SMK Mutiara, Johan Pertandingan School Lab Peringkat Kebangsaan 2018
Labuan – SMK Mutiara telah mengharumkan nama Labuan dengan memenangi Pertandingan School Lab Peringkat Kebangsaan 2018 bertempat di Mines International Exhibition and Convention Center, Seri Kembangan Selangor.
Pertandingan ini bertujuan memberi peluang kepada murid-murid berkongsi topik dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dengan cara yang menarik dan inovatif melalui penyampaian yang ringkas dan mudah.
Ternyata, persembahan pelajar SMK Mutiara bukan sahaja menarik minat para juri, malah turut mencuit hati penonton yang hadir di pertandingan itu.
Satu persembahan yang sangat kreatif, menarik dan mencuit hati serta padat dengan maklumat. Syabas dan Tahniah diucapkan !
Hadiah disampaikan oleh Pengarah British Council (Malaysia) Ms. Sarah Deverall.
Anda boleh saksikan persembahan pelajar SMK Mutiara dalam pertandingan School Lab di alamat https://youtu.be/O_oP55UFDSw
Bersama Piala Kemenangan dan Sijil
Berikut adalah keputusan penuh pertandingan tersebut :
Sekolah
SMK Mutiara
Program/Aktiviti
Pertandingan School Lab Peringkat Kebangsaan 2018 bertempat di Mines International Exhibition and Convention Center, Seri Kembangan Selangor
Tarikh
05/11/2018
Anjuran
Kementerian Pendidikan Malaysia Dengan kerjasama British Council (Malaysia)
Kategori
Sekolah Menengah
Peringkat
Kebangsaan
Pencapaian
Johan
Nama Pelajar
1. Khadijah binti Hazmi
2. Mathew Chew Kah Ming
3. Daniel Dean Jayson
Nama Guru Pengiring
Angela Joseph
17 Orang Guru Dibimbing Oleh SISC+ Menyertai Seminar Kajian Tindakan Peringkat W.P.Labuan
Labuan – SATU Seminar Kajian Tindakan Peringkat W.P.Labuan telah diadakan pada 27 Oktober 2018 di Kelab Sri Tanjung, Kem Brooke, Labuan.
Seminar Kajian Tindakan ini merupakan satu program khusus untuk Guru DiBimbing (GDB) yang dibimbing oleh School Improvement Specialist Coaches (SISC+) bagi meningkatkan tahap profesionalisme mereka melalui perkongsian amalan pedagogi terbaik yang dilaksanakan menggunakan strategi Kajian Tindakan.
Salah satu daripada peranan SISC+ ialah untuk membimbing GDB bagi meningkatkan kualiti pedagogi mereka ke arah meningkatkan kemenjadian murid.
Pelbagai strategi boleh dilaksanakan bagi mencapai tujuan berkenaan seperti Bimbingan Individu, Bimbingan Kelompok, Profesional Learning Community dan Kajian Tindakan.
Cikgu Syafiq Abd Aziz, Cikgu Yusof Mohamad & Cikgu Nor Suziana Amnor dari SMK Mutiara sedang membentangkan kajian tindakan kumpulan mereka.
Strategi Kajian Tindakan (KT) bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kualiti pedagogi GDB malah KT membantu menggalakan GDB untuk meningkatkan tahap profesionalisme mereka melalui amalan pembelajaran kendiri yang berilmiah.
Selain itu, kajian tindakan juga merupakan satu kaedah yang boleh dijadikan rujukan untuk semua guru kerana KT menyediakan data dan evidens sahih mengenai proses perubahan amalan pedagogi GDB yang terbaik.
Seramai 17 orang GDB telah melaksanakan dan membentangkan kajian tindakan mereka di seminar ini. 10 orang GDB telah membentang kajian tindakan mereka secara lisan manakala 7 orang GDB lagi membentangkan kajian tindakan mereka secara pembentangan poster.
