Pemantauan Kantin Sekolah Rendah Sempena Pembukaan Semula Sekolah.

Pada 26 hb Februari 2021 bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari, seramai 7 orang  pegawai di Sektor Pembangunan Murid telah diamanahkan untuk membuat pemantauan kantin di semua sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid telah memberikan taklimat kepada semua pegawai sebelum memulakan pemantauan ke sekolah yang telah diagihkan kepada tiga kumpulan pemantau. Hasil daripada pemantauan yang dilakukan ke semua kantin sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan, pihak pengusaha kantin dan pihak sekolah telah membuat persediaan sepenuhnya untuk memulakan operasi sebaik sahaja sekolah mula dibuka semula bermula 1 Mac depan. Kantin adalah dalam keadaan yang bersih serta mematuhi SOP yang telah ditetapkan.




TAFAQQUH FIDDIN : KEMULIAAN REJAB
Merungkai Ibadah Zakat dan Agihan Wakalah

Labuan, 23 Feb – Kemuliaan Rejab menjadi tajuk tazkirah dalam Program Tafaqquh Fiddin, jalinan kerjasama antara Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) dengan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Cawangan Wilayah Persekutuan Labuan secara dalam talian yang diadakan baru-baru ini.

Tafaqquh Fiddin merupakan program mingguan SPI dalam usaha memberi pengetahuan tentang agama Islam meliputi bidang akidah, syariah dan akhlak di bawah unit Pembangunan Adab dan Nilai.

Majlis bermula seawal jam 8.00 pagi dengan bacaan surah Al Kahfi ayat 1 hingga 10 dan ayat 100 hingga 110 yang dipimpin oleh Tuan Hj Sahrum bin Samlan dari SPI, JPWPL

Ianya diikuti dengan bacaan surah Yaasin yang dipimpin oleh Encik Amir bin Budin dari Sektor Sumber Manusia (SSM). Manakala bacaan doa selamat dipimpin oleh ustaz Mohd Syahir bin Mohd Yusof daripada SPI.

Tazkirah on-line,  Kemuliaan Rejab, Penjelasan Zakat dan Wakalah telah disampaikan oleh Tn Hj Ahmad Sharizah bin Saffian daripada PPZ.

TAZKIRAH: Ahmad Sharizal menyampaikan tazkirah Kemuliaan Rejab dan merungkai persoalan berkaitan zakat dan wakalah.

Menurut Ustaz Ahmad Sharizal, Bulan Rejab merupakan salah satu daripada ‘al-Ashur al-Hurum’ (bulan-bulan haram) dan bulan yang menghampiri Ramadan. Bulan Rejab ini setiap kezaliman, dosanya lebih besar daripada bulan lain sebagaimana kebaikan yang dilakukan pada bulan ini maka pahalanya lebih banyak daripada bulan lain. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj yang menurut kebanyakan ulama’ ia berlaku pada 27 Rejab.

“Rejab bermaksud mengagungkan. Rejab digabungkan dengan syaaban disebut rejaban. Bulan untuk kita koreksi semula puasa-puasa yang belum diqada’ maka bersegeralah untuk melunaskan hutang puasa.  Di bulan inilah kita perbanyakkan ibadah sunat seperti solat sunat, bersedekah, berzikir, berpuasa sunat untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. sebagai persiapan untuk menyambut Ramadan.

“Di bulan Rejab inilah kita merancang untuk mengagihkan wang wakalah yang telah disalurkan ke sekolah-sekolah. Agihkanlah wang wakalah mengikut garis panduan yang sepatutnya untuk tujuan maslahat seperti surau sekolah, membantu pelajar-pelajar miskin, aktiviti keagamaan sebagaimana garis panduan yang telah diedarkan ke sekolah-sekolah”. katanya.

TEKUN: Amir bin Budin mengetuai Bacaan Surah Yaasin semasa Program Tafaqquh Fiddin.

Wakalah merupakan pengembalian wang zakat kepada entiti yang membayar zakat kepada Pusat Pungutan Zakat-MAIWP untuk diagihkan kepada asnaf yang layak berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Penyerahan wang wakalah oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ke sekolah-sekolah telah dilaksanakan pada bulan Disember yang lalu.

Majlis secara maya menggunakan aplikasi google meet ini telah dihadiri oleh Pengarah JPWPL, Puan Khaziyati binti Osman, Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pengetua dan Guru Besar, pegawai-pegawai di JPWPL, guru-guru Pendidikan Islam dan warga pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Siaran langsung majlis ini turut dimuat naik dalam Facebook Live  dan You Tube Live.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

KENANGAN: Hadirin turut merakamkan gambar bersama penceramah dan puan pengarah seusai majlis Tafaqquh Fiddin.



