Jasamu Dikenang : Terima Kasih Cikgu Omar, Terima Kasih Cikgu Sahar

Labuan : Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Labuan telah mengadakan Majlis Jamuan bagi meraikan persaraan 2 orang Pengetua iaitu Cikgu Omar Baki Matusin (SMK Rancha-Rancha) dan Cikgu Sahar Misron (SMK Pantai), baru-baru ini di salah sebuah hotel di Labuan.

Cikgu Omar Baki memulakan kerjaya sebagai seorang pendidik bermula dengan menjadi guru sandaran di SMK Kuala Penyu pada tahun 1987.

Setelah menerima Diploma Pendidikan UKM, beliau telah ditugaskan di Pulau Labuan iaitu di Sekolah Berasrama Penuh Labuan pada tahun 1990 dan berkhidmat selama 5 tahun.

Beliau kemudiannya berpindah ke Sabah pada tahun 1995, di SMK Majakir, Papar dan memegang jawatan sebagai Penyelia Petang serta Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

Pada tahun 2000, beliau berpatah balik semula ke Pulau Labuan, dinaikkan pangkat sebagai Pengetua yang pertama, di SMK Taman Perumahan Bedaun.

Perjalanan karier beliau terus berkembang sehingga dilantik sebagai Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan WP Labuan pada tahun 2001 sehingga 2013.

Seterusnya, pada tahun 2013, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat dan dilantik sebagai Pengetua dan juga merupakan pengetua yang pertama, di SMK Rancha-Rancha sehinggalah beliau bersara wajib pada tahun ini di usia 60 tahun.

Cikgu Omar Baki mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Ekonomi.

Anak kelahiran Menumbok sabah ini, berkahwin dengan Puan Norismah Ab Moin (mantan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan WP Labuan ) dan dikurniakan 3 orang cahaya mata.

Cikgu Omar Baki menerima Sijil Penghargaan daripada Encik Raisin Saidin
Cikgu Omar Baki dan Isteri bersama Cikgu Sawal

Pengetua SMK Pantai IB World School, Cikgu Sahar Misron bersara wajib 60 tahun pada 3 Mei lalu selepas menabur bakti dalam perkhidmatan awam selama 38 tahun.

Beliau mula bertugas di Wilayah Persekutuan Labuan sejak tahun 2003 hingga 2019.

Cikgu Sahar memulakan kerjaya sebagai guru di SJKC Kemayan, Pahang pada tahun 1981 hingga 1983, kemudian berpindah tugas di SJKC Maran, Pahang tahun 1984 dan SJKC Chung Ching, Kuantan, Pahang pada tahun 1985 sehingga 1987.

Seterusnya beliau ditawarkan berkhidmat di Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia di Pesiaran Duta, Kuala Lumpur tahun 1987 sehingga tahun 2000.

Beliau kembali bertugas di sekolah setelah memperoleh Sijil Kelayakan Kepengetuaan Kebangsaan pada tahun 2001.

Beliau bertugas di SMK Yaacob Latiff, Jalan Peel, Kuala Lumpur pada tahun 2000 sebagai Ketua Bidang Kemanusiaan untuk tempoh lima bulan, sebelum dilantk menjadi ‘caretaker’ sekolah baharu di Sekolah Menengah Setapak Indah pada tahun 2001-2003.

Penghujung tahun 2003, Cikgu Sahar berhijrah ke Pulau Labuan dan menjadi guru Geografi dan Bahasa Melayu di SMK Pantai.

Setelah itu karier beliau diteruskan dengan menjawat sebagai sebagai Ketua Unit Perkhidmatan dan Ketua Sektor Perkhidmatan Pelajaran di Jabatan Pelajaran WP Labuan pada tahun 2005 sehingga tahun 2006.

Beliau menjadi pengetua SMK Lajau yang ketiga selepas Haji Mohammad Abu Bakar dan Abidin Marjan pada tahun 2006.

Bertukar ke Sekolah Sukan Negeri SMK Mutiara tahun 2011 sehingga tahun 2012, sebelum kembali bertugas menerajui SMK Lajau mulai 16 Januari 2012.

Selepas itu beliau bertugas di SMK Pantai sebagai Pengetua Cemerlang mulai 16 April 2012 sehinggalah bersara wajib pada 2 Mei 2019.

Sepanjang 16 tahun berkhidmat di Labuan, Cikgu Sahar aktif dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jasa dan pengorbanan Cikgu Omar Baki Matusin dan Cikgu Sahar Misron dalam dunia pendidikan. Selamat Bersara dan Terima Kasih Cikgu.