Di dalam seminar ini, 14 orang GDB telah dibimbing oleh SISC+, Suriani Alland Rice Oxley iaitu Mohd Saifulizzan Bin Mat Yasin, Jamaliah Binti Mohd Said, Noormahfuzah Binti Ramlee, & Emellydah Michael (SMK Labuan), Mohd Khairul Isa & Peterson Peter (SMK T.P.Bedaun), Mariana Mahyuddin & Nurhuda Binti Amir (SK Patau-Patau), Zailiana Zainol (SK Pekan Satu), Nurul Hidayah Umar (SK Pantai), Jasste Valentine Stidi (SK Pekan Dua), Hasnan Mohd Saad (SK.Lubok Temiang), Adrian Romario Andrew (SK Bebuloh) dan Sim Ming Xia (SJKC Chung Hwa).
Cikgu Hasnan Mohd Saad dari SK Lubok Temiang sedang membentangkan kajian tindakan beliau.
Manakala 5 orang GDB lagi telah dibimbing oleh SISC+, Hajah Siti Zahara Mohammad iaitu Syafiq Abd Aziz, Yusof Mohammad & Nor Suziana Amnor (SMK Mutiara), Siti Aisyah Asis (SM ST.Anne) dan Jaya Masir (SMK Labuan).
Menurut kata Penyelaras Seminar Kajian Tindakan, Suriani Alland Rice Oxley (SISC+), “Perkongsian amalan terbaik pedagogi melalui Kajian Tindakan ini akan membuka satu dimensi baru ke arah perubahan pembelajaran kendiri di kalangan warga guru di Labuan”.
Sementara itu, seramai 30 orang guru dari sekolah-sekolah diLabuan termasuk Sekolah Antarabangsa Labuan turut sama menghadiri dan mendengar pembentangan daripada para pembentang.
Seminar ini diakhiri dengan sesi penyampaian sijil kepada para pembentang oleh Ketua SISC+ Labuan, Hajah Siti Zahara Mohammad.
Lawatan Penandaarasan KPM ke Program Pendidikan Khas Intergrasi, SMK Lajau
LABUAN, 29 Oktober – Seramai 45 orang delegasi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengadakan lawatan penandaarasan ke Program Pendidikan Khas Intergrasi, Sekolah Menengah Kebangsaan Lajau, Wilayah Persekutuan Labuan.
Lawatan ini diketuai oleh Yang Berbahagia, Datuk Dr. Yasmin binti Hussain, selaku Timbalan Pengarah Cawangan Perancangan dan Penilaian Bahagian Pendidikan Khas, KPM, turut dihadiri Ketua-Ketua Sektor Bahagian Pendidikan Khas dan Ketua-ketua Sektor Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri seluruh Malaysia.
Rombongan diiringi oleh Puan Maimoon Matnoh, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Di awal lawatan, rombongan disajikan dengan persembahan Angklung daripada pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Lajau, di Dataran Gemilang.
Pelajar-pelajar PPKI SMK Lajau menyambut kedatangan rombongan dengan persembahan Angklung
Encik Jasmi bin Sabtu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, mewakili Pengetua SMK Lajau, dalam ucapannya, pihak sekolah berbesar hati dan berasa gembira kerana SMK Lajau terpilih sebagai sekolah yang dilawati dalam program ini.
Dalam ucapan balas, Datuk Dr Yasmin binti Hussain, sebagai ketua rombongan turut melahirkan rasa teruja kerana kemeriahan sambutan yang diterima.
Tambahnya lagi, beliau turut terhibur dengan alunan alat muzik angklung yang dimainkan oleh pelajar berkeperluan khas dengan menyatakan guru-guru telah berjaya menerapkan nilai murni dan kemenjadian murid-murid PPKI di sekolah ini.
Sejurus itu, rombongan tersebut dibawa melawat ke kelas Program Pendidikan Khas Intergrasi yang menjalankan kelas KSSM.
Antara projek yang dijalankan ialah Projek Asas Tanaman, Projek Pembuatan Pastri iaitu Cheese Tart, Projek Kraf Tangan, Projek Jahitan, dan Projek Pembuatan Pastri. Pelajar-pelajar PPKI menunjukkan bakat masing-masing kepada ahli-ahli rombongan.
