MPSM Labuan Tuan Rumah Bengkel Kerja Profesional MPSM Peringkat Kebangsaan

Labuan, 19 Julai – Wilayah Persekutuan Labuan telah dipilih menjadi lokasi Bengkel Profesional Pengetua, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Kebangsaan Bil.1/2019 dari 16 hingga 18 Julai 2019.

Bengkel yang menghimpunkan 25 exco tertinggi MPSM dari seluruh negara ini telah diadakan di salah sebuah hotel di pusat bandar.

Antara matlamat bengkel ialah menyediakan kertas-kertas cadangan bagi meningkatkan dan memartabatkan profesion keguruan secara komprehensif.

Kertas-kertas cadangan ini akan dimajukan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk perbincangan dan tindakan selanjutnya.

Yang DiPertua MPSM Kebangsaan, Dato’ Hj Sabuddin bin Hj Sani berkata Kementerian Pendidikan sentiasa terbuka untuk menerima cadangan daripada mana-mana pertubuhan dalam memartabatkan agenda pendidikan negara. Peluang ini perlu digunakan sebaik-baiknya demi kemenjadian anak-anak murid seluruh negara.

Selain itu, delegasi ini juga dibawa melawat tempat-tempat menarik di Labuan sebagai sebahagian daripada aktiviti mempromosikan Labuan sebagai destinasi pelancongan terbaik. Kompleks Sukan Laut Labuan menjadi lokasi pertama lawatan. Lokasi lain yang dilawat ialah Kompleks Ujana Kewangan dan Pasar Sentral UTC.

Di akhir sesi lawatan para delegasi di bawa melawat Pantai Layang-Layangan yang juga merupakan pantai untuk menikmati pemandangan indah matahari terbenam. Bagi ahli delegasi yang pertama kali datang ke Labuan, mereka melahirkan rasa kagum atas kecantikan dan kebersihan pulau bebas cukai ini.

Para delegasi turut diraikan dalam satu majlis makan makan di salah sebuah restoran di pusat bandar.

Encik Raisin Saidin menyampaikan cenderahati dari JPWPL kepada YDP MPSM Kebangsaan, Dato’ Hj Sabuddin

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin bin Saidin hadir meraikan delegasi MPSM kebangsaan.

Dalam ucapannya, Encik Raisin Saidin melahirkan rasa bertuah dan berterima kasih kerana MPSM Kebangsaan telah memilih Labuan menjadi lokasi bengkel profesional kali ini, seterusnya dapat menjana ekonomi di Labuan.

“Kedatangan MPSM kebangsaan ini juga, sudah tentu membantu merancakkan sektor pelancongan Labuan seterusnya menjana ekonomi Labuan”. Encik Raisin Saidin

Beliau turut berharap agar kerjasama antara MPSM Kebangsaan dan MPSM Labuan memberi manfaat terutamanya dalam meningkatkan kualiti sekolah.

Berita Oleh : Cikgu Mohd Nizam Yasim, Pengetua SMK Mutiara

Encik Raisin Saidin meraikan delegasi MPSM Kebangsaan dalam majlis makan malam



SMK Labuan Juara Hoki Lelaki Bawah 18 Tahun MSS WP Labuan

Labuan – SMK Labuan dinobatkan sebagai juara kategori Lelaki Bawah 18 di Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan (MSSWP) Labuan (4’S Modified Game) yang berlangsung di gelanggang Serbaguna Terbuka SK Bukit Kallam pada 11 hingga 13 Julai.

Pada perlawanan akhir, SMK Labuan berjaya menebus kekalahan 0-1 di peringkat liga di tangan SM Sains Labuan setelah menang bergaya dengan keputusan 5-0.

Adik Mohd Noorhakimin Noorashikan dari SMK Labuan muncul penjaring terbanyak dengan 4 gol.

Perlawanan yang diadakan secara liga dalam satu kumpulan itu menyaksikan dua pasukan teratas iaitu SM Sains Labuan dan SMK Labuan layak ke perlawanan akhir.

Terdahulu, pada peringkat liga, SMK Labuan mengalahkan SMK Pantai IBWS 4-0, seri dengan SMK Mutiara 0-0 dan tewas di tangan SM Sains Labuan (SM Sains Labuan) 0-1.

