Pertandingan Kalam Jamaie Sekolah-Sekolah KPM Peringkat Negeri W.P. Labuan 2017
Labuan – Pertandingan Kalam Jamaie Sekolah-Sekolah KPM Peringkat Negeri W.P. Labuan 2017 telah diadakan pada 3 Ogos 2017 dan bertempat di Dewan Sri Kedayan, SK Sungai Lada. Kalam Jamaie dituturkan dalam Bahasa Arab yang menitikberatkan aspek sebutan arab yang tepat, jelas dan faseh disamping melihat aspek persembahan dari segi keharmonian gaya peserta.
Keputusan :
Johan : SK Sungai Bedaun
Naib Johan : SK Pantai
Ketiga : SK Bebuloh.
Tema “Al Quran Asas Pembinaan Ilmu Dan Penyempurnaan Akhlak”
Objektif:
1. Memartabatkan Bahasa Arab & kesenian Islam
2. Memupuk minat pelajar dalam Bahasa Arab.
3. Memperkembangkan bakat murid melalui penglibatan mereka dlm setiap pertandingan
Program Outreach Siri 2 Tahun 2017
Labuan – Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Hospital Labuan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan WP Labuan telah melaksanalan Program Outreach Siri 2 Tahun 2017 pada 26 Julai 2017. Program ini adalah bertujuan untuk membuat pemeriksaan dan pengesanan murid yang berkemungkinan bermasalah pembelajaran.
Seramai 21 orang murid telah terlibat pada program ini. Murid hadir ke Klinik Pakar 1, Hospital Nukleus Labuan seawal jam 8.00 pagi bersama-sama ibu bapa/penjaga serta Guru Pemulihan/ Guru Kelas murid tersebut untuk membuat pemeriksaan bersama pegawai perubatan. Program ini juga melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) WP Labuan untuk memudahkan proses menyediakan Kad Orang Kurang Upaya (OKU).
Hasil daripada pemeriksaan bersama pegawai perubatan, seramai 15 orang murid telah disahkan sebagai Murid Berkeperluan Khas (MBK). MBK ini akan ditempatkan ke Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi membantu murid mendapat tahap pembelajaran yang bersesuaian dengan mereka.
Jabatan Pendidikan WP Labuan berbesar hati mengucapkan ribuan terima kasih kepada kumpulan Pegawai Perubatan Hospital Labuan yang diketuai oleh Dr Ng Boon Seng kerana sudi membantu dalam menjayakan program ini. Semoga kerjasama ini akan diteruskan pada masa akan datang demi membantu murid-murid yang bermasalah pembelajaran.
Memartabatkan Kepimpinan Pendidikan di Semua Peringkat bagi Memastikan Kemenjadian Murid
Labuan – Perhimpunan bulanan bagi bulan Julai 2017 telah diadakan pada 25 Julai 2017 yang bertempat di Bilik Benua, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (BTPN).
Perhimpunan kali ini telah dikelolakan oleh Sektor Pengurusan Maklumat, Sektor Jaminan Kualiti, dan Sektor Psikologi dan Kaunseling.
Dalam perutusan Pengarah Pendidikan, Encik Raisin Saidin mengucapkan tahniah, syabas dan terima kasih kepada semua ketua sektor, KPP BTPN, pegawai jabatan, Pengetua Guru Besar atas kejayaan pelaksanaan semua program Sektor, BTPN dan Sekolah.
Beliau menzahirkan rasa syukur di atas kejayaan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan di atas pencapaian cemerlang dalam Penarafan Kecemerlangan PPD dengan mendapat 4 bintang.
Begitu juga pencapaian Cemerlang dalam pensijilan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) daripada agensi MAMPU.
Banyak kejayaan yang telah dicapai oleh pihak jabatan dan sekolah samada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Antara kejayaan yang dicapai dalam bulan Jun dan Julai adalah seperti :
Anugerah Emas oleh SISC + dan SMS Labuan dalam Pertandingan inovasi dan pameran Blue Ocean Strategy peringkat kebangsaan, 3-4 Julai 2017, IPG Kampus Darulaman Kedah.
Pengiktirafan Kerajaan Malaysia SMK Pantai sebagai IB World School Peringkat Antarabangsa.
