Karnival Kimia Malaysia (K2M) 2017 Peringkat Negeri Sabah dan Labuan

Labuan, 9 Oktober – Buat julung kalinya, Karnival Kimia (K2M) 2017 Peringkat Negeri Sabah dan Labuan telah diadakan di Wilayah Persekutuan Labuan dengan matlamat utamanya untuk memberikan pendedahan tentang Kimia dalam kehidupan seharian.

Program anjuran Institut Kimia Malaysia Cawangan Sabah dan W.P. Labuan, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan W.P. Labuan dan Perbadanan Labuan telah berlangsung di Dewan Kolej Matrikulasi Labuan pada 7 Oktober yang lalu.

Bersandarkan tema, “Sustainability & Diversity through Chemistry“, K2M akan menghubungkaitkan kimia dengan beberapa aspek kehidupan seperti makanan dan pemakanan, air dan tenaga, persekitaran dan perubahan iklim.

Pelbagai program dan aktiviti telah dilaksanakan, untuk mencapai empat matlamat utama  iaitu meningkatkan kesedaran orang awam terhadap keupayaan bidang kimia dalam memenuhi keperluan dunia, menggalakkan minat bidang kimia di kalangan generasi muda, menjana keghairahan demi kreativiti masa hadapan untuk bidang kimia dan meraikan pencapaian Marie Curie dan sumbangan wanita dalam bidang kimia.

Karnival ini telah dirasmikan oleh YB Senator Datuk Hj Bashir Alias yang turut dihadiri oleh Dr. Jenny Lee, Pengerusi Institut Kimia Malaysia, Cawangan Sabah, Tuan Haji Rithuan Hj Mohd Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ( Perbandaran ) , Perbadanan Labuan dan Puan Norismah Ab Moin, Ketua Sektor Pengurusan Akademik JPWPL.

Pelajar-pelajar yang menyertai Karnival Kimia 2017

 




Karnival Pendidikan Bijak Dan Bakat Prasekolah Peringkat W.P. Labuan 2017

Labuan, 5 Oktober – Karnival Pendidikan Bijak Dan Bakat Prasekolah Peringkat W.P. Labuan tahun 2017 telah diadakan pada 2-5 Oktober 2017 dan bertempat di Dewan SK Layang-Layangan. Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Tuan Raisin bin Saidin, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam ucapan beliau telah menyatakan bahawa :

“Prasekolah merupakan asas pendidikan yang paling penting sebelum mereka memulakan pendidikan rendah tahun satu.  Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Research Organisation Evaluation OECD (2011) terdapat kaitan antara pendidikan  prasekolah dengan pendapatan isi rumah dan keberhasilan lain yang membawa manfaat sepanjang hayat.  Justeru kerana itu dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) amat menekankan peningkatan enrolmen dan kualiti prasekolah secara serentak.Ini bagi memastikan murid-murid yang berada di tahun 1 semuanya pernah melalui pendidikan prasekolah sama ada prasekolah yang dikelolakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia mahupun diusahakan oleh pihak swasta.”

Puan Diah Mohd Yussof (kiri) Ketua Unit Prasekolah bergambar kenangan bersama Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Puan Maimoon binti Matnoh

Berikut adalah antara keputusan pertandingan sempena karnival tersebut :

Pemenang Lego:
1. SK Layang Layangan
2.SK Sungai Bedaun
3.SK Bebuloh

Pemenang Hafazan:
Lelaki:
1.SK Pantai
2.SK Membedai
3.SK Bukit Kalam

Perempuan:
1.SK Pekan Satu
2.SK Patau Patau
3.SK Sungai Lada

Keputusan membina perkataan dalam bahasa melayu
1.SK Pekan Dua
2.SK Kerupang
3.SK Lubok Temiang

Pemenang Nyanyian Solo
1. Ayla Syuhada Binti Joe Hellmy(SKK Rancha Rancha)

2 Nur Nashwa Alyaa bt Muhammas Ameran (SK Tanjung Aru)

3. Nurfasha arianna bt abu bakar (SK Pantai)




LICER 2017 Platform Kongsi Pembelajaran Lebih Berinovasi

LABUAN, 2 Okt  – Labuan International Conference On Educational Research (LICER) 2017 merupakan platform terbaik bagi guru-guru khususnya di Labuan berkongsi pengalaman mengajar serta membentangkan kertas kerja mereka khususnya bentuk pembelajaran yang lebih inovatif dan kreatif yang diamalkan pada abad ke-21 ini.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin, LICER telah mengundang pembentang-pembentang kertas kerja yang berpengalaman khususnya tentang cara pembelajaran yang lebih inovatif dari Thailand, Korea Selatan, Brunei serta Vietnam yang boleh dikongsi dan dipraktikkan oleh guru-guru di sini.

“LICER ini diharap mampu mencungkil kebolehan tenaga pengajar dalam menghasilkan kertas kerja dan kajian yang memberi impak yang berkesan kepada para pelajar dalam suasana pembelajaran abad ke-21 yang lebih kreatif dan berinovasi.

Encik Raisin Saidin  (kanan) dan Datuk Sulaiman (dua dari kiri) ketika ditemui pemberita

“Hasil kajian yang berjaya telah dipraktikkan di sekolah masing-masing yang akan dibentangkan pada LICER kali ini bagi tujuan perkongsian ilmu serta membentuk jaringan komunikasi yang baik antara peserta dan para pembentang kertas kerja”, ujar Encik Raisin Saidin lagi semasa Majlis Perasmian LICER 2017 tersebut di sini, petang semalam.

 

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Dasar dan Pembangunan), Datuk Sulaiman Wak berkata kementeriannya amat mengalakkan para pengajar sentiasa berfikir di luar kotak dalam menghasilkan budaya pembelajaran yang lebih kreatif serta menggalakkan budaya pembelajaran inovasi dalam kelas.

Datuk Sulaiman memuji Jabatan Pendidikan Labuan yang meneruskan kesinambungan dalam menganjurkan LICER 2017 ini yang pada masa yang sama dapat menjadikan pulau bebas cukai tersebut sebagai “Hub Education Research” kementeriannya di negara ini.

Seramai 88 orang pembentang kertas kerja serta 108 peserta dari seluruh negara yang menyertai LICER kali ini yang bertemakan “To Encourage Innovation and Promote A Research Society in 21st Century”.

Sumber Berita : Uda Bayas, 29 September 2017




Sepetang Bersama Timbalan Menteri Pendidikan I

LABUAN, 29 Okt – YB Dato’ P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan telah menghadiri Majlis Sepetang Bersama  Timbalan Menteri Pendidikan 1, di Dewan Mutiara, Kolej Matrikulasi Labuan yang dihadiri oleh 700 orang guru sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam ucapannya, YB Dato’ P. Kamalanathan berkata  sumbangan guru-guru mendidik anak bangsa di serata negara merupakan jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai harganya.

Katanya, dalam konteks pendidikan, guru berperanan sebagai individu yang membina dan membentuk kualiti individu murid dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek bagi memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan aspirasi negara.

“Matlamat membina negara bangsa hanya dapat direalisasikan melalui Pendidikan Abad Ke-21 yang telah dilaksanakan untuk melahirkan murid yang dinamik dan seimbang dalam semua aspek. Pembelajaran berpaksikan murid boleh memberi ruang dan peluang kepada murid mengetengahkan ketrampilan diri dan mereka”

Sesi soal jawab YB Dato’ P.Kamalanathan bersama guru-guru Labuan

YB Dato’ P. Kamalanathan juga mengajak guru-guru agar berusaha bersungguh-sungguh bagi menjadikan sistem pendidikan negara merupakan sistem pendidikan yang terbaik di dunia dan dapat melahirkan sebuah negara bangsa yang aman, harmoni dan bersatu padu.

Sementara itu, dalam ucapan aluan, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin berkata warga Jabatan Pendidikan WP Labuan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk melahirkan kemenjadian murid yang bakal menjadi nadi penggerak negara di masa mendatang.