PLC Meningkatkan Kompetensi Guru Pendidikan Islam

Professional Learning Community (PLC): Penulisan Objektif Pembelajaran Dan Kriteria Kejayaan (OPKK) Dalam Rancangan Pelajaran Harian (RPH) Pendidikan Islam Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2021 telah diadakan secara dalam talian pada 17 Februari lalu.

Kursus yang dianjurkan oleh Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) bertujuan untuk meningkatkan kompetensi Guru Pendidikan Islam (GPI) dalam memantapkan lagi penulisan OPKK dalam RPH. Diharapkan juga agar kursus ini dapat meningkatkan kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) GPI di wilayah ini.

PLC ini merupakan satu usaha untuk meningkatkan profesionalisme guru
melalui pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti serta amalan pengajaran dan pembelajaran, berkongsi kepakaran, menjalinkan kerjasama di samping mewujudkan semangat kerja berpasukan yang utuh ke arah kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran.  

Seramai 100 peserta yang terdiri daripada Guru Pendidikan Islam sekolah rendah dan sekolah menengah di wilayah ini menyertai kursus ini.

Kursus ini  disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Pegawai SISC+ Sains Sosial, PPD Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, Puan Nor Shifa binti Saad.

KOMITED: Puan Nor Shifa begitu komited dan bersemangat ketika menyampaikan ceramah

Antara perkongsian Ilmu yang telah disampaikan oleh penceramah ialah berkaitan  Idea Utama PLC, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), Pentaksiran Bilik Darjah, Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21), SKPMg2 Standard 4 iaitu hubung kait antara guru sebagai pendorong dan murid sebagai pembelajar aktif, Sekolah Transformasi (TS25), Penjajaran Kurikulum 2.0, Cara Penulisan Objektif Pembelajaran dan Kriteria Kejayaan.

Menurut Puan Nor Shifa manusia memiliki kekuatan dari dalam bagi membentuk ummah yang berkualiti. Guru adalah individu yang paling rapat yang mampu memberi bimbingan dan dorongan kepada para pelajar.

“Tugas guru bukan hanya tertumpu kepada aspek kurikulum semata-mata bahkan guru perlulah bersedia dengan bidang ilmu yang pelbagai.”

 “Karena itu, untuk membangun manusia bukan Outside-In, tetapi Inside-Out. kerana hal besar di mulai dari dalam hati (niat) bukan dari luar diri,” lanjutnya.

Guru perlu bersedia membantu dan dibantu.Menyertai sesi coaching dapat membantu guru mengeluarkan potensi diri bagi memajukan diri dan membuat anjakan yang postitif dalam pemikiran dan tindakan.  Resepinya ialah bertanya dan mendengar.

Perkongsian ilmu: Puan Nor Shifa berkongsi ilmu berkaitan PdPR dan bersedia menjawab persoalan daripada peserta kursus.
PENERANGAN: Penerangan tentang cadangan Penulisan objektif pembelajaran dan kriteria kejayaan.

Katanya lagi, dunia sekarang yang volatile, uncertain, complex, ambiguous (VUCA) memerlukan guru yang sentiasa bersiap sedia, peka terhadap perubahan dan dinamik dalam pengurusan dan kepimpinan.  

“Sebagai contoh Pendemik Covid-19, ianya secara tidak langsung mengandungi hikmah yang amat luar biasa. Guru-guru mulai kreatif mempelbagaikan gaya pengajaran dengan menggunakan sumber sama ada secara ‘On-line’ mahupun ‘Off-line’.Perkara penting yang perlu dititikberatkan adalah pelaksanaan tugas dengan cekap dan menepati masa.” katanya.

Dalam ceramah yang diselang selikan dengan sesi soal jawab, Puan Nor Shifa turut menekankan penulisan objektif pembelajaran dan kriteria kejayaan yang betul amat penting untuk membantu murid memahami proses dan hasil yang dihasratkan pada akhir pembelajaran. OPKK perlu dipaparkan di hadapan kelas dan sentiasa dirujuk sepanjang berlangsungnya PdP.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Puan Kamariah Salim merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian penceramah berkongsi ilmu dengan warga pendidik di W.P.Labuan biarpun secara maya.

BERUCAP: Kamariah menyampaikan ucapan ringkas semasa telesidang PLC Penulisan OPKK Pendidikan Islam Dalam Rancangan Pengajaran Harian secara telesidang.

Katanya, guru-guru turut berpeluang untuk bertanya soalan dan merungkai segala permasalahan berkaitan penulisan OPKK yang sangat penting khususnya sekolah TS25 bagi memaksimumkan potensi guru dan  murid menerusi peningkatan kualiti pembelajaran dan pengajaran.

