Majlis Kesyukuran PT3 dan SPM 2016 SM Sains Sabtu ini, Maitah Badudun

5 April – PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Sains Labuan akan menganjurkan Majlis Kesyukuran PT3 dan SPM 2016 pada Sabtu ini.

Yang Dipertuanya Zulkifli Zakaria berkata AJK PIBG sudah bersetuju untuk mengadakan program itu bermula dengan solat Dhuha dan solat Hajat jam 7 pagi di surau sekolah berkenaan.

Katanya selepas solat, semua ibu bapa dan guru serta pelajar akan bergotong-royong menyembelih lembu, melapah dan memasak di pekarangan flat guru sebelum menikmati jamuan makan.

Beliau berharap dengan kehadiran ibu bapa pelajar PT3 dan SPM 2016 di samping guru-guru akan merapatkan lagi hubungan silaturrahim yang sememangnya terjalin baik antara kedua-dua pihak.

“PIBG menjemput dan mengalu-alukan kehadiran semua ibu bapa termasuk ibu bapa pelajar yang menduduki SPM dan PT3 pada tahun lalu,” katanya.

Zulkifli berkata majlis itu diadakan untuk meraikan kejayaan pelajar PT3 dan SPM 2016 sambil beramah mesra dengan ibu bapa terutamanya yang berasal dari Sabah dan Sarawak.

Selain itu, beliau juga mengalu-alukan sumbangan kewangan daripada ibu bapa untuk menjayakan program itu.

Beliau mengucapkan terima kasih atas komitmen dan kerjasama pihak pentadbir yang diketuai Pengetua Cemerlang SM Sains Labuan Haji Mahamad Shukri Said serta guru-guru sekolah itu.

Sumber : Utusan Borneo, 5 April 2017




SJKC Chung Hwa dan SJKC Chi Wen terima RM4,000

28 Mac 2017 – SJK(C) Chung Hwa dan SJK(C) Chi Wen masing-masing menerima RM4,000 daripada penganjur Malam Kebudayaan Cina (CCN) 2017 Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Majlis penyerahan replika cek disempurnakan oleh Timbalan Pengarah UMSKAL Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal kepada Guru Besar SJKC Chung Hwa Yong Kui Chen dan Guru Besar SJKC Chi Wen, Julius Voo Jiunn Jye.

Turut menyaksikan majlis itu ialah Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan Datuk Chin Hong Vui dan Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Prof Madya Dr Hanudin Amin.

Geoffrey yang mewakili Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan Profesor Madya Dr Murnizam Haji Halik berkata sumbangan itu bagi menyuntik semangat murid dan guru untuk meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di kedua-dua sekolah berkenaan.

Beliau yakin menerusi sumbangan itu, hubungan dua hala antara UMSKAL dengan kedua-dua sekolah terbabit akan berterusan untuk kebaikan generasi masa depan.

“Ia juga simbolik keberadaan UMSKAL sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang sentiasa prihatin terhadap masyarakat tempatan khususnya golongan pelajar di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Sementara itu, kedua-dua guru besar merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada penganjur Malam Kebudayaan Cina UMSKAL yang memberikan sumbangan kewangan sekaligus turut memastikan prestasi akademik SJK(C) Chung Hwa dan SJK(C) Chi Wen akan meningkat pada setiap tahun.

Petikan dari : Utusan Borneo 28 Mac 2017




Anak istimewa PPKI SKPS jayakan Pertanian Bandar

Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Pekan Satu (SKPS) telah mengadakan majlis pelancaran Program Pertanian Bandar yang disempurnakan oleh Pegawai Pertanian Bahagian Bandar, Jabatan Pertanian Labuan, Abdullah Fakeh Kusni, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Labuan Maimoon Matnoh, Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Labuan Marysia Modigin, Guru Besar SK Pekan Satu Jaafar Haji Matusin dan Penolong Kanan Pendidikan Khas PPKI SK Pekan Satu Basneh Jamilide.

