Pengarah Pendidikan Lakukan Kunjung Hormat Kepada YB Senator Datuk Bashir

Labuan, 9 Sept – Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Haji Bashir bin Haji Alias, di pejabatnya di Tingkat 4, Wisma Perbadanan hari ini. Kunjung hormat ini bersempena pelantikan Encik Yusup bin Haji Mohamad sebagai Pengarah Pendidikan yang baharu berkuat kuasa 1 Mac yang lalu.

Rombongan dari Jabatan Pendidikan seramai 4 orang turut disertai oleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan Encik Mohd Nizam bin Yasim, Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah Puan Maimoon binti Haji Matnoh dan Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Encik Awang Marten bin Datuk Haji Abdul Rahman.

Dalam pertemuan itu, Encik Yusup Mohamad telah menerangkan hal-hal berkaitan kesediaan pengoperasian semula  sekolah yang dijangkakan bermula pada 4 Oktober 2021. Menurut beliau, setakat ini semua sekolah telah bersedia untuk beroperasi selaras dengan pengistiharan Labuan telah memasuki Fasa 4 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selain itu, beliau turut memaklumkan beberapa projek pembangunan baharu termasuk pembinaan Kolej Tingkatan 6 dan pembinaan satu blok gantian yang mengandungi 12 bilik darjah di SMK Labuan.

Terdahulu, YB Senator Datuk Haji Bashir mengucapkan tahniah kepada Encik Yusup kerana telah dilantik menerajui Jabatan Pendidikan W. P. Labuan. Beliau turut melahirkan rasa bangga atas pelantikan anak tempatan menerajui agensi kerajaan yang terbesar di pulau ini.

“Jika terdapat isu-isu berbangkit berkaitan hal-hal pendidikan, pihak saya sedia membantu terutamanya dalam meningkatkan kualiti pendidikan di wilayah ini” ujar beliau.

Di akhir majlis, Encik Yusup menyampaikan cenderamata daripada Jabatan Pendidikan W.P Labuan kepada Datuk Bashir sebagai tanda kenangan.

Berita Oleh : Sektor Perancangan




Program Bual Bicara Pengarah Jabatan Pendidikan W.P. Labuan Dengan Murid-Murid Tingkatan 5 Sekolah Menengah Berjaya Menarik Respon Yang Amat Memberangsangkan

Labuan, 23 Ogos : Satu Program Bual Bicara Pengarah Pendidikan, Tuan Yusup Hj Mohamad, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan bersama murid-murid tingkatan 5 sekolah menengah  telah diadakan pada 14 Ogos 2021 bersamaan dengan hari Sabtu pada jam 8.30 malam secara dalam talian di rumah masing-masing. Program ini dianjurkan oleh Sektor Pembelajaran, dan merupakan insiatif pengarah sendiri untuk lebih mendekati calon-calon SPM 2021.

Seramai 250 orang telah mengikuti program ini yang terdiri daripada Pengarah,Timbalan Pengarah, Ketua Penolong Pengarah, semua pegawai sektor pembelajaran, pengetua-pengetua sekolah menengah, penolong-penolong kanan, kaunselor, lima orang guru-guru tingkatan 5 dari setiap sekolah  dan 162 murid tingkatan lima yang terdiri daripada 18 orang daripada setiap sekolah.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada murid tingkatan 5 sekolah menengah W.P. Labuan  berinteraksi secara terus bersama Pengarah  Pendidikan. Program ini sebagai medan terbuka  untuk murid-murid melontarkan pandangan dan pendapat masing-masing berkaitan isu dan cabaran yang dihadapi semasa mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Respon daripada murid amat memberangsangkan apabila mereka berjaya membangkitkan isu dalam situasi mereka berhadapan dengan norma baharu.

Pengarah  memaklumkan program ini diadakan  pada waktu malam supaya semua murid dapat mengikutinya  dan tidak timbul isu peranti digunakan oleh ibu bapa yang bekerja. Murid kohort SPM 2021 yang  mengikuti PdPR selama hampir 2 tahun ekoran pandemik Covid-19 ini berhadapan dengan cabaran dan kekangan yang perlu didengari oleh pihak jabatan. Pengarah berpendapat program ini dapat memberi maklumat mengenai keinginan dan harapan anak-anak murid Tingkatan 5 agar jabatan boleh mencari resolusi untuk membantu mereka.

Menurut salah seorang calon SPM 2021, adik Corliss Lim Jing Shi  dari SMK Labuan yang berada dalam aliran sains tulen, mengatakan bahawa rakannya menghadapi masalah apabila guru menggunakan aplikasi google meet tetapi bilangan yang mengikuti  hanya 2 ke 3 orang sahaja. Beliau menyatakan bahawa apabila guru memberi link youtube atau slides, tidak ada penerangan tentang isi kandungan pembelajaran tersebut. Dia turut mencadangkan guru untuk menyediakan video atau bahan rujukan yang mempunyai penerangan supaya senang difahami oleh murid terutama silibus KSSM yang baharu.