“Keadaan semasa ketika ini ‘memaksa’ semua guru bertindak lebih responsif. Namun secara tidak langsung menjadikan guru-guru lebih kreatif menerokai dunia teknogi maklumat. Pelbagai kaedah dan platform diguna pakai bagi proses PdPr, sama ada secara on-line mahupun off-line yang membolehkannya secara interaktif selari kaedah PdP abad ke-21”. Katanya semasa majlis PLC tersebut.

Menurutnya lagi, beliau berkeyakinan pada tahun 2021, pelaksanaan PdPR akan bertambah baik berikutan pengalaman guru-guru pada tahun lepas yang boleh dijadikan pengajaran.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

KENANGAN: Peserta kursus merakamkan gambar bersama penceramah secara atas talian selepas selesai kursus.



Pelancaran Mai Tah Baurung-Urung Secara Dalam Talian 2021

Labuan, 16 Februari – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah melancarkan Program Maitah Baurung-Urung 2021 secara dalam talian, kelmarin dengan jayanya.

Pelancaran dibuat melalui saluran Youtube rasmi Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang telah dihadiri oleh warga pendidikan di Labuan.

Program ini telah berjaya menghimpunkan warga pendidikan di Labuan untuk mendapatkan komitmen dan kesungguhan bagi menjayakan sasaran kerja tahunan serta KPI yang perlu dicapai bagi tahun 2021.

Selain itu, program ini dapat membuat refleksi pencapaian warga pendidikan Jabatan Pendidikan W.P Labuan sepanjang tahun 2020 dan memperbaharui ikrar serta komitmen warga pendidikan untuk menjayakan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Gelombang 3 (2021-2025) dan perancangan strategik Jabatan.

Ikrar Perkhidmatan Awam diketuai oleh Encik Ag Marten Abdul Rahman, KPP SSTP

Puan Khaziyati Osman, Pengarah Jabatan Pendidikan W.P Labuan dalam ucapan amanahnya berbicara mengenai berkenaan Hala tuju Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu The Next Level  yang bertemakan Pendidikan Komprehensif Minda Kelas Dunia.

Beliau menyeru agar warga pendidikan dapat mengadaptasikan Tagline dan Teras Profesional Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Tagline Jabatan Pendidikan ialah Labuan World, Guru sayang muridnya, Kemenjadian murid bermula di Wilayah Persekutuan Labuan, Semua murid sangat bernilai, Semua sekolah di Labuan adalah sekolah pilihan.

Manakala teras profesional warga pendidikan W.P Labuan ialah L.A.B.U.A.N yang membawa maksud Lead, Accountable, Bold, Unanimous, Approachable, Now.

Katanya lagi, dalam mendepani cabaran Covid-19, guru seharusnya perlu mengubah kaedah pembelajaran dan pemudahcaraan menerusi platform digital berpandukan manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Keperluan meningkatkan ilmu dan mempelbagaikan kemahiran bukan merupakan kelebihan tetapi keperluan yang perlu ada pada setiap pendidik supaya kita menjadi insan yang lebih ampuh dalam menghadapi pelbagai cabaran.” Puan Khaziyati Osman.

Kerjasama guru dan ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam mengupayakan pengajaran dan pembelajaran anak-anak terus berlaku walaupun ketika anak-anak tidak ke sekolah.

Ucapan Amanat oleh Puan Khaziyati Osman, Pengarah JPWPL

Majlis telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, KPM yang diwakili oleh YBhg. Dato’ Mohd Jamil bin Mohamed, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM.

Dalam ucapannya beliau berbangga dengan tema program Mai Tah Baurung-urung Dalam Talian “Pendidikan Komprehensif Minda Kelas Dunia”. Ini jelas menunjukkan keazaman dan kesungguhan yang tinggi dalam kalangan warga pendidik di W.P Labuan untuk mempersiapkan diri dan anak didik, ilmu serta kemahiran yang menyeluruh bagi menghadapi persaingan global dengan persiapan minda yang berilmu.

Pendidikan yang berkualiti memerlukan para guru melakukan paradigma sikap minda kelas dunia dengan meningkatkan tahap kompetensi untuk membina kompetensi murid-muridnya mencapai tahap penguasaan tertinggi. Jika kualiti guru dapat ditingkatkan ke tahap yang cukup tinggi, pastilah pendidikan kita dapat mencapai tahap cemerlang. Oleh itu, sebagai guru kita juga harus sentiasa berusaha mempertingkatkan ilmu dalam diri agar kita juga dapat berjalan seiring dengan kemajuan sistem pendidikan global.

