Sumbangan Warga Prihatin

9 Februari 2017 – Sumbangan warga prihatin kepada  En Tua Gara, PKP SK Pekan Dua yang telah ditimpa musibah. Rumah beliau telah terbakar pada waktu pagi 8hb Februari. Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua warga pendidikan yang prihatin di atas bantuan dari segi wang ringgit, pakaian dan tenaga kerja. Semoga En Tua Gara tabah menghadapi dugaan ini.

 




Repsol Oil & Gas Malaysia Limited Bantu Murid Dari Golongan Komuniti Nelayan

8 Februari 2017 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Repsol Oil & Gas Malaysia Limited di atas usaha murni memberi sumbangan dalam bentuk wang ringgit kepada murid-murid sekolah dari golongan komuniti nelayan berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Bantuan ini merupakan insentif daripada Repsol Malaysia Limited bagi membantu komuniti di sekitar tempat operasi di luar pantai khususnya kaum nelayan. Demikian ucapan daripada Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin.

Majlis anugerah motivasi bagi murid-murid UPSR dan PT3 Tahun 2016 dari golongon komuniti nelayan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan ini telah disempurnakan oleh Encik Farid Jaafar, Pengurus Besar Kanan Jabatan Perhubungan dan Hal Ehwal Kerajaan dan Komuniti, Repsol Oil & Gas Malaysia Limited.

Seramai 50 orang murid daripada 10 buah sekolah terlibat menerima bantuan tersebut iaitu SMK Lajau, SMK Pantai, SK Lubok Temiang, SK Patau-Patau, SKK SK Rancha-Rancha, SK Bebuloh, SK Layang-Layangan, SK Sungai Lada, SK Tanjung Aru dan SK Pantai. Sasaran penerima bantuan wang ini adalah kepada murid Tingkatan 3 dan murid Tahun 6 yang cemerlang dan berasal dari golongan komuniti nelayan pada tahun 2016.

Menurut En Farid, mereka yang terpilih merupakan murid yang bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PT3, tetapi juga aktif dalam penglibatan kokurikulum di sekolah masing-masing.

Turut sama hadir pada majlis tersebut adalah Ketua-Ketua Sektor, Pengetua dan Guru Besar, Pegawai-Pegawai Repsol dan Pegawai-Pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan.




Seramai 109 Warga Pendidikan WP Labuan Menerima Surat Kenaikan Pangkat

7 Februari 2017 – Seramai 109 warga pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan telah menerima Surat Kenaikan Pangkat yang telah disampaikan oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin bertempat di dewan SJK(C) Chi Wen.

Beliau menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua warga pendidikan yang sentiasa bersungguh-sungguh tanpa mengira samada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan maupun Pegawai Kumpulan Pelaksana, sama-sama menjadi pemangkin kejayaan pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang dikenali umum sebagai Guru, adalah insan yang paling dekat dengan murid. Insan yang sebenarnya penyumbang utama dalam mendidik dan membangunkan manusia sebagai modal insan yang berjaya dari pelbagai aspek, samada inteleknya, jasmaninya, rohaninya, sahsiahnya maupun emosinya.

Para Pegawai Kumpulan Pelaksana pula adalah pendokong utama dalam memastikan pelaksanaan semua operasi pendidikan berjalan lancar. Samada sebagai Pemandu atau Kerani maupun Pembantu Operasi. Masing-masing mempunyai peranan yang penting dalam kejayaan pengoperasian pengurusan organisasi bagi Jabatan Pendidikan WP Labuan dan sekolah.

“Saya menyeru semua penerima surat kenaikan pangkat hari ini dan semua hadirin yang bersama  dalam majlis yang bermakna ini, supaya sentiasa menyedari tanggungjawab kita semua untuk memastikan  kita menyumbang kepada faedah anak-anak kita khasnya dan generasi penerus yang dididik di WP Labuan. Kita semua  accountable untuk bersama dalam memberi perhatian, kasih sayang dan  bertanggungjawab  dalam  mencorakkan masa depan generasi Anak Malaysia yang lebih bermakna”, Encik Raisin Saidin.




Memartabatkan Roh PdPc Abad ke-21

7 Februari 2017 – Memartabatkan Roh PdPc Abad ke 21, begitulah tema Perhimpunan Bulanan JPWPL bagi bulan Februari 2017. Tema ini diilhamkan dan telah diumumkan sendiri oleh Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin bin Saidin.

Beliau berkata, betapa pentingnya keberhasilan pendidikan yang diterjemahkan dengan pembangunan insan yang berkualiti merupakan sandaran negara ke arah negara maju.

Amanah ini merupakan tanggungjawab besar yang perlu dihayati oleh semua warga pendidikan terutama guru-guru di bilik darjah. Peranan dan komitmen guru amat diperlukan dan malah tugas menjadi sangat mencabar dengan keperluan pembelajaran Abad ke-21. Encik Raisin Saidin.