Hal ini turut dikongsi bersama oleh Evania Liew Hui Chen dari SMK Pantai yang mengutarakan isu capaian Internet yang kurang baik serta kurangnya pendedahan membuat eksperimen membuatkan murid  merasa sedikit kurang yakin untuk menduduki kertas amali sains SPM.

Antara perkara menarik yang turut dikongsikan oleh murid-murid ini adalah cara-cara  meningkatkan motivasi dan  kesiapsiagaan sesama mereka dari sudut mental, emosi dan kerohanian dalam menghadapi SPM nanti. Adik Aiman Nazim  dari SMK Lajau mencadangkan mengikuti Study Group PPTI yang boleh membantu dalam masalah pelajaran dan boleh dirujuk menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya. Hal ini turut dikongsi oleh Teo Siti Raydiana dari SMK Lajau yang mengajak rakan-rakannya untuk mengubah cara berfikir dengan memegang prinsip hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Beliau juga meminta rakan-rakan untuk tidak terlalu berharap dengan bahan rujukan daripada guru ataupun dalam google meet semata tetapi perlu mencari sendiri bahan-bahan rujukan lain serta keluar dari zon selesa untuk lebih berdikari.

Pengarah  menyatakan rasa syukur dan amat gembira dengan pelbagai cadangan dan juga pandangan yang telah dikemukakan oleh murid-murid. Segala isu dan cadangan akan diambil perhatian dan tindakan yang sewajarnya. Beliau juga menasihati murid-murid untuk sentiasa menjaga kesihatan dan membiasakan diri dengan budaya pembelajaran norma baharu sesuai dengan situasi Pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara sekarang serta mempersiapkan diri secukupnya bagi menghadapi SPM 2021.




219 Peranti diedar kepada murid SMK Labuan dibawah Inisiatif CERDIK

Labuan, 20 Ogos Sebanyak 219 unit lagi peranti komputer riba termasuk langganan internet selama setahun telah diedarkan kepada murid-murid SMK Labuan yang berkelayakan, baru-baru ini.

Edaran peranti ini merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2021 untuk menyediakan akses digital pendidikan melalui akses kepada peranti dan sambungan data internet yang menyasarkan murid dari keluarga berpendapatan rendah.

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah berharap agar peranti yang dibekalkan kepada murid ini dapat meningkatkan peratus kehadiran murid melalui sesi pembelajaran di rumah secara dalam talian.

“Besarlah harapan saya agar murid yang menerima peranti ini tidak lagi ketinggalan dalam mengikuti pembelajaran secara dalam talian” . Encik Ismail Abdullah.

Agihan telah dilaksanakan secara pandu lalu pada 5 Ogos 2021 di perkarangan sekolah SMK Labuan dan turut dihadiri oleh Encik Yusup Haji Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad, Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid.

Encik Ismail menyerahkan peranti kepada ibu murid yang hadir secara pandu lalu
Tuan Haji Abdul Rahman menyerahkan peranti kepada pelajar Ahmad Khuizzan

Encik Yusup berkata peranti yang dibekalkan ini merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu murid-murid yang memerlukan komputer demi meneruskan kelangsungan proses pendidikan melalui pembelajaran digital di kediaman masing-masing.

“KPM menerusi pelbagai insentif dan inisiatif dilaksanakan bagi memastikan semua murid tidak tercicir dalam arus pendidikan” . Encik Yusup Haji Mohamad

Sementara itu, pelajar Nur Afiqah yang hadir bersama ayahnya mengucapkan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan komputer riba ini. Berkongsi kesyukuran, pelajar Mohammad Harriz yang melahirkan rasa kegembiraan di atas bantuan yang diberikan.

“Saya sangat gembira dengan bantuan yang diberikan dan akan menggunakan komputer ini untuk pembelajaran di rumah nanti”. Mohammad Hariz, murid Tingkatan 3 Fasih.

Pelajar Nur Afiqah berterima kasih atas bantuan yang diberikan

Untuk rekod, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengedarkan sebanyak 455 unit peranti inisiatif CERDIK dan sambungan data internet kepada 455 orang murid melibatkan tiga buah sekolah iaitu SK Pekan Dua, SMK Pantai dan SMK Labuan.

