SISC+ JPN Terengganu di Bengkel Teknik 12 Langkah Metodologi Kajian Tindakan W.P Labuan

Labuan, 26 Februari : Seramai 9 orang SISC+ JPN Terengganu telah turut hadir dalam Bengkel Teknik 12 Langkah, yang telah dianjurkan oleh Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pendidikan W.P Labuan semalam.  Bengkel yang diadakan di Bilik Layangan BTPN telah dikendalikan oleh Puan Suriani Alland Rice Oxley, Pegawai SISC+ Jabatan Pendidikan W.P Labuan.

Bengkel ini dilaksanakan sebanyak 4 siri yang mana peserta adalah terdiri daripada Ketua-Ketua Sektor Jabatan Pendidikan W.P Labuan, Pengetua,  Guru Besar, dan Pemimpin Pertengahan sekolah-sekolah di W.P Labuan.

Bengkel ini menekankan 12 langkah penyoalan sebagai teknik yang boleh menghasilkan satu kerangka kajian tindakan dalam tempoh 2 jam.

Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Puan Khaziyati binti Osman telah memaklumkan bahawa modus operandi penyebaran ilmu penyelidikan dan inovasi pada tahun 2019 ini dibuat secara penawaran atas talian. Tujuannya untuk membina akauntabiliti kendiri kepada Pasukan Kepimpinan Sekolah (SLT) dan Pasukan Pemimpin Pertengahan (MLT) sekolah-sekolah W.P Labuan.

SISC+ JPN Terengganu telah menyatakan rasa gembira atas perkongsian yang telah diberikan. Jaringan komunikasi SISC+ Jabatan Pendidikan W.P Labuan dengan JPN Terengganu bukan hanya mewujudkan interaksi nasional malah memberi peluang perkongsian pintar yang berterusan.

Para peserta telah melahirkan rasa puas hati dengan penganjuran Bengkel Teknik 12 Langkah ini dan berkeyakinan untuk menyediakan laporan kajian tindakan hasil kerja buat tugas mereka sebagai guru dan pemimpin sekolah.

Khaziyati dan Suriani sedang menerangkan penyediaan kajian tindakan kepada  Guru Besar SK Pekan Satu, Puan Anita Syamini AP Azman.



SKK SK St. Anne Raih Tempat Kedua Kejohanan Ping Pong MSSWPL 2019

Labuan – SK ST. Anne berjaya meraih tempat kedua keseluruhan Sekolah Rendah di dalam Kejohanan Ping Pong MSSWPL yang telah diadakan pada 22 hingga 23 Februari 2019.

Pengiraan skor bagi pemenang-pemenang keseluruhan adalah berdasarkan mata kemenangan bagi kategori perseorangan dan bergu.

SK ST. Anne berjaya merangkul tempat ketiga bagi acara bergu lelaki dan bergu perempuan.

Pasukan Ping Pong SK ST. Anne ini telah dibimbing oleh Cikgu Lau Lee Soh, Cikgu Muharna, Cikgu Surianty dan Cikgu Musliah.

Pasukan ini telah menjalani latihan setiap petang bagi memantapkan kemahiran peserta.

Peserta-peserta adalah terdiri daripada murid-murid tahun 4, 5 dan 6. Di mana, sekolah telah menghantar 10 penyertaan perseorangan lelaki, 5 bergu lelaki, 4 perseorangan perempuan dan 2 bergu perempuan.

Pihak pentadbir iaitu Cikgu Shim Ching Teo amat menggalakkan sekolah menyertai kejohanan seperti ini. Ditambah lagi, dengan sokongan kuat daripada Penolong Kanan Kokurikulum iaitu Cikgu Shafeena James Adong.

Sokongan yang padu daripada ibu bapa juga merupakan salah satu faktor kejayaan SK ST. Anne pada tahun ini.

Berita Oleh : SKK St Anne

Jurulatih SKK SK St Anne, meraikan murid yang berjaya memenangi pingat dalam Kejohanan Ping Pong MSSWPL 2019



Pengarah BPSH Sertai Program Ziarah Cakna SMK Labuan

Labuan, 25 Februari : Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) Kementerian Pendidikan Malaysia, Encik Mohd Jamil Mohamed berkesempatan untuk turut serta dalam Program Ziarah Cakna SMK Labuan di dua buah rumah terpilih di Labuan pada 22 Februari lalu.