Gambar kenangan Cikgu Sahar dan Cikgu Omar bersama warga Pendidikan Labuan



Lawatan Penanda Aras SK Kg Keningau ke SK Sg Bedaun, Tambah baik Pelaksanaan Program Transformasi Sekolah

Labuan – Seramai 30 orang guru Sekolah Kebangsaan Kampung Keningau (SKKK), Sabah telah mengadakan kunjungan Penanda Aras ke Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) pada 25 April lalu.

Menurut
Dg Sarifah Binti A. Mahmod, Guru Besar SKSB, lawatan penandaarasan pada kali
ini adalah berfokus kepada Program Sekolah Transformasi (TS) serta berkongsi
amalan terbaik dalam pelaksanaan program TS kedua-dua buah sekolah. SKSB
merupakan sekolah transformasi kohort 2.0 
manakala SKKK pula kohort 1.0.

Katanya,
lawatan ini adalah untuk perkongsian pintar, sebagai penanda aras dan perolehan
input-input yang berguna yang boleh dijadikan panduan dan rujukan kepada kedua-dua
buah sekolah.

“Guru-guru
dapat mengenal pasti kekuatan sumber, anggota organisasi yang sedia ada serta
menjalin silaturrahim dan bertukar-tukar idea dalam usaha meningkatkan
pencapaian akademik, ko kurikulum, peningkatan sahsiah dan pengurusan yang
berkaitan untuk disesuaikan dengan persekitaran dan murid yang sedia ada.
Malahan melalui perkongsian idea ini, diharapkan dapat membantu kedua-dua buah
sekolah mencapai kecemerlangan dan kemenjadian murid.” katanya.

Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti. TS25 adalah satu usaha kearah melahirkan modal insan unggul melalui persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan, kepimpinan yang berkualiti, guru yang kompeten dan beraspirasi tinggi dan komitmen komuniti yang padu.

Ketibaan rombongan tersebut yang diketuai oleh Puan Lea @ Leah Lewas, guru besar Sk Kg Keningau telah disambut dengan paluan kompang daripada murid-murid tahun 3 hingga tahun 6. Mereka turut melihat persembahan kulintangan yang dimainkan oleh murid-murid tahun 5 dan 6 di Geleri Permata yang merupakan antara kebitaraan di SKSB. Kumpulan kulintangan dan kompang ini telah dilatih oleh ibubapa yang merupakan anggota Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK).

Murid-murid sedang memainkan kulintangan bagi mengalu-alukan kehadiran ahli rombongan daripada SK Kg Keningau.

Sesi lawatan di SKSB turut meninjau Bilik Gerakan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), 3 buah kelas Pra sekolah iaitu Kelas Pra Baiduri, Pra Delima dan Pra Mutiara, Galeri Permata dan Taman Herba yang merupakan projek kolaboratif di antara Panitia Bahasa Inggeris dan PIBK di bawah Program Imersif Tinggi (HIP). HIP diperkenalkan untuk meningkatkan penguasaaan bahasa inggeris dalam kalangan murid-murid melalui program atau aktiviti di dalam dan di luar kelas.

Turut menjadi tarikan di SKSB ialah Sudut STEM iaitu Program Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM). Pelbagai hasil kerja murid dan info berkaitan STEM dipamerkan. SKSB telah dipilih untuk menjadi sekolah rintis Pendidikan STEM peringkat Wilayah Persekutuan Labuan. Pendidikan STEM merupakan konsep berpandukan komponen 4C atau 4K iaitu komunikasi, kerjasama, kreativiti dan pemikiran kritikal seperti yang terkandung di dalam pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) serta kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). 

Rombongan SKKK melawat Taman Herba yang dibangunkan oleh murid-murid dengan bimbingan guru.
Ahli rombongan mengabdikan gambar kenangan di anjung Galeri Permata.

Dalam sesi lawatan tersebut, turut disampaikan taklimat mengenai Perkongsian Pelaksanaan Program Transformasi Sekolah (TS) dan kejayaan sekolah sepanjang tahun 2018 hingga April 2019. Taklimat tersebut disampaikan oleh Pn Rina @ Farrina Binti Dakim @ Jalaludin, Penolong Kanan Pentadbiran.

Majlis menandatangai memorandum Persefahaman Kolaboratif Startegik di antara kedua-dua SKSB dan SK Kg Keningau turut diadakan di akhir sesi lawatan.   Semoga dengan adanya jalinan ini kedua-dua pihak akan saling berkongsi ilmu dan bertukar pandangan ke arah pemantapan Pengurusan Sekolah dan Pelaksanaan Program TS25 di tempat masing-masing.

