GURU DAN MURID HARUSLAH MELAKSANAKAN PENDEKATAN BELAJAR DARI RUMAH

Labuan 25 Mac 2020 : Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan menyeru para guru dan murid supaya melaksanakan pendekatan belajar dari rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PKP telah dikuatkuasakan sejak 18 Mac 2020 dan seharusnya akan berakhir pada 31 Mac 2020 berikutan penularan wabak COVID-19 kini dilanjutkan lagi sehingga 14 April 2020.

PKP merupakan satu cara untuk memutus atau menghentikan rantaian penularan wabak COVID-19.

Lantaran itu, sekolah telah ditutup sepanjang tempoh berkenaan dan guru serta murid tidak dibenarkan datang ke sekolah bagi tujuan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.

Sehubungan ini, murid hendaklah belajar di rumah dan belajar dari rumah.

Belajar di rumah bermaksud murid mengambil inisiatif belajar secara kendiri dengan menggunakan buku teks sedia ada atau menggunakan buku-buku kerja yang ada.

Selain itu, murid juga boleh menyiapkan latihan-latihan ulangkaji dan pengukuhan yang telah disediakan oleh guru-guru sebagai tugasan semasa cuti sekolah.

Belajar dari rumah pula secara mudahnya boleh diertikan sebagai murid dapat berinteraksi dengan guru-guru mereka dengan pelbagai cara.

Cara yang paling mudah dan popular ketika ini ialah melalui whatsapp dan telegram hanya dengan menggunakan telefon pintar. Malahan penggunaan ‘zoom clouds meeting’ juga telah mula digunakan oleh guru dan murid.

Banyak lagi cara lain yang boleh difikirkan oleh guru bagi membantu murid belajar dari rumah.

“Saya amat yakin guru-guru era digital ini mempunyai pelbagai kreativiti dan inovasi berdasarkan teknologi yang boleh membantu murid terus belajar dengan bimbingan guru tanpa hadir ke sekolah atau bilik darjah” – Encik Raisin Saidin

Seperti yang dijangka, PKP yang seharusnya berakhir pada 31 Mac 2020 ini telah dilanjutkan lagi tempohnya sehingga 14 April 2020. Semua pihak berharap agar penularan wabak COVID-19 di negara kita dapat dihentikan.

Adalah penting untuk guru-guru yang berada di barisan paling hadapan di bilik darjah menyediakan platform yang sesuai untuk murid-murid yang kita sayangi terus belajar.

Saya juga memohon supaya Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bersama dengan Sektor Pembelajaran dapat membantu, membimbing dan memberi khidmat bantu guru- guru dalam memastikan murid belajar dari rumah benar-benar memberi manfaat kepada murid-murid.

Ini amat bertepatan dengan slogan kita GURU SAYANG MURIDNYA




PATUHI SEPENUHNYA ARAHAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

Labuan, 19 Mac 2020 : Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengingatkan semua warga Jabatan Pendidikan Labuan supaya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menghentikan rantaian penularan wabak Covid-19.

Semua Pejabat Jabatan Pendidikan WP Labuan dan sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan ditutup bermula 18hb sehingga 31hb Mac 2020,

Encik Raisin Saidin berkata, selama tempoh dua minggu ini, warga pendidikan diingatkan agar sentiasa berada di rumah dan tidak perlu bergerak ke mana-mana.

Bagi mendapatkan keperluan asas seperti makanan dan perubatan, hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan keluar dan terus pulang ke rumah setelah selesai urusan.

Program-program anjuran Jabatan Pendidikan WP Labuan, sekolah dan aktiviti pihak NGO bersama sekolah juga ditangguhkan sepanjang tempoh ini.

Tindakan mengosongkan premis jabatan meliputi ibu pejabat di Ujana Kewangan, Bukit Kalam, SSTP, SPMICT, Pusat Kokurikulum dan semua bangunan sekolah adalah untuk menghentikan rantaian penulran virus COVID-19.

Mudah-mudahan jangkitan COVID-19 dapat dihindari dan penularan wabak ini insyaAllah dapat dibendung.

Katanya, inilah tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan oleh kerajaan.

Tujuannya bukan untuk membolehkan balik ke kampung, memenuhi jemputan kenduri, membeli belah di pasaraya, bersiar-siar di taman atau bercuti di tempat peranginan.

Tujuannya ialah supaya duduk di rumah di mana anda berada. Stay at home and protect yourself and family.

Kerajaan mengisytiharkan penutupan sekolah supaya murid-murid tidak akan bersentuhan dengan rakan-rakan yang mungkin membawa virus COVID-19.

Begitu juga ke tempat kerja supaya tidak berinteraksi secara dekat dan bersentuhan dengan orang lain yang mungkin membawa virus ini.

Akhirnya, rantaian jangkitan dapat diputuskan dan jumlah orang yang dijangkiti wabak ini dapat dikurangkan. Inilah tujuannya.