Guru SMK Labuan sedang menerangkan secara ringkas kepada murid mengenai sambungan data internet yang diberikan
ibu murid sedang membuat pendaftaran peranti sambil dibantu oleh guru SMK Labuan
Guru sedang bertungkus-lumus membuat persiapan agihan peranti CERDIK SMK Labuan
Guru membuat serahan komputer kepada ibu bapa yang hadir



“Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti” Semarakkan Sambutan Maal Hijrah 1443H Warga Pendidikan di WP Labuan

LabuanSambutan Maal Hijrah 1443H terus dihayati dan disemarakkan oleh warga pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan. Majlis yang dianjurkan oleh Sekolah Kebangsaan Bebuloh (SKB) dengan kerjasama Sektor Pendidikan Islam (SPI), JPWPL telah diadakan secara dalam talian baru-baru ini dimeriahkan dengan kehadiran dua selebriti terkenal Hafiz Hamidun dan Hazamin Inteam.

Tema Sambutan Maal Hijrah tahun ini “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti” amat bertepatan dengan realiti rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai masyarakat majmuk berbilang kaum, bangsa dan agama.

Sikap saling hormat menghormati, bertoleransi, saling memaafkan dan bersifat belas kasihan yang dianjurkan oleh Islam dapat dilihat melalui konsep Rahmatan Lil ‘Alamin yang dibawa junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Selaras dengan tema sambutan Maal Hijrah ini, negara memerlukan kesatuan fikrah dan hala tuju dalam menghadapi kekalutan dunia yang sedang bergelut dengan pendemik COVID-19 serta isu yang menghimpit masyarakat. Namun dalam apa jua cabaran yang dihadapi kebajikan, kemanusiaan, nilai kasih sayang dan bakti kepada ummah merentasi agama dan bangsa.

Majlis Maal Hijrah dimulai dengan bacaan doa akhir tahun yang dipimpin oleh Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Ustaz Haji Sahrum bin Samlan bermula jam 6.00 petang. Diikuti dengan bacaan doa awal tahun dibawah pimpinan saudara Hafiz Hamidun dan bacaan surah Yaasin yang dipimpin oleh saudara Hazamin Inteam .

Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusop bin Haji Mohamad dalam ucapannya mengajak warga pendidikan agar bangkit bersama-sama untuk mengukuhkan perpaduan, menjaga kesihatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan demi negara tercinta disamping sentiasa berjiwa besar dalam mendepani apa jua cabaran selain mempunyai keyakinan dan emosi yang kukuh ketika berdepan pandemik COVID-19.

Perasmian: Yusup mengucapkan Salam Maal Hijrah dan menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

“Saya menyeru kepada diri saya dan saudara saudari sekalian, marilah bersama-sama kita menjiwai peristiwa hijrah. Kita memasang azam dan iltizam untuk berusaha lebih kuat di tahun baru hijrah ini agar kejayaan yang lebih tinggi dan impian yang mahu direalisasikan dapat dizahirkan dengan sempurna. Mencapai kejayaan yang lebih tinggi dalam kehidupan masing-masing serta meningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

“Kesukaran hidup kesan wabak telah dirasai dan memerlukan motivasi dan semangat juang yang tinggi. Paling penting adalah bagaimana semangat persaudaraan Muhajirin dan Ansar wajar dipraktikkan oleh kita semua dalam usaha membantu mereka yang hilang mata pencarian mereka akibat wabak yang telah melanda,” katanya lagi.

Perkongsian Ilmu: Hafiz Hamidun memimpin bacaan doa awal tahun hijrah 1443 dan menyampaikan secebis kata dalam majlis tersebut
Hazamin Inteam memimpin bacaan surah Yaasin, doa dan menyampaikan secebis kata dalam majlis tersebut

Sementara itu, Guru Besar SK Bebuloh, Encik Abdul Rahman bin Salim turut terima kasih kepada ibu bapa murid-murid SK Bebuloh atas yang diberikan dan pengorbanan dalam memastikan anak-anak mengikuti pembelajaran di rumah.

Majlis yang disertai seramai 250 peserta melalui aplikasi ‘Google meet’ dan turutdisiarkan melalui ‘facebook live SK Bebuloh’ turut  dihadiri oleh Timbalan- timbalanPengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pengetua, Guru Besar, pegawai-pegawai di JPWPL, ustaz ustazah, guru-guru di WP Labuan dan seluruh Malaysiadari kediaman masing-masing.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Bersyukur: Abdul Rahman merakamkan ucapan terima kasih rasa syukur atas kelancaran program dan kehadiran ramai peserta dalam majlis tersebut.
Rakam kenangan: Peserta program merakamkan gambar kenangan bersama penceramah.



“Tajamkan Minda, Teguhkan Jiwa” Suntik Semangat Motivasi Warga Pendidikan di WP Labuan

Labuan: Isu kesihatan mental merupakan cabaran terkini warga Malaysia dalam era pandemik Covid-19. Isu ini bukan sahaja di hadapi oleh Malaysia malah turut dihadapi oleh negara-negara lain. Impak psikologi yang negatif terhadap diri seperti takut, cemas, tertekan, bimbang dan murung memberikan kita hala tuju yang tidak sihat kepada kehidupan sehingga  membawa kepada tekanan kerja dan kepuasan kerja yang rendah.