Rombongan ini turut
disertai oleh  Puan Zaleha Binti Salleh,
Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah selaku pegawai yang
bertanggung-jawab membimbing Penggerak Ibu bapa dan Komuniti (PIBK) di Jabatan
Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) 
dan Encik Roziman Bin Sabtu, Penolong Pengarah Pusat Ko kurikulum.

Semoga Lawatan Penanda Aras ini mampu memberi lonjakan inspirasi untuk kecemerlangan kedua-dua pihak.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Dg. Sarifah (duduk dari kiri), Lea @ Leah Lewas (duduk dari kanan) menandatangani memorandum Persefahaman Kolaboratif Startegik sambil disaksikan Zaliha Salleh (berdiri-tengah), Roziman (berdiri dua dari kiri) dan barisan penolong kanan SK Kg Keningau.
Dg. Sarifah (duduk empat dari kanan, Lea @ Leah Lewas (duduk empat dari kiri) Zaliha Salleh (duduk tiga dari kanan) Rina Farrina (duduk dua dari kanan), Roziman Sabtu (duduk dari kanan) mengabdikan gambar kenangan bersama ahli rombongan SK Kg Keningau, Sabah.



KPPM : Inovasi Bantu Memudahkan Pembelajaran Murid

Labuan, 27 Apr – ” Inovasi adalah salah satu cara pendekatan yang dapat membantu memudahkan pembelajaran dan perkembangan murid “, demikian ucapan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Amin bin Senin semasa merasmikan Karnival ‘Mai Tah Bainovasi’ WP Labuan Peringkat Kebangsaan 2019 yang berlangsung di ruang legar Ujana Kewangan, Labuan hari ini.

Beliau berkata, guru harus menggunakan cara dan pendekatan berbeza termasuk mencipta inovasi dalam mentansformasikan pendidikan dengan menitikberatkan pembelajaran berorientasikan perkembangan murid, bukan setakat menghabiskan sukatan mata pelajaran semata-mata.

Pendekatan sistem pendidikan sekarang agak berbeza berbanding sebelumnya kerana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menekankan aspek pembinaan watak dan sahsiah murid.

Justeru katanya, guru perlu beralih daripada memfokuskan kecemerlangan keputusan peperiksaan kepada pembelajaran berasaskan perkembangan murid.

Pada tahun ini penyertaan dalam Pertandingan Inovasi Guru (TIC) meningkat, iaitu 115 inovasi berbanding penyertaan 73 inovasi pada tahun 2018.

Pertandingan Inovasi Guru melibatkan peserta dari negeri Sabah, Sarawak, Perak, Selangor, Terengganu, Johor, WP Kuala Lumpur dan WP Labuan sendiri, di mana inovator terdiri daripada guru-guru dan pensyarah-pensyarah IPG, Matrikulasi mahupun Universiti.

Peserta dari Sarawak sedang memberi penerangan ciptaan inovasi mereka kepada Datuk Dr. Amin Senin

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Saidin dalam ucapan aluan berkata karnival ini mampu menjadi medan percambahan ilmu, membina karakter pendidik untuk sentiasa hidup mendidik dengan seronok melalui inovasi dan kreativiti.

Encik Raisin Saidin juga sentiasa mengingatkan semua guru agar memastikan roh guru sentiasa mendarah daging dalam setiap diri guru, yang matlamat akhirnya ialah kemenjadian anak-anak murid Labuan.

Karnival Mai Tah Bainovasi @ Labuan ini mengandungi tiga aktiviti utama iaitu Jom KICK (Kongsi Inovasi, Cerita Kreativiti), Pertandingan Inovasi Guru (TIC- Teachers Innovation Competition) dan Santai Seni BuNT (Bunyi, Nyanyi dan Tari).

Datuk Dr. Amin Senin juga berkesempatan menyampaikan hadiah kepada Ikon Guru, Guru Inovatif dan Guru Adiwira PAK21 sempena sambutan Hari Guru Tahun 2019.

Cikgu Rahman bin Jaafar dari SK Pekan Dua telah dinobatkan sebagai Ikon Guru Sukan, Cikgu Jasmini binti Daud , guru SMK Rancha-Rancha dipilih sebagai Ikon Guru Seni, Manakala Ustaz Abdul Kahar, guru SK Pantai memenangi kategori Ikon Guru Kokurikulum.

Anugerah Kategori Guru Inovatif pula dianugerahkan kepada guru SK Pekan Dua, Cikgu Jesste Valentine Stidi (Kategori Sekolah Rendah), Cikgu Mohd Azlan bin Mohd Rani, guru SMK Labuan (Kategori sekolah Menengah ) dan kategori kumpulan telah dimenangi oleh SMK Taman Perumahan Bedaun yang terdiri dari Cikgu Juraidah Aman, Cikgu Ahmad Fitry Ismail dan Cikgu Gabriel Chin Vui Wen.

Anugerah Guru Inovatif Berkumpulan 2019 : SMK Taman Perumahan Bedaun
Datuk Dr Amin Senin menyampaikan sijil kepada salah seorang Guru Adiwira PAK21, Cikgu Yahya dari SM Sains Labuan

Pada sebelah petang berlangsung majlis penutupan dan penyampaian hadiah yang telah disempurnakan sendiri oleh Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin.

Dalam ucapan penutupan, beliau mengucapkan setinggi penghargaan kepada para inovator kerana sudi berkolaboratif dengan Jabatan Pendidikan WP Labuan untuk menyemarakkan daya kreativiti seterusnya membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dalam bilik darjah kepada murid-murid.

Encik Raisin Saidin menyarankan agar program ini dapat diperluaskan kepada murid-murid. Ini akan menggalakkan pula murid-murid menghasilkan inovasi seterusnya mengongsikan inovasi mereka dengan murid-murid lain. Hal ini akan menjadi pemangkin kepada kemenjadian murid secara menyeluruh.

Inovasi yang telah memenangi Pingat Emas dan Anugerah Platinum ialah Project Introduction Supporting Materials (PRISM) : Transforming Students Perceptions Towards Learning Chemistry, Ketinting SuKa, Islamic Maths Game, Rotactor Gold, Celik Abjad dan Mobile Wudhu.

Karnival ini diterajui oleh Sektor Jaminan Kualiti, yang diketuai oleh Ketua Sektor, Puan Khaziyati Osman.

Encik Raisin Saidin menyampaikan piala kepada pemenang Anugerah Emas dan Platinum
Encik Raisin Saidin menyampaikan piala kepada pemenang Anugerah Emas dan Platinum
Gambar kenangan Datuk Dr Amin Senin, Encik Raisin Saidin, Encik Mohd Idris bersama Ketua-ketua Sektor Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan



Guru, Obor Hemah Menyinar Pertiwi

Labuan – Lebih 1,200 golongan pendidik di Labuan diraikan dalam majlis Sambutan Hari Guru 2019 yang bertemakan “Guru, obor hemah menyinari pertiwi” yang berlangsung di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan, sabtu lalu.

Majlis telah disempurnakan oleh Dato’ Sri Haji Amir Bin Haji Hussien, Pengerusi Perbadanan Labuan.

Dato Sri Amir Hj Hussin berkata dengan tema sambutan hari guru pada tahun ini Guru Obor Hemah Menyinari Pertiwi amat signifikan dalam membina kerangka negara yang bertamadun.

Tambah beliau objektif membangunkan modal insan yang holistik dapat direalisasikan dengan kelangsungan pelan pembangunan pendidikan malaysia 2013-2025.

Beliau berharap dengan pelan pendidikan itu berupaya membina sebuah negara melalui sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan menzahirkan ucapan Terima Kasih Cikgu di atas pengorbanan dan dedikasi yang ditunjukkan dalam mendidik anak bangsa untuk mencapai kejayaan dengan penuh cabaran.

Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua guru yang telah berjaya membawa nama Labuan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Apa pun kejayaan yang dikecapi oleh guru, sebenarnya hala tuju akhirnya perlu dibalas dengan kemenjadian dan peningkatan kualiti anak-anak murid kita”. Encik Raisin Saidin

Ikrar Hari Guru Oleh Guru-Guru Sekolah Kebangsaan Bebuloh

Mantan Guru Besar SK Pantai, Cikgu Jumat Latip telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Peringkat WP Labuan Tahun 2019.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan koir hari guru oleh SK Pantai yang sungguh menarik perhatian ramai, selain anugerah anak guru cemerlang, deklamasi puisi, gimik dan multimedia hari guru 2019.

Jabatan Pendidikan menzahirkan setinggi penghargaan terima kasih kepada Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam di atas sumbangan yang cukup bermakna kepada tokoh guru dan guru inovatif 2019.

Turut hadir dalam majlis tersebut Tuan Haji Zaidi Yazid Pengarah Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Ketua-Ketua Sektor, para Pengetua, Guru Besar, PIBG, PIBK, agensi kerajaan dan agensi swasta, Pegawai Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Islam.