Kejohanan pada kali ini dikelolakan oleh SMK Labuan serta Jawatankuasa Teknik dan Pembangunan Sukan Hoki Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan.

Hadiah berbentuk medal, trofi dan sijil disampaikan oleh Ketua Unit Sukan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Ag Mohd Zain Ag Anak.

Mohd Noorhakimin menerima anugerah penjaring terbanyak daripada Encik Ag Mohd Zain diperhati oleh Encik Ismail dan Encik Mohd Afendi

Turut hadir, Pengetua SMK Labuan Ismail Abdullah yang juga pengerusi pengelola kejohanan dan Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan Hoki MSSWPL Encik Mohamad Affendi Abas.

Pengadilan sepanjang kejohanan itu dibantu oleh ahli Kelab Hoki WP Labuan.

Sementara itu, Encik Ismail berharap agar SMK Labuan dapat meneruskan kejayaan dalam sukan hoki ini pada tahun-tahun akan datang termasuk bagi kategori perempuan.

“Tahniah buat pemain dan jurulatih pasukan hoki lelaki yang menjuarai kejohanan itu. Saya berharap kejayaan itu akan dituruti oleh pasukan hoki perempuan,” katanya selepas perlawanan akhir dilangsungkan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada PIBG yang memberi sokongan dan bantuan kepada pembangunan sukan SMK Labuan termasuk sukan hoki.

Berita Oleh : SMK Labuan




Pesta Pantun Sekolah-Sekolah Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2019

Labuan, 10-12 Julai 2019 – SK Pekan Satu dinobatkan sebagai naib johan Pesta Pantun sekolah-sekolah peringkat Wilayah Persekutuan Labuan. Pesta pantun yang berlangsung selama tiga hari, berkampung di SMK Pantai Labuan, berjaya mencungkil malah mengilap bakat, kretiviti dan kritis serta kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) secara spontan dikalangan murid SKPS.

Dari kiri barisan hadapan Nur Uzma Khairunnisa, Iman Khayra Binti Haniz. Dari kiri barisan belakang
Alya Mahirah, Nur Amna Amierra

Seramai lima orang
peserta Pesta Pantun cili api SKPS
yang diwakili oleh adik Nurul Arifah Binti Sazali Rithouddin (5 Genius), Nur
Amna Amierra Binti Amiruddin (5 Genius), Alya Mahirah Binti Wahid (5 Genius), Nur
Uzma Khairunnisa Binti Ahmad (5 Genius) dan Iman Khayra Binti Haniz (5 Genius).
Semua peserta Pesta Pantun SKPS ini adalah dibawah bimbingan Pn. Masnah Ali
Hussin, Cik Nuradilah Binti Sami dan Cik Suriana Abdul Kadir selaku jurulatih
utama dan guru pengiring peserta SKPS.

Kejayaan peserta pantun SKPS
meraih kedudukan naib johan dalam Pesta Pantun ini membuktikan bahawa
murid-murid SKPS gagah memberikan saingan gerun
malahmenggugat kedudukan 14  buah
sekolah lain yang turut menyertai Pesta Pantun tahun ini. Berkat kesungguhan
dan kegigihan guru-guru pembimbing membuktikan bahawa bakat dan kehandalan
murid-murid SKPS sukar disangkal dan sudah semestinya akan terus digilap dari
rebungnya bak kata pepatah melayu “melentur
buluh biar dari rebungnya”.

 Ibarat harimau yang mengaum guru-guru SKPS pastinya
akan melipat gandakan usaha, serta sentiasa menyuntik pengetahuan, kaedah,
teknik yang bersifat intelektual. Anjakan demi anjakan akan sentiasa
dilestarikan malah pelbagai diagnosis akan dilakukan oleh
para guru sebagai alternatif sesuai dengan kehendak dan perkembangan Pesta
Pantun pada masa akan datang.

Terima kasih atas sokongan padu Guru Besar SKPS  Pn Anita Syahmini Binti S Azman, Barisan penolong kanan pentadbiran dan seluruh warga SKPS kerana sentiasa memberi sokongan serta galakan kepada peserta SKPS sepanjang Pesta Pantun di jalankan. Selaku Guru Besar SKPS, Pn Anita Syahmini yakin kejuaraan Pesta Pantun dalam genggaman SKPS pada tahun hadapan.

