BERSAMA-SAMA MELANGKAH LEBIH JAUH : Akauntabiliti Terhadap Pendidikan Di Labuan Tanggungjawab Bersama

Labuan 16 Feb 2020 – Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin telah menyampaikan Amanat dan Aspirasi Pendidikan 2020 bertemakan BERSAMA-SAMA MELANGKAH LEBIH JAUH : AKAUNTABILITI TERHADAP PENDIDIKAN DI LABUAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA.

Seramai 500 orang warga pendidikan di Labuan telah menghadiri Majlis tersebut bagi mendengar amanat yang disampaikan oleh Encik Raisin Saidin di Dewan Utama, Sekolah Antarabangsa Labuan, kelmarin.

Encik Raisin Saidin berkata setiap guru perlu membuat refleksi terhadap tugas mereka sebagai seorang pendidik. Natijah yang besar akibat kerja buat seorang guru mampu mengubah tingkah laku seseorang murid di dalam bilik darjah.

“Roh dan aura seorang guru yang ‘mendarah daging’ hendaklah sampai kepada murid-murid dan sehingga mereka yakni murid dapat merasainya” Encik Raisin Saidin

Empat pendekatan yang difokuskan oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2020 iaitu akauntabiliti seorang guru terhadap muridnya sesuai dengan slogan ‘guru sayang muridnya’, aura roh guru sentiasa mendarah daging dalam diri guru, guru mengajar murid belajar dan berbuat, meningkatkan kecemerlangan dan kemenjadian murid secara menyeluruh.

Tambahnya lagi setiap ringgit daripada peruntukan kewangan yang diterima daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan dibelanjakan sama ada di peringkat Jabatan mahu pun di sekolah hendaklah memberi pulangan maksimum kepada murid. Dengan kata lain faedahnya hendaklah dipulangkan kepada anak-anak murid.

Ikrar Perkhidmatan Awam oleh warga pendidikan yang hadir
Para Guru Besar dan guru-guru yang hadir mendengar amanat dan aspirasi tahun 2020

Majlis telah dirasmikan oleh Datuk Rozman Haji Isli, Ahli Parlimen P166 Labuan.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan dilihat sebagai prospek terbaik dalam membantu meningkatkan sektor pelancongan di wilayah ini sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Jabatan Pendidikan Labuan menganjurkan seminar, persidangan, lawatan silang budaya, pertandingan sukan serta aktiviti kokurikulum yang dilihat sebagai penyumbang yang membantu perkembangam industri pelancongan di wilayah ini.

“Saya berharap pada tahun 2020, pemimpin sekolah akan lebih aktif menganjurkan hubungan permuafakatan di peringkat antarabangsa ke Labuan” . Datuk Rozman Haji Isli.

Datuk Rozman Haji Isli, Encik Raisin Saidin, Timbalan-timbalan Pengarah bersama Pegawai dan Warga Sekolah di Labuan

Terdahulu, Bual Bicara Profesional membincangkan hala tuju pendidikan di Labuan, mentransformasi sistem penyampaian perkhidmatan pendidikan melalui pemantapan peranan dan fungsi pembangunan dasar, perancangan serta pengoperasian di peringkat Kementerian dan Jabatan Pendidikan.

Ahli panel terdiri daripada Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Puan Khaziyati bt Osman, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yusup bin Mohamad, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon bt Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Encik Ag Marten bin Abdul Rahman dan Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Ustaz Mohd Syahir bin Mohd Yusoff.

Moderator bual bicara ini dipengerusikan oleh Pgn. Abd Kadir bin Pgn. Budin.

Moderator dan Panel Bual Bicara Profesional

Sempena majlis itu juga, Datuk Rozman turut menyampaikan Anugerah Khas Pendidikan kepada tiga individu yang telah banyak membantu dan menyumbang kepada Jabatan Pendidikan Labuan sepanjang tahun 2019.

Tiga individu yang menerima anugerah khas itu ialah ahli korporat, YBhg. Datin Sri Dato’ Hajah Norsiah Abdullah, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Labuan, Tuan Haji Md.Yusof bin Chuchu dan Guru Besar Tadika Riang Ria, Puan Ong Nyuk Ping.

