MESYUARAT PENGURUSAN AKRAB BIL. 1 TAHUN 2026

Labuan, 2 Mac 2026 – Mesyuarat Pengurusan AKRAB Bil. 1 Tahun 2026 telah diadakan pada 2 Mac 2026 (Isnin) bertempat di Bilik Mesyuarat Botanikal, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan pada jam 2.00 petang.
 
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh En. Sabdin bin Japarudin, Ketua Kaunselor Pendidikan Negeri. Seramai 24 orang ahli AKRAB telah hadir bagi menjayakan mesyuarat ini.
 
Agenda utama mesyuarat adalah pembubaran Jawatankuasa AKRAB bagi penggal terdahulu (2019–2025) serta pembentukan Jawatankuasa AKRAB baharu bagi penggal 2026–2028. Proses pemilihan jawatankuasa telah dilaksanakan melalui undian dalam kalangan ahli yang hadir.
 
Hasil undian tersebut, Pn. Norazimah binti Yaacob, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, telah dipilih sebagai Pengerusi AKRAB JPWP Labuan bagi penggal 2026–2028.
 
Selain itu, taklimat berkenaan perancangan program AKRAB bagi tahun 2026 telah disampaikan oleh Pn. Salihah binti Yusoff selaku Penyelaras AKRAB JPWP Labuan. Taklimat tersebut merangkumi cadangan aktiviti, pengukuhan peranan ahli serta perancangan strategik bagi memperkasakan fungsi AKRAB di jabatan.
 
Mesyuarat telah ditangguhkan pada jam 3.57 petang dengan harapan agar barisan jawatankuasa baharu dapat melaksanakan amanah dengan komited dan berkesan demi memperkukuh budaya sokongan rakan sekerja di JPWP Labuan.
 



KURSUS KECERDASAN BUATAN PERKUKUH JALINAN STRATEGIK

Labuan, 26 Februari 2026 – Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah melaksanakan Kursus Kecerdasan Buatan (AI) pada 25 dan 26 Februari 2026 yang dikendalikan oleh Puan Nur Izzatie Nadia Binti Subri.
 
Kursus ini memberi pendedahan kepada peserta berkaitan konsep asas AI, teknik prompt engineering, penjanaan teks, imej, muzik dan video serta penggunaan AI dalam penyediaan dokumen rasmi. Turut diberi penekanan ialah aspek etika, keselamatan data dan konsep human-in-the-loop bagi memastikan penggunaan AI mematuhi tatacara dan kerahsiaan maklumat.
 
Program ini turut diselitkan dengan penataran Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) sebagai usaha menyelaras penggunaan teknologi selari dengan hala tuju pendidikan digital negara.
Pelaksanaan kursus ini bukan sahaja memperkasa kemahiran digital peserta, malah mengukuhkan jalinan strategik antara dua jabatan sebagai rakan strategik dalam menyokong agenda transformasi digital secara beretika dan berimpak tinggi.
 
#7TerasKPM
#MalaysiaMADANI
#PendidikanManusiawi
#TaatSetia
#tahuninitahunkita



Mesyuarat Pengurusan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) Bil. 01/2026

Labuan, 23 Februari 2026 – Mesyuarat Pengurusan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) Bil. 01/2026 telah dipengerusikan oleh Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Maklumat, serta Pengetua dan Guru Besar sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Mesyuarat memberi fokus kepada penyelarasan perancangan dan tindakan sekolah bagi tahun 2026, meliputi pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital (DPD), pemerkasaan pendidikan digital murid, pemerkasaan kompetensi digital guru, penggunaan DELIMa, Digital Competency Score (DCS), inisiatif AI dalam pendidikan, podcast sekolah, Anugerah Tokoh NILAM, Perekodan AINS,TVPSS serta pengurusan buku teks (SPBT).
 
Turut ditekankan ialah peranan kepimpinan sekolah, pemantauan pelaksanaan program, dan kerjasama rentas sektor bagi memastikan semua inisiatif dapat dilaksanakan secara berkesan dan berimpak.
 
Sebagai pengisian penutup, sesi mesyuarat turut diselitkan dengan Kuiz Dasar Pendidikan Digital bagi mengukuhkan kefahaman peserta terhadap hala tuju transformasi pendidikan digital di Wilayah Persekutuan Labuan.



RAMADAN INI RAMADAN KITA- JAULAH RAMADAN KOMUNITI WP LABUAN 2026

Labuan, 23 Februari 2026– Sesi libat urus pelaksanaan Jaulah Ramadan Komuniti KPM Tahun 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan telah dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan, Encik Yahya Ahmad Puteh.
 
Program Jaulah Ramadan Komuniti KPM Peringkat WP Labuan akan berlangsung pada 6 Mac 2026.
Perbincangan meliputi gerak kerja awal, pembentangan ahli jawatankuasa kerja serta perancangan pengisian program.
 
Sekolah Menengah Sains Labuan telah dipilih oleh Kementerian Pendidikan sebagai lokasi penyediaan bubur lambuk, Taklimat Tekad bersama komuniti, solat Maghrib, majlis berbuka puasa serta penyampaian sumbangan raya oleh Yayasan Tun Hussein On (YTHO).
 
Manakala Kolej Matrikulasi Labuan pula sebagai lokasi solat Isyak, solat Taraweh, moreh serta penyampaian sumbangan raya.
 
Turut hadir dalam sesi libat urus ini ialah Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan Encik Hasnul Hari Sariman, Timbalan Pengarah Kolej Matrikulasi Encik Syahmun Yahya, Pengetua SM Sains Labuan Encik A. Zailiani A. Mumin pengurusan tertinggi Jabatan Pendidikan WP Labuan serta jawatankuasa Jaulah Ramadan.
#Ramadan Ini Ramadan Kita



Bengkel Kerja Pelan Tindakan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026 – 20235 JPWPL

Labuan, 11 hingga 13 Februari 2026 – Bengkel Kerja Pelan Tindakan RPM 2026-2035 Jabatan Pendidikan W. P Labuan dianjurkan bagi memberi pendedahan serta kefahaman yang menyeluruh kepada Pengurusan Tertinggi dan PIC Sektor berkaitan hala tuju dan dasar pendidikan negara.
 
Bengkel kerja dilaksanakan sebagai usaha menyokong pelaksanaan perancangan pendidikan yang lebih sistematik dengan menterjemah Tujuh Teras Strategik RPM.
 
Objektif Bengkel Kerja RPM 2026-2035 ini adalah untuk menghasilkan Pelan Tindakan dan Pelan Taktikal RPM 2026 yang akan ditatarkan ke sekolah-sekolah WP Labuan.
 
Bengkel Kerja RPM JPWP Labuan di bawah kelolaan Sektor Perancangan telah di rasmikan oleh YBrs Tn Yahya bin Ahmad Puteh Pengarah Pendidikan JPWP Labuan dan dihadiri oleh Pengurusan Tertinggi serta wakil pegawai daripada 14 sektor.
 
Diharapkan bengkel kerja ini memberi impak positif dalam memperkukuhkan perancangan dan pelaksanaan RPM di peringkat Jabatan Pendidikan WP Labuan dan sekolah.



BENGKEL TILAWAH AL QURAN : PERKUKUH KARAMAH INSANIAH , ADAB DAN NILAI

Labuan, 12 Februari 2026 – Seramai 36 orang guru Pendidikan Islam sekolah rendah dan menengah Wilayah Persekutuan Labuan telah menghadiri Bengkel Tilawah Al-Quran yang berlangsung di Bilik Kuliah Masjid Jamek An Nur pada jam 2.00 petang.
 
Bengkel ini telah dibimbing oleh Ustaz Azhan bin Salleh, Guru Cemerlang Pendidikan Islam dari SK Bebuloh yang memberi pendedahan mendalam tentang teknik tilawah dan taranum.
 
Program ini bertujuan memperkukuh kemahiran jurulatih sekolah dalam melatih murid yang bakal mewakili sekolah ke Mahrajan Al-Quran peringkat negeri pada 2–3 April 2026 dan seterusnya ke peringkat kebangsaan pada 26–29 Jun 2026 di Negeri Sembilan.
 
Melalui bengkel ini juga diharapkan para jurulatih dapat meningkatkan mutu bimbingan sekali gus melonjakkan pencapaian murid di pentas negeri dan kebangsaan. Impaknya bukan sahaja melahirkan peserta yang berkualiti, tetapi juga memperkukuh penghayatan al-Quran dalam kalangan generasi muda.
 
Usaha ini selaras dengan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 (RPM) yang menekankan pembangunan Karamah Insaniah, Adab dan Nilai di bawah Teras 2. Tilawah al-Quran bukan sekadar pertandingan tetapi wadah pembentukan sahsiah murid yang beradab, berilmu dan berakhlak mulia.
Melalui bimbingan berterusan, bengkel ini diharap menjadi pemangkin kepada pencapaian matlamat RPM dalam melahirkan generasi seimbang dari segi rohani, intelek dan jasmani.



Bengkel Seni Khat Guru Pendidikan Islam

Labuan, 12 Februari 2026 – Seramai 31 juru latih Seni Khat daripada sekolah rendah dan menengah Wilayah Persekutuan Labuan telah menghadiri Bengkel Seni Khat Guru Pendidikan Islam yang diadakan di Bilik Mesyuarat SK Pekan Dua petang tadi.
 
