Sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2020
Labuan, 13 Jun – Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih berkuatkuasa sehingga 31 Ogos depan, Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (JPNWPL) telah menganjurkan Sambutan Hari Guru 2020 secara maya.
Sambutan Hari Guru Peringkat W.P Labuan dengan tema “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman.
Dr, Fary dalam ucapan perasmiannya berkata, guru memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga dalam pengajaran bagi memberi impak positif terhadap kualiti anak didik.
Ini seterusnya melahirkan modal insan yang holistik dan berguna kepada masyarakat, selain mampu membina negara bangsa yang cemerlang dan gemilang.
Meskipun diadakan secara maya, namun sambutan itu tetap memberi makna besar kepada dua pesara guru yang berjasa kepada Labuan iaitu mantan Guru Besar SK Sungai Lada, Encik Abdul Safar Awang Damit dan Mantan Pengetua SMK Pantai IBWS, Encik Sahar Misron yang masing- masing dinobatkan Tokoh Guru 2020.
Turut diumumkan Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2019 dalam kalangan anak guru, Ikon Guru, Guru Inovatif dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan.
Sambutan ini mendapat tontonan 2000 orang melalui platform Youtube.
Hadir sama menjayakan sambutan secara maya itu ialah Timbalan Pengarah (Sektor Pembelajaran), JPWPL, Encik Yusup Mohammad, Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua Penolong Pengarah, Para Pengetua, Guru Besar, Guru-Guru dan Warga Jabatan Pendidikan WP Labuan.
TOKOH GURU 2020 Mantan Guru Besar SK Sg. Lada Encik Abd. Safar Awang DamitTOKOH GURU 2020, Encik Sahar Misron mantan Pengetua SMK Pantai IBWS.
Selingkar kenangan bersama Tuan Walau sedetik Cuma Ianya amat mahal untuk dinilai Ianya amat luas untuk diukur Bicaramu tuan bak tinta di jiwa kami Menguntum senyummu tuan, membunga di hati kami Kau nyalakan kandil hakiki Menyuluh arah haluan nan murni Dengan tekad nan suci Menggunung harapan cita kami Kau tak lupa kukuhkan tiang seri pusaka Buat sokong di kala rebah Permaidani kasih kau hamparkan Di sepanjang lantai usang Kelak membunga mekar setaman
Walau sesekali walang terusik Oleh dengkur dan dengus Lara wargamu kausirami dengan benih-benih keimanan Rangsangan jua dorongan kau salurkan Teguranmu pasti membina kami Nasihatmu pasti kami tak lupa Jasamu pasti kami abadikan Tinta kami ini adalah titipan kasih buat Tuan Bukan sekadar metafora dalam kuntuman sajak Yang berbalut kiasan wacana
Semoga Tautan Kasih kami akan kekal utuh menjadi Selingkar Kenangan pada Tuan Selaut kasih, selangit kasturi, seharum setanggi, sejambak bunga terima kasih, Titipan seikhlas budi seindah kenangan Buatmu Tuan Pengarah.
Salam Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin.
Tuan Raisin Saidin, 2 Nov 2015 – 5 Mei 2020
Dengan Ingatan Tulus Ikhlas, Daripada Warga SK Pekan II.
Majlis Khatam Al Quran Peringkat JPWPL mengimarahkan Malam 29 Ramadan 1441 Hijrah
Labuan,21 Mei – Seramai 60 orang pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), guru-guru pendidikan Islam (GPI) dan guru Bahasa Arab (GBA) menghadiri majlis khatam Al-Quran sempena Program Ihya’Ramadan 2020 secara dalam talian dari rumah masing-masing malam tadi.
Majlis Khatam Al-Quran yang diurus setiakan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI), JPWPL bermula jam 9.30 malam. Majlis ini telah dipimpin oleh Ustaz Mohd Fadzli Bin Sheikh Abdul Rahim selaku ketua mursyid Labuan. Manakala bacaan surah bermula daripada surah Ad Dhuha hingga Al Fatehah dibaca secara bergilir-gilir oleh guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Puan Khaziyati Binti Osman, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Tuan Hj Abdul Rahman Bin Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Puan Kamariah Binti Salim, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pegawai-pegawai JPWPL, para Pengetua, Guru Besar juga Guru-Guru di sekitar wilayah ini.