Menyedari kepentingan status kesihatan mental semua warganya, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) mengambil inisiatif mengadakan  Program motivasi Ke Arah Pembangunan Modal Insan Guru bertajuk “Tajamkan Minda, Teguhkan Jiwa” yang diterajui oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI) bersama Sektor Psikologi dan Kaunseling, Sektor Pembelajaran, Sektor Pengurusan Maklumat dan Sektor Pendidikan Khas baru-baru ini.

Program Jaringan Kerjasama JPWPL dengan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan ini amat bertepatan dengan pendemik yang sedang dialami sekarang iaitu untuk membugarkan prestasi kerja guru di samping melihat cabaran-cabaran yang dihadapi guru-guru sehingga mempengaruhi perkembangan profesional mereka.

Ketua Penolog Pengarah Sektor Pendidikan Islam Ustazah Kamariah binti Salim berkata, dalam mendepani pendemik covid 19, guru perlu ada ‘tambah nilai’ dalam penggunaan teknologi pengajaran dan pembelajaran terkini. Guru bukan sahaja memerlukan kemahiran ICT, kreatif dan inovatif dalam menyampaikan pengajaran tetapi juga perlu berupaya mengawal emosi ketika berhadapan dengan pelbagai isu.

“Sebagai warga pendidik kita memerlukan kecekalan hati, bersabar , sentiasa tabah dan bersemangat dalam mendidik generasi kini melalui norma baharu dan dalam masa yang sama  juga perlu mengurus keluarga sendiri yang juga berdepan dengan pelbagai cabaran,” katanya semasa majlis tersebut berlangsung .

Urusetia Program: Ustazah Kamariah merakamkan rasa kesyukuran di atas kelancaran program dan terima kasih atas jaringan kerjasama bersama PPZ.

Ceramah motivasi “Tajamkan Minda, Teguhkan Jiwa”  telah disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Huzili Hussin, Ketua Pusat Kecemerlangan, Inovasi dan  Kelestarian Sosial (COESIS), Universiti Malaysia Perlis. Pakar Motivasi Terapi Tingkah Laku Kognitif (CBT) Malaysia secara santai namun penuh ilmiah.

Antara perkara yang dibincangkan ialah berkaitan hebatnya diri kita sebagai makhluk ciptaan Allah dalam mencari ketenangan dan kebahagiaan berdasarkan dua kuadron iaitu  menjaga hubungan dengan tuhan dan hubungan baik dengan manusia.

“Untuk mencapai matlamat hidup, banyak halangan yang ditempuhi dan sukar untuk membuat pilihan. Namun, jika seseorang itu ‘diracuni’ pemikiran atau kita sendiri yang terkena ‘racun’, amat sukar untuk mengetahui impak ‘racun’ tersebut kepada kita.

“Apa yang jelas, pemikiran dan jiwa yang diracuni akan memberi kesan besar kepada kemakmuran masyarakat serta amat sukar untuk dipulihkan,” katanya penuh semangat.

Menurutnya lagi, seseorang itu akan mudah diracuni sekiranya membiarkan diri mereka dimanipulasi atau dikuasai orang lain. Tambahan pula dengan sikap malas berfikir, kurang berusaha mencari kebenaran dan ketagih sebagai penyebar cerita.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusop bin Hj Mohamad.

Dalam ucapannya, Encik Yusup menzahirkan kebimbangan terhadap masalah kesihatan mental sebagai isu yang terpencil suatu ketika dahulu kini menjadi cabaran dan isu yang boleh mengugat kredibiliti dan prestasi kerja.

“Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan tidak memandang sebelah mata kesukaran dan cabaran yang dihadapi oleh warga pendidik di pelbagai peringkat jawatan dan kedudukan, setiap masa pihak jabatan melalui sektor-sektor sentiasa mencari pendekatan untuk memudahkan apa juga urusan di peringkat sekolah dan jabatan dengan mencari kaedah terbaik bagi menangani cabaran ini secara bersama.

 “Sektor Pendidikan Islam umpamanya mengetengahkan Program Bacaan Yaasin dan Doa Munajat setiap malam, Bacaan Zikir Al Mathurat setiap pagi sebagai langkah mengukuhkan iltizam kerohanian dalam menghadapi pendemik berpaksikan rahmat dan inayah ketuhanan.

 “Sektor Psikologi dan Kaunseling melaksanakan Program Minda Sejahtera melalui soal selidik Stress, Anxiety dan Depression (eDASS) secara dalam talian dan mengurusetiakan Program Warga Prihatin sebagai saluran menghulurkan bantuan dengan kadar termampu sebagai sokongan emosi dan psikologi kepada warga pendidikan yang terkesan akibat pandemik covid 19,” katanya.