Penguasaan dalam bidang ICT dan pelbagai aplikasi dalam talian sudah tentu menjadi semakin penting dalam dunia pendidikan kini supaya ia seiring dengan kehidupan anak didik kita masa ini dan keperluan pendidikan di zaman ini.

“Harapan saya semoga tahun 2021 memberi kekuatan fizikal dan minda yang cukup kuat dalam usaha kita meningkatkan prestasi pendidikan walaupun terkesan dengan pandemik ini. Saya percaya komitmen dan usaha yang bersungguh-sungguh daripada cikgu-cikgu sekalian serta semua warga pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan akan melahirkan murid-murid yang berjaya melepasi segala rintangan dan mengelakkan defisit pembelajaran.” Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim.

Ucapan perasmian oleh Dato’ Mohd Jamil bin Mohamed, Pengarah BPSH

Tahniah dan syabas kepada Jabatan Pendidikan W.P Labuan yang telah menyediakan Perancangan Strategik Organisasi yang lebih menyeluruh dan bersepadu dan saya berharap ia akan dapat direalisasikan melalui pelaksanaan yang kemas dan tersusun demi mencapai matlamat sekolah berkualiti dan kemenjadian murid seperti yang dihasratkan dalam PPPM 2013-2025.




SMK TAMAN PERUMAHAN BEDAUN ANJUR PROGRAM MUNAJAT WARGA PENDIDIK 2021

Labuan, 03 Februari (Rabu) – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Program Munajat Warga Pendidik dengan jalinan kerjasama dari Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Program ini berlangsung secara dalam talian melalui “Google Meet” bersama-sama dengan ibu bapa, guru-guru serta pegawai dari Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Objektif program ini adalah untuk mendoakan kesihatan dan keselamatan warga sekolah serta keluarga agar terhindar dari musibah wabak Covid-19, di samping memohon kepada Allah agar mereka yang dijangkiti akan kembali sembuh.

Program ini juga bertujuan untuk mendoakan agar murid-murid yang akan menduduki peperiksaan SPM dapat berada di sekolah dalam keadaan selamat  dan belajar dengan tenang, seterusnya beroleh kejayaan yang cemerlang dalam SPM nanti.

Program yang bermula selepas solat Maghrib di rumah masing-masing, dimulakan   dengan bacaan surah Yasin dan diikuti bacaan doa secara dalam talian. Pengetua SMKTPB, Encik Ag. Rozlan bin Manan merakamkan ucapan terima kasih atas kehadiran semua guru, ibu bapa dan juga pegawai dari jabatan Pendidikan WP Labuan secara dalam talian untuk menjayakan program ini.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Matnoh. Dalam ucapannya, beliau mengharapkan agar murid-murid Tingkatan 5 SPM 2020, dapat meneruskan usaha dengan sebaik mungkin kerana mereka dianggap sebagai calon SPM yang sangat istimewa dan diberikan masa yang cukup panjang untuk belajar serta mengulang kaji pelajaran akibat pandemik Covid-19. Hakikatnya, situasi ini telah memberikan cabaran kepada kita semua dalam semua aspek.

Ucapan aluan, Puan Maimoon Matnoh

Puan Maimoon turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru atas kesungguhan dalam melaksanakan  tanggungjawab mendidik anak-anak SPM, selain merakamkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak unutk menghadapi situasi yang sukar ini. Beliau turut menyatakan keyakinan beliau terhadap kemampuan murid, keupayaan guru dan sokongan ibu bapa kepada calon SPM  untuk mengulangi pencapaian 100% lulus SPM seperti tahun sebelumnya.

Majlis diakhiri dengan solat Isyak dan solat hajat di rumah masing-masing.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Semua Sekolah Menengah Patuhi SOP Pengoperasian Hari Pertama Persekolahan 2021

Labuan, 21 Jan – Tinjauan oleh pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Negeri hari ini mendapati pengoperasian hari pertama persekolahan di 10 buah sekolah menengah di Labuan telah berjalan dengan lancar. Semua pegawai angkat sekolah telah diminta untuk membuat tinjauan dan memberi khidmat bantu berkaitan tatacara pengoperasian sekolah bagi memastikan kesiapsiagaan sekolah dalam mematuhi SOP yang telah diwartakan oleh Majlis Keselamatan negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sesi tinjauan yang turut disertai oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) daripada PDRM telah diselaraskan oleh Puan Maimoon binti Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah. Menurut beliau, tinjauan pada hari ini adalah bagi memastikan 10 sekolah menengah termasuk Kolej Vokasional telah bersedia untuk menerima murid Tingkatan 5 kohort 2020 dan Tingkatan 6.