Setinggi penghargaaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Persatuan Pesara Guru Labuan yang turut hadir memeriahkan majlis Sambutan Hari Guru 2019.

Encik Jumat Latip bersama Persatuan Pesara Guru Labuan
Guru-guru ceria menunjukkan kreativiti dengan menzahirkan Selamat Hari Guru dengan menggunakan telefon bimbit
Warga SK Pantai Johan penampilan Hari Guru 2019 bersama tokoh guru 2019
Encik Raisin Saidin menyampaikan Anugerah Anak Guru Cemerlang kepada anak beliau sendiri
Gambar kenangan Guru Besar bersama Dato’ Sri Haji Amir



Pelancaran Gerakan Massa : Terima Kasih Cikgu

Labuan 22 April : Majlis Pelancaran Gerakan Massa, Terima Kasih Cikgu Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan sempena Sambutan Hari Guru 2019 telah diadakan di pentas terbuka Dataran Anggerik, Ujana Kewangan pada Jumaat lepas yang telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Saidin.

16 Mei disambut bagi tujuan mengenang jasa bakti dan pengorbanan para guru dalam mencurahkan ilmu dan kesungguhan memberi tunjuk ajar mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa, dan negara.

Program Gerakan Massa, Terima Kasih Cikgu ini merupakan pra pelancaran kepada sambutan Hari Guru 2019 dan sambutan tahun ini cukup bermakna kerana ia juga diusahakan bersama persatuan ibu bapa dan komuniti (PIBK). Ini menunjukkan bahawa pendidikan adalah milik semua dan tanggungjawab semua.

Semasa ucapan perasmian, Encik Raisin Saidin berkata beliau amat bersyukur dan berterima kasih atas sokongan padu yang diberikan oleh semua warga pendidik, termasuk PIBK terhadap usaha dan inisiatif dalam memartabatkan pendidikan negara.

Guru memikul satu tanggungjawab yang besar dalam memupuk perpaduan serta mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatan negara melalui sistem pendidikan. Encik Raisin Saidin

Konvoi Terima Kasih Cikgu dengan menggunakan motorsikal berkuasa tinggi oleh PIBK Labuan

Sungguhpun jasa dan bakti guru sukar untuk dibalas, namun sebagai imbalan yang wajar kepada jasa-jasa guru, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada usaha untuk memartabatkan profesion keguruan.

Dalam konteks ini, pelbagai anugerah dan penghargaan dalam perkhidmatan telah dirangka oleh pihak Kementerian untuk mempertingkatkan profesionalisme keguruan termasuklah mempromosi kejayaan guru di dalam dan di luar negara.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk memajukan pendidikan di Malaysia melalui pembudayaan amalan pendidikan yang berteraskan kegembiraan, kasih sayang dan saling hormat-menghormati dalam membangunkan sahsiah ke arah kemenjadian murid.

“Program Ziarah Cakna misalnya cukup bermakna kerana ia memperkukuh hubungan antara sekolah dengan ibu bapa melalui amalan ziarah guru ke rumah murid untuk bertanya khabar ibu bapa mahupun penjaga” Encik Raisin Saidin.

Program Ziarah Cakna Perluas Konsep Sekolah Penyayang

Gabungan Jabatan, Sekolah, PIBG, PIBK dan Tadika Swasta dalam menjayakan Gerakan Massa, Terima Kasih Cikgu 2019



APC 2018 JPWPL : Perkhidmatan Cemerlang, Integriti Dijulang

Labuan, 17 April :  Seramai 118 orang dari ibu pejabat dan sekolah di wilayah ini telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018, peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan di Dewan SJK(C) Chung Hwa Labuan, pada selasa lalu.

Majlis ini diadakan setiap tahun, untuk menghargai dan mengiktiraf pegawai-pegawai KPM yang telah memberi perkhidmatan cemerlang berdasarkan prestasi tahunan dalam melunaskan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

APC 2018 telah disampaikan sendiri oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin.

Beliau menzahirkan ucapan syabas, tahniah dan terima kasih atas kecemerlangan yang ditunjukkan, hasil daripada kerja keras, ketekunan dan kecekalan dalam menjalankan tugas kepada semua penerima APC 2018.

Dalam ucapan beliau, majlis penganugerahan ini berupaya untuk membentuk sinergi padu dan berterusan dalam usaha untuk terus membangunkan artikulasi pendidikan bagi melahirkan insan terdidik.