Sektor Pembangunan Murid telah melancarkan Program Solidariti Hamparan Kasih dengan tumpuan khusus kepada murid-murid yang terkesan dan ditimpa musibah seperti kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali akibat Covid 19, bencana kebakaran, positif Covid 19 dan sebagainya.

“Sektor-sektor yang lain juga menjadi sektor peneraju dan sokongan kepada pelaksanaan program pencegahan, pembangunan, pemulihan dan intervensi kepada inisiatif jabatan dalam mendepani kesukaran kemelut pandemik ini,” ujarnya lagi.

Dalam ucapannya Encik Yusup turut mengajak rakan-rakan guru serta hadirin di dalam talian untuk membayar zakat melalui potongan gaji yang diuruskan oleh PPZ. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan PPZ atas jaringan kerjasama ini dan berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan lagi dalam program-program kerohanian di masa akan datang.

Perasmian: Encik Yusup menyampaikan ucapan perasmian motivasi warga pendidikan dengan penuh semangat.

Majlis tersebut turut  dihadiri oleh Timbalan- timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pengetua, Guru Besar, pegawai-pegawai di JPWPL, ustaz ustazah dan juga guru-guru di sekitar wilayah ini diadakan secara atas talian dengan disertai lebih daripada 150 orang warga pendidik melalui aplikasi google meet dari kediaman masing-masing.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Rakam kenangan: Peserta program merakamkan gambar kenangan bersama penceramah



BENGKEL KAJIAN SEMULA PELAN TAKTIKAL:

Memastikan Sistem Penyampaian Kekal Relevan

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah berjaya melaksanakan kajian semula terhadap Pelan Taktikal Jabatan Pendidikan 2021 bermula 22 hingga 24 Julai lalu. Bengkel selama 3 hari itu melibatkan semua ahli pengurusan tertinggi jabatan dan dibuat secara dalam talian sepenuhnya.

Penyelaras bengkel, Puan Faridah Amit yang juga Penolong Pengarah di Sektor Perancangan berkata, bengkel ini bertujuan untuk menyelaras semula pelan taktikal berkaitan Key Performance Indicator (KPI) dan sasaran yang ditetapkan sebelum ini.

“Kita maklum bahawa Pandemik Covid-19 telah menukar cara dan kaedah kita melaksanakan aktiviti. Di samping itu terdapat halangan aktiviti secara bersemuka dalam kalangan pegawai, guru dan murid. Justeru bengkel ini memberi peluang kepada semua sektor untuk membuat penyelarasan semula sasaran KPI dan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan untuk penggal kedua tahun ini” kata beliau.

Bengkel di bawah kelolaan Sektor Perancangan ini telah dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Mohamad.

Dalam ucaptamanya, beliau menekankan tentang kepentingan meningkatkan kualiti pengurusan organisasi dan berusaha bersungguh-sungguh dengan cara yang sesuai dalam keadaan yang mencabar ini supaya sistem penyampaian tidak terjejas.

“Kita perlu bertindak secara lebih kreatif dan inovatif dalam situasi mencabar sekarang ini bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti peringkat negeri yang berfaedah terutamanya kepada murid-murid. Semua sector perlu membuat semakan semula kepada Pelan Taktikal masing-masing supaya kekal relevan untuk memacu kemenjadian murid dan kualiti sekolah” ujar beliau lagi.

Encik Yusup Haji Mohamad

Pelan Strategik JPWPL dibina untuk tempoh pelaksanaan 5 tahun bermula Tahun 2021 hingga 2025 dengan 10 matlamat strategik bertemakan Pendidikan Komprehensif Minda Kelas Pertama. Pelan Taktikal 2021 menggariskan kerja buat secara tahunan untuk mencapai matlamat strategik.

Menurut Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid (SPM), Ustaz Abdul Rahman Ahmad, pengubahsuaian terhadap semua aktiviti murid terpaksa dilakukan memandangkan situasi pandemik yang belum reda.

“Walau bagaimanapun kita akan menyesuaikan pelaksanaan aktiviti bagi memberi peluang kepada murid untuk terus aktif. Kita akan perbanyakkan aktiviti dan pertandingan secara dalam talian. Selain itu, penyertaan murid juga boleh dibuat melalui rakaman video” kata beliau.

Di akhir bengkel, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim telah merumuskan keputusan dan perubahan yang telah dipersetujui bersama oleh ahli-ahli bengkel.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama dan komitmen semua ahli bengkel yang telah menjayakan bengkel kajian Pelan Taktikal bagi setengah tahun kali ini.

Turut hadir dalam bengkel tersebut ialah YDP Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Labuan, Encik Ismail Abdullah dan Setiausaha Majlis Guru Besar (MGB) Labuan, Encik Abdul Rahman Salim.

