Guru, Obor Hemah Menyinar Pertiwi

Labuan – Lebih 1,200 golongan pendidik di Labuan diraikan dalam majlis Sambutan Hari Guru 2019 yang bertemakan “Guru, obor hemah menyinari pertiwi” yang berlangsung di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan, sabtu lalu.

Majlis telah disempurnakan oleh Dato’ Sri Haji Amir Bin Haji Hussien, Pengerusi Perbadanan Labuan.

Dato Sri Amir Hj Hussin berkata dengan tema sambutan hari guru pada tahun ini Guru Obor Hemah Menyinari Pertiwi amat signifikan dalam membina kerangka negara yang bertamadun.

Tambah beliau objektif membangunkan modal insan yang holistik dapat direalisasikan dengan kelangsungan pelan pembangunan pendidikan malaysia 2013-2025.

Beliau berharap dengan pelan pendidikan itu berupaya membina sebuah negara melalui sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan menzahirkan ucapan Terima Kasih Cikgu di atas pengorbanan dan dedikasi yang ditunjukkan dalam mendidik anak bangsa untuk mencapai kejayaan dengan penuh cabaran.

Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua guru yang telah berjaya membawa nama Labuan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Apa pun kejayaan yang dikecapi oleh guru, sebenarnya hala tuju akhirnya perlu dibalas dengan kemenjadian dan peningkatan kualiti anak-anak murid kita”. Encik Raisin Saidin

Ikrar Hari Guru Oleh Guru-Guru Sekolah Kebangsaan Bebuloh

Mantan Guru Besar SK Pantai, Cikgu Jumat Latip telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Peringkat WP Labuan Tahun 2019.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan koir hari guru oleh SK Pantai yang sungguh menarik perhatian ramai, selain anugerah anak guru cemerlang, deklamasi puisi, gimik dan multimedia hari guru 2019.

Jabatan Pendidikan menzahirkan setinggi penghargaan terima kasih kepada Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam di atas sumbangan yang cukup bermakna kepada tokoh guru dan guru inovatif 2019.

Turut hadir dalam majlis tersebut Tuan Haji Zaidi Yazid Pengarah Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Ketua-Ketua Sektor, para Pengetua, Guru Besar, PIBG, PIBK, agensi kerajaan dan agensi swasta, Pegawai Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Islam.

Setinggi penghargaaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Persatuan Pesara Guru Labuan yang turut hadir memeriahkan majlis Sambutan Hari Guru 2019.

Encik Jumat Latip bersama Persatuan Pesara Guru Labuan
Guru-guru ceria menunjukkan kreativiti dengan menzahirkan Selamat Hari Guru dengan menggunakan telefon bimbit
Warga SK Pantai Johan penampilan Hari Guru 2019 bersama tokoh guru 2019
Encik Raisin Saidin menyampaikan Anugerah Anak Guru Cemerlang kepada anak beliau sendiri
Gambar kenangan Guru Besar bersama Dato’ Sri Haji Amir



Pelancaran Gerakan Massa : Terima Kasih Cikgu

Labuan 22 April : Majlis Pelancaran Gerakan Massa, Terima Kasih Cikgu Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan sempena Sambutan Hari Guru 2019 telah diadakan di pentas terbuka Dataran Anggerik, Ujana Kewangan pada Jumaat lepas yang telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Saidin.

16 Mei disambut bagi tujuan mengenang jasa bakti dan pengorbanan para guru dalam mencurahkan ilmu dan kesungguhan memberi tunjuk ajar mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa, dan negara.

Program Gerakan Massa, Terima Kasih Cikgu ini merupakan pra pelancaran kepada sambutan Hari Guru 2019 dan sambutan tahun ini cukup bermakna kerana ia juga diusahakan bersama persatuan ibu bapa dan komuniti (PIBK). Ini menunjukkan bahawa pendidikan adalah milik semua dan tanggungjawab semua.

