Pertandingan Keyboard Music Time Peringkat Kebangsaan Zon Malaysia Timur Tahun 2019 : Julung Kali Diadakan Di Labuan

Labuan, 14 Nov – Jabatan Pendidikan W.P Labuan buat julung kalinya telah diberikan kepercayaan untuk mengelolakan Pertandingan Keyboard Music Time Sekolah-Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan Zon Malaysia Timur Tahun 2019 melibatkan negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama Financial Park (Labuan) Sdn. Bhd.

Program yang dianjurkan oleh Yamaha Music Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Konvensyen, Kompleks Ujana Kewangan WP Labuan, kelmarin.

Matlamat program ini bertujuan untuk menanam minat murid dari pelbagai latar belakang dan kaum untuk menguasai kemahiran muzik, di samping sebagai aktiviti menyokong dalam melaksanakan perpaduan di dalam kesenian muzik.

Pertandingan dibahagikan kepada murid sekolah rendah, kategori tahap 1 dan tahap 2, di mana setiap pasukan mestilah berjumlah antara 8 hingga 10 orang bagi setiap kategori.

Majlis telah disempurnakan oleh Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Encik Raisin Saidin berkata, kedatangan para peserta, guru, ibu bapa memberi ruang dan peluang kepada murid-murid di sini menyaksikan satu pertandingan muzik yang bukan sahaja berprestij malah pastinya akan menghiburkan sidang hadirin yang hadir menyaksikan pertandingan ini.

Beliau berkata lagi, sistem pendidikan muzik yang komprehensif dalam membangunkan kemahiran dan kecenderungan terhadap muzik melalui aktiviti seperti nyanyian, bermain alat muzik dan mencipta melodi indah yang boleh dibawa ke pentas yang lebih besar seperti bermain dalam orkestra di peringkat antarabangsa.

Encik Raisin Saidin juga menyarankan agar pihak Yamaha Music Malaysia Sdn Bhd mengembangkan lagi penganjuran ini dengan mengadakan Karnival Keyboard Music Time melibatkan negara-negara ASEAN seperti Indonesia dan Vietnam.

Pasukan keyboard SK Sungai Bedaun ceria bersama piala dan sijil kejuaraan kategori tahap 2

Sementara itu, Pengarah Pengurusan, Yamaha Music Malaysia Sdn Bhd, Mr Satohiro Kondo berkata matlamat utama Yamaha Music ialah menanam kecintaan terhadap muzik dalam jiwa setiap insan. Di Yamaha Music School, pelbagai variasi pembelaran muzik disediakan untuk semua peringkat umur, bermula seawal dua tahun lagi.

Pertandingan Keyboard Music Time ini telah dimenangi oleh pasukan Wilayah Persekutuan Labuan diwakili SK Pekan Dua dan SK Sungai Bedaun dengan masing masing menjuarai kategori tahap 1 dan 2.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Penolong Pengarah Unit Pembangunan dan Kecemerlangan Seni, BSKK KPM, Puan Nor Hapipah nt Hj Md Shah, Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, Encik Asbola @ Hasbollah bin Amit dan Eksekutif Pemasaran, Financial Park (Labuan) Sdn Bhd, Encik Mohd Siaful bin Jaafar.

Pasukan Keyboard dari negeri Sabah
Pasukan Keyboard dari negeri Sarawak
Dari kiri : Encik Saiful, Mr Satohiro Kondo, Encik Raisin Saidin, Encik Asbolla, Puan Nor Hapipah bersama para juri

Fotografi oleh : Jeevareani A/L Samikanu dan Guru SK Sungai Bedaun




Pasukan Inovasi Jabatan Pendidikan W.P. Labuan Meriahkan Pameran Inovasi SK Sangkabok

Jabatan Pendidikan W.P. Labuan telah menerima
pelawaan dari SK Sangkubok, Kuala Penyu Sabah untuk menyertai pameran inovasi
sempena Program Perkongsian Komuniti Profesional (PLC)  Melalui Penciptaan Alat Dan Bahan Inovatif  anjuran sekolah tersebut.