Dalam ucapannya, Puan
Kamariah mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang sama-sama menyertai
kumpulan khatam Al-Quran serta menjayakan majlis ini secara normal baharu iaitu
secara dalam talian.
Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac lalu
berikutan pandemik Covid-19, secara tidak
langsung perlu diambil peluang untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan
yang sebelum ini sukar dilakukan berikutan sibuk dengan tugas masing-masing.
“ PKP yang terjadi pasti ada hikmahnya. Ianya memberi peluang kepada ibu bapa untuk mewujudkan persekitaran muafakat dengan meluangkan masa bersama keluarga seperti bertadarus, solat berjemaah, bersolat terawih dan sebagainya di bulan Ramadan ini. Di samping itu, golongan guru dapat memanfaatkan teknologi untuk mendidik anak murid dalam tempoh waktu ini melalui Pengajaran dan Pemudahcaraan secara maya, dengan platform yang dominan seperti Google Classroom (GC) dan Microsoft Teams”, menurutnya lagi.
Program Ihya’ Ramadan merupakan aktiviti tahunan yang dilaksanakan di peringkat jabatan dan juga sekolah bagi mengimarahkan Ramadan Al Mubarak.
Telesidang dikendalikan Ustaz Sahrum.
Ustazah Sitti Rahimah mengacarakan majlis
Pelbagai aktiviti telah disusun antaranya Infaq Ramadan yang dilaksanakan dengan kerjasama Kelab Pendidikan, Tadarus secara berkumpulan, Kuliah Tiga Minit (KULTIM) di kalangan warga pendidik dan pegawai JPWPL dan Aktiviti Gempak Ramadan yang melibatkan murid sekolah rendah dan menengah.
Aktiviti KULTIM yang julung kali
diadakan merupakan cetusan idea Ustaz Mohd Syahir Bin Mohd Yusoff, Penolong
Pengarah Perancangan dan Pembangunan Pendidikan Islam, Sektor Pendidikan Islam
dan di siarkan dalam saluran youtube.
Menurut Ustaz Sahrum Bin Samlan, Penolong Pengarah Pembangunan Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam, aktiviti Gempak Ramadan yang diadakan secara dalam talian ialah Pertandingan Tahfiz Cilik Sekolah Rendah, Pertandingan Kuliah Qiyadi, Pertandingan Poster Ramadan dan Pertandingan Kuliah Tiga Minit (KULTIM) di kalangan murid-murid.
“Bakat yang terpendam dalam diri para pelajar dapat dicungkil dan dilatih secara maksima. Para pelajar dapat membiasakan diri dalam suasana yang Citra Islam berasaskan Al-Quran malah berpeluang mendapat Sijil Penyertaan di peringkat Negeri”. katanya selepas majlis Khatam Al-Quran.
Seramai 31 murid telah menyertai Gempak Ramadan pada tahun ini. Aktiviti ‘Gempak Ramadan’ ini bertujuan untuk memupuk bakat murid dalam penghayatan Al-Quran serta melahirkan murid yang boleh menghayati Ramadan dengan penuh tawaduk. Adalah diharapkan juga aktiviti ini dapat mendidik jiwa nurani murid dalam suasana pengamalan Al-Quran dalam bulan yang mulia ini.
Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam
Ustazah Kamariah menyampaikan ucapan ringkas semasa majlis tersebut.
Lambaian Kasih dan Sanjungan Budi Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan
Labuan, 20 Mei 2020 – Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Kanan, Sektor Perancangan dan Pengoperasian, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia bermula 6 Mei 2020.
Majlis Lambaian Kasih dan Sanjungan Budi Pengarah Pendidikan JPWPL telah diadakan secara dalam talian sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bertempat di Bilik Mesyuarat Botanikal.
Majlis secara maya ini telah dihadiri oleh hampir 250 orang warga pendidikan WP Labuan.
Dalam ucapannya, Encik Raisin Saidin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Warga Pendidikan Labuan yang sentiasa memberi kerjasama dan sokongan sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Saya bersyukur kerana pernah berjuang bersama tuan/puan yang sangat komited, amanah dan professional dalam memikul tanggungjawab. Semoga kecemerlangan tersebut akan terus dipertingkatkan demi Labuan tercinta ini”.
