KUNJUNG HORMAT RAKAN STRATEGIK – YAYASAN PETRONAS & MR.DIY

Labuan, 10 April 2026 – Setinggi-tinggi penghargaan kepada Yayasan PETRONAS dan Yayasan MR.DIY atas kunjung bantu yang telah dilaksanakan sebagai rakan strategik dalam memperkasa pendidikan.

Kunjung bantu ini telah disertai oleh:
🔹 Zainab Afiqah Mohamad Rom, Eksekutif Pendidikan, Yayasan PETRONAS
🔹 Muhammad Imran Bin Abukri, Eksekutif, Pengurusan Projek & Program, PETRONAS
🔹 Henry Woon, Vice President Finance ASEAN, Human Resource Management (Payroll & Administration)
🔹 Nur Fitriatul Audra Binti Abd Karim, Eksekutif Kanan, Yayasan MR.DIY
🔹 Nurul Ain Izzati Binti Bahari, Eksekutif, Yayasan MR.DIY

Turut hadir wakil Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan:
🔸 Yahya Ahmad Puteh, Pengarah Pendidikan, WP Labuan
🔸 Noraini binti Haji Sabudin, Timbalan Pengarah, Sektor Perancangan
🔸 Rina Farrina, Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah

Inisiatif ini membuka ruang perkongsian pelbagai peluang kepada sekolah, guru dan murid khususnya dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik). Usaha ini sejajar dengan aspirasi **Rancangan Pembangunan Malaysia (RPM) 2026–2035** yang menekankan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, berinovasi serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Melalui kolaborasi ini, diharapkan lebih banyak program berimpak tinggi dapat dilaksanakan bagi:
✨ Meningkatkan minat murid terhadap STEM
✨ Memperkasa kemahiran abad ke-21 dalam kalangan guru
✨ Membuka akses kepada sumber, latihan dan inovasi pendidikan

Semoga jalinan strategik ini terus kukuh demi melahirkan generasi yang berdaya saing, kreatif dan berpengetahuan tinggi selaras dengan hala tuju negara.

#KunjungBantu
#RakanStrategik
#STEMMalaysia
#RPM20262035
#PendidikanBerkualiti

 

 




Program Bicara Ilmu Generasi Madani: Adab Seorang Muslim

Labuan, 17 April 2026 – Telah berlangsung dengan jayanya program Bicara Ilmu Generasi Madani: Adab Seorang Muslim bermula jam 5.30 petang hingga 8.30 malam bertempat di Masjid Jamek Ann-Nur, Wilayah Persekutuan Labuan.

Program ini telah disampaikan dengan penuh pengisian bermakna oleh penceramah jemputan, Ustaz Mohd Shafie bin Abdul Ghani, Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan. Perkongsian beliau menyentuh aspek penting berkaitan adab seorang Muslim dalam kehidupan seharian, yang menjadi asas pembentukan sahsiah dan jati diri generasi madani.

Turut hadir memeriahkan program ini ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (Encik Yahya Bin Ahmad Puteh) warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan serta para pelajar daripada SMA MAIWP Labuan, SM Sains Labuan dan Kolej Vokasional Labuan. Kehadiran semua pihak jelas menunjukkan komitmen berterusan dalam memperkukuh nilai-nilai murni dan pembangunan rohani dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Semoga segala ilmu yang diperoleh dapat diamalkan dan memberi manfaat dalam kehidupan seharian. Terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini.

#GenerasiMadani
#AdabSeorangMuslim
#JabatanPendidikanWilayahPersekutuanLabuan
#MasjidAnNur
#MalaysiaMadani
#MajlisIlmu




Mahrajan Al-Quran, Khat dan Nasyid Labuan 2026 : Lahirkan Generasi Rabbani

LABUAN, 11 April 2026 – Majlis Penutupan Mahrajan Al-Quran, Nasyid dan Khat Sekolah-Sekolah (MQNKSS) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS).

Pertandingan MQNKSS menyaksikan penyertaan aktif seramai lebih 249 orang peserta dari seluruh sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 April 2026 di tiga lokasi utama iaitu Masjid Jamek An-Nur, SK Pantai dan Dewan Chi Hwa.

Majlis Penutupan MQNKSS telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan Puan Noraini Hj Sabudin.

Dalam ucapan perasmian penutupan beliau menegaskan bahawa penganjuran mahrajan ini bukan sekadar pertandingan, sebaliknya merupakan platform penting dalam usaha melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Menurut beliau, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035, sistem pendidikan negara kini memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah dan karakter murid sebagai asas melahirkan generasi masa hadapan yang unggul.

“Mahrajan ini menjadi wadah untuk membentuk murid yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kekuatan akhlak, kemantapan rohani dan jati diri yang utuh,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Sektor Pendidikan Islam atas pengurusan program yang cekap serta kepada sekolah-sekolah pengelola iaitu SK Kerupang dan SMK Lajau bagi acara Al-Quran serta SK Pantai dan SMK Labuan bagi pertandingan khat dan nasyid.

“Setiap bacaan Al-Quran, goresan khat dan alunan nasyid yang dipersembahkan adalah cerminan usaha dan jiwa anak-anak. Inilah nilai sebenar yang ingin kita pupuk,” ujarnya lagi.

Sekolah Kebangsaan Kerupang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha dinobatkan sebagai juara bagi kategori sekolah rendah dan menengah dalam MQNKSS pada tahun ini.

Para pemenang akan mewakili Wilayah Persekutuan Labuan ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Negeri Sembilan.

Penganjuran mahrajan ini juga dilihat sebagai medium penting dalam memperkasakan kesenian Islam sebagai alat pendidikan jiwa, dengan Al-Quran sebagai panduan hidup, khat sebagai seni memuliakan kalam Ilahi dan nasyid sebagai medium dakwah yang menyentuh emosi.




BENGKEL PEMBUGARAN KAJIAN TINDAKAN:ELEMEN KARAKTER DAN KECERDASAN BUATAN (AI) PERINGKAT NEGERI WP LABUAN TAHUN 2026

Labuan, 2 April 2026 – Bengkel ini merupakan bengkel lanjutan dari siri pertama yang diadakan pada 10 Mac 2026 lalu. Bengkel ini adalah inisiatif Sektor Perancangan di bawah unit inovasi untuk menyediakan platform kepada guru-guru di WP Labuan untuk berkongsi dan mempertingkatkan kemahiran dalam kajian tindakan.
 
Selain itu bengkel ini juga merupakan persediaan yang telah dirancang awal untuk guru-guru ini membuat persediaan yang rapi dalam pembentangan peringkat antarabangsa yang dijangka berlangsung pada bulan Oktober 2026 (KPPAL 2026).
 
Seramai empat orang Jurulatih Utama KATALIS telah berkongsi ilmu dalam slot masing-masing :
1. Rosnani binti Sahari – SMK Mutiara
2. Nurul Huda binti Mohd Derus – SK Pekan Dua
3. Michelle Edmund – SJKC Chung Hwa
4. Fazillah binti Musa – SK Pekan Dua
 
Bengkel ini telah dirasmikan oleh En. Yahya bin Ahmad Puteh, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan



SAMBUTAN HARI SUSU SEKOLAH SEDUNIA TAHUN 2026

Labuan, 31 Mac 2026 – Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia Tahun 2026 anjuran Sabah International Dairies Sdn Bhd (SID) bersempena dengan Program Susu Sekolah Kementerian Pendidikan telah dilaksanakan pada 31 Mac 2026 / Selasa bertempat di Desa Tunas Hijau, WP Labuan. Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia juga dilihat sebagai suatu usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meraikan guna tenaga setiap peringkat pelaksana dalam menggerakkan Program Susu Sekolah (PSS) yang dilaksanakan serentak dengan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
 
Sabah International Dairies Sdn Bhd (SID) telah dilantik sebagai pembekal untuk melaksanakan PSS bagi WP Labuan dan Negeri Sabah bagi sepanjang tahun 2025 hingga 2029. Lantaran itu, antara usaha untuk berbakti semula kepada masyarakat adalah dengan membantu anak-anak murid yang memerlukan dengan menganjurkan pelbagai program tanggungjawab sosial.
 