Beliau diiringi oleh Tuan Haji Pesol Md Saad, Timbalan Pengarah BPSH, Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Ketua-ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri seluruh Malaysia dan Encik Ismail Abdullah, Pengetua SMK Labuan.

Program Ziarah Cakna ini bertujuan memperluaskan konsep sekolah penyayang dan memperkukuh hubungan antara sekolah dan ibu bapa serta penjaga.

Objektif program ialah berkongsi kemenjadian diri murid bersama-sama ibu bapa / penjaga, memahami latar belakang keluarga murid dan berkongsi pandangan antara ibu bapa/penjaga dengan guru bagi mengembangkan potensi murid.

Guru sebagai seorang yang memiliki sifat kepedulian, bertanggungjawab dan penyayang terhadap setiap perkara yang berkaitan dengan muridnya.

Encik Ismail ketika memberi taklimat Ziarah Cakna SMK Labuan kepada rombongan BPSH

Rumah pertama yang dikunjungi iaitu rumah pasangan seorang buruh Encik Abdul Rajit bin Zakaria dan Puan Erni Embaran yang tinggal di Kampung Saguking. Anaknya Abdul Rashid bin Abdul Rajit merupakan murid tingkatan 2 di SMK Labuan.

Rumah kedua yang terpilih pada kali ini ialah rumah Encik Ramlan bin Gapor seorang peniaga burger dan isteri Siti Norimah Suhaili yang tinggal di kampung Patau-Patau Satu.

Anak pasangan tersebut, Mohamad Aniq Aqlan bin Ramlan merupakan murid tingkatan 1 di SMK Labuan.

En Mohd Jamil Mohamed mengucapkan tahniah kepada SMK Labuan kerana berjaya merancang dan melaksanakan Program Ziarah Cakna dengan teratur.

Harapan beliau agar guru-guru memberi perhatian kepada setiap murid walaupun berlainan latar belakang, kebolehan, kelemahan dan kekuatan.

Slogan SMK Labuan iaitu “Setiap Murid Bernilai” sangat bertepatan dengan matlamat Program Ziarah Cakna ini.

Encik Mohd Jamil menyampaikan hamper kepada keluarga Encik Abdul Rajit

Sementara itu Encik Raisin Saidin Pengarah Jabatan Pendidikan berharap sasaran SMK labuan menziarahi 65 orang muridnya dalam program ini tercapai.

‘Pihak sekolah hendaklah melakukan tindak susul ke atas murid yang dilawati. Misalnya dengan menjadikan murid tersebut sebagai anak angkat kepada guru dan guru angkat ini akan memantau perkembangan murid ini sehingga tamat persekolahan di SMK labuan”, tambah Encik Raisin Saidin lagi.

“Selain itu, saya juga berharap agar sekolah-sekolah lain di WP Labuan menetapkan KPI bilangan murid yang dilawati”.

Untuk Rekod, Program Ziarah Cakna peringkat kebangsaan termasuk Wilayah Persekutuan Labuan telah dilancarkan pada 28hb Januari 2019 (Program Ziarah Cakna Perluas Konsep Sekolah Penyayang)

Encik Raisin Saidin menyampaikan hamper kepada keluarga adik Mohd Aniq Aqlan

Sumber Berita : SMK Labuan




SMK Labuan Johan Keseluruhan Ping Pong dan Ketiga Keseluruhan Badminton MSSWPL 2019

Labuan, 25 Februari :  Berlangsung di Dewan SJK(C) Chi Wen, SMK Labuan muncul johan keseluruhan Kejohanan Ping Pong Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2019 yang telah diadakan pada 22 hingga 23 Feb 2019.

Kategori yang dipertandingan bagi kejohanan ini ialah perseorangan lelaki dan perempuan 18 tahun, beregu lelaki dan perempuan 18 tahun.

Walaupun baru berusia 13 tahun, pelajar tingkatan 1 Harmoni, Derica Goh unggul membantu SMK Labuan menjadi juara dengan memenangi perseorangan perempuan bawah 18 tahun, selain meraih tempat ketiga dalam kategori beregu perempuan 18 tahun bergandingan dengan Vannesa Goh.