“Saya sentiasa mendoakan agar tuan/puan sekalian diberikan kekuatan dan petunjuk untuk memimpin sekolah masing-masing seterusnya memacu kemakmuran Labuan”. Encik Raisin Saidin
Sepanjang tempoh 4 tahun 7 bulan menerajui Jabatan Pendidikan WP Labuan, beliau yang sinonim dengan tagline ‘Roh Guru Sentiasa Mendarah Daging’ ini telah banyak membawa perubahan dan kejayaan.
Antaranya ialah pengemblengan sumber manusia, pengurusan kewangan, pengurusan sekolah dan akademik serta pengurusan pentadbiran yang lebih efektif.
Seluruh warga Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada Encik Raisin Saidin di atas pelantikan sebagai Timbalan Pengarah Kanan, Sektor Perancangan dan Pengoperasian, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Semoga tuan terus maju jaya di bawah kepimpinan baharu ini demi kemenjadian murid-murid di Malaysia.
Kalam Wahyu Semarakkan Sambutan Hari Guru Tahun 2020 Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan
Labuan, 15 Mei – Majlis Kalam Wahyu sempena Sambutan Hari Guru 2020 Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) diadakan secara dalam talian dengan disertai lebih daripada 100 orang warga pendidik di pejabat dan kediaman masing-masing pagi tadi.
Majlis
Kalam Wahyu Sempena Hari Guru ini diurus setiakan oleh Sektor Pendidikan Islam
(SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bermula jam 8.00 pagi.
Majlis Bacaan surah Yassin telah diketuai oleh Ustaz Sahrum Bin Samlan manakala
bacaan doa selamat pula diketuai oleh Ustaz Mohd Syahir Bin Mohd Yusoff.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Timbalan Pengarah Kanan, Sektor Perancangan dan Pengoperasian, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Encik Raisin Bin Saidin yang merupakan mantan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Turut hadir ialah Timbalan- timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah , pegawai-pegawai JPWPL, para pengetua, guru besar juga guru-guru di sekitar wilayah ini.
Majlis Kalam Wahyu secara telesidang yang dikendalikan oleh Ustaz Mohd Syahir menggunakan aplikasi google meet berjalan lancar.
Dalam ucapan selepas bacaan doa selamat, Encik Raisin Saidin berkata guru yang hebat dan ingin memajukan diri dan anak-anak murid ialah guru yang bersedia menerima amanah dan tanggungjawab.
“Cabaran dan halangan sepanjang menunaikan amanah dan tanggungjawab bukanlah suatu penderaan, meyusahkan apalagi sia-sia. Hasil selepas melalui cabaran dan halangan di dalam tanggungjawab akan menjadikan kita berilmu dan meningkatkan kualiti dan jati diri sebagai guru yang murabbi” katanya di dalam telesidang dalam majlis tersebut.
Katanya lagi, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac lalu berikutan pandemik Covid-19, secara tidak langsung perlu diambil peluang untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang sebelum ini sukar dilakukan berikutan sibuk dengan tugas masing-masing.
Encik Raisin Saidin menyampaikan amanat kepada warga pendidik di JPWPL semasa Majlis Kalam Wahyu.
PKP adalah inisiatif untuk membantu mendidik anak-anak dirumah terutama dari aspek pembelajaran, kebersihan dan keselamatan diri.
“Segala yang terjadi pasti ada hikmahnya. Mungkin apa yang terjadi ini memberi peluang kepada ibu bapa untuk mewujudkan persekitaran muafakat bersama keluarga dengan meluangkan masa bersama seperti bertadarus, solat jemaah, solat terawih dan sebagainya di bulan Ramadan ini”.
“Ia memang satu perubahan drastik, namun kita perlu berlapang dada dan menerima situasi ini kerana ia bukan sahaja membabitkan nyawa seseorang malah kita bertanggungjawab memutuskan semua rantaian Covid-19 dalam semua komuniti,” Encik Raisin Saidin.
Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di wilayah ini.