Rombongan seramai enam guru dan tiga murid dari
Labuan telah diketuai oleh Puan Kamariah binti Haji Salim, Penolong Pengarah
Sektor Perancangan.

Menurut Puan Kamariah, penyertaan ini adalah
untuk memeriahkan aktiviti inovasi yang julung-julung kali dilaksanakan oleh
sekolah berkenaan. Di samping itu, sekolah-sekolah di W. P. Labuan dapat
mengeratkan jalinan dan jaringan dengan sekolah-sekolah di Sabah yang
sememangnya telah sedia terjalin.

“Melalui platform sebegini, guru-guru dan murid dapat bertukar-tukar idea inovasi dan mengeratkan hubungan profesional secara lebih efektif. Ia merupakan landasan bagi pembudayaan inovasi di peringkat sekolah.” Puan Kamariah

SMK Mutiara telah menghantar sepasukan pempamer terdiri dari 3 murid dan seorang guru pengiring. Mereka mempamerkan hasil inovasi bertajuk PERJANJIAN HUDAIBIYAH. Inovasi ini telah dihasilkan oleh Panitia Sejarah SMK Mutiara yang diketuai oleh Puan Nurul Sulreza Aida binti Zulkifli berbentuk nyanyian dengan lirik lagu berkaitan kisah perjanjian Hudaibiyah.

Para pelajar SMK Mutiara sedang menerangkan invovasi sejarah kepada para pengunjung

Inovasi ini turut tampil dengan Kata Kunci bagi memudahkan murid-murid mengingati fakta-fakta sejarah perjanjian tersebut.

Menurut Adik Amsyar yang merupakan penyanyi
dalam inovasi ini, beliau menyifatkan kaedah menyanyi dengan menggunakan irama
lagu kesukaan remaja dapat menarik minat murid kepada isi kandungan mata
pelajaran Sejarah. Selain Sejarah, inovasi ini juga sesuai untuk mata pelajaran
Pendidikan Islam.

Turut serta membuat pameran ialah dua wakil SK Pantai iaitu Ustaz Shahnon bin Othman dengan inovasi bertajuk Kit Doa Qunut dan Cikgu Norhidayah binti Omar dengan inovasi bertajuk My Magical Tree Teaching Strategy : Adjective Spinner & Fish Your Catch.

Ustaz Syahnon Bin Othman sedang menerangkan kit doa Qunut kepada pengunjung.

Selain itu, dua guru dari SKK Sk St. Anne tidak
ketinggalan mempertaruhkan inovasi bertajuk Reugo 2.0 dan Little Star. Inovasi
ini telah dihasilkan masing-masing oleh cikgu Noorshiela Aida binti Abdullah
dan cikgu Hamidah binti Abdullah.

Pameran inovasi ini telah dirasmikan oleh Tuan
Haji Muhid Bin Hj Misrin, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Penyu.  Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima
kasih kepada Jabatan Pendidikan W. P. Labuan kerana telah bersungguh-sungguh
memenuhi jemputan SK Sangkubok. Hal ini menunjukkan kerjasama antara agensi
dapat dijalinkan melalui pelbagai cara termasuk perkongsian inovasi. Beliau
berharap agar kerjasama sebegini dapat ditingkatkan pada masa-masa akan datang.

“Warga pendidik  perlu sentiasa kreatif dan inovatif dalam menghasilkan banyak inovasi berimpak tinggi dan bermanfaat kepada murid, sekolah serta dunia pendidikan”. Tuan Haji Muhid

Sementara itu, Guru Besar SK Sangkabok, Cikgu Fadliezan Bin Tingan mengucapkan terima kasih kepada PPD Kuala Penyu, semua pempamer bahan inovasi khususnya daripada JPN Labuan dan ibu bapa atas kesudian hadir dalam program ini.