Celine Tan dan Samantha Tan juga dari SMK Labuan mendapat tempat ketiga dalam kategori yang sama.

Perseorangan lelaki 18 tahun pula menyaksikan Alvin Shim muncul naib johan, manakala Billy Goh meraih tempat ketiga.

Pasukan SMK Labuan mendapat naib johan dalam kategori beregu lelaki dan perempuan 18 tahun yang diwakili oleh gandingan Billy Goh, Alvin Shim (kategori lelaki) dan gandingan Celine Tan, Shau Yunn Shin (kategori perempuan).

Derica Goh, johan perseorangan perempuan 18 tahun

Jurulatih SMK Labuan yang membantu sekolah muncul juara edisi kali ini ialah Cikgu Ting Liu Jeng, Cikgu Hasriah Sidik dan Ustaz Mohd Sharafuddin bin Iliah.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Ag Mohd Zain Ag Anak, Ketua Unit Sukan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Turut hadir Puan Chan Kwi Fong, Pengetua SM ST Anne dan Encik Kuanfuh Jackson Tondoliu, Penolong Kanan Kokurikulum, SM St Anthony.

Kejohanan Ping Pong MSSM peringkat kebangsaan akan berlangsung pada 24-28 mac 2019 di negeri Kedah Darul Aman.

Sementara itu, pada 19 hingga 23hb Februari 2019, bertempat di Kompleks Sukan Labuan telah berlangsung kejohanan Badminton MSSM Wilayah Persekutuan Labuan.

Pasukan SMK Labuan juga turut menghantar 18 orang peserta dan pasukan ini tidak kurang hebatnya dengan meraih 2 emas, 1 perak dan 3 gangsa untuk muncul tempat ketiga keseluruhannya.

Marina Wong muncul johan perseorangan kategori perempuan 18 tahun. Beliau terus unggul dengan menggondol pingat emas, bergandingan dengan Arneete Venessa dalam kategori beregu perempuan 18 tahun.

Badminton Johan Bergu P18 Marina dan Arnette

SMK Labuan juga turut meraih Naib Johan Bergu Campuran (Nuramirah Atiqah dan Mohd Nor Hafizh), Tempat Ketiga Bergu Perempuan 15 Tahun (Tee Yun Yan dan Shuhada Fitri), Tempat Ketiga Perseorangan 15 Tahun (Shuhada Fitri) dan Tempat Ketiga Bergu Lelaki 15 Tahun (Brandon Tan dan Stefano).

Jurulatih SMK Labuan Cikgu Cheah Siew Ling, Cikgu Hjh Saniati Matasan dan Cikgu Noorul Syarhida Nurul Hadi.

Kejohanan Badminton MSSM peringkat kebangsaan akan diadakan pada 25-30 Mac di Melaka.

Pasukan badminton bersama Cikgu Cheah dan Cikgu Hjh Saniati

Sumber Berita : SMK Labuan




Latihan Kebakaran Tingkat Kesedaran Warga SKK SK St Anne

Pada hari Rabu, 20 Februari 2019, Jawatankuasa Keselamatan SKK Sekolah Kebangsaan St Anne dan Sekolah Menengah St. Anne dengan kerjasama Jabatan Bomba Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Latihan Kebakaran (Fire Drill) Bilangan 1 bagi tahun 2019.

Aktiviti yang dilaksanakan dua kali setahun ini bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada warga sekolah tentang tindakan awal yang perlu di ambil apabila berlaku kecemasan atau kebakaran.

Latihan kebakaran ini telah dirancang dan diadakan tanpa pengetahuan murid supaya mereka dapat merasai sendiri pengalaman berada dalam situasi kecemasan.

Diketuai oleh Tuan Kamarudin Sogon, Penolong Kanan Penguasa Bomba sebagai Ketua Cawangan Program Kesedaran Awam, Jabatan Bomba & Penyelamat Wilayah Persekutuan Labuan bersama 2 orang pegawai   dan 8 orang anggota bomba berserta satu jentera telah terlibat di dalam menjayakan latihan kebakaran pada kali ini.