Berita Oleh : Sektor Perancangan




Dialog Prestasi Berfokus Inisiatif Selesai Isu Operasi Sekolah

Pengoperasian sekolah di dalam tempoh pandemik Covid19 telah memberi cabaran baharu kepada warga sekolah. Kekangan pertemuan secara bersemuka antara murid, guru dan pihak pentadbir menyebabkan banyak isu pengoperasian sekolah tidak dapat diselesaikan mengikut kelaziman.

Menyedari cabaran ini, Sektor Perancangan selaku peneraju inisiatif Program Transformasi Daerah di Jabatan Pendidikan W.P.Labuan (JPWPL) telah menganjurkan sesi Dialog Prestasi bersama semua Pengetua dan Guru Besar baru-baru ini.

Dialog prestasi yang dilaksanakan secara dalam talian ini bertujuan untuk mendapatkan maklum balas berkaitan aktiviti-aktiviti pengoperasian di peringkat sekolah.

Sesi dialog kali ini memberi fokus kepada peranan aktiviti bimbingan dan kaunseling oleh Guru Bimbingan Kaunseling (GBK) kepada murid dalam menangani cabaran pandemik Covid19.

Selain itu kluster perubahan peranan JPWPL berdasarkan penstrukturan baharu dalam memaju kecemerlangan organisasi turut diberi perhatian.  

Dialog Prestasi Berfokus kali pertama ini telah dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan W.P.Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Dalam ucapan aluan, Encik Yusup menekankan kepentingan Dialog Prestasi sebagai forum dua hala untuk menyemak kemajuan dan prestasi kerja buat organisasi berdasarkan data bagi memastikan hasrat, matlamat dan objektif organisasi dapat dicapai.

“Cabaran pandemik Covid19 perlu dilihat sebagai satu peluang untuk meneroka kaedah dan cara baharu untuk kita bertindak secara kreatif dan inovatif. Saya begitu berbangga kerana dalam tempoh ini semua Pengetua dan Guru Besar telah berjaya mengurus kelangsungan pengoperasian sekolah” kata beliau.

Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Haji Mohamad

GBK di sekolah-sekolah telah berjaya melaksanakan peranan masing-masing dalam menangani pelbagai isu berkaitan murid terutamanya penyertaan mereka dalam sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).

“Penyertaan murid di dalam PdPR di wilayah ini adalah sangat baik. Walau bagaimanapun kita perlu lebih berusaha untuk memastikan murid-murid terus komited mengikuti PdPR. GBK perlu terus berperanan terutamanya untuk meningkatkan motivasi mereka” ujar beliau lagi.

Pihak Jabatan Pendidikan akan terus berusaha untuk memastikan pengisian penuh jawatan GBK di semua sekolah supaya murid-murid berpeluang mendapat perkhidmatan dan aktiviti kaunseling secara lebih baik dan berkesan.

Selain itu, Encik Yusup juga mengucapkan terima kasih atas inisiatif KPM, GLC dan pihak sekolah dalam membekalkan peranti mudah alih kepada murid-murid daripada kategori keluarga B40 melalui program CERDIK.

Yang DiPertua (YDP) Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Labuan, Encik Ismail Abdullah menyifatkan sesi Dialog Prestasi ini adalah sangat bermanfaat dan mampu meningkatkan kualiti pengurusan pihak sekolah.

“Dalam sesi sebegini, pihak sekolah dapat memaklumkan kepada pihak jabatan akan keperluan-keperluan pihak sekolah dari semasa ke semasa bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan pendidikan di sekolah kekal relevan dan bermanfaat untuk setiap murid” kata beliau.

YDP MPSM Labuan, Ismail bin Abdullah

Penyelaras dialog, Encik Joehellmy bin Jumat yang juga Penolong Pengarah di Sektor Perancangan telah merumuskan dapatan daripada dialog ini untuk tindakan susulan bersama. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pengetua dan guru besar yang telah menyertai sesi dialog secara aktif kali ini.

Penyelaras Dialog, Encik Joehellmy bin Jumat

Turut hadir dalam sesi dialog ialah timbalan-timbalan pengarah, ketua-ketua penolong pengarah dan pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan.

Berita Oleh : Sektor Perancangan




“KOPI O PULUT PANGGANG” Sesi Santai Kongsi Ilmu

Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah berjaya menganjur dan menarik penyertaan warga guru seluruh negara dalam sesi Professional Learning Community (PLC) “Kopi O Pulut Panggang” siri 2 yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini.

Program santai yang dikelolakan oleh Sektor Perancangan telah menampilkan Pensyarah Cemerlang dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Raja Melewar Negeri Sembilan, Dr. Hjh Zailah Zainudin sebagai penceramah.