“Di sebalik kemenjadian murid, warga pendidik memainkan peranan penting dalam menarik minat murid dalam bidang inovasi. Kualiti murid dilihat melalui hasil keberkesanan proses persekolahan secara holistik. Tahniah kepada SMK Mutiara dan SMK Pekan Menumbuk yang berjaya menampilkan murid sebagai  innovator.” Beliau turut menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada pempamer-pempamer inovasi yang telah menyertai program kali ini. Cikgu Fadliezan, Guru Besar SK Sangkabok

Berita Oleh : Encik Mohd Nizam Yasim, Pengetua SMK Mutiara

Puan Nurul Hidayah binti Omar menerangkan mengenai “My Magical Tree Teaching Strategy : Adjective Spinner & Fish Your Catch” kepada murid SK Sangkabok.
Tuan Haji Muhid Bin Hj Misrin (kanan di barisan hadapan), Cikgu Fadliezan Bin Tingan (tengah), Puan Kamariah Binti Salim (kiri) bergambar bersama innovator Labuan.



LICER 2019 : Pendidikan Untuk Kehidupan

Labuan, 4 Nov – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan sekali lagi telah berjaya menganjurkan Labuan International Conference on Educational Research (LICER) pada 1 hingga 2 November 2019 bertempat di Hotel Tiara Labuan.

Majlis Penutupan LICER 2019 yang diperkenalkan sejak tahun 2011 lagi telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Labuan, YB Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli.

Datuk Rozman berkata dengan tema “Pendidikan untuk Kehidupan” yang telah dipilih untuk LICER tahun ini, mencerminkan kepentingan belajar dalam dunia dinamik hari ini dan sebagai persediaan untuk generasi masa hadapan.

Acara antarabangsa seperti LICER akan pasti menjadi pengalaman yang memperkayakan ilmu dan memberi penghargaan kepada semua pembentang dan peserta.

Datuk Rozman (kanan) dan Encik Raisin Saidin (kanan) bersama guru dan murid SK St Anne

Seramai 6 orang Penceramah (Plenary Speakers) dari negara Australia, Oman, Jepun, Singapura, Brunei dan Malaysia telah dijemput dalam LICER pada kali ini.

Pro Vice-Chancelor dari Universiti Taylor’s, Malaysia, Prof, Dr Micheal James Keppel, yang berasal dari Australia telah membentangkan tentang Future Skills : The Future of Learning and Higher Education.

Lt. Col Abdullah Said Nasser, Al-Araimi dari Royal Army Muscat City, Oman membentangkan tajuk Education For Nation Growth, History of Oman.

Associate Prof. Dr Yuko Uchiyama dan Fumiko Nakamura dari Universiti Toyo, Jepun membentangkan Healthy Students Need Healthy School.

Puan Makhfadzah Abu Bakar dan Puan Hanita Abdul Aziz dari Kementerian Pendidikan Singapura membentangkan 21st Century Pedagogy in the Teaching and Learning of Malay Language : Singapore Experience.

Prof, Dr Micheal James Keppel, Taylor’s University
Hadirin yang hadir LICER 2019

Dr. Hj Zulkifli Haji Zakaria, Dekan Fakulti Pendidikan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan membentangkan tajuk Melestarikan Pendidikan Perguruan dalam Memantapkan Profesionalisme Guru Agama.

Sementara 60 orang pembentang terdiri dari Malaysia dan Negara Brunei Darul Salam telah membentangkan kajian tindakan masing-masing serta 13 orang peserta telah membentangkan kertas kerja melalui pembentangan dalam bengkel inovasi.

Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin berharap agar persidangan ini akan menyediakan platform yang kondusif dan penting untuk interaksi yang bermakna bagi semua yang hadir.

