Dialog Prestasi j-QAF 2026: Integriti Data dan Kemenjadian Murid MADANI

Labuan, 12 Mei 2026 – Dialog Prestasi j-QAF Bil. 1 Tahun 2026 anjuran Sektor Pendidikan Islam telah berlangsung dengan jayanya di Dewan C.U.N SK Pekan 1 bermula jam 2.30 petang.
 
Dialog ini menghimpunkan Guru Besar dan Ketua Panitia Pendidikan Islam dari semua sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan serta dipengerusikan oleh En. Yahya Ahmad Puteh, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan.
 
Antara pengisian utama yang dibincangkan termasuk sasaran KPI program j-QAF, intervensi penguasaan al-Quran dan khatam al-Quran, pencapaian aspek solat serta pemerkasaan penguasaan Jawi.
KPI yang ditetapkan oleh Bahagian Pendidikan Islam KPM memberi fokus kepada penguasaan al-Quran murid Tahun 6 sebanyak 98.50%, khatam al-Quran Tahun 6 sebanyak 54%, amali solat Tahun 6 mencapai 100%, serta penguasaan Jawi Tahun 6 sebanyak 99%.
 
Keseluruhan KPI ini menjadi panduan jelas bahawa program j-QAF bukan sekadar pelaporan pencapaian tetapi usaha menyeluruh untuk memastikan murid benar-benar menguasai asas Fardhu Ain, celik al-Quran, menguasai Jawi serta berakhlak mulia.
 
Dialog ini turut menekankan kepentingan intervensi khatam al-Quran dengan perancangan bacaan harian murid, perkongsian amalan baik serta pemerkasaan Jawi melalui modul Jawi baharu yang akan dihasilkan.
Selain itu, aspek integriti data turut diberi penekanan di mana perekodan data dilaksanakan tiga kali setahun (April, Julai, Oktober) dan perlu dibincangkan di peringkat panitia sebelum disahkan oleh pentadbir dalam sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu KPM.
 
Penekanan terhadap integriti ini bagi memastikan semua murid ditaksir dan direkodkan dengan tepat sekali gus menjadikan data yang dikumpul sahih, telus dan boleh dijadikan asas kepada perancangan strategik dan intervensi.
 
Keseluruhannya, Dialog Prestasi j-QAF Bil. 1 Tahun 2026 menjadi wadah penting untuk menilai pencapaian semasa, merangka intervensi berfokus serta memastikan sasaran KPM tercapai. Ia selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 yang menekankan pembangunan holistik murid – bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berakhlak mulia, berjiwa penyayang, berdisiplin serta berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa depan.
 
Dialog ini menegaskan komitmen bersama dalam melahirkan generasi MADANI yang seimbang dari segi ilmu, kemahiran, nilai, dan integriti.