“Saya menyeru agar kita membulatkan azam, tekadkan semangat dan tetap istiqamah dalam melakukan penambahbaikan berterusan bagi memastikan kecemerlangan perkhidmatan awam pada hari-hari yang mendatang”. Encik Raisin Saidin.

Encik Raisin Saidin menyampaikan sijil APC 2018 kepada Tuan Haji Razak

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua warga jabatan dan sekolah yang terus-menerus menyumbangkan khidmat bakti tanpa mengira masa dan tenaga dalam mempertingkatkan prestasi jabatan.

Tema APC Tahun 2018 ialah “Perkhidmatan Cemerlang, Integriti Dijulang”, bertepatan dengan salah satu fokus negara untuk memastikan integriti dan elemen pencegahan rasuah menjadi tunjang kepada tadbir urus.

Sekalung tahniah dan terima kasih kepada barisan urus setia serta semua pihak yang telah menjayakan APC 2018.




Perhimpunan Bulanan JPWPL, April 2019 : PBPPP, Pemangkin Kecemerlangan Guru

Labuan, 17 April : Perhimpunan Bulanan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bagi bulan April telah diadakan kelmarin, bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin dalam ucapan amanatnya berkata Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP) merupakan suatu penilaian berdasarkan konsep Tugas dan Tempat Bertugas berdasarkan standard prestasi yang telah ditetapkan selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP 2.0) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 –2025.

Beliau berkata proses penilaian guru bermula dengan keprihatinan dan kesungguhan. Penilaian perlu dinilai dengan tepat dan professional bagi mengenalpasti kompetensi dan potensi pegawai yang dinilai agar membolehkan pembangunan profesionalisme berterusan dilaksanakan.

“Menilai kompetensi dan potensi guru secara individu, bukan bertujuan untuk menghukum, perlu ada unsur coaching mentoring, termasuk mewujudkan interaksi dan bersemuka semasa penilaian dilaksanakan”. Encik Raisin Saidin.

Terdahulu, majlis pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan 2019 telah dilancarkan oleh Encik Raisin Saidin. Taklimat dekad membaca telah disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah BTPN Labuan, Encik Ag. Marten bin Datuk Hj Abdul Rahman .

Encik Raisin Saidin melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan 2019, peringkat WP Labuan sambil diperhatikan oleh Encik Ag. Marten dan Puan Maimoon

Kementerian Pendidikan berhasrat untuk menjadikan tempoh masa 10 tahun iaitu dari tahun 2021 sehingga 2030 sebagai Dekad Membaca Kebangsaan dan ia sebahagian usaha ke arah menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang 2030.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian sijil anugerah kepada sekolah, sijil kenaikan pangkat, sijil persaraan, staff of the month, sambutan hari lahir dan sijil anugerah khas pengarah.

Anugerah Khas Pengarah bagi bulan April telah diberikan kepada Encik Samsul Mandisin,  Ketua Unit Pusat Kokurikulum dan Encik Awang Zain bin Awang Anak, Ketua Unit Sukan di atas kecemerlangan di atas kecemerlangan Penganjuran Kejohanan Golf MSSM 2019 Peringkat Kebangsaan.

Cikgu Angeline Leong dari Sekolah Kebangsaan Kerupang telah dinobatkan sebagai Adiwira Guru PAK21 Labuan bagi bulan April 2019.

Encik Awang Zain menerima Anugerah Khas Pengarah
Adiwirah Guru PAK21, bulan April 2019 : Cikgu Angelin Leong
Encik Benry Betty menerima sijil Staff of the Month daripada pengarah



Karnival Hari Guru PBD 2019 Disambut Meriah

Labuan, 15 April : Hasil kerjasama pelbagai pihak telah melakar sejarah penganjuran Karnival Hari Guru PBD Tahun 2019. Sokongan Sektor, Sekolah, PIBG, PIBK dan Agensi Swasta menjadikan sambutan tahun ini begitu bermakna.

Dengan bertemakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), karnival ini telah disambut dengan meriah dan berjaya menarik lebih kurang 2000 pengunjung termasuk guru, ibu bapa dan murid-murid.

Karnival Hari Guru PBD 2019 ini berlangsung di perkarangan
Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri dan Sekolah Menengah Kebangsaan
Rancha-Rancha seawal jam 7.30 pagi dan berakhir 5 petang.

Antara acara utama sepanjang karnival ialah perkongsian amalan terbaik berkaitan PBD, simulasi PBD dalam PdP, e-Pentaksiran PBD, pameran Inovasi PBD dan Kupi-kupi Haei Gu’u.