Gambar peserta Pesta Pantun SKPS bersama PK Kokum En Esmit bin Amat dan jurulatih

Secara konklusinya, alternatif yang dinamis akan diteruskan
untuk meraih kejuraan dalam apa juga pertandingan yang akan disertai oleh
murid-murid SKPS. Guru-guru SKPS sudah pasti menjadi saluran failitator kepada murid-murid dan
sentiasa bersiap siaga untuk menyahut cabaran sebagai pencabar utama dalam apa
juga pertandingan di peringkat Wilayah Persekutuan Labuan. Usaha tangga
kejayaan pasti membuah kan hasil yang lumayan. Syabas dan tahniah kepada
peserta pesta pantun SKPS!!!




Pemimpin Sekolah Labuan Menghadiri Kursus Speed-Up Anjuran IAB

Labuan, 13 Julai – Seramai 34 orang pemimpin sekolah rendah di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan menghadiri kursus Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SPeeD-uP) yang dikelolakan oleh Institut Aminuddin Baki (IAB) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Labuan pada 9 hingga 11 Julai di Bilik Benua, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN).

Program Pembangunan Prestasi Sekolah bertujuan untuk meningkatkan pencapaian sekolah dalam pelbagai bidang, menganjakkan sekolah ke tahap yang lebih baik seterusnya menjadikan sekolah sebagai pusat kecemerlangan pendidikan. 

Kursus selama tiga hari tersebut dikendalikan oleh pensyarah IAB iaitu Encik Zulkifli Bin Manap, Encik Abd Razak bin Abu Samah dan Dr Abdul Rahim Bin Abdul Rashid. Ianya dihadiri oleh 15 orang guru besar dan 19 orang guru penolong kanan.

En Abd Razak bin Abu Samah, pengurus program SPeeD-uP berkata   kursus ini  bertujuan untuk membimbing pemimpin sekolah untuk mengenalpasti konsep dan kemahiran-kemahiran kepimpinan bagi pengurusan sekolah yang berkesan.

Dr Abd Rahim sedang membimbing peserta kursus menyediakan Pelan Tindakan Sekolah.
Para peserta begitu tekun menyediakan Pelan Tindakan Sekolah.

Selain itu, peserta kursus turut dibimbing menggunakan laporan SKPMg2 bagi menganalisis isu kelemahan sekolah masing-masing. 

Peserta turut teruja mendengar ceramah mengenai “Deliverology” yang disampaikan oleh En Zulkifli. “Deliverology” merupakan satu proses yang sistematik untuk mendorong kemajuan dan membuahkan hasil.

Dalam kursus ini, para peserta diminta mengaplikasikan proses “Deliverology”  untuk melancarkan pelaksanaan perancangan di sekolah masing-masing.

Pembentangan Pelan Tindakan Sekolah telah disampaikan oleh guru besar dengan dibantu oleh guru penolong kanan.

Adalah diharapkan melalui kursus ini semua
sekolah dapat melonjakkan pencapaian semua murid melepasi tahap penguasaan
minima serta berkongsi dapatan kursus dengan warga sekolah.

Berita oleh Puan Kamariah Salim, SK Sungai Bedaun

Pemimpin sekolah begitu ceria merakamkan gambar kenangan bersama pensyarah IAB selepas sesi pembentangan.



MPSM Terajui Pasukan Task Force Mata Pelajaran Menjana Kecemerlangan Prestasi SPM dan PT3

MPSM telah dipertanggungjawabkan untuk menerajui pasukan Task Force mata pelajaran dalam melonjakkan prestasi SPM dan PT3 tahun 2019.

Perkara ini telah diputuskan oleh Jabatan Pendidikan W. P. Labuan mulai April tahun ini. Semua pengetua sekolah menengah telah dilantik menjadi pengerusi kepada pasukan mata pelajaran ini berdasarkan kekuatan dan kemahiran yang dimiliki oleh setiap sekolah yang berkenaan.

Pengerusi-pengerusi pasukan task force mata pelajaran SPM telah giat merancang, menyusun dan melaksanakan pelbagai strategi dalam usaha meningkatkan kompetensi guru-guru.

Pelbagai kaedah digunakan termasuklah peningkatan profesional guru melalui PLC, pembinaan modul latihan dan  bengkel pemeriksaan dan penyemakan kertas.