Bengkel ini telah dibimbing oleh Ustaz Azmer Osman dari SK Patau-Patau yang berkongsi teknik serta kaedah pengajaran seni khat secara lebih sistematik dan berkesan.
 
Penganjuran bengkel ini bertujuan memperkukuh kemahiran guru dalam membimbing murid sekali gus mempersiapkan mereka menghadapi pertandingan seni khat yang bakal berlangsung peringkat negeri pada 10 April 2026 manakala peringkat kebangsaan pula dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 29 Jun 2026.
 
Melalui bengkel ini, impak yang diharapkan ialah peningkatan kecekapan guru dalam mengajar seni khat seterusnya melahirkan murid yang lebih kreatif dan berdaya saing.
 
Harapan besar juga disandarkan agar seni khat terus berkembang sebagai warisan budaya yang dipelihara dihayati dan dicintai oleh generasi muda.
 
Dengan usaha berterusan ini, seni khat bukan sahaja menjadi medium pendidikan tetapi juga simbol identiti dan keindahan tulisan Jawi yang perlu dipertahankan sepanjang zaman.



BENGKEL SENI NASYID LABUAN: MELAHIRKAN JURU LATIH KREATIF DAN BERDAYA SAING

Labuan, 10 Februari 2026 – Seramai 35 orang guru Pendidikan Islam sekolah rendah dan menengah Wilayah Persekutuan Labuan telah menyertai Bengkel Seni Nasyid yang berlangsung di Pusat Kokurikulum Negeri.
 
Bengkel ini telah dibimbing oleh ustaz Mohd Fitri bin Mohamad, Guru Pendidikan Islam dari Sekolah Kebangsaan Felda Chuping, Perlis yang juga merupakan jurulatih kumpulan Khairan dan Ketua Jurulatih Utama Nasyid Negeri Perlis. Beliau pernah dianugerahkan komposer terbaik lagu dan lirik dalam Festival Khat Nasyid Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan (FKNSS) tahun 2008, 2012 dan 2013.
 
Sepanjang bengkel, para peserta telah didedahkan dengan empat slot utama iaitu suara, lagu, lirik dan simulasi yang menyentuh kepakaran dalam seni nasyid merangkumi aspek vokal, melodi, penulisan lirik dan penggunaan perkusi.
 
Penganjuran bengkel ini bertujuan memperkukuh kemahiran guru sebagai jurulatih sekolah dalam membimbing murid, sekali gus meningkatkan mutu persembahan nasyid di peringkat negeri dan kebangsaan.
 
Melalui bengkel ini, diharapkan para jurulatih dapat melahirkan murid yang lebih kreatif, berkeyakinan dan berdaya saing, selain menyemarakkan kecintaan terhadap seni nasyid sebagai medium dakwah dan pendidikan.
 
Seni nasyid bukan sahaja salah satu aktiviti kokurikulum di sekolah, malah menjadi wadah pembentukan sahsiah murid selaras dengan nilai Karamah Insaniah, Adab dan Nilai yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035.



MERENTAS DESA MSSWPL 2026

Labuan, 10 Februari 2026 – Kompleks Sukan Air Wilayah Persekutuan Labuan menjadi saksi kepada sebuah peristiwa sukan yang penuh semangat dan inspirasi apabila Kejohanan Merentas Desa MSSWPL 2026 berjaya dilangsungkan dengan jayanya.
 
Acara tahunan berprestij ini menghimpunkan seramai 700 orang peserta daripada pelbagai sekolah rendah dan menengah di seluruh Wilayah Persekutuan Labuan, termasuk penyertaan membanggakan daripada murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
 
Seawal pagi, suasana di sekitar laluan larian sudah dipenuhi dengan sorakan, debaran dan tekad yang membara. Setiap peserta tampil dengan azam tersendiri, menjadikan kejohanan ini bukan sekadar perlumbaan merentas desa, tetapi sebuah pentas pembuktian daya tahan fizikal, kekuatan mental dan semangat kesukanan yang tinggi. Setiap langkah di trek mencerminkan perjuangan dan keinginan untuk mengharumkan nama sekolah masing-masing.
 
Kejayaan penganjuran kejohanan ini tidak akan tercapai tanpa kerjasama strategik dan komitmen padu daripada pihak pengelola, iaitu Sekolah Menengah St. Anthony bersama Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang. Pengurusan acara turut diperkukuh dengan sokongan pelbagai agensi luar yang memastikan aspek keselamatan, kawalan trafik serta kesiapsiagaan perubatan berada pada tahap terbaik. Antara agensi yang terlibat termasuk Perbadanan Labuan, Polis Trafik Peronda, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta RELA. Sinergi pelbagai pihak ini membolehkan kejohanan berlangsung dengan lancar dan selamat sepanjang acara.
 
Dari sudut pencapaian individu, beberapa atlet muda telah menyerlah dengan prestasi luar biasa dalam kategori masing-masing. Dalam kategori Peserta Perempuan 12 Tahun, Nur Aishah Binti Ismail dari SK Bukit Kalam muncul juara dengan catatan masa 18 minit 32 saat. Kategori Lelaki 12 Tahun pula dimenangi oleh Muhammad Haikal Zikri Bin Mohd Azami dari SK Tanjung Aru yang mencatat masa 16 minit 17.35 saat.
 
Bagi kategori menengah rendah, Annabeth Crystella Benry dari SMK Mutiara menjuarai kategori Perempuan 15 Tahun dengan catatan masa 30 minit 36 saat, manakala Russell Raynald Tan dari SMK Pantai mengungguli kategori Lelaki 15 Tahun dengan masa 25 minit 20 saat. Dalam kategori 18 Tahun, Nur Shifa Raisha Binti Adnan Firdaus dari SM St. Anthony muncul sebagai johan kategori Perempuan dengan catatan masa 31 minit 46 saat, sementara Muhamad Aiman Bin Khamis dari SMK Mutiara menguasai kategori Lelaki dengan larian yang penuh konsisten dan bertenaga dengan 29 minit 40 saat.
SK Pekan Satu muncul sebagai johan bagi kategori Perempuan 12 Tahun, manakala SK Tanjung Aru mengungguli kategori Lelaki 12 Tahun. Di peringkat menengah, SMK Mutiara mendominasi kategori Perempuan 15 Tahun dan Lelaki 18 Tahun, sementara SM Sains Labuan tampil cemerlang apabila menjuarai kategori Lelaki 15 Tahun serta Perempuan 18 Tahun. Keputusan ini jelas membuktikan keberkesanan perancangan latihan serta keupayaan sekolah dalam melahirkan atlet yang berdaya saing secara menyeluruh dan berterusan.
 
Melangkah ke hadapan, Kejohanan Merentas Desa MSSWPL 2026 berperanan sebagai platform penanda aras penting dalam memperkukuh aspek penganjuran Kejohanan Merentas Desa MSSM 2026. Pengalaman mengendalikan kejohanan ini, termasuk pengurusan peserta berskala besar, penyelarasan teknikal pertandingan, kawalan keselamatan serta penglibatan pelbagai agensi sokongan, akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Jabatan Pendidikan sebagai rujukan utama dalam perancangan dan pelaksanaan Kejohanan Merentas Desa MSSM 2026 yang dijadualkan berlangsung pada bulan April akan datang.
 
Sebagai penutup, setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan kejohanan ini. Komitmen para guru, pegawai kejohanan, sukarelawan serta rakan strategik menjadi tulang belakang kepada kejayaan penganjuran. Kepada para atlet, teruskan melangkah dengan semangat juang yang tinggi kerana setiap titisan peluh hari ini adalah benih kejayaan masa hadapan.



BENGKEL CEMERLANG JAWI SIRI 1 TAHUN 2026

Labuan, 10 Februari 2026 – Bengkel Cemerlang Jawi Siri 1/2026 telah berlangsung di Bilik Mesyuarat SK Bukit Kallam, Wilayah Persekutuan Labuan pada petang ini dengan penyertaan guru Pendidikan Islam sekolah rendah.
 
Bengkel ini bertujuan memperkukuh penguasaan kaedah dan teknik pengajaran Jawi selaras dengan kehendak kurikulum semasa, di samping memantapkan kemahiran guru dalam merancang dan melaksanakan PdP Jawi yang berkesan, menarik serta berpusatkan murid.
 
Guru turut dibimbing untuk mengenal pasti kelemahan murid dalam bacaan dan penulisan Jawi serta merangka intervensi pemulihan yang sesuai.
 
Antara pengisian utama bengkel ialah pendedahan kepada kaedah ejaan Jawi yang ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang dibimbing oleh Ustazah Dalilah binti Desa, Munsyi Jawi Kebangsaan.
 
Pendekatan ini diharapkan dapat membantu guru menyampaikan pengajaran Jawi secara lebih sistematik, sekaligus memperkukuh literasi Jawi dalam kalangan murid sekolah rendah.
 
Penganjuran bengkel ini turut seiring dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2025–2026 yang menekankan pembangunan karamah insaniah, adab dan nilai dalam pendidikan.
 
Usaha memperkasa penguasaan Jawi bukan sahaja memperkukuh identiti budaya dan warisan bangsa, malah menyokong matlamat RPM untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi ilmu, sahsiah dan kemahiran abad ke-21.
 
Komitmen berterusan pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan W.P. Labuan dalam menganjurkan bengkel ini jelas menunjukkan kesungguhan untuk memastikan penguasaan Jawi terus relevan dan menjadi teras dalam memperkasa pendidikan Islam di sekolah rendah.