Semasa ucapan perasmian, Encik Raisin Saidin berkata beliau amat bersyukur dan berterima kasih atas sokongan padu yang diberikan oleh semua warga pendidik, termasuk PIBK terhadap usaha dan inisiatif dalam memartabatkan pendidikan negara.

Guru memikul satu tanggungjawab yang besar dalam memupuk perpaduan serta mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatan negara melalui sistem pendidikan. Encik Raisin Saidin

Konvoi Terima Kasih Cikgu dengan menggunakan motorsikal berkuasa tinggi oleh PIBK Labuan

Sungguhpun jasa dan bakti guru sukar untuk dibalas, namun sebagai imbalan yang wajar kepada jasa-jasa guru, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada usaha untuk memartabatkan profesion keguruan.

Dalam konteks ini, pelbagai anugerah dan penghargaan dalam perkhidmatan telah dirangka oleh pihak Kementerian untuk mempertingkatkan profesionalisme keguruan termasuklah mempromosi kejayaan guru di dalam dan di luar negara.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk memajukan pendidikan di Malaysia melalui pembudayaan amalan pendidikan yang berteraskan kegembiraan, kasih sayang dan saling hormat-menghormati dalam membangunkan sahsiah ke arah kemenjadian murid.

“Program Ziarah Cakna misalnya cukup bermakna kerana ia memperkukuh hubungan antara sekolah dengan ibu bapa melalui amalan ziarah guru ke rumah murid untuk bertanya khabar ibu bapa mahupun penjaga” Encik Raisin Saidin.

Program Ziarah Cakna Perluas Konsep Sekolah Penyayang

Gabungan Jabatan, Sekolah, PIBG, PIBK dan Tadika Swasta dalam menjayakan Gerakan Massa, Terima Kasih Cikgu 2019



APC 2018 JPWPL : Perkhidmatan Cemerlang, Integriti Dijulang

Labuan, 17 April :  Seramai 118 orang dari ibu pejabat dan sekolah di wilayah ini telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018, peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan di Dewan SJK(C) Chung Hwa Labuan, pada selasa lalu.

Majlis ini diadakan setiap tahun, untuk menghargai dan mengiktiraf pegawai-pegawai KPM yang telah memberi perkhidmatan cemerlang berdasarkan prestasi tahunan dalam melunaskan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

APC 2018 telah disampaikan sendiri oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin.

Beliau menzahirkan ucapan syabas, tahniah dan terima kasih atas kecemerlangan yang ditunjukkan, hasil daripada kerja keras, ketekunan dan kecekalan dalam menjalankan tugas kepada semua penerima APC 2018.

Dalam ucapan beliau, majlis penganugerahan ini berupaya untuk membentuk sinergi padu dan berterusan dalam usaha untuk terus membangunkan artikulasi pendidikan bagi melahirkan insan terdidik.

“Saya menyeru agar kita membulatkan azam, tekadkan semangat dan tetap istiqamah dalam melakukan penambahbaikan berterusan bagi memastikan kecemerlangan perkhidmatan awam pada hari-hari yang mendatang”. Encik Raisin Saidin.

Encik Raisin Saidin menyampaikan sijil APC 2018 kepada Tuan Haji Razak

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua warga jabatan dan sekolah yang terus-menerus menyumbangkan khidmat bakti tanpa mengira masa dan tenaga dalam mempertingkatkan prestasi jabatan.

Tema APC Tahun 2018 ialah “Perkhidmatan Cemerlang, Integriti Dijulang”, bertepatan dengan salah satu fokus negara untuk memastikan integriti dan elemen pencegahan rasuah menjadi tunjang kepada tadbir urus.

Sekalung tahniah dan terima kasih kepada barisan urus setia serta semua pihak yang telah menjayakan APC 2018.




Perhimpunan Bulanan JPWPL, April 2019 : PBPPP, Pemangkin Kecemerlangan Guru

Labuan, 17 April : Perhimpunan Bulanan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bagi bulan April telah diadakan kelmarin, bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin dalam ucapan amanatnya berkata Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP) merupakan suatu penilaian berdasarkan konsep Tugas dan Tempat Bertugas berdasarkan standard prestasi yang telah ditetapkan selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP 2.0) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 –2025.

Beliau berkata proses penilaian guru bermula dengan keprihatinan dan kesungguhan. Penilaian perlu dinilai dengan tepat dan professional bagi mengenalpasti kompetensi dan potensi pegawai yang dinilai agar membolehkan pembangunan profesionalisme berterusan dilaksanakan.

“Menilai kompetensi dan potensi guru secara individu, bukan bertujuan untuk menghukum, perlu ada unsur coaching mentoring, termasuk mewujudkan interaksi dan bersemuka semasa penilaian dilaksanakan”. Encik Raisin Saidin.

Terdahulu, majlis pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan 2019 telah dilancarkan oleh Encik Raisin Saidin. Taklimat dekad membaca telah disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah BTPN Labuan, Encik Ag. Marten bin Datuk Hj Abdul Rahman .

Encik Raisin Saidin melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan 2019, peringkat WP Labuan sambil diperhatikan oleh Encik Ag. Marten dan Puan Maimoon

Kementerian Pendidikan berhasrat untuk menjadikan tempoh masa 10 tahun iaitu dari tahun 2021 sehingga 2030 sebagai Dekad Membaca Kebangsaan dan ia sebahagian usaha ke arah menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang 2030.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian sijil anugerah kepada sekolah, sijil kenaikan pangkat, sijil persaraan, staff of the month, sambutan hari lahir dan sijil anugerah khas pengarah.

Anugerah Khas Pengarah bagi bulan April telah diberikan kepada Encik Samsul Mandisin,  Ketua Unit Pusat Kokurikulum dan Encik Awang Zain bin Awang Anak, Ketua Unit Sukan di atas kecemerlangan di atas kecemerlangan Penganjuran Kejohanan Golf MSSM 2019 Peringkat Kebangsaan.

Cikgu Angeline Leong dari Sekolah Kebangsaan Kerupang telah dinobatkan sebagai Adiwira Guru PAK21 Labuan bagi bulan April 2019.

Encik Awang Zain menerima Anugerah Khas Pengarah
Adiwirah Guru PAK21, bulan April 2019 : Cikgu Angelin Leong
Encik Benry Betty menerima sijil Staff of the Month daripada pengarah



Karnival Hari Guru PBD 2019 Disambut Meriah

Labuan, 15 April : Hasil kerjasama pelbagai pihak telah melakar sejarah penganjuran Karnival Hari Guru PBD Tahun 2019. Sokongan Sektor, Sekolah, PIBG, PIBK dan Agensi Swasta menjadikan sambutan tahun ini begitu bermakna.

Dengan bertemakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), karnival ini telah disambut dengan meriah dan berjaya menarik lebih kurang 2000 pengunjung termasuk guru, ibu bapa dan murid-murid.

Karnival Hari Guru PBD 2019 ini berlangsung di perkarangan
Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri dan Sekolah Menengah Kebangsaan
Rancha-Rancha seawal jam 7.30 pagi dan berakhir 5 petang.

Antara acara utama sepanjang karnival ialah perkongsian amalan terbaik berkaitan PBD, simulasi PBD dalam PdP, e-Pentaksiran PBD, pameran Inovasi PBD dan Kupi-kupi Haei Gu’u.

Sambutan ibubapa, murid dan guru-guru melebihi jangkaan terhadap pelbagai acara yang disediakan, antaranya amazing race, mini hoki, catur blitz, kuiz online, pancing santai, golf on the go, dart bull, carrom, bowling kelapa, gubahan bunga dan sukaneka.

Pentaksiran Bilik Darjah

Karnival kali ini turut dimeriahkan dengan program sehari bersama kaunselor anda, gerai pameran agensi swasta dan gerai-gerai jualan oleh ahli PIBG dan PIBK.