Sehingga awal Julai 2019, setiap pasukan task force mata pelajaran telah mengadakan sekurang-kurangnya 3 kali perjumpaan berkonsepkan professional learning community (PLC) .

Pasukan Task Force SPM dan PT3 diketuai oleh YDP MPSM Labuan yang juga merupakan Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail bin Abdullah bagi mata pelajaran  MPEI ( Prinsip Perakaunan, Ekonomi dan Perniagaan ). Sementara itu,

Puan Dona Undoh yang juga Pengetua SM St.Anthony mengetuai mata pelajaran Sejarah. Manakala Puan Hajah Jijah Bt Mohamad Suhai Pengetua SMK TP Bedaun menggerakkan pasukan  task force mata pelajaran Matematik SPM.

Task Force Mata Pelajaran Matematik

Selain itu, Encik Mohd Jamatin bin Abd Latif, Pengetua SMK Lajau telah mengetuai mata pelajaran Sains. Bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris pula diterajui oleh Encik Mohd Nizam bin Yasim yang juga Pengetua SMK Mutiara.

Puan Norazita binti Mohd Noor, Pengetua SMK Pantai IBWS pula bertanggungjawab bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Tuan Hj Mahamad Shukri Bin Said, Pengetua SMS SBT pula bagi mata pelajaran sains tulen.

Di peringkat PT3, dua mata pelajaran telah diberi keutamaan iaitu Matematik dan Sains. Pasukan Task Force Matematik PT3 dipengerusikan oleh En Yahya Ahmad Puteh, Pengetua SMK Rancha-Rancha dan Puan Mary Anita Abah, Pengetua SM St.Anne pula menerajui mata pelajaran Sains PT3.

Pelbagai pihak telah tampil menghulur bantuan dan sokongan dalam menjayakan aktiviti pasukan Task Force SPM setakat ini. Hal ini menunjukkan semangat kebersamaan pelbagai pihak dalam meletakkan nama Labuan di tempat sewajarnya dalam bidang pendidikan dan menjayakan slogan LABUAN SUPERB, Guru Sayang Muridnya.

Berita Oleh : Cikgu Mohd Nizam Yassim

Task Force Mata Pelajaran Sejarah



Pameran MPV SMK Labuan Semarakkan Pembudayaan Pendidikan STEM dan TVET

Labuan – SMK Labuan telah mengadakan Pameran Mata Pelajaran Vokasional (MPV) Grafik Berkomputer dan Produksi Multimedia pada 4 Julai lalu dengan mempamerkan hasil gabungan pembelajaran perisian yang telah murid pelajari dari tingkatan 4 hingga tingkatan 5.

Pameran MPV ini sedikit sebanyak dapat menyemarakkan pembudayaan pendidikan STEM dan TVET yang telah menjadi bidang keutamaan untuk menyediakan modal insan berkemahiran tinggi dalam mendepani era Revolusi Perindustrian 4.0.

Murid-murid Produksi Multimedia telah berjaya mempamerkan 2 projek akhir iaitu CD pembelajaran yang berkonsep learning courseware for kids dan laman pembelajaran mengikut subjek yang telah dipilih oleh murid.

Learning courseware merupakan perisian berbentuk pembelajaran ABC, dan 123 yang mempunyai versi Bahasa Melayu dan English. Learning courseware yang dihasilkan menggunakan gabungan perisian, macromedia freehand, macromedia flash, soundforge dan adobe photoshop.

Puan Siti Aminah bersama murid Produksi Multimedia

Laman pembelajaran pula berkonsepkan blog yang dibina oleh murid dengan menggunakan perisian macromedia dreamweaver, flash dan adobe photoshop.

Murid Grafik Berkomputer mempamerkan eviden Modul Pentaksiran Murid dari Tingkatan 4 hingga 5, serta barang jualan atau pameran mengikut produk yang dihasilkan oleh murid.

Pameran ini telah dirasmikan oleh Puan Zalina binti Zunkepely, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Labuan.

Puan Rafidah Md Pee, Guru Grafik Berkomputer dan Puan Siti Aminah Ahmad Ramli, Guru Produksi Multimedia merupakan pembimbing murid-murid dalam menjayakan Pameran MPV ini.