Program ini diakhiri dengan ulasan pihak bomba terhadap perancangan dan tindakan pihak sekolah di dalam menghadapi situasi kecemasan yang tidak diduga.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat WP Labuan mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah kerana dapat membuat pergerakan keluar semua warga sekolah ke tempat berkumpul di bawah masa 3 minit.

Apabila warga sekolah mendengar loceng kecemasan dibunyikan tanpa henti, semua warga sekolah perlu serta merta berhenti membuat kerja.

Murid perlu mendengar arahan guru yang berada dalam kelas pada waktu tersebut dan keluar dari kelas dengan teratur menuju ke kawasan perhimpunan dalam keadaan yang senyap pada kadar yang segera.

Guru memastikan murid menuju ke kawasan perhimpunan dengan teratur

Guru kelas perlu memastikan semua murid berada di kawasan perhimpunan dalam keadaan selamat berpandukan buku kedatangan murid.

Berita Oleh : SKK SK St Anne




Kursus Leadership Coaching Tingkatkan kompetensi Pegawai JPWPL

Labuan, 21 Februari : Seramai 15 pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengikuti kursus Leadership Coaching yang dianjurkan oleh Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pendidikan Labuan semalam.

Kursus yang diadakan di Bilik Layangan, BTPN telah dikendalikan oleh 2 Certified Coach iaitu Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Encik Yusup bin Mohamad dan Pegawai SISC+ , Puan Arni Samiraty binti Abdol Samat.

Kursus ini menerapkan 10 langkah  ke arah menjadi seorang coach yang berwibawa dalam memberi bimbingan dan khidmat bantu kepada warga jabatan dan sekolah.

Elemen GROW turut diterapkan bagi menjadikan proses coaching lebih berstruktur dan terarah bagi mencapai matlamat yang dihasratkan.

Para peserta telah diberi pendedahan secara teori dan praktikal bagi memastikan setiap peserta mendapat manfaat sepenuhnya dari kursus ini.

Para peserta sedang memberi tumpuan kepada penceramah kursus

Pengarah Pendidikan, Encik Raisin Saidin turut berkongsi pengalaman beliau dalam kursus ini dengan menekankan kepada 7 kemahiran yang perlu dikuasai untuk menjadi seorang coach yang baik.

Antaranya ialah penguasaan kemahiran bahasa badan dan kemahiran mendengar yang baik.

Para peserta telah melahirkan rasa puas hati dengan penganjuran kursus ini dan berasa lebih yakin untuk melaksanakan peranan baharu sebagai pegawai pembimbing, perunding cara dan konsultasi selepas ini selaras dengan saranan dalam Naratif Baharu Amalan Pendidikan.

Berita Oleh : Cikgu Mohd Nizam (SPA)

Sesi latihan secara praktikal Coaching turut diadakan : Kemahiran bahasa badan dan kemahiran mendengar

Dari kiri : Puan Khaziyati Osman (Ketua Sektor Jaminan Kualiti) mengiringi Encik Raisin Saidin (Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan) semasa penyerahan Sijil penghargaan kepada Certified Coach iaitu Encik Yusup bin Mohamad (Ketua Sektor Pengurusan Akademik)



“Komuniti Kita Tanggungjawab Kita” mencaknai PPDa SK Layang-Layangan

Labuan, 19 Februari : Sambutan Minggu Antidadah diadakan setiap tahun di sekolah selaras arahan Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Unit Pendidikan Pencegahan Dadah SK. Layang-Layangan.

Program ini juga dibuat selaras dengan Dasar dan Matlamat Pendidikan Pencegahan Dadah, Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah merealisasikan “Sekolah Bebas Dadah” yang disambut pada setiap bulan Februari setiap tahun.

Sambutan ini bertujuan untuk memberi peringatan kepada murid-murid khususnya bahawa dadah masih merupakan ancaman utama kepada negara dan  kesihatan.

KPM telah mengatur pelbagai strategi pencegahan awal bagi menangani permasalahan dadah dalam kalangan murid-murid dan salah satu daripada strategi tersebut ialah melalui pelaksanaan Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) di sekolah rendah.

Antara lain objektif PPDa ini diadakan adalah untuk mewujudkan pemikiran generasi muda yang bebas daripada pengaruh dan gejala dadah, menyediakan alternatif berfaedah yang dapat mencegah mereka daripada terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan dapat mewujudkan suasana persekitaran yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran.

Di samping itu PPDa dapat menyemai dan menanam sikap untuk membenci dan menjauhkan diri daripada dadah serta memberi alternatif program sihat tanpa dadah kepada murid-murid.

Majlis Pelancaran program PPDa peringkat sekolah ini telah dirasmikan oleh Encik Ag Marten bin Datuk Haji Abdul Rahman, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri WP. Labuan bertempat di Dewan Surapit SK. Layang-Layangan WP. Labuan.

En. Ag Marten (tengah) merasmikan program minggu PPDa dan Nilam peringkat SK Layang-Layangan

Menurut beliau usaha untuk mencegah dadah ditumpukan kepada generasi muda bermula sejak di bangku sekolah rendah lagi kerana murid-murid merupakan tulang belakang dan pewaris kepimpinan negara ini pada masa depan.

Tambahnya lagi, dadah boleh memudaratkan nyawa dan kesihatan serta membahayakan keselamatan diri dan masyarakat.

Program PPDa merupakan salah satu daripada sistem sokongan sekolah ke arah menangani gejala sosial yang melibatkan kalangan murid-murid sekolah.

Justeru adalah wajar untuk memastikan murid–murid ini mempunyai pengetahuan dan kemahiran mengenai gaya hidup sihat dan mengamalkannya.

Sebelum itu dalam ucapan aluan Guru Besar, Puan Hajah Dayang Bt Hj Md Yassin berkata:

Fenomena penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid-murid sekolah perlu dipandang serius kerana ia mempunyai perkaitan dengan permasalahan disiplin seperti merokok, ponteng sekolah, melawan guru, mencuri, bergaduh dan merosakkan harta benda sekolah

Timbalan Pengarah Jabatan Muzium bersama Guru Besar dan warga pendidik dalam program Outreach SKLL

Menurutnya lagi pada kebiasaannya, murid-murid yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah ini bukan sahaja menghadapi permasalahan disiplin dan akademik tetapi mereka juga terdedah kepada risiko gejala sosial di luar sekolah seperti penglibatan dengan kumpulan-kumpulan samseng dan tidak bermoral, pergaulan bebas, melepak dan lari dari rumah.

Justeru itu, kita harus memberikan pengetahuan dan kefahaman mengenai bahaya dadah, dan menyedarkan murid-murid dan ahli komuniti mengenai peranan dan tanggungjawab mereka dalam merancang, menggerak dan melaksanakan program dan aktiviti pendidikan pencegahan serta rawatan dan pemulihan dadah sejajar dengan tema Bulan Antidadah Kebangsaan pada tahun ini yang membawa satu wadah dan harapan iaitu “Komuniti Kita Tanggungjawab Kita” yang membawa mesej yang berterusan berhubung tanggungjawab dan peranan komuniti untuk mengekang dan menanamkan kesedaran bahaya dadah.  

Pendekatan secara holistik dan inklusif sebegini perlu ditekankan dalam mempergiatkan keterlibatan komuniti seperti kolaborasi pelbagai pihak dalam membentuk komuniti yang aktif, berbudaya mutual respect dan sepunya bagi mewujudkan kualiti persekitaran sekolah yang aman dan selamat.

Pelibatan agensi kerajaan dan swasta di sekolah ini telah membantu memberi kefahaman tentang bahaya dadah.

Antara pengisian Program PPDa 2019 pada peringkat sekolah ini adalah seperti Senamrobik yang dikendalikan Dr Ng Boon Seng Pakar Psikiatri Hospital Labuan, ceramah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) peringkat Labuan, Ceramah daripada Pusat Koreksional Jabatan Penjara Labuan dan PDRM WP. Labuan disamping aktiviti mewarna, kuiz dan pidato serta membuat tanglong yang dikendalikan oleh Jabatan Muzium Labuan melalui program Outreach mereka di SKLL yang bertemakan Rimup Raya Cina.

Dr. Boon merakam kenangan bersama guru-guru dan murid-murid SKLL selepas aktiviti senamrobik yang dikendalikan oleh beliau

Adalah diharapkan program seperti ini dapat memupuk semangat jati diri murid-murid yang seterusnya dapat membentuk nilai murni, budi pekerti yang mulia dan terpuji, kerohanian yang luhur dan memiliki perasaan cinta serta sayang kepada diri, keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan Negara.