Menariknya, karnival ini juga telah berlangsung secara live melalui Facebook rasmi Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan
Labuan, Encik Raisin Saidin telah mengunjungi tapak karnival memberi sokongan
dan dorongan kepada pelaksanaan karnival ini.

Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih atas
sokongan semua pihak dalam menjayakan anjakan ke-9 PPPM dalam meningkatkan
kerjasama agensi swasta dan komuniti dalam aktiviti pendidikan.

Beliau turut berharap agar tema hari guru tahun ini iaitu
Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi dapat diterjemah dalam pelbagai bentuk tindakan
disemua peringkat.

Pelibatan pelbagai pihak dalam karnival kali ini telah berjaya menimbulkan kesedaran terhadap peri penting sokongan dan kerjasama semua pihak dalam bidang pendidikan terutamanya ke arah menzahirkan slogan Labuan Cemerlang, Guru Sayang Muridnya, Kecemerlangan dan Kemenjadian Murid Labuan Bermula Di sini.

Berita Oleh : Cikgu Mohd Nizam Yassim

Encik Raisin Saidin (tengah) dan Puan Maimoon (kiri) bersama guru-guru dalam Pameran Inovasi PBD
Sukankeka Hari Guru 2019
Pertandingan Bowling Kelapa
Pertandingan Catur Blitz



Selangor ‘tebas’ Kejohanan Golf MSSM 2019

Labuan, 11 April :   Selangor muncul juara keseluruhan Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2019 dengan mengumpul 400 mata daripada 12 acara individu dan berpasukan bagi ketiga-tiga kategori umur bawah 12, 15 dan 18 tahun.

Selangor mengungguli dan muncul juara bagi acara Berpasukan Lelaki (Bawah 12), Berpasukan Perempuan (Bawah 15), Berpasukan Perempuan (Bawah 12), Individu Lelaki (Bawah 18) dan Individu Lelaki (Bawah 12).

Selangor juga memperoleh naib juara bagi kategori Individu (Lelaki B15), selain meraih tempat ketiga bagi acara Individu (Lelaki B12), Individu (Perempuan B15) dan Individu (Perempuan B12).

Naib juara keseluruhan menjadi milik Sarawak yang beroleh 262 mata dengan pencapaian terbaiknya ialah muncul juara Individu Lelaki B15, Berpasukan Lelaki B15, selain meraih tempat ketiga acara Berpasukan Lelaki B12 dan Berpasukan Perempuan B15.

Kontinjen Sarawak : Naib Johan Keseluruhan Golf MSSM 2019

Kedah di tempat ketiga dengan mengutip 228 mata selepas menjuarai Berpasukan Perempuan B18, naib juara Berpasukan Perempuan B15, dan tempat ketiga Berpasukan Lelaki B18.

Acara yang berlangsung di Kelab Golf Antarbangsa Labuan dan Kelab Golf Labuan bermula 8 April hingga 10 April 2019 berjalan lancar dan teratur dengan cuaca yang baik sepanjang kejohanan.

Majlis Perasmian Penutupan telah berlangsung di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, Labuan hari ini yang telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Haji Amir Bin Haji Hussien, Pengerusi Perbadanan Labuan.

Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia kerana telah memberi peluang kepada Wilayah Persekutuan Labuan menjadi tuan rumah Kejohanan Golf MSSM 2019 yang julung kalinya diadakan di Labuan.

Kedah : Tempat Ketiga Keseluruhan Golf MSSM 2019

Sementara itu, dalam ucapan aluan, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin berkata kejohanan Golf ini merupakan medan mencungkil bakat baharu dan ruang untuk memilih wakil-wakil negara dalam golf di peringkat antarabangsa.

“Besarlah harapan saya agar kejohanan golf ini dapat menampilkan golfers yang gah samada kejohanan tempatan mahupun antarabangsa pada masa hadapan”. Encik Raisin Saidin

Atlet yang telah menjuarai kategori L18 ialah Marcus Lim Pang Chuen dari kontinjen Selangor. Manakala P18 dimenangi oleh Ng Yu Xuan yang mewakili Negeri Sembilan.

Ini diikuti oleh juara kategori L15, Anson Yeo Boon Xiang dari kontinjen Sarawak. Juara kategori P15 pula ialah Ashley Chin Yen Ling yang berasal dari negeri Pulau Pinang.

Kontinjen Selangor sekali lagi menjuarai acara individu kategori L12 iaitu adik Muhd Ajmal Amin M. Fajri.

Usaha Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang tidak berputus asa, akhirnya berjaya dijelmakan dengan kejuaraan oleh adik Wang Xin Yao yang bertanding dalam kategori P12.

Syabas dan Tahniah kepada semua pihak yang berjaya menjayakan Kejohanan Golf MSSM 2019 ini dengan penuh gemilang.

Satu Murid Satu Sukan, Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan !

Buletin kejohanan boleh didapati melalui pautan ini (klik disini)

Juara Individu P18, Ng Yu Xuan (kiri) dari Negeri Sembilan dan Juara Individu L18 (dua dari kanan) dari Selangor bersama tetamu VIP.
Encik Raisin Saidin (tengah) dan Encik Hasbollah (kanan) bersama para Golfers yang bertanding dalam Kejohanan Golf MSSM 2019



Cikgu Louis Pulong Galas Cabaran Pertandingan Video Pendek PAK21 Peringkat Kebangsaan

Penyertaan penulisan esei dan video pendek tentang Pembelajaran Abad Ke-21(PAK21) mata pelajaran Sejarah Tahun 4 bertajuk Zaman Prasejarah telah memberi tuah kepada Cikgu Louis Pulong dari SK Kerupang kerana terpilih menduduki 10 senarai teratas peringkat kebangsaan.

Susulan itu, pihak Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) telah berkunjung ke SK Kerupang untuk membuat penggambaran penuh sesi PdPc bagi menghasilkan video dokumentari yang akan dikongsikan sebagai inspirasi kepada guru-guru di seluruh Malaysia.

Video tersebut juga akan dinilai bagi menentukan pemenang pertandingan PAK21 ini.

Selain itu video tersebut akan turut ditayangkan semasa majlis penutupan kempen PAK21 yang dijangka akan diadakan pada April nanti.

Sesi penggambaran pada 18 Mac lalu dilakukan oleh 13 krew profesional dari syarikat World Communications Network Resources yang telah dilantik oleh PADU.

Penggambaran melibatkan 35 murid yang dibimbing oleh Cikgu Louis. Sesi penggambaran telah berjalan lancar bermula jam 8.30 pagi sehingga 4.00 petang.

Antara aktiviti menarik semasa sesi penggambaran PdPc tersebut ialah simulasi ekskavasi arkeologi untuk mendapatkan bukti tinggalan sejarah bagi empat zaman masyarakat prasejarah.

Tapak ekskavasi telah direka khas oleh Cikgu Louis. Tinggalan sejarah bagi setiap zaman ditanam menggunakan warna tanah yang berbeza bagi memudahkan murid membuat perbandingan zaman kewujudan tinggalan  masyarakat prasejarah. Tapak ini telah bertindak sebagai sebahagian dari Bahan  Bantu Belajar (BBB) bagi memudahkan proses PdPc yang melibatkan simulasi kaedah arkeologi itu.

Cikgu Louis telah berjaya menerapkan elemen komunikasi, kolaborasi, kreativiti, pemikiran kritis serta nilai dan etika dalam aktiviti sepanjang penggambaran tersebut sesuai dengan saranan PAK-21. Murid-murid juga telah menunjukkan sifat ingin tahu dan keberanian yang tinggi.

Ini menjadi bukti bahawa pelaksanaan PdP yang terancang dan tersusun oleh Cikgu Louis berjaya menarik minat murid untuk mempelajari mata pelajaran Sejarah.