Pengunjung membeli produk jualan murid



PIBG Raikan Lebaran dan Hargai Jasa Guru SK Layang-Layangan

Sambutan hari raya aidifitri  peringkat SK. Layang-Layangan disekalikan dengan sambutan Hari Guru disambut dengan meriah. Buat julung kalinya PIBG sekolah ini meraikan Lebaran secara besar-besaran berjaya mengumpulkan warganya bertempat di Dewan Surapit sekolah itu.

Antara lain objektifnya adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim antara ibu bapa, murid, guru dan staff Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan dengan saling bermaaf-maafan. Mewujudkan rasa insaf dan syukur sebagai penganut beragama Islam setelah berpuasa selama sebulan dan merapatkan jurang kehidupan di kalangan warga sekolah.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan En. Jumadi Bin Kastari selaku YDP PIBG sekolah ini berharap agar sambutan Raya anjuran PIBG ini dapat dijadikan sebagai acara tahunan. Menurutnya lagi hubungan baik antara ibu bapa dan guru-guru akan membawa impak keberhasilan yang baik kepada murid-murid sekolah ini.

Pada majlis ini YDP PIBG telah melancarkan logo PIBG yang direka khas oleh beliau sendiri. Pelancaran logo ini telah disempurnakan oleh Tuan Alfonso Francis Timb. Pengarah Koreksional Labuan.

Pada majlis ini juga disekalikan dengan majlis perpisahan Guru Besar Puan Hajah Dayang @ Saidah Bt Hj Mohd Yassin yang berpindah ke SK. Pekan Dua.

Guru Besar menyampaikan ucapan.

Dalam ucapannya beliau amat terharu dengan usaha murni yang dijalinkan antara PIBG dan sekolah ini begitu akrab serta menunjukkan kerjasama yang baik antara kedua-dua belah pihak sejak beliau menerajui sekolah ini sehingga membuahkan hasil.

Beliau sendiri dianugerahi sebagai Tokoh Guru Besar Inspirasi PIBK peringkat negeri dan sekolah juga dinobatkan Johan Gerai Tercantik PIBK sempena pameran PIBK peringkat negeri. Beliau berharap usaha murni ini dapat kesinambungan legasi di bawah kepimpinan yang baharu.

“Sokongan ibu bapa yang sanggup menyediakan pelbagai jenis kuih-muih adalah satu kerjasama yang mantap dalam menjayakan program yang telah dimasukkan dalam takwim aktiviti sekolah, ini” “Saya melahirkan rasa bangga dengan inisiatif PIBG yang bukan sahaja bertungkus lumus menyediakan juadah, tapi turut mempersiapkan gerai mereka dengan hiasan yang menarik.” Katanya.

Majlis diteruskan dengan pertandingan pemakaian baju raya sedondon dan tercantik yang diperagakan oleh ibu bapa dan murid-murid. Maljis diselangselikan dengan nyayian lagu raya oleh ibu bapa dan murid-murid.

Pelbagai jamuan hari raya dihidangkan di mana terdapat gerai makanan untuk murid-murid seperti gerai satay, soto, buah-buahan, bihun sup, kuih-muih, air dan banyak lagi. Gerai makanan ini diuruskan oleh guru-guru dan juga ibu bapa yang terlibat.

Pelancaran Logo PIBG SK Layang-Layangan

Acara kemuncak bagi sambutan hari raya adalah penyampaian cenderahati daripada ibu bapa kepada guru-guru sekolah ini sebagai tanda menghargai jasa mereka dan acara memotong kek Hari Guru, Pulut kunyit dan kek sempena memperingati hari lahir Guru Besar.

Penyampaian hadiah untuk peserta pertandingan baju raya tercantik sedondon ibu bapa dan murid  serta  pertandingan gerai popular dan ceria turut disampaikan.

Semangat Syawal terpapar jelas dengan kegembiraan warga sekolah khasnya murid-murid yang meraikan sambutan. Kehadiran pelbagai pihak seperti Timbalan Pengarah Koreksional, wakil JPN, Ketua Kampung, AJK PIBG serta Pegawai Angkat Polis turut memeriahkan lagi suasana.

Berita Oleh : SK Layang-Layangan

Puan Hajah Dayang bersama-sama ahli PIBG yang meraikan jasa guru
Antara Gerai tercantik dan ceria menghidangkan juadah yang enak.