Menurut Abdullah Fakeh, Pertanian Bandar merupakan hasil usahasama pihak sekolah dan Jabatan Pertanian Labuan selaras dengan objektif jabatan dalam merealisasikan program tanaman di dalam bangunan.

“Pertanian Bandar ini juga bertujuan mengoptimakan keselamatan, bebas daripada kesan penggunaan racun perosak pada tanaman serta menggalakkan kitar semula barang terpakai sekaligus dapat menjimatkan kos input pertanian,” katanya.

Sementara itu, Jaafar berharap program berbentuk dua hala itu akan berterusan dan dapat mendedahkan ilmu asas pertanian kepada murid-murid bekeperluan khas.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Pertanian Labuan atas sumbangan input pertanian seperti pasu, baja, tanah, cocopeat sabut kelapa, tray belubang dan yang terbaharu teknologi terkini bagi penanaman hydroponik iaitu alat teknologi NFT.

Manakala, Penolong Kanan Pendidikan Khas Basneh Jamilide pula berkata kemenjadian tanaman yang terdapat di PPKI SKPS adalah hasil kerjasama jitu oleh 18 guru, enam pembantu pengurusan murid dan 20 murid tahap 2.

Katanya bagi memastikan keceriaan dan kebersihan tanaman terjaga dan terkawal, warga PPKI SKPS sentiasa mengadakan gotong-royong.

Kelangsungan projek tanaman itu diteruskan dalam subjek Kemahiran Hidup Perkebunan di bawah kendalian Cikgu Syamlee Ogong. Beliau telah menjalankan aktiviti tanaman sejak tahun lepas.

Menurut Cikgu Syamle dengan adanya projek Pertanian Bandar itu akan memudahkan pengendalian danpenyampaianpengajaran untuk murid-murid bekeperluan khas.

Projek Tanaman Fertigasi telah dilaksanakan pada tahun lepas.Kesimpulannya, murid mudah untuk menjaga tanaman contohnya untuk menanam benih mereka tidak perlu lagi mencangkul tanah.

“Kami telah menanam sayur sawi melalui cara penyemaian fertigasi dan hasil tanaman amat memberangsangkan di mana sayur sawi yang dituai sangat subur dan bebas daripada penggunaan racun serangga,” katanya sambil menambah, sayuran yang telah dituai diproses untuk aktiviti jualan.

Syamle telah mengajar mereka untuk membungkus/ mengikat sayuran mengikut saiz tertentu dan kemudian mereka dikehendaki menjual hasil tanaman kepada guru-guru di sekolah.

“Hasil jualan yang diterima diberikan kepada anak murid.Secara tidak langsung, kita telah mendedahkan mereka bagaimana menjana pendapatan,” katanya.

Di samping mendapat pulangan hasil mereka juga akan membawa balik hasil tanaman mereka.

Basneh berkata banyak input yang diterima daripada pihak Jabatan Pertanian yang mampu menyuntik semangat warga sekolah untuk menceburi bidang pertanian moden.

“Semoga usahasama ini akan beterusan pada masa akan datang bagi merealisasikan kemenjadian murid-murid istimewa agar sekurang-kurangnya apabila mereka telah berada di luar, mereka mempunyai asas ilmu dalam bidang pertanian yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua guru dan murid PPKI yang bekerjasama menjayakan projek tanaman itu.

SUMBER : Utusan Borneo 9 Mac 2017




Thasmawaty ungguli Pidato Piala Puteri Umno Labuan 2017

Thasmawaty Aripin dari SMK Lajau mengungguli Pertandingan Pidato Piala Puteri Umno Bahagian Labuan yang diadakan di ruang legar Kompleks Ujana Kewangan, Sabtu lalu.

Dia yang menyampaikan pidato yang bertajuk ‘Gejala Sosial Kita Prihatin’ dan ‘Pelajar Cemerlang Aset Negara’, membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 beserta piala rebutan dan trofi.

