DARI GURU UNTUK GURU: Ucapan Berganda Sempena Hari Raya dan Hari Guru 2021

Tanggal 16 Mei setiap tahun memberi makna yang tersendiri kepada setiap insan yang bergelar guru. Dengan tema “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”, sambutan Hari Guru tahun ini agak berbeza kerana masih diselubungi pandemik Covid-19.

Namun begitu, Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah memanfaatkan perkembangan teknologi dengan menganjurkan sesi ucapan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Guru 2021 secara dalam talian pada Ahad lalu.

Menurut Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim ucapan Hari Raya Aidilfitri 1442h dan Hari Guru 2021 dibuat serentak untuk menyantuni semua warga guru yang berada di seluruh Malaysia.

“Kebetulan 16 Mei berada di dalam suasana hari raya, maka kami mengambil peluang untuk melaksanakan aktiviti ini sebagai satu inisiatif memeriahkan sambutan tahun ini”

“Kesungguhan dan kerjasama erat guru-guru yang berkemahiran dalam teknologi ICT telah berjaya mengumpul penyertaan daripada seluruh negara termasuk pengurusan tertinggi di KPM” tambah beliau lagi yang turut menjadi moderator majlis tersebut yang disiarkan secara langsung melalui saluran YouTube Live.

Antara jemputan kenamaan yang turut memberi ucapan ialah Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (TKPPM), Sektor Operasi Sekolah, Dato’ Haji Adzman bin Talib dan Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), KPM, Encik Raisin bin Saidin.

“Dalam kemeriahan sambutan berganda hari raya dan Hari Guru 2021, kita juga perlu bersedia untuk melaksanakan PdPR yang bersesuaian dengan murid kita mulai 17 hingga 28 Mei. Pihak KPM juga sangat menghargai pengorbanan guru mendidik murid-murid menjadi warganegara Malaysia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara” kata Dato’ Haji Adzman ketika bersiaran secara langsung.

Encik Raisin (bawah kiri), Encik Yusup (atas kanan), Encik Ismail (bawah kiri) dan Encik Nizam (atas kiri) mengucapkan Selamat Hari Raya dan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga guru.

Selain itu beliau turut mengajak seluruh umat Islam mendoakan agar keamanan kembali pulih di bumi Palestine yang pada ketika ini sedang di dalam pergolakan.

Terdahulu, Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup Hj Mohamad sempat mengucapkan selamat hari raya dan hari guru kepada seluruh warga guru yang telah memberi komitmen dan khidmat cemerlang terutama dalam tempoh PKP.

“Kehadiranmu dinanti, ketiadaanmu dirindui, ungkapanmu memberi inspirasi, sikapmu diteladani, nasihatmu menyejukkan hati, kata-katamu guru penuh ilmu dan pedoman yang menerangi masa depan” kata Encik Yusup ketika mengakhiri ucapan.

Sesi ucapan turut diserikan oleh YDP MPSM Labuan, Encik Ismail Abdullah, YDP MGB Labuan, Puan Dayang Saripah A. Mahmud dan Pengarah IAB, Cawangan Sabah, Puan Khaziyati Osman.

Siaran langsung ucapan ini telah diikuti oleh seramai 266 guru di seluruh negara.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Encik Nizam (atas kanan) mengendalikan sesi ucapan berganda Selamat Hari Raya dan Selamat Hari Guru
Sebahagian guru yang menyertai program Ucapan Berganda Selamat Hari Raya dan Selamat Hari Guru



Kunjung Hormat Ahli Lembaga Pengurus Sekolah SJK(C) Chi Wen Ke Jabatan Pendidikan Erat Kerjasama Komuniti

Labuan, 21 April – Lembaga Pengurus Sekolah(LPS) SJKC Chi Wen, Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Pendidikan W.P.Labuan di pejabatnya di Tingkat 10 Ujana Kewangan, hari ini.

Kunjungan ini dibuat sempena pelantikan Encik Yusup bin Haji Mohamad sebagai Pengarah Pendidikan yang baharu yang berkuatkuasa pada 1 Mac 2021 yang lalu.

Delegasi 5 ahli jawatan kuasa tertinggi LPS telah diketuai oleh Pengerusinya Encik Philip Yeo Ah Seng. Turut serta ialah Encik William Chong (setiausaha) dan Encik Cheong Hock Ting (bendahari). Selain itu, Guru Besar SJKC Chi Wen, Puan Pan Yii Yng dan Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Liew Sin Sin turut hadir.

Ketibaan mereka pada jam 11.00 pagi telah disambut oleh Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Zaleha bin Hassan.

Dalam pertemuan itu, Encik Philip mewakili ahli Lembaga Pengurus Sekolah mengucapkan tahniah kepada Encik Yusup kerana telah dilantik menerajui Jabatan Pendidikan W.P. Labuan.

Selain itu, pihak Lembaga Pengurus Sekolah turut memohon bantuan JPN membuat susulan ke KPM berkaitan peruntukan penyenggaraan bagi sekolah-sekolah bantuan kerajaan yang masih belum diterima untuk tahun ini.

Dalam maklumbalas, Encik Boney Joumil menyatakan bahawa semua permohonan penyelenggaraan untuk semua Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) telah dihantar ke KPM.

“Walau bagaimanapun, pihak JPN akan membantu membuat susulan berkaitan perkara ini supaya penyelenggaraan infrastruktur dapat dilaksanakan segera. Namun begitu, tanggungjawab penyelenggaraan untuk SBK masih di bawah pihak Lembaga Pengurus Sekolah” ujarnya lagi.

Encik Yusup memberikan ucapan aluan kepada rombongan Lembaga Pengurus Sekolah SJK(C) Chi Wen

Isu penyuraian murid di luar kawasan sekolah turut dibangkitkan. Hal ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan ibubapa terutamanya pada waktu tengahari.

Ketika mengulas perkara ini, Encik Yusup memaklumkan bahawa kerjasama dengan pihak polis amat perlu dalam situasi sebegini. Pihak JPN akan berusaha mendapatkan kerjasama PDRM bagi mengurangkan kesesakan lalulintas di kawasan tersebut.

Terdahulu dalam ucapannya, Encik Yusup mengucapkan terima kasih atas kunjungan pihak lembaga dan berharap dapat mengeratkan hubungan pihak lembaga dan jabatan.

“Saya berharap agar pihak lembaga dan JPN dapat bertukar pandangan dan cadangan untuk dibincangkan secara bersama. Melalui perbincangan seumpama ini kita dapat melihat keperluan sekolah dalam memastikan sekolah memberi khidmat terbaik untuk kemenjadian murid” menurut beliau lagi.

Encik Yusup juga mengucapkan tahniah kepada SJKC Chi Wen kerana telah berjaya menubuhkan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG). PIBG adalah wadah terbaik untuk membantu pihak sekolah dalam memastikan pelibatan komuniti dalam operasi sekolah.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan(SPr) , Encik Mohd Nizam bin Yasim, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid (SPM), Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Gambar kenangan : duduk dari kiri Puan Maimoon, Encik Philip, Encik Yusup, Encik Mohd Nizam, Tuan Haji Abdul Rahman, Encik Boney ( berdiri kanan) dan Puan Pan Yii Yng (berdiri tengah) bersama rombongan Lembaga Pengurus Sekolah



Pengarah Pendidikan Lakukan Kunjung Hormat Ke Perbadanan Labuan

Labuan, 19 April – Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Perbadanan Labuan di pejabatnya di Tingkat 10, Menara Perbadanan hari ini. Kunjung hormat ini bersempena pelantikan Encik Yusup bin Haji Mohamad sebagai Pengarah Pendidikan yang baharu berkuat kuasa 1 Mac yang lalu.

Rombongan dari Jabatan Pendidikan seramai 5 orang turut disertai oleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan Encik Mohd Nizam bin Yasim dan Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Encik Awang Marten bin Datuk Haji Abdul Rahman. Selain itu, turut hadir ialah KPP Sektor Pengurusan, Puan Lina Encharang dan KPP Sektor Infrastruktur dan Perolehan, Encik Boney Joumil.

Dalam pertemuan itu, Encik Yusup Mohamad telah menerangkan hal-hal berkaitan pengoperasian sekolah terutamanya dalam tempoh PKPP. Menurut beliau, setakat ini semua sekolah beroperasi dalam keadaan pematuhan SOP di tahap yang terbaik bagi mengekang penularan Covid19 dalam premis sekolah.

Selain itu, beliau turut memaklumkan beberapa projek pembangunan baharu termasuk pembinaan Kolej Tingkatan 6 dan pembinaan satu blok gantian yang mengandungi 12 bilik darjah di SMK Labuan.

Terdahulu, Pengerusi Perbadanan Labuan. Dato’ Sri Haji Amir bin Haji Hussien mengucapkan tahniah kepada Encik Yusup kerana telah dilantik menerajui Jabatan Pendidikan W. P. Labuan. Beliau turut melahirkan rasa bangga atas pelantikan anak tempatan menerajui agensi kerajaan yang terbesar di pulau ini.

“Pihak PL sedia untuk memberi bantuan, sokongan dan kerjasama kepada Jabatan Pendidikan dalam memastikan anak-anak di wilayah ini mendapat manfaat pendidikan terbaik” ujar beliau.

“Pihak Perbadanan Labuan mungkin boleh menyelaras bantuan untuk mendapatkan bekalan pelitup separuh muka untuk diagihkan kepada murid-murid di dalam kategori B40” tambah beliau lagi.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PL (Perbandaran), Encik Fadzilah bin Haji Mahmud, Pengarah Jabatan Sosio Ekonomi PL, Encik Helmi bin Bali dan Pegawai Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian PL, Encik Shahrulizam bin Sapar.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Perbincangan 2 hala antara Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Perbadanan Labuan



Kunjung Hormat Persatuan Kontraktor G1 ke Jabatan Pendidikan Erat Kerjasama

Labuan, 9 April : Persatuan Kontraktor G1 Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Pendidikan W.P. Labuan di pejabatnya di Tingkat 10 Ujana Kewangan sempena pelantikan Encik Yusup bin Haji Mohamad sebagai Pengarah Pendidikan yang baharu, hari ini.

Rombongan ahli jawatankuasa tertinggi persatuan telah diketuai oleh Tuan Haji Ceh Mat Haji Mustafa, Pengerusi Persatuan Kontraktor G1 Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketibaan rombongan seramai 10 orang pada jam 9.00 pagi telah disambut oleh Ketua Penolong Pengarah, Sektor Infrastruktur dan Perolehan (SIP), Encik Boney Joumil.

Dalam pertemuan itu, Encik Che Mat mewakili ahli persatuan mengucapkan tahniah kepada Encik Yusup kerana telah dilantik menerajui Jabatan Pendidikan W. P. Labuan.

Beliau turut menyuarakan hasrat ahli persatuan untuk mempertimbangkan beberapa prosedur sedia ada bagi memudahkan penyertaan ahli dalam sebutharga bagi kerja-kerja di bawah kawalan Jabatan Pendidikan.

“Terdapat beberapa perkara yang membebankan pihak kontraktor G1 seperti pengesahan setiap salinan penyata bank bagi setiap dokumen sebutharga. Selain itu kami juga berharap agar senarai kontraktor yang berjaya dipamerkan untuk rujukan penyebutharga” katanya.

Encik Che Mat menyuarakan hasrat ahli persatuan Kontraktor G1 kepada Encik Yusup

Dalam maklumbalas, Encik Boney menyatakan bahawa pihak jabatan terikat dengan peraturan-peraturan Kementerian Pendidikan Malaysia yang perlu dipatuhi.

“Setiap penilaian sebutharga di peringkat jabatan sangat telus dan teratur dengan melibatkan tiga peringkat penilaian di mana individu yang berlainan terlibat di setiap peringkat” jelas beliau lagi.

Dalam ucapan balas, Encik Yusup turut berharap agar pihak kontraktor dapat memberi sumbangan dengan menyediakan perkhidmatan yang terbaik berkaitan kerja-kerja penyenggaraan dan pembinaan di sekolah.

“Matlamat kita ialah menyediakan fasiliti dan kemudahan fizikal yang terbaik kepada anak-anak di Labuan. Apapun yang kita buat di sekolah, akhirnya nikmat dapat dirasai oleh anak-anak di pulau ini” tambah beliau lagi.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Perancangan(SPr) , Encik Mohd Nizam bin Yasim, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid (SPM), Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad.

Berita Oleh : Sektor Perancangan




Pemuafakatan Komuniti Selesaikan Isu Pengoperasian Sekolah

Labuan, 26 Mac : Jabatan Pendidikan telah mengambil inisiatif dengan mengadakan pemuafakatan bersama komuniti dalam menyelesaikan isu pengoperasi sekolah sepanjang tempoh PKPP, kelmarin.

Pemuafakatan melibatkan beberapa agensi dan pertubuhan bagi mencari kaedah terbaik bagi mengatasi isu kepadatan, penjarakan fizikal di dalam bilik darjah dan isu-isu berkaitan penyuraian murid.

Antara agensi yang hadir dalam sesi pemuafakatan tersebut ialah Jabatan Kesihatan W.P Labuan, wakil PIBG, wakil Ahli Lembaga Pengurusan sekolah dan pentadbir sekolah.

Sesi perbincangan telah dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

“Hasil daripada pemantauan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) W.P. Labuan, terdapat beberapa perkara yang perlu ditambahbaik di peringkat sekolah bagi memastikan sesi pembelajaran bersemuka dapat dilaksanakan dalam keadaan selamat”

“Kita mahu anak-anak yang hadir untuk sesi pembelajaran secara bersemuka sentiasa berada dalam keadaan selamat. Ini termasuklah langkah-langkah kawalan keselamatan di seluruh kawasan sekolah dan tidak terhad kepada di dalam bilik darjah sahaja” kata beliau.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Mohd Zaki bin Abd Hamid berkata pematuhan kepada SOP adalah sangat penting bagi mengekang penularan pandemik terutamanya di peringkat sekolah.

Pihaknya juga sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama kepada mana-mana pihak dalam membantu menambahbaik langkah-langkah kawalan premis dalam mencegah Covid-19 daripada terus merebak.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Matnoh dan KPP Sektor Infrastruktur dan Perolehan, Encik Boney Jumil.

Berita Oleh : Sektor Perancangan




TKPPM (SOS) Lakukan Lawatan Kerja Ke Labuan

Labuan, 23 Mac : Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menerima kunjungan dan lawatan kerja Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia(TKPPM) Sektor Operasi Sekolah (SOS) , Dato’ Haji Adzman bin Talib bermula 20 hingga 22 Mac 2021.

Lawatan selama 3 hari itu adalah bertujuan untuk memastikan pengoperasian sekolah rendah dan persediaan pembukaan sekolah menengah mulai 8 April ini berjalan lancar dalam tempoh PKPP.

Menurut Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah (SPS), Puan Maimoon binti Matnoh selaku penyelaras program, selain mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai jabatan pendidikan, TKPPM turut dijadualkan melawat beberapa sekolah di wilayah ini.

“Antara fokus lawatan ialah melihat kaedah dan amalan sekolah-sekolah dalam menerima kehadiran murid setiap pagi dan sesi penyuraian murid-murid sekolah” tambah beliau lagi.

Kunjungan ke ibu pejabat Jabatan Pendidikan W. P Labuan telah dibuat sejurus selepas ketibaan Dato’ Haji Adzman di pulau bertuah ini. Kehadiran TKPPM (SOS) telah disambut oleh pegawai-pegawai jabatan yang diketuai oleh Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Turut menyambut kehadiran beliau ialah YDP MPSM, Encik Ismail bin Abdullah dan YDP MGB, Puan Dayang Saripah A. Mahmud.

Dato’ Haji Azman menandatangani buku pelawat sambil diperhatikan Pengarah dan Timbalan-timbalan Pengarah JPWPL

Dalam ucapan alu-aluan, Encik Yusup telah menerangkan tentang halatuju dan pelan strategik Jabatan Pendidikan W. P. Labuan dalam tempoh 2021 hingga 2025.

“Kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meletakkan pendidikan Labuan di landasan terbaik. Dalam hal ini kita akan mengukuhkan program-program pendidikan di peringkat negeri dan memperkasakan aktiviti-aktiviti kebangsaan. Kita juga telah menjalinkan hubungan antarabangsa dengan KUPU Brunei dan NPO SAM, Jepun”. kata beliau lagi.

Puan Maimoon binti Matnoh, Timbalan Pengarah SPS turut menyampaikan taklimat ringkas berkaitan pengoperasian sekolah rendah dari aspek kehadiran murid dan sesi penyuraian sewaktu balik.

Dalam ucapan, Dato’ Haji Adzman berkata tujuan utama lawatan kerja ialah untuk mendapat gambaran yang lebih jelas tentang kesiapsiagaan dan pematuhan sekolah terhadap amalan-amalan dalam norma baharu.

“KPM telah membuat satu keputusan yang sukar untuk membenarkan murid-murid kembali ke sekolah. Kita mengakui bahawa sesi persekolahan secara bersemuka adalah amat penting bagi setiap murid mendapat akses kepada pendidikan terbaik. Justeru kita perlu memastikan keselamatan murid dan warga sekolah sentiasa terjamin dengan mematuhi SOP yang telah disediakan” tegas beliau.

Dato’ Haji Adzman telah melawat ke lima buah sekolah sepanjang 3 hari lawatan beliau di wilayah ini. Secara keseluruhan beliau berpuashati tahap kesiapsiagaan dan pematuhan sekolah-sekolah di Labuan dalam mengekang penukaran pandemik Covid-19.

Encik Ismail berbincang dengan Dato’ Haji Azman SOP kehadiran murid ke sekolah SMK Labuan
Dato’ Haji Azman memberi penerangan kepada guru-guru SMK Pantai
Lawatan Kerja TKPPM(SOS) ke asrama SM Sains Labuan
Dato’ Azman sedang mengukur kedudukan jarak 1 meter di bilik darjah SK Sungai Bedaun
Tahniah, inisiatif JPWPL menyediakan 20 sinki setiap sekolah untuk kemudahan murid mencuci tangan
Dato’ Haji Azman berpuas hati dengan Sekolah Kebangsaan SK Pekan Satu yang memperkenalkan sistem e-Mulih iaitu sistem penyuraian murid yang sistematik

Beliau juga telah mengadakan sesi lawatan ke bilik-bilik darjah bagi memastikan penjarakan fizikal di antara setiap murid mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh KOM.

“Saya ingin mengucapkan tahniah atas inisiatif yang telah diambil oleh Jabatan Pendidikan kerana menyediakan sekurang-kurangnya 20 sinki di setiap sekolah secara tetap dan dibuat dengan begitu kemas. Inisiatif ini telah memudahkan murid-murid untuk mencuci tangan secara kerap dan menjaga kesihatan” kata beliau selepas melawat sekolah-sekolah.

Di akhir sesi lawatan, beliau sempat meninjau sesi penyuraian murid di SK Pekan Satu.

“Saya berpuashati dengan kaedah-kaedah penyuraian murid yang telah diamalkan oleh sekolah-sekolah di Labuan berdasarkan model-model yang telah dicadangkan. Saya juga mengucapkan terima kasih atas kerjasama pihak PIBG, PDRM, RELA dalam memastikan penyuraian murid secara tertib” tambah beliau.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Pelancaran Pelan Strategik Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2021-2025
Bersama warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan
Lawatan kerja ke Sekolah Kluster Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan St Anne, Labuan
Lawatan Kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai, Labuan
Lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun, Labuan
Lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan



Kempen Derma Darah Hari Guru 2021 Peringkat W.P Labuan Dapat Sambutan

Labuan, 20 Mac : Program Kempen Derma Darah sempena sambutan Hari Guru 2020 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Kempen Derma Darah ini merupakan antara program-program anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri tahun 2021.

Program ini merupakan inisiatif untuk membantu menambahkan tabung darah di Hospital Labuan demi rawatan pesakit dan juga kes-kes kecemasan. Kempen derma darah ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan memberi peluang kepada semua guru serta orang awam untuk menunaikan tanggungjawab kemasyarakatan. Selain, memupuk sifat penyayang dan sedia membantu tanpa mengira bangsa dan agama.          

SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) merupakan sekolah zon pengelola, telah berjaya menambah tabung darah Hospital Labuan sebanyak 44 paket darah.

Guru-guru menunggu giliran untuk menyumbang darah

Pengetua SMKTPB selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sambutan Hari Guru 2021, Encik Ag. Rozlan bin Manan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan program khidmat masyarakat melalui kempen derma darah.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak Hospital Labuan kerana bersama-sama merealisasikan program kemasyarakatan ini.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua penderma darah yang telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Beliau juga bersyukur kerana program yang dirancang berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai objektifnya.

Penderma boleh menderma darah sekiranya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan. Sjil penghargaan dan hamper telah diberikan kepada penderma darah yang mendaftar terlebih dahulu sebagai penderma darah.

Walaupun dalam situasi negara menghadapi pandemik Covid-19, program derma darah ini merupakan landasan terbaik untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat khususnya dalam kalangan guru-guru di Wilayah Persekutuan Labuan untuk menderma darah ekoran stok bekalan darah yang semakin susut bekalannya.

Malahan, program ini juga dapat membuka mata warga guru bahawa betapa pentingnya 1 paket darah dapat menyelamatkan nyawa seseorang.

Kempen derma darah diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada pihak pengurusan Hospital Labuan oleh Sekolah Zon Pengelola Sambutan Hari Guru Peringkat WP Labuan Tahun 2021 bagi pihak Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Turut hadir bersama dalam program ini ialah Pn. Chai Yee San (Pen. Kanan Pentadbiran) selaku setiausaha JK Pengelola Sambutan Hari Guru, Pn. Lau Chin Ying (Pen. Kanan Kokurikulum), guru-guru kanan bidang serta AJK yang terdiri daripada guru-guru SMKTPB.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Tiga orang penderma darah yang terawal hadir menerima sijil dan hadiah daripada En. Awang Rozlan
Antara guru yang menerima sijil penghargaan kerana mendaftar awal sebagai penderma darah.
En. Ag Rozlan menyampaikan sijil penghargaan atas jalinan mengadakan program kepada pihak
Hospital Labuan
Setinggi-tinggi tahniah Encik Ag Rozlan bersama barisan guru SMKTPB yang bertugas sebagai AJK.



Repsol Oil & Gas Malaysia Limited Suntik Motivasi Murid Komuniti Nelayan Labuan

Labuan, 5 Mac 2021 – Syarikat Repsol Oil & Gas Malaysia Limited sentiasa komited bagi membantu menyuntik semangat dan motivasi murid di kalangan anak-anak nelayan di wilayah ini.

Pengurus Stakeholder Relations, Repsol Oil & Gas Malaysia Limited, Encik Ahmad Fakhrurazzi Arshad berkata syarikat yang berpangkalan di Madrid, Sepanyol ini sentiasa komited dan prihatin untuk membantu masyarakat komuniti tempatan di mana syarikat mereka beroperasi.

“Anugerah Motivasi pada hari ini merupakan kesinambungan usaha-usaha tersebut yang memfokuskan kepada pendidikan, khasnya kepada anak-anak nelayan di Wilayah Persekutuan Labuan yang masih di bangku sekolah.  

Hasrat kami adalah untuk membantu dan menyuntik semangat dikalangan anak-anak ini untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik dan aktiviti kokurikulum sekolah. ”

Dalam Majlis Anugerah Motivasi  Murid Golongan Komuniti Nelayan Tahun 2021 yang telah berlangsung secara maya ini, Pihak Repsol telah menghulurkan bantuan sebanyak RM400 kepada murid  Tingkatan 3 yang lulus PT3 dan RM300 kepada murid Tahun 6  yang lulus dalam UPSR pada tahun lalu.

Encik Yusup (tengah), Tuan Haji Abdul Rahmam (kiri), Encik Nizam (kanan), Encik Ag. Marten (belakang kanan) dan Encik Mohamad (belakang kiri)

Pengarah  Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup Mohamad merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Repsol  di atas usaha murni dalam membantu pelajar dari golongan komuniti nelayan berpendapatan rendah sebagai motivasi dalam pelajaran dan kehidupan mereka. 

“ Dengan bantuan ini, kita berharap para pelajar akan menggunakan wang bantuan itu dengan sebaik-baiknya dan menggunakan bantuan itu untuk membeli peralatan sekolah dan buku-buku pelajaran,” katanya.

“ Saya berharap program ini dapat diperluaskan kepada pelajar-pelajar lain yang layak dan menjadikan program ini salah satu program utama secara ‘one off’ yang menjadi fokus utama  khidmat masyarakat daripada pihak Repsol,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Encik Mohd Nizam Yasim, dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad dan Datuk Eddie Abdullah Penasihat, Perhubungan Masyarakat & Kerajaan Negeri Sabah dan Labuan.Repsol Oli & Gas Malaysia Limited.

Datuk Eddy (kiri) bersiaran secara langsung di ibu pejabat Repsol Kuala Lumpur



Jabatan Pendidikan Labuan anjurkan Bengkel Kajian Tindakan Peringkat Kebangsaan

Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang berkesan memerlukan kepada penambahbaikan berterusan. Setiap guru perlu berusaha untuk meningkatkan kualiti pengajaran melalui pelbagai kaedah sesuai dengan situasi semasa.

Menyedari kepentingan ini, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengorak langkah untuk menganjurkan Bengkel Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah peringkat kebangsaan.

Menurut Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim merangkap pengurus program, bengkel empat siri yang bermula daripada 4 Mac sehingga 8 April ini telah mendapat pengiktirafan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai program peringkat kebangsaan. Bengkel melibatkan penyertaan seramai lebih 1600 orang daripada 16 buah negeri di seluruh Malaysia.

“Sesuai dengan situasi pandemic Covid-19 yang belum berakhir, kita telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan bengkel ini secara dalam talian sepenuhnya. Ini adalah satu sejarah bagi Labuan kerana buat pertama kalinya kita menganjurkan bengkel sebegini besar secara dalam talian”

“Oleh kerana sambutan yang sangat menggalakkan daripada warga pendidik seluruh negara, kita menggunakan platform webinar untuk tujuan penyiaran. Selain itu, pasukan penyiaran (broadcaster) juga telah menggunakan pelantar maya seperti facebook live dan Youtube live bagi memastikan semua peserta mendapat akses kepada bengkel ini mengikut kesesuai masing-masing” kata beliau.

TEKNOLOGI…. Medium youtube live turut digunakan bagi memastikan setiap peserta mendapat akses terbaik kepada bengkel ini.

Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah telah diperkenalkan oleh Puan Suriani Alland Rice Oxley sejak tahun 2017. Beliau yang merupakan Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) telah berjaya mengharumkan nama Labuan dengan menjadi Naib Johan Inovasi dalam Konvensyen SISC kebangsaan pada tahun 2018 melalui inovasi Teknik 12 Langkah ini.

SURIANI ALLAND RICE OXLEY, Pencipta Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah

Bagi melicinkan perjalanan bengkel, seramai 12 jurulatih utama (JU) telah dilantik dan diketuai sendiri oleh Puan Suriani. Jurulatih akan membantu semua peserta dalam memahami Teknik 12 Langkah ini melalui bimbingan dalam lima saluran selari.

Bercakap semasa merasmikan bengkel ini, mantan Pengarah Pendidikan W.P. Labuan, Puan Khaziyati binti Osman berkata setiap guru perlu bersedia untuk terus meningkatkan kompetensi masing-masing.

“Kajian tindakan adalah platform terbaik bagi setiap warga pendidik meningkatkan prestasi PdP dengan membuat penambahbaikan berterusan. Warga pendidikan mesti bersedia untuk learn, unlearn and relearn bagi menjamin pengetahuan dan kemahiran pendidik sentiasa relevan dengan keperluan semasa” ujar beliau lagi.

Bangunan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) di Sungai Lada telah dijadikan pusat penyiaran bagi bengkel ini. Seramai 8 ahli pasukan penyiaran bertungkus lumus bagi emmastikan perjalanan bengkel secara dalam talian ini berjalan lancar. Akses kepada bengkel ini boleh dicapai melalui laman https://sites.google.com/view/kolokium-kebangsaan-jpnwpl/utama dan saluran Youtube https://www.youtube.com/watch?v=SOzMX5ZOChk

BELAKANG TABIR, Sebahagian daripada ahli pasukan penyiaran bertungkus lumus memastikan penyiaran bengkel berjalan lancar.
BERJAYA, sebahagian daripada ahli jawatankuasa pelaksanan bengkel bergambar setelah selesai siri 1 semalam.



Anak Jati Labuan Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Baharu

Encik Yusup bin Haji Mohamad, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran telah dilantik sebagai Pengarah Pendidikan W.P. Labuan yang baharu menggantikan Puan Khaziyati binti Osman berkuatkuasa pada 1 Mac 2021.

Puan Khaziyati Osman pula akan menjawat jawatan sebagai Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Negeri Sabah berkuatkuasa pada tarikh yang sama. Pelantikan pengarah negeri yang ke lapan ini telah diumumkan secara rasmi oleh Datuk Dr. Habibah binti Abdul Rahim, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) pada 1 Mac 2021. Sesi pertemuan telah dibuat secara maya kerana kekangan pandemic Covid-19.

Dalam pertemuan tersebut, Datuk Dr. Habibah sempat berbincang dan berkongsi pandangan bersama-sama Encik Yusup berkaitan perjalanan pembukaan semula sekolah bagi murid-murid Pra sekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 di Wilayah Persekutuan Labuan.

KPPM juga turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan ini dan berharap agar amanah yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan dengan penuh dedikasi demi kecemerlangan pendidikan.

Encik Yusup adalah anak jati Wilayah Persekutuan Labuan yang pertama dilantik sebagai Pengarah Pendidikan W.P.Labuan. Pelantikan ini telah merealisasikan harapan penduduk Labuan untuk melihat seorang anak watan negeri ini menjawat jawatan tertinggi dalam sesebuah organisasi di wilayah ini. Tambahan pula, Jabatan Pendidikan adalah agensi kerajaan yang terbesar di pulau ini.

LAPOR DIRI… Encik Yusup menandatangani buku lapor diri di Jabatan Pendidikan W.P.Labuan dan disambut oleh tiga Timbalan Pengarah iaitu Encik Abdul Rahman, Encik Mohd Nizam dan Puan Maimoon.

Encik Yusup adalah  anak kelahiran Kampung Patau-Patau 1. Beliau memulakan karier sebagai pendidik sebagai Guru Tingkatan 6 di SMK Labuan pada tahun 1993  sebelum dilantik menjadi Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun pada tahun 2001 pada usia 33 tahun. Semenjak itu beliau telah berkhidmat di beberapa buah sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan termasuklah menjawat Pengetua SMK Pantai, IBWS dan SMK Lajau.

Kerjaya beliau berkembang selangkah lagi apabila dilantik sebagai SIPartner+ (Rakan Pembangunan Sekolah) pada tahun 2018. Atas kecemerlangan dalam perkhidmatan, beliau telah dilantik menjadi Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran pada awal tahun 2019 menggantikan Puan Norismah binti Hj Ab. Moin yang bersara wajib.

Pengalaman beliau yang pelbagai dan atas kecemerlangan pengurusan yang ditunjukkan, maka pada tanggal keramat 1 Mac 2021, beliau telah diperakui sebagai Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Labuan yang ke lapan.

Mengulas pelantikan ini, beliau melahirkan rasa syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah bersama-sama menyokong kerjaya beliau dari dahulu sehingga ke hari ini. Beliau turut menyeru agar semua pihak dapat terus bekerjasama bagi menjamin kecemerlangan pendidikan yang telah dirintis oleh pengarah-pengarah yang terdahulu.

“Keutamaan kita ialah bagi memastikan sistem pendidikan peringkat rendah dan menengah di wilayah ini dapat berkembang maju seiring dengan negeri-negeri yang lain dan kita tidak mahu ketinggalan di belakang. Kemudahan-kemudahan fizikal, infrastruktur dan modenisasi dalam pendidikan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa” kata beliau lagi.

Majlis serah tugas jawatan telah berlangsung pada 05 Mac 2021 secara dalam talian sesuai dengan amalan norma baharu bagi mengekang penularan Covid-19. Warga Jabatan Pendidikan W.P.Labuan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan ini dan komited untuk terus menabur khidmat bakti setia demi menjamin kelangsungan kecemerlangan dan kemenjadian murid dan kualiti sekolah di Labuan.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Majlis Sanjungan Budi mantan Pengarah Pendidikan Puan Khaziyati Osman secara maya. Menabur bakti selama 18 tahun di Jabatan Pendidikan W.P Labuan. Tahniah di atas pelantikan sebagai Pengarah Institut Aminudin Baki (IAB) Negeri Sabah. Terima kasih atas segalanya. Jasamu sentiasa dikenang !