SMK Mutiara muncul johan Pertandingan Photoshoot Karnival Kadet JPJ Labuan

SMK Mutiara muncul johan dalam pertandingan photoshoot sempena Karnival Kadet JPJ peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang telah diadakan pada 24 Ogos 2019 (sabtu) di Muzium Chimney W.P Labuan.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) W.P Labuan memerlukan setiap sekolah wajib menghantar 2 keping gambar samada secara selfie, wefie, foto berkumpulan (peserta ada di dalam foto) untuk menyertai pertandingan ini. Gambar photoshoot tersebut telah dimuatnaik dalam laman JPJ W.P Labuan. Pemenang dikira berdasarkan “LIKE” terbanyak. Tempoh pertandingan berlangsung hampir  dalam tempoh satu bulan.

Keputusan pertandingan telah diumumkan pada 27 September 2019 dan SMK Mutiara telah dinobatkan sebagai juara LIKE terbanyak berjaya mengumpul sebanyak 717. Johan telah menerima hadiah berupa hamper, sijil dan frame gambar. Hadiah tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan W.P Labuan, Tuan Mohammad Afdhal Bin Mohd Ruslan.

Majlis penyampaian hadiah telah diadakan sempena majlis Perhimpunan Setia bulanan mereka bertempat di ibu pejabat JPJ W.P Labuan.

Menurut Puan Rohani Tali, guru penasihat pasukan kadet JPJ SMK Mutiara, perancangan dan persiapan photoshoot ini adalah hasil gabungan cetusan idea bersama 3 orang guru penasihat Kadet JPJ yang lain iaitu Cikgu Junaidah Binti Baharuddin dan Cikgu Nurazwati Binti Abdul Aziz, Pembantu Juruteknik sekolah iaitu En Mohd Fauzi Bin Atoh dan 8 orang Kadet JPJ SMK Mutiara yang terdiri dari tingkatan 1 hingga tingkatan 4.

Ketika mengulas kejayaan ini, pengetua SMK Mutiara mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam pertandingan ini. Menjadi johan adalah terbaik tetapi yang lebih utama ialah murid-murid diberi ruang dan peluang dalam menyertai apa-apa pertandingan bagi menyerlahkan potensi sebenar mereka.

Ahli kadet yang terlibat dalam photoshoot tersebut diketuai oleh kadet Ahmad Dylan Elva Chrizandy (4 IBK), Muhammad Mifzal Bin Mohd Rafi (3 ALK), Abzan Shah Bin Abel (2 PTN), Mohamad Aswatu Zikrullah Bin Mohd Ayub, Dayang Noor Fatihah Binti Awang Jahri, Ratna Binti Ramli, Siti Febriyani Binti Yasin dan Hezrick Shah Putra Bin Ngadimin (1 ALG).

Berita Oleh : SMK Mutiara




Program Interaksi Akademik SPM 2019 SMK Taman Perumahan Bedaun Mendapat Sambutan Ibu Bapa

Labuan, 28 September – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah mengadakan Program Interaksi Akademik antara ibu bapa dan juga guru-guru bertempat di Dataran Bedaun SMKTPB.

Seramai 80 lebih ibu bapa atau penjaga pelajar telah hadir bagi memberi sokongan kepada program sekolah ini.

Objektif utama program ini adalah untuk mendapatkan maklum balas daripada ibu bapa tentang pencapaian anak-anak mereka yang juga merupakan calon SPM 2019.

Sebagai rekod, seramai 82 orang murid SMKTPB akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. 

Melalui program ini, ibu bapa dapat berbincang dengan guru-guru tentang pencapaian anak-anak mereka dalam Peperiksaan Percubaan SPM baru-baru ini.

Calon SPM dan ibu bapa mendengar amanat daripada Pengetua

Dalam ucapan Puan Jijah binti Mohamad Suhai (Pengetua), beliau mengharapkan agar ibu bapa terus memberikan komitmen yang tinggi kepada pihak sekolah untuk sama-sama berusaha meningkatkan pencapaian anak-anak.

Beliau juga berharap agar semua calon SPM pada tahun ini dapat memperoleh sekurang-kurangnya ‘C’ dalam semua mata pelajaran, di samping mendapat peningkatan ‘A’ dalam setiap mata pelajaran.

Pihak sekolah amat mengharapkan agar ibu bapa dapat memberikan kerjasama dengan memastikan anak-anak hadir penuh ke sekolah serta memastikan anak-anak menghadiri kelas bimbingan yang akan dilaksanakan oleh guru-guru.

Pihak sekolah  juga berharap agar  baki masa yang ada sebelum menjelang SPM akan digunakan dengan sebaik mungkin oleh semua calon SPM 2019.

Harapan yang tinggi diletakkan kepada calon pada tahun ini agar terus gandakan usaha masing-masing untuk meningkatkan kualiti pencapaian SPM 2019.

Semoga SMKTPB terus cemerlang dalam akademik, sahsiah dan juga kokurikulum.

Turut hadir dalam program ini PK Pentadbiran En. Ag Rozlan bin Manan, PK Kokurikulum Pn. Lau Chin Ying dan Naib Pengerusi PIBG SMKTPB Puan Sapiah Omar.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Penyerahan slip keputusan Peperiksaan Percubaan SPM



Inisiatif HIP Mentor : SMK Labuan Terima Penghargaan Menteri Pendidikan

YB Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik telah menyampaikan sijil penghargaan Inisiatif Program Highly Immersive Programme Mentor (HIP Mentor) kepada Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah dalam satu majlis penyampaian Sijil Penghargaan Program Pengukuhan Persekitaran Dwi Bahasa Sekolah di bawah Highly Immersive Programmes(HIP) di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya pada 27 September yang lalu.

Turut menerima sijil penghargaan ialah pesara guru Madam Chin Tsuey Wei yang merupakan Mentor bagi program HIP SMK Labuan.

Program HIP Mentor  yang bertujuan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah, akan diperluaskan lagi ke sekolah-sekolah pada tahun hadapan, kata Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik.

Beliau berkata,
projek rintis HIP mentor yang melibatkan 28 mentor yang terdiri daripada guru Bahasa
Inggeris yang telah pencen, diadakan di 27 sekolah terpilih selama tiga bulan
bermula Julai lepas.

Sekolah terpilih
itu ialah 15 di Selangor, Negeri Sembilan (lima), Perak dan Sarawak
masing-masing dua dan masing-masing satu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan
Sabah.

“Tahun depan kami akan meluaskan lagi program HIP Mentor ini di sekolah serata Malaysia dan berharap lebih ramai lagi guru-guru pencen Bahasa Inggeris dapat membantu menjadi mentor kami.”

“Mereka ini saya gelar superhero mentor kerana mereka telah mengorbankan masa secara sukarela dan percuma untuk membantu (program),” katanya kepada media selepas majlis tersebut.

Bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru pencen yang terlibat dalam HIP Mentor itu, Dr Maszlee berkata, kementerian akan berusaha mendapatkan beberapa insentif seperti bayaran elaun kepada mereka.

“Mereka perlu diberi ganjaran yang selayaknya. Kami juga memerlukan dukungan dari pihak swasta dalam membantu kami menjayakan program ini,” katanya.

Dr Maszlee berkata program itu menunjukkan keberkesanannya melalui laporan tidak rasmi yang dihantar kepadanya menunjukkan pelajar berminat dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

“Mereka berjaya
mendapatkan pelajar untuk terlibat dalam semua aktiviti dalam bahasa Inggeris
dan tahap keyakinan mereka dalam perbualan dan menulis dalam Bahasa Inggeris
telah bertambah baik berbanding sebelum program itu,” katanya.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Datuk Dr Amin bin Senin, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Berita Oleh : SMK Labuan

Encik Ismail (kanan) bersama Datuk Dr Amin Senin



Julung Kali MAIWP Labuan Menganjurkan Bahas Ala Parlimen Peringkat Negeri WP Labuan : SMK Labuan Dinobat Johan

Labuan : SMK Labuan dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Bahas Ala Parlimen Piala Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Cawangan Wilayah Persekutuan Labuan telah berlangsung di Kompleks Darul Kifayah MAIWP WP Labuan pada 23 hingga 25 september lalu.

Pertandingan yang julung kali dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan WP Labuan telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin.

Pada Peringkat akhir, Pasukan SMK Labuan yang bertindak sebagai kerajaan telah menewaskan pasukan SMK Rancha-Rancha selaku pembangkan dengan usul bahas ‘Isu Alam Sekitar : Kita Semakin Peka’.

Empat peserta yang mewakili SMK Labuan, Dania Izzati Ifwat Hadif (YAB Perdana Menteri), Kizzer Poh Wee Shen (YB Menteri Kedua), Naqiah Ainna Mohd Aminuddin (YB Menteri Ketiga) dan Nor Qhairunnisa Muhammad Azri (YB Menteri Keempat).

Usul diterima dan SMK Labuan dinobatkan sebagai johan, menerima hadiah RM500, piala dan sijil manakala SMK Rancha-Rancha sebagai naib johan.

Di separuh akhir, SMK Labuan menewaskan SM Sains Labuan.

Kemenangan itu lebih menarik selepas peserta SMK Labuan, YB Menteri Ketiga Naqiah Ainaa Mohd Aminuddin dipilih sebagai Pembahas Terbaik sekali gus menerima piala dan sijil.

Pasukan SMK Labuan, dari kiri : Ainaa, Nor Qhairunnisa, Kizzer dan Dania

Turut hadir Pengurus MAIWP Labuan, Ustaz Ahmad Saifuddin Mohd Tahir dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid JPN Labuan, Asbola Amit.

Hadir sama Pengetua Sekolah Menengah, pegawai serta kakitangan MAIWP dan Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Selain SMK Labuan dan SMK Rancha-Rancha, pertandingan itu turut disertai SMK Mutiara, SM Sains Labuan dan Sekolah Menengah Agama MAIWP Labuan.

SMK Labuan (kuota sekolah harian) dan SMA MAIWP Labuan (kuota SMA) akan mewakili WP Labuan ke peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada 9-10 Oktober ini.

Sementara itu, Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang membimbing pasukan Bahas SMK Labuan iaitu Cikgu Juliana Nain, Cikgu Rohati Lusim, Cikgu Mastura Nurillah, Cikgu Ramlae Abd Rashid dan Cikgu Zulkifli Omar atas komitmen dan kesungguhan mereka.

Encik Ismail berharap semoga pasukan Bahas SMK Labuan mencapai kejayaan di peringkat Wilayah Persekutuan nanti dan terus menjadikan pasukan Bahas SMK Labuan sebagai sebuah pasukan yang disegani.

“Saya yakin kejayaan itu adalah hasil komitmen dan kerja keras peserta yang menerima bimbingan berterusan daripada guru-guru.

“Saya berharap peserta akan terus memastikan SMK Labuan berada dalam kelompok yang terbaik di peringkat Wilayah Persekutuan minggu hadapan,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan tersebut.

Berita Oleh : SMK Labuan

Dari kiri : Puan Juliana, Puan Mastura, Nor Qhairunnisa, Dania, Encik Ismail, Ainaa, Kizzer dan Encik Zulkifli



Semarak Merdeka Warga SK Sungai Bedaun Disambut Meriah dan Berwarna Warni

Labuan – Sambutan Bulan Kemerdekaan Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB), berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti bermula pada 12 Ogos  dan berakhir pada 20 September yang lalu.

Aktiviti disertai oleh 691 murid
dan 43 guru itu diadakan setiap tahun bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan
negara. Bertemakan Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih, sambutan yang diadakan
di Dewan Mutiara, SKSB itu disambut dengan meriah, berwarna warni  dan bersifat patriotik.

Pelancaran Bulan Kemerdekaan
telah diadakan pada 12 Ogos di Dewan Permata SKSB. Dalam majlis tersebut
diadakan nyanyian lagu jalur gemilang dan kibaran jalur gemilang. Aktiviti
sepanjang bulan kemerdekaan turut diumumkan.

Program Semarak Merdeka di SKSB
bermula pada 26 Ogos yang lalu dengan kerjasama Maybank Corporate
Responsibility (CR) Day
. Sebanyak lima kontinjen yang melibatkan seramai
105 orang murid tahun 4 dan 5 serta 25 orang pegawai daripada Maybank Labuan
membuat perarakan hari kemerdekaan di Dataran SKSB. Peserta perarakan tersebut
memakai pakaian tradisional yang melambangkan perpaduan rakyat daripada
pelbagai kaum dan bangsa.

Urusetia Program turut mengadakan Sambutan Ambang Merdeka yang berlangsung dengan meriah pada 30 Ogos di Dewan Permata sekolah tersebut.

Peserta Fesyen Merdeka bergambar ceria bersama guru-guru.

Semua warga SKSB mengibarkan jalur gemilang sambil menyanyikan lagu patriotik. Guru Besar, Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod turut mengetuai laungan merdeka sebanyak tujuh kali.

Pertandingan nyanyaian lagu
patriotik turut diadakan pada 17 September lalu bagi  menyemarakkan semangat merdeka di kalangan
murid-murid. Begitu juga pertandingan mendeklamasi sajak. Ianya disertai oleh
murid-murid tahun 4 hingga 6 .

Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan telah diadakan pada 20 September lalu di Dewan Permata sekolah tersebut. Antara pengisian program ialah pertandingan fesyen merdeka, basikal berhias dan persembahan koir lagu patriotik.

Peserta koir lagu patriotik sedang membuat persembahan semasa Penutupan sambutan Bulan Kemerdekaan.
Peserta basikal berhias memperagakan basikalnya semasa Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan.

Puan Dg.Sarifah berkata, selain memeriahkan sambutan kemerdekaan negara, program yang diadakan bertujuan untuk mengukuhkan perasaan cintakan negara dan  memupuk daya juang dalam kalangan generasi muda.

 “Kesenangan hari ini bukan diarih dengan
mudah, sebaliknya menuntut pengorbanan yang besar generasi terdahulu, termasuk
mengorbankan nyawa dan harta benda. Justeru semangat menjiwai kemerdekaan perlu
ditanam di dalam jiwa anak-anak seawal usia di bangku sekolah rendah lagi.”
Katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian penutupan.

Menurutnya lagi, generasi alaf21 perlu melengkapkan diri dengan semangat patriotisme yang tinggi agar menjadi lebih kompetitif dan dinamik. Walaupun bulan Ogos dan September dianggap bulan peperiksaan penting terutamanya bagi murid Tahun 6, namun ini tidak bermakna sambutan tidak boleh diadakan.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Panitia Sejarah kerana dapat menyusun aktiviti yang menarik sepanjang bulan kemerdekaan.

“Oleh itu, murid-murid harus
memahami dan menghayati sejarah perjuangan negara bagi mencapai kemerdekaan
serta menjamin keamanan dan kemakmuran negara,” katanya lagi.

Penyelaras Program Semarak
Merdeka Shafawati Binti Seliat berkata, pada tahun ini pelbagai program dan
aktiviti diadakan untuk melahirkan murid yang mampu mengaplikasikan kemahiran
sejarah yang sebenarnya serta mencungkil kreativiti murid.

“Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2019 yang ke-62 tahun  bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ menekankan usaha memupuk perpaduan di kalangan rakyat yang berbilang bangsa dan agama. Semoga usaha ini dapat menonjolkan nilai integriti serta jati diri dalam kalangan warga sekolah dan rakyat Malaysia amnya”. Katanya ketika majlis penutupan bulan kemerdekaan.

Puan Dg. Sarifah merakamkan gambar kenangan bersama guru-guru dan pemenang peserta fesyen merdeka.

Bagi memeriahkan suasana sambutan
kemerdekaan itu, guru turut berpeluang menyertai pertandingan mewarna dan
menulis esei. Pertandingan Reka Cipta buku Skrap Kemerdekaan dan Reka Cipta
daripada bahan terbuang dengan penerapan elemen STEM turut diadakan.

Majlis penutupan bulan
kemerdekaan peringkat SKSB diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi setiap acara
yang dipertandingkan serta nyanyian lagu patriotik dengan penuh semangat
daripada seluruh warga sekolah.

Semoga semarak merdeka akan terus membara di dalam diri anak-anak muda.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Puan Dg. Sarifah (kiri), Puan Rina Farrina (dua dari kiri), Ustazah Kamariah (dua dari kanan), Encik Mohd Aizam (kanan) bergambar ceria di hadapan hasil kerja murid bagi pertandingan Reka cipta daripada bahan terbuang.



Amal Gaya Hidup Sihat : SK Patau-Patau dan SJK(C) Chi Wen Muncul Naib Johan Pertandingan Activ Jam Senam Aerobik Kebangsaan

Kuala Lumpur– SK Patau-Patau bersama SJK (C) Chi Wen muncul Naib Johan Kategori Muhibbah Pertandingan Activ Jam Senam Aerobik KPM – MILO Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2 yang berlangsung di Bangsar Gateway Mall, Kuala Lumpur dari 20 hingga 22 September 2019.

Kedua-dua sekolah yang bergabung mewakili kontinjen Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah menghantar 12 orang murid dan berjaya membawa pulang hadiah bernilai RM 4000.00 berupa barangan sukan.    

Johan bagi Kategori Muhibbah disandang kontinjen Melaka manakala tempat ketiga dimenangi pasukan dari Negeri Terengganu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin menzahirkan ucapan tahniah dan bangga atas kejayaan pasukan Muhibbah Labuan kerana mengharumkan nama Labuan di Peringkat Kebangsaan.

Pasukan Muhibbah Labuan

Sementara itu, Guru Besar SK Patau-Patau, Encik Abd Rahman bin Salim yang turut mengiringi kontinjen Labuan ke pertandingan tersebut mengucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, guru-guru dan ibu bapa kedua-dua buah sekolah dalam membantu kejayaan pasukan Labuan.

Pasukan Muhibah Labuan dianggotai oleh adik Chealsielyn Christopher, Gwen Stefani Anak Bujang, Nur Nadiha Asyura Binti Maslin, Nur Rizwaney Julia Binti Rizuan, Syahirah Binti Matasim dan Dayangku Norrabbiatul Waheeda Bt A. Ku. Faizul dari SK Patau-Patau. Manakala Ellicia Wong, Natalie Tee Yu Xuan, Elyssa Ho Yu Yan, Rachel Teo Xue Ting, Grettal Violet Henry, dan Jesselyn Justin merupakan murid SJK (C) Chi Wen.

Sementara bagi Kategori Terbuka, tiga buah sekolah dari Labuan berjaya mendapat tempat 10 terbaik iaitu SJK(C) Chi Wen, SK Patau-Patau dan SK Bukit Kalam.

Kategori ini disertai 247 buah sekolah seluruh Malaysia dan hanya 10 buah sekolah terbaik sahaja dipilih berdasarkan video Senam Aerobik yang dihantar kepada pihak KPM – MILO.

Berita Oleh : SK Patau-Patau

Pasukan SK Patau-Patau
Pasukan SJK(C) Chi Wen
Pasukan SK Bukit Kalam



SMK Mutiara Mengelola Sekolah Sukan Negeri Challenge (SSNC) Zon Borneo 2019

Labuan 21 September – SMK Mutiara telah mengelola Sekolah Sukan Negeri Challenge (SSNC) pada Sabtu. Acara tahunan ini bertujuan untuk mempromosikan acara sukan sepanjang tahun sesuai dengan status SMK Mutiara sebagai sekolah sukan negeri. Sebanyak 12 sekolah menengah telah menyahut cabaran pada tahun ini.

SMK Mutiara dan SMK Datuk Peter Mojuntin sebagai SSN telah berkolabatif menjayakan SSNC Zon Borneo sejak 5 tahun lalu.

Pada tahun ini SSNC turut disertai SMK Mat Salleh, SMK Ranau dan semua sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan sebagai pasukan jemputan.

Sebanyak 3 jenis sukan dipertandingkan iaitu Olahraga, Sepak Takraw dan Bola Jaring. Semua acara melibatkan penyertaan peserta-peserta di bawah umur 14 tahun sebagai usaha melahirkan atlet-atlet pelapis yang berwibawa.

Kejohanan SSNC kali ini telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Raisin bin Saidin.

Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas penyertaan daripada 3 buah sekolah dari Sabah dan 9 buah sekolah menengah di W.P. Labuan. Kejohanan ini adalah medan mencungkil bakat dan kemahiran atlet-atlet pelapis untuk membawa cabaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau turut menekankan kepentingan semangat kental dan usaha yang gigih untuk berjaya dalam apa-apa bidang.

“acara-acara sebegini adalah sangat baik dalam menggalakkan aktiviti pelancongan berasaskan sukan serta mampu mengeratkan silaturrahim antara sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah”. Encik Raisin Saidin

Selesai acara perasmian dan menyaksikan beberapa acara olahraga, Encik Raisin Saidin turut melawat venue pertandingan sepak takraw yang diadakan di dewan Kompleks Sukan Labuan. Beliau turut menyaksikan pertandingan bola jaring di dewan arena SMK Mutiara.

Kejohanan yang bermula jam 7.30 pagi telah berjalan lancar dan berakhir jam 2.00 petang.

Acara olahraga telah didominasi oleh atlet-atlet dari SMK Datuk Peter Mojuntin yang berjaya membawa pulang 9 pingat emas.

SMK Mutiara telah berjaya menjadi johan dalam acara sepaktakraw. Sementara itu, perlawanan akhir bola jaring antara pasukan tuan rumah dan pasukan SMK Datuk Peter Mojuntin telah berlangsung sengit dengan pasukan pelawat berjaya merangkul johan dengan jaringan 5 berbalas 4.

Acara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim.

Turut hadir menyaksikan kejohanan ini ialah Penyelia Unit Sukan Jabatan Pendidikan W.P. Labuan, Encik Awang Zain bin Awang Kanak dan wakil-wakil pengetua sekolah menengah.

Berita Oleh : SMK Mutiara




SMK Labuan Mengharumkan Nama Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan – SMK Labuan yang mewakili Wilayah Persekutuan Labuan dalam Pertandingan Inovasi Tenaga Biojisim telah dinobatkan sebagai Johan sempena Karnival Inovasi Teknologi Hijau (KITH) Peringkat Kebangsaan 2019 yang telah berlangsung di Pahang pada 16-19 September lalu.

Penganjuran karnival ini diterajui oleh Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE) dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

SMK Labuan diwakili oleh Adik Deena Liyana Talip, Nur Ainul Mardhiah Addris, Siti Aqilah Hassan dan Cikgu Isabella Kim sebagai guru pembimbing.

Kumpulan ini telah berjaya mencipta inovasi yang diberi nama CANEnergy (Cane Energy), di mana inovasi ini dapat menghasilkan tenaga daripada tenaga biojisim (hampas tebu) sebagai tenaga boleh baharu.

Pertandingan yang melibatkan peserta daripada 16 buah negeri ini adalah untuk memperluaskan ilmu pengetahuan serta mendidik peserta agar mempraktikkan penggunaan sumber alternatif daripada bahan sumber tenaga boleh baharu.

Pertandingan dibahagikan kepada tiga sesi iaitu pembinaan sel kering dan power point, pengujian sel kering dan pembentangan.

Pelajar SMK Labuan muncul johon setelah berjaya menghasilkan inovasi CANEnergy

SMK Labuan telah membawa pulang wang tunai RM1,500, trofi dan sijil. Naib johan dan tempat ketiga masing-masing telah disandang oleh pasukan negeri Kelantan dan Negeri Sembilan.

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah mengucapkan terima kasih atas sokongan dan bantuan guru-guru Sains SMK Labuan, ibu bapa murid dan PIBG sekolah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin merakamkan ucapan tahniah kepada Encik Ismail Abdullah atas kepimpinan beliau dalam memberi galakan dan dorongan kepada guru-guru dalam memastikan kejayaan ini. Dedikasi guru pembimbing juga merupakan satu faktor yang tidak kurang pentingnya membantu kejayaan pasukan ini.

Encik Ismail (tengah), Encik Cheah (Kanan) dan Puan Isabella Kim (dua dari kanan) bersama pemenang pertandingan

Berita Oleh : SMK Labuan




Murid PPKI SMK Mutiara Pelajari Pengurusan Kewangan Secara Amali

Labuan – Seramai 36 orang murid berkeperluan khas (MBK) dari Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Mutiara telah mempelajari cara– cara pengurusan kewangan secara berhemah menerusi program “Berbelanja dengan Berhemah, JOM SHOPPING”, pada 3 September lalu.

Murid – murid yang diiringi oleh 14 orang guru, lima orang Pembantu Pengurusan Murid (PPM) serta dua orang ibu bapa ini telah mengikuti dan mengalami sendiri beberapa aktiviti berkaitan pengurusan kewangan harian mereka.

Dalam program ini, MBK telah diajar bagaimana cara untuk menggunakan perkhidmatan bas awam dari sekolah ke Pusat Bandar. Murid – murid didedahkan dengan pengalaman sebenar menaiki bas awam dan membuat bayaran tambang sendiri. Rata – rata murid yang ditemui ternyata teruja dengan aktiviti ini kerana ia merupakan pengalaman pertama mereka menaiki bas awam.

Pelajar-pelajar gembira menaiki bas awam

Dalam program ini, MBK telah diajar bagaimana cara untuk menggunakan perkhidmatan bas awam dari sekolah ke Pusat Bandar. Murid – murid didedahkan dengan pengalaman sebenar menaiki bas awam dan membuat bayaran tambang sendiri. Rata – rata murid yang ditemui ternyata teruja dengan aktiviti ini kerana ia merupakan pengalaman pertama mereka menaiki bas awam.

MBK seterusnya telah dibawa ke Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan W. P. Labuan untuk mempelajari dan membuat urusan pengeluaran wang simpanan melalui kaunter.

Sebelum memulakan aktiviti, MBK telah diberi taklimat ringkas oleh Pengurus BSN Cawangan W. P. Labuan, Encik Mohd Raduan Bin Matasan tentang tatacara urusan pengeluaran wang. MBK telah diajar cara mengisi borang pengeluaran, mengambil nombor, menunggu giliran dan berurusan di kaunter.

Sepanjang aktiviti dijalankan,pihak BSN telah membuka kaunter khas bagi membantu melicinkan perjalanan program. Menurut Encik Mohd Raduan Bin Matasan ketika ditemui berkata, BSN berbesar hati menerima kehadiran MBK kerana aktiviti seperti ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial pihak bank dalam memberi perkhidmatan kepada semua lapisan masyarakat.

Di akhir program ini, MBK telah dibawa ke salah sebuah pasaraya di W. P. Labuan untuk membuat perbelanjaan mengikut jumlah duit saku yang telah dikeluarkan. Dalam aktiviti ini, murid – murid telah dibantu oleh guru – guru, PPM dan juga ibu bapa untuk membeli barang – barang mengikut keperluan serta membuat perbelanjaan secara berhemah. Peluang untuk membeli – belah ini telah memberikan satu kaedah pembelajaran yang menyeronokkan bagi MBK.

Gambar Kenangan Bersama Pengurus BSN Cawangan W. P. Labuan

Penyelaras program, Cik Zulrida Ismail berkata, program yang dilaksanakan ini merupakan sebahagian daripada kandungan dalam kurikulum pendidikan khas yang bertujuan untuk mendedahkan kepada murid tentang cara pengeluaran wang serta cara menguruskan wang dengan betul dan berhemah dalam kehidupan seharian.

Beliau amat berbesar hati dengan kerjasama yang telah diberikan oleh pelbagai pihak bagi menjayakan program kali ini termasuklah penglibatan ibu bapa. Beliau berharap agar program sebegini dapat membantu MBK untuk lebih berdikari dalam menguruskan kehidupan seharian mereka. Turut serta dalam ini ialah Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim dan Penolong Kanan PPKI SMK Mutiara, Puan Roslaniah.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Gambar 2 orang Murid Berkeperluan Khas membeli barang keperluan



Hasnan Menangi Anugerah Emas Konferensi Pendidikan Abad Ke-21 Kebangsaan 2019 Lahad Datu, Sabah

Hasnan Md Saad telah mencipta sejarah tersendiri dan mengulungi peserta lain apabila telah memenangi anugerah utama pingat emas pada kategori Pembentangan Poster Kajian Tindakan dan Penyelidikan di Konferensi Pendidikan Abad Ke 21 Kebangsaan 2019 di Lahad Datu,  Sabah Sabtu lalu.   Hasnan guru bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang, Wilayah Persekutuan Labuan telah mengemukakan tajuk kajian Jangkauan Keberkesanan Kaedah Kod Pantas dalam Memindah Ayat Aktif ke Ayat Pasif dalam PdPc Bahasa Melayu UPSR yang turut menewaskan 20 peserta lain dari seluruh negara. 

Tieew Sor Wai guru Bahasa Melayu dari SMK Sepagaya,  Lahad Datu pula mendapat pingat perak dengan tajuk kajian Putaran Ayat.  Manakala kumpulan guru mata pelajaran Sejarah Saedah Abd Wahid, Jessica Sylvester Lojikim dan Suriati Biru Parang hanya sekadar berpuas hati mendapat pingat gangsa. Menurut Hasnan sejurus ditemui selepas majlis penyampaian hadiah, beliau sendiri tidak menyangka pembentangan posternya menjadi pilihan juri memandangkan ini merupakan pengalaman kali pertama beliau mengikut kategori pembentangan poster selain berpengalaman luas dalam pembentangan kertas kajian pendidikan sama ada dalam dan luar negara.  Selain itu, Datu Ramlee Datu Amir Hussin, S. Rafedah Mohammad, Saedah Abd Wahid, Aziz Sarail, Rosdah Herawaty dan Jen Renita Mappah merupakan penerima Anugerah Pembentang Kajian Pilihan.

Konferensi Pendidikan kali ke-2 ini telah dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Lahad Datu, Sabah dengan kerjasama Sektor Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. Cabaran Pendidikan Dalam Era Revolusi Industri 4.0 telah dipilih menjadi tema. Sebanyak 30 kertas kajian turut dibentangkan melibatkan hampir 50 pengkaji dalam kalangan guru, pegawai pendidikan dan pensyarah dari seluruh negara. Mohd Sirhajwan Idek, pensyarah Kolej Vokasional Keningau yang juga Penerima Anugerah Guru Inovatif Antarabangsa dan Anugerah Guru Global Antarabangsa turut membentangkan kertas kajian “Exploring The Concept Of Gamification To Create Challenging And Intriguing Context For ESL Learners” sebagai pembentang jemputan dan juri pembentangan poster.

Terdahulu ketika merasmikan majlis tersebut, Yang Berhormat Datuk Dr Yusof bin Yacob, Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah turut menyeru dan mengingatkan kepada seluruh warga pendidik terutama di Negeri Sabah agar sentiasa bersedia mendepani gelombang arus pendidikan masa depan yang semakin deras. Guru memainkan peranan yang sangat penting sebagai arkitek pembangunan insan ke arah peningkatan sekolah berkualiti dan kemenjadian murid abad ke-21 yang holistik. Konferensi yang diadakan di Dewan Pusat Kelapa Sawit Malaysia, Lahad Datu turut dihadiri oleh Dr Mistirine bt Radin, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Zamri bin Pehakan, Pengawai Pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah Lahad Datu, pegawai-pegawai pendidikan seluruh negeri Sabah, guru-guru sekitar Lahad Datu.