Naib johan disandang pelajar Sekolah Menengah Sains Labuan Mohd Aiem Bakrin dengan pidatonya ‘Golongan Muda Tonggak Kepimpinan Negara’ dan ‘Kebersihan Negara Tanggungjawab Kita” untuk menerima hadiah wang tunai RM700 dan trofi.

Seorang lagi pelajar SM Sains Labuan Nurul Syafiqah Pailin menduduki tempat ketiga selepas menyampaikan pidato ‘Memelihara Keharmonian Negara Tanggungjawab Bersama’ dan ‘Nilai Murni Membentuk Masyarakat Prihatin’ sekaligus meraih RM500 dan trofi.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli.

Turut hadir, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Labuan Maimoon Matnoh, Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan Datuk Haji Bashir Haji Alias, Ketua Puteri Umno Bahagian Labuan Nur Erney Jamil dan Pengetua SMK Lajau Yusop Mohamad.

SUMBER : Utusan Borneo, 7 Mac 2017




SMK Labuan Juara Keseluruhan Ping Pong

SMK Labuan muncul johan keseluruhan Kejohanan Ping Pong Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) buat kali keempat berturut-turut.

Pada kejohanan yang berlangsung di Dewan SJK (C) Chi Wen, Sabtu lalu menyaksikan SMK Labuan meraih 3 pingat emas, 1 perak dan 2 gangsa.

Tiga pingat emas itu diperoleh menerusi pemain perseorangan perempuan, Coco Lee, beregu perempuan, Coco Lee dan Alicia Teo serta beregu lelaki, Delwyn Nathaniel dan Billy Goh.

Alvin Sim mendapat pingat perak menerusi acara perseorangan lelaki manakala dua pingat gangsa diperoleh menerusi pemain perseorangan perempuan dan lelaki, Alicia Teo dan Billy Goh.

Pengetua SMK Labuan, Ismail Abdullah mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pemain atas kejayaan cemerlang skuad SMK Labuan yang berjaya mengekalkan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut.

Katanya, kejayaan tersebut adalah hasil kerja keras pemain yang dibimbing dua jurulatih, Afandi Yahya dan Ustaz Mohd Sharafuddin Iliah.

Ucapan terima kasih juga Ismail tujukan kepada pengurus pasukan, Hasriah Sidik yang berjaya mengendalikan pasukan ping pong tersebut pada tahun ini.

“Sudah tentu kejayaan itu akan menyemarakkan lagi semangat bukan sahaja pemain ping pong tetapi juga kepada semua pelajar yang bakal menyarung jersi SMK Labuan di bidang kokurikulum dan akademik pada tahun ini,”katanya.

Sebanyak 12 sekolah menengah menyertai kejohanan tersebut pada tahun ini.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengetua SM St Anne, Chan Kwi Fong dan Guru Besar SJKC Chi Wen, Julius Voon selaku penganjur Kejohanan Ping Pong MSSWPL 2017.

Sumber : Utusan Borneo 28 Februari 2017




Shuib dipilih YDP PIBG SK Sungai Lada baharu

AHLI perniagaan Haji Shuib Nasir dipilih sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sungai Lada (SKSL) yang baharu bagi sesi 2017-2019.

Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Raisin Saidin dan Guru Besar SKSL Anita Shyamini A/P S Azman masing-masing dilantik sebagai penaung dan penasihat persatuan itu.

Yanti Bakir pula dipilih sebagai Naib Yang Dipertua, Bendahari Siti Aliza Ag Emran, Setiausaha Nurul Ain Adawiyah Bahari dan Timbalan Setiausaha Ruzanah Mohd Jais.