Hasilnya beberapa kejayaan yang dicapai samada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa dalam pelbagai acara yang dikongsikan melalui portal JPWPL Sana Sini.

“Pendidikan yang berkualiti banyak ditentukan oleh pihak guru. Jika kualiti guru dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi, pastilah pendidikan kita dapat mencapai tahap gemilang. Untuk itu kami berusaha meningkatkan kualiti Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dengan melaksanakan pembangunan pendidikan yang berterusan berkaitan pembelajaran abad ke 21”, katanya lagi.

Hadir sama Pengarah KML, Tuan Haji Mohd Yusof Samad, Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia,  Labuan, Encik Omar Baki Matusin dan Yang Dipertua Majlis Guru Besar Labuan, Encik Jaafar Matusin, Ketua-ketua Sektor, Pengetua dan Guru Besar.

Guru-guru yang hadir Sepetang Bersama Timbalan Menteri Pendidikan I

 




Cetus Minat Murid Belajar Melalui ICT

Labuan 25 September – Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran cetus minat murid untuk belajar di dalam kelas.

Demikian pembentangan oleh Cikgu Hazniza Basri dari Sekolah Kebangsaan Bebuloh dalam perkongsian ilmu pengajaran dan pembelajaran (PdP) abad ke 21 di Majlis Perhimpunan Bulan September Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan pada khamis lalu, bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Labuan.

Beliau banyak mengambil peluang untuk menggunakan kemudahan ICT sekolah dan aplikasi ICT seperti Frog VLE, Quizizz termasuk perisian Google dalam PdP dengan dibantu oleh Guru Penyelaras Bestari sekolah, Cikgu Mohd Reno Idris.

Cikgu Hasniza telah dianugerahkan sebagai Guru Tauladan bagi amalan PdPc abad ke 21 bagi bulan September 2017.

Pada mulanya, Agak sukar untuk melaksanakan PdP menggunakan ICT kerana perlu mengambil masa yang lama untuk persiapan segala peralatan ICT berfungsi untuk digunakan oleh murid. Tetapi lama-kelamaan, ianya telah menjadi rutin dan hanya mengambil masa 5 hingga 10 minit sahaja untuk memulakan PdP menggunakan ICT.

Cikgu Hasniza sedang membentangkan perkongsian ilmu PdP abad ke 21

Dalam ucapan penutup di majlis tersebut, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Saidin memuji Cikgu Hazniza dan berharap semua guru dapat  menerapkan elemen ICT dalam PdP kerana ianya merupakan anjakan yang ke 7 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu Memanfaatkan ICT Bagi Meningkatkan Kualiti Pembelajaran di Malaysia.

Kita sentiasa memberi ruang dan peluang kepada guru-guru Labuan berkongsi ilmu dan kemahiran terutamanya pembelajaran abad ke 21 bagi menjadi contoh dan amalan kepada guru-guru lain dalam menghasilkan kemenjadian murid sebagai salah satu aspirasi untuk memacu negara di masa akan datang.

Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua sektor,  Pengetua dan Guru Besar di atas kejayaan jabatan dan sekolah sepanjang bulan Ogos yang lepas.

Beliau juga memohon agar pihak sekolah dapat menjejaki kejayaan murid-murid dari semasa ke semasa bagi melihat hasil kemenjadian murid di masa akan datang.

Pada majlis tersebut juga diadakan bacaan ikrar Perkhidmatan Awam dan ikrar Integriti Perkhidmatan Awam, penyampaian anugerah dan sijil, ‘staff of the month’ .

Tidak lupa penyampaian kad dan hadiah hari lahir serta pemotongan kek kepada warga pendidikan yang lahir pada bulan September, diakhiri dengan nyanyian ‘Di sini lahirnya sebuah cinta’ dan ‘Aku Negaraku’.

Sumber Berita : Cikgu Nizam, SPA

 




Majlis Perkongsian Ilmu Kewartawanan dan Penulisan Berita

LABUAN, 18 September  – Seramai 30 ahli  jawatankuasa Portal JPWPL Sana Sini yang terdiri dari guru sekolah dan kakitangan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL)  telah mengikuti Bengkel Penulisan Berita Asas yang diadakan di Bilik Mesyuarat Botanikal, JPWPL, pada jumaat lalu.

Bengkel selama tiga jam itu dikendalikan oleh Ahli Fotografi Kanan Universiti Malaysia Sabah Kampus Labuan (UMSKAL), Encik Azri Onn Othman, dibantu oleh Puan Siti Zahara binti Mohammad, Pegawai SISC+ Bahasa Melayu (Menengah), JPWPL.

Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Encik Raisin Saidin yang hadir pada majlis tersebut berharap jawatankuasa laman web jabatan dan sekolah dapat dimantapkan lagi melalui penambahbaikan dalam penulisan berita.

“Menjadi harapan jabatan agar peserta bengkel dapat memantapkan lagi penulisan berita di dalam portal JPWPL Sana Sini, laman web sekolah masing-masing, termasuk media cetak”, katanya.

Menurut Penyelaras Program, Encik Zait Mohd Shafie, bengkel anjuran Sektor Pengurusan Maklumat itu bertujuan untuk mendedahkan peserta mengenai kaedah penulisan berita yang baik untuk dimasukkan ke dalam portal JPWPL Sana Sini, laman web rasmi sekolah dan media cetak.

Peserta yang hadir fokus mendengar taklimat dari penceramah

Pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada Encik Azri Onn di atas sumbangan perkongsian ilmu yang diberikan dalam menjayakan bengkel ini.




Kembara UPSR 2017, Fikirkan Boleh, Engkau Boleh !

Bermula 4hb September di sekolah SK Sungai Lada dan berakhir di SK Pekan Dua pada 8 September, Kembara UPSR 2017 mampu merangsang motivasi calon UPSR Wilayah Persekutuan Labuan.

Kembara ini merupakan anjuran Majlis Guru Besar (MGB) WP Labuan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Seramai 1234 orang calon akan menduduki peperiksaan UPSR di tujuh belas sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan bermula 11 September hingga 14 September dan 18 September 2017.

Dalam pengembaraan UPSR yang berlangsung seminggu di semua sekolah rendah,  Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin berkesempatan untuk memberi kata-kata perangsang dan motivasi bagi membakar semangat anak-anak murid UPSR 2017 dalam menghadapi peperiksaan kelak.

Kembara Permata Kasih UPSR 2017, SK Bukit Kalam

Beliau sentiasa mengingatkan mengenai harapan ibu bapa masing-masing yang mengimpikan keputusan yang terbaik daripada semua calon. Guru-guru telah menjalankan tugas mengajar  dengan baik dan kini segala keputusan peperiksaan terletak dibahu calon sendiri samada ingin cemerlang A dalam semua mata pelajaran atau mendapat lulus semua mata pelajaran.

Setelah enam tahun bersekolah, besarlah harapan saya yang mewakili warga pendidikan agar semua calon UPSR 2017 Wilayah Persekutuan Labuan lulus dan menguasai tahap minimum UPSR. Keputusan cemerlang semua A adalah satu bonus kepada anak-anak sekalian, tetapi apa yang lebih penting anak-anak sekalian lulus dan menguasai semua mata pelajaran. Ciptalah sejarah kecemerlangan yang akan anda kenang sehingga akhir hayat anda.

Kembara Permata Kasih UPSR 2017, SKK SK Rancha-Rancha

Beliau juga mengharapkan pihak sekolah fokus dalam melahirkan kemenjadian murid sebagai salah satu aspirasi untuk memacu negara di masa akan datang.

Pada saat-saat terakhir menjelang peperiksaan ini, Encik Raisin mengingatkan anak-anak UPSR 2017 agar sentiasa berdoa, menjaga kesihatan, sentiasa menunjukkan kasih sayang, taat dan patuh kepada ibu bapa serta menghormati guru-guru mereka.

Setelah kita telah bertungkus lumus dan berusaha, jangan lupa untuk berdoa dan memohon restu daripada kedua ibu bapa serta guru-guru anda. Hargailah jasa dan pengorbanan mereka membesar dan mendidik anda sekalian. Akhirnya, insyaAllah kejayaan menanti di hadapan anda.

Chaiyok, Chaiyok, Fight for the best ! UPSR 2017 SJK(C) Chung Hwa

Sementara itu, YDP Majlis Guru Besar (MGB) Labuan, Encik Jaafar Haji Matusin mengingatkan calon UPSR agar sentiasa tenang dan teliti dalam menjawab setiap soalan yang diberikan.

Setiap soalan mempunyai markah yang amat bernilai untuk menentukan gred yang anda perolehi bagi setiap mata pelajaran. Sebagai contoh, alangkah ruginya anak-anak sekalian, sekiranya hanya memerlukan 1 markah sahaja untuk mendapat gred A dalam matematik akibat tidak meneliti soalan dengan baik.

Suntikan kata-kata semangat daripada Encik Raisin kepada calon UPSR SK Tanjung Aru

Ucapan terima kasih kepada guru-guru yang tidak pernah kenal erti penat lelah, putus asa dan sentiasa memikirkan kaedah terbaik serta sanggup mengorbankan masa dan tenaga bagi memastikan kejayaan cemerlang anak-anak murid Labuan.

Pihak jabatan dan sekolah sentiasa mendoakan agar semua calon UPSR 2017 diberikan akal fikiran yang cerdas dan boleh menjawab dengan tepat semasa peperiksaan dijalankan dan mendapat keputusan yang cemerlang kelak.

Kepada Semua Calon UPSR :

Fikirkan Boleh. Engkau Boleh Lakukannya. Selamat Maju Jaya UPSR 2017.

Pasti Boleh! Kembara UPSR 2017 SK Pekan Satu

 

Nukilan pembakar semangat kepada calon UPSR SK Pantai

 

Hadiah berupa alat tulis kepada calon UPSR SKK SK St Anne

 




Semangatku Setinggi Jet Pejuangmu, Jom Hebat UPSR 2017

24 OGOS – Karnival Jom Hebat UPSR 2017 telah diadakan pada 23 dan 24 Ogos 2017 di Dewan Pangkalan Udara, Tentera Udara DiRaja Malaysia Membedai, Labuan. Seramai 87 orang murid dan 28 orang  guru dari 4 mata pelajaran terlibat dalam karnival ini. Kesemua mereka terdiri daripada murid cemerlang dari 14 buah sekolah rendah yang bakal menduduki  UPSR pada bulan September ini.

Program Kerjasama Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Tentera Udara Diraja Malaysia,  ini merupakan program yang julung-julung kali diadakan bagi memberikan persiapan terakhir murid sebelum menduduki  Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan bermula dari 11 hingga 14 September 2017.

En Zamri Tiri, Guru Matematik SK Patau-Patau sedang menerangkan teknik menjawab soalan Matematik dengan mudah menggunakan konsep didik hibur.

Karnival yang berkonsepkan  pembelajaran Abad ke-21 ini memberi pendedahan kepada murid teknik dan kaedah yang sesuai bagi bagi menjawab soalan-soalan yang berunsurkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam semua empat  kertas peperiksaan UPSR iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Murid dan guru juga diberi peluang membuat lawatan ke Lapangan Terbang Udara,  Pangkalan Udara Labuan bagi merasai sendiri menaiki pesawat  pejuang  milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM). Kesemua murid yang hadir turut serta melahirkan rasa gembira kerana dapat dipilih menyertai program ini disamping dapat merasai sendiri keseronokan dan pengalaman menaiki pesawat pejuang negara.

Semoga semangat murid-murid Labuan setinggi dan sehebat  jet pejuang TUDM. Selamat Maju Jaya dan Teruskan Berjuang UPSR 2017.  Kejayaan Anda Kebanggaan Kami. Anda boleh lakukannya.

Sumber Berita :  Inanis Fatinisupi bin Abdullah

Gambar kenangan bersama Pegawai dan Jet Pejuang Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM)

 




Perubahan Bermula di Bilik Darjah

22 Ogos – Bengkel Pemantapan Pembudayaan Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) sekolah-sekolah Showcase WP Labuan  telah diadakan pada di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan.  Seramai 30 orang dan dan 90 orang guru dari  17 buah sekolah hadir dalam bangkel ini.

Bengkel anjuran Bahagian Pendidikan Guru (BPG)  , Kementerian Pendidikan Malaysia  ini telah memberi peluang kepada 6 buah sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan untuk berkongsi  amalan-amalan terbaik pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc)  menggunakan kaedah PLC. Empat buah sekolah  tersebuat ialah SMK Labuan, SM St Anne, SK Pekan Satu dan SK Pekan Dua sebagai sekolah Showcase PLC serta dua buah sekolah jemputan iaitu SMK Taman Perumahan Bedaun dan Labuan International School.

Ucapan aluan oleh Ketua Sektor Pengurusan Akademik ,Pn Norismah Bt Abd Moin

Menurut Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Puan Norismah :

Perubahan kaedah pengajaran guru bermula dari bilik darjah, amalan kolaboratif dan perkongsian perlu diamalkan dan dibudayakan dalam meningkatkan mutu pendidikan kita di samping dapat meningkatkan hubungan yang berkualiti dalam kalangan guru.

Bengkel ini juga turut dihadiri Dr Roslan Bin Husin dari Bahagian Pendidikan Guru , Kementerian Pendidikan Malaysia. Dalam ucapan pengulungan beliau di akhir bengkel mengariskan 3 perkara penting dalam pelaksanaan PLC ;

  1. PLC yang dilaksanakan perlu memastikan murid dapat belajar
  2. berfokus kepada penguasaan dan pencapaian murid
  3. Budaya Kolaboratif dan perkongsian perlu diamalkan

Bengkel berakhir pada pukul 2.30 petang.

Sumber Berita : Inanis Fatinisupi bin Abdullah

Peserta bengkel yang hadir

 




Kemenjadian dan Kecemerlangan Murid Bermula di Sini

Labuan – Perhimpunan bulanan bagi bulan Ogos 2017 telah diadakan pada 24 Ogos 2017 yang bertempat di Bilik Benua, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (BTPN).

Perhimpunan kali ini telah dikelolakan oleh Sektor Pengurusan Sekolah dan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (BTPN)

Dalam perutusan Pengarah Pendidikan, Encik Raisin Saidin mengucapkan tahniah, syabas dan terima kasih kepada semua ketua sektor, KPP BTPN, pegawai jabatan, Pengetua Guru Besar atas kejayaan pelaksanaan semua program Sektor, BTPN dan Sekolah.

Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Pegawai-pegawai Jabatan, Pentadbir-pentadbir dan Guru-guru Sekolah yang tidak jemu-jemu mengadakan aktiviti-aktiviti yang melibatkan kurikulum dan kokurikulum. Kesungguhan ini mencerminkan kita sentiasa berusaha membawa pendidikan Labuan ke arah kecemerlangan.

Tema perhimpunan bulanan bagi bulan Ogos 2017 adalah ‘ Kemenjadian dan Kecemerlangan Murid Bermula di Sini’.

Banyak kejayaan yang telah dicapai oleh pihak jabatan dan sekolah samada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Antara kejayaan yang dicapai dalam bulan Ogos adalah seperti :

  1. SMK Labuan – Johan Dart, Naib Johan Bola Jaring di Karnival Tingkatan 6 Peringkat Negeri Sabah dan Labuan
  2. SMK Rancha-Rancha – Johan Sketsa Rukun Tetangga anjuran Jabatan Penerangan
  3. SMK Rancha-Rancha – Johan Pertandingan Robotik Peringkat W.P Labuan
  4. SK Pantai – Johan Pertandingan Fesyen Merdeka Kreatif Sempena Hari Merdeka

Majlis Sambutan Harijadi kepada Warga Pendidikan WP Labuan yang lahir pada bulan Ogos

Dalam majlis ini juga telah diadakan Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat kepada Pegawai di Jabatan Pendidikan W.P Labuan dan pegawai sokongan di sekolah.