Kem Literasi Al-Quran WP Labuan: Membina Generasi Celik Al-Quran

Labuan, 8 Mei 2026 – Program Kem Literasi Al-Quran Siri 1/2026 Peringkat Negeri telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Jamek An-Nur bermula jam 7.00 pagi.
 
Seramai 92 murid Tahun 6 dan 23 guru pendidikan islam daripada semua sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan telah menyertai program ini yang memberi fokus kepada usaha memperkukuh kemahiran bacaan dan kefahaman Al-Quran.
 
Program ini dianjurkan bagi memastikan murid Tahun 6 mencapai tahap literasi Al-Quran yang baik sebelum melangkah ke sekolah menengah.
 
Antara objektif utama ialah menyokong pencapaian sasaran KPI Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebanyak 98.5% murid Tahun 6 menguasai Al-Quran, selain menyemai kecintaan terhadap Al-Quran sebagai panduan hidup dan sumber kekuatan rohani.
 
Seramai 23 orang murid berjaya melepasi iqra 3 dalam kem yang dilaksanakan hari ini.
Pelaksanaan program ini turut selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 yang menekankan pembangunan holistik murid melalui keseimbangan ilmu, kemahiran dan nilai.
 
Kem Literasi Al-Quran menjadi wahana penting dalam menyokong kemenjadian murid, iaitu melahirkan generasi yang celik Al-Quran, berilmu, berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada nilai-nilai MADANI.
 
🌿 Kem Literasi Al-Quran – Membina generasi celik Al-Quran, menjayakan kemenjadian murid seiring aspirasi RPM 2026–2035.



Kem Generasi Madani Al-Quran di Hati Siri 1/2026

Labuan, 8 Mei 2026 – Kem Generasi Madani Al-Quran di Hati: Program Khatam Al-Quran Murid Tahun 6 telah berlangsung dengan jayanya di Surau Darul Kifayah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan pagi tadi.
 
Seramai 132 murid Tahun 6 dari semua sekolah rendah bersama 33 fasilitator yang terdiri daripada murid Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam WP Labuan (SMA MAIWPL) serta para asatizah telah menyertai program ini yang dikelolakan oleh SMA MAIWPL dengan kerjasama Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan WP Labuan.
 
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif nasional Pecutan Khatam Al-Quran yang digerakkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sepanjang tahun 2026.
Antara objektif utama ialah membantu murid menyempurnakan bacaan 30 juzuk dengan bimbingan fasilitator.
 
Pengisian program merangkumi tasmik dan bacaan intensif bersama fasilitator SMA MAIWPL. Melalui pendekatan ini, murid bukan sahaja mencapai kemahiran membaca Al-Quran dengan baik tetapi turut diasuh dengan nilai disiplin, adab, dan tanggungjawab sosial.
 
Usaha ini selaras dengan Strategik 4 Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, iaitu pembinaan sahsiah dan karektor murid.
 
Program ini membuktikan bahawa pendidikan Islam bukan sekadar memberi ilmu, tetapi membentuk kemenjadian murid yang holistik – berilmu, berakhlak, dan berjiwa sejahtera.
 
Adalah diharapkan melalui program ini, kadar murid khatam Al-Quran di Wilayah Persekutuan terus meningkat melepasi sasaran nasional yang ditetapkan KPM iaitu 54%. Program ini menjadi sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan murid celik Al-Quran dan menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup.
 
🌿 Kem Generasi Madani Al-Quran di Hati – Menyemai cinta Al-Quran, membina generasi berakhlak mulia.



VERIFIKASI AKHIR PENILAIAN DIGITAL UTILISATION AND TECHNOLOGY AWARDS (DUTA) – KATEGORI ANUGERAH EMAS BAGI TAHUN 2025

Labuan, 5 Mei 2026 – Sesi Verifikasi Akhir Penilaian Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) Kategori Anugerah Emas Tahun 2026 telah dilaksanakan di SK Layang-Layangan pada 5 Mei 2026 sebagai sebahagian daripada proses penilaian akhir bagi mengiktiraf tahap pembudayaan digital sekolah.
 
Sesi verifikasi ini telah dihadiri oleh Puan Nurul Nadiah binti Zulkipli dari Sektor Pengintegrasian Teknologi Pendidikan, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP). Kehadiran pihak BSTP dalam sesi ini memperkukuh proses penilaian serta memberi ruang kepada pihak sekolah untuk membentangkan evidens, amalan terbaik dan inisiatif digital yang telah dilaksanakan.
 
Verifikasi ini memberi tumpuan kepada aspek penggunaan teknologi dalam pengurusan sekolah, pengajaran dan pembelajaran, penglibatan guru serta kesediaan murid dalam ekosistem digital. Sepanjang sesi berlangsung, pihak SK Layang-Layangan telah menunjukkan komitmen yang baik dalam menyediakan evidens, perkongsian amalan serta pelaksanaan inisiatif digital yang menyokong transformasi pendidikan.
 
Pihak SSTP JPWPL merakamkan penghargaan kepada pihak BSTP, barisan pentadbir, guru-guru dan murid SK Layang-Layangan atas kerjasama serta kesediaan yang ditunjukkan sepanjang sesi verifikasi. Usaha ini diharap dapat terus memperkukuh budaya digital sekolah seiring dengan aspirasi Dasar Pendidikan Digital dan pembangunan pendidikan masa hadapan.
 
Semoga SK Layang-Layangan terus cemerlang sebagai sekolah yang progresif, kreatif dan berdaya saing dalam penggunaan teknologi pendidikan.



SESI LIBAT URUS DAN MAJLIS PELANTIKAN PETUGAS DASAR PENDIDIKAN DIGITAL 2026

Labuan, 6 Mei 2026 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan melalui Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan telah mengadakan Sesi Libat Urus Petugas Dasar Pendidikan Digital (DPD) 2026 bertempat di Bilik KIAMSAM, SSTP.
 
Sesi ini diadakan bagi menyelaraskan kefahaman dan gerak kerja pelaksanaan agenda pendigitalan pendidikan di peringkat negeri, khususnya berkaitan hala tuju Dasar Pendidikan Digital, struktur tadbir urus pelaksanaan, enam teras utama DPD serta peranan setiap sektor dalam menyokong ekosistem pendidikan digital secara menyeluruh.
 
Pada hari yang sama, turut diadakan Majlis Pelantikan Petugas Dasar Pendidikan Digital Tahun 2026 sebagai simbol komitmen dan pengiktirafan kepada pegawai yang akan bersama-sama menggerakkan pelaksanaan DPD di peringkat Jabatan Pendidikan WP Labuan.
 
Pelantikan ini melibatkan petugas daripada pelbagai sektor yang berperanan secara kolaboratif dalam aspek pembelajaran digital, pembangunan murid, pendidikan Islam, pendidikan khas, pengurusan maklumat, pengurusan sekolah, sumber manusia, infrastruktur dan perolehan serta penyelarasan teknologi pendidikan.
 
Melalui pelantikan ini, diharapkan semua petugas DPD dapat memainkan peranan sebagai pembimbing, pemudah cara, pemantau dan penggerak utama dalam memastikan agenda pendidikan digital dapat dilaksanakan secara terancang, berfokus dan berimpak di sekolah-sekolah WP Labuan.
DPD bukan tanggungjawab satu sektor sahaja, tetapi agenda bersama yang memerlukan kesepakatan seluruh ekosistem pendidikan.
 
Satu Pasukan, Satu Sasaran: Pendidikan Digital untuk Semua.



BENGKEL PENINGKATAN KOMPETENSI DIGITAL PEMIMPIN SEKOLAH (PENOLONG KANAN)

Labuan, 5 Mei 2026 – Bengkel Peningkatan Kompetensi Digital Pemimpin Sekolah yang melibatkan Penolong Kanan Pentadbiran sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan Labuan telah dilaksanakan pada 05 Mei 2026 di Bilik Seminar Raflesia, Ujana Kewangan.
 
Bengkel ini diurus setiakan oleh Sektor Pengurusan Sekolah dan Sektor Sumber Teknologi Dan Pendidikan, JPWP Labuan merupakan inisiatif di bawah Teras 3: Pemerkasaan Kompetensi Digital Pemimpin Pendidikan dalam Dasar Pendidikan Digital, yang bertujuan memperkukuh keupayaan pemimpin sekolah dalam mengintegrasikan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan kurikulum.
 
Sepanjang bengkel, para peserta telah didedahkan dengan penggunaan Canva AI, NotebookLM dan GEMINI bagi menghasilkan bahan pengurusan kurikulum yang lebih sistematik, berimpak tinggi serta berasaskan data seperti dashboard, infografik, laporan analitik dan dokumen digital.
 
Diharapkan usaha ini dapat mempercepatkan transformasi pengurusan kurikulum ke arah lebih efisien, moden dan berdaya saing, selaras dengan keperluan pendidikan masa kini.
 
Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.



MESYUARAT AKRAB BILANGAN 1 TAHUN 2026

Labuan, 4 Mei 2026 – Mesyuarat AKRAB Bil. 1 Tahun 2026 telah diadakan pada jam 2.30 petang bertempat di Bilik Manikar, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Puan Norazimah binti Yaacob selaku pengerusi AKRAB JPWPL bagi membincangkan perancangan program dan aktiviti AKRAB sepanjang tahun 2026, selaras dengan usaha memperkukuh peranan AKRAB dalam menyokong kesejahteraan warga jabatan.
 
Selain itu, mesyuarat turut memberi fokus kepada penentuan tugas ahli AKRAB sebagai jawatankuasa pelaksana bagi Kursus Pengurusan Tekanan anjuran Sektor Psikologi dan Kaunseling yang akan berlangsung pada 5 Mei 2026.
 
Perbincangan berjalan dengan lancar dan penuh komitmen daripada semua ahli yang hadir. Mesyuarat telah ditangguhkan pada jam 5.00 petang.



BENGKEL KERJA PEMERKASAAN PENGURUSAN SAHSIAH DAN DISIPLIN SERTA PEMANTAPAN PENGURUSAN WARDEN ASRAMA SEKOLAH PERINGKAT WP LABUAN

Labuan, 6-7 Mei 2026 – Bengkel Kerja Pemerkasaan Pengurusan Sahsiah dan Disiplin serta Pemantapan Pengurusan Warden Asrama Sekolah Peringkat WP Labuan telah diadakan pada selama dua hari bertempat Dewan Utama, Kompleks Darul Kifayah (KDK), MAIWP Cawangan Labuan.
 
Objektif bengkel adalah memberi pemantapan dan pendedahan pengurusan PK HEM, Ketua Guru Disiplin, Ketua Warden dalam bidang masing-masing terutama sudut sahsiah dan disiplin. Selain itu juga , bengkel ini memberi pengetahuan berkaitan literasi undang-undang dalam.menangani isu dan kes murid yg berlaku di sekolah mahupun di luar sekolah.
 
Sasaran peserta adalah terdiri daripada PK HEM SR dan SM, Ketua Disiplin, Guru Bimbingan dan Kaunseling serta Warden Asrama sekolah (SM Sains, SM Agama MAIWP, KDK dan Kolej Vokasional) seramai 130 orang peserta.
 
Penceramah :
1. En Mohd Solehan bin Ahmad Shah,
Ketua Jabatan, Jabatan Pengurusan Hal Ehwal Murid dan Kaunseling, IAB Bandar Enstek, Negeri Sembilan
2. Dr Zaharul Arifin bin Md Zin
Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Hal Ehwal Murid dan Kaunseling, IAB Bandar Enstek, Negeri Sembilan.
 
Bengkel ini dirasmikan oleh Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan.
 
Bengkel ini dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan WP Labuan dengan kerjasama MAIWP Cawangan Labuan, diurus setia oleh Unit HEM, Sektor Pembangunan Murid dan Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan WP Labuan.



KURSUS PENGURUSAN TEKANAN JPWP LABUAN 2026

Labuan, 5 Mei 2026 – Kursus Pengurusan Tekanan telah berjaya dilaksanakan di Bilik Benua, SSTP, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang dengan penyertaan seramai 40 orang peserta.
 
Program ini melibatkan ahli AKRAB serta anggota kumpulan pelaksana JPWP Labuan, bertujuan meningkatkan kesedaran dan kemahiran dalam mengurus tekanan secara berkesan, seterusnya menyokong kesejahteraan psikologi warga jabatan.
 
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Puan Norazimah binti Yaacob, Pengerusi AKRAB JPWP Labuan, diikuti ucapan perasmian oleh Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Pengarah Pendidikan JPWP Labuan.
Pengisian kursus dimulakan dengan slot Pengurusan Tekanan yang disampaikan oleh Encik Sabdin bin Japarudin, Ketua Kaunselor Pendidikan Negeri. Seterusnya, peserta didedahkan dengan Ujian DASS yang dikendalikan oleh Puan Salihah binti Yusoff selaku Penyelaras AKRAB JPWP Labuan bagi membantu mengenal pasti tahap tekanan, kebimbangan dan kemurungan.
 
Slot terakhir diteruskan dengan aktiviti bimbingan kelompok yang dikendalikan oleh ahli-ahli AKRAB, yang memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman serta membina sokongan emosi secara berpasukan.
 
Secara keseluruhannya, kursus ini berjaya mencapai objektif dalam memperkukuh kemahiran pengurusan tekanan serta memupuk budaya kerja yang lebih sihat dan sejahtera dalam kalangan warga JPWP Labuan.

Lihat Sedikit



BENGKEL PENINGKATAN KOMPETENSI IBSE STEM GURU SAINS WP LABUAN

Labuan, 16 hingga 17 April 2026 – Seramai 27 orang guru Sains sekolah rendah dan menengah telah menyertai Bengkel Peningkatan Kompetensi Bengkel Inquiry-Based Science Education (IBSE) STEM yang bertujuan memperkukuh amalan pengajaran berasaskan inkuiri di dalam bilik darjah.
 
Bengkel ini selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 (RPM 2026–2035) yang menekankan pembelajaran bermutu, berfokuskan murid serta penguasaan kemahiran berfikir aras tinggi.
 
Sepanjang bengkel, para peserta didedahkan kepada:
Konsep dan prinsip IBSE dalam PdP Sains
Perancangan aktiviti inkuiri mengikut aras yang sistematik dan bermakna
Simulasi aktiviti IBSE di dalam bilik darjah mengikut konsep Sains
 
✨ Istimewa! Bengkel ini turut disantuni oleh Pengarah Jabatan Pendidikan, YBrs. En. Yahya Bin Ahmad
Puteh, yang meluangkan masa bersama para guru serta menyampaikan amanat penting:
🗣️ “Guru perlu meningkatkan kompetensi pedagogi dan benar-benar beraksi di dalam bilik darjah. Pengajaran tidak boleh statik—ia perlu dinamik, kreatif dan relevan dengan keperluan semasa. Guru juga perlu sentiasa bersedia untuk berubah serta memperkukuh kemahiran saintifik murid.”
 
🔥 Bengkel ini diharap menjadi pemangkin kepada: 🔹 Peningkatan kompetensi pedagogi guru 🔹 Pengajaran yang lebih kreatif dan berimpak tinggi 🔹 Peningkatan literasi sains dan kemahiran saintifik murid seterusnya murid lebih bersedia menghadapi pentaksiran antarabangsa seperti SEA-PLM, TIMSS dan PISA.
#IBSE #STEMLabuan #RPM2026-2035 #PendidikanBerkualiti #GuruPemacuTransformasi



Bengkel Pengisian SK@S Pencapaian Kami bersama Guru Besar Sekolah Rendah

Labuan – Bengkel ini merupakan satu inisiatif strategik yang dirangka khusus bagi menyokong sekolah rendah dalam memperkukuh pengisian Sistem Kualiti @ Sekolah (SK@S), terutamanya dalam aspek pencapaian Standard 5.4.1 dan 5.4.2. Pelaksanaan bengkel ini bertujuan meningkatkan kefahaman, kecekapan serta kualiti pelaporan sekolah agar selari dengan kehendak penilaian standard yang telah ditetapkan.
 
Program ini dianjurkan secara kolaboratif oleh lima buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan, Sekolah Kebangsaan Bukit Kallam, Sekolah Kebangsaan Kerupang, Sekolah Kebangsaan Pekan Satu, Sekolah Kebangsaan Pekan Dua bersama Sektor Perancangan. Kerjasama strategik antara penganjur ini mencerminkan komitmen bersepadu dalam memperkasa amalan pengurusan kualiti pendidikan di peringkat sekolah rendah.
 
Bengkel ini telah dihadiri oleh Tuan Pengarah Jabatan Pendidikan, Encik Yahya Bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Puan Noraini Bt Sabudin, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Encik Ag Rozlan bin Manan dan Pegawai Meja SK@S, Encik Airol Azmi Bin Abd Gani.
 
Bengkel ini telah menampilkan Tuan Haji Mohd Nizam bin Yasim, School Improvement Partner Plus (SIP+) dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan sebagai penceramah jemputan. Mereka telah menyampaikan input yang komprehensif, berfokus dan berimpak tinggi berkaitan kaedah pengisian SK@S yang efektif, di samping berkongsi amalan terbaik (best practices) serta strategi peningkatan kualiti berterusan.
 
Secara keseluruhannya, bengkel ini diharapkan dapat memberi nilai tambah kepada peserta dalam meningkatkan keupayaan pelaksanaan, pemantauan dan pelaporan SK@S secara lebih sistematik, tepat dan berkualiti, seterusnya menyumbang kepada peningkatan prestasi serta kecemerlangan organisasi sekolah secara menyeluruh.