“Tinjauan ini juga termasuk pematuhan kepada model pengawalan keberadaan murid di pintu pagar sekolah yang telah dikeluarkan oleh KPM mengikut kesesuaian lokaliti sekolah. Hal ini sangat penting kerana pihak JPN sentiasa mengutamakan keselamatan murid dalam tempoh PKP ini. Murid-murid dan guru-guru perlu sentiasa mematuhi norma-norma baharu dalam amalan harian dan aktiviti pembelajaran sepanjang masa” ujar beliau lagi.

Encik Yusup bin Mohamad, Timbalan Pengarah di Sektor Pembelajaran (SPb) yang meninjau keadaan di SMK Taman Perumahan Bedaun mendapati pihak sekolah telah bersedia sepenuhnya untuk menerima murid seawal jam 6 pagi.

“Pihak sekolah telah berjaya menyusun dengan baik pergerakan murid bermula daripada pintu pagar sekolah sehingga ke dalam bilik darjah. Kita dapati murid-murid juga patuh kepada arahan guru untuk beratur dengan tertib, membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan seterusnya bergerak ke kelas masing-masing untuk memulakan sesi pembelajaran.” kata beliau.

Tinjauan di SMK Mutiara pula turut disertai oleh Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) daripada IPD Labuan, ASP Haslina bin Hassan. Beliau turut memuji kesiapsiagaan dalam menangani pandemik Covid19 di peringkat sekolah.

“Saya sempat meninjau di dalam bilik darjah juga mendapati bilik darjah telah disusun mengikut jarak yang sesuai dengan SOP yang telah ditetapkan. Sabun pembersih tangan telah disediakan oleh pihak sekolah di tempat-tempat yang strategik bagi membolehkan murid-murid mengamalkan pembersihan tangan secara kerap” ujar beliau.

Sesi persekolahan di SMK Lajau juga berlangsung dengan baik. Menurut Puan Maimoon binti Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, pihak sekolah telah berjaya menyusun pergerakan murid dengan baik dengan mengamalkan penjarakan fizikal bermula daripada pintu pagar sekolah hingga ke bilik darjah. Dalam sesi lawatan ke kelas-kelas, beliau sempat memberi motivasi kepada murid-murid yang telah ‘bercuti’ lama.

“Kami berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan sekolah menerima kehadiran murid hari ini. Guru-guru juga kelihatan begitu komited dan teruja untuk mengadakan sesi PdP secara bersemuka bersama-sama dengan murid” kata beliau.

Pengarah Pendidikan, Puan Khaziyati binti Osman sempat meninjau sesi persekolahan di SMK Labuan yang menerima murid paling ramai hari ini. Kunjungan ini juga turut disertai oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri yang telah diketuai sendiri oleh pengarahnya, Dr. Ismuni Bohari. Menurut pengetuanya, Encik Ismail Abdullah berkata seramai 232 murid Tingkatan 5 kohort 2020 dan 312 pelajar Tingkatan 6 hadir ke sekolah hari ini.

Puan Khaziyati melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak terutamanya pentadbir sekolah yang begitu komited dalam memastikan pematuhan kepada SOP bagi mengelak penularan pandemik Covid19 di dalam premis sekolah.

“Jabatan Pendidikan sangat komited untuk terus mengamalkan norma-norma baharu dalam tempoh kritikal ini. Saya berharap agar amalan ini konsisten daripada hari pertama sehingga ke hari terakhir persekolahan. Kerjasama daripada pelbagai pihak sangat dialu-alukan bagi memberi cadangan penambahbaikan kepada SOP sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan kawalan penularan Covid19 terutamanya daripada Jabatan Kesihatan Negeri dan PDRM” kata beliau lagi.

Ketika mengulas dapatan laporan kehadiran murid hari ini, Encik Abdul Rahman Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid (SPM) memaklumkan seramai 911 murid daripada 984 murid tingkatan lima kohort 2020 atau 93.89% murid telah hadir sesi bersemuka di sekolah hari ini.

Sesi persekolahan hari ini tidak melibatkan murid pra sekolah, sekolah rendah dan murid-murid Tingkatan 1 hingga 5 kohort 2021.

Berita Oleh : Encik Mohd Nizam Yasim, Sektor Perancangan, JPWPL

Murid SMK Pantai mengimbas suhu terlebih dahulu sebelum memasuki kawasan sekolah



Sesi persekolahan di Labuan secara hadir ke sekolah dan PdPR bermula hari ini

Labuan, 20 Januari – Hari ini bermula sesi persekolahan tahun 2021 di Labuan melalui kaedah secara bersemuka dengan murid hadir ke sekolah dan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) .