Murid SK Sungai Bedaun diraikan oleh Malaysia Airport Labuan

Labuan – Seramai empat belas murid Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) diraikan dalam Majlis Ceria Aidilfitri anjuran Malaysia Airport Labuan (MAL) di Lapangan Terbang Labuan pada 19 Jun lalu.

Majlis Ceria Aidilfitri diadakan saban tahun bagi meraikan sambutan Aidilfitri di kalangan staf serta tetamu jemputan. Dalam majlis berkenaan turut disampaikan sumbangan raya kepada empat belas murid SKSB.  Mereka terdiri daripada anak yatim dan asnaf daripada tahun satu hingga tahun enam.  

Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod, Guru Besar SKSB melahirkan rasa syukur dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Malaysia Airport Labuan kerana memilih anak-anak SKSB untuk diraikan di dalam majlis tersebut.

Datuk Rozman (berdiri tiga dari kanan), Puan Lindayani (berdiri dua dari kanan), Encik Amat (berdiri dari kiri), Puan Dg. Sarifah (berdiri empat dari kanan) bergambar kenangan bersama penerima sumbangan Malaysia Airport Labuan dan guru pengiring.

“Saya sungguh terharu di atas jemputan untuk anak-anak SKSB. Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak mampu memberi kedamaian buat anak-anak yatim dan asnaf yang kita raikan. Harapan saya semoga kerjasama di antara Malaysia Airport Labuan dengan SKSB dapat diteruskan di masa akan datang. Kami juga amat berbesar hati sekiranya pihak Malaysia Airport sudi menjadikan SKSB sebagai anak angkat bagi program kecemerlangan Pendidikan”. Katanya ketika ditemui dalam majlis jamuan raya tersebut.

Pelbagai juadah yang enak disediakan oleh pihak urusetia. Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan gerai-gerai yang menyediakan pelbagai juadah raya yang sungguh menyelerakan.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Datuk Rozman Bin Isli, Ahli Parlimen Labuan, Encik Amat Bin Madin Pengurus MAL, Puan Lindayani Binti Tajudin, Ketua Bahagia Penerokaan Luar Negara Malaysia Airports serta tetamu jemputan. 

Murid-murid yang diraikan bersama guru pengiring dan kakitangan Malaysia Airport Labuan bergambar seusai Majlis Ceria Aidilfitri.



Beraneka Jenis Kek Meriahkan Suasana Sambutan Hari Jadi Warga SK Sungai Bedaun

Labuan – Bagi merealisasikan Program Amalan Guru Penyayang, Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Lahir  warga sekolah yang lahir pada bulan Januari hingga Jun pada 28 Jun lalu di Dewan Permata sekolah tersebut. 

Seramai 319 orang murid  dari kelas Prasekolah, Tahun 1 hingga Tahun 6 telah diraikan. Tidak dilupakan juga seramai 20 orang guru dan seorang staf sokongan yang lahir dalam tempoh bulan tersebut diraikan bersama.

Majlis ini telah dikelolakan oleh Jawatankuasa Program Guru Penyayang di bawah Unit Hal Ehwal Murid. Tujuan pelaksanaan program ini adalah untuk menghargai serta menjaga kebajikan setiap warga sekolah seterusnya memupuk semangat kasih sayang dalam kalangan warga sekolah.

Guru Besar SKSB, Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod berkata, Sambutan Hari Lahir merupakan salah satu program dalam takwim sekolah bagi meraikan  hari-hari penting bagi setiap murid dan staf seperti hari kelahiran mereka.

“Program ini dapat mendorong murid-murid bergaul mesra di antara satu sama lain dan memupuk perpaduan di kalangan mereka yang terdiri daripada berbilang kaum. Murid-murid akan merasakan diri mereka lebih dihargai sekaligus merasakan diri mereka adalah sebahagian aset sekolah”. Katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

 “Walaupun majlis tersebut dibuat secara ringkas, tetapi kesannya amat bermakna kepada murid-murid dan guru-guru terutama kepada mereka yang diraikan. Perasaan disayangi dan dihargai serta rasa kesyukuran dapat dipupuk melalui majlis ini. Tidak dapat dinafikan ada dalam kalangan murid-murid ini tidak pernah diraikan hari lahir mereka. Oleh itu, pengalaman ini amat bermakna buat mereka”, ujarnya lagi.  

Sebahagian daripada kek yang disumbangkan oleh ibu bapa murid yang menyambut hari jadi dari bulan Jan- Jun

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Puan Unos Mastura Tieh, Penolong Pengarah Unit Bimbingan dan Kaunseling, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan Puan Wiwik Iswandari Binti Sudirman, Yang Dipertua PIBG SKSB dan barisan pentadbir serta kehadiran para ibu bapa murid yang memberi kegembiraan kepada murid-murid.

Dalam ucapannya, Puan Unos Mastura berkata program amalan penyayang ini  perlu dilaksanakan di semua sekolah seluruh Negara. Antara aktivitinya ialah mengalu-alukan kehadiran murid, memberi penghargaan kepada murid dan program mentor mentee. Ia bertujuan untuk menarik minat murid-murid hadir ke sekolah dengan perasaan ceria.

“Amalan penyayang yang diterapkan di
sekolah bukan sahaja menyambut kedatangan murid di pintu pagar dan meraikan
sambutan hari jadi tetapi dalam skop yang lebih luas ianya perlu dibudayakan
dalam amalan seharian warga sekolah”. Katanya ketika berucap dalam majlis
berkenaan.

Majlis ini diserikan dengan upacara memotong kek dengan diiringi persembahan kibod dan nyanyian lagu Selamat Hari Jadi secara beramai-ramai. Murid-murid dan guru-guru yang diraikan turut menerima cenderamata daripada Kelab Guru dan pihak sekolah yang disampaikan oleh Puan Unos Masturah dan Puan Dg. Sarifah.

Puan Mastura (tiga dari kiri), Puan Dg.Sarifah (lima dari kiri), Puan Wiwik Iswandari (enam dari kanan) merakamkan gambar bersama murid-murid yang membuat persembahan kibod mengiringi lagu Selamat Hari Jadi.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar
beramai-ramai dan acara jamuan yang di adakan di setiap kelas. Ibubapa turut
membantu guru-guru mengagihkan kek kepada semua murid. 

Pihak sekolah merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ibu bapa atas kerjasama dan komitmen yang diberikan bagi memastikan majlis dapat berjalan lancar seperti yang telah dirancang. Semoga sambutan ini akan dapat terus dikekalkan pada masa akan datang.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Murid-murid pra sekolah ceria meraikan sambutan hari jadi dengan pakaian yang beraneka jenis.
Sambutan Hari Jadi (Jan- Jun) oleh murid tahun 5 Baiduri di dalam kelas.



MPSM WP Labuan anjurkan Mesyuarat ke-2 Tahun 2019

Labuan, 4 Julai – Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan (MPSM WPL) telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa MPSM WPL Bil.2 Tahun 2019 bertempat di Bilik Kiansam, BTPN Labuan

Mesyuarat dihadiri oleh 8 orang pengetua termasuk Pengarah Kolej Vokasional Labuan dan 3 pengetua yang baharu dilantik. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Encik Ismail bin Abdullah, Yang DiPertua MPSM WPL.

Dalam ucapannya, Encik Ismail mengucapkan tahniah atas pelantikan 4 pengetua baharu dan beliau yakin atas keupayaan mereka dalam memimpin dan meningkatkan kualiti sekolah.

Selain itu, beliau turut meminta agar MPSM WPL proaktif dalam mengoperasikan matlamat meningkatkan prestasi SPM 2019 melalui pasukan task force mata pelajaran. Pasukan task force yang dianggotai oleh guru-guru mata pelajaran dilaksanakan secara PLC dan penglibatan mereka direkodkan di dalam SPLKPM.

Mesyuarat turut melantik Puan Norazita binti Mohd Nor sebagai Bendahari MPSM WPL yang baharu menggantikan Encik Sahar bin Misron yang telah bersara wajib mulai Mei 2019.

Mesyuarat turut membincangkan pengagihan tugas berkaitan Bengkel Profesional MPSM Kebangsaan yang akan berlangsung di Labuan pada 16 hingga 18 Julai 2019. Semua pengetua sekolah W.P. Labuan terlibat dalam membantu menjayakan bengkel MPSM kebangsaan tersebut.

Di akhir mesyuarat, Encik Ismail berharap agar aktiviti dan program terutamanya berkaitan Task Force mata pelajaran memberi impak terbaik ke arah peningkatan prestasi SPM tahun 2019.

Berita Oleh : Cikgu Nizam