Bertemakan “Kajian Tindakan dan Penyelidikan Berpisah Tiada”, Dr. Hjh Zailah telah berkongsi pengalaman beliau menggunakan reka bentuk kajian tindakan ketika melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah(PhD). 

Mengungkap pengalaman ketika mula-mula menceburi bidang penyelidikan, beliau sebagai seorang guru biasa tidak begitu memahami istilah dan kaedah penyelidikan yang sebenar. Namun peluang mewakili sekolah membuat pembentangan kajian tindakan di Terengganu sekitar tahun 90an telah mencetus minat beliau dalam membuat kajian tindakan secara lebih mendalam.

“Ketika itu saya tidak mempunyai satu bentuk rujukan penyelidikan yang mudah untuk saya fahami. Maka dari situ tercetuslah idea untuk menggunakan reka bentuk kajian tindakan ini” kata Dr. Zailah yang merupakan pelopor kepada kajian tindakan di Malaysia.

Menurut beliau lagi, sebelum tahun 2000, Kajian Tindakan tidak diiktiraf sebagai satu kajian ilmiah dan tidak diterima untuk ‘proposal’ kajian di peringkat yang lebih tinggi. Namun begitu, situasi ini telah berubah dan kini kajian tindakan adalah suatu rekabentuk yang sah dan setaraf dengan rekabentuk kajian yang lain.

“Sebenarnya Kajian Tindakan merupakan satu reka bentuk kajian yang sangat rapat dengan guru terutamanya dalam meningkatkan kualiti PdP dari semasa ke semasa. Selain itu, kajian tindakan ini juga dapat dikongsi dengan rakan-rakan guru yang lain untuk manfaat bersama” tambah beliau lagi.

Sesi Lambaian Kasih Jalinan Budi kepada bekas Jurulatih Utama KT12L, Encik Samih Kukung

Penyelaras program, Puan Faridah Amit berkata penganjuran program ini bertujuan untuk memberi perkongsian ilmu secara berterusan terutamanya kepada alumni Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah (KT12L).

“Kita akan terus menampilkan tokoh-tokoh pendidikan berwibawa pada masa-masa akan datang. Kita juga yakin bahawa forum sebegini mampu memberi manfaat kepada setiap lapisan guru dalam meningkatkan tahap professional keguruan secara berterusan” kata beliau lagi yang juga merupakan penolong Pengarah di Sektor Perancangan.

Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pihak yang menjayakan program kali ini. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada salah seorang Jurulatih Utama KT12L, Encik Samih Kukung yang telah bertukar tempat bertugas sebagai Pensyarah di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Keningau, Sabah mulai 26 Julai lalu.

Sesi PLC ‘KOPI O PULUT PANGGANG’ kali ini dikendalikan oleh Cikgu Yahya Burhanuddin sebagai Moderator dan Cikgu Norazimah Mohamed Dauzkaply Nor  sebagai pengacara. Program yang disiarkan melalui pelantar YouTube live ini telah menarik penonton secara dalam talian seramai 172 orang.

Berita Oleh : Sektor Perancangan




Murid SK Pekan II dan SMK Pantai Terima 236 Peranti CERDIK untuk PdPR

Labuan – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah mengagihkan sebanyak 236 unit peranti CERDIK masing-masing 118 unit kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Pekan II dan SMK Pantai, baru-baru ini.

Inisiatif CERDIK  merupakan kerjasama Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pendidikan (KPM) yang menyediakan akses digital iaitu komputer riba serta penyambungan data internet kepada murid dari keluarga berpendapatan rendah atau B40.

Pemilihan murid dan sekolah yang terlibat dengan CERDIK ditentukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

KPM juga meneliti spesifikasi perkakasan dan perisian untuk memastikan pelaksanaan inisiatif yang lebih lestari terutama dari segi sokongan jaminan, kebolehgunaan, dan jangka hayat yang lebih lama untuk pembelajaran digital pada masa depan.

Pengetua SMK Pantai, Puan Norazita menyerahkan peranti iPad kepada bapa murid yang berkeperluan
Guru Besar SK Pekan II, Puan Hjh Dayang Damit@Saidah ketika penyerahan kepada ibu bapa yang hadir menerima peranti di Pusat Ko

Pengagihan peranti SK Pekan II telah dilaksanakan pada 30 Jun 2021, bertempat di Pusat Kokurikulum, JPWPL. Manakala pengagihan peranti kepada murid SMK Pantai telah selesai dilaksanakan pada 15 Julai 2021. Kedua-dua pengagihan mengikut SOP yang telah ditetapkan dan dilaksanakan secara Pandu Lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup Haji Mohamad berharap agar kemudahan ICT yang diberikan ini dapat membantu murid-murid mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Mudah-mudahan bantuan peranti yang diberikan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh murid dalam menjalani sesi pembelajaran di rumah masing-masing”. Encik Yusup Haji Mohamad

Menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November lepas oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan mengumumkan sumbangan sebanyak RM150 juta ke dalam Tabung CERDIK oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi pemberian komputer riba kepada 150 ribu murid di 500 sekolah sebagai projek rintis yang akan diselia Yayasan Hasanah.

Keriangan terpancar di wajah murid bersama ibunya yang hadir menerima peranti CERDIK di SMK Pantai
Ibu bapa rasa gembira dan syukur yang tidak terhingga dengan bantuan peranti ICT berserta data internet untuk PdPR anak mereka
Encik Yusup Haji Mohamad menyerahkan borang peranti kepada ibu bapa SK Pekan II secara pandu lalu sambil diperhatikan Ustaz Haji Abdul Rahman
Petugas SK Pekan II memberi penerangan ringkas kepada ibu bapa mengenai peranti CERDIK yang diterima
Guru-guru SK Pekan II semasa persiapan pengagihan peranti CERDIK kepada murid-murid



PLC “KOPI O PULUT PANGGANG” Medan Perkongsian Profesional Warga Pendidik

Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah berjaya menganjur dan menarik penyertaan warga guru seluruh negara dalam sesi Profesional Learning Community (PLC) yang diadakan secara dalam talian pada Jumaat lalu.

Program santai yang dinamakan “Kopi O Pulut Panggang” kali ini telah membawa Pensyarah Pengajian Melayu dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur, Dr. Yuznaili Saleh sebagai penceramah.

Dalam sesi kali ini, Dr. Yuznaili telah berkongsi teknik-teknik pembacaan yang berkesan untuk pelbagai peringkat seawal umur 5 tahun sehingga kepada golongan dewasa.

Beliau menekankan tentang kesesuaian bahan bacaan kepada pembaca setiap peringkat umur. Pemilihan bahan bacaan yang salah akan menyebabkan otak manusia menolak untuk memahami kandungan yang tertulis di dalam sesebuah buku.

“Bahan bacaan ilmiah secara umum mempunyai 3 peringkat iaitu permulaan, pertengahan dan lanjutan. Kaedah dan cara penulisan dalam setiap peringkat ini adalah berbeza dan telah disesuaikan mengikut golongan pembaca tertentu”

“Kaedah atau teknik bacaan yang sesuai juga dapat membantu pembaca untuk memahami dengan lebih baik tentang kandungan sesebuah buku. Fokus dan lerekan mata banyak membantu pembaca untuk menangkap idea-idea besar yang hendak disampaikan oleh penulis” tambah beliau lagi.

Selain itu, para pembaca perlu mematuhi tempoh pembacaan secara konsisten bagi memberi peluang kepada otak untuk menyerap dan memproses pelbagai kategori maklumat yang ada di dalam bahan bacaan tersebut.

Sektor Perancangan (SPr) dan Sektor Pembelajaran (SPb) , Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah bekerjasama bagi menjayakan sesi PLC ini yang merupakan aktiviti sokongan professional kepada ahli-ahli Alumni Kolokium Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah.

Menurut Puan Faridah Amit, Penolong Pengarah Sektor Pembelajaran yang juga penyelaras program, sesi PLC ini turut dibuka kepada penyertaan umum terutamanya guru-guru sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengerusi Alumni, Puan Suriani Alland Rice Oxley yang juga Pegawai SISC+ di Sektor Pembelajaran menyifatkan pemilihan tajuk “Teknik Pembacaan Berkesan” adalah sangat signifikan dan menjadi ilmu pelengkap kepada ahli Alumni sebagai persediaan untuk melakukan pembacaan yang lebih banyak terutamanya dalam penyediaan sesuatu kertas kajian penuh.

Terdahulu, dalam ucapan aluan majlis, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim berharap agar alumni ini akan menjadi satu medan perkongsian ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berterusan demi kepentingan warga pendidik seluruh negara.

Di dalam sesi ucapan, beliau turut mengumumkan tiga kertas kajian tindakan terbaik yang telah dipilih oleh panel penilai.

Kertas kajian tindakan bertajuk “Menyelesaikan Masalah Pengiraan Melibatkan Persamaan Kimia bagi subjek Kimia Menggunakan Model Pelan Bansho Jepun” hasil kajian Cikgu Chin Khui Kyun dari SMK Kunak Jaya telah berjaya memperoleh tempat pertama.

Pemenang tempat kedua dirangkul oleh Cikgu Mylsa Avinne dari SK Sungai Bedaun dan tempat ketiga pula disandang oleh Cikgu Farhana binti Abdol Sappar dari Sekolah Antarabangsa Labuan.

Sesi PLC ‘KOPI O PULUT PANGGANG’ yang disiarkan melalui pelantar YouTube live ini telah menarik penonton secara dalam talian seramai 226 orang.

Berita Oleh : Sektor Perancangan