Marilah kita sama-sama berdoa, menadah tangan agar kita bebas daripada COVID-19. Encik Raisin Saidin

#Just stay at home

Pejabat Jabatan Pendidikan WP Labuan di Ujana Kewangan ditutup dari 18-31 Mac 2020



SMK Mutiara dan SK Kerupang dinobat Juara Baharu Kejohanan MSSWPL Kali Ke 20 Tahun 2020

Labuan, 13 Mac 2020 – Sekolah Sukan Negeri SMK Mutiara dan Sekolah Kebangsaan Kerupang dinobatkan sebagai juara baharu Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan (MSSWPL) Kali Ke 20 tahun 2020.

SSN
SMK Mutiara merampas kembali kejuaraan Kejohanan Olahraga MSSWPL yang dimenangi
oleh SMK Pantai dua tahun berturut-turut pada tahun 2018 dan 2019.

SMK
Mutiara unggul dengan pungutan 17 pingat emas, 9 perak dan 9 gangsa.

SMK
Pantai IBWS terpaksa berpuas hati di tempat ke-dua dengan pungutan 13 emas, 16
perak, 6 gangsa, manakala SBT SM Sains meraih tempat ke-tiga dengan 11 emas, 6
perak dan 6 gangsa.

SK
Kerupang mengungguli kategori sekolah rendah dengan mendapat 6 emas, 1 perak, 2
gangsa.

SJK(C) Chung Hwa muncul naib johan dengan 3 emas, 1 perak, 1 gangsa dan SK Sungai Bedaun di tempat ke-tiga dengan 3 emas, 1 perak, 1 gangsa.

Encik Raisin Saidin bersama Juara baharu SK Kerupang, Naib Johan SJK (C) Chung Hwa dan Tempat Ketiga SK Sungai Bedaun
Ceria dan Gembira ! Juara Keseluruhan Sekolah Rendah, Sekolah Kebangsaan Kerupang
Horrey kami juara ! Sekolah Menengah SMK Mutiara

Kontinjen SMK Labuan dan SK Sungai Bedaun dinobatkan sebagai Johan perbarisan kategori menengah dan rendah pada kali ini.

SMK Mutiara dan SM St Anne masing-masing mendapat naib johan dan ketiga perbarisan sekolah menengah.

SK Bukit Kalam naib johan dan tempat ketiga SK Bebuloh bagi pertandingan perbarisan kategori sekolah rendah.

Kejohanan berlangsung di Kompleks Sukan Labuan, bermula 9 Mac dan berakhir hari ini.

Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin bin Saidin.

Encik Raisin Saidin dalam ucapannya berkata pungutan pingat bukan merupakan sasaran utama tetapi yang lebih penting adalah ukhuwah yang terjalin dan kualiti kesihatan yang diperolehi sepanjang melaksanakan sukan ini.

Juara Perbarisan Sekolah Menengah, SMK Labuan, Naib Juara SMK Mutiara dan Ketiga SM St Anne

Atlet SMK Mutiara, Aizul Hussin muncul olahragawan terbaik 18 tahun dengan memenangi 3 emas, 1 perak dan 1 gangsa. Beliau mencatat 3 rekod baharu kejohanan dalam acara 100 meter lari bepagar, 400 meter lari berpagar dan lompat kijang.

Manakala Julianne Myra Robin dari Kolej Vokasional dinobatkan sebagai olahragawati 18 tahun dengan pungutan 3 emas melalui acara 200 meter, 100 meter dan merejam lembing.

Mohd Hadi dari SMK Lajau memenangi olahragawan kategori 15 tahun dengan 3 emas 400 meter, 200 meter dan 800 meter.

Kontinjen SMK Mutiara semakin ceria setelah Dayangku Nurdzyuhairah bt Ak Abdul Rahman meraih olahragawati 15 tahun dengan 4 emas dan 1 perak.

Anugerah Olahragawan dan Olahragawati 12 Tahun telah dimenangi oleh atlit dari SK Kerupang iaitu Muhammad Syahputra Hafify El bin Rozi atlet SK Kerupang dan Nur Shafira bt Sambarin.

Muhammad Syahputra menggondol 3 emas melalui acara 100 meteri, 200 meter dan 4 x 100 meter, manakala Nur Shafira memenangi 2 emas dalam acara 400 meter dengan catatan rekod baharu kejohanan dan 4 x 100 meter serta 1 perak dalam 4 x 200 meter.

Encik Mohd Nizam bersama Olahragawan 18 Tahun dari SMK Mutiara Aizul Hussin

Untuk rekod, SM St Anne dan SKK SK St Anne merupakan pengelola bersama Kejohanan Olahraga MSSWPL Kali ke 20 Tahun 2020.

“ Sekalung Penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kejohanan kali ini. ” Pengelola bersama SM St Anne dan SKK SK St Anne

Berikutan cuaca yang agak panas dan sebagai langkah berjaga-jaga dalam penularan wabak Covid -19, acara majlis penutupan disusun semula supaya menjadi lebih singkat.