Datuk Rozman Hj Isli, Encik Raisin Saidin, Timbalan-timbalan Pengarah bersama penerima Anugerah Pendidikan
Sokongan berterusan daripada Komuniti PIBG Sekolah
Gambar Kenangan : Encik Raisin Saidin bersama Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, YDP MPSM dan Pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan



Perjumpaan Pengarah BPI Bersama Guru Pendidikan Islam dan Guru Bahasa Arab

Labuan, 10 Feb 2020 – Seramai 130 orang Guru Pendidikan Islam dan Guru Bahasa Arab (GPI GBA) sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan berpeluang menghadirkan diri dalam pertemuan bersama Tuan Haji Hassan Nudin bin A.Hamid, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam.

Perjumpaan yang berlangsung di Bilik Benua, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan itu turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin.

GPI GBA Wilayah Persekutuan bertuah dapat bertemu mata dan mendengar taklimat perkongsian yang disampaikan sendiri oleh Tuan Haji Hassan Nudin yang merupakan kali pertama menjejak kaki ke negeri ini setelah dilantik menjadi Pengarah di Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Tuan Haji Hassan Nudin (duduk depan tengah ), Encik Raisin Saidin (kanan) dan Tuan Haji Abdul Rahman (kiri) bersama guru-guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab Wilayah Persekutuan Labuan

Tuan Haji Hassan Nudin menyambut hasrat baik Tun Dr Mahathir untuk menjadikan kurikulum mata pelajaran Pendidikan Islam ini sebagai cara hidup dengan menekankan nilai-nilai murni agama dalam kehidupan seharian.

“Besarlah harapan saya agar guru-guru Pendidikan Islam dapat memastikan anak-anak muridnya boleh membaca Al-Quran sekurang-kurangnya apabila menjejak kaki ke tahun 6 di peringkat sekolah rendah”. Tuan Haji Hassan Nudin

Selain itu, beliau juga mengingatkan GPI GBA WP Labuan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti diri sama ada menyambung pelajaran ke peringkat sarjana ke atas dan mencalonkan diri menjadi Guru Cemerlang (GC) berikutan jumlah GC bagi matapelajaran Pendidikan Islam dan Bahasa Arab semakin berkurangan di seluruh negara.

Sementara itu, En Raisin Saidin dalam ucapan aluannya mengingatkan semua GPI GBA agar sentiasa menggalas tanggungjawab sebaik mungkin dalam mendidik anak-anak murid mereka sehingga menjadi insan yang berguna dan berjaya selepas tamat pengajian.

Katanya, kemenjadian murid Islam di Wilayah Persekutuan boleh diukur dengan melihat pencapaian lulus matapelajaran Pendidikan Islam di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia ketika meninggalkan alam persekolahan.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Gambar Kenangan Bersama Pegawai-Pegawai Sektor Pendidikan Islam



Pengarah BPI KPM melancarkan Ziarah Cakna 2020 Peringkat Kebangsaan WP Labuan

Labuan, 10 Feb 2020 – Ziarah Cakna, sebuah program ziarah guru ke rumah murid terpilih bersifat menyantuni golongan ibu bapa dan penjaga merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menerapkan nilai budaya kasih sayang, saling menghormati dan memperkukuh hubungan antara sekolah dan kedua belah pihak.

Di peringkat Wilayah Persekutuan, Program Ziarah Cakna telah dilancarkan pada hari ini bertempat di SMK Rancha-Rancha dan dirasmikan oleh Tuan Haji Hassan Nudin bin A.Hamid, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Tuan Haji Hassan Nudin dalam ucapannya berkata Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai peneraju utama dalam mendidik dan melahirkan modal insan negara komited untuk menyesuaikan dasar serta hala tuju selaras dengan Agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dalam 7 teras strategik terutama teras yang berkaitan Strategi Transformasi Modal Insan.

Tuan Haji Hassan Nudin, Encik Raisin Saidin dalam perasmian Program Ziarah Cakna bersama tetamu VIP yang hadir

Program ini secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan silaturrahim antara ibu bapa, guru dan masyarakat dalam menwujudkan budaya baharu yang lebih positif demi kemenjadian murid- murid.

Kita perlu mendidik anak-anak bahawa mereka perlu belajar bersungguh-sungguh, terus berdaya saing dan bertekad untuk keluar dari kemiskinan.

Selain itu juga ianya memperluas konsep sekolah penyayang. Program ini akan menjadi platform buat ibu bapa dan guru berkongsi perkembangan menyeluruh para pelajar.

Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin berkata berdasarkan data Ziarah Cakna Kebangsaan tahun 2019 bagi WP Labuan, seramai 168 murid sekolah rendah dan sekolah menengah daripada 167 keluarga telah diziarahi oleh para guru di Labuan.