Sambutan ibubapa, murid dan guru-guru melebihi jangkaan terhadap pelbagai acara yang disediakan, antaranya amazing race, mini hoki, catur blitz, kuiz online, pancing santai, golf on the go, dart bull, carrom, bowling kelapa, gubahan bunga dan sukaneka.

Pentaksiran Bilik Darjah

Karnival kali ini turut dimeriahkan dengan program sehari bersama kaunselor anda, gerai pameran agensi swasta dan gerai-gerai jualan oleh ahli PIBG dan PIBK.

Menariknya, karnival ini juga telah berlangsung secara live melalui Facebook rasmi Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan
Labuan, Encik Raisin Saidin telah mengunjungi tapak karnival memberi sokongan
dan dorongan kepada pelaksanaan karnival ini.

Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih atas
sokongan semua pihak dalam menjayakan anjakan ke-9 PPPM dalam meningkatkan
kerjasama agensi swasta dan komuniti dalam aktiviti pendidikan.

Beliau turut berharap agar tema hari guru tahun ini iaitu
Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi dapat diterjemah dalam pelbagai bentuk tindakan
disemua peringkat.

Pelibatan pelbagai pihak dalam karnival kali ini telah berjaya menimbulkan kesedaran terhadap peri penting sokongan dan kerjasama semua pihak dalam bidang pendidikan terutamanya ke arah menzahirkan slogan Labuan Cemerlang, Guru Sayang Muridnya, Kecemerlangan dan Kemenjadian Murid Labuan Bermula Di sini.

Berita Oleh : Cikgu Mohd Nizam Yassim

Encik Raisin Saidin (tengah) dan Puan Maimoon (kiri) bersama guru-guru dalam Pameran Inovasi PBD
Sukankeka Hari Guru 2019
Pertandingan Bowling Kelapa
Pertandingan Catur Blitz



Selangor ‘tebas’ Kejohanan Golf MSSM 2019

Labuan, 11 April :   Selangor muncul juara keseluruhan Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2019 dengan mengumpul 400 mata daripada 12 acara individu dan berpasukan bagi ketiga-tiga kategori umur bawah 12, 15 dan 18 tahun.

Selangor mengungguli dan muncul juara bagi acara Berpasukan Lelaki (Bawah 12), Berpasukan Perempuan (Bawah 15), Berpasukan Perempuan (Bawah 12), Individu Lelaki (Bawah 18) dan Individu Lelaki (Bawah 12).

Selangor juga memperoleh naib juara bagi kategori Individu (Lelaki B15), selain meraih tempat ketiga bagi acara Individu (Lelaki B12), Individu (Perempuan B15) dan Individu (Perempuan B12).

Naib juara keseluruhan menjadi milik Sarawak yang beroleh 262 mata dengan pencapaian terbaiknya ialah muncul juara Individu Lelaki B15, Berpasukan Lelaki B15, selain meraih tempat ketiga acara Berpasukan Lelaki B12 dan Berpasukan Perempuan B15.

Kontinjen Sarawak : Naib Johan Keseluruhan Golf MSSM 2019

Kedah di tempat ketiga dengan mengutip 228 mata selepas menjuarai Berpasukan Perempuan B18, naib juara Berpasukan Perempuan B15, dan tempat ketiga Berpasukan Lelaki B18.

Acara yang berlangsung di Kelab Golf Antarbangsa Labuan dan Kelab Golf Labuan bermula 8 April hingga 10 April 2019 berjalan lancar dan teratur dengan cuaca yang baik sepanjang kejohanan.

Majlis Perasmian Penutupan telah berlangsung di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, Labuan hari ini yang telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Haji Amir Bin Haji Hussien, Pengerusi Perbadanan Labuan.

Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia kerana telah memberi peluang kepada Wilayah Persekutuan Labuan menjadi tuan rumah Kejohanan Golf MSSM 2019 yang julung kalinya diadakan di Labuan.

Kedah : Tempat Ketiga Keseluruhan Golf MSSM 2019

Sementara itu, dalam ucapan aluan, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin berkata kejohanan Golf ini merupakan medan mencungkil bakat baharu dan ruang untuk memilih wakil-wakil negara dalam golf di peringkat antarabangsa.

“Besarlah harapan saya agar kejohanan golf ini dapat menampilkan golfers yang gah samada kejohanan tempatan mahupun antarabangsa pada masa hadapan”. Encik Raisin Saidin

Atlet yang telah menjuarai kategori L18 ialah Marcus Lim Pang Chuen dari kontinjen Selangor. Manakala P18 dimenangi oleh Ng Yu Xuan yang mewakili Negeri Sembilan.

