Peperiksaan UPSR 2019 di Labuan bermula

Labuan, 4 Sept – Sebanyak 1328 calon murid tahun enam sekolah kerajaan dan swasta di Wilayah Persekutuan Labuan hari ini mula menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin merakamkan ucapan selamat menduduki UPSR kepada semua murid tahun enam di Wilayah ini.

“Semoga anak-anak didik kita berada dalam keadaan sihat ceria menduduki UPSR ini. Mudah-mudahan segala usaha murni kita selama ini bagi memastikan kemenjadian anak2 murid kita direstui Allah SWT.”

“Harapan saya ialah selepas 6 tahun berada di sekolah rendah anak-anak murid kita telah menguasai sekurang-kurangnya pada tahap minimum sebagai bekalan mereka ke tingkatan 1 2020.” Encik Raisin Saidin.

Encik Raisin Saidin berkata, beliau mendapati perjalanan UPSR setakat ini berjalan lancar ditambah dengan cuaca yang baik dan berharap keadaan itu berterusan sehingga peperiksaan berakhir.

UPSR 2019 yang dijalankan bermula hari ini sehingga 12 September di 18 pusat peperiksaan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Seramai 117 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.

“Kepada semua petugas dan pengawas UPSR saya ucapkan selamat bertugas dengan penuh integriti.” Encik Raisin Saidin.




SK Pekan Dua Hayati Erti Kemerdekaan

Usaha Mengibarkan Jalur Gemilang di SK. Pekan Dua, WP. Labuan menunjukkan rasa cinta dan kasih warganya terhadap negara.

Semangat dan komitmen tinggi untuk mengibarkan Jalur Gemilang itu menjelaskan bahawa warga di Malaysia khususnya di Labuan bersatu hati mempertahankan pengisian nikmat kemerdekaan.

“Kibar Jalur Gemilang adalah simbol kebanggaan kita sebagai sebuah negara, maruah dan identiti negara dan ia adalah simbol perpaduan dan kesatuan kita sebagai rakyat Malaysia.

“Ia juga adalah tanda kesyukuran, penghargaan dan terima kasih kepada negara yang memberi banyak peluang untuk menikmati erti kemerdekaan.”  

Melalui  Bulan Kebangsaan inilah platform yang terbaik memberi kesedaran kepada warga SK. Pekan Dua sebagai wadah pengisiannya.

Antara lain pengisian Bulan Kebangsaan di SK. Pekan Dua adalah seperti Perarakan Bendera dan Kereta Berhias, Bacaan Yassin dan Tahlil untuk Parajurit yang telah terkorban, Pertandingan Mewarna Bendera Malaysia, Mencipta dan Deklamasi Sajak Kemerdekaan, Kuiz Kemerdekaan, Kelas Patriotik dan Jelajah Merdeka Muzium Chimney, Karaoke Lagu-lagu Patriotik, pakaian beragam fesyen etnik bertemakan kebangsaan dan tayangan filem Patriotik serta kibar Jalur Gemilang.  

Puan Hjh Dayang bersama para tetamu dalam Perarakan Jalur Gemilang dan Kereta Berhias
Persembahan Sajak Kemerdekaan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Arab dan Bahasa Kadazan oleh Guru-guru Novis SK. Pekan Dua, WP. Labuan

Rasional pengisiannya adalah untuk memupuk semangat patriotisme dan cintakan Negara Malayisa. Antara lain objektif Program Penghayatan Bulan Kebangsaan adalah supaya murid-murid mengetahui tarikh kemerdekaan Malaysia dan bersyukur atas nikmat Kemerdekaan yang mereka kecapi selama ini.

Murid-murid dapat menghayati makna kemrdekaan dan berusaha untuk mengekalkan kemerdekaan ini. Murid-murid mengetahui tokoh-tokoh pejuang kemrdekaan dan berterima kasih atas jasa-jasa mereka dan murid-murid dapat mengamalkan hidup bersatu padu antara kaum dan menghayati erti tema sambutan bulan Kebangsaan ke 62 iaitu Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.