“Saya yakin bahawa suasana intelektual dan Pertukaran idea dan pandangan dalam suasana profesional akan memberi manfaat kepada pengamal, penyelidik dan peserta”. Encik Raisin Saidin.

Sementara itu, Timbalan Pengarah, Sektor Perancangan merangkap Pengurus Program, Puan Khaziyati Osman mengucapkan terima kasih kepada semua peserta dan ahli jawatankuasa serta semua pihak yang terlibat di atas sokongan yang berterusan terhadap LICER 2019.

Tetamu terhormat bersama pembentang, peserta dan hadirin LICER 2019
Datuk Rozman dan Dr. Yuko Uchiyama : sokongan padu Universiti Toyo Jepun

Album Gambar LICER 2019 : (klik sini)




Kenaikan Pangkat Merupakan Satu Penghargaan dan Pengiktirafan Kepada Guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana

Labuan – Seramai 38 orang warga Jabatan Pendidikan menerima surat Kenaikan pangkat Time-Based Berasaskan Kecemerlangan yang terdiri daripada 18 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 ke Gred DG44, 8 orang PPP Gred DG34 ke Gred DG38, 3 orang Pembantu Tadbir (P/O) Gred N19 ke N22 dan 7 orang Pembantu Pengurusan Murid Gred N19 ke Gred N22.  Di samping itu, 2 orang Pembantu Operasi Gred  N11 dinaikkan pangkat ke Gred N14 secara one off.

Majlis Penyerahan Surat Kenaikan
Pangkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah diadakan pada 29 Oktober
2019 bertempat di Jabatan Pendidikan , WP Labuan, Kompleks Ujana Kewangan.

Sebelum ini kumpulan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG48 hingga DG54 telah menerima surat kenaikan pangkat mereka yang telah disampaikan oleh YBrs. Tuan Mohamad Azhan bin Md. Amir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) pada 10 Oktober 2019.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin memaklumkan berikutan penstrukturan semula Jabatan, terdapat perjawatan baharu yang telah diwujudkan atas gred kenaikan pangkat. Kenaikan pangkat merupakan pengiktirafan terhadap kerja buat sepanjang berkhidmat sebagai penjawat awam. 

Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada para guru serta anggota kumpulan pelaksana  yang menerima surat kenaikan pangkat dan berharap ianya menjadi pemangkin semangat untuk meningkatkan prestasi masing-masing.

Beliau menaruh kepercayaan yang tinggi bahawa warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan di segenap lapisan akan terus bersama-sama berusaha memberikan perkhidmatan berimpak tinggi dengan cemerlang dan berintegriti serta melaksanakan penambahbaikan secara berterusan demi melahirkan modal insan yang berkualiti.




Kepimpinan Pendidikan Futurustik : Kolokium Graduan NPQEL Kali Ke-3 Di Sarawak

Labuan, 24 Okt – Seramai 3 pengetua dan 3 guru besar terpilih menyertai Kolokium Graduan NPQEL 2019 di Kuching, Sarawak yang telah diadakan dari 22 hingga 24 Oktober 2019.

Kolokium tahunan peringkat kebangsaan ini diadakan buat kali ketiga sejak tahun 2017 khusus untuk graduan NPQEL membuat perkongsian amalan-amalan terbaik pengurusan pendidikan di sekolah masing-masing.

Seramai 42 pembentang dari seluruh negara telah membuat perkongsian dalam kolokium kali ini. Ini termasuklah 2 pembentang dari W. P. Labuan yang diwakili oleh Pengetua SMK Rancha-Rancha, Encik Yahya Ahmad Puteh dan Guru Besar SK Tanjung Aru, Puan Faridah Amit.

Sementara itu, Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim dan pengetua SMK Pantai IBWS, Puan Norazita binti Mohd Nor hadir sebagai peserta. Turut hadir sebagai peserta ialah Encik Mohammad Farihi bin Abdul Halim dan Hajjah Aini binti Haji Salleh masing-masing adalah Guru Besar SK Membedai dan SK Kerupang.