Murid sekolah rendah, tingkatan satu hingga empat mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah melalui kaedah secara dalam talian atau luar talian.

Sesi persekolahan secara bersemuka di Labuan hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM 2020 pada bulan Februari dan Mac 2021, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

Pada 15 hingga 19 Januari 2021, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengambil inisiatif melaksanakan sanitasi di semua sekolah menengah di Labuan demi menjaga keselamatan pelajar di sekolah.




Semua Sekolah Menengah W.P Labuan Disanitasi

Labuan, 19 Januari : Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah mengambil inisiatif menyelaras program sanitasi di semua sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan menjelang pembukaan sekolah pada 20 Januari 2021. Program yang dilaksanakan dengan kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Perbadanan Labuan, Jabatan Kesihatan, APAM dan PDRM telah dilaksanakan mulai 15 hingga 19 Januari 2021.

Kerjasama bersepadu ini telah diselaraskan oleh Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan W.P Labuan. Menurut penyelaras program, Encik Ahmad Firdaus Lee bin Abdullah berkata sebanyak 10 buah sekolah menengah telah disanitasi termasuk Kolej Vokasional Labuan.

“Program ini bertujuan memastikan tahap kebersihan dan keselamatan premis dan bangunan sekolah berada di tahap terbaik menjelang pembukaan sekolah untuk murid-murid Tingkatan 5 dan Tingkatan 6” kata beliau lagi.

Pasukan sanitasi diterajui oleh Unit HAZMAT, Jabatan Bomba dan Penyelamat W.P Labuan yang diketuai oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba, Encik Azlan bin Talin. Menurut beliau, Jabatan Bomba dan Penyelamat sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan pandemik Covid 19 dapat dibentung sepenuhnya.

Sebelum memulakan kerja-kerja sanitasi, beliau turut membuat taklimat ringkas berkaitan sanitasi kendiri yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa oleh mana-mana organisasi.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab bagi memastikan Covid19 tidak menular dalam masyarakat” ujar beliau lagi.

Penerangan oleh Encik Azlan sebelum memulakan sanitasi
Proses sanitasi di dalam bilik darjah

Proses sanitasi ini juga turut mendapat kerjasama yang baik daripada pihak pentadbir sekolah. Pengetua SMK Labuan yang juga YDP Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Labuan, Encik Ismail bin Abdullah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat membantu sekolah dalam kerja-kerja sanitasi kali ini. Beliau turut memaklumkan sebanyak 6 blok bilik darjah, bilik guru, bilik mesyuarat, makmal, dewan serta kemudahan-kemudahan lain telah disanitasi dalam program yang bermula dari jam 9.00pagi hingga 10pagi Sabtu lalu.

Pengarah Pendidikan, Puan Khaziyati binti Osman turut melahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama padu pelbagai pihak dalam membantu pihak jabatan melaksanakan kerja-kerja sanitasi di sekolah kali ini.

“Apapun yang kita lakukan adalah sebenarnya demi kepentingan murid-murid di Wilayah Persekutuan Labuan. Kita juga mahu ibubapa yakin dan percaya bahawa kita telah mengambil langkah-langkah perlu dan proaktif demi menjaga keselamatan anak-anak mereka apabila sekolah mulai beroperasi nanti. Keselamatan dan kesihatan semua murid dan guru adalah keutamaan jabatan dan tidak boleh dikompromi dalam situasi pandemik Covid-19” tambah beliau lagi.

Berita Oleh : Encik Mohd Nizam Yasim, Sektor Perancangan, JPWPL

Penyelaras program Encik Firdaus Lee ( kiri ) sedang memantau sanitasi di sekolah-sekolah W.P Labuan
Sanitasi SMK Taman Perumahan Bedaun
Sanitasi SMK Pantai IBWS



SPI Anjurkan Empat Kem Program Adab dan Nilai (ADNI) Secara Atas Talian Untuk Murid Sekolah Menengah Tahun 2020

Labuan –  Sektor Pendidikan Islam (SPI) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) menganjurkan empat kem di bawah Program Adab dan Nilai (ADNI) untuk murid sekolah menengah secara dalam talian pada setiap Sabtu bermula 17 Oktober 2020 sehingga 7 November 2020 melalui aplikasi Google Meet.

e-Nadwah Kepemimpinan Islam Sekolah-Sekolah (e-NKISS) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan membuka tirai pelaksanaan kem ini yang diadakan pada 17 Oktober 2020 melibatkan seramai 76 orang murid tingkatan 4 daripada 9 buah sekolah menengah di wilayah ini.