Program yang diadakah turut diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti ‘Didik Hibur, jualan, dan penyampaian sijil penghargaan serta sumbangan bantuan one off bagi murid yang mempunyai penyakit kronik.
 
Pengarah Pendidikan Negeri En Yahya bin Ahmad Puteh sebagai perasmi berkata, sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia merupakan satu acara yang disambut setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan khasiat pemakanan kanak-kanak serta bertujuan meningkatkan taraf kesihatan dan pemakanan murid sekolah rendah bagi memastikan pertumbuhan fizikaldan kesihatan mental kanak-kanak.
 
Sementara itu, Penasihat Progam Susu Sekolah SID Datuk DeLeon Quadra@Kamal Quadra dalam ucapannya berkata setiap murid diberi susu kotak UHT 200ml susu penuh krim tanpa perisa setiap hari. “Pemberian susu penuh krim tanpa perisa adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk mengurangkan pengambilan gula berlebihan sehingga menjejas kesihatan,” katanya.
 
Turut hadir Encik Hirudin Bin Mohit, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Bahagian Pengurusan Sekolah dan Puan Nor Saidatul Ihshan binti Mustapha, Timbalan Setiausaha Bahagian Perolehan, Kementerian Pendidikan.



BENGKEL PBL PERKASA GURU PENDIDIKAN ISLAM: MENYOKONG KEMENJADIAN MURID

Labuan, 2 April 2026 – Bengkel Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) bagi subjek Pendidikan Islam dan Bahasa Arab telah dilaksanakan dengan jayanya di Bilik Benua Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) Negeri petang tadi.

Bengkel ini melibatkan seramai 40 orang guru Pendidikan Islam sekolah rendah yang memberi pendedahan kepada guru tentang konsep, fasa pelaksanaan dan instrumen pentaksiran PBL di samping memperkasa Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) melalui penilaian autentik berasaskan proses dan produk projek.

Sepanjang bengkel ini guru-guru telah mengikuti sesi penerangan oleh Ustazah Sanisah dari Sektor Pendidikan Islam (SPI), perkongsian pengalaman PBL Bahasa Arab oleh Ustazah Aqilah dari Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) serta perkongsian PBL oleh Ustazah Syamsilawati dari Sekolah Kebangsaan Pekan Satu (SKPS).

Peserta turut melaksanakan aktiviti hands-on secara berkumpulan sebelum membentangkan hasil kerja masing-masing.

Antara bahan yang berjaya dihasilkan termasuk projek Bahasa Arab bertema al-hayawanat, syuhur miladiah, al-anshitoh al-lasofiyah dan usrati.

Bagi bidang Jawi projek yang dihasilkan ialah pembinaan rangkai kata dan menyambung huruf.

Manakala bagi kemahiran Al-Quran, para peserta berjaya menghasilkan projek berkaitan hukum tajwid. Bagi bidang Ibadah pula merangkumi solat jenazah dan konsep air mutlak.

Penganjuran bengkel ini bukan sahaja memperkasa guru pendidikan islam dan bahasa arab dalam melaksanakan PBL malah menjadi wahana penting dalam menyokong tujuh aspek kemenjadian murid yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM 2026 – 2035).

Melalui pendekatan ini, murid dibentuk secara menyeluruh merangkumi pencapaian akademik, penguasaan kemahiran berfikir aras tinggi, pembangunan kemahiran insaniah, penghayatan nilai dan adab, pengukuhan kerohanian, penerapan kreativiti dan inovasi serta kesejahteraan diri.

Dengan pelaksanaan bengkel ini, guru bukan sekadar memperoleh ilmu baharu tetapi turut diperkasa sebagai agen perubahan yang memastikan murid berkembang sebagai insan seimbang, berilmu, berkemahiran dan beradab selaras dengan matlamat pendidikan negara.
#merentasdesa
#7TerasKPM
#MalaysiaMADANI
#PendidikanManusiawi
#TaatSetia
#tahuninitahunkita

 

 




KEPUTUSAN SPM 2025 DI LABUAN, MEMBERANGSANGKAN

LABUAN, 31 Mac 2026 – Labuan merekodkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang memberangsangkan.
 
Seramai 1,189 calon iaitu 97.70 peratus layak dianugerahkan sijil SPM 2025 sekaligus melepasi pencapaian peringkat kebangsaan.
 
Pensijilan Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) yang diduduki sembilan calon juga 100 peratus layak menerima sijil SPM berbanding lima calon CBPK pada SPM 2024.
 
Ia mencerminkan keberkesanan usaha berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memastikan sistem pendidikan negara kekal bermutu dan inklusif kepada semua calon.
 
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Yahya Ahmad Putih berkata,”syukur kerana dari segi layak mendapat sijil, Labuan telah berjaya mengatasi pencapaian di peringkat kebangsaan sebanyak 97.70 peratus. Ia merupakan pencapaian yang baik untuk Labuan”.
 
Tambahnya, peningkatan 0.01 peratus juga dicapai apabila 34 calon berjaya memperoleh keputusan A penuh semua mata pelajaran pada kali ini berbanding 30 calon pada tahun 2024.
 
Beliau ditemui pemberita RTM pada majlis pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2025 di Dewan Muhibbah, Sekolah Menengah ST Anne, Labuan.
 
Sementara itu, rasa gembira dan syukur terus dizahirkan oleh para calon SPM 2025.
Bagi Kimberly Knightingale Vivian Takom, zahir rasa syukur apabila memperoleh keputusan SPM 6A, “saya rasa sangat gembira dan puas hati. Semua usaha saya berbalio dan lebih daripada apa yang saya jangka selama ini. Kejayaan didorong oleh sokongan ibu bapa saya”, katanya yang turut ditemani ibunya Audry Bertran Lauge.
 
Nur Sarah Azman yang peroleh SPM 9A, menangis gembira dengan keputusan cemerlang, “gembira, bersyukur…tadi masa saya tengok “online” dalam kereta pun saya menangis dengan bapa saya di sebelah….berbaloi, dari tingkatan empat saya belajar sungguh-sungguh, saya rasa kerja keras membuahkan hasil.
 
Sokongan ibu bapa menjadi pendorong kejayaan buat Nur Harisya Husna Mohd Nizam yang memperoleh SPM 9A, “ibu bapa, guru-guru dan kawan-kawan saya sentiasa tolong saya. Belajar dalam kumpulan dan melalui pembelajaran dalam talian membantu mengingat kembali apa yang kami belajar”.
Seramai 1,344 calon termasuk calon swasta dan persendirian menduduki peperiksaan itu di pulau ini.
 
SUMBER BERITA : FB BES LABUAN



Majlis Pelantikan Pasukan TeknoDidik dan Pelancaran Projek O.M.B.A.K. Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2026

Labuan, 17 Mac 2026 – Majlis penuh bermakna ini telah disempurnakan oleh Puan Hajah Aniza Binti Kamaruzzaman, Pengarah, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementeria Pendidikan Malaysia, sekali gus menandakan satu langkah signifikan dalam memperkukuh agenda transformasi digital pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Majlis ini bukan sahaja menyaksikan pelantikan rasmi Pasukan TeknoDidik, malah turut diserikan dengan pelancaran Projek O.M.B.A.K. (Olahan Minda melalui Bimbingan AI dan Kreativiti) serta pengenalan rasmi maskot projek sebagai simbol identiti, kreativiti dan semangat inovasi pendidikan.
 
Selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia dan Dasar Pendidikan Digital, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan JPWPL dalam melahirkan warga pendidikan yang lebih celik teknologi, kreatif dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan.



SLU YDP PIBG bersama Pengarah Pendidikan Labuan

Labuan,12 Mac 2026 – Satu sesi libat urus YDP PIBG bersama-sama Pengarah Pendidikan Labuan telah diadakan di Bilik Mesyuarat Botanikal. Kehadiran terdiri daripada YDP PIBG ( Kolej Vokasional Labuan, Sekolah Menengah, Sekolah Rendah dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan) atau wakil masing-masing dan SLU dipengerusikan oleh YBrs. Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Labuan.
 
Perbincangan menumpukan kepada hala tuju Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026 – 2035. Selain itu, SLU turut membincangkan pemilihan Pengerusi dan Setiausaha YDP PIBG bagi memastikan penyelarasan dan kelancaran pengurusan di peringkat sekolah.
 
SLU ini juga membincangkan penubuhan Taskforce RPM yang bertujuan bagi memastikan pelaksanaan program yang tersusun dan berkesan.
 
Turut hadir pada sesi tersebut ialah Tuan Haji Sawal bin Haji Salleh, Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Secara keseluruhan, sesi libat urus ini berjalan lancar dan mencapai objektif yang telah ditetapkan.



BERSATU MENGIMARAHKAN RAMADAN: JPWPL JAYAKAN MAJLIS KHATAM AL-QURAN 2026

Labuan, 16 Mac 2026 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) mengadakan Majlis Khatam Al-Quran dan Penutupan Program Ihya’ Ramadan 2026 dengan penuh keberkatan di Pusat Ko Kurikulum Negeri, Ganggarak petang tadi.
 
Majlis dimulakan dengan bacaan khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim dan Ustaz Syahnon bin Othman. Seramai 43 orang penerima sumbangan duit raya diraikan dalam majlis ini, manakala pemenang pertandingan sepanjang Program Ihya’ Ramadan turut menerima hadiah. Antaranya penyampaian hadiah bagi Pertandingan Sihat Ramadan iaitu pertandingan tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan yang berlangsung dengan penuh semangat.
 
Selain itu, seramai 11 peserta Pertandingan Tulisan Jawi Cantik serta peserta Pertandingan Azan turut menerima hadiah sebagai penghargaan atas usaha dan bakat mereka.
 
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ustaz Mohd Suhaimi bin Mohd Yusof, Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Agama Islam WP Labuan (JAWI), Puan Norjamimah binti Ahmad, Ketua Unit Operasi Majlis Agama Islam WP Labuan, Ustaz Mohd Zaki bin Mat Salleh, JAWI Labuan, Encik Hasnul Hadi bin Sariman, Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan.
 
Dalam ucapan perasmian, Pengarah Pendidikan JPWPL, En Yahya Ahmad Puteh menekankan bahawa Ramadan mendidik umat Islam dengan nilai sabar, ikhlas dan kesederhanaan yang menjadi asas pembentukan insan sejahtera. Beliau turut merakamkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur atas kejayaan melaksanakan program dengan penuh komitmen, serta mengingatkan warga pendidikan agar memanfaatkan baki Ramadan dengan sepenuh hati dengan merebut peluang malam Lailatul Qadr.
 
Majlis yang berlangsung penuh meriah ini bukan sahaja menghidupkan roh Ramadan, malah menyuburkan budaya ilmu, ibadah dan ukhuwah dalam kalangan warga Pendidikan.
 
#7TerasKPM
#MalaysiaMADANI
#PendidikanManusiawi
#TaatSetia
#tahuninitahunkita