Puan Maimoon (kanan) bersama ahli rombongan KPM, ketika melawat kelas Pembuatan Pastri Cheese Tart
Berita Oleh : Encik Mohd Jamatin Abd. Latip Pengetua SMK Lajau
SK Sungai Bedaun dan SK Bebuloh Jayakan Perkhemahan Perpaduan 2018
Pada 19-21 Oktober 2018 (Jumaat hingga Ahad) telah berlangsung perkhemahan perpaduan di Pusat Kokurikulum Negeri, WP Labuan gabungan SK Sungai Bedaun (SKSB) dan SK Bebuloh (SKB) melibatkan 200 orang murid dari Tahun 4, 5 dan 6 dari pelbagai Unit Beruniform, iaitu Pengakap, PBSM, PPIM, dan TKRS.
Pendaftaran Perkhemahan Perpaduan bermula pada jam 2 petang (Jumaat) di Pusat Kokurikulum, WP Labuan. Setelah selesai pendaftaran murid diberikan taklimat keselamatan dan pembahagian kumpulan. Kemudiaan murid mendirikan khemah.
Sesi Suai Kenal pada sebelah malam telah dikendalikan oleh Puan Norsidah (SKSB) dan Puan Sunarni (SKB) iaitu Guru Bimbingan dan Kaunseling.
Aktiviti peserta perkhemahan – Larian Berhalangan
Pada hari kedua, murid-murid telah dibahagikan kepada 4 kumpulan, bagi mengikuti Aktiviti Berkayak, Ikhtiar hidup, Larian Berhalangan dan Latihan Kebudayaan.
Semua murid terlibat dengan setiap aktiviti yang telah disediakan mengikut jadual penggiliran. Guru-guru dari setiap sekolah telah dilantik untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan, jurulatih-jurulatih Pusat Kokurikulum turut membantu dalam mengendalikan aktiviti berkayak dan larian berhalangan.
Manakala, latihan kebudayaan dibantu oleh fasilitator yang telah dilantik dari kalangan guru sekolah masing-masing. Pada sebelah petang, aktiviti diteruskan lagi dengan latihan kawad kaki statik.
Seterusnya, pada sebelah malam, berlangsung pertandingan kebudayaan yang melibatkan 20 kumpulan.
Aktiviti murid-murid SKSB dan SKB – Berkayak
Pada hari Ahad, aktiviti dimulakan dengan Khidmat Masyarakat iaitu membersihkan sekitar Pusat Kokurikulum. Kemudian, raptai untuk majlis penutupan.
Perasmian Majlis Penutupan Perkhemahan Perpaduan telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Tuan Raisin bin Saidin.
Turut hadir Guru Besar SK Sungai Bedaun Puan Dg.Sarifah binti A.Mahmod, Guru Besar SK Bebuloh Tuan Haji Adam, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPWPL Encik Hasbollah bin Amit, En. Roziman Sabtu Penolong Pengarah Pusat Kokurikulum,Jurulatih Pusat Kokurikulum, Barisan Penolong Kanan, dan Guru-guru.
Dalam majlis penutupan, murid-murid telah mendapat hadiah dalam pertandingan-pertandingan yang dipertandingkan sepanjang perkhemahan perpaduan. Hadiah telah disampaikan oleh Tuan Pengarah kepada ketua kumpulan.
Penyampaian hadiah kepada pemenang oleh Tuan Raisin Saidin
Dalam ucapan perasmian penutupan, Tuan Raisin Saidin menyatakan melalui perkhemahan dapat membentuk jati diri yang unggul di samping dapat memupuk sikap bertanggungjawab dan menanam sikap kekeluargaan serta kerjasama dalam ahli kumpulan. Aktiviti secara kolaboratif menggabungkan dua buah sekolah juga wajar diteruskan untuk aktiviti-aktiviti akan datang.
Puan Dg. Sarifah binti A. Mahmod (Guru Besar, SK Sungai Bedaun), mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Semua guru, dan AKP yang telah menjayakan Perkhemahan Perpaduan Kolaboratif SK Sungai Bedaun dan SK Bebuloh pada kali ini.
Sepanjang perkhemahan ini, guru-guru telah menyediakan makanan 6 kali sehari untuk memastikan murid sentiasa bertenaga untuk mengikuti setiap aktiviti yang dijalankan.