Guru yang berkualiti dan bersedia menghadapi cabaran menjadi sandaran Kementerian Pendidikan untuk merealisasikan transformasi pendidikan negara seperti dihasrat melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025.

Sesuai dengan tema bulanan pada perhimpunan ini iaitu Memartabatkan Roh PdPc Abad ke 21, Cikgu Nazrin Ismail dari SMK Labuan telah dianugerahkan Guru Tauladan bagi amalan PdPc abad ke 21 bagi bulan Februari 2017.

Antara inovasi beliau yang pernah memenangi anugerah adalah inovasi Alat Bantu Mengajar i-Line Board yang membantu murid meningkatkan kemahiran menghasilkan pelbagai garisan dalam tajuk lukisan teknik.

Anugerah ini diberikan kepada guru yang banyak menyumbang bakti dalam amalan PdPc abad ke 21 di dalam bilik darjah seterusnya menggalakkan semua guru untuk mempelbagaikan kaedah PdPc yang pada masa ini lebih berkonsepkan pembimbing dan pemudah cara kepada murid berasaskan amalan PdPc abad ke 21.

Encik Raisin juga mengingatkan pegawai jabatan dan pentadbir sekolah sentiasa membangunkan strategi, kerja berpasukan, mengambil tindakan follow up dan follow through bagi mencapai matlamat yang disasarkan.

Perhimpunan bulanan bagi bulan Februari ini diserikan lagi dengan majlis penyampaian sijil anugerah kecemerlangan kepada pihak sekolah, staff of the month dan meraikan sambutan hari lahir kepada kakitangan jabatan serta sekolah yang lahir pada bulan Februari.




Jom Ke Sekolah Membantu Sahsiah Murid

6 Februari 2017 – Majlis pelancaran Program Jom Ke Sekolah Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah diadakan bertempat di Dewan SMK Labuan.

Semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia melancarkan program ini secara serentak pada 5 dan 6hb Februari 2017. Ianya adalah kolaborasi di antara KPM dan PDRM melalui Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) yang bertujuan menangani permasalahan disiplin dan salah laku pelajar.

Dalam ucapan Pengarah Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin bin Saidin berkata, pemuafakatan bersama PDRM, komuniti, ibu bapa dengan pihak sekolah akan dapat mempertingkatkan minat murid untuk hadir ke sekolah.

Kementerian Pendidikan telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penerapan elemen pembelajaran menyeronokkan bagi memastikan murid-murid gembira ke sekolah sekaligus dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmoni merangkumi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.

KPM berusaha membentuk ekosistem pembelajaran abad ke 21 bagi memastikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tercapai melalui budaya sekolah, prasarana, pelibatan ibu bapa dan komuniti, guru yang profesional serta proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Pentadbir sekolah yang berkesan akan berupaya menghasilkan pembelajaran yang kondusif, menyeronokkan, memberi aspirasi dan inspirasi kepada murid untuk datang ke sekolah setiap hari dengan perasaan gembira dan seronok untuk belajar, Encik Raisin Saidin.

ACP Abdul Razak Bin Hassan, Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, IPK Sabah berkata, PDRM amat prihatin tentang permasalah sosial dan salah laku jenayah dalam kalangan generasi muda, khususnya yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah.

Sehubungan dengan itu, PDRM sentiasa memantau pelajar-pelajar yang terlibat dengan salah laku disiplin, lebih-lebih lagi yang menyumbang kepada perlakuan jenayah. Kerjasama rapat antara pihak sekolah dengan PDRM dilihat berupaya membendung salah laku ini daripada berleluasa.

Dalam menyokong usaha ini, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dari kalangan pegawai dan anggota polis dilantik bagi setiap sekolah, bertujuan mewujudkan komunikasi berterusan antara PDRM dan pihak sekolah ke arah meningkatkan kesedaran terhadap jenis perlakuan jenayah yang berubah-ubah mengikut persekitaran sosial sesebuah sekolah.

PPS turut memainkan peranan dalam membantu mewujudkan suasana sekolah yang selamat, sebagaimana yang telah digariskan dalam Buku Panduan Pengawai Perhubungan Sekolah (PPS).

Antaranya termasuklah mengumpul maklumat daripada sekolah untuk diambil tindakan jika perlu, melakukan rondaan berjadual di kawasan sekolah dan memberikan ceramah berkaitan dengan hal-hal keselamatan kepada warga sekolah.

Bersempena pelancaran Program Jom Ke Sekolah ini, KPM telah mengambil inisiatif iaitu menggalakkan sekolah menyediakan saluran aduan berkenaan isu dan masalah disiplin pelajar melalui Peti Aduan Disiplin Murid.

Menerusi peti aduan diharapkan semua murid dapat menyalurkan maklumat yang diperoleh berkaitan salah laku yang berlaku sama ada di dalam atau di luar sekolah kepada pihak berkuasa.