Di akhir sesi penggambaran, Cikgu Louis mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas kerjasama yang diberikan bagi menjayakan penggambaran pada hari tersebut. Tambahnya lagi, kejayaan terpilih antara 10 terbaik peringkat kebangsaan bukan mudah dan amat bermakna baginya pada usia perkhidmatan yang baru mencecah 1 tahun.

Pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL)  berharap agar Cikgu Louis Pulong akan berjaya dalam pertandingan ini dan mengharumkan nama Wilayah Persekutuan Labuan di peringkat yang lebih tinggi.

Berita Oleh : Cikgu Mohd Nizam Yasim

Penggambaran video pendek turut melibatkan murid-murid Sekolah Kebangsaan Kerupang



Kejohanan Majlis Sukan Sekolah WP Labuan Melabuhkan Tirainya Dengan Penuh Dramatik

Labuan, 24 Mac : Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan melabuhkan tirainya Jumaat lepas dengan penuh dramatik.

Kedudukan untuk menentukan juara keseluruhan bagi kategori sekolah menengah cukup sengit, dengan acara terakhir kejohanan menjadi penentu kemenangan.

Akhirnya dengan catatan rekod baharu kejohanan 3 minit 37.65 saat oleh atlet 4 x 400 Lelaki 18 Tahun, SMK Pantai sekali lagi muncul sebagai juara, disambut dengan kegembiraan dan tangisan para atlet, mahupun jurulatih.

SMK Pantai merangkul 17 pingat emas, 8 perak dan 14 gangsa, hanya dibezakan 1 pingat emas dengan SMK Mutiara yang meraih 16 pingat emas, 10 perak dan 7 gangsa.

Persaingan yang cukup sengit ini mengulangi skrip catatan pungutan pingat emas kejohanan tahun lalu, dengan SMK Pantai juga merangkul 17 emas dan SMK Mutiara meraih 16 emas. Klik sini untuk berita MSSWPL 2018

SMK Labuan kekal di tempat ketiga dengan 11 pingat emas, 9 perak dan 10 gangsa tetapi memperbaiki pungutan emas berbanding 8 emas yang dicipta pada tahun 2018.

Saingan sengit bagi kategori Sekolah Rendah juga tidak kurang hebatnya.

Dengan pungutan pingat yang sama iaitu 3 pingat emas, 2 perak dan 2 gangsa, akhirnya SKK SK Rancha-Rancha dan SK Lubok Temiang diistihar sebagai johan bersama, satu lagi tinta sejarah dalam kejohanan MSS WPL kali ini.

Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan kejohanan Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan 2019. Sesungguhnya “Anda Semua Adalah Juara”.

Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Pengerusi Perbadanan Labuan,
Dato’ Sri Haji Amir Bin Hussien.

Dipetik dari Buletin MSSWPL 2019 : Sekalung Tahniah kepada Petugas Buletin SK Bukit Kalam
Klik Sini untuk Buletin Penuh



SPA Menyuntik Semangat Guru-guru Baharu Sekolah Menengah

Seramai 11 guru yang baharu ditempatkan di sekolah-sekolah menengah di Labuan telah mengikuti kursus orientasi selama 2 hari mulai 14 dan 15 Mac 2019 di Bilik Dataran.

Kursus ini dianjurkan oleh Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketua Sektor Pengurusan Akademik (SPA), Encik Yusup bin Mohamad telah mengetuai pegawai SPA dalam pengisian slot selama 3 jam mulai jam 2pm hingga 5pm pada 14 Mac 2019.

Semasa menerang fungsi Sektor Pengurusan Akademik, Encik Yusup turut menyatakan hasrat dan harapan yang tinggi pihak jabatan kepada guru-guru generasi baharu untuk terus mendokong semangat LABUAN HEBAT: Guru Sayang Muridnya.

Guru-guru juga harus peka terhadap tuntutan perubahan sistem pendidikan negara serta fokus dan gerak kerja KPPM seperti yang terkandung di dalam Naratif Baharu Amalan Pendidikan.

Ketua Unit Bahasa, SPA, Puan Amiah Buah juga berkesempatan untuk menerangkan kepada guru baharu mengenai kaedah menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang betul.

Puan Amiah sedang menerangkan kaedah penyediaan RPH yang betul.

Selain itu, antara perkara yang telah diberi penekanan dalam kursus tersebut ialah berkaitan SKPMg2, KBAT dan PAK21.

Sepanjang kursus tersebut, para guru baharu terlibat secara aktif, bersemangat dan memberi respons yang sangat positif.

Di akhir kursus, Encik Yusup berbesar hati menyampaikan cenderahati kepada 5 guru baharu yang bertuah berbentuk sebuah buku Pembelajaran Abad ke-21 sebagai satu suntikan semangat untuk guru-guru baharu untuk terus mendalami konsep 4C1V dalam amalan PdPc masing-masing.

Berita Oleh : Cikgu Mohd Nizam Yasim, SPA

Encik Yusup menyampaikan cenderamata kepada guru baharu yang bertuah



Kejohanan MSSWPL 2019 Membuka Tirainya

Labuan, 19 Mac : Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) 2019 membuka tirainya secara rasmi hari ini.

Majlis pembukaan telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin bin Saidin, di Kompleks Sukan Labuan.

Pada hari pertama kejohanan, kelmarin 18hb Mac, tiga rekod kejohanan telah dipecahkan.

Nazerra Anak Jerah dari SM St Anthony telah berjaya mempertahankan emas dan memperbaharui rekod sendiri dengan catatan baharu 28.06 meter (rekod lama 27.09) dalam acara Merejam Lembing Perempuan Bawah 18 Tahun.

Md Alias Muhammad Junaidi dari SMK Labuan telah berjaya memecahkan rekod kejohanan 1500 meter Lelaki Bawah 18 Tahun Akhir dengan catatan baharu iaitu 4m:37:25s.

Mohd Norhakimin bin Noor Ashikan, SMK Labuan juga memperbaharui rekod sendiri dalam acara dengan lompatan 13.32 meter mengatasi rekod lama 13.02 meter yang diciptanya tahun 2018.

Separuh Akhir Acara 100 meter Lelaki

Setakat jam 4 petang hari ini 19 Mac 2019, sebanyak 5 lagi rekod kejohanan MSSWPL 2019 telah dipecahkan.

  1. Adam bin Kitli, SMK Labuan, 400 M Lari Berpagar Lelaki 18 Tahun Akhir – 58.84 s
  2. Valendra Anting, SM Sains Labuan, 200 M Lari Berpagar Perempuan 15 Tahun Akhir – 32.18 s.
  3. Aizul bin Husin, SSN SMK Mutiara, 200 M Lari Berpagar Lelaki 15 Tahun Akhir – 25.84 s.
  4. Nur Athirah Aliah bt Ali Omar, SMK Pantai IBWS, Lempar Cakera Perempuan 18 Tahun Akhir – 27.41 m.
  5. Ricci Ryan Robin, SKK SK St Anne, Lompat Tinggi Lelaki 12 Tahun Akhir – 1.51 m.

Pengerusi Bersama Pn Dona Binti Undoh (Pengetua SM St. Anthony) dan En. Rosli Bin Mohd Ali (Guru Besar SK Bukit Kallam) mengharapkan agar kejohanan olahraga MSSWPL kali ke-19 ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan mendapat sambutan yang meriah.

Pada tahun ini, Sekolah Menengah St. Anthony bersama Sekolah Kebangsaan Bukit Kalam adalah merupakan pengelola bersama.

Selamat bertugas kepada semua Ahli Jawatankuasa Pelaksana Kejohanan MSSWPL 2019.

Kalau bukan kitani, siapa lagi? Ayuh ! sama-sama kita gegarkan dan meriahkan Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan di Kompleks Sukan, Labuan bermula 18hb Mac sehingga 22hb Mac (penutup Kejohanan hari Jumaat sebelah pagi ).

Warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengalu-alukan kedatangan anda ke Kejohanan MSSWPL 2019 ( 18 Mac – 22 Mac )