“ Langkah memendekkan masa ini merupakan salah satu daripada intervensi Jabatan Pendidikan Labuan bagi memastikan kesihatan murid dan guru serta ibu bapa yang hadir memeriahkan kejohanan sentiasa diutamakan”.

“ Setiap sekolah juga telah menyediakan kanopi yang sesuai untuk para peserta perbarisan masing-masing berlindung dari cuaca panas ketika menunggu pengumuman para pemenang dan juara keseluruhan. Apapun saya yakin kemeriahan kejohanan olahraga ke-20 ini dirasai oleh semua atlet dan murid-murid guru dan ibu bapa. ” Encik Raisin Saidin

Penyerahan Bendera Kejohanan kepada Pengelola Kejohanan Tahun 2021 SMK Lajau dan SK Sungai Bedaun
Encik Raisin Saidin, Tuan Haji Abdul Rahman bersama Timbalan-timbalan, KPP, Pengelola Kejohanan dan Para Pengetua Guru Besar yang hadir memberi sokongan



SM Sains, SM St Anthony dan SMK Taman Perumahan Bedaun Catat 100% Calon Layak Dapat Sijil SPM 2019

Labuan, 5 Mac 2020 – SM Sains Labuan, SM St Anthony dan SMK Taman Perumahan Bedaun
mencapai 100% calon layak mendapat Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2019.

Pengarah Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin, ketika
mengumumkan keputusan itu di Dewan Terbuka SM St Anthony, hari ini.

871 orang calon layak mendapat sijil dengan jumlah peratus 90.35%
berbanding 840 orang calon  dengan jumlah
peratus 92.72% tahun  2018 perbezaan
2.37%.

Pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) pula adalah 5.12 berbanding 4.98 pada 2018.

Seramai 12 orang atau 1.24 peratus daripada 964
calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah kerajaan di Wilayah Persekutuan Labuan berjaya mendapat keputusan cemerlang dengan skor
A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Pada keseluruhannya pencapaian calon sekolah kerajaan di Labuan dalam SPM 2019 untuk setiap mata pelajaran adalah amat memberangsangkan.

15 mata pelajaran telah mencapai kelulusan 100% daripada 35 mata pelajaran yang diambil oleh calon.

Ceria dan Gembira ! guru-guru dan pelajar-pelajar cemerlang SM Sains berswafoto bersama Pengetua Tuan Haji Syukri

Calon-calon cemerlang SPM 2019 Labuan ialah :

Bil Nama
Calon
Sekolah Keputusan
1. NURIN ANIS FARIHAH
BINTI MOHD AZID
SM Sains 7(A+), 2(A)
2. ARMAN IDLAN BIN
HAIDIS
SM Sains 4(A+), 4(A),
1(A-)
3. MIRZA SYAHMI BIN
AFANDI
SMK Mutiara 4(A+), 4(A), 3(A-)
4. MOHAMAD DANIEL HAKIM
BIN MATDAIM
SM Sains 4(A+), 3(A), 2(A-)
5. MOHAMMAD SHAHRIZAL
BIN NORISHYAM
SM Sains 4(A+), 3(A), 2(A-)
6. MUHAMMAD LUQMAN EMAN
BIN MOHD SALLEH
SM Sains 4(A+), 2(A), 3(A-)
7. RUBENRAJ A/L NANDA
KUMAR
SMK Labuan 4(A+), 2(A), 3(A-)
8. MOHD AZUNADEN SM Sains 3(A+), 4(A), 2(A-)
9. SUFY AZYRA BINTI
MOHD AZRIE
SM Sains 2(A+), 4(A), 3(A-)
 
10. CHAU LINDON SMK Labuan 1(A+), 2(A), 6(A-)
 
11. DAHLIA FARISAH BINTI
DERIN
SM St Anthony 7(A), 2(A-)
 
12. SIT JING YEE SMK Labuan 3(A), 5(A-)
 
Syabas dan Tahniah ! Gambar Kenangan : Adik Mirza Shahmi bin Afandi bersama ibu bapa



Pemimpin Sekolah Labuan Hadiri Kursus Pembugaran dan Bengkel Pengisian Data SKPMg2

Labuan, 1 Mac 2020 – Seramai 38 Pengetua, Guru Penolong Kanan  dan pegawai angkat sekolah telah menghadiri Kursus Pembugaran dan Bengkel Pengisian Data SKPMg2 yang diadakan di Bilik Benua, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) pada 28 dan 29 Februari 2020.  

Kursus
ini bertujuan untuk membangunkan kompetensi Pasukan Pelaksana Standard (PPS)
dalam SKPMg2 dan membugarkan kemahiran proses pelaksanaan SKPMg2 dalam kalangan
pegawai angkat sekolah, Senior Leader Team (SLT) dan Pasukan Pelaksana SKPMg2
di peringkat sekolah. Kursus ini diurusetiakan oleh Sektor Perancangan, JPWPL.