“Berguru Demi llmu, Bina Generasi Baharu”, tema ini menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Dalam telesidang tersebut, turut diadakan gimik penyampaian infaq Kasih Ramadan oleh Kelab Pendidikan. Tabung Infaq Kasih Ramadan telah dilancarkan oleh Encik Raisin Saidin pada 24 April 2020 yang lalu.
Menurut Pengerusi Kelab Pendidikan, Encik Azeryn Hj Mamma, tabung infaq Kasih Ramadan merupakan idea yang dicetuskan oleh Encik Raisin Saidin untuk menyantuni rakan-rakan anggota kumpulan pelaksana (AKP) gred N19 ke bawah di samping mengeratkan lagi kemesraan di antara ahli.
Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam
Pengerusi Kelab Pendidikan, Encik Azeryn Hj Mamma (tengah,kiri) menyampaikan sumbangan Infaq Kasih Ramadan kepada ahli kelab pendidikan.
Edisi 5 : Keluaran Khas Sempena Perintah Kawalan Pergerakan Selamat Hari Pekerja Tahun 2020
Assalamualaikum Salam sejahtera Catatan Pengarah Pendidikan WP Labuan
1 Mei 2020
Selamat Hari Pekerja kepada seluruh warga pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan di semua peringkat pengurusan, di ibu pejabat dan sekolah.
Kita melalui satu pengalaman yang lain daripada kebiasaan dalam tempoh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19. Satu pengalaman yg kita tidak pernah terfikir sebelum ini.
Bekerja dari rumah, mengajar dari rumah, guru berinteraksi dengan anak-anak murid dari rumah dan mengambil kehadiran murid dari rumah bagi setiap sesi PdP.
Semua ini dilakukan secara maya. Tentu saja pelbagai halangan terpaksa ditempuhi. Tetapi ayuh guru-guru Labuan, teruskan usaha murni memikul amanah guru. Bangga dapat mengharungi pengalaman ini. Bakal diceritakan kepada generasi akan datang.
Demikian juga pegawai-pegawai di Jabatan Pendidikan WP Labuan, bermesyuarat dari rumah menggunakan teknologi terkini.
Merancang, melaksana, memantau dan membuat penambahbaikan kepada aktiviti-aktiviti berpusat kepada murid yang dilaksanakan semasa PKP. Semua ini dilaksanakan secara maya. Terima kasih atas dedikasi anda semua.
Jiwa dan roh guru hadir dalam diri saya pada saat ini. Teringat saya akan sambutan Hari Guru yang kita sambut dan rayakan setiap tahun. Tahun ini tidak akan ada sambutan seperti tahun-tahun yang berlalu. Tiadalah sorakan gempita kerana johan sekolah paling ceria kerana keseragaman pakaian Hari Guru, kehadiran paling ramai, sorakan paling ceria dan lain-lain. Ini semua adalah sejarah yg akan disebut sampai bila-bila.
Hari Guru adalah hari kita. Besar maknanya kepada kita. Tinggi nilainya, kerana guru adalah pembina peradaban dan tamadun manusia. Hari Guru lambang kesatuan hati guru-guru.
Saya doakan semua guru WP Labuan diberikan Allah kesihatan yang baik dan meneruskan tugas dengan penuh dedikasi.
Selamat Hari Pekerja tahun 2020.
Salam mesra kepada semua guru di pelbagai peringkat.
Raisin Saidin
Pengarah Pendidikan
JPWP Labuan
1 Mei 2020
Stay at home Kita boleh menang!!!
Edisi 4 : Keluaran Khas Sempena Perintah Kawalan Pergerakan Dari Pengarah Pendidikan W.P. Labuan
29 April 2020
Assalamualaikum, Salam sejahtera,
Semoga tuan/puan sihat walafiat dan dapat menjalani kehidupan dengan baik di samping melaksanakan tugas sesuai dengan keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah masuk fasa keempat bermula hari ini.
Kita kekal terus mematuhi arahan PKP demi memutuskan rantaian Covid19 yang melanda seluruh dunia.
Kita di Malaysia bertuah dan bersyukur kerana nampak tanda-tanda positif rantaian Covid19 semakin.
Salah satu faktor kritikal kejayaan ini kerana rakyat Malaysia termasuk setiap seorang daripada kita mengamalkan disiplin tinggi menyanjung makna STAY AT HOME dan guru-guru pula MENGAJAR DARI RUMAH.
Saya faham guru-guru Labuan telah melaksanakan tugas ini dengan penuh komited atas pancaran kasih sayang mereka terhadap masa depan anak-anak didik. Saya amat terharu dengan dedikasi guru-guru walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran mengajar dari rumah.
Saya mewakili seluruh warga Jabatan Pendidikan WP Labuan ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan terima kasih kepada semua guru.
Semoga Allah jua yang akan memberi ganjaran kepada guru-guru sekalian dalam pelbagai bentuk rezeki yang tidak dijangka. InshaAllah.
Saya percaya guru-guru ini telah terpaksa berbelanja lebih dari kebiasaan khususnya dari segi bil internet bagi memastikan murid mereka dapat dibekalkan dengan bahan-bahan PdP yang mencukupi. Sekali lagi saya menyusun jari 10 tanda penghargaan saya kepada guru-guru sekalian.
Kepada semua Pengetua dan Guru Besar, andalah juga sebenarnya penentu kepada kejayaan pelaksanaan PdP semasa PKP ini. Kepimpinan anda dalam menggerakkan guru dan memberikan motivasi kepada mereka amat saya harga dan sanjungi.
Akhir kata, marilah kita seluruh warga pendidik memastikan roh guru terus membara dalam diri kita yang bergelar guru dengan panggilan keramatnya CIKGU…
#Stay at home #Duduk di rumah
Salam hormat,
Raisin Saidin Pengarah Pendidikan WP Labuan 29 April 2020
Pelancaran Ihya Ramadhan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2020
Labuan, 24 April 2020 – Ramadhan sudahpun menjelang tiba. Bulan yang mulia, penuh keberkatan, kerahmatan dan keampunan yang Allah janjikan kepada seluruh umat untuk mendapat pahala yang berlipat ganda. Bulan ini disambut penuh meriah oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia.
Bagi mereka yang mempunyai azam yang tinggi untuk merubah hidup, Ramadhan menjadi salah satu titik permulaan bagi mereka untuk membina diri dan keluarga yang lebih dekat dengan Allah S.W.T.
Ramadhan adalah merupakan madrasah tarbiyah ruhiyyah wa jasadiyah untuk mendidik dan membentuk diri menjadi mukmin sejati serta meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan satu tujuan agar diri menjadi hamba yang diredhai dan dicintai Allah serta selamat di dunia dan akhirat.
Justeru, pelbagai amalan sunat yang semestinya kita kerjakan tanpa meremehkan tuntutan fardhu.
Menyedari hakikat inilah, Kelab Pendidikan dengan kerjasama Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan W.P.Labuan meneruskan kesinambungan tarbiyah dengan menyusun pelbagai pengisian di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. Mudah-mudahan melalui penyertaan program seumpama ini, akan membuahkan hasil dan diterima sebagai amal ibadah di sisi Allah SWT.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda :
“ Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredhaannya, akan diampunkan semua dosanya yang telah telah lepas. ” (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Pada tahun 2020 ini, kita semua menyambut Ramadhan kareem dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Memulakan suatu yang baharu di rumah bersama keluarga. Iaitu amalan yang kebiasaannya dahulu dilakukan secara beramai-ramai seperti solat tarawih yang kebiasaannya secara berjemaah di masjid, bersungkai beramai-ramai, bertadarus dan bertadabbur Al Quran secara berkumpulan dan sebagainya. Namun, itu bukanlah penghalang untuk kita melakukan ibadah-ibadah lain untuk mengimarahkan Ramadhan pada kali ini.
Oleh yang demikian, bagi menyambut seruan Rasulullah S.A.W., kami warga JPWPL bersedia untuk merebut ganjaran yang berlipat ganda yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T. dengan menjayakan program Ihya’Ramadhan, inshaAllah.
Encik Raisin Saidin memberikan ucapan perasmian Ihya Ramadan 2020 secara maya dari rumah
Program Bacaan Yassin secara dalam talian setiap hari jumaat
Program ini tidak lain tidak bukan adalah untuk kelangsungan tarbiyah warga JPWPL di bulan Ramadhan yang mulia ini.
Tujuan Program Ihya’ Ramadhan 1439H ini dilaksanakan adalah untuk:
Menyemarakkan ramadhan kareem dalam diri setiap muslim khususnya ahli kelab dan ummat Islam amnya.
Meningkatkan amalan di bulan ramadhan melalui amalan bersedekah, bertadarus, mendengar tazkirah, menjalin ukhuwah.
Merungkai permasalahan berkaitan ibadah berpuasa, ibadah fardhu ain dan fardhu kifayah.
Mengeratkan muhibbah dan silaturrahim di kalangan ahli kelab.
Menanamkan sifat dan rasa bersyukur, saling berkongsi rezeki dan membantu orang sekeliling yang hidup dalam kesempitan dan kelaparan melalui amalan bersedekah.
Aktiviti program Ihya’Ramadan tahun 2020:
Tabung infa’ Ramadhan
Tazkirah Jumaat
Soal jawab agama `Biar tahu jangan keliru’
Bacaan surah yassin setiap pagi Jumaat
Tadarus Al-Quran berjemaah di rumah masing-masing.
Penyampaian sumbangan ‘kasih sayang’ warga kelab pendidikan.
Kuiz agama
Edaran template & bahan digital berkaitan kaifiat berpuasa
Majlis Pelancaran Ihya Ramadhan dan Tabung Infaq Ramadhan Kelab Pendidikan JPWPL telah disempurnakan oleh Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan dalam program bacaan Yassin secara dalam talian, hari ini.
“InsyaAllah dengan usaha murni pelancaran Tabung Infaq Ramadhan Kelab Pendidikan ini juga diharap dapat meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik terutamanya dalam tempoh yang sukar ini serta menyemai kasih sayang yang lebih erat di kalangan warga kelab pendidikan”.
“Tabung ini akan dibuka sehingga penghujung bulan Ramadhan bagi menggalakkan warga JPWPL untuk sama-sama menyumbang dan merebut pahala di bulan penuh barakah nanti,” Encik Raisin Saidin
Ahli kelab yang ingin memberi sumbangan kepada Tabung Infaq Ramadan Kelab Pendidikan boleh menghubungi pengerusi kelab Encik Azeryn Hj Mamma.
Saya akhiri ucapan ini, dengan serangkap pantun:
“Marhaban ya Ramadhan.. Pohon langsat bertunas menjulang, Dahannya patah jatuh ke halaman, Puasa Ramadhan kembali menjelang, Salah dan khilaf mohon dimaafkan”
“saya dan keluarga mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada semua ahli Kelab Pendidikan dan rakan muslimin. Sekian, wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warohmatullahi wabarakatuh”
Edisi 3 – Keluaran Khas Sempena Perintah Kawalan Pergerakan : PdP DALAM TEMPOH PKP DI LABUAN BERJALAN LANCAR
Murid SK Patau-Patau menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru melalui internet
Labuan, 17 April 2020 – Dalam tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ke-3 sehingga 28 April ini, Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di Labuan tetap berjalan dengan lancar.
Meskipun berhadapan dengan cabaran baharu kepada pendidik dengan penutupan sekolah, guru-guru Labuan sentiasa memastikan murid-murid mereka terus dapat belajar walau dengan cara apa sekali pun.
Mengikut kajian dan analisis yang dibuat oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama pihak sekolah, didapati bahawa penggunaan aplikasi WhatsApp merupakan kaedah yang paling popular digunakan oleh guru-guru di Labuan. Murid-murid juga mudah menggunakan kaedah ini.
Hal ini kerana, aplikasi WhatsApp mudah dan telah sedia ada digunapakai oleh hampir keseluruhan ibu bapa yang memiliki telefon pintar.
Seramai 1118 orang guru atau 88.5% guru di Labuan menggunakan aplikasi WhatsApp sebagai medium interaksi bersama ibu bapa dan murid.
WhatsApp dan telegram digunakan oleh para guru untuk menyampaikan maklumat, video, rakaman suara, arahan, tugasan dan latihan kepada murid-murid.
Murid SM St. Anthony menyiapkan latihan yang diberikan oleh guru melalui WhatsApp
Pembelajaran digital google classroom yang telah sedia ada digunakan di Kementerian Pendidikan Malaysia untuk pembelajaran murid dapat membantu guru selain aplikasi lain yang membolehkan interaksi secara terus dengan murid dapat dilakukan.
Bagaimanapun tidak semua ibu bapa mampu untuk menyediakan fasiliti pembelajaran dalam talian.
Sehubungan itu, guru mengambil inisiatif sedia ada dengan menggunakan buku teks, buku latihan sebagai bahan pembelajaran dan telefon sebagai medium perantaraan interaksi.
Semuanya ini untuk memastikan pembelajaran tetap berjalan lancar walaupun mereka tidak berada di sekolah mahupun di dalam bilik darjah.
Aktiviti Murid SMK Taman Perumahan Bedaun menjawab soalan ujian melalui google form
Murid SK Kerupang menggunakan buku teks untuk menyiapkan latihan Matematik
Tinjauan penglibatan guru-guru di Wilayah Persekutuan Labuan mendapati 93.75% melaksanakan PdP dalam tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 3 April 2020.
Perkembangan pembelajaran digital dan PdP berbantukan internet di Labuan juga menunjukkan peningkatan yang positif.
Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan berharap PdP guru mengajar dari rumah sentiasa berjalan dengan baik dan lancar sepanjang tempoh PKP berjalan.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengenalpasti beberapa isu dan cabaran dalam melaksanakan PdP sepanjang PKP ini. Antara isu dan cabaran ialah :
Tidak semua ibu bapa mampu untuk menyediakan fasiliti pembelajaran dalam talian.
Ibu bapa berkongsi telefon pintar mereka dengan anak-anak . Bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak bersekolah, masalah ini bertambah lebih berat.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa yang amat memahami pelaksanaan PdP semasa PKP ini dan mengambil berat tugasan yang guru hantar ke telefon pintar serta laptop ibu bapa.” Encik Raisin Saidin
Berikut adalah kaedah yang digunakan oleh guru-guru di Wilayah Persekutuan Labuan mengikut kaedah pembelajaran :
Sumber : Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan WP Labuan
Berikut pula adalah data penglibatan guru-guru Wilayah Persekutuan Labuan dalam PdP bermula 30 Mac sehingga 3 April 2020 :
Sumber : Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan WP Labuan
Koleksi gambar yang mewarnai pelaksanaan PdP semasa PKP di Labuan.
Mesyuarat dalam talian
Jawatankuasa tadbir urus PdP JPWPL
Laporan PdP
Sepanjang PKP
Pembentangan analisis PdP
secara dalam talian
Murid SK Bukit Kalam
PdP melalui internet
Murid SK Pekan II
menyiapkan latihan
Murid SMK Lajau : Pembelajaran dari rumah
Murid SMK Labuan menyiapkan tugasan geografi dan bahasa melayu
Murid SK Layang-Layangan
Melukis batik dan mereka boneka
Hasil tugasan murid SJKC Chi Wen
Murid SK Rancha-Rancha
Tetap bersemangat : memakai pakaian seragam sekolah
Murid SMK Rancha-Rancha
Pembelajaran maya
Murid SK Bebuloh – Kuiz dalam talian
Hasil kerja tugasan murid
Murid SK Sungai Bedaun
Aktiviti PdP SKSB
Murid SK Tanjung Aru membuat latihan bertulis di rumah
Hasil kerja murid SK Lubok Temiang
Hasil semakan oleh guru SK Membedai melalui internet
Hasil kerja murid SM St Anne
Pdp dalam talian melalui aplikasi zoom
Murid SK Sungai Lada
Tekun belajar
Murid SK Patau-Patau sedang membaca arahan tugasan yang diberikan oleh guru melalui telefon
Tugasan matematik murid SK St Anne
PSV tahun 6
Anyaman selipar murid SK Pantai
Membuat buku skrap
Murid SJKC Chung Hwa
Kuiz dalam talian
Murid SM Sains Labuan : Tugasan Telegram, Peta Minda dan Ikhtiar Hidup
Tugasan untuk murid PPKI SMK Mutiara dalam mata pelajaran Asas Masakan.
Edisi 2 – Keluaran khas sempena Perintah Kawalan Pergerakan : MURID BELAJAR DI RUMAH, GURU MENGAJAR DARI RUMAH
( Gambar hiasan : Encik Raisin Saidin ketika melawat murid-murid di sekolah Labuan awal Januari 2020 )
Labuan, 26 Mac 2020 – Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan menyeru guru-guru agar menggunakan pelbagai kaedah yang bersesuaian dalam mengajar murid dari rumah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata, pada minggu ini guru tidak lagi bercuti, sebaliknya mengajar dari rumah dan perlu menyediakan bahan pembelajaran untuk anak-anak murid sepanjang PKP ini berjalan.
Tugasan dan arahan kerja rumah boleh dilaksanakan oleh guru daripada semudah-mudah bentuk komunikasi iaitu SMS, WhatsApp sehinggalah menggunakan Facebook Live, Zoom Meeting, IG, dan bentuk komunikasi lain yang ada dari rumah.
Guru boleh menggunakan apa-apa sahaja sumber pembelajaran yang ada di rumah atau boleh diakses.
“Guru dan murid boleh menggunakan buku teks, buku kerja, buku ulang kaji dan lain-lain yang dimiliki oleh murid-murid yang ada di rumah.”
Katanya lagi, warga pendidik harus berlaku adil kepada murid dan ibu bapa. Jika ada ibu bapa atau murid mahu mengemukakan pertanyaan berkaitan latihan/tugasan/kerja rumah yang diberikan, guru hendaklah menjawab panggilan atau mesej media sosial atau SMS yang dihantar oleh ibu bapa.
Salah satu sifat ‘Guru Mengajar Dari Rumah’ ialah guru tidak perlu terikat dengan jadual waktu mengajar. Ia bergantung kepada kesesuaian media perhubungan yang digunakan dan juga keupayaan serta bentuk komunikasi yang digunakan.
Sudah tentu murid ini berasa seronok untuk menghantar kepada guru latihan-latihan yang telah mereka siapkan . Jika murid menghantar latihan dan kerja rumah melalui aplikasi whatsapp atau emel, guru boleh memeriksa atau menyemak pada masa itu ataupun menunggu pada masa yang sesuai.
Gambar hiasan : Encik Raisin Saidin bersama murid-murid SK Lubok Temiang pada awal Januari 2020
Saya juga ingin mengingatkan agar guru mengelakkan penggunaan bahan bercetak yang perlu diambil dan dihantar ke sekolah.
Guru juga hendaklah mengelakkan murid menghantar kepada guru secara bercetak skrip jawapan atau tugasan yg mereka siapkan ketika ini.
Pendekatan ‘Guru mengajar dari rumah’ adalah terikat kepada PKP yang sedang berkuatkuasa.
“Harapan saya ialah guru-guru sudah mula mengajar murid-murid dari rumah dengan menggunakan pelbagai kaedah sesuai dengan keadaan setempat.” Encik Raisin Saidin
Libatkan ibu bapa murid dalam sesi PdP di rumah. Peranan dan pemahaman ibu bapa amat penting kerana kemungkinan kita terpaksa menggunakan smart phone, laptop atau emel mereka untuk menyalurkan arahan atau latihan/tugasan/kerja rumah kepada murid-murid.
Rancanglah dengan baik dan bersungguh-sungguh pelaksanaan murid belajar di rumah ini.
“Saya memahami dan mengambil maklum bahawa bukan semua ibu bapa mempunyai kemampuan untuk menyediakan kemudahan pembelajaran secara maya kepada anak-anak mereka. Tidak ada paksaan kepada ibu bapa untuk terpaksa berbelanja lebih bagi tujuan tersebut.
Saya sedar ada lagi keperluan yang lebih mendesak iaitu membeli barang-barang keperluan seharian iaitu makanan dan perubatan.
Oleh itu, saya meminta pihak sekolah supaya mengenal pasti kumpulan berkenaan dan memastikan mereka diberikan perhatian yang istimewa bila mereka kembali ke sekolah dengan memberikan mereka latihan yang cukup”. Encik Raisin Saidin – Pengarah Pendidikan WP Labuan