Encik Yahya telah membuat pembentangan bertajuk Amalan PIBK Melalui Pelaksanaan Senyum 360 darjah. Manakala Puan Faridah pula memilih “Makan Usai-usai Lai : Prinsip KABB” sebagai tajuk pembentangan beliau.

Pembentangan daripada wakil Labuan telah berjaya menarik minat peserta kolokium dengan kehadiran peserta melebihi 50 orang dalam sesi selari sepanjang 2 hari kolokium tersebut.

Dengan tema “Kepimpinan Pendidikan Futurustik”, kolokium yang dianjurkan oleh Institut Aminuddin Baki, Cawangan Sarawak ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Amin bin Senin.

Dalam ucapan perasmian, Dr. Amin menekankan peri penting PGB sebagai pemimpin pendidikan di sekolah masing-masing mengupayakan sistem penyampaian bagi menjayakan agenda pendidikan negara. “PGB yang telah mengikuti latihan NPQEL sepatutnya kompeten untuk merealisasikan harapan stakeholder selaras Anjakan ke-5 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025”, kata beliau.

“Pra syarat kepada pemimpin futuristik ialah meletakkan kepentingan dan masa depan murid-murid di hadapan dalam membuat perancangan dan pelaksanaan sesuatu perkara. Ini termasuklah semasa guru menulis Buku Rekod Mengajar Guru (BRMG) agar memenuhi keperluan murid. PGB perlu memantau penulisan BRMG agar tujuannya memenuhi keperluan profesional bukan keperluan pentadbiran semata-mata”, tambahnya lagi.

Dr Amin Senin

Di samping itu, Dr. Amin turut menyeru agar pelaksanaan Pendidikan Sivik di sekolah meletakkan aspek non-kognitif di hadapan agar matlamat pembentukan nilai-nilai murni dalam memenuhi keperluan sosial tercapai melalui amalan dan bukan  literasi semata-mata.

Dr. Amin juga menyarankan agar setiap PGB sebagai barisan hadapan perlu ada passionate dan go extra miles dalam pengurusan pendidikan.

Kontinjen Labuan diketuai oleh Timbalan Pengarah Pendidikan dari Sektor Perancangan, Puan Khaziyati binti Osman. Turut serta ialah Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Matnoh dan Penolong Pengarah Sektor Perancangan, Puan Kamariah binti Salim.

Berita Oleh : Encik Mohd Nizam Yasim, Pengetua SMK Mutiara




Edugolf Labuan Masters 2019 : Semarak Bulan Sukan Negara

Labuan 23 Okt – Dalam menyemarakkan sambutan Bulan Sukan Negara peringkat WP Labuan, Jabatan pendidikan WP Labuan tidak ketinggalan dengan menganjurkan Pertandingan Edugolf Labuan Master 2019 pada 20 Oktober 2019.

Kejohanan tersebut diadakan di Labuan Golf Club (LGC) dan telah mendapat penyertaan lebih 100 orang pemain golf dari WP labuan dan Sabah.

Sehari sebelumnya iaitu pada 19 Oktober 2019 juga telah diadakan kejohanan golf untuk pemain golf bawah 18 tahun dan bawah 15 tahun di Labuan Golf Club.

Pengarah Pendidikan Labuan Encik Raisin Saidin yang juga merupakan Presiden Edugolf Labuan berharap semoga kejohanan ini menjadi satu wadah untuk memantapkan perpaduan pelbagai kaum di Labuan.

Kejohanan ini juga satu cara untuk mempromosikan LGC dan LIGC sebagai destinasi bermain golf kepada peminat-peminat golf dari luar labuan.

Encik Idris Mohamad telah dinobatkan sebagai Johan Kategori Gross, manakala Encik Mohamad Shukri Sahari@Andy Johan Kategori Nett.