SKPMg2 merupakan
instrumen yang digunakan untuk memandu sekolah ke arah proses kerja yang betul
dan meningkatkan akauntabiliti pihak pengurusan sekolah. Pemantauan dilakukan
oleh jemaah nazir secara berterusan.

Menurut penyelaras kursus SKPMg2 merangkap Penolong Pengarah Sektor Perancangan, Puan Kamariah binti Salim, kursus ini diadakan sebagai inisiatif terhadap maklumbalas daripada laporan oleh Jemaah Nazir Jaminan Kualiti (JNJK) berkaitan dengan Penilaian Kendiri Sekolah (PKS) dan Audit Kebangsaan (2017). Didapati wujud jurang skor antara PKS dan Audit JNJK dalam standard 1 hingga standard 3 yang disebabkan oleh tahap kefahaman yang masih kurang tentang pemberian skor dalam kalangan Pengetua Guru Besar (PGB). Justeru, Task Force SKPMg2 perlu diadakan untuk mengatasi isu berkenaan.

“Kursus pembugaran ini sangat penting agar PGB dan PKS lebih yakin berkaitan cara penulisan evidens pelaksanaan dengan lengkap ke dalam sistem SKPMg2 bagi tiga fasa penilaian. Di samping itu perkongsian yang diperolehi melalui kursus ini dapat di sebar luaskan di kalangan warga sekolah khususnya dalam Penilaian Kendiri Sekolah yang berlangsung sepanjang tahun dan kemasukan data penilaian secara atas talian dalam portal NKRA.” katanya selepas kursus tersebut.

Menurutnya lagi, data SKPMg2 merupakan ‘tools’ yang digunakan oleh JPWPL untuk membuat analisis jurang bagi merancang program atau aktiviti bimbingan yang bersesuaian.

Kursus
selama dua hari ini telah dikendalikan oleh Jemaah Nazir Sabah iaitu Puan
Hayati Binti Mahmud yang berpengalaman luas dalam bidang penaziran selama 17 tahun
dan Cik Irfah Samahah Binti Abu Bakar.

Peserta begitu khusyuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh Puan Hayati Mahmud .
Peserta sedang khusyuk berbincang tentang cara pengisian skor dan evidens dalam aktiviti berkumpulan.

Antara pengisian dalam kursus ini ialah penerangan tentang peranan dan tindakan jawatankuasa pasukan pelaksana standard (PPS) aspek kemahiran prosedur dan audit, kerangka proses pengisian portal NKRA, kemahiran pemberian skor untuk standard 1 hingga 4, kerja kumpulan dan pembentangan.

Majlis
penutupan kursus telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Perancangan
JPWPL, Puan Khaziyati Binti Osman.

Dalam
ucapannya beliau mengucapkan tahniah di atas kehadiran dan komitmen yang
tunjukkan oleh semua peserta sepanjang kursus ini dijalankan. Beliau turut
mengingatkan berkaitan tugas-tugas di sekolah merupakan suatu cabaran yang  perlu dilaksanakan untuk mendapatkan
keberkatan.

Tambahnya lagi berkaitan Integriti dan Realiti dalam pemberian skor SKPMg2, berdasarkan laporan analisis SKPMg2 yang dibentangkan oleh pihak nazir dalam Dialog Prestasi Nasional (DPN) pada 23 Februari lalu berkaitan standard 1 (kepimpinan), standard 4 (pengajaran dan pembelajaran) dan  standard 5 (keberhasilan), di dapati korelasinya adalah kecil.

Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Puan Khaziyati Osman sedang menyampaikan ucapan semasa Majlis Penutupan Kursus Pembugaran dan Bengkel Pengisian Data SKPMg2 Siri 1.

Standard 5 merupakan realiti terhadap keputusan peperiksaan awan seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Tingkatan 3 (PT3), Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Pentaksiran Aktiviti JAsmani Sukan Ko  kurikulum (PAJSK), Aplikasi Pengkalan Data Murid (APDM), Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) dan psikometrik.

Manakala standard 1 hingga 4 adalah pengisian kendiri yang dilakukan oleh pihak sekolah. Justeru memerlukan integriti yang tinggi dalam pengisian skor tersebut.

“Melalui kursus ini, JPWPL akan mengenalpasti jurulatih-jurulatih utama SKPMg2 untuk membantu merapatkan jurang skor verifikasi dan data penilaian kendiri sekolah. SKPMg2 juga diharap dapat dijadikan alat untuk menilai kerja buat kita di sekolah”. Katanya semasa berucap dalam majlis penutupan kursus.

Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Encik Ag Rozlan sedang membentangkan hasil perbincangan kumpulan.