Menurut Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai (ADNI) Sektor Pendidikan Islam (SPI) selaku penyelaras kem Tuan Haji Sahrum bin Samlan, Nadwah kepimpinan Islam merupakan aktiviti berbentuk kem yang diadakan sejak 2003 bagi melahirkan saf kepemimpinan murid yang berketerampilan selari dengan tuntutan Islam bahawa kepimpinan adalah amanah Allah s.w.t.

Sepanjang kem ini peserta didedahkan dengan ilmu, kemahiran dan gaya kepemimpinan wasatiyah agar mampu menguruskan keperluan dan cabaran persekitaran semasa berlandaskan kepemimpinan Rasulullah s.a.w.. Slot ceramah telah di sampaikan oleh Al Fadil Ustaz Syahmun bin Yahaya, penceramah yang diundang daripada Kolej Matrikulasi Labuan.

Antara pengisian di dalam kem ialah perbincangan berkaitan Modul Qiyadi Murid Islam di dalam slot ilmu, ceramah kepemimpinan, sesi soal jawab bersama penceramah, pembentangan isu, menjawab soalan kuiz dan pertandingan mimbar Qiyadi. Peserta dinilai sepanjang kursus oleh fasilitator manakala penilaian kendiri keberkesanan program dan selepas kem dilakukan oleh peserta sendiri.

Ustaz Syahmun bin Yahaya menyampaikan ceramah dalam e-Nadwah Kepemimpinan Islam.

Turut hadir di dalam kem ini Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Puan Hajah Kamariah binti Salim, Penolong-penolong pengarah di SPI dan 14 orang guru yang bertindak sebagai fasilitator .

“Alhamdulillah, setinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t di atas limpah perkenan-Nya, dapat kita bersama melaksanakan Nadwah Kepimpinan Islam biarpun kem kali ini diadakan secara atas talian sahaja sebagai langkah untuk menjaga kemaslahatan kita bersama dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19.”

“Seperti tahun-tahun lalu Nadwah Kepimpinan Islam dilaksanakan untuk melahirkan pemimpin pelapis muda yang berkepimpinan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah dalam merealisasikan satu ummah berperibadi muslim sepanjang zaman” katanya semasa berucap merasmikan penutupan Nadwah Kepimpinan Islam.

Menurutnya lagi, melalui penglibatan aktif peserta di dalam sesi perbincangan dan pembentangan isu ianya dapat mencungkil dan mengenal pasti ciri-ciri seorang pemimpin yang cemerlang, berfikiran positif, kreatif dan kritis serta mampu mengendalikan perbincangan secara sistematik.

Puan Hjh Kamariah menyampaikan ucapan penutupan semasa Nadwah e-Nadwah Kepemimpinan Islam secara atas talian.

Sementara itu, e-Kem Pemantapan Akidah Sekolah-Sekolah KPM (e-KEMPAK)  Peringkat Negeri W.P Labuan telah dilaksanakan pada 24 Oktober 2020 (Sabtu) yang disertai seramai 71 orang murid tingkatan 1 hingga 5 di 9 buah sekolah menengah dan 13 orang guru sebagai fasilitator.

Kem Pemantapan Akidah bertujuan untuk menanam  perasaan kecintaan dan keyakinan kepada Islam dalam diri peserta agar mereka meyakini bahawa Islam adalah agama yang benar dan terbaik untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.

Kem ini bertujuan untuk mencetuskan semangat dan motivasi dalaman peserta ke arah menimba ilmu pengetahuan serta melahirkan pelajar yang berpegang dengan akidah ahli sunnah wal-jamaah. Slot ceramah telah disampaikan oleh Ketua Imam Masjid Jamek Layang-Layangan W.P Labuan Al Fadil ustaz Muhammad Syafie bin Abdul Ghani.

Ustaz Muhammad Syafie bin Abdul Ghani menyampaikan ceramah dalam e-Kem Pemantapan Aqidah.

e-Kem Pemantapan Sahsiah Murid Sekolah-Sekolah  KPM (e-KEMPAS) Peringkat Negeri W.P Labuan pula diadakan pada 31 Oktober 2020 (Sabtu) yang melibatkan seramai 69 orang murid tingkatan 1 hingga 5 dari 9 buah sekolah menengah di W.P Labuan dan disertai 12 orang guru. 

Kem ini dilaksanakan  untuk mengurangkan kes-kes perlanggaran disiplin sekolah oleh pelajar-pelajar yang berisiko di samping memberi penekanan kepada aspek pembentukan sahsiah diri.

Di samping itu, KEMPAS dilaksanakan untuk mencetuskan semangat dan motivasi dalaman peserta ke arah menimba ilmu pengetahuan serta melahirkan pelajar yang mempunyai sahsiah unggul. Slot ceramah telah disampaikan oleh Pegawai Agama Petronas W.P Labuan Ustaz Hj Norazlan bin Mahmood.

e-Kem Jati Diri Murid Sekolah-Sekolah  KPM (e-KEMJAD) Peringkat Negeri W.P Labuan diadakan pada 07 November 2020 (Sabtu) yang melibatkan seramai 84 orang murid tingkatan 1 hingga 5 dari 9 buah sekolah menengah di W.P Labuan dan disertai 16 orang guru. Slot ceramah telah disampaikan oleh pensyarah Kolej Matrikulasi Labuan Ustaz Shahirul bin Abdullah. Sektor Pendidikan Islam merakamkan ucapan terima kasih kepada guru-guru selaku penyelaras dakwah sekolah dan ibu bapa yang bekerjasama menyediakan peranti untuk anak-anak menyertai kem ini dengan jayanya.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Penyelaras Kem ADNI, Tuan Hj Sahrum menyampaikan taklimat awal semasa sesi pendaftaran kem.
Peserta e-Kem Jati Diri Murid Sekolah-Sekolah KPM (e-KEMJAD) merakamkan gambar bersama penceramah dan urusetia program.



e-KEMFIT : Platform Baharu Dalam Pelaksanaan Kursus Di Kalangan Murid Sekolah Rendah

Labuan, 21 November –  Seramai 69 orang peserta tahun 1 hingga 6 daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Wen dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa menghadiri Kem Fitrah Kasih yang dilaksanakan secara maya bermula jam 8.00 pagi melalui aplikasi google meet.

Kem Fitrah Kasih (KEMFIT) ini dilaksanakan bagi memantapkan aktiviti Pendidikan Islam bagi murid-murid Islam di SJKC. Ia merupakan program pembentukan jati diri seiring dengan keperluan syariat dengan menekankan aspek aqidah, ibadah, akhlak, pengurusan dan tanggungjawab sebenar sebagai hamba Allah, insan, anak dan murid.

Menurut penyelaras program Tuan Haji Sahrum bin Samlan, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), KEMFIT dilaksanakan saban tahun yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengukuhan kefahaman tentang asas akidah, ibadah dan akhlak Islam agar proses penghayatan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian dapat diamalkan.

“Seperti tahun-tahun lalu, KEMFIT dilaksanakan selama dua hari di mana peserta perlu bermalam. Mereka akan dibimbing menjalani rutin harian bermula dengan aktiviti riadah, sesi suai kenal, sesi kuliah, solat berjemaah, makan beramai-ramai dengan adab yang betul, sesi perbincangan dalam kumpulan, pembentangan dan juga qiamulail. Namun disebabkan situasi pendemik covid-19 yang tidak mengizinkan, kem pada tahun ini dilaksanakan secara atas talian sahaja”.

“Kita mengharapkan agar peserta yang mengikuti kem ini dapat melaksanakan amalan ibadah secara konsisten seperti solat berjemaah, membaca al-Quran dan zikir setiap hari, suka mendengar tazkirah, kuliah mahupun ceramah, berwuduk dengan betul, menutup aurat dan sebagainya, inshaAllah” katanya semasa berucap di dalam kem tersebut.”.

Menurutnya lagi, pendedahan dan pengukuhan berkaitan dengan aspek disiplin diri seperti menepati masa, menjaga kebersihan seperti mencuci tangan, memakai hand sanitizer, menjaga penjarakan social, duduk di rumah jika tiada keperluan untuk keluar, menjaga kekemasan diri, semangat kerja sepasukan dan persaingan sihat sesama peserta amat dititikberatkan di dalam kem ini biarpun ianya dilaksanakan secara atas talian.

Pelaksanaan e-KEMFIT dan sesi perbincangan di kalangan peserta berjalan lancar dengan menggunakan aplikasi google Meet.

Terdapat dua jenis aktiviti yang boleh dilakukan di bawah program ini iaitu aktiviti berbentuk kem penghayatan Islam dan aktiviti pengukuhan berbentuk Kuiz. Aktiviti berbentuk kem penghayatan Islam bertujuan untuk mengukuhkan kefahaman dan penghayatan amalan Islam sepanjang kursus ini dan menekankan persaingan sihat. Manakala aktiviti kuiz dilaksanakan untuk menilai kefahaman peserta kursus.

Sektor Pendidikan Islam mengucapkan tahniah kepada Guru-guru Pendidikan Islam SJKC Chi Wen dan SJKC Chung Hwa selaku penyelaras program di peringkat sekolah dan ibu bapa yang berjaya memastikan peserta kursus hadir dengan jayanya mengikut ketetapan masa yang diberikan oleh pihak penganjur.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam