Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris Ala Parlimen Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan
21 Julai – SMK Labuan dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris Ala Parlimen Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung pada 18hb-20hb Julai 2017.
SMK Labuan yang diwakili oleh Marvin Hing Majin, Nigel Llaleta Goh, Louis Ker Wei Zhun dan Richard Ian Tanakinjal berjaya membawa pulang piala dan sijil penyertaan.
Pada peringkat akhir, pasukan yang dibimbing oleh Puan Nasthashia Masiri @ Masrih dan Puan Norah Tan itu berjaya menewaskan SMK Mutiara dengan tajuk perbahasan ‘This house Prefers a world with a common and only one language’.
Melengkapkan kejayaan manis sekolah tersebut apabila pembahasnya, adik Nigel Llaleta Goh sebagai pembahas terbaik. Kejayaan itu membolehkan SMK Labuan mewakili WP Labuan dalam pertandingan bahas peringkat kebangsaan 2017.
Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Encik Mohd Al Ghaffar Maidin, Ketua Unit Pusat Kokurikulum JPWPL.
Hadir sama Encik Subari Dwar Ketua Unit Kokurikulum dan Encik Yusup Mohamad Pengetua SMK Lajau.
Pengetua SMK Labuan melahirkan perasaan sangat gembira dengan kegigihan yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajarnya dan dibantu oleh semua guru Bahasa Inggeris sekolah sehingga membuahkan hasil kejayaan yang cukup bermakna. Beliau mengharapkan agar pasukan muda ini mendapat pendedahan di peringkat kebangsaan dan berusaha membuat yang terbaik untuk mengharumkan nama SMK Labuan dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris Ala Parlimen ini, memperkenalkan satu format perbahasan yang menarik dan mencabar kepada murid-murid sesuai dengan institusi persekolahan sebagai pusat kecemerlangan. Selain, melahirkan bakal pemimpin yang berani, berfikiran tajam serta mempunyai kemahiran berhujah secara spontan dengan idea yang bernas dan teratur.
SMK Taman Perumahan Bedaun Johan Pertandingan KIK
Kumpulan Sejiwa SMK Taman Perumahan Bedaun mengungguli Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2017.
Kumpulan Sejiwa diwakili Juraidah Aman, Suzaina Chee, Suridah Sabran, Suraya Abdul Rahman, Nur Ashikin Ismahun, Ahmad Fitry Ismail, Ivan Lai dan Gabriel Chin Vui Wen.
Pasukan itu membentangkan tajuk ‘Kesukaran mengumpal data disiplin bagi rujukan pentadbir dan unit disiplin untuk membuat tindakan’.
Dengan kejayaan itu, kumpulan itu membawa pulang sijil kemenangan seterusnya akan mewakili Labuan ke Konvensyen KIK Kementerian Pendidikan Malaysia peringkat kebangsaan pada Oktober nanti.
Naib johan disandang Kumpulan The Green Synergy SMK Labuan dengan tajuk pembentangan ‘Borang Sibers 1.0 (Sijil Berhenti Sekolah)’.
Manakala tempat ketiga diraih Kumpulan Rainbow SK Pantai yang membentangkan ‘Rainbow Meramorphosis’.
Kumpulan 10 Star RG dari SKPekan Satu dan SMK Pantai IBWS menerima hadiah saguhati selepas masing-masing membentangkan ‘Menangani displin Pelajar pada Waktu Rehat’ dan ‘Masalah Pengurusan Masa Mesyuarat’.
Sebanyak lima kumpulan menyertai KIK pada tahun ini. Pertandingan itu diadili tiga orang juri iaitu Penolong Penguasa Bomba Labuan Pain Muzal selaku ketua juri, Pegawai Perbadanan Labuan Edzrina Tamin dan Pegawai Pendidikan (SISC+) Suriani Alland Rice Oxley.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Labuan Encik Raisin Saidin di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Labuan, Jalan Sungai Lada pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Sektor Jaminan Kualiti Khaziyati Osman, ketua-ketua sektor, pengetua dan guru besar.
En Raisin Saidin bersama para peserta KIK 2017
Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MAKA) Tahun 2016
Labuan – Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MAKA) Tahun 2016 telah berlangsung dengan penuh ceria pada 08 Julai 2017 (Sabtu) bertempat di Auditorium Labuan International School (LIS).
Majlis yang disempurnakan oleh YB Ahli Parlimen P166 W.P. Labuan, Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli ini dihadiri oleh Pengarah Pendidikan, En. Raisin bin Saidin, tetamu jemputan, ketua-ketua sektor, para pengetua, guru besar, pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan, dan pelajar yang menerima anugerah pada majlis tersebut.
Ucapan perasmian yang disempurnakan oleh Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli, beliau berkata “Kejayaan yang para pelajar kecapi pada hari ini adalah hasil kesabaran, ketekunan dan kegigihan mereka tanpa mengenal rasa jemu. Oleh itu, anak-anak sekalian haruslah terus menjadikan kecemerlangan ini sebagai penggerak kepada kejayaan yang lebih besar kerana banyak lagi halangan dan cabaran yang harus ditempuhi dalam perjalanan yang masih jauh dan luas. Kita harus sentiasa ingat bahawa cemerlang ini bermaksud, anak-anak dapat mengamalkan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran atau soft skill dalam kehidupan seharian. Natijah daripada kecemerlangan ialah keelokan atau keindahan yang tercerna dalam akal budi dan perilaku serta mewarnai watak keperibadian masing-masing . Kesemuanya menggambarkan kesempurnaan peribadi sepertimana yang diharapkan oleh negara kita, iaitu memiliki modal insan yang terbaik untuk kemajuan negara.
Saya amat berharap anak-anak cemerlang ini khususnya lepasan SPM dan STPM akan dapat menempatkan diri di institusi pengajian tinggi sama ada dalam atau luar negara. Anda adalah survival bangsa Malaysia dalam menghadapi arus globalisasi. Saya selaku wakil rakyat di sini sentiasa memberikan sokongan kepada Jabatan Pendidikan Labuan dalam apa jua program sama ada program kurikulum atau kokurikulum demi melihat keberhasilan anak-anak di pulau ini berjaya di dunia dan akhirat. Yayasan Pembangunan Labuan juga turut sama memberikan sumbangan demi melihat kemenjadian anak-anak di pulau ini dalam pencapaian akademik mereka. Peningkatan ekonomi di pulau ini terletak dalam tangan generasi muda yang inovatif dan berdaya saing. Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka ilmu terkini supaya kita tidak ketinggalan dalam dunia hari ini”.
Kem Ihya Ramadhan Sekolah Rendah dan Menengah
Labuan – Kem Ihya Ramadhan Sekolah Rendah dan Menengah telah diadakan pada 15-16 Jun 2017 yang bertempat di dewan terbuka Pusat Ko Kurikulum, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Kem ini dianjurkan oleh Pusat Ko Kurikulum dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (JAWI), Pusat Pungutan Zakat Labuan (PPZ), dan Jabatan Penerangan Labuan. Seramai 40 orang peserta terlibat dalam kem tersebut. Antara Pengisian yang telah dijalankan dalam kem tersebut adalah ceramah daripada JAWI dan PPZ, Tadarus Al-Quran dan Qiamulail
Majlis khatam Al-Quran telah dipimpin oleh Imam Muda Nazrul iaitu naib juara program Imam Muda Musim kedua. Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Encik Hasbollah bin Amit Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan.
Majlis Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat
Labuan – Majlis penyerahan surat kenaikan pangkat telah berlangsung pada 15 Jun 2017 (khamis) dan bertempat di Bilik Benua, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri W.P Labuan.
Seramai 59 penerima Surat Kenaikan dari Gred DG34 hingga Gred DG52 peringkat Jabatan Pendidikan yang diraikan pada majlis tersebut.
Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan Encik Raisin bin Saidin.
Beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua warga pendidikan yang sentiasa bersungguh-sungguh tanpa mengira sama ada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan maupun Pegawai Kumpulan Pelaksana, sama-sama menjadi pemangkin kejayaan pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan.
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang dikenali umum sebagai Guru, adalah insan yang paling dekat dengan murid. Insan yang sebenarnya penyumbang utama dalam mendidik dan membangunkan manusia sebagai modal insan yang berjaya dari pelbagai aspek, sama ada inteleknya, jasmaninya, rohaninya, sahsiahnya maupun emosinya.
Encik Raisin Saidin juga berharap agar pencapaian cemerlang para penerima surat kenaikan pangkat akan terus dipacu dengan momentum dan iltizam yang lebih tinggi dan menjadi pembakar semangat kepada warga pendidikan yang lain untuk terus menggembleng sepenuh daya usaha melalui persaingan yang sihat demi menjadikan perkhidmatan awam, secara amnya, dan perkhidmatan pendidikan, khususnya, kekal sebagai perkhidmatan yang diyakini dan disegani oleh rakyat dan menepati kehendak dan ekspektasi pemegang taruh (stakeholder) kita.
Perkhidmatan berkualiti dan berprestasi tinggi amatlah relevan dengan hasrat kepimpinan negara yang ingin melihat Tahun 2017 sebagai tahun penyampaian atau “delivery year”.
Jabatan Pendidikan Labuan Lancar Antologi Cerpen
Labuan- Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah melancarkan Antologi Cerpen ‘Catatan Seorang Guru’ sempena sambutan Hari Guru peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.
Antologi tersebut merupakan koleksi cerpen hasil karya 12 orang guru dan Ahli Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA).
Pengarah Pendidikan Labuan Encik Raisin Saidin berkata, antologi cerpen itu mengenai tugas seorang guru dan bidang pendidikan.
“Penerbitan antologi cerpen itu merupakan salah satu usaha menyemarakan budaya membaca dalam kalangan guru dan masyarakat Labuan,”katanya.
Raisin berharap menerusi cerpen berkenaan, warga pendidikan akan memberi semangat kepada anak didik mereka dan ibu bapa untuk membaca pelbagai bahan bacaan yang berfaedah.
Majlis pelancaran antilogi cerpen itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman bin Haji Isli.
Dedikasi Buat Guru-Guruku Sepulau Kasih Kita
Dedikasi guru-guruku menelusuri waktu dan usia bermadah sayang penuh iltizam
Pada azam membuka minda membuka kota ilmu khazanah lorong ilmu anak-anak abad ke-21 yang sedang mencari diri pada celah ranjau dan duri melentur susur peribadi terpuji.
Pada santun kata penuh hikmah
Kau guru-guruku sepulau sekasih ini tak mudah menoleh
Menghitung nostalgia sejarah
Jauh mata pandang dan mata hatimu yang telus menembus tajam masa hadapan bagai utusan para wali melebar wawasan jelas puncak kerjaya anak-anak dengan bekal fikir aras tinggi
Menjulang inovasi kreativiti
Setulus budi pekerti
Siapakah yang mengerti?
Daya saing tersirat dari falsafah
Dan hasrat panduan jelas
Dari lokal ke antarabangsa
Terserlah jua rasa cinta abadi
Pada coretan selembar catatan.
Bersatulah guru-guruku sepulau sekasih ini dengan hasrat dan niat suci sedingin embun pagi
Pada basah janji
Doamu saban pagi
Tercerna halus pada ucapan
Terima kasih cikgu
Kaulah guru-guruku
Yang memahami harga diri
Memimpin penuh integriti
Pada halus budimu
Pada cerah wajahmu
Terserlah kuntum senyuman
Menggunung harapan
Ke puncak menara
Guruku sayang
Namamu sentiasa meniti dari bibir ke bibir
Kerana kaulah guruku yang sentiasa bijak menterjemah mimpi menjadi realiti……
Kata pesan tegur nasihatmu
Jadi pedoman sepanjang hayat
Pada hari ulang tahun
Tarikh keramat 16 Mei
Tersemat kemas di hati.
Selamat Hari Guru.
Terima kasih cikgu!
“Guru Pembina Negara Bangsa”
SAMSA HARRIS JDT: JALAN DURIAN TUNJUNG, LABUAN 10 MEI 2017
Encik Sahar bersama warga guru SMK Pantai, sempena sambutan Hari Guru 2017
Tema Hari Guru 2017 SMK Pantai : Kalau saya bukan seorang guru
Maitah KUPI-KUPI HAIE GU’U – Pendidikan Berkualiti memacu gelombang ke-2 PPPM 2016-2020
Labuan, 23 Mei – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Program “Maitah kupi-kupi Haie Gu’u” sempena sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat WP labuan di Ruang Legar Ujana Kewangan Labuan.
Seramai 134 Orang guru dari 26 buah sekolah hadir dalam program ini. Program bual bicara santai yang bermula dari pukul 2.30 petang ni juga turut dihadiri oleh Pengarah Pendidikan WP labuan En Raisin Bin Saidin.
Antara ahli panel ialah, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pekan Satu WP labuan, En Jaafar Bin Matusin, Pegawai SISC+, En Pg Abd Kadir Bin Pg Budin Guru Cemerlang dari SMK Labuan , En Nazrin Bin Ismail dan di pengerusikan oleh Pengetua SMK Rancha-Rancha, En Omar Baki Bin Matusin.
Tema program ini ialah “Pendidikan Berkualiti memacu Gelombang ke-2 PPPM 2016 2020. Antara perkara yang dibincangkan ialah Pendidikan Abad ke-21 (PAK21), Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Kemahiran berfikir aras Tinggi (KBAT).
Sokongan penuh daripada Encik Raisin Saidin, ketua-ketua sektor, para pengetua dan guru besar serta guru-guru Labuan
Sebanyak 10 gerai yang mempamerkan pelbagai inovasi daripada guru-guru di WP Labuan. Antara inovasi yang menarik perhatian para pengunjung ialah Inovasi daripada bahan-bahan terbuang oleh Cikgu Hasnan dari SK Pekan Satu dan Inovasi 1 Spy 5 Stars oleh Cikgu Hyginus Lester dari SMK Mutiara WP Labuan.
Program yang diilhamkan oleh Pengarah Pendidikan WP labuan ini juga diserikan dengan persembahan nyanyian duo oleh En Irham dan En Marzuki dari Jabatan Pendidikan WP Labuan serta persembahan tiupan seruling dan sajak oleh En Sanin, tenaga pengajar dari Labuan International School WP Labuan.
Pameran inovasi oleh guru-guru Labuan
Semua peserta yang hadir meluahkan rasa gembira dan teruja kerana Sambutan Hari guru pada tahun ini menampakkan kelainan daripada sambutan pada tahun-tahun sebelumnya. Program berakhir pukul 4.30 petang dengan acara kuiz kepada semua peserta secara maya menggunakan program “Kahoot” yang dikendalikan oleh cik Suriani dari Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan WP Labuan.
Sekalung tahniah dan syabas kepada urusetia Sektor Pengurusan Akademik, JPWPL
Berita Oleh : Saudara Inanis Fatinisupi bin Abdullah
Sambutan Hari Guru 2017 WP Labuan Berlangsung Penuh Ceria
Labuan – Sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2017 telah berlangsung dengan penuh ceria dan warna-warni pada 20 Mei 2017 bertempat di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan.
Tema Sambutan Hari Guru tahun ini adalah Guru Pembina Negara Bangsa.
Majlis yang di sempurnakan oleh YB Ahli Parlimen P166 W.P. Labuan, Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli ini dihadiri oleh Pengarah Pendidikan, En. Raisin bin Saidin, tetamu jemputan, Datuk Sri Alias bin Hj. Abdul Rahman, ketua-ketua sektor, para pengetua, guru besar, pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan, kumpulan Pesara Guru, YDP PIBG dan yang diraikan para guru di Wilayah Persekutuan Labuan.
Turut hadir Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan, Ketua-Ketua Kampung dan wakil-wakil agensi swasta dan warga pendidik yang terdiri daripada guru di semua sekolah Wilayah Persekutuan Labuan termasuk Kolej Vokasional Labuan, Kolej Matrikulasi Labuan, Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) dan tadika-tadika swasta.
Ikrar Hari Guru yang dipimpin oleh Encik Raisin Saidin bersama ketua-ketua sektor, para pengetua dan guru besar
Tn. Hj. Henarin bin Hj Adinda telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Peringkat WP Labuan Tahun 2017 di atas sumbangan bakti penuh dedikasi yang telah dicurahkan kepada dunia pendidikan samada di Labuan mahupun di negeri Sabah bermula awal tahun 70-an sehingga tahun 2003.
Beliau menerima RM2,000 dalam bentuk sijil premium daripada BSN dan RM1,000 daripada Bank Islam yang turut menyumbang RM200 kepada setiap Ikon Guru.
Majlis yang bermula pada jam 8.00 pagi ini turut memberi penganugerahan kepada 52 orang penerima Anugerah Anak Guru Cemerlang, 15 orang guru bagi Anugerah Guru Inovatif (Johan : Nazrin bin Ismail), 3 orang guru Anugerah Ikon Guru (Ismail bin Abdullah, Suriani Alland Rice Oxley dan Samih bin Kukung), seorang penerima Anugerah Kepimpinan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Ismail bin Abdullah), seorang penerima Anugerah Prasekolah Gemilang (Samih bin Kukung), dan dua orang penerima Anugerah Guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Cemerlang (Roslaniah binti Zainal dan Vincent Kubing Anak Ajah).
Kiri – Encik Raisin Saidin bersama Tokoh Guru 2017 Tn Hj Henarin, kanan – Encik Ismail bersama Cikgu Nazrin penerima anugerah Ikon Guru, kepimpinanan TMK dan Guru Inovatif
Ucapan perasmian yang disempurnakan oleh Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli, beliau berkata “guru jugalah yang menjadi sumber inspirasi anak watan bagi memacu aspirasi negara menjadikan Negara yang kita cintai maju dan sejahtera. Guru juga menjadi wadah penyemai perpaduan dan guru bertanggngjawab menanam sifat perpaduan dalam jiwa generasi muda kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Beliau juga turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada insan yang bergelar guru di mana jua mereka berada. Biarlah ungkapan keramat ‘guru’ atau ‘cikgu’ terus kekal meniti di bibir murid, ibu bapa dan masyarakat hingga ke akhir hayat seorang guru.
Keriangan Hari Guru terpancar di wajah guru-guru SK Kerupang
Menurut Encik Raisin Saidin, pelbagai aktiviti dijalankan sempena Hari Guru peringkat Wilayah Persekutuan Labuan. Antaranya ialah sesi berkunjung ke rumah pesara guru, khidmat masyarakat, kempen derma darah, sukan dan rekreasi, program bacaan Yaasin, makan malam serta forum hari guru yang dikenali sebagai Kupi-kupi Hari Guru yang akan berlangsung pada 23hb Mei 2017.
Semua program yang telah dirancang bertujuan mengeratkan dan mendekatkan lagi hubungan di kalangan warga pendidikan sendiri mahupun dengan masyarakat umumnya.
Warga Pesara Guru dan PIBG yang turut hadir memeriahkan majlis
Pada majlis itu, Encik Raisin Saidin mewakili Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan menerima sumbangan daripada YB Datuk Rozman sebanyak RM4,000 untuk menampung perbelanjaan majlis makan malam Hari Guru manakala RM3,000 daripada Datuk Sri Alias untuk menampung sambutan Hari Guru 2017.
Encik Raisin Saidin turut mengucapkan terima kasih atas sumbangan Bank Rakyat, PIBG, pengusaha kantin sekolah dan guru-guru.
Keceriaan warga guru SK Pantai – Penampilan Terbaik
Dalam majlis tersebut, YB Rozman juga berkesempatan melancarkan buku Antologi Cerpen yang bertajuk Catatan Seorang Guru yang telah diterbitkan oleh Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan ( PERWILA ) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Tahun 2016
Labuan, 12 Mei – Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menerima Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia. Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah diberikan “Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Tahun 2016” BAIK yang ditandatangani oleh CP Dato’ Zamri Bin Yahya, Ketua Pengarah Keselamatan Malaysia.
Encik Raisin Saidin Menerima Sijil Anugerah Khas daripada Encik Mathew
Anugerah ini telah disampaikan oleh Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia W.P Labuan Encik Mathew Lee a/k Musa diringi En Mohd Nazri bin Sofian pada 12.05.2017 jam 9.00 pagi di Pejabat Pengarah Pendidikan JPWPL.
Sijil Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Tahun 2016