Lima ibu bapa dipilih sebagai ahli jawatankuasa (AJK) iaitu Ellyza Abu Kassim (Biro Kebajikan), Abdullah Hussin (Biro Sukan), Janney Sumil @Nursyafina (Biro Pembangunan/Keceriaan), Abdul Aziz Ismael (Biro Agama) dan Viancy Ng @ Norafiza (Biro Keraian).

Tiga penolong kanan adalah Sitti Rahimah Yusuppu (PK Pentadbiran), Norela Suhaimi (PK Hal Ehwal Murid) dan Mahmud Mumin (PK Kokurikulum) turut dilantik sebagai AJK.

Mesyuarat Agung PIBG SKSL ke-25 diadakan pada Ahad lalu di Dewan SKSL.

Sementara itu, sebanyak 12 aktiviti telah dirancang oleh PIBG sepanjang tahun 2017 iaitu Program Berkat Ibu pada 24 Februari, Program Family Day & Talent Show (Mac), Gala Night (April), Qiamulail (Ramadan), Sambutan Hari Raya Aidilfitri (Hari Raya) dan Motivasi Pelajar UPSR bersama IPTA.

Turut dirancang, lawatan ke Sekolah Contoh SK Lubai–Limbang, Qurban, Khatan & Majlis Kesyukuran, Pertandingan Memancing, Hari Keusahawanan, Program Lestari dan lawatan kerja amal ke rumah anak yatim di Jakarta Indonesia (3 hari 2 malam).

Shuib yang juga penyampai radio Labuan FM berkata mesyuarat itu mencatat sejarah kerana pada sebelah siang diadakan mesyuarat pemilihan manakala pada sebelah malam diadakan mesyuarat AJK.

“Belum ada lagi PIBG mengadakan mesyuarat agung dan mesyuarat AJK pada hari yang sama. Ini membuktikan komitmen guru dan ibu bapa untuk melihat SK Sungai Lada berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sekolah lain di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memerlukan kerjasama semua ibu bapa selain guru untuk memastikan semua perancangan PIBG itu berjalan lancar pada tahun ini.

Katanya jika semua ibu bapa dan guru berganding bahu, beliau yakin SK Sg Lada mampu melakar kejayaan di bidang akademik dan kokurikulum pada masa akan datang.

Sumber : Utusan Borneo, 23 Februari 2017




Kreatif dan Inovatif, Sistem Pencernaan Manusia

23 Februari – Kreatif dan inovatif selaras dengan pembelajaran abad 21, begitulah bahan PdPc yang telah dihasilkan oleh Cikgu Kalpana A/P Maniam, guru SMK Pantai. Beliau bukan sahaja kreatif tetapi juga telah menerapkan konsep 4C dalam pembelajaran abad 21 iaitu Creativity, Critical Thinking, Collaboration dan Communication.

Cikgu Kalpana telah berjaya menarik minat pelajar dengan membina bahan pengajaran dan pembelajaran bagi topik sains tingkatan 2 iaitu memahami sistem pencernaan manusia. Aktiviti melukis, mewarna, melabel organ dan aliran pemakanan dalam sistem pencernaan manusia secara berkumpulan  pada sehelai baju putih membolehkan pelajarnya dapat memahami konsep pencernaan manusia dengan lebih mudah.

Melalui kaedah ini pelajar dapat berkolaborasi dan berkomunikasi secara berkumpulan bagi membincangkan bagaimana proses pencernaan manusia berlaku termasuk fungsi setiap organ dalam aliran pencernaan. Proses perbincangan bermula dari mulut turun ke esofagus, perut, hempedu dan usus.

Sistem pencernaan manusia yang telah berjaya dilukis akan dipakai oleh salah seorang pelajar dari setiap kumpulan dan dibentang serta dibincangkan kepada semua pelajar. Tahniah diucapkan dan teruskan usaha anda Cikgu Kalpana A/P Maniam, Guru Cemerlang, SMK Pantai.

 

 

 

 




Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) SMK Rancha-Rancha dan SMK Labuan

22 Februari – Majlis Pelancaran Program Membaca SMK Rancha-Rancha oleh Dato Sri Mohd Alias Bin Haji Abdul Rahman. Turut hadir Pengetua SMK Rancha-Rancha, Encik Omar Baki Matusin, KPP BTPN Encik Ag Marten bin Hj Abdul Rahman, Penolong-Penolong Kanan, Guru-Guru dan Murid-Murid SMK Rancha-Rancha. Semoga pelancaran program membaca ini dapat  memupuk dan menggalakkan lagi minat membaca dalam kalangan  warga SMK Rancha-Rancha.

 

22 Februari – Membaca merupakan jambatan ilmu. Pelbagai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang dapat kita pelajari melalui amalan membaca. Semakin banyak yang kita baca dan pelajari, maka semakin tinggilah ilmu yang akan kita perolehi.  Mudah-mudahan inisiatif SMK Labuan membina Sudut Nilam di pejabat pentadbiran dapat dimanfaatkan oleh semua pihak termasuk pentadbir sendiri, guru-guru dan juga PKP. Semua guru dan PKP digalakkan membawa sendiri pelbagai jenis buku untuk disumbangkan kepada sudut Nilam SMK Labuan.

 




Bantuan Awal Persekolahan

Seramai 172 murid Tahap Dua Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang (SKLT) menerima bantuan awal persekolahan sebanyak RM100.

Majlis penyerahan wang berkenaan disempurnakan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Farid Marcus kepada ibu bapa di kelas murid masing-masing pada Jumaat lalu.

Beliau yang mewakili Guru Besar Cally Awat Moguring berharap bantuan itu dapat meringankan beban kewangan ibu bapa untuk

membeli peralatan persekolahan.

Beliau berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat berpendapatan rendah di negara ini termasuk di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kerajaan akan terus menjaga kebajikan rakyat berpendapatan rendah dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak,” katanya.

Farid berharap menerusi bantuan awal persekolahan itu, akan menyuntik semangat murid untuk belajar bersungguh-sungguh dan menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara pada masa hadapan.

Turut hadir ialah Penolong Kanan Pentadbiran Roslan Mohamad.




SJKC Chi Wen, Labuan International School Hebat Akuatik

13 Februari – Bertempat di Kolam Renang Labuan International School (LIS), pasukan renang dari sekolah SJKC Chi Wen dan Labuan International School (LIS) telah mengungguli Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Wilayah Persekutuan Labuan Kali Ke-16 2017.

SJKC Chi Wen berjaya menggondol 10 pingat emas, 2 perak dan 3 gangsa untuk muncul juara kategori Sekolah Rendah. Sekolah Kluster Kecemerlangan SK St Anne tidak kurang hebatnya dengan 8 emas diikuti tempat ketiga SK Pekan Dua 3 emas 12 perak 6 gangsa.

Tuan rumah iaitu LIS terlalu hebat untuk dicabar dengan Sekolah Menengah lain dengan menggondol 24 emas, 19 perak dan 15 gangsa. Naib johan SM St Anthony dengan 9 emas dan 1 gangsa, tempat ketiga SM St Anne 9 emas.

Atlet Harapan MSSWPL – murid SK Pekan Dua, Arhadin Prome,  8 emas 2 perak di 50th Sabah Age Groups.

Anugerah Atlet Cilik Terbaik – murid SK Pekan Dua, Joramli Soni, 8 tahun.

Adik Bryan Bao Yang dari SM St Anthony memenangi 4 pingat emas dan 1 rekod baharu kejohanan.

Anugerah Khas Keluarga Aktif Akuatik – Abdul Kahar Abd Rahim (Penolong Kanan Kokurikulum SK Pantai) dan Dalilah Desa (Penolong Kanan Kokurikulum SK Membedai).

Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Wilayah Persekutuan Labuan Kali Ke-16 2017 ini dianjurkan oleh LIS dan SK Pekan Dua.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli.