SMK Labuan Johan Karnival Kadet JPJ Peringkat WP Labuan 2019

Labuan, 28 Ogos – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan Jabatan Muzium Chimney telah menganjurkan Program Karnival Kadet JPJ Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2019, bertempat di Muzium Chimney pada 23 Ogos yang lalu.

SMK Labuan dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Karnival Kadet JPJ Labuan 2019 dengan mengungguli 4 aktiviti daripada 6 aktiviti yang dipertandingkan. SMK Labuan telah memenangi aktiviti simpulan dan ikatan, Puzzle dan susunan silang kata, melukis secara berkumpulan dan aktiviti membuat monumen dari barang hanyut.

SMK Pantai pula memenangi aktviti tali terpanjang, manakala SMK Mutiara unggul dalam aktviti masakan ikhtiar hidup.

Matlamat utama program ini diadakan adalah untuk memupuk semangat bersatu padu dalam satu kumpulan kadet JPJ dan melahirkan kadet JPJ yang berdisiplin, berdedikasi, berketrampilan serta mampu menjadi pemimpin yang berkaliber.

SMK Labuan yang diwakili oleh 20 orang pelajar Kadet JPJ sekolah telah diiringi oleh Encik Nazrin Ismail, Puan Noraslindah Hassan dan Puan Emma Fadzilah Adis.

Majlis perasmian penutupan karnival ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli, Ahli Parlimen Labuan.

Turut hadir Encik Mohammad Afdhal Mohd Ruslan, Pengarah JPJ Labuan, Encik Nazli Ho Abdullah, Pemangku Pengarah Muzium Labuan dan Encik Aminuddin Abdul Malek, Pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Berita Oleh : SMK Labuan

Berdiri dari kiri – Ustazah Emma Fadzilah Adis dan Cikgu Noraslindah Hassan bersama pasukan Kadet JPJ SMK Labuan



Sekolah Kluster Kecemerlangan SK Rancha-Rancha Muncul Johan Kategori Tahap 2 dan Tahap 1 Pertandingan Bercerita Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan 2019

LABUAN, 28 OGOS – Murid tahun lima, Amni Naeelah binti Ahmad Saifuddin dan murid tahun tiga, Gabriella Isabelle Huminodun Jisty masing-masing dari Sekolah Kluster Kecemerlangan SK Rancha-Rancha muncul johan bagi kategori Tahap 2 dan Tahap 1 dalam pertandingan Bercerita Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan 2019 yang berlangsung di dewan terbuka dan pusat sumber sekolah, SK Rancha-Rancha, W.P Labuan. Dengan kejayaan itu, kedua-duanya akan mewakili Labuan ke peringkat Kebangsaan.
Naib johan kategori Tahap 2 menjadi milik Ahmad Wafiq bin Mohd Redzuan dari SK Kerupang manakala ketiga murid SK Pekan 2, Iris Qasreena binti Mohamad Haszri.
Bagi kategori Tahap 1, naib johan dimenangi murid SK Tanjung Aru, Auni Hannani binti Hasbudin dan tempat ketiga disandang Vanessa Trinity Jason yang mewakili SK St Anne.
Ketua hakim pertandingan bercerita Tahap 1, Jamilah Ag. Kanak dan Rositah Abdul Rahman selaku ketua hakim Tahap 2. Barisan hakim Tahap 1 Fauziah Saamah dan Saripah Suip, manakala bagi Tahap 2 ialah Hasnan bin Mohd Saad dan Norailing Vou. Pengerusi Teknik bagi pertandingan ini ialah Norliah Abd Gapar sementara SK Rancha-Rancha merupakan pengelola pertandingan itu.
Sebanyak 16 buah sekolah rendah dengan 16 peserta Tahap 1 dan 16 peserta Tahap 2 menyertai pertandingan ini. Ketua Unit Kokurikulum, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan (SPPK) JPNWPL, Jaafar Hj Matusin menyampaikan hadiah kepada pemenang. Turut hadir Penolong Pengarah Unit Kelab Persatuan, SPPK JPNWPL, Asmawi Hj Ahmad dan Guru Besar SK Rancha-Rancha, Norinnie binti Kassim.