Seperti yang kita sedia maklum, mencegah adalah lebih baik dari mengubati  (Prevention is better than cure). Dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab kita bagi memastikan generasi masa hadapan hidup aman dan gembira tanpa dadah.

Berita Oleh : SK Layang-Layangan




Bengkel Penataran Amanat YB Menteri Pendidikan dan Naratif Baharu Amalan Pendidikan

Amanat Tahun Baharu YB Menteri Pendidikan Malaysia dan
Dialog  KPPM bersama Pengarah Jabatan
Pendidikan Negeri dan PPD seluruh negara telah diadakan pada  14  dan
15 Januari 2019 di Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Jabatan Pendidikan WP Labuan (JPWPL) mengambil langkah proaktif dengan mengadakan Bengkel Penataran Amanat YB Menteri Pendidikan dan Naratif Baharu Amalan Pendidikan KPPM 2019.

Bengkel ini dilaksanakan pada 12 Februari 2019 bertempat di
BTPN, W.P. Labuan dengan melibatkan 35 peserta terdiri daripada ketua-ketua
sektor, pegawai JPN, Pengetua, Guru Besar dan wakil-wakil sekolah.

Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman semua warga JPWPL dalam memahami dan menterjemah amanat YB Menteri Pendidikan dan Naratif Baharu Amalan Pendidikan ke dalam bentuk pelaksanaan dan pengoperasian.

Ini termasuklah penyelarasan semula pelan taktikal JPWPL dan sekolah bagi merealisasikan mandat baharu ini.

Bengkel yang dikendalikan oleh Encik Yusup bin Mohamad, Puan Maimoon binti Matnoh dan Encik Mohd Nizam bin Yasim ini menekankan konsep hands on dengan penyertaan aktif para peserta.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah aktiviti perbincangan dalam home group dan expert group dan pembentangan oleh setiap kumpulan.

Pengetua dan Guru Besar sekolah diharap dapat menyampaikan ilmu dan pengetahuan yang diperolehi sepanjang bengkel ini kepada warga sekolah bagi memastikan hasrat dan fokus kerja kementerian dapat difahami dan dipraktikkan di peringkat sekolah masing-masing.

Berita Oleh : Cikgu Mohd Nizam, SPA




SK Sungai Bedaun Raikan Sambutan Tahun Baru Cina

Labuan, 11 Februari : Seramai 696 orang murid Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) diraikan sempena Sambutan Tahun Baru Cina (TBC) peringkat sekolah yang diadakan di Dewan Permata sekolah itu pada Isnin .

Sambutan Tahun Baru Cina merupakan salah satu daripada Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang dilaksanakan dengan melibatkan semua kaum di sekolah.

SKSB mempunyai peratus murid berbangsa Cina sebanyak 1% manakala 4% di kalangan guru dan Anggota kakitangan sokongan.

Menurut Guru Besar SKSB, Cikgu Dg. Sarifah A.Mahmod, Sambutan Tahun Baru Cina peringkat sekolah diadakan dalam suasana sederhana tetapi meriah.

Ianya diharap dapat membudayakan amalan penyayang di kalangan warga sekolah seperti nilai keikhlasan, kasih sayang dan hormat menghormati.

“ Beberapa aktiviti akan dilaksanakan di peringkat panitia. Semangat hidup bersatu padu dalam sebuah masyarakat majmuk di negara ini perlu dipupuk sejak di bangku sekolah lagi agar murid-murid dapat menghormati kaum lain dan hidup bermasyarakat dengan harmoni” katanya semasa merasmikan program RIMUP pagi tadi.

Cikgu Dg Sarifah (tengah) bersama guru-guru mengucapkan Gong Xi Fa Chai kepada semua yang meraikan Tahun Baru Cina.

Menurutnya lagi, sempena Perayaan Tahun Baru Cina ini, Panitia Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan mengadakan Pertandingan menulis Karangan berdasarkan Pengalaman Meraikan Perayaan Tahun Baru Cina.

Panitia Pendidikan Seni akan mengadakan pertandingan mewarna , melukis poster dan membuat tanglung manakala Panitia Reka Bentuk Teknologi dan Sejarah diamanahkan untuk menyediakan Sudut Perpaduan Tahun Baru Cina.

Kesemua ini merupakan Elemen Perpaduan Merentas Kurikulum yang diubahsuai mengikut Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran (DSKP) mata pelajaran masing-masing.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Cikgu Dg. Sarifah dengan melekatkan Puzzle Poster yang dipegang oleh 6 orang murid berbangsa Cina sebagai simbolik pelancaran.

Pengacaraan pula dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Cina yang dikendalikan oleh Cikgu Norsidah dan Cikgu Wong Lee Choo.

Majlis Pelancaran RIMUP Tahun Baru Cina disempurnakan oleh Cikgu Dg.Sarifah (tiga dari kiri) bersama Penolong-penolong Kanan.

Turut diadakan dalam majlis itu, penyampaian hadiah Kelas Kehadiran Tertinggi bagi bulan Januari 2019. 6 Mutiara telah dianugerahkan sebagai kelas kehadiran terbaik tahap 2 dengan peratusan sebanyak 98.35%. Manakala 3 Delima 97.91% dianugerahkan Kelas Terbaik Kehadiran Tahap 1.

Menurut Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Ustazah Kamariah Salim, Purata kehadiran bagi Januari adalah 95.49%.

Beliau mengucapkan syabas kepada murid-murid yang hadir setiap hari ke sekolah serta berharap agar prestasi ini akan berterusan.

Katanya lagi, kerjasama yang bersungguh-sungguh daripada guru kelas dengan mewujudkan “Group Whats up kelas” kepada ibu bapa telah memberi kesan positif terhadap peratusan kehadiran ini.

Dalam majlis itu juga, semua murid telah menerima limau mandarin yang disampaikan Cikgu Rina Farrina binti Dakim, Penolong Kanan Pentadbiran, Ustazah Kamariah Salim, Penolong Kanan HEM dan Cikgu Mohd. Aizam Abd.Rahim, Penolong Kanan Ko Kurikulum.

Cikgu Dg. Sarifah mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang telah menyumbangkan limau dan menyediakn jamuan sempena majlis itu.

Cikgu Dg. Sarifah menyampaikan sijil kepada ketua kelas 3 delima yang berjaya mencapai peratus tertinggi kehadiran bulan januari bagi tahap 1

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun




Jasamu Dikenang : Persaraan Cikgu Norah Tan Guan Lin, SMK Labuan

Pada 31 Januari 2019 telah  berlangsung Majlis Jasamu Di Kenang sempena persaraan Cikgu Norah Tan Guan Lin, di Dewan Mutiara SMK Labuan.

Cikgu Norah Tan memulakan karier sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan Kota Klias Beaufort Sabah pada tahun 1983 sehingga tahun 1984.

Beliau meneruskan langkah mendidik anak bangsa di Labuan pada tahun 1985 sehingga tahun 1988 di Sekolah Kebangsaan Pekan Satu, WP Labuan.

SMK Labuan merupakan sekolah terakhir dan sekolah paling lama beliau berkhidmat iaitu sejak tahun 1989 sehinggalah beliau bersara pilihan di usia 55 tahun.

Curahan bakti sebagai seorang pendidik selama 35 tahun, Cikgu Norah Tan mendapat latihan guru di Maktab Perguruan Sandakan dalam bidang Pengajian Peringkat Awal Kanak-Kanak pada tahun 1981 sehingga 1982.

Beliau menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Bahasa Inggeris di Universiti Putra Malaysia pada tahun 1996 sehingga 1999.

Anak jati kelahiran Beaufort Sabah ini berkahwin dengan Cikgu Abot Lawandai yang kini berkhidmat di Kolej Vokasional Labuan. Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata yang telah berjaya menjadi seorang doktor (Dr Cassandra Anne Abot) dan seorang Perunding Teknikal (Daniel Ian Abot)

Terima kasih Cikgu Norah Tan Guan Lin, Jasamu sentiasa dikenang.

Cikgu Norah Tan diraikan oleh guru-guru dan pelajar-pelajar SMK Labuan. Terima Kasih Cikgu !

Berita Oleh : SMK Labuan