Jumlah Jalur Gemilang Yang Dikibarkan adalah lebih kurang Dua Ribu seratus dua puluh dua Jalur Gemilang yang pelbagai saiz dikibarkan. Ini meliputi Bendera Besar sebanyak 323, Bendera kecil 1,799.

Para tetamu merakam kenangan pada photo booth sekolah

Melalui Tema ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih’ Sekolah Kebangsaan Pekan Dua mengambil inisiatif menyemarakkan lagi program kibar Jalur Gemilang melalui kepelbagaian kreativiti dan inovasi dalam susun atur serta rekaletak bendera.

Di samping menginspirasi dan membudayakan pendidikan alam sekitar dengan menerapkan nilai murni kebersihan pada alam persekitaran sekolah serta penghijauan secara berterusan bagi mewujudkan amalan hidup yang sihat dan bersih selaras dengan konsep pembelajaran untuk memahami interaksi manusia dengan alam sekitar dan bagaimana alam sekitar diuruskan dengan bijaksana dan bertanggungjawab ke arah kelestarian hidupan di bumi.  

Pihak sekolah sentiasa berusaha untuk mewujudkan suasana alam sekitar sekolah yang hijau dan ceria demi melahirkan murid-murid yang berilmu pengetahuan dalam memelihara dan memulihara alam sekitar serta berpontensi untuk mengurus sumber alam dengan berkesan dan efektif.

Oleh yang demikian melalui tema ini SK Pekan Dua berusaha ke arah melahirkan warga yang penyayang, bersih dan penerapan dan pemupukan nilai perpaduan di kalangan warganya.

Dalam ucapan Guru Besar kepada warga SK. Pekan Dua, Puan Hjh Dayang Damit Binti Hj Md Yassin menekankan 5 prinsip dalam ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih iaitu dengan mengajak subordinat sebagai rakyat Malaysia, peranan dan tanggungjawab sebenar kita dalam memastikan kemerdekaan dan kedaulatan negara berkekalan berdasarkan lima prinsip kenegaraan yang popular dan boleh digunakan dalam usaha memupuk jati diri rakyat Malaysia.

Melalui Sayangi Tanah Air yang mana Tanah Air kita telah melalui pelbagai ranjau sejak zaman kesultanan Melayu Melaka lagi. Para kolonialis seperti Portugis, Belanda, British, Jepun dan Siam pernah menjajah negara kita. Sejarah itu hendaklah menjadi panduan kepada generasi hari ini dan akan datang dengan tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Sebagai generasi merdeka yang telah mencapai ke-62 tahun bukan setakat mempertahankan tanah air ini, tetapi menjadikan tanah air ini bersih daripada aspek luaran dan dalaman. Sebagai sebuah negara yang telah merdeka, kita perlu mempertahankan kedaulatan negara daripada dijajah semula secara tidak sedar dalam pelbagai bentuk.  “Sayangi Malaysiaku; Malaysia Bersih”.

Berita Oleh : SK Pekan Dua

Mini Musolla dihias dengan botol air mineral dengan tema warna Jalur Gemilang sebanyak 441 botol dan 14 biji tayar
Antara pokok yang mendapat sentuhan kreativiti dihias dengan 50 bebunga dan 151 biji botol-botol serta 37 biji tayar hiasan



Mencungkil Potensi Murid Berkeperluan Khas (MBK) Melalui Karnival Permainan Pendidikan Khas Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2019

Labuan, 3 Sept – Karnival Permainan Pendidikan Khas Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2019 telah diadakan bermula 27 hingga 29 Ogos 2019 bertempat di Kompleks Sukan Wilayah Persekutuan Labuan.

Seramai 189 orang Murid Berkeperluan Khas (MBK) dari Program Pendidikan Khas Integrasi, Guru-Guru Pendidikan Khas dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) Pendidikan Khas melibatