Ramadan Jadi Pemacu Transformasi RPM 2026-2035: JPWPL Tekad Perkasakan Karakter Penjawat Awam

Labuan, 6 Februari 2026 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) menyuntik semangat baharu dalam kalangan warga pendidiknya melalui Majlis Ambang Ramadan 2026/1448H yang berlangsung di Pusat Ko-Kurikulum Negeri, Ganggarak pagi tadi.
 
Membawa tema “Ramadan Ini, Ramadan Kita”, majlis tersebut bukan sekadar manifestasi kesyukuran menyambut bulan al-Mubarak malah menjadi wadah penyelarasan komitmen jabatan terhadap Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
 
Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yahya bin Ahmad Puteh dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa nilai disiplin dan ketabahan yang dididik melalui ibadah puasa adalah selari dengan tuntutan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2036.
 
“RPM 2026-2035 adalah kompas kita dalam mendepani cabaran pendidikan yang semakin kompleks. Ia menuntut daya tahan (resilience) yang tinggi dan jiwa yang cekal. Ramadan adalah masa terbaik untuk kita mengukuhkan aspek Karamah Insani dalam diri sebelum kita menterjemahkannya kepada anak didik di pulau Labuan yang kita sayangi,” ujar beliau.
 
Majlis yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu diisi dengan pengisian rohani yang padat, dimulakan dengan bacaan surah Al-Kahfi, Yaasin, Tahlil dan doa selamat bagi memohon keberkatan buat seluruh warga jabatan.
 
Bagi memperkukuh sahsiah penjawat awam, slot tazkirah bertajuk “Ramadan Kali Ini, Bukan Sekadar Puasa” telah disampaikan oleh Ustaz Ibrahim bin Mat dari Kolej Matrikulasi Labuan. Ini disusuli dengan sesi Bicara Integriti oleh Encik Mohamad Khairul Rizal bin Juni yang memfokuskan kepada keterampilan diri sebagai cerminan profesionalisme penjawat awam.
 
Pada majlis yang sama, Encik Yahya turut menyempurnakan pelancaran Program Ihya’ Ramadan 2026 dan Tabung Sumbangan Ihya’ Ramadan sebagai simbolik bermulanya aktiviti kebajikan sepanjang bulan tersebut.
 
Tayangan montaj aktiviti turut dipersembahkan bagi memberi gambaran perjalanan program yang telah dirancang sepanjang Ramadan.
 
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah barisan pengurusan tertinggi serta pegawai-pegawai daripada pelbagai sektor Jabatan Pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan.



Mesyuarat Permuafakatan Jabatan Pendidikan WP Labuan & Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Bersama PDRM (Bil. 1/2026)

Labuan, 5 februari 2026 – Mesyuarat Permuafakatan Jabatan Pendidikan WP Labuan & Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Bersama PDRM (Bil. 1/2026) telah berjaya dilaksanakan dengan penuh harmoni bertempat di Dewan Persidangan, Mahkamah Syariah WP Labuan.
 
Fokus Utama: Memperkukuh kerjasama demi keselamatan sekolah dan sahsiah murid di kedua-dua negeri iaitu Sabah dan W.P Labuan.
 
Kehadiran Kepimpinan Utama:
• Pengerusi Mesyuarat: Encik Yahya bin Ahmad Puteh (Pengarah Pendidikan WP Labuan).
• Tetamu Kehormat: YDH CP Datuk Jauteh bin Dikun (Pesuruhjaya Polis Sabah) & YBhg Datuk Raisin bin Saidin (Pengarah Pendidikan Sabah).
• Turut dihadiri Ketua-ketua Jabatan PDRM Sabah dan WP Labuan serta perwakilan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Jabatan Pendidikan WP Labuan.
 
Program Permuafakatan ini bukan sekadar pertemuan biasa, tetapi satu manifestasi komitmen antara pihak pendidikan dan pasukan keselamatan bagi memastikan persekitaran sekolah kita bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah selamat daripada sebarang ancaman disiplin dan jenayah.
 
Terima kasih kepada semua pihak atas perkongsian idea dan komitmen yang tidak berbelah bahagi.
Semoga usaha murni ini memberikan impak positif yang berterusan buat anak-anak didik kita di WP Labuan dan Sabah.



Bengkel Literasi Jawi: Bugarkan Kaedah, Semarakkan Ukhuwah

Labuan, 5 Februari 2026 – Bengkel Pembinaan Bahan Literasi Jawi Sekolah Rendah telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Pusat Ko Kurikulum Negeri dengan kehadiran seramai 17 penyelaras Jawi sekolah rendah.
 
Bengkel ini dikendalikan oleh Ustazah Dalilah Desa, Munsyi Jawi Kebangsaan yang juga merupakan Guru Besar SK Bukit Kalam bersama Ustaz Zulkornain Ahmad dari SK Rancha-Rancha.
 
Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk membugarkan kaedah pengajaran Jawi dalam kalangan penyelaras Jawi sekolah rendah serta membina bahan pengajaran literasi Jawi yang boleh dimanfaatkan oleh guru dan murid di sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Melalui bengkel ini, diharapkan usaha memperkasakan literasi Jawi dapat diperkukuh sekali gus menyemarakkan kecintaan terhadap tulisan warisan bangsa dalam kalangan generasi muda.



SESI LIBAT URUS SEKTOR PENDIDIKAN ISLAM BERSAMA KETUA PANITIA PENDIDIKAN ISLAM SEKOLAH RENDAH DAN MENENGAH BIL 1/2026

Labuan, 3 Februari 2026 – Sesi ini telah dipengerusikan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Ustazah Kamariah Salim dengan kehadiran penuh semua Ketua Panitia Pendidikan Islam.
 
Antara fokus utama perbincangan termasuk:
• Penetapan sasaran petunjuk prestasi utama bagi subjek Pendidikan Islam dan elektif
• Analisis pencapaian program j-QAF
• Perancangan program ke arah pencapaian KPI
• Takwim program adab dan nilai peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan
• Garis panduan pelaksanaan pertandingan, aktiviti dan kem Program Adab dan Nilai.
 
Pengerusi turut menekankan peranan penting Ketua Panitia dalam membimbing ahli panitia secara berterusan, demi menjamin kelestarian kecemerlangan Pendidikan Islam di peringkat sekolah.



Bengkel Bina Upaya Ketua Panitia Matematik Sekolah Rendah

Labuan, 26 & 27 Januari 2026 – Unit Matematik, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan WP Labuan telah mengadakan Bengkel Bina Upaya Ketua Panitia Matematik bersama Setiausaha Panitia Matematik sekolah-sekolah rendah WP.Labuan pada 26 dan 27 Januari 2026, bertempat di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan.
 
Bengkel ini telah dihadiri oleh 34 peserta dan 17 pembentangan berjaya dilaksanakan sepanjang bengkel tersebut. Ketua Panitia Matematik sekolah telah berjaya membuat perkongsian analisis data Pemulihan, data PLaN, data UASA dan juga PBD.
 
Ketua Panitia turut menbentangkan isu-isu serta intervensi berkesan yang membantu menyelesaikan isu-isu pembelajaran mata pelajaran Matematik.dalam bilik darjah.
 
Bengkel ini telah disempurnakan oleh Datin Hanijah Meskan, Mentor Kajian Penandarasan Antarabangsa yang merasmikan majlis perasmian penutupan.
 
Semoga pengisian bengkel ini memberi manfaat kepada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran Matematik sekolah rendah di negeri ini.
 
#jpwpl
#7TerasKPM
#MalaysiaMADANI
#PendidikanManusiawi
#TaatSetia



Program PAKAT: Kurikulum Prasekolah 2026 & Kurikulum Prasekolah 2026 (Pendidikan Khas)

Labuan, 29 Januari 2026 – Program PAKAT: Kurikulum Prasekolah 2026 & Kurikulum Prasekolah 2026 (Pendidikan Khas) dengan jayanya dan keterlibatan yang menghimpunkan kepimpinan pendidikan, warga sekolah dan ibu bapa komuniti di Labuan.
 
Suasana program yang seronok dengan pelbagai aktiviti kreatif, dinamik dan interaktif menyerlahkan pembelajaran menyeronokkan di peringkat prasekolah.
 
Program bermakna ini telah dihadiri oleh YBrs. Tuan Haji Omar bin Salleh, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan (KPM). Situasi ini merupakan satu tanda yang jelas komitmen berterusan Kementerian Pendidikan dalam memperkasa pendidikan awal kanak-kanak.
 
Sesi soal jawab berlangsung dengan aktif yang melibatkan ibu bapa murid prasekolah daripada pelbagai aliran termasuk prasekolah KPM, tadika swasta yang berdaftar dengan KPM dan tadika PERPADUAN.
 
Program PAKAT ini menjadi platform penting untuk memperkukuh kefahaman bersama serta membina keyakinan komuniti terhadap transformasi pendidikan awal kanak-kanak demi kemenjadian murid yang holistik.
 
SUMBER BERITA : FB Bahagian Pendidikan Islam KPM



BENGKEL PEMERKASAAN PLC GURU PENDIDIKAN ISLAM DILAKSANAKAN DENGAN JAYANYA

Labuan, 29 Januari 2026 – Bengkel Pemerkasaan Professional Learning Community (PLC) Guru Pendidikan Islam sekolah rendah dan menengah telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Mesyuarat Pusat Ko Kurikulum.
 
Bengkel ini dikendalikan oleh Pn. Juraidah Aman, SISC+, dengan penglibatan seramai 30 orang peserta.
Bengkel ini bertujuan memperkukuh pelaksanaan PLC sebagai salah satu inisiatif pembangunan guru yang amat penting dan perlu dilaksanakan di setiap sekolah.
 
Sepanjang bengkel, sesi berjalan dalam bentuk perbincangan dua hala antara penceramah dan peserta sekali gus mewujudkan suasana yang interaktif dan berkesan. Para peserta turut berkongsi pengalaman serta amalan PLC yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2025 di sekolah masing-masing yang memberikan inspirasi dan idea baharu untuk penambahbaikan pada tahun ini.
 
Bengkel ini diharapkan dapat memperkasakan guru Pendidikan Islam dalam aspek profesionalisme serta mengukuhkan budaya kolaboratif di sekolah seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran.



LAWATAN KERJA PENGARAH BAHAGIAN PENDIDIKAN ISLAM KE SMA MAIWP LABUAN

Labuan, 29 Januari 2026 – Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (SMA MAIWPL) telah menerima lawatan kerja Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia, YBrs. Tn Hj Omar bin Salleh dalam usaha memperkukuh kualiti pendidikan Islam sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Turut hadir dalam lawatan ini ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, YBrs. Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah, Tn Hj Sawal bin Salleh, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Pn Kamariah binti Salim serta pegawai-pegawai JPWPL.
 
Sepanjang lawatan, rombongan telah dibawa meninjau kawasan sekolah termasuk bilik darjah, kemudahan pembelajaran dan infrastruktur utama di SMA MAIWPL bagi memastikan persekitaran pendidikan berada dalam keadaan terbaik.
 
Pengetua sekolah, Pn. Siti Aminah Zakaria bersama barisan penolong kanan turut menyambut kehadiran rombongan dan memberikan taklimat ringkas mengenai usaha berterusan sekolah dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari segi ilmu, akhlak dan sahsiah.
 
Selain itu, YBrs. Tn Hj Omar bin Salleh turut mengadakan sesi perbincangan bersama pihak pentadbir SMA MAIWP Labuan mengenai hala tuju dan rancangan pendidikan Malaysia, khususnya dalam memperkukuh peranan sekolah agama sebagai pusat melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia.
 
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan pihak Bahagian Pendidikan Islam dan JPWPL dalam menyokong pembangunan sekolah-sekolah agama di Wilayah Persekutuan Labuan, di samping memperkukuh kerjasama antara pihak pengurusan sekolah dan jabatan pendidikan.



Program bulanan “Semangat Sepasukan” anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 21 Januari 2026 – Program bulanan “Semangat Sepasukan” anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah dilaksanakan dengan penglibatan seluruh warga jabatan di lokasi masing-masing.
 
Aktiviti senaman ringan dan kata-kata motivasi telah dijalankan bagi menyuntik semangat positif, mengeratkan hubungan kerja serta mewujudkan suasana tempat kerja yang ceria dan menyeronokkan, selari dengan inisiatif Pembudayaan Keseronokan Bekerja oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).



Kunjungan Hormat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia WP Labuan ke JPWP Labuan