14Apr – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengambil inisiatif bagi memastikan kesihatan kakitangan JPWPL sentiasa berada di tahap yang baik melalui Program Sehari Bersama Doktor Anda.
Menurut Ketua Sektor Psikologi dan Kaunseling, Encik Sabdin Japaruddin Program Sehari Bersama Doktor Anda adalah merupakan aktiviti saringan kesihatan yang dilaksanakan bertujuan merealisasikan hasrat kerajaan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2013 (PP3/2003) menggalakkan kakitangan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Pemeriksaan kesihatan ini bagi memastikan kesihatan kakitangan sentiasa berada di tahap yang baik dan adalah menjadi satu hasrat penting ketua jabatan mengutamakan kesedaran bagi mewujudkan budaya sihat, badan cergas dan minda cerdas.
Program ini telah berlangsung selama sehari, dimulai dengan ceramah kepada warga pendidikan Labuan yang telah disampaikan oleh Pegawai Kesihatan Jabatan Kesihatan Labuan, Dr. Rosnelizaide Ramely dan Dr Navnita.
Ceramah yang disampaikan adalah berkaitan pengurusan stress dan kesihatan mental serta penyakit berjangkit.
Urusetia program adalah Sektor Psikologi Kaunseling dan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam ( AKRAB ) Labuan.
Ahli AKRAB bersama Encik Raisin Saidin dan Doktor Kesihatan Labuan
Perjumpaan Khas Pengarah Pendidikan Bersama Penghuni Rumah Guru/Kuartes JPWPL
Labuan, 15 April – Perjumpaan Khas Pengarah Pendidikan Bersama Penghuni Rumah Guru/Kuarters Jpwpl yang telah berlangsung di Dewan CUN, SK Pekan Satu.
Pegawai yang turut hadir dalam perjumpaan tersebut adalah Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan-Puan Caroline Boni, Ketua Unit Pembangunan-Encik Sahbudin Ag.Muhammad, Ketua Unit Kewangan-Encik Zeno Magan serta Urus Setia Rumah Guru/Kuarters yang terlibat. Selain itu, beberapa Pengetua dan Guru Besar yang terlibat juga turut hadir sempena perjumpaan tersebut.
Matlamat utama perjumpaan khas ini adalah untuk medium Pengarah bertemu dengan warga penghuni rumah guru/kuarters JPWPL dan sesi suai kenal dan pemakluman berkenaan permasalahan yang berlaku di kawasan persekitaran rumah guru/kuarters JPWPL untuk diambil tindakan oleh pihak JPWPL dan Urus Setia Rumah Guru/Kuarters JPWPL.
Harapan Pengarah adalah untuk memastikan rumah guru/kuarters JPWPL sentiasa dalam keadaan yang selamat dan kondusif untuk semua penghuni rumah guru/kuarters JPWPL.
Pengarah juga telah melantik Penghulu bagi setiap Rumah Guru/Kuarters JPWPL bagi sesi 2017-2019 (3 tahun) untuk menjalankan dan memainkan peranan sepertimana tanggungjawab untuk memastikan Rumah Guru/Kuarters JPWPL berada dalam keadaan selamat dan terkawal.
Pengarah berharap agar semua penghuni dapat memberikan kerjasama yang baik kepada Penghulu Rumah Guru/Kuarters JPWPL yang telah dilantik.
Pengarah meminta kepada semua warga penghuni untuk mematuhi Peraturan-Peraturan menduduki Rumah Guru/Kuarters yang telah ditetapkan dalam Perintah AM Bab E dan juga peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Harapan Pengarah selepas Perjumpaan Khas ini adalah menjadikan Rumah Guru/Kuarters JPWPL lebih baik dari segi pengurusannya.
Senarai Penghulu Rumah Guru/Kuarters JPWPL yang dilantik bagi sesi 2017-2019:
Puan Linah Sarabani –SK Rancha-Rancha
Encik Aliakbar bin Asri- SK Bukit Kalam
Encik Pgn. Abdul Kadir bin Pgn. Budin-SK Bebuloh
Encik Ismail bin Abdullah-SK Sungai Lada
Encik Mohd. Sanusi bin Ya-SK Layang-Layangan
Encik Mohd Sharif bin Mohd Din- SK Pekan Satu
Puan Alice Kinsai-SK Lubok Temiang
Encik Busman bin Borahima-SMK Mutiara
Syabas dan Tahniah, Penerima APC 2016
Labuan, 13 April – Setinggi-tinggi syabas dan tahniah diucapkan kepada 124 orang pegawai, guru dan kakitangan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2016. Majlis meraikan penerima ini diadakan pada hari ini bertempat di Dewan SJK(C) Chi Wen yang dirasmikan oleh YB Datuk Rozman bin Hj Isli.
Datuk Rozman dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada penerima dan berharap agar semua pegawai, guru dan kakitangan terus mempertingkatkan lagi usaha, prestasi mutu kerja dalam perkhidmatan di Jabatan Pendidikan WP Labuan.
“Saya menaruh kepercayaan yang tinggi bahawa Jabatan Pendidikan akan terus bersama-sama berusaha memberikan perkhidmatan cemerlang dan berintegriti serta melaksanakan penambahbaikan secara berterusan dalam menjayakan agenda transformasi perkhidmatan awam dan transformasi pendidikan negara”, katanya lagi.
Sebelum itu, dalam ucapan aluan Pengarah Pendidikan Negeri, Encik Raisin Saidin berkata penganugerahan yang diberikan ini seharusnya dijadikan sebagai contoh dan pembakar semangat kepada warga pendidikan yang lain, sekali gus dapat menanam budaya kerja cemerlang di setiap peringkat untuk bersama-sama menggembeleng tenaga demi melihat kejayaan pewaris generasi akan datang.
Salah seorang penerima APC 2016, Cikgu Azeryn, SK Bebuloh
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang dianjurkan setiap tahun adalah merupakan satu medium penghargaan terhadap usaha dan kegigihan anggota perkhidmatan KPM yang telah menunjukkan mutu perkhidmatan dan pencapaian yang cemerlang sepanjang tahun baik dalam menjalankan tugas rasmi mahupun penglibatan aktif dalam kegiatan sukan, sosial dan kemasyarakatan.
Selain daripada itu, insentif ini juga bertujuan untuk menggalakkan pegawai dan kakitangan di Jabatan Pendidikan untuk terus berusaha dan lebih gigih dalam apa jua bentuk tugas, tanggungjawab dan amanah yang diberikan.
Sementara itu, Encik Yusup Mohamad, Pengetua SMK Lajau telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 Peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah disampaikan di Putrajaya.
Majlis dikelolakan oleh Sektor Khidmat Pengurusan Pembangunan yang diketuai oleh Ketua Sektor Puan Caroline Boni dan Ketua Unit Naik Pangkat dan Tatatertib Puan Rainah Rauf.
Pengetua Encik Ismail bersama penerima APC dari SMK Labuan
Guru Besar Encik Jaafar bersama penerima APC dari SK Pekan Satu
GROW 5.0 : Mencungkil Potensi Murid Melalui Pencapaian Pentaksiran Akademik
5-6 April 2017, – Bengkel Grow 5.0 Tahun 2017 telah dilaksanakan di Makmal Komputer Bahagian Teknologi dan Pendidikan Negeri, WP Labuan.
Pihak Jabatan pendidikan WP Labuan mengucapkan ribuan terima kasih kepada penceramah iaitu Encik Fadhlullah bin A. Malek , Penolong Pengarah Kanan, yang merupakan pakar sistem GROW dari Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK), Kementerian Pendidikan Malaysia. Peserta yang hadir terdiri daripada Pengetua , Guru Besar, Penolong Kanan Pentadbiran dan Setiausaha Peperiksaan daripada 26 buah sekolah di WP Labuan. Taklimat dan hands-on, telah diberikan kepada sekolah rendah pada 5 April 2017, manakala bagi sekolah menengah pada 6 April 2017. SISC+ yang turut hadir ialah Puan Chin Tsuey Wei, Puan Siti Zahara binti Mohammad dan Encik Zulkifli Zakaria.
Objektif bengkel ini adalah untuk memastikan GROW 5.0. iaitu sistem GROW yang terkini dilaksanakan di sekolah dalam membuat sasaran potensi individu murid bagi tujuan mencapai peningkatan berterusan dalam prestasi akademik samada untuk Gred Purata Mata Pelajatan (GPMP) maupun Gred Purata Sekolah (GPS).
Bengkel ini diharapkan dapat meningkatkan kemahiran memimpin pengurusan sekolah melalui aktiviti kemahiran mentafsir data menggunakan Sistem GROW 5.0 dan memberi peluang kepada para peserta untuk mendapat input cara yang betul memasukkan data serta menganalisis data potensi murid serta membuat keputusan berasaskan data (DDDM).
Majlis penutupan bengkel disempurnakan oleh Puan Khaziyati binti Osman, Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pendidikan WP Labuan. Turut hadir bersama ialah Encik Sabdin bin Japarudin, Ketua Sektor Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Pendidikan WP Labuan dimana beliau merupakan Pegawai Perhubungan bagi penceramah jemputan.
BeritaOleh : SektorJaminanKualiti
Rancang Awal, Fahami Prosedur Sebelum Bersara
Labuan, 7 Apr – Rancang awal dan fahami prosedur permohonan sebelum bersara adalah antara intipati utama kursus Pra Persaraan kepada 39 orang warga pendidikan Labuan yang bakal bersara.
Kursus yang berlangsung selama 2 hari ini, dari 4 hingga 5 April 2017 juga memberi kefahaman kepada para peserta tentang hak mahupun takrifan pencen secara lebih dekat untuk mengelakkan kekeliruan di masa akan datang.
Selain itu, peserta didedahkan berkenaan pemahaman mengenai pengiraan dan penyemakan Gantian Cuti Rehat (GCR).
Penceramah kursus ialah Puan Ajiejah bt Lajim, Ketua Unit Perkhidmatan, Sektor Pengurusan dan Pembangunan, Jabatan Pendidikan WP Labuan, selain penceramah jemputan dari Bank Muamalat.
Ketua Sektor Psikologi dan Kaunseling yang merupakan urusetia program, Encik Sabdin Japaruddin turut berkongsi ilmu Psikologi Persaraan.
Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Cawangan Negeri Sabah yang diketuai sendiri oleh Yang Di Pertuanya iaitu Datuk Hj. Zulkifli bin Hj Jaafar berkelapangan memberi taklimat dan mempromosikan persatuan tersebut kepada bakal pesara.
Gambar kenangan Encik Raisin Saidin, Datuk Hj Zulkifli, Encik Sabdin, Puan Ajiejah bersama bakal pesara
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan.
Dalam ucapannya, warga pendidikan yang bakal bersara, perlu membuat perancangan teliti bagi meneruskan hidup yang berkualiti di alam persaraan kelak.
“Persaraan mengingatkan kita kepada realiti bahawa kita telah banyak menyumbang dan menabur bakti serta turut bersama membangun dan melakar sejarah bangsa, membina nama dalam pencapaian dunia pendidikan”, katanya lagi.
Turut hadir, Datin Hajjah Dayang Pungut bt Abdul Jalil, Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Cawangan Labuan dan Tn Hj Mohamad Hamka Hj Hamzah, mantan Ketua Sektor Psikologi dan Kaunseling.
Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Cawangan Labuan
Encik Raisin Saidin (kanan), Encik Sabdin(kiri) dan peserta kursus Encik Sahar (tengah)
NILAM Galak Pelajar Rajin Membaca
Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) merupakan penggabungan atau adunan semua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Labuan Awang Marten Abd Rahman berkata pelaksanaan program itu meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan.Katanya program itu ialah satu usaha Kementerian Pendidikan Malaysia dengan matlamat untuk membina tabiat membaca dalam kalangan murid.
“Bahagian Teknologi Pendidikan ialah urusetia di Kementerian Pendidikan yang ditugaskan untuk menyelaras program ini,” katanya.Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Anugerah Tokoh Nilam Peringkat Negeri WP Labuan 2017 di BTPN Labuan, Jalan Sungai Lada, baru-baru ini.
Program Nilam telah mula dilaksanakan dengan Tahun Satu di sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan di sekolah menengah dengan rasminya pada 1999, melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia Bil.13/1998: Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998.
Sementara itu, murid Sekolah Kebangsaan Pekan 1 Muhammad Afiq Ikram Ramlae muncul johan kategori Bahasa Malaysia Sekolah Rendah, kedua Nur Azrieana Afiyah Mohammad Nazri (SKK SK St Anne) dan ketiga Nasreen Sofina Nazaruddin (SJK Chi Wen).
Bagi kategori Bahasa Inggeris Sekolah Rendah, tempat pertama dimenangi murid SJK Chi Wen, Lim Shen Jie, kedua Randy Richard (SK Layang-Layangan) dan ketiga Rubbasini AP Thavendran (SKK SK St Anne).
Murid SMK Lajau, Thasmawati Aripin muncul juara kategori Bahasa Malaysia Sekolah Menengah, diikuti Waznah Saiyidah Sidik dari SM Sains Labuan dan Siti Umairah Najwa Wardi (SMK Pantai).
Nassuha Erdina Dollah dari SMK Mutiara pula menjuarai kategori Bahasa Inggeris Sekolah Menengah, kedua Sharifah Nur Sabrina Syed Nasirin (SMK Pantai) dan ketiga Eleana Kang Ren Wei (SMK Labuan).
Seramai 34 murid yang mewakili sekolah rendah dan menengah menyertai pertandingan Nilam pada tahun ini. Johan akan mewakili Labuan ke peringkat kebangsaan di Selangor pada 24 hingga 28 April 2017. Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Awang Marten Abd Rahman.
Turut hadir, Pegawai Teknologi Pendidikan Ardain Abdullah dan wakil Jabatan Pendidikan Labuan Amia Bua.
Sumber : Utusan Borneo : 6 April 2017
Upacara Penutup MSSWPL 2017 Berlangsung Meriah
Labuan, 1Apr– Upacara penutupan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan berlangsung meriah dalam suasana yang cukup harmoni di Kompleks Sukan Labuan, hari ini.
Ketibaan ahli parlimen P166 Labuan YB Datuk Rozman Datuk Hj Isli dan Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Encik Raisin Saidin serta tetamu terhormat disambut dengan paluan kompang oleh anak-anak murid Labuan.
Upacara dimulai dengan perarakan masuk dan lintas hormat kontinjen perbarisan sekolah-sekolah yang bertanding. Seterusnya ucapan aluan oleh Puan Mahani Hussin, Guru Besar SK Pantai pengelola bersama SMK Pantai IBWS pada kejohanan kali ini.
Majlis penutup temasya kejohanan disempurnakan oleh YB Datuk Rozman Datuk Hj Isli. Dalam ucapannya, kejohanan ini tidak semata-mata menentukan juara dan pemenang, perkara yang lebih penting ialah memberi pendidikan secara tidak langsung kepada para atlet.Kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha, ketekunan, perancangan yang rapi dan pengorbanan.
Ucapan perasmian oleh YB Datuk Rozman
“Kejohanan ini juga adalah landasan ke arah perpaduan, menjalin sifat hormat menghormati dan semangat kerjasama yang tinggi. Matlamat akhirnya nanti adalah untuk membentuk sebuah masyarakat yang berjiwa kental dan bersemangat patriotik”, katanya lagi.
Penonton yang hadir dihiburkan dengan acara balapan 4×200 meter, 4×400 meter kategori lelaki, perempuan sekolah rendah dan juga sekolah menengah. Sokongan yang padu oleh penonton menghangatkan lagi suasana di Kompleks Sukan, seterusnya menaikkan semangat para atlit mencipta rekod baharu kejohanan.
Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian pingat kepada para pemenang yang disempurnakan oleh Encik Raisin Saidin, Pengarah pendidikan Negeri.
Kalungan emas dan rekod baharu 4×400 L15 SMK Labuan oleh Encik Raisin Saidin
Dua puluh lapan kontinjen yang bertanding termasuk Kolej Vokasional Labuan dan Sekolah Antarabangsa Labuan.
SMK Mutiara mengekalkan kejuaraan, unggul dengan 20 emas, 14 perak dan 13 gangsa. SMK Labuan tidak kurang hebatnya dengan 12 emas, 10 perak, 6 gangsa dan SBT SM Sains Labuan 7 emas, 13 perak, 19 gangsa.
Encik Louren Abon, Pengetua SMK Mutiara menerima Piala Johan Keseluruhan daripada Encik Raisin Saidin
SK Lubok Temiang ‘Tatap Majal’ mengungguli sekolah rendah dengan 6 emas, 1 gangsa diikuti SK Kerupang 4 emas, 2 perak, 2 gangsa dan SKK SK Rancha-Rancha 3 emas, 1 perak, 1 gangsa.
Kontinjen SM St Anne dan SK Sungai Bedaun dinobatkan sebagai Johan perbarisan kategori menengah dan rendah pada kali ini.
SMK Rancha-Rancha dan SK Tanjung Aru akan menjadi tuan rumah bersama pada edisi berikutnya pada tahun 2018.
Setinggi Penghargaan dan Terima kasih kepada urusetia dan para petugas yang sentiasa bertungkus lumus dalam memastikan kejohanan berjalan dengan lancar
Serahan bendera kejohanan kepada tuan rumah 2018
YB Datuk Rozman, Encik Raisin, Encik Hazan, Encik Hasbollah, Encik Sahar dan Puan Mahani bersama Warga Pendidikan Labuan.
Hari Ketiga MSSWPL, 5 lagi rekod kejohanan dipecahkan
31 Mac – Hari ketiga Kejohanan MSSWPL 2017, sebanyak lima (5) lagi rekod berjaya dipecahkan, menjadikan tujuh (7) rekod baharu telah dicipta sepanjang tiga hari kejohanan berlangsung. Berikut adalah 5 senarai atlet yang mencipta rekod baharu :
Dayang Siti Fatmah Majumin, SK Bebuloh bagi acara 400 meter perempuan kategori bawah 12 tahun dengan catatan 1 minit 12.6 saat mengatasi rekod lama yang dipegang oleh Beverly Liew Hui Ven, SK Lubok Temiang ( 1 minit 15.81 saat : tahun 2015)
Muhd Khaled Adam Abdullah, SK Lubok Temiang dan Mohd Ali Alfian Alirahman, SK Pekan Satu bagi acara 400 meter lelaki kategori bawah 12 tahun, masing-masing dengan catatan 1 minit 07.35 saat dan 1 minit 07.53 saat mengatasi rekod lama yang dipegang oleh Mohd Aziq Izzan Mohd Nizam, SK Lubok Temiang ( 1 minit 08.19 saat : tahun 2015 )
Nurizzah Nabihah Fauzi, SM St Anne dan Elvianey John Baptist, SBT SM Sains bagi acara lompat jauh perempuan kategori bawah 18 tahun, masing-masing dengan catatan 4.59 meter dan 4.55 meter mengatasi rekod lama yang dipegang oleh Ashley Seah, SM St Anne ( 4.54 meter ).
Sehingga pagi tadi, SMK Mutiara masih unggul bagi kategori sekolah menengah dengan pungutan 12 Emas, 8 perak, 8 gangsa. SMK Labuan dengan 7 Emas, 7 perak, 4 gangsa dan SMK Pantai 5 Emas, 5 perak, 3 gangsa.
Sementara kategori sekolah rendah pula persaingan sengit di antara SK Lubok Temiang dan SKK SK Rancha-Rancha masing-masing dengan 3 Emas. Hanya dibezakan dengan 3 perak oleh SK Lubok Temiang dan 1 gangsa oleh SKK Rancha-Rancha. Manakala SK Kerupang dengan 2 Emas, 2 gangsa.
” ESOK ( 1 APRIL – 1.30 PETANG ) ADALAH HARI PENUTUPAN KEJOHANAN, MAITAH BADUDUN KE KOMPLEKS SUKAN LABUAN, SEMPENA HARI TERAKHIR KEJOHANAN MSSWPL 2017 “
Puan Dg Sarifah, Guru Besar SK Sungai Bedaun diiringi oleh En Sahar menyampaikan medal kepada para pemenang
MEMPERKASA ANAK BUMI LABUAN
Masih ingat akan kata-kata yang ku lontar setahun lalu?
Mac 2016..
Perlu aku ulang semula
Memastikan murid bumiputera Labuan pulau bertuah ini tidak ketinggalan
Memastikan anak bumiputera Labuan pulau bertuah ini dapat menikmati kemakmuran negara pada zaman mereka
Maka 2017 ini kita ulangi kata dan kalimat keramat itu
Bukan untuk kita
Untuk anak- anak labuan
Rakyat Labuan pulau bertuah
Jangan tunggu
Kenal pasti mereka
Kumpul data anak-anak bumiputera
Buat analisis data
Buat tindakan
Buat gerakan
Tubuh pasukan
Kita melonjak SPM 2016
Kerana sumbangan anak-anak bumiputera bersama anak-anak Malaysia yang lain
Demi negara kita Malaysia
Ayuhlah
Sahabat sejatiku
Pengetua…
Nukilan Sajak Oleh : Raisin Saidin Wilayah Persekutuan Labuan Mac 2017
Tuan Raisin Saidin bersama Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia WP Labuan, Encik Omar Baki Matusin
Dua Rekod Baharu Dicipta, Hari Pertama Kejohanan MSSWPL 2017
Labuan, 30 Mac – Hari pertama MSSWPL menyaksikan dua rekod baharu kejohanan dicipta. Rekod baharu pertama dicipta oleh Nazerra Anak Jerah dari SM St Anthony melalui acara merejam lembing perempuan kategori bawah 15 tahun dengan rejaman sejauh 26.43 meter.
Dalam acara lompat tinggi perempuan kategori bawah 15 tahun, Andrea Albertus Voo dari SMK Pantai IBWS memperbaharui rekod kejohanan dengan catatan 1.45 meter mengatasi rekod lama 1.41 yang dipegang oleh Dg Norrin Zainorrin dari SMK Taman Perumahan Bedaun sejak tahun 2008.
SMK Mutiara mendahului kategori sekolah menengah dengan pungutan 5 Emas, 3 Perak, 2 Gangsa diikuti oleh SMK Labuan 4 Emas, 3 Perak, 3 Gangsa dan SM Sains Labuan 2 Emas, 4 Perak, 7 Gangsa. Bagi kategori sekolah rendah Sekolah Kluster Kecemerlangan SK Rancha-Rancha unggul di depan dengan 3 Emas, 1 Gangsa.
Sokongan penuh dari Pengarah Penddidikan Negeri Encik Raisin Saidin bersama barisan Pengelola, Pengetua dan Guru Besar
“BURUAN EMAS MASIH DITERUSKAN, MAITAH BADUDUN KE KOMPLEKS SUKAN LABUAN BAGI MEMERIAHKAN LAGI KEJOHANAN MSSWPL 2017 : 29 MAC – 1 APRIL 2017 “
Andrea Albertus Voo dari SMK Pantai IBWS mencipta rekod baharu lompat tinggi perempuan bawah 15 tahun