SK Pekan Satu Muncul Johan Kalam Jamaie, dan Seni Khat Sempena Karnival Dakwah Sekolah-Sekolah (KDSS) WP Labuan

Labuan, 23 Ogos– Karnival Dakwah Sekolah-Sekolah (KDSS) peringkat Wilayah Persekutuan Labuan telah berlangsung pada 22 dan 23 Ogos 2019 yang lalu. Tiga acara telah diadakan sepanjang dua hari karnival ini berlangsung iaitu Kalam Jamaie, Seni Khat dan Khatam al-Quran Perdana bagi peserta-peserta sekolah rendah.

Sekolah Kebangsaan Pekan Satu menghantar penyertaan bagi ketiga-tiga acara iaitu seramai 25 orang murid mewakili pertandingan kalam jamaie, 2 orang murid mewakili pertandingan seni khat dan 2 orang mewakili acara khatam al-quran perdana di bawah bimbingan Puan Sanisah binti Zulkifle sebagai jurulatih utama dan guru pengiring.

Kumpulan Al-Hannan telah muncul johan bagi pertandingan Kalam Jamaie dan telah dipilih menerima hadiah kategori lirik terbaik. Kumpulan ini dianggotai oleh 25 orang murid yang diketuai oleh adik Nur Amna Ammiera binti Amiruddin sebagai konduktor pasukan. Kumpulan Al-Hannan mempersembahkan kalam jamaie bertajuk “Arriyadhotu” di bawah tema “Fil Mal’abi”.

Kejayaan ini telah melayakkan kumpulan Al-Hannan untuk mewakili Wilayah Persekutuan Labuan ke Karnival Dakwah Sekolah-Sekolah (KDSS) peringkat kebangsaan di Selangor Darul Ehsan pada Oktober depan.

Kumpulan Al-Hannan mendapat giliran pertama untuk memulakan pertandingan

Kejayaan terus dirai oleh peserta SK Pekan Satu apabila adik  Mohd Luqman Hakim Bin Mohamad diumumkan sebagai johan bagi acara seni khat kategori lelaki sekolah rendah.

Kejayaan ini turut melayakkan adik Mohd Luqman Hakim Bin Mohamad untuk bersama kontinjen Wilayah Persekutuan Labuan ke KDSS peringkat kebangsaan nanti. Bagi pertandingan Seni Khat kategori perempuan sekolah rendah, adik Alya Mahirah Binti Wahid telah mendapat tempat ketiga.

Acara khatam al-quran perdana yang sememangnya merupakan acara tahunan ini telah disertai oleh adik Muhammad Azhad Irsyadee  Bin Abd Danan dan adik Nur Fatin Madiha  Binti Hamka bagi mewakili SK Pekan Satu. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua yang telah mewakili sekolah.

Diharapkan agar keberanian yang ditonjolkan dan kejayaan yang telah diperoleh oleh adik-adik ini menjadi penyuntik semangat kepada rakan-rakan yang lain untuk tampil ke hadapan mengasah bakat masing-masing. Semoga kejayaan ini menjadi platform terbaik untuk semua wakil SK Pekan Satu terus mencintai al-quran , Bahasa Arab dan seni khat.

Berita Oleh : SK Pekan Satu




SKK ST Anne Rangkul Anugerah Emas Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) 2019

Labuan, 24 Ogos – Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) merupakan salah satu daripada aktiviti kokurikulum berimpak tinggi kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Sasbadi Holdings Berhad yang memberikan penekanan terhadap aspek inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar melalui pembelajaran berasaskan pengalaman yang menarik dan menyeronokkan.

Pertandingan ini menggalakkan murid
mengaplikasikan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) serta pelbagai strategi
untuk mereka bentuk dan membina robot yang hebat, seterusnya dapat mempromosi
inovasi dalam bidang sains dan teknologi di semua sekolah.

SKK SK St. Anne telah menghantar tiga
pasukan bagi menyertai pertandingan yang amat berprestij ini. Ketiga-tiga
pasukan ini menyertai “Regular Category (PRO) – Primary School (Smart Passenger
Transport) dan dibimbing oleh Cikgu Diana Farahdilla dan Cikgu Kamaliah.

Berikut merupakan pencapaian yang diperolehi oleh pasukan SKK SK St. Anne;

ANUGERAH EMAS

  • Alden Daniel Ronnie Pett
  • Jonathan Abel Jeffrey
  • Love Valentina Almodiel

ANUGERAH PERAK

  • Derwin Poh Chun Teck
  • Joycee Diedree Jostelen
  • Nur Maisarah binti Suwardi

ANUGERAH GANGSA (TEMPAT KELIMA)

  • Mohammad Carlos Raqeem bin Mahathir
  • Nur Izyan Qairina binti Tarmiji
  • Lana Aelviella Peter Charles
Pasukan yang berjaya mendapat ANUGERAH PERAK. Tahniah!

Pasukan yang berjaya mendapat ANUGERAH EMAS
dalam pertandingan ini akan mewakili WP Labuan ke peringkat kebangsaan. Semoga
program NRC ini dapat dijalankan secara berterusan untuk tahun-tahun yang
mendatang supaya terus dapat dimanfaatkan sepenuhnya supaya matlamat
kemenjadian murid dapat direalisasikan.




SKK Rancha-Rancha mendapat Anugerah Emas Kategori Regular (Rookie) Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) Peringkat Negeri W.P Labuan

LABUAN, 24 Ogos – Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) SK Rancha-Rancha mendapat Anugerah Emas Kategori Regular (Rookie) Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) Peringkat Negeri W.P Labuan kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Sasbadi Holdings Berhad yang telah diadakan pada 24 Ogos 2019 bertempat di Dewan Konvensyen Kompleks Ujana Kewangan.
Dengan kejayaan itu, SKK SK Rancha-Rancha membawa pulang plak, sijil dan pingat emas bagi setiap peserta. Peserta ialah Luqman Hafiz bin Abd Ghaffar, Adi Zackwan bin Zanki Maududi dan Muhammad Haikal bin Asmadi. Jurulatih dan guru pengiring ialah Encik Heveldy bin Morudin dan Puan Setia Pautas.

Guru besar SKK SK Rancha-Rancha, Puan Norinnie binti Kassim mengucapkan tahniah atas kejayaan pasukan itu dan berharap agar terus berjaya dalam pertandingan yang akan datang.
Penutupan dan majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Encik Jaafar bin Hj Matusin, Ketua Unit Kokurikulum, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPN W.P Labuan. Turut hadir Encik Aminuddin bin Abd Malek, dari JPN W.P Labuan dan Ustaz Abdul Kahar bin Abdul Rahim, PK Ko-kurikulum SK Sg Lada.




The Makers Sempena Karnival Robotik Matrikulasi ‘ROBOTRIX 2019’ Peringkat Kebangsaan

Labuan, 25 Ogos 2019 – Sekolah kebangsaan Pekan Satu telah dinobatkan sebagai Johan The Makers sekolah-sekolah peringkat kebangsaan sekali gus merangkul pingat emas.

Pertandingan The Makers yang berlangsung di Dewan Mutiara, Matrikulasi Labuan berjaya mencungkil bakat dan keyakinan murid dalam berucap dan menerangkan di hadapan orang ramai.

Projek inovasi yang dibentangkan iaitu F.W.E Cleaner merupakan satu projek yang menguji Kemahiran Proses Sains (KPS) murid dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kalangan murid.

Seramai empat orang peserta telah mewakili Sekolah Kebangsaan Pekan Satu dalam pertandingan ini iaitu Al Basri bin Hasby (4 Bestari), Siti Nadzwiya Nadzwa binti Nadir (4 Bestari), Muhammad Armah Khan bin Amin Khan (4 Bestari) dan Arisa Ariana (4 Bestari) di bawah bimbingan Cik Izasyahira binti Duasah dan Puan Asbaidah binti Tahir sebagai jurulatih utama dan guru pengiring.

Dari kiri Al Basri bin Hasby, Siti Nadzwiya Nadzwa binti Nadir, Muhammad Armah Khan bin Amin Khan dan Arisa Ariana.

Kejayaan yang diraih adalah satu kejayaan yang membanggakan kerana ini merupakan pengalaman kali pertama murid dalam menyertai pertandingan inovasi. Kejayaan yang diperoleh juga memberi dorongan kepada murid untuk lebih yakin dengan kebolehan diri dan menilai kekurangan untuk menambahbaik projek yang mereka jalankan. Diharapkan peluang menyertai pertandingan inovasi The Makers ini berjaya membuka minda dan minat murid ke arah pembudayaan pemikiran inovatif.

Ringkasnya, pertandingan-pertandingan yang dianjurkan merupakan salah satu peluang untuk guru-guru melatih dan mengilap bakat murid bagi membentuk kemenjadian murid dari usia muda. Diharapkan pengalaman yang murid peroleh dapat menjadikan murid lebih bersedia bagi menghadapi persaingan yang lebih hebat di peringkat yang lebih tinggi kelak. Syabas dan tahniah kepada para peserta kerana berani menyahut cabaran yang diberikan. 

Murid dan guru pengiring bersama-sama dengan juri pertandingan.
Murid bersungguh-sungguh membentangkan projek inovasi F.W.E Cleaner kepada para juri.



SMK Mutiara Johan Pertandingan Grafik Keselamatan Jalan Raya

Labuan, 23 Ogos – SMK Mutiara berjaya merangkul tempat pertama dalam pertandingan grafik keselamatan jalan raya anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Labuan. Pertandingan ini terbuka kepada sekolah-sekolah menengah yang menawarkan ko-kurikulum JPJ sebagai aktiviti badan beruniform di sekolah.

Setiap penyertaan diwajibkan menghasilkan satu poster berbentuk grafik yang berkonsepkan keselamatan jalan raya. SMK Mutiara tampil dengan imej grafik berkonsepkan bahaya menggunakan telefon bimbit semasa pemanduan. Poster tersebut telah membawa tuah kepada SMK Mutiara yang berjaya mengatasi SMK Labuan di tempat kedua dan SM ST. Anthony di tempat ketiga.

SMK Mutiara diwakili oleh Adik Mohamad Aswatul Zikrullah Bin Mohd Ayub dan Adik Abzan Shah Bin Abel, murid tingkatan 2 sekolah ini. Manakala tiga orang pelajar lagi ialah Ahmed Syazwi Najmi Bin Ahmad Nawati, Muhammad Mifzal Bin Mohd Rafi dan Mohamed Affizie Bin Sawang @ Rizal dari Tingkatan 3.

Semasa ditemui, adik Aswatul Zikrullah memberitahu mereka mengambil masa dalam masa seminggu untuk menghasilkan poster tersebut. Idea timbul daripada pemerhatian seharian mereka di mana sikap pemandu yang asyik menggunakan telefon bimbit sering menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Mereka juga mengucapkan terima kasih kepada guru-guru pembimbing yang begitu komited dalam membantu penghasilan poster tersebut. Guru tersebut Ini termasuklah Cikgu Ilias Bin Zakaria dan Cikgu Rohani Binti Tali @ Md Ali (Guru Penasihat Kadet JPJ SMKM), Cikgu Mohd Asrul Bin Jais (grafik) dan Cikgu Felix Heng Yong Yuen (mencetak). Cik Debbie Lawrence pula membantu membuat terjemahan idea ke dalam bahasa inggeris. Adik Aswatul Zikrullah juga menekankan prinsip kerjasama telah membuahkan hasil dan menyifatkan kemenangan ini merupakan kemenangan SMK Mutiara secara keseluruhan.

Peserta pertandingan grafik keselamatan jalan raya bergambar kenangan bersama Pengarah JPJ.

Johan pertandingan membawa pulang hadiah wang tunai RM250, tropi dan sijil kemenangan selaku johan dalam pertandingan ini. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Pengarah JPJ Labuan yang diadakan serentak dengan Majlis Perhimpunan Bulanan JPJ.

Turut hadir di dalam majlis tersebut ialah Encik Aminuddin Abdul Malek, Penyelia Kanan Pasukan Badan Beruniform selaku wakil rasmi Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan W.P.Labuan.

Berita Oleh : SMK Mutiara




Warga SK Sungai Bedaun Berkongsi Nikmat Rezeki Dalam Ibadah Korban

Labuan – Seramai 47 murid daripada golongan asnaf dan anak yatim diraikan dalam program korban yang dianjurkan oleh Musalla Al Kauthar dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam dan Kelab Guru dan Staf, Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) pada 11 Ogos lalu di padang SKSB.

SK Sungai Bedaun telah mengadakan program korban sejak tahun 2018. Pada tahun ini, dua ekor lembu telah disumbangkan oleh guru-guru untuk ibadah korban.

Program ini diadakan sejurus selepas solat sunat Aidiladha dan selesai selepas solat zohor. Warga SKSB bersama Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) bergotong- royong bagi menyempurnakan program ini.

Proses penyembelihan telah dilakukan oleh Ustaz Sahrum Bin Samlan, Penolong Pengarah Pembangunan Adab dan Nilai, Jabatan Pendidikan W.P.Labuan yang juga merupakan ahli PIBG dan alumni SKSB.

Menurut Puan
Dayang Sarifah Binti A. Mahmod, Guru Besar SKSB, Program korban pada tahun
ini  sangat meriah dengan kehadiran ramai
ibu bapa yang membantu pihak sekolah menguruskan kerja-kerja penyembelehan,
melapah, mengagihkan daging serta memasak untuk kenduri korban.   

“Alhamdulillah, majlis berjalan lancar dan saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para penyumbang dan semua yang terbabit menjayakan program korban tahun ini,” katanya.

Puan Dg. Sarifah (dua dari kiri) mengagihkan daging korban dan juadah kenduri kepada penerima sambil diperhatikan oleh Puan Rina Farrina (kiri) dan Ustaz Sahrum (kanan).

Menurut Puan
Saudah Binti Abdul Wahab Penyelaras Program Korban, banyak permintaan daripada
guru-guru untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun ini namun pihak sekolah
terpaksa menghadkan kepada dua ekor lembu sahaja memandangkan tenaga kerja
untuk melapah daging tidak mencukupi.

“InshaAllah,
pihak urusetia akan meneruskan program korban berkelompok di tahun hadapan. Sekiranya
ada permintaan kita akan menambah kouta kepada tiga ekor lembu”. Katanya.

Antara juadah
yang disediakan untuk kenduri korban tersebut ialah sup tulang, daging goreng
dan  sayur campur. Daging yang siap
dibungkus kemudian diagihkan kepada golongan asnaf dan anak yatim bermula jam
12.30 tengah hari. Pengagihan 143 kg daging korban juga berjalan lancar dan
sistematik.

Semoga Program korban ini mendapat keberkatan serta mengeratkan lagi silaturrahim di kalangan warga SK Sungai Bedaun dan komuniti setempat.

Pihak sekolah berharap agar program ini dapat memberi sinar kegembiraan kepada golongan asnaf untuk sama-sama meraikan Aidiladha dengan penuh kegembiraan.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun




SMK Labuan Johan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat WP Labuan 2019

Labuan, 21 Ogos – Lima orang pelajar Tingkatan Enam SMK Labuan yang menamakan kumpulan mereka sebagai Kumpulan Pengisahan Sinaran Maida telah berjaya menjuarai Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 2019 Peringkat WP Labuan pada 17 Ogos 2019 di Anjung Budaya Layang-Layangan.

Pertandingan Pengisahan Kenegaraan ini terbuka kepada peserta-peserta berumur 18 tahun ke atas.

Sinaran Maida terdiri daripada tiga orang pelakon iaitu Mohamad Azuan bin Isack (6 Atas), Mohamad Syazwan Firdaus bin Mohd Sufry (6 Rendah) dan Elly Nazirah binti Sufri (6 Rendah).

Mereka dibantu oleh 2 orang krew iaitu Aleeya Nazurin binti Dzulhaide dan Nurul Ateyrah binti Yusaili, kedua-duanya pelajar 6 Rendah.

Sinaran Maida yang telah berjaya merangkul hadiah RM3000 berserta trofi dan sijil, menewaskan saingan kumpulan Pearl Revolution di tempat kedua dan Team Pisangs di tempat ketiga.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh YBhg Dato’ Sri Haji Amir bin Hussien, Pengerusi Perbadanan Labuan.

Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Sri Hj Amir berkata, di sebalik kenikmatan yang dirasai sebagai rakyat yang bernaung di bawah Negara yang bebas, sudah pasti terdapat tokoh-tokoh yang berjuang di sebaliknya bagi mendapatkan kemerdekaan.

” Sentiasa menghargai dan mengingati perjuangan tokoh-tokoh negara ini adalah salah satu cara bagaimana kita menyuburkan semangat patriotism dan cinta kepada negara dalam kalangan warganegara Malaysia.” Dato’ Sri Hj Amir

Sinaran Maida akan mewakili WP Labuan dalam Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Terengganu pada 27-28 September 2019.

Berita Oleh : SMK Labuan




SMK Mutiara Anjur Ceramah Remaja, Penyalahgunaan Dadah, Inhalan dan Bahan Terlarang

Labuan, 20 Ogos – Seramai 36 murid SMK Mutiara mengikuti ceramah tentang bahaya najis dadah oleh AADK bertempat di Dewan Semarak sekolah ini.

Sesi ceramah telah disampaikan oleh Encik Md. Hasri bin Jeinia, Pegawai Pencegahan AADK Cawangan Labuan. Ceramah selama 1 jam 30 minit telah menyentuh pelbagai aspek pengetahuan dan kemahiran remaja menangkis ancaman bahaya najis dadah.

Menurut Encik Hasri, golongan remaja semakin terdedah kepada ancaman najis dadah. Perkara utama yang diperlukan oleh remaja masakini ialah kekuatan dalaman termasuk disiplin diri dan didikan agama yang kukuh.

Tambah beliau, faktor utama remaja terjebak dalam penyalahgunaan dadah ialah disebabkan pengaruh rakan sebaya. Justeru remaja dinasihatkan untuk bijak memilih rakan dalam pergaulan harian.

Encik Hasri sedang memberi ceramah kepada murid-murid mengenai bahayanya penyalahgunaan dadah kepada murid-murid SMK Mutiara

Ceramah ini dilaksanakan sempena Minggu Antidadah peringkat sekolah yang diadakan mulai 19 sehingga 23 Ogos 2019.

Menurut Encik Hafiz, penyalaras program yang juga Kaunselor sekolah memberitahu aktiviti-aktiviti lain yang turut diadakan sepanjang minggu antidadah ialah Cafe teen, lawatan ke Pusat Koreksional Labuan dan IPD Labuan, pertandingan melukis poster dan menulis esei serta pertandingan keceriaan lorong PPDa di sekolah.

Acara perasmian Minggu Antidadah yang bertemakan ‘Komuniti Kita Tanggungjawab Kita’ telah disempurnakan oleh pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim.

Berita Oleh : SMK Mutiara