Bagi kategori wanita telah dimenangi oleh Puan Shirley Poh.

Kategori Medal A, Medal B dan Medal C masing-masing telah dimenangi oleh Encik Bonis Samid, Encik J.Herman Tungin dan Dr. Ramlee Hairum.

Encik Raisin Saidin yang turut serta dalam kejohanan ini, telah muncul sebagai Johan dalam kategori VIP Edugolf Labuan Masters 2019.




Kelab SPBT Pupuk Nilai Menyayangi Buku Teks Sebagai Sumber Ilmu : SMK TP Bedaun, SJK(C) Chi Wen Dinobat Sebagai Johan

Labuan, 14 Sept – Jabatan Pendidikan WP Labuan telah mengadakan Pertandingan Program Amalan Terbaik Kelab Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) Sekolah Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan bagi Tahun 2019, yang berlangsung selama 2 hari bermula 10hb Okt bertempat di BTPN Labuan.

Program amalan terbaik ini dilaksanakan bagi mengupayakan peranan Kelab SPBT iaitu membantu dalam pengurusan dan pelaksanaan Skim Pinjaman Buku Teks di sekolah terutama dalam menghasilkan lebih banyak inovasi SPBT.

Dalam menyuntik semangat kerjasama dan tanggungjawab dalam kalangan murid, maka pelaksanaan program ini merupakan satu langkah untuk melahirkan murid sebagai role model kepada rakan yang lain.

Encik Raisin Saidin, Puan Jijah, Encik Ag Marten, Encik Hasbollah dan Guru Pembimbing bersama Johan Kelab SPBT SMK Taman Perumahan Bedaun
Johan : Murid-murid dari Kelab SPBT SJK(C) Chi Wen, Guru Pembimbing bersama Encik Raisin Saidin, Encik Ag Marten dan Encik Hasbollah

Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin.

Encik Raisin Saidin berkata, dengan adanya Kelab SPBT di sekolah, kelab ini dapat memupuk nilai menyayangi buku teks dalam kalangan murid dan seterusnya memartabatkan kedudukannya sebagai sumber ilmu yang penting.

Kelab SPBT SMK Taman Perumahan Bedaun telah dinobatkan sebagai Johan Amalan terbaik Kelab SPBT Peringkat Negeri, diikuti oleh Naib Johan, SMK Lajau dan Sekolah Menengah Agama WP Labuan di tempat ketiga.

Manakala Kelab SPBT SJK(C) Chi Wen pula muncul sebagai Johan kategori Sekolah Rendah, Naib Johan SK Bukit Kalam dan Ketiga SK Sungai Bedaun.

Sebanyak 10 sekolah rendah dan 5 sekolah menengah telah mengikuti pertandingan ini yang dihakimi oleh Juri daripada Ketua-ketua Unit SPBT Negeri dan Ketua Juri ialah Cik Siti Hajar Sharudin Sabri, Penolong Pengarah Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Ucapan Perasmian Penutupan oleh Pengarah Pendidikan Encik Raisin Saidin
Encik Raisin Saidin bersama Guru SPBT SK Bukit Kalam



Perhimpunan Bulanan Jabatan Pendidikan WP Labuan September 2019 Memberi Ruang Kepada Perkongsian Kerohanian

Labuan – Ustaz Mohd Sanusi bin Ya telah memberikan perkongsian ilmu kerohanian yang bermanfaat dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bagi bulan September bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, baru-baru ini.

Perkongsian ilmu beliau adalah lebih kepada bagaimana hendak menjadi guru yang baik pada pandangan Islam. Beliau menggariskan lima kunci utama untuk menjadi guru yang baik.

Pertama seorang guru perlu mempunyai penampilan positif dalam semua aspek dan memiliki kriteria keguruan zahir dan batin. Penampilan guru yang baik memberi pandangan yang positif untuk membina keyakinan terhadap guru.

Kedua, seorang guru perlu mewujudkan suasana kondusif dalam persekitaran pendidikan dan sentiasa memastikan murid dididik dengan cermat dengan perkara yang boleh dan tidak boleh. Sebagai contoh bagaimana mengambil manfaat dan menolak mudarat melalui Revolusi Industri 4.0.

Ketiga, seorang guru perlu memiliki sebelum memberi. Guru perlu memiliki ilmu, kemahiran dan penghayatan dalam mengajar anak muridnya. Penghayatan seorang guru terhadap muridnya seperti mengenali tingkah laku dan sifat murid dapat melahirkan perasaan sayang serta percaya kepada murid.

Apabila guru sayang muridnya tanpa syarat dan percaya setiap murid memiliki nilai tersendiri yang perlu dihargai, insyaAllah semuanya menjadi lebih mudah. Tagline Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan ‘Guru Sayang Muridnya’ dan Tagline SMK Labuan ‘Setiap murid bernilai’ seharusnya dapat dicerna untuk dijadikan landasan pengajaran.

Keempat, seorang guru perlu sentiasa menjalinkan silaturrahim di kalangan murid. Interaksi guru dan murid pada masa kini sudah jauh berubah. Guru mesti sentiasa menjadi relevan murid dengan arus perubahan yagng pantas ini. Guru perlu juga mewujudkan keharmonian dalam kepelbagaian interaksi antara  murid, ibubapa dan  komuniti (penghubung antara titik).

Terakhir sebagai seorang manusia, sebagai seorang guru kita ini hanya sebagai pelaksana proses. Penentu segalanya adalah Tuhan yang maha esa. Apa pun jua usaha kita jangan kita lupa untuk berdoa kepadaNya untuk sentiasa diberikan ilmu, refleksi diri dan sentiasa mencari keberkatan daripada Tuhan pencipta alam.

Sebagai kesimpulan, yang diperlukan oleh murid bukan lampu tetapi cahaya. Cahaya hanya terhasil dari keikhlasan dan penghayatan seorang guru terhadap muridnya.

Kita perlu memahami bahawa matlamat
pendidikan adalah untuk penyempurnaan tanggungjawab kekhalifahan “Karamah
Insan” ( Kemuliaan manusia) yang dianugerah Allah kepada manusia.

Ustaz Mohd Sanusi yang menjadi jemputan khas oleh Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin telah membuat perkongsian ilmu yang cukup bermanfaat untuk difahami dan dihayati bersama.

“Saya berharap perkongsian yang telah dibuat oleh Ustaz Mohd. Sanusi Bin Ya dalam perhimpunan bulanan Rasmi Jabatan Pendidikan WP Labuan dapat memberi suntikan semangat kepada warga pendidikan. Saya memohon agar para PGB yang mendengar perkongsian ini dengan segera menyebarkan pula kepada guru-guru di sekolah intipati perkongsian hari ini”. Encik Raisin Saidin

Sementara itu, Puan Siti Zahara Mohamad, SISC+ Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan berkata perkongsian yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Sanusi sangat bermanfaat dan berguna khususnya untuk guru-guru.

“Setiap guru perlu mengajar dari hati dan punyai rasa kasih sayang terhadap murid-muridnya, rasa seperti anak sendiri”. Puan Siti Zahara




Modal Insan Murid Wilayah Persekutuan Labuan Menyerlahkan Kecemerlangan di Peringkat Kebangsaan

Labuan – Modal insan murid Wilayah Persekutuan Labuan menyerlahkan kecemerlangan di peringkat kebangsaan dengan berjaya meraih naib johan keseluruhan dalam Karnival Inovasi Teknologi Hijau (KITH)Peringkat Kebangsaan 2019 yang telah berlangsung di negeri Pahang pada 16-19 September lalu.

Kontinjen Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya merangkul Johan dalam pertandingan Inovasi Tenaga Biojisim yang diwakili oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan.

Pasukan SMK Mutiara tidak kurang hebatnya dengan meraih naib johan dalam Pertandingan Green Technology Show, manakala pasukan SM Sains Labuan telah mendapat tempat ketiga dalam Xplorace Teknologi Hijau.

Ketiga-tiga sekolah yang telah mengharumkan nama Labuan ini telah membawa pulang RM1,500 sebagai johan, RM1,000 sebagai naib johan dan RM500 bagi tempat ketiga berserta trofi dan sijil.

Johan Inovasi Tenaga Biojisim, SMK Labuan

Penganjuran karnival ini diterajui oleh Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE) dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan 2019 ini merupakan salah satu aktiviti bagi projek ‘Pembangunan Ilmu, Implementasi dan Aktiviti Kesedaran Teknologi Hijau Sekolah Menengah Merentasi Kurikulum & Kokurikulum bagi Pemantapan Pendidikan Lestari’.

Acara ini disasarkan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia melalui penyertaan 7 pertandingan yang bertemakan Teknologi Hijau.

Pertandingan itu ialah Solar Vehicle Challenge, Green Cooker Challenge, Inovasi Tenaga Biojisim, Inovasi Rekacipta Teknologi Hijau, Rekabentuk Bandar Teknologi Hijau, Green Technology Show dan Xplorace Teknologi Hijau.

Encik Aminuddin (kanan), Pengurus Kontinjen WP Labuan

Pengurus kontinjen Labuan, Encik Mohd Aminuddin Abd Malek menzahirkan rasa syukur di atas kejayaan ini yang merupakan hasil kerjasama dan usaha bersama oleh semua pihak yang terlibat.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Pengurus kontinjen, guru-guru yang terlibat dan semua murid yang telah mengambil bahagian, seterusnya mencatat kejayaan yang membanggakan dalam acara masing-masing.

“Sesungguhnya kejayaan ini telah berjaya mengangkat maruah dan harga diri murid-murid ini. Seterusnya membuktikan bahawa modal insan murid pulau ini mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa”. Encik Raisin Saidin.

Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan 2019 merupakan acara tahunan yang telah dilaksanakan sejak tahun 2016.

Encik Raisin Saidin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kontinjen WP Labuan ke Karnival Inovasi dan Teknologi Hijau 2019



Dari Pejabat Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan

Assalamualaikum
Salam sejahtera,

Labuan Superb
Guru Sayang Muridnya
Kemenjadian Dan Kecemerlangan Murid Labuan Bermula Di Sini

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua murid tahun 6 Wilayah Persekutuan Labuan yang telah selesai menduduki pada 12hb September 2019.

Semua Guru Besar dan seluruh warga sekolah serta ibubapa sudah tentu mempunyai harapan yang menggunung kepada murid-murid ini. Apatah lagi murid tahun 6 ingin berjaya dalam UPSR ini sebagai pelengkap persekolahan 6 tahun mereka di sekolah rendah.

Kepada Ketua Penolong Pengarah Sektor Pentaksiran dan peperiksaan JPWP Labuan dan warganya serta semua petugas dan pengawas UPSR saya ucapkan terima kasih dan tahniah kerana telah memastikan UPSR berlangsung dengan sempurna di semua pusat UPSR.

Selepas ini sekolah akan sibuk pula menyediakan Laporan Berasaskan Sekolah (PBS) murid-murid tahun 6 tahun 2019 ini.

Saya amat yakin sekolah-sekolah telah berpengalaman dalam penyediaan dan penyampaian laporan tersebut kepada ibubapa dan penjaga murid.

Terima Kasih

Cikgu Raisin Saidin
12 September 2019

Encik Raisin Saidin Pengarah Pendidikan dan Tuan Hj. Sawal Bin Hj. Salleh KPP Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan di SJK(C) Chung Hwa WP Labuan