Kumpulan memasak SK Sungai Bedaun diketuai oleh Puan Khadijah binti Tamit dan Puan Yuhana binti Yusuf serta guru-guru dan AKP perempuan turut membantu dalam menyediakan makanan.
Diharapkan, Objektif Perkhemahan untuk membentuk ketahanan fizikal dan mental ahli Unit Beruniform serta membentuk sikap berdaya saing dalam menempuh pelbagai cabaran dapat dicapai melalui aktiviti yang telah murid-murid lalui sepanjang perkhemahan ini.
KITA MAKAN DULU ! memastikan murid sentiasa bertenaga untuk mengikuti setiap aktiviti.
Berita Oleh : SK Sungai Bedaun
SMK Lajau Raih Pencapaian Membanggakan Karnival Kemahiran Pendidikan Khas Kebangsaan 2018
Labuan, Usaha berterusan dan tidak pernah mengenal erti penat akhirnya membuahkan hasil apabila PPKI SMK Lajau yang mewakili Labuan berjaya meraih tempat di dalam Karnival Kemahiran Pendidikan Khas Kebangsaan 2018 yang di adakan pada 22-24 Oktober 2018 di Hotel Tower Regency Ipoh, Perak.
PPKI SMK Lajau mengambil bahagian dalam 3 daripada 11 kemahiran yang dipertandingkan di peringkat kebangsaan iaitu kemahiran Pramusaji, Dekorasi Kek Pengantin Diraja dan Seni Tekat, manakala PPKI SMK Mutiara mengambil bahagian dalam kemahiran Housekeeping & Dekorasi Pulut Kuning.
Lebih manis lagi, PPKI SMK Lajau berjaya mendapat tempat dalam kalangan 3 tempat terbaik daripada 16 buah negeri seluruh Malaysia. PPKI SMK Lajau mendapat Johan dalam kemahiran Pramusaji dengan mengalahkan Kedah dan Terangganu dengan masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Manakala, Dekorasi Kek Pengantin Diraja berjaya merangkul tempat ketiga dalam karnival tersebut.
Dr Abdul Aziz Bari , EXCO Kerajaan Negeri Perak, menyampaikan Hadiah, dan sijil kepada, Waniera, dan Al shahdie, Johan Pertandingan Pramusaji
Gandingan mantap antara Mohd Al Shahdie bin Mohd Salleh dan Siti Waniera Safiyyah binti Herwan adalah gandingan terbaik yang dipertaruhkan oleh Labuan bagi merangkul Johan dalam kemahiran Pramusaji dalam karnival tersebut manakala Mohd Zulhilmi Hazim bin Sibidol dalam acara Dekorasi Kek Pengantin Diraja. Bagi kemahiran Seni Tekat, Labuan sekadar meraih tempat ke-9 dalam kemahiran tersebut.
Ini merupakan kejayaan terbaik yang pernah dirangkul oleh Labuan khususnya PPKI SMK Lajau sejak karnival tersebut diperkenalkan sejak tahun 2014 lagi. Guru pembimbing Cikgu Nordiana binti Abdul Karim, Cikgu Zurinah Hj Daud & Cikgu Mazlinah Mohamed berkata, usaha gigih yang tidak kenal erti putus asa, semangat juang yang tinggi, displin, mendengar setiap arahan dan bimbingan daripada guru merupakan resepi kejayaan anak-anak didik kami. Kejayaan ini juga membuktikan bahawa anak-anak istimewa juga mampu membuktikan diri mereka dalam kalangan yang terbaik di peringkat kebangsaan dan bukannya hanya sekadar jaguh kampung.
Kejayaan manis yang terlakar ini juga menunjukkan kemenjadian murid dalam pendidikan khas dan menunjukkan bahawa mereka berada pada “kelas” mereka yang tersendiri. Usaha dan kerjasama yang berterusan dalam kalangan semua pihak adalah diharapkan bagi menambahbaik pencapaian murid-murid pendidikan khas pada masa akan datang.
Tahniah. Mohd Jamatin,Pengetua SMK Lajau, (berdiri, lima dari kiri) menyambut kepulangan pelajar PPKI SMK Lajau
Berikut adalah keputusan penuh yang melibatkan SMK Lajau bagi pertandingan tersebut :
Sekolah
SMK Lajau
Program/Aktiviti
KARNIVAL KEMAHIRAN PENDIDIKAN KHAS KEBANGSAAN 2018, IPOH PERAK DARUL RIDZUAN
Tarikh
22/10/2018
Anjuran
KPM
Kategori
Sekolah Menengah
Peringkat
Kebangsaan
Pencapaian
Johan Pramusaji
Nama Pelajar
1. MOHD AL SHAHDIE BIN MOHD SALLEH
2. SITI WANIERA SAFIYYAH BINTI HERWAN
Nama Guru Pengiring
NORDIANA BINTI ABDUL KARIM
Sekolah
SMK Lajau
Program/Aktiviti
KARNIVAL KEMAHIRAN KEBANGSAAN PENDIDIKAN KHAS 2018, IPOH PERAK DARUL RIDZUAN
Tarikh
22/10/2018
Anjuran
KPM
Kategori
Sekolah Menengah
Peringkat
Kebangsaan
Pencapaian
Ketiga Dekorasi Kek
Nama Pelajar
MOHD ZULHILMI HAZIM BIN SIBIDOL
Nama Guru Pengiring
ZURINA HJ DAUD
Berita Oleh : Encik Mohd Jamatin Abd. Latip Pengetua SMK Lajau
SMK Pantai Jalin Kerjasama dengan Jabatan Taman Laut
Labuan – SMK Pantai telah menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Taman Laut dalam Program Pendidikan dan Kesedaran Awam yang telah diadakan di Dewan iB SMK Pantai pada 24 Oktober 2018 melibatkan 174 orang pelajar Tingkatan 3.
Program Pendidikan dan Kesedaran Awam adalah menjurus kepada penyampaian maklumat mengenai Jabatan Taman Laut Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan dan ekosistem marin secara amnya kepada golongan sasaran dan pihak berkepentingan yang terlibat secara langsung dan juga tidak langsung.
Usaha mendidik, memupuk serta meningkatkan tahap kesedaran masyarakat berhubung kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem marin merupakan antara tanggungjawab utama Jabatan Taman Laut Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan.
Selaras dengan hasil projek Kerajaan Malaysia dengan United Nation Development Programme ( UNDP ) dan Global Environment Fasility ( GEF), Conserving Marine Biodiversity through Enhanced Marine Park Management and Inclusive Sustainable Island Development, usaha peningkatan tahap kesedaran awam dan tahap kecapaian maklumat kepada seluruh lapisan masyarakat perlu dipergiatkan lagi.
Pengetua SMK Pantai IBWS, Encik Sahar Misron bersama Penceramah Jabatan Taman Laut dan para peserta
Program ini telah dikelolakan oleh Unit Kaunseling yang diketuai oleh Encik Aman Rashiak dan Puan Sairin Linggah dan menyasarkan pelajar tingkatan 3 SMK Pantai IBWS yang telah menduduki PT3.
Pengisian program termasuk Taklimat Konservasi Marin, Kuiz dan pameran yang menerima reaksi positif pelajar dan guru-guru kerana program ini julung kali diadakan di sekolah ini.
Para pelajar dan guru pula terpegun melihat koleksi hidupan marin yang dipamerkan dan diberi penjelasan oleh pegawai Jabatan Taman Laut. Mereka sangat teruja melihat pelbagai spesis penyu dan koral.
Taklimat Perkongsian Ilmu Marin dan Pengenalan Hidupan Marin disampaikan oleh Encik Saeck bin Nasser. Pegawai dan kakitangan Jabatan Taman Laut Malaysia Labuan yang terlibat ialah Puan Marcia Maikel, Encik Shaharuddin bin Abd Manaf dan Encik Nurdin bin Shamsuddin.
Pengetua SMK Pantai IBWS Sahar Bin Misron yang turut bersama-sama hadir menyatakan bahawa program seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang dan dibuka kepada lebih ramai pelajar dan guru serta boleh menggabungkan beberapa buah sekolah lain di W.P Labuan.
Disediakan oleh
SAHAR BIN MISRON
PENGETUA
SMKP IBWS
25.10.18
SJK (C) Chi Wen Naib Johan Pertandingan Syarahan Bahasa Melayu antara Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan Tahun 2018
Labuan, 9 Oktober – Adik Nicole Grace Wong dari SJK(C) Chi Wen telah dinobatkan sebagai Naib Johan Pertandingan Syarahan Bahasa Melayu antara Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan Kali Ke-36 Tahun 2018 bertempat di Hotel Crystal Crown Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2018.
Seramai 28 orang peserta daripada seluruh Malaysia kecuali Sarawak dan WP Putrajaya telah menyertai pertandingan syarahan pada tahun ini yang bertujuan untuk menggalakkan murid-murid SJK(Cina) dan SJK(Tamil) bertutur, menguasai dan mempertingkat tahap penggunaan bahasa Melayu selain menyuntik semangat perpaduan dan muhibah serta menanamkan semangat cintailah bahasa Melayu.
Kejayaan berganda terlakar apabila kedua-dua peserta syarahan WP Labuan yang diwakili oleh adik Nicole Grace Wong dan Mac Frederon Feridlee juga dari SJK(C) Chi Wen turut merangkul tempat ketiga syarahan berkumpulan yang ditentukan melalui kedudukan berdasarkan jumlah markah tertinggi bagi kedua-dua peserta setiap negeri.
Adik Nicole Grace Wong dari SJK(C) Chi Wen, Naib Johan Pertandingan Syarahan Bahasa Melayu antara Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Piala Perpaduan Perdana Menteri
Menurut jurulatih mereka, Cikgu Mohd. Farik bin Madun, “Kejayaan ini tercipta berkat kesungguhan dan disiplin latihan yang tidak mengenal erti putus asa. Saya amat bersyukur dengan pencapaian ini walaupun masih banyak perkara yang perlu saya pelajari, maklumlah saya baru sahaja berjinak-jinak untuk melatih murid dalam bidang syarahan sejak tiga tahun yang lalu.”.
Kenangan manis ini juga merupakan pencapaian tertinggi WP Labuan dalam Pertandingan Syarahan Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan sejak 36 tahun penganjurannya. Pada tahun 2016 yang lalu, adik Michelle Chang Li Ping juga dari SJK(C) Chi Wen pernah meraih naib johan dalam Pertandingan Syarahan Bahasa Melayu tetapi dalam Karnival Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan Tahun 2016.
YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia telah merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Syarahan dan Ujian Bertulis Bahasa Melayu antara Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan Kali Ke-36 Tahun 2018 bertempat di Hotel Crystal Crown Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.
Adik Nicole Grace Wong dan Mac Frederon Feridlee juga dari SJK(C) Chi Wen turut merangkul tempat ketiga syarahan berkumpulan
Turut hadir Puan Rozainum binti Ahmad K.M.N, Pengarah Bahagian Kokurilum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Tuan Haji Ismail bin Musa, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Kuala Lumpur.
Selain pertandingan syarahan, turut diadakan pertandingan ujian bertulis yang menyaksikan 70 orang peserta berentap dalam usaha menjawab 100 soalan tatabahasa selama sejam.
Lima orang murid dari SJK(C) Chi Wen turut mengambil bahagian dalam pertandingan ujian bertulis ini iaitu Derica Goh Jia Lin, Julieny Suzanty, Chan Kah Meng, Oscar Lim Shen Hui dan Chan Yen Wei; namun rezeki tidak berpihak kepada mereka pada tahun ini.
Gambar kenangan bersama YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia
Berita Oleh : Cikgu Farik Madun, SJK(C) Chi Wen
SK Patau-Patau dan SK Membedai Tandangani Persefahaman Program Jaringan Sekolah
Labuan,4 Okt – Sekolah Kebangsaan Patau-Patau dan Sekolah Kebangsaan Membedai menandatangani Persefahaman Program Jaringan Sekolah ke arah mewujudkan kerjasama dalam bidang sosial, sukan, kebudayaan dan etos sekolah.
Program persefahaman itu ditandatangani bersama Guru Besar SK. Patau-Patau, Encik Abd. Rahman Salim dan Guru Besar SK. Membedai, Ustaz Mohd Farihi Ab. Halim, di Bilik Mesyuarat SK. Patau-Patau.
Menurut Guru Besar SK. Membedai, Ustaz Mohd Farihi Ab. Halim, program itu bakal dilaksanakan oleh Jawatankuasa Perpaduan di bawah seliaan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM).
Tambahnya lagi, program itu juga bertujuan mewujudkan hubungan erat antara murid dan guru, selain merupakan perkongsian pintar dalam Pengajaran Dan Pembelajaran antara dua buah sekolah.
Sempena menandatangani program persefahaman itu, Guru Besar Sk. Patau-Patau, Encik Abd. Rahman Salim turut menyampaikan taklimat berkenaan aktiviti perpaduan antara dua buah sekolah. Turut hadir Penolong Kanan Pentadbiran (PK1) dan Penolong Kanan HEM kedua-dua buah sekolah.
Rezeki SMK Lajau mendapat bibit dan benih sayur serta pasu sumbangan Peladang dan Jabatan Pertanian Labuan
Labuan, 25 Sept – Pihak SMK Lajau mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan Peladang dan Jabatan Pertanian dalam bentuk bibit sayur dan pasu. Usaha gigih Jabatan Peladang dan Jabatan Pertanian dalam menggalakkan masyarakat bercucuk tanam terutamanya yang melibatkan murid dan warga SMK Lajau amatlah dihargai oleh pihak sekolah.
Pencapaian Kontinjen Ppki SMK Lajau Di Majlis Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas Peringkat Wilayah Persekutuan 2018
LABUAN,13 September – Seramai 19 orang pelajar dari Program Pendidikan Khas dan Integrasi (PPKI) SMK Lajau telah menyertai pertandingan bersempena Majlis Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan bertempat di Sekolah Kebangsaan Pantai. Mereka diiringi oleh 13 orang guru dan 3 orang Pembantu Pengurusan Murid yang juga bertindak sebagai pengelola pertandingan nasyid dalam majlis ini. Wakil dari SMK Lajau adalah kontijen terbesar yang pernah dihantar ke Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Labuan.
Majlis ini dianjurkan sebagai salah satu program kerohanian untuk murid-murid pendidikan khas Labuan sekaligus dapat mencungkil bakat dalam pertandingan-pertandingan yang diadakan. Murid-murid yang menjadi pemenang akan mewakili Wilayah Persekutuan Labuan ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada 16 hingga 19 Oktober 2018 di Kelantan.
Acara pertandingan tilawah, hafazan, bercerita dan syarahan agama bermula pada jam 8.00 pagi. Majlis berhenti rehat pada jam 10.00 pagi. Majlis diteruskan dengan pertandingan azan subuh dan nasyid.
Adik Md.Zurin Zuraymi sedang melaungkan azan Subuh
Pada Majlis Tilawah Al-Quran tahun ini kontijen PPKI SMK Lajau telah berjaya menggondol kejuaraan bagi setiap acara yang disertai. Kontijen SMK Lajau telah menyertai 5 acara dalam kategori Masalah Pembelajaran Sekolah Menengah iaitu Tilawah Al-Quran, Hafazan Al-Quran, Azan Subuh, Syarahan Agama dan Nasyid dengan menghantar 2 peserta setiap acara dan 10 orang untuk acara nasyid.
Dalam acara Tilawah Al-Quran Sekolah Menengah, Muhammad Haziq Irfan telah berjaya mendapat tempat pertama kategori lelaki dan Siti Waniera Safiyyah telah memenangi kategori perempuan. Tempat kedua untuk acara tilawah kategori lelaki sekolah menengah juga dimenangi oleh wakil SMK Lajau iaitu Mohd Ramlan bin Yusof.
Acara hafazan lelaki sekolah menengah dimenangi oleh Akmal Nuruddin bin Aili manakala seorang lagi wakil PPKI SMK Lajau dalam acara tersebut iaitu Mohamad Daniel bin Hashim mendapat tempat ketiga. Wakil PPKI SMK Lajau dalam acara hafazan sekolah menengah perempuan iaitu Nurul Fatihah binti Saidin telah memenangi acara tersebut dan tempat kedua juga dimenangi wakil SMK Lajau,Siti Nuradilah Najeerah.
Akmal Nurudin bin Aili berjaya mendapat tempat pertama acara Hafazan Lelaki Sekolah Menengah
Pertandingan azan subuh juga menyaksikan wakil PPKI SMK Lajau mendapat tempat pertama dan kedua. MD. Zurin Zuraymi bin Phillip berjaya memenangi acara tersebut manakala Mohd Abri bin Mohd Salleh di tempat yang kedua. Pertandingan syarahan agama kategori lelaki dam perempuan kedua-duanya dimenangi oleh wakil PPKI SMK Lajau iaitu Mohd Al-Shahdie bin Mohd Salleh dan Nur Ashella Riduan. Tempat kedua juga dimenangi oleh wakil PPKI SMK Lajau iaitu Mohd Zulhilmi Hazim bin Sibidol dan Wardah Hidayah binti Yahud.
Acara paling popular adalah pertandingan nasyid yang menyaksikan penyertaaan penuh dari setiap kontijen. Enam kumpulan nasyid yang mewakili sekolah masing-masing adalah Sautul Kalam dari PPKI SK Bukit Kalam, Asy-Syakirin dan PPKI SK Pekan 1, Al-Mawaddah dari PPKI SK Rancha Rancha, Shoutul Bahri dari PPKI SK Pantai, Soutul Imtiyaz dari PPKI SMK Mutiara dan Al-Husaini dari PPKI SMK Lajau. Tempat pertama telah dimenangi oleh kumpulan Al-Husaini dari PPKI SMK Lajau yang dianggotai oleh 10 orang ahli termasuk 3 orang yang bertindak sebagai pemain muzik perkusi. Kumpulan ini diketuai oleh vokalisnya iaitu Md. Zurin Zuraymi bin Phillip. Adik Zurin juga telah dianugerahkan sebagai vokal solo terbaik oleh jemaah hakim pertandingan nasyid.
Kumpulan Nasyid Al-Husaini dari SMK Lajau telah menjuarai pertandingan nasyid MTAQ PPKI 2018. Dari kiri Mohd Abri, Zulfareez, Mohd Daniel, Md.Zurin, Mohd Azrul, Mohd Ramlan dan Aqmal Fahmie.
Kemuncak acara adalah majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah oleh Pn.Maimoon binti Matnoh, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan wakil rasmi Tuan Pengarah, En.Raisin bin Saidin. Majlis yang berlangusung di Dewan Dato Hj.Isli, SK Pantai dimulakan pada jam 2.30 petang dengan kata-kata aluan dari Guru Besar SK Pantai Puan Mahani binti Hussin selaku tuan rumah. Turut hadir Guru Besar SK. Pekan Satu puan Anita Shamimi, Guru Besar SKK Rancha-Rancha puan Norinie Kassim, Pengetua SMK Lajau Encik Mohd Jamatin Abd Latip.
Sebelum keputusan diumumkan ketua hakim pertandingan nasyid Ustazah Rohani binti Tali@Md Ali dijemput untuk memberikan sedikit komentar berkenaan mutu persembahan setiap kumpulan nasyid yang bertanding. Beliau berterima kasih kasih kepada penganjur kerana melibatkan guru perdana sebagai hakim dalam pertandingan nasyid peringkat pendidikan khas dan memberi beberapa cadangan untuk memperbaiki kualiti persembahan dan penganjuran untuk masa akan datang.
Barisan jemaah hakim dan wakil pengelola pertandingan nasyid. Dari kiri Ustaz Arrifae, En.Muhd Zuraihi, Ustaz Saifulizam, Ustaz Norazlan, Ustaz Solehin, Ustazah Rohani Tali (Ketua Hakim), Ustazah Dayang Ramizah dan Pn. Noraini Hj Sabudin (Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Lajau)
Hadiah telah disampaikan oleh Pn.Maimoon Matnoh dan berakhir pada jam 4.30 petang.