Majlis Pelancaran Program Lencana “Rakan 6 Bidang” Anjuran Kelab Pendidikan Labuan
Tema perhimpunan bulanan bagi bulan Julai 2017 adalah ‘ Memartabatkan Kepimpinan Pendidikan di Semua Peringkat bagi Memastikan Kemenjadian Murid’.
Encik Raisin Saidin berkata, prasyarat untuk menjadi pemimpin cemerlang perlu mempunyai kekuatan peribadi, kekuatan pengetahuan dan kekuatan peranan.
Majlis sambutan hari jadi kepada warga pendidikan turut diadakan
Majlis Hari Raya AidilFitri dan Jalinan Titian Kasih JPWPL disambut Meriah
24 Julai – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Jalinan Titian Kasih Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2017 yang berlangsung di Dewan Sri Kedayan, SK Sungai Lada bermula jam 12.00 tengahari sehingga 4.00 petang berlangsung meriah dengan dikunjungi hampir 500 orang tetamu.
Pengarah Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua warga pendidikan serta tetamu yang hadir bagi menjayakan majlis Sambutan Hari Raya tahun ini.
Majlis bertujuan untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidil Fitri disamping dapat menjalinkan hubungan silatulrahim yang lebih erat di kalangan warga pendidikan.
Antara jemputan yang hadir memeriahkan majlis ialah Dato’ Sri Haji Mohd Alias Haji Abd Rahman dan isteri, Ketua-Ketua Jabatan Agensi Kerajaan WP Labuan, Pengetua dan Guru Besar, Ketua-Ketua Kampung dan warga pendidikan.
Tetamu jemputan yang hadir Dato’ Sri Haji Mohd Alias Haji Abd Rahman dan isteri bersama En Raisin Saidin dan Ketua-ketua Sektor
Pelbagai aktiviti yang telah dianjurkan sepanjang majlis sambutan itu berlangsung yang dikelolakan oleh Ahli Kelab Kebajikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Antaranya ialah :
Pertandingan membuat kad raya
Pertandingan selfie raya kreatif
Pertandingan wefie raya kreatif
Pertandingan ucapan raya yang paling menarik
Pertandingan makan biskut raya terpantas
Pertandingan baju raya sedondon
Pertandingan pantun dua kerat raya
Pertandingan gerai yang tercantik
Gambar Kenangan Kumpulan Pengetua Guru Besar (PGB) bersama Encik Raisin Saidin
Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Raya AidilFitri dan Jalinan Titian Kasih Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dengan sungguh meriah pada kali ini.
Ahli Kelab Kebajikan Pendidikan Labuan
Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris Ala Parlimen Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan
21 Julai – SMK Labuan dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris Ala Parlimen Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung pada 18hb-20hb Julai 2017.
SMK Labuan yang diwakili oleh Marvin Hing Majin, Nigel Llaleta Goh, Louis Ker Wei Zhun dan Richard Ian Tanakinjal berjaya membawa pulang piala dan sijil penyertaan.
Pada peringkat akhir, pasukan yang dibimbing oleh Puan Nasthashia Masiri @ Masrih dan Puan Norah Tan itu berjaya menewaskan SMK Mutiara dengan tajuk perbahasan ‘This house Prefers a world with a common and only one language’.
Melengkapkan kejayaan manis sekolah tersebut apabila pembahasnya, adik Nigel Llaleta Goh sebagai pembahas terbaik. Kejayaan itu membolehkan SMK Labuan mewakili WP Labuan dalam pertandingan bahas peringkat kebangsaan 2017.
Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Encik Mohd Al Ghaffar Maidin, Ketua Unit Pusat Kokurikulum JPWPL.
Hadir sama Encik Subari Dwar Ketua Unit Kokurikulum dan Encik Yusup Mohamad Pengetua SMK Lajau.
Pengetua SMK Labuan melahirkan perasaan sangat gembira dengan kegigihan yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajarnya dan dibantu oleh semua guru Bahasa Inggeris sekolah sehingga membuahkan hasil kejayaan yang cukup bermakna. Beliau mengharapkan agar pasukan muda ini mendapat pendedahan di peringkat kebangsaan dan berusaha membuat yang terbaik untuk mengharumkan nama SMK Labuan dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris Ala Parlimen ini, memperkenalkan satu format perbahasan yang menarik dan mencabar kepada murid-murid sesuai dengan institusi persekolahan sebagai pusat kecemerlangan. Selain, melahirkan bakal pemimpin yang berani, berfikiran tajam serta mempunyai kemahiran berhujah secara spontan dengan idea yang bernas dan teratur.
SMK Taman Perumahan Bedaun Johan Pertandingan KIK
Kumpulan Sejiwa SMK Taman Perumahan Bedaun mengungguli Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2017.
Kumpulan Sejiwa diwakili Juraidah Aman, Suzaina Chee, Suridah Sabran, Suraya Abdul Rahman, Nur Ashikin Ismahun, Ahmad Fitry Ismail, Ivan Lai dan Gabriel Chin Vui Wen.
Pasukan itu membentangkan tajuk ‘Kesukaran mengumpal data disiplin bagi rujukan pentadbir dan unit disiplin untuk membuat tindakan’.
Dengan kejayaan itu, kumpulan itu membawa pulang sijil kemenangan seterusnya akan mewakili Labuan ke Konvensyen KIK Kementerian Pendidikan Malaysia peringkat kebangsaan pada Oktober nanti.
Naib johan disandang Kumpulan The Green Synergy SMK Labuan dengan tajuk pembentangan ‘Borang Sibers 1.0 (Sijil Berhenti Sekolah)’.
Manakala tempat ketiga diraih Kumpulan Rainbow SK Pantai yang membentangkan ‘Rainbow Meramorphosis’.
Kumpulan 10 Star RG dari SKPekan Satu dan SMK Pantai IBWS menerima hadiah saguhati selepas masing-masing membentangkan ‘Menangani displin Pelajar pada Waktu Rehat’ dan ‘Masalah Pengurusan Masa Mesyuarat’.
Sebanyak lima kumpulan menyertai KIK pada tahun ini. Pertandingan itu diadili tiga orang juri iaitu Penolong Penguasa Bomba Labuan Pain Muzal selaku ketua juri, Pegawai Perbadanan Labuan Edzrina Tamin dan Pegawai Pendidikan (SISC+) Suriani Alland Rice Oxley.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Labuan Encik Raisin Saidin di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Labuan, Jalan Sungai Lada pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Sektor Jaminan Kualiti Khaziyati Osman, ketua-ketua sektor, pengetua dan guru besar.
En Raisin Saidin bersama para peserta KIK 2017
Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MAKA) Tahun 2016
Labuan – Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MAKA) Tahun 2016 telah berlangsung dengan penuh ceria pada 08 Julai 2017 (Sabtu) bertempat di Auditorium Labuan International School (LIS).
Majlis yang disempurnakan oleh YB Ahli Parlimen P166 W.P. Labuan, Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli ini dihadiri oleh Pengarah Pendidikan, En. Raisin bin Saidin, tetamu jemputan, ketua-ketua sektor, para pengetua, guru besar, pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan, dan pelajar yang menerima anugerah pada majlis tersebut.
Ucapan perasmian yang disempurnakan oleh Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli, beliau berkata “Kejayaan yang para pelajar kecapi pada hari ini adalah hasil kesabaran, ketekunan dan kegigihan mereka tanpa mengenal rasa jemu. Oleh itu, anak-anak sekalian haruslah terus menjadikan kecemerlangan ini sebagai penggerak kepada kejayaan yang lebih besar kerana banyak lagi halangan dan cabaran yang harus ditempuhi dalam perjalanan yang masih jauh dan luas. Kita harus sentiasa ingat bahawa cemerlang ini bermaksud, anak-anak dapat mengamalkan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran atau soft skill dalam kehidupan seharian. Natijah daripada kecemerlangan ialah keelokan atau keindahan yang tercerna dalam akal budi dan perilaku serta mewarnai watak keperibadian masing-masing . Kesemuanya menggambarkan kesempurnaan peribadi sepertimana yang diharapkan oleh negara kita, iaitu memiliki modal insan yang terbaik untuk kemajuan negara.
Saya amat berharap anak-anak cemerlang ini khususnya lepasan SPM dan STPM akan dapat menempatkan diri di institusi pengajian tinggi sama ada dalam atau luar negara. Anda adalah survival bangsa Malaysia dalam menghadapi arus globalisasi. Saya selaku wakil rakyat di sini sentiasa memberikan sokongan kepada Jabatan Pendidikan Labuan dalam apa jua program sama ada program kurikulum atau kokurikulum demi melihat keberhasilan anak-anak di pulau ini berjaya di dunia dan akhirat. Yayasan Pembangunan Labuan juga turut sama memberikan sumbangan demi melihat kemenjadian anak-anak di pulau ini dalam pencapaian akademik mereka. Peningkatan ekonomi di pulau ini terletak dalam tangan generasi muda yang inovatif dan berdaya saing. Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka ilmu terkini supaya kita tidak ketinggalan dalam dunia hari ini”.
Kem Ihya Ramadhan Sekolah Rendah dan Menengah
Labuan – Kem Ihya Ramadhan Sekolah Rendah dan Menengah telah diadakan pada 15-16 Jun 2017 yang bertempat di dewan terbuka Pusat Ko Kurikulum, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Kem ini dianjurkan oleh Pusat Ko Kurikulum dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (JAWI), Pusat Pungutan Zakat Labuan (PPZ), dan Jabatan Penerangan Labuan. Seramai 40 orang peserta terlibat dalam kem tersebut. Antara Pengisian yang telah dijalankan dalam kem tersebut adalah ceramah daripada JAWI dan PPZ, Tadarus Al-Quran dan Qiamulail
Majlis khatam Al-Quran telah dipimpin oleh Imam Muda Nazrul iaitu naib juara program Imam Muda Musim kedua. Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Encik Hasbollah bin Amit Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan.
Majlis Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat
Labuan – Majlis penyerahan surat kenaikan pangkat telah berlangsung pada 15 Jun 2017 (khamis) dan bertempat di Bilik Benua, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri W.P Labuan.
Seramai 59 penerima Surat Kenaikan dari Gred DG34 hingga Gred DG52 peringkat Jabatan Pendidikan yang diraikan pada majlis tersebut.
Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan Encik Raisin bin Saidin.
Beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua warga pendidikan yang sentiasa bersungguh-sungguh tanpa mengira sama ada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan maupun Pegawai Kumpulan Pelaksana, sama-sama menjadi pemangkin kejayaan pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan.
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang dikenali umum sebagai Guru, adalah insan yang paling dekat dengan murid. Insan yang sebenarnya penyumbang utama dalam mendidik dan membangunkan manusia sebagai modal insan yang berjaya dari pelbagai aspek, sama ada inteleknya, jasmaninya, rohaninya, sahsiahnya maupun emosinya.
Encik Raisin Saidin juga berharap agar pencapaian cemerlang para penerima surat kenaikan pangkat akan terus dipacu dengan momentum dan iltizam yang lebih tinggi dan menjadi pembakar semangat kepada warga pendidikan yang lain untuk terus menggembleng sepenuh daya usaha melalui persaingan yang sihat demi menjadikan perkhidmatan awam, secara amnya, dan perkhidmatan pendidikan, khususnya, kekal sebagai perkhidmatan yang diyakini dan disegani oleh rakyat dan menepati kehendak dan ekspektasi pemegang taruh (stakeholder) kita.
Perkhidmatan berkualiti dan berprestasi tinggi amatlah relevan dengan hasrat kepimpinan negara yang ingin melihat Tahun 2017 sebagai tahun penyampaian atau “delivery year”.
Jabatan Pendidikan Labuan Lancar Antologi Cerpen
Labuan- Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah melancarkan Antologi Cerpen ‘Catatan Seorang Guru’ sempena sambutan Hari Guru peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.
Antologi tersebut merupakan koleksi cerpen hasil karya 12 orang guru dan Ahli Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA).
Pengarah Pendidikan Labuan Encik Raisin Saidin berkata, antologi cerpen itu mengenai tugas seorang guru dan bidang pendidikan.
“Penerbitan antologi cerpen itu merupakan salah satu usaha menyemarakan budaya membaca dalam kalangan guru dan masyarakat Labuan,”katanya.
Raisin berharap menerusi cerpen berkenaan, warga pendidikan akan memberi semangat kepada anak didik mereka dan ibu bapa untuk membaca pelbagai bahan bacaan yang berfaedah.
Majlis pelancaran antilogi cerpen itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman bin Haji Isli.