Ini diikuti oleh juara kategori L15, Anson Yeo Boon Xiang dari kontinjen Sarawak. Juara kategori P15 pula ialah Ashley Chin Yen Ling yang berasal dari negeri Pulau Pinang.

Kontinjen Selangor sekali lagi menjuarai acara individu kategori L12 iaitu adik Muhd Ajmal Amin M. Fajri.

Usaha Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang tidak berputus asa, akhirnya berjaya dijelmakan dengan kejuaraan oleh adik Wang Xin Yao yang bertanding dalam kategori P12.

Syabas dan Tahniah kepada semua pihak yang berjaya menjayakan Kejohanan Golf MSSM 2019 ini dengan penuh gemilang.

Satu Murid Satu Sukan, Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan !

Buletin kejohanan boleh didapati melalui pautan ini (klik disini)

Juara Individu P18, Ng Yu Xuan (kiri) dari Negeri Sembilan dan Juara Individu L18 (dua dari kanan) dari Selangor bersama tetamu VIP.
Encik Raisin Saidin (tengah) dan Encik Hasbollah (kanan) bersama para Golfers yang bertanding dalam Kejohanan Golf MSSM 2019



Cikgu Louis Pulong Galas Cabaran Pertandingan Video Pendek PAK21 Peringkat Kebangsaan

Penyertaan penulisan esei dan video pendek tentang Pembelajaran Abad Ke-21(PAK21) mata pelajaran Sejarah Tahun 4 bertajuk Zaman Prasejarah telah memberi tuah kepada Cikgu Louis Pulong dari SK Kerupang kerana terpilih menduduki 10 senarai teratas peringkat kebangsaan.

Susulan itu, pihak Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) telah berkunjung ke SK Kerupang untuk membuat penggambaran penuh sesi PdPc bagi menghasilkan video dokumentari yang akan dikongsikan sebagai inspirasi kepada guru-guru di seluruh Malaysia.

Video tersebut juga akan dinilai bagi menentukan pemenang pertandingan PAK21 ini.

Selain itu video tersebut akan turut ditayangkan semasa majlis penutupan kempen PAK21 yang dijangka akan diadakan pada April nanti.

Sesi penggambaran pada 18 Mac lalu dilakukan oleh 13 krew profesional dari syarikat World Communications Network Resources yang telah dilantik oleh PADU.

Penggambaran melibatkan 35 murid yang dibimbing oleh Cikgu Louis. Sesi penggambaran telah berjalan lancar bermula jam 8.30 pagi sehingga 4.00 petang.

Antara aktiviti menarik semasa sesi penggambaran PdPc tersebut ialah simulasi ekskavasi arkeologi untuk mendapatkan bukti tinggalan sejarah bagi empat zaman masyarakat prasejarah.

Tapak ekskavasi telah direka khas oleh Cikgu Louis. Tinggalan sejarah bagi setiap zaman ditanam menggunakan warna tanah yang berbeza bagi memudahkan murid membuat perbandingan zaman kewujudan tinggalan  masyarakat prasejarah. Tapak ini telah bertindak sebagai sebahagian dari Bahan  Bantu Belajar (BBB) bagi memudahkan proses PdPc yang melibatkan simulasi kaedah arkeologi itu.

Cikgu Louis telah berjaya menerapkan elemen komunikasi, kolaborasi, kreativiti, pemikiran kritis serta nilai dan etika dalam aktiviti sepanjang penggambaran tersebut sesuai dengan saranan PAK-21. Murid-murid juga telah menunjukkan sifat ingin tahu dan keberanian yang tinggi.

Ini menjadi bukti bahawa pelaksanaan PdP yang terancang dan tersusun oleh Cikgu Louis berjaya menarik minat murid untuk mempelajari mata pelajaran Sejarah.

Di akhir sesi penggambaran, Cikgu Louis mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas kerjasama yang diberikan bagi menjayakan penggambaran pada hari tersebut. Tambahnya lagi, kejayaan terpilih antara 10 terbaik peringkat kebangsaan bukan mudah dan amat bermakna baginya pada usia perkhidmatan yang baru mencecah 1 tahun.

Pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL)  berharap agar Cikgu Louis Pulong akan berjaya dalam pertandingan ini dan mengharumkan nama Wilayah Persekutuan Labuan di peringkat yang lebih tinggi.

Berita Oleh : Cikgu Mohd Nizam Yasim

Penggambaran video pendek turut melibatkan murid-murid Sekolah Kebangsaan Kerupang