dalam kalangan pelajar tingkatan Lima SMK Lajau telah dilantik untuk membimbing rakan-rakan sebaya mereka dari sekolah-sekolah lain,” jelas Yusup lagi.

Janet Rose Tanakinjal
                                                            Janet Rose Tanakinjal

Bagi Janet Rose Tanakinjal, 42, program ‘Zero to Hero’ ini akan membuatkan para pelajar lebih yakin dalam menjawab soalan novel subjek bahasa Inggeris SPM tahun ini melalui pembelajaran yang mudah dan menyeronokkan.

“Melalui program ini, kaedah pembelajaran menerusi permainan ‘software’ komputer yang diiilhamkan sendiri oleh pelajar SMK Lajau yang mengadaptasi novel ‘Captain Nobody’ ini akan lebih menyeronokkan di samping permainan yang berbentuk kuiz bagi memudahkan calon-calon SPM mengingati fakta-fakta untuk menjawab soalan novel tersebut semasa SPM kelak.

“Jadi, pada kali ini, SMK Lajau turut berkongsi program ‘Zero to Hero’ dengan mengadakan karnival pada hari ini yang mana sebanyak enam buah gerai aplikasi permainan dan kuiz dapat dicuba oleh para peserta dari seluruh sekolah yang ada di Labuan,” tambahnya lagi.

Froline (kiri) dan Maryjane (kanan)
                                               Froline (kiri) dan Maryjane (kanan)

Bagi dua orang peserta iaitu Maryjane Chang Li Jin, 17, dan Froline Poh Le Xin, 17, dari SMK Mutiara, mereka berdua berkongsi keterujaan dalam mengaplikasi permainanan dan kuiz di gerai-gerai yang terdapat pada program tersebut

Bagi mereka, kedua-dua aktiviti tersebut agak kreatif dan menjadikan pembelajaran mereka lebih seronok tanpa perlu gusar untuk menghafal nota-nota bahasa Inggeris dalam novel ‘Captain Nobody’.

Irham Zulhimi (kanan) pembimbing rakan sebaya bersama pembimbing rakan sebaya yang lain
Irham Zulhimi (kanan) pembimbing rakan sebaya bersama pembimbing rakan sebaya yang lain

Manakala, bagi Irham Zulhilmi Mohd Johan 17, yang merupakan salah seorang Rakan Pembimbing, berpendapat penghuraian bahan-bahan program menggunakan bahasa Inggeris juga dapat memahirkan penggunaan bahasa Inggeris antara para peserta mahupun pembimbing rakan sebaya untuk mencapai keputusan yang memberansangkan dalam subjek bahasa Inggeris SPM kelak.

Sumber : Udabayas