SK Sungai Lada & SM Sains Labuan Rangkul Johan Bola Jaring MSSWPL Tahun 2020

Labuan, 27 Feb 2020 – Sekolah Kebangsaan Sungai Lada dan Sekolah Menengah Sains Labuan merangkul gelaran Johan dalam Kejohanan Bola Jaring, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) tahun 2020.

Pertandingan akhir telah diadakan pada 12 Februari 2020 bagi kategori sekolah rendah dan 27 Februari 2020 bagi kategori sekolah menengah.

Sekolah Kebangsaan Bukit Kalam dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun telah diberi mandat untuk menjadi pengelola bagi kejohanan kali ini.

Kejohanan Bola Jaring MSSWPL yang berlangsung selama dua minggu telah berlangsung pada 10 Februari hingga 12 Februari 2020 bagi ketegori sekolah rendah.

Manakala pada 24 Februari hingga 27 Februari 2020 bagi kategori sekolah menengah yang telah menyaksikan persaingan sengit antara semua kontinjen sekolah di W.P.Labuan.

Perlawanan Akhir antara SMS Labuan dan SSN Mutiara bagi Kategori 15 Tahun

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Abdul Rahman bin Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid. Turuh hadir Encik Asbola @ Hasbollah bin Amit, Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Encik Ag. Rozlan bin Manan, Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun dan Encik Rosli Mohd Ali, Guru Besar SK Bukit Kalam.

SK Sungai Lada telah merangkul johan sekolah rendah diikuti oleh SK Lubok Temiang sebagai naib johan dan tempat ketiga bersama SK Pekan 1 dan SK Bukit Kalam.

Kategori Bawah 15 Tahun, SMS Labuan muncul johan diikuti oleh SSN Mutiara sebagai naib johan dan tempat ketiga bersama SMK Rancha-rancha dan SM St Anne.

SMS Labuan juga dinobatkan sebagai johan Kategori Bawah 18 Tahun diikuti oleh SSN Mutiara sebagai Naib Johan dan tempat ketiga bersama SMK Labuan dan SM St Anne.

Johan, Naib Johan dan Ketiga Bersama bagi kategori Sekolah Rendah (SK Sungai Lada, SK Lubok Temiang dan SK Pekan 1 serta SK Bukit Kalam)

Pemain terbaik kategori sekolah rendah diungguli oleh, Nor Sorfina Safwah, SK Sungai Lada sebagai pemain tengah terbaik, Claire Ivony Jimeno juga dari SK Sungai Lada dipilih sebagai penjaring terbaik. Adik Claire Ivory Jimeno telah merangkul dua kategori iaitu pemain pertahanan terbaik dan pemain terbaik.

Kategori 15 Tahun Sekolah Menengah, Pemain Pertahanan Terbaik dimenangi oleh Fadilah Mansur dari SMS Labuan, Pemain Penjaring Terbaik Safinah Saflee dari SMS Labuan dan Farah Ain juga dari SMS Labuan merangkul dua kategori iaitu Pemain Tengah Terbaik dan Pemain Terbaik.

Manakala Kategori 18 Tahun Sekolah Menengah pula, Honesty Evia Harnot dari SMS Labuan merangkul Pemain Tengah Terbaik, diikuti Zezybell dari SSN Mutiara sebagai Pemain Pertahanan Terbaik. Nursyafiah Salleh dan Jocelyn Debra Jilinus dari SMS Labuan masing-masing merangkul Pemain Penjaring Terbaik dan Pemain Terbaik untuk kejohanan kali ini.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Johan, Naib Johan dan Ketiga Bersama bagi kategori 15 tahun sekolah menengah (SMS Labuan, SSN Mutiara dan SMK Rancha-rancha serta SM St Anne)
Johan, Naib Johan dan Ketiga Bersama bagi kategori 18 tahun sekolah menengah (SMS Labuan, SSN Mutiara dan SMK Labuan serta SM St Anne).



Syarikat Industri Minyak dan Gas Terus Komited Bantu Anak Nelayan Labuan

LABUAN, 27 Feb 2020 – Jabatan Pendidikan
Wilayah Persekutuan Labuan dan Syarikat Repsol Oil & Gas Malaysia Limited
telah mengadakan Majlis Anugerah Inovasi Bagi Murid-Murid Ujian Penilaian
Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) Bagi Tahun 2019
daripada Komuniti Nelayan, kelmarin.

Menurut Pengurus Kanan, Stakeholder Relations, Repsol Oil & Gas Malaysia Limited, Encik Ahmad Fakhrurrazi Arshad, pihaknya komited untuk membantu masyarakat dan komuniti tempatan di mana mereka beroperasi.

Majlis Anugerah Motivasi pada hari ini merupakan kesinambungan usaha-usaha tersebut yang memfokuskan kepada pendidikan, khasnya kepada anak-anak nelayan di Labuan yang masih di bangku sekolah.

“Hasrat kami adalah untuk membantu dan menyuntik semangat di kalangan anak-anak ini untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik dan aktiviti kokurikulum sekolah.” Encik Ahmad Fakhrurrazi Arshad ketika merasmikan majlis tersebut.

Harapan jangka panjang Repsol adalah untuk melihat anak-anak muda yang menerima Anugerah Motivasi ini berjaya di dalam pelajaran mereka dan mendapat kerjaya yang baik supaya boleh meningkatkan taraf hidup diri dan keluarga masing-masing.

Gambar kenangan bersama penerima anugerah motivasi murid-murid UPSR dan PT3 Tahun 2019 dari golongan Komuniti Nelayan Labuan
Murid-murid penerima Anugerah Motivasi Repsol 2019

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Saidin merakamkan ribuan terima kasih kepada Repsol atas usaha murni ini.

Katanya, dengan adanya bantuan ini dapat meningkatkan motivasi murid-murid dalam pembelajaran dan kemenjadian murid.

“Saya berharap murid-murid yang menerima sumbangan dapat memanfaatkan faedahnya untuk berjaya dalam pelajaran dan seterusnya memberi pulangan kepada memajukan negara suatu hari kelak”.

“Majlis Anugerah Motivasi ini merupakan tahun yang ketujuh dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan. Maka saya menyeru murid-murid yang telah menerima anugerah ini supaya sentiasa bersyukur dengan belajar bersungguh-sungguh demi sebuah kejayaan yang boleh mengubah nasib pada masa akan datang ” . Encik Raisin Saidin

Pada majlis tersebut, seramai 40 murid dari tahap UPSR dan 20 murid dari tahap PT3 telah menerima anugerah ini. Setiap penerima UPSR akan menerima wang tunai RM300 manakala penerima PT3 akan menerima wang tunai RM400 menjadikan jumlah anugerah kesemuanya adalah RM20,000.

Turut hadir, Datuk Eddie Abdullah, Penasihat Perhubungan Komuniti dan Kerajaan bagi Negeri Sabah & Labuan, Repsol Oil & Gas Malaysia Limited dan Encik Ag. Marten Datuk Hj Abdul Rahman, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan W.P Labuan

Terima kasih kepada pihak Repsol kerana memberi bantuan ini untuk membantu keperluan murid
Penghargaan kepada kepada Pihak Sekolah. Encik Jamatin menerima Sijli Penghargaan daripada Encik Ahmad Fakhrurazzi



STPM 2019, Labuan Catat 100% Lulus Penuh : Keputusan Pusat Pengajian Tingkatan Enam SMK Labuan Melonjak

Labuan, 25 Feb 2020 – Pencapaian Peratus calon lulus penuh satu hingga lima mata pelajaran Sijil Tinggi Mata Pelajaran (STPM) Wilayah Persekutuan Labuan meningkat kepada 100% berbanding 98.55% tahun 2018 dan 97.5% tahun 2017.

Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin berkata, dari segi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) STPM 2019 ialah 2.87 berbanding tahun lalu 2.64. Peningkatan sebanyak 0.23.

PNGK itu dihitung berdasarkan kepada nilai gred bagi empat mata pelajaran terbaik termasuk Pengajian Am.

Katanya lagi, pada tahun 2019, jumlah calon yang mendapat PNGK 3.00 ke atas juga turut meningkat. Seramai 63 calon mendapat PNGK 3.00 ke atas iaitu 46.32% berbanding 43 calon bersamaan 31.15% tahun 2018.

Gembira dan Ceria pelajar-pelajar Terbaik STPM 2019 : Dari kiri Aaron, Eleena, Irham dan Siti Salbiah

Encik Raisin Saidin berkata demikian semasa mengumumkan keputusan STPM 2019 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di Dewan Mutiara, SMK Labuan.

Beliau berasa gembira dan mengucapkan tahniah kepada Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah dan seluruh warga guru, khususnya guru-guru Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan di atas kerja buat yang akhirnya menghasilkan pencapaian membanggakan.

“Peningkatan ini sudah tentu menunjukkan komitmen tinggi guru-guru tingkatan 6 SMK Labuan dan masih banyak ruang untuk meningkat sekurang-kurangnya mencapai 3.00 dan ke atas setiap calon STPM pada masa akan datang”. Encik Raisin Saidin

Encik Raisin Saidin berasa gembira di atas pencapaian Labuan dalam STPM 2019

Untuk rekod, SMK Labuan merupakan sekolah yang menempatkan semua pelajar tingkatan 6 di Labuan, melalui penubuhan Pusat Tingkatan Enam Mod 2, di dalam sekolah aliran perdana yang ditadbir oleh seorang Pengetua, bermula tahun 2012.

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah menzahirkan rasa syukur dan gembira di atas peningkatan Peratus, PNGK yang mengatasi Kebangsaan (2.77) dan jumlah calon yang mendapat PNGK 3.0 ke atas.

“ Syukur Alhamdulillah, InsyaAllah kami cuba mencapai GPS 3.00 tahun ini melalui Program Scaffolding 3.00 ”. Encik Ismail Abdullah

Pelajar-pelajar terbaik STPM 2019 Wilayah Persekutuan Labuan dengan mendapat PNGK 3.92 ialah Irham Zulhilmi bin Mohd Johan, Siti Salbiah binti Mohd Yussof, Eleena Yeo Sui Mei dan Aaron Lau Jiaxiang.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga SMK Labuan.

Encik Ismail menerima keputusan STPM 2019 daripada Encik Raisin Saidin sambil diperhatikan oleh Tuan Haji Sawal dan Encik Yusup
Pasangan kembar cemerlang : Dari kiri Nurul Haidah Julius (3.42), Nurul Hudah Julius (3.17), Nurussittah Farhanah Samad (3.08), Nurul Khomsah Hasanah Samad (3.59)
Terbaik ! Gandingan mantap dari Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan (SPP) : dari kiri, Encik Jaafar, Tuan Haji Sawal (KETUA Penolong Pengarah SPP), Encik Raisin Saidin, Encik Joe Hellmy, Puan Rohana dan Encik Narimin



Perhimpunan Bulanan JPWPL, Februari 2020 : BERSAMA MELANGKAH JAUH

Labuan, 18 Feb 2020 – Program seperti Ziarah Cakna dan Jom Ke Sekolah merupakan aktiviti yang mampu merealisasikan ‘Guru Sayang Muridnya’.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan,
Encik Raisin Saidin berkata seiring dengan fungsi guru mengajar, guru mendidik,
para pendidik perlu menyelami harapan murid sehingga mereka rasa dihargai.

Pihak sekolah boleh melihat sejauh mana faktor menarik dan menolak yang ada di sekolah masing-masing, agar mampu menarik minat murid untuk belajar dan berbuat.

Katanya, pengalaman seorang guru yang suatu ketika dulu juga
pernah menjadi murid boleh digunakan untuk menyelami hati seorang murid,
seterusnya dapat mendekati, menasihati dan mensyukuri dengan nilai kasih sayang
secara berhemah.

Guru berperanan sebagai pemegang amanah besar dalam
melahirkan insan yang mempunyai nilai keluruhan adab sopan dan berintegriti.

“ROH seorang guru perlu sentiasa MENDARAH DAGING dengan sentuhan insaniah dan nurani yang tidak mampu dibuat oleh mesin. Biarlah boleh dirasai oleh murid.” Encik Raisin Saidin.

Encik Raisin Saidin berkata demikian sempena Majlis
Perhimpunan Bulanan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bagi bulan
Februari 2020, di Bilik Benua, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan.

Encik Raisin Saidin bersama penerima Anugerah Khas Pengarah bulan Februari 2020

Cikgu Sapri bin Idris, Guru Perpustakaan dan Media, SMK Rancha-Rancha telah menerima Anugerah Guru Digital Media di atas sumbangan dalam dunia teknologi pendidikan dan media.

Anugerah Khas Pengarah bagi bulan Februari 2020 dianugerahkan kepada Encik Abdul Rahman bin Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Puan Maimoon bt Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah dan Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Pengetua SMK Rancha-Rancha.

Susulan Ziarah Cakna pada minggu lalu, Encik Raisin Saidin turut melancarkan dana untuk membantu murid SMK Rancha-Rancha adik Ukail Syamil Najmuddin bin Mohammadde, pelajar tingkatan 5 An Nasawi. Beliau terpaksa mengulang kembali pengajian di tingkatan 5 pada tahun ini kerana tidak sempat menduduki peperiksaan SPM 2019 disebabkan kesihatan yang tidak mengizinkan.

‘BERSAMA MELANGKAH JAUH’ : Tema Perhimpunan Bulanan JPWPL, Februari 2020

Sijil Penghargaan kepada warga jabatan
Sijil Penghargaan kepada pihak sekolah
Sambutan Hari Jadi kepada Warga Pendidikan yang lahir pada bulan Februari



SM St Anne dan SM St Anthony Pengelola Bersama Majlis Pemuafakatan KPM Bersama PDRM : PROGRAM JOM KE SEKOLAH 2020

Labuan, 18 Feb 2020 – Majlis Pemuafakatan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) : Program Jom Ke Sekolah dan Pelancaran Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Peringkat Kebangsaan, WP Labuan Tahun 2020 telah berlangsung di Dewan Muhibah, SM St Anne, kelmarin.

Sekolah
Menengah St Anne dan Sekolah Menengah St Anthony telah diamanahkan menjadi sekolah
pengelola bagi menjayakan program tahun 2020 ini.

Majlis
telah dirasmikan oleh Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Wilayah
Persekutuan Labuan.

Kolaborasi
antara Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bersama Polis Diraja
Malaysia ini turut dihadiri oleh Superintenden Muhamad Farid Bin Ahmad, Ketua
Polis WP Labuan, Timbalan-timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan,
Pegawai Perhubungan Sekolah SM St.Anne & SM St.Anthony, YDP PIBG SM St.Anne
& SM St.Anthony, Paderi Paroki Sekolah-sekolah Mission, para pengetua dan
guru besar, pegawai-pegawai, guru-guru, murid-murid daripada SM St.Anne dan SM
St.Anthony.

Encik Raisin Saidin menyambut kehadiran murid SM St Anne sambil diperhatikan oleh Superitenden Muhamad Farid

Superintenden Muhamad Farid dalam menyampaikan perutusan Ketua Polis Negara berkata, kesepakatan, komitmen, dan kesungguhan semua pihak, sama ada KPM, PDRM, NUTP, ibu bapa, dan komuniti yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan program Jom ke Sekolah ini akan menghasilkan impak yang besar kepada sistem pendidikan di Malaysia.

Tambahnya
lagi, PDRM amat berbesar hati dengan kerjasama berterusan melalui kehadiran
Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di semua sekolah KPM. Pelaksanaan program Jom
ke Sekolah ini adalah untuk mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang lebih
mantap di antara pihak sekolah dan PPS.

Pada akhir perutusan, beliau menyatakan bahawa program ini juga merupakan kesempatan untuk melancarkan Buku Panduan PPS sebagai buku rujukan KPM dan PDRM bermula tahun ini. “Semoga semua pihak yang berkaitan akan mendapat manfaat yang besar dari pelancaran buku ini”, katanya sebelum mengakhiri perutusan yang disampaikan.

Murid-murid SM St Anne dan SM St.Anthony yang hadir dalam Majlis Pelancaran Program Jom Ke Sekolah
Encik Raisin Saidin (tengah), Superitenden Muhamad Farid (kanan), Puan Mary Anyita (2 kiri) dan Puan Dona (2 kanan) bersama-sama dengan Pegawai Perhubungan Sekolah dan penerima Anugerah St.Anne Role Model
of The Month bagi Tingkatan 1 hingga 5.

Encik
Raisin Saidin dalam ucapan perasmian, mengucapkan syabas dan tahniah kepada
pihak SM St.Anne dan SM St.Anthony kerana berjaya mengadakan majlis pelancaran
bagi program ini secara serentak dengan semua sekolah di bawah Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut
beliau, pengurusan disiplin di sekolah memerlukan komitmen daripada semua pihak
agar kemenjadian murid akan lebih cemerlang.

Seterusnya,
beliau juga menyatakan bahawa dengan adanya gabungan kolaborasi seperti ini,
warga sekolah khususnya mempunyai saluran yang sesuai untuk memberi dan
menerima aduan di samping menyelesaikan masalah yang berkaitan disiplin murid.

Dalam
erti kata lain, program ini merupakan dimensi lain dalam membugarkan kembali
penggunaan Peti Aduan Disiplin Murid di sekolah. Selain itu, beliau turut
memberi peringatan kepada pihak pentadbir sekolah agar sentiasa memastikan
pengurusan disiplin murid ini sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa agar
proses perkhidmatannya dapat ditingkatkan dan lebih berkesan.

“Gunalah masa yang ada ini dengan sebaik-baiknya kerana masa muda hanya sekali. Berusahalah menjadi yang terbaik kerana dalam dunia yang kompetetif hari ini hanya yang terbaik akan berjaya” Encik Raisin Saidin

Dalam majlis pelancaran Program Jom ke Sekolah ini juga, penyampaian Anugerah Kehadiran Terbaik  Kelas SM St.Anne dan SM St.Anthony turut diadakan.

Anugerah
ini diberikan kepada kelas-kelas yang berjaya mencapai KPI Kehadiran KPM dan
Jabatan Pendidikan WP Labuan iaitu 95%.

Selain
itu, Anugerah SM St.Anne Role Model of The Month turut diberikan kepada 5 orang
murid tingkatan 1 hingga 5 yang menepati beberapa kriteria seperti tidak
mempunyai masalah kehadiran atau lewat, tidak mempunyai masalah kehadiran
aktiviti kokurikulum, berketerampilan dan berpakaian kemas, sentiasa menyiapkan
kerja sekolah dan fokus semasa pdpc serta berkelakuan baik dan boleh dicontohi.

Berita Oleh : SM St Anne

Erviana Bernard, Ketua Kelas 5A2 menerima Anugerah Kehadiran Terbaik Kelas dengan peratus kehadiran tertinggi, iaitu 99%. 10 daripada 15 kelas di SM St.Anne berjaya mencapai 95% ke atas untuk kehadiran bulan Januari
Penerima Anugerah Kehadiran Terbaik Kelas SM St.Anthony dengan peratus kehadiran tertinggi sebanyak 97.63%.
Dari Kiri : Encik Ag Marten, Encik Abd Rahman, Superitenden Muhamad Farid, Encik Raisin Saidin, Encik Yusup dan Encik Syamsul ( berdiri di belakang)