Beliau menzahirkan rasa terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak sekolah, Pegawai Perhubungan Sekolah ( PDRM ), Persatuan Ibu Bapa Guru ( PIBG ),  Ketua Kampung, Agensi kerajaan , Agensi Bukan Kerajaan ( NGO ), dan Persatuan Pesara Guru WP. Labuan atas sokongan dan kerjasama padu dengan KPM bagi merealisasikan majlis ini.

Besarlah harapan saya agar kesepakatan begini bukan sahaja dapat memastikan kejayaan program, bahkan turut memberi impak kepada kemenjadian murid. Encik Raisin Saidin

Tuan Haji Hassan Nudin dan Encik Raisin Saidin bersama rombongan turut menyertai ke rumah salah seorang murid SMK Rancha-Rancha iaitu adik Ukail Syamil Najmuddin bin Mohammadde, pelajar tingkatan 5 An Nasawi. Beliau terpaksa mengulang kembali pengajian di tingkatan 5 pada tahun ini kerana tidak sempat menduduki peperiksaan SPM 2019 disebabkan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Semasa menziarahi adik Ukail Syamil, Tuan Haji Hassan Nudin telah meminta agar Ukail belajar bersungguh-sungguh dan menerima apa yang berlaku itu mempunyai hikmahnya kerana Allah mempunyai perancanganNya.

Pengarah BPI KPM juga melahirkan ucapan terima kasih kepada keluarga Ukail yang menerima kunjungan tersebut.

Tanda sokongan Warga Pendidikan, PDRM, PIBG, Ketua Kampung, Agensi Kerajaan, NGO dan Persatuan Pesara Guru WP Labuan
Encik Ismail Abdullah, Encik Awang Adi dan rombongan bersama keluarga Iwani



Pengetua Guru Besar Hadiri Taklimat #3A Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 17 Januari 2020 – Seramai 27 peserta terdiri daripada Pengetua , Guru Besar dan wakil-wakil PGB telah menghadiri taklimat pelaksanaan Sedar, Peka, Tindak (#3A) peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Bengkel ini telah berlangsung di bilik mesyuarat SMK Pantai.

Taklimat yang bermula jam 2.30 petang telah disampaikan oleh Kaunselor Pendidikan Negeri, Sektor Psikologi dan Kaunseling Jabatan Pendidikan W.P. Labuan, Encik Sabdin bin Japaruddin.

Menurut beliau, program #3A bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kesejahteraan psikologi diri dalam kalangan warga guru. Program ini lanjutan daripada tahun lalu dan dijangka akan diselesaikan dalam masa setahun bermula sejak Ogos 2019 sehingga Ogos 2020.

Sebanyak 11 bahan perkongsian telah di sediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang disarankan untuk dikongsi bersama guru-guru di sekolah.

Tajuk-tajuk yang dipilih adalah sangat relevan kepada guru dalam mengharungi kerjaya sepanjang perkhidmatan. Antara tajuk perkongsian tersebut ialah Kesejahteraan Mental, Pengurusan Kewangan, Pengurusan Stress, Komunikasi Berkesan dan Pengurusan Kemurungan.

Pengetua dan Guru Besar pula bertanggungjawab menyampaikan taklimat berdasarkan tajuk-tajuk yang disediakan setiap bulan kepada guru-guru di sekolah. Laporan pelaksanaan taklimat di sekolah perlu di hantar kepada pihak jabatan untuk tujuan pemantauan.

Yang Dipertua MPSM Labuan, Encik Ismail bin Abdullah yang hadir dalam sesi taklimat tersebut berkata, isu-isu yang disampaikan melalui taklimat #3A ini adalah sangat sesuai dan relevan kepada guru-guru.

“Tajuk-tajuk yang dipilih mampu menjadi panduan kepada warga guru terutamanya dalam menangani cabaran ke arah kesejahteraan diri sepanjang perkhidmatan.” Encik Ismail Abdullah

Berita Oleh : Setiausaha MPSM




Perhimpunan Bulanan JPWPL Januari 2020 : Pemimpin Sekolah Berkesan Pemangkin Kemenjadian Murid

Labuan, 16 Januari 2020 – ‘Pemimpin Sekolah Berkesan Pemangkin Kemenjadian Murid’, demikian tema bagi bulan Januari yang telah disampaikan oleh Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin.

Sempena perhimpunan bulanan pada kali ini, murid-murid yang telah berjaya mengangkat nama Labuan samada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa tahun 2019 telah diberikan Anugerah Adiwira Muda Pendidikan Labuan.

Penganugerahan ini merupakan manifestasi usaha yang bersungguh-sungguh secara bersama bagi memberi semangat dan galakan kepada murid, yang diilhamkan oleh Encik Raisin Saidin, bermula tahun 2019.

Seramai 10 murid yang telah diangkat sebagai Adiwira Muda Pendidikan Labuan, iaitu :

  1. Rafdhi Firlhi Junaidi, SK Pekan Dua. Johan Kategori Traditional Form (Rammuay/Muaythai), Pingat Gangsa Amateur K1 Sanda, Pertandingan Borneo Martial Art Expo 2019.
  2. Nur Aneesa Aira Mohamad Affendi, SK Pekan Dua, Pingat Perak Kejohanan 21st USKU International Karate Open Championship 2019, Takanabe-Cho, Miyazaki, Japan, Pingat perak Kumite 10-11 years girl Kejohanan 11st Kota Kinabalu Karate Open Championship 2019.
  3. Nur Izziani Mohd Idzam, SMK Pantai, Pingat Gangsa Pertandingan Guangdong China Final Elite Group Taekwando League 2019.
  4. Mohd Nur Nazhan Abdullah, SMK Lajau, Pingat Emas Putera Kelas A, Kejohanan Silat Warisan Dato Maharajalela 2019.
  5. Nurul Shafina Mohd Supian, SMK Lajau, Pingat Gangsa Kejohanan Silat Warisan Dato Maharajalela 2019.
  6. Nur Nabilla Hartono, SMK Labuan, Pingat Emas Puteri Kelas F, Kejohanan Silat Warisan Dato Maharajalela 2019.
  7. Nur Athirah Asmawi, SMK Labuan, Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Negeri WP Labuan 2019.
  8. Muhammad Aiqal Asmadie, SM St Anthony, Emas Open Karate-Do Kejohanan 19th Thailand Open Karate-do Championship 2019 dan Emas Junior High School Male Kata, Kejohanan 21st USKU International Karate Open Championship 2019, Takanabe-Cho, Miyazaki, Japan.
  9. Mohd Ansarullah Sabarudin, Naib Johan Perseorangan Lelaki Kejohanan Juara Tangkis Tun Dr. Siti Hasmah 2019. 
  10. Mohd Azib Aiman Mohamad Affendi, SM Sains Labuan, Pingat Gangsa High School Male Kata, Kejohanan 21st USKU International Karate Open Championship 2019, Takanabe-Cho, Miyazaki, Japan, Pingat Gangsa Individu Kata Kadet 55 kg, 19th Thailand Open Karate-Do Championshop, Emas Kategori Male Junior Kata dan Kumite, 6th Legend International Karate Club Championship 2019, Selangor, Emas Kategori Individu Kumite Junior, 1st Borneo Karate Open Championship 2019, Brunei  Darul Salam.
Encik Raisin Saidin menyampaikan sijil Adiwira Muda kepada Adik Nur Athirah Asmawi yang mendapat Anugerah Pengakap Raja 2019

Cikgu Yee Choon Hian dari SM St Anthony juga turut menerima Anugerah Khas Pengarah bagi bulan Januari di atas komitmen menjadi Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan Badminton sejak tahun 2002 sehingga kini. Beliau pernah memegang jawatan ketua teknikal kejohanan badminton MSSM pada tahun 2006 dan 2013. Beliau juga pernah dipanggil menjadi jurulatih kebangsaan pada tahun 2013 dalam kejohanan persahatan bersama atlet muda Jepun dalam program KPM dan Astro.

Terbaharu beliau telah berjaya melahirkan pemain perseorangan lelaki yang cemerlang, adik Ansarullah dari SMK Mutiara menjadi naib johan pertandingan juara tangkis Piala Tun Siti Asmah, pada Disember 2019.

Pembacaan ikrar perkhidmatan awam pada perhimpunan pertama Jabatan Pendidikan WP Labuan tahun 2020 ini telah diketuai sendiri oleh Encik Raisin Saidin. Ini adalah gambaran komitmen tinggi beliau menggalas amanah yang dipikul dan seterusnya mengajak seluruh warga pendidikan Labuan mengangkat martabat profesion keguruan.

Encik Raisin Saidin mengetuai lafaz ikrar perkhidmatan awam

Encik Raisin Saidin telah membentangkan 10 Ciri Utama Pemimpin Sekolah Abad ke-21 Yang Berjaya. Ciri-ciri tersebut ialah Kejujuran dan integriti, Keupayaan meyakini dan mengupayakan orang lain, Berkomunikasi, berkerjasama dan dan sentiasa berhubungan, Aura positif, Keyakinan, Komitmen dan kesungguhan, Kesediaan untuk belajar, tinggalkan pemikiran lama dan kukuhkan pengetahuan, Keusahawanan, kreatif dan inovatif, Naluri Intuitif/ Gerak Hati dan Kebolehan untuk memberi inspirasi.

“Sekolah terbaik didorong oleh warganya sendiri yang bersungguh-sungguh membawa perubahan samada di dalam atau di luar bilik darjah yang akhirnya membawa keberhasilan kemenjadian anak-anak muridnya”. Encik Raisin Saidin

Encik Raisin Saidin bersama barisan pemimpin, Pengetua Sekolah Menengah Labuan

Dalam menyatukan guru-guru di pulau ini maka Encik Raisin Saidin mengajak seluruh lapisan warga pendidikan mengamalkan dan menghayati perkara berikut:

  1. Guru
    sayang muridnya
  2. Roh guru mendarah daging dalam diri setiap guru
  3. Guru mengajar murid belajar dan
    berbuat
  4. Meningkatkan kecemerlangan dan
    kemenjadian murid yang menyeluruh
  5. Setiap ringgit peruntukan dibelanjakan
    hendaklah memberi pulangan yang maksimum kepada murid

Kelaziman majlis, penyampaian sijil-sijil penghargaan kepada pihak sekolah, staff of the month dan sambutan hari jadi kepada warga pendidikan sentiasa memeriahkan saban perhimpunan JPWPL.

Semoga tahun 2020, cabaran global yang memberi tekanan lebih mencabar dalam Abad ke-21, namun paksinya tetap sama, Kemenjadian Murid diutamakan.

Encik Raisin Saidin menyampaikan Anugerah Khas Pengarah kepada Cikgu Yee Choon Hian, diperhatikan oleh Ustaz Syahir dan Encik Azryn
Encik Raisin Saidin menyampaikan Sijil Penghargaan kepada pihak Sekolah
Meraikan sambutan hari jadi kepada warga pendidikan yang lahir bulan Januari

Foto : Tuan Haji Sawal Salleh




Hari pertama persekolahan 2020 Di Labuan Berjalan Lancar

Labuan, 2 Jan 2020 – Seramai 1,650 murid Tahun Satu memulakan sesi persekolahan di sekolah rendah di Labuan hari ini.

Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin berkata secara keseluruhan jumlah murid sekolah rendah di wilayah ini ialah 9,732 orang. Manakala murid sekolah menengah mencatatkan 6,071 dan prasekolah seramai 807 murid berdaftar.

Keseluruhan murid berdaftar pada awal sesi persekolahan 2020 termasuk murid prasekolah di Labuan ialah seramai 16,610 orang.

Encik Raisin Saidin bersama dengan Timbalan-Timbalan Pengarah Pendidikan serta Ketua Penolong Pengarah Sektor Pentaksiran Dan Peperiksaan telah menyambut dan mengalu-alukan kehadiran murid-murid SK St. Anne WP Labuan pada hari pertama persekolahan 2020.

Semasa perhimpunan awal pagi di Sekolah SK St Anne, Encik Raisin Saidin menzahirkan kegembiraan di atas kehadiran murid-murid yang datang ke sekolah dalam keadaan sihat untuk memulakan sesi persekolahan.

Murid-murid SK ST Anne dalam perhimpunan awal pagi sesi persekolahan 2020
YDP PIBG SK St Anne, Ketua Penolong Pengarah, Timbalan-timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan, Pegawai Polis turut serta dalam menghadiri perhimpunan sekolah SK St Anne pada 2 Januari 2020

Beliau berkata, 4 pendekatan yang difokuskan oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2020 iaitu guru sayang muridnya, aura roh guru sentiasa mendarah daging dalam diri guru, guru mengajar murid belajar, meningkatkan kecemerlangan dan kemenjadian murid secara menyeluruh.

Encik Raisin Saidin menekankan perkara tersebut kerana peranan guru amat penting sebagai pelaksana paling hadapan iaitu di bilik darjah.

Tambahnya lagi setiap ringgit daripada peruntukan kewangan yang diterima daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan dibelanjakan sama ada di peringkat Jabatan mahu pun di sekolah hendaklah memberi pulangan maksimum kepada murid. Dengan kata lain faedahnya hendaklah dipulangkan kepada anak-anak murid.

Selain SK St. Anne rombongan Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan juga telah melawat SK membedai iaitu sekolah yang terletak di kem tentera.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru besar dan pengetua kerana telah membuat persiapan yang rapi bagi memastikan hari pertama persekolahan tahun 2020 berjalan dengan lancar. Murid dapat belajar dengan selesa”. Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Labuan

Encik Raisin Saidin, Guru Besar Ustaz Farihi, Mejar Hamka dan murid tahun 1 SK Memebedai
Puan Maimoon dan Encik Ag Marten sedang beramah mesra dengan murid-murid tahun 1 SK Membedai
Encik Raisin Saidin sedang memberi motivasi kepada murid Tahun 6 SK Membedai
Bergambar kenangan di SK membedai pada 2 Januari 2020
Encik Raisin Saidin dan Mejar Hamka Bin Harith Pegawai Pendidikan Pangkalan Udara Labuan berinteraksi dengan murid tahun 1 SK Membedai
Dari Kanan : Tuan Haji Sawal, Ustaz Rahman dan Puan Maimoon
Encik Raisin Saidin semasa lawatan di SK Membedai

Foto Oleh : Ustaz Mohd Syahir




Warga Pendidik Di Labuan Hadiri Kempen Kesedaran Kanser Oleh MAKNA

Labuan, 09 Dis – Seramai 90 guru besar, guru-guru dan pegawai kumpulan pelaksana  menghadiri kempen Kesedaran Kanser yang dianjurkan oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA) di Bilik Mesyuarat Botanikal, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL)  yang telah diadakan pada 03 Disember 2019.

Kempen Kesedaran Kanser ini bertujuan untuk memberi
penerangan secara terperinci mengenai kanser, perkhidmatan MAKNA, serta
cara-cara membantu pesakit kanser untuk mendapatkan rawatan. Kempen ini telah
diurusetiakan oleh Sektor Perancangan, JPWPL.

Menurut Cik Melen Anak Sana, Pegawai Pembangunan Dana
MAKNA,  kanser boleh dicegah dan dirawat
sekiranya dikesan pada peringkat awal. Namun, kesedaran kanser di kalangan
masyarakat Malaysia masih rendah di mana kebanyakan pesakit yang datang ke
hospital bagi mendapatkan rawatan kebiasaannya berada di peringkat akhir. Tambahan
pula, kos rawatan yag tinggi sering menjadi kekangan bagi pesakit yang kurang
berkemampuan.

Majlis Kanser Nasional atau lebih dikenali sebagai MAKNA
merupakan sebuah pertubuhan sosial ditugaskan untuk mengumpulkan dan
menggunakan setiap usaha, kepakaran dan kebajikan dari setiap lapisan
masyarakat untuk melawan kanser dan mengurangkan kesakitan, penderitaan dan
morbiditi yang pesakit kanser sering alami. ‘MAKNA’ dan slogannya bermaksud
“Mengingati Makna Kehidupan” (A Meaning to Life).

Sementara itu, Puan Kamariah Binti  Salim, Penolong Pengarah Sektor
Perancangan  berkata, kempen ini di
adakan untuk memberi kesedaran kepada seluruh warga pendidika di JPWPL akan bahayanya
penyakit kanser dan pentingnya pengesanan awal bagi mengelakkan keadaan menjadi
lebih parah. 

“Kesedaran semua pihak adalah penting bagi mencegah dan mengesan kanser lebih awal. Kanser boleh dicegah dan dielak melalui amalan gaya hidup sihat. Kita berharap agar info yang disampaikan oleh pihak MAKNA dapat dikongsi kepada ahli keluarga dan rakan-rakan” katanya ketika ditemui.

Puan Sarifah Binti Suip, guru dari Sekolah Kebangsaan Pantai
berkata, taklimat yang disampaikan amat menarik serta banyak info yang
diperolehi berkaitan tanda-tanda awal kanser serta makanan yang perlu dielakkan
untuk pengidap kanser. Selain itu peserta berpeluang menyalurkan sumbangan
kepada pihak MAKNA untuk membantu pesakit-pesakit kanser yang menerima rawatan.

Turut hadir dalam kempen ini Encik Azryn Bin  Hj Mamma, penolong pengarah Sektor Sumber manusia, JPWPL.

Berita Oleh : Puan Kamariah Salim

En Azryn menyampaikan sijil penghargaan kepada Cik Melen Anak Sana



Edugolf Jabatan Pendidikan WP Labuan Mengambil Inisiatif Mempopularkan Sukan Golf Di Peringkat Akar Umbi

Labuan, 3 Disember 2019 : Edugolf Jabatan Pendidikan WP Labuan telah menganjurkan pertandingan golf bertempat di Labuan Golf Club.

Pertandingan musim cuti sekolah ini telah disertai oleh seramai 15 orang pemain golf, terdiri daripada murid-murid meliputi semua kategori.

Kategori yang dipertandingkan ialah bawah 12 tahun lelaki dan perempuan, bawah 15 tahun lelaki dan perempuan serta kategori bawah 18 tahun lelaki dan perempuan.

Penganjuran kali ini merupakan penutup tirai tahun 2019 dan terhad kepada mereka yang bersekolah di Wilayah Persekutuan Labuan sahaja.

Kejohanan sebelum ini telah dbuka kepada penyertaan pemain golf dari negeri jiran iaitu Sabah. Klik sini : Edugolf Labuan Masters 2019 : Semarak Bulan Sukan Negara

Murid SK Membedai, Nurfatin Syamimi memenangi kategori 12 Tahun Perempuan dan naib johan disandang oleh Nurfarah Batrisha Ismail juga dari SK Membedai.

Bagi Kategori Lelaki 12 Tahun diungguli oleh Muhamad Afif Bin Aznan dari SK Bebuloh, manakala tempat kedua Raja Muhamad Aqil Rizal dari SK Membedai dan tempat ketiga Amirul Hishamudin Roslan dari SK St Anne.

Encik Raisin Saidin dan Encik Hasbollah Amit bersama pemenang pertandingan

Sementara itu bagi kategori 15 Tahun Perempuan, Tempat Pertama dimenangi oleh Aida Hazirah Abzillah dari SMK Pantai IBWS, manakala Pemain dari SM St Anne Lailatul Huda Munawarrah di tempat kedua dan Nafisah Amani Shahrin dari SM St Anne di tempat ketiga.

Pemain dari SM St Anthony, Muhamad Azim Muhamad Farid mengungguli kategori 15 tahun lelaki, manakala di tempat kedua dimenangi oleh Leoneil Laing Lawai dari Labuan International School dan tempat ketiga Muhamad Harith Ayman Azhari dari SM St Anthony.

Bagi Kategori Lelaki 18 dimenangi oleh Muhamad Syamil Hakimi Azhari dari SM St Anthony dan Perempuan 18 Tahun dimenangi oleh Nurul Haslinda Roslan dari SM St Anne.

Encik Raisin Saidin bersama ibubapa dan para pemain yang memenangi kejohanan Edugolf JPWPL

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Raisin Bin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Encik Raisin Saidin dalam ucapannya berharap pendedahan di peringkat akar umbi ini suatu hari nanti akan dapat melahirkan pemain golf profesional dalam kalangan anak jati Labuan. Hal ini tidak mustahil kerana pulau ini mempunyai dua padang golf yang terbaik di rantau ini iaitu Labuan Golf Club yg terletak di kawasan bandar Labuan. Satu lagi ialah Labuan International Golf Club yang mempunyai tarikannya yang tersendiri.

Kedua-dua padang golf ini telah mencatat sejarahnya sendiri apabila menjadi medan persaingan pemain-pemain golf peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia pada bulan April 2019.

Menurut Encik Raisin Saidin lagi pertandingan yang dilaksanakan ini juga adalah sebahagian daripada langkah untuk menyediakan pasukan golf Labuan untuk bertanding dalam MSSM Golf Peringkat Kebangsaan tahun 2020.

“ Komitmen dan kesungguhan ibubapa merupakan pemangkin kepada para pemain remaja ini untuk mencipta kejayaan pada masa akan datang ”. Encik Raisin Saidin

Murid-murid yang bertanding dalam kejohanan Edugolf Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan kali ini

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan Labuan Golf Club kerana memberikan kemudahan dan laluan pertandingan ini.

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Polis Labuan, Tuan Muhamad Farid, Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid JPWP Labuan , En. Hasbolah Bin Amit, para ibubapa dan penjaga murid yang mengambil bahagian.




Anugerah Teknologi Pendidikan 2019

Labuan, 21 Nov – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah menganjurkan Anugerah Teknologi Pendidikan 2019 yang berlangsung di Bilik Benua, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) pada 19hb November lalu.

Sebanyak 16 anugerah teknologi pendidikan dan ICT melibatkan kategori sekolah rendah dan menengah telah disampaikan pada majlis tersebut.

Majlis Anugerah Teknologi Pendidikan ini merupakan platform untuk mengiktiraf dan menghargai  pencapaian murid , guru dan sekolah dalam penggunaan teknologi , pelaksanaan inisiatif ICT dan media pendidikan, pelaksanaan program literasi  maklumat, Pusat Sumber Sekolah, pengurusan data dan program pembestarian sekolah.

Majlis kelolaan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) dan Sektor Pengurusan Maklumat (SPMICT) ini telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), KPM, Tuan Haji Shafruddin bin Haji Ali Hussin.

Dalam ucapannya, beliau mengimbau perkembangan teknologi di Malaysia terutamanya dalam mendorong transformasi dalam bilik darjah dan pengurusan pendidikan. Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan berkualiti hari ini seharusnya mampu mengisi keperluan IR4.0.

Kementerian Pendidikan Malaysia akan meneruskan kerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk memperluaskan Digital Maker Hub (DMH), secara perkongsian pintar dan crowd funding, sumbangan agensi dan syarikat serta dengan bantuan daripada institusi pendidikan tinggi.

Tuan Haji Shafruddin, Encik Raisin Saidin bersama warga dan para penerima anugerah dari SMK Labuan

Sementara itu, dalam ucapan aluan, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin berkata kemudahan ICT di Labuan agak baik berbanding dengan negeri lain terutama di sekolah-sekolah yang jauh di pedalaman atau pulau kecil yang lain.

Justeru, warga pendidik seharusnya bersyukur dengan keadaan ini dan berusaha bersungguh-sungguh meletakkan Labuan di tempat yang wajar, khususnya dalam pembelajaran berasaskan ICT.

Tidak mustahil kita di Labuan, boleh menjalankan rintis “homeschooling” dan “eLearning” bagi murid-murid yang tidak dapat hadir ke sekolah atas sebab munasabah tetapi dapat belajar seperti biasa, tidak berlaku defisit pembelajaran dalam kalangan murid di pulau ceria ini. Encik Raisin Saidin

Turut hadir di majlis ini ialah Ketua Penolong Pengarah SSTP, Encik Ag Marten bin Haji Abdul Rahman, Pegawai Teknologi Maklumat, SPMICT, Encik Mohd Nazrien bin Abdul Rahman, para Pengetua dan Guru Besar, Guru Penyelaras Bestari/ICT, Guru Perpustakaan dan Media, Guru Data dan Maklumat.

Tuan Haji Shafruddin, Encik Raisin Saidin dan tetamu VVIP bersama pasukan tarian Antap Budaya SMK Pantai



Meningkatkan Kemahiran Bahasa Inggeris Melalui ‘Pyjamas Party’

Labuan, 21 NovSATU program bagi memperkasakan
kemahiran Bahasa Inggeris di kalangan murid-murid Tahun 3 di sekolah rendah di
Labuan telah dilaksanakan di Isro Group Homestay. Program ini telah dianjurkan
oleh Unit Bahasa Inggeris, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan W.P.Labuan
yang melibatkan 35 orang murid dan 17 orang guru dari 17 buah sekolah rendah di
Labuan.

Program yang bertemakan ‘Pyjamas
Party’ ini, bertujuan untuk membantu murid – murid di Tahun 3 yang berada di
Tahap A1 (High) untuk mencapai sekurang-kurangnya Tahap A2 (Low) bagi 4
kemahiran iaitu ‘listening’, ‘speaking’, ‘reading’ dan ‘writing’ berdasarkan
skala CEFR. CEFR merupakan ringkasan bagi ‘The Common European Framework of Reference
for Languages’. CEFR ini ialah skala Eropah yang direka khas untuk
menggambarkan tahap kecekapan dan penguasaan mendengar, bertutur, membaca dan
menulis murid-murid di dalam Bahasa Inggeris.

‘CEFR Pajamas Party’ ini telah dilaksanakan secara aktiviti berkumpulan. Murid-murid memakai baju tidur dan diberikan sebiji bantal. Bantal-bantal ini mempunyai cetakan ‘grammar’ yang membantu murid-murid berkomunikasi dan menulis ayat mudah yang sesuai dengan aras A2 (Low) dengan betul. Antara ‘grammar’ yang dilampirkan di atas bantal berkenaan ialah ‘singular & plural present & past tense for ‘verb to be’, ‘to have’ & ‘to do’.

Murid-murid melaksanakan aktiviti dengan bimbingan guru.
Murid-murid berkomunikasi sesama rakan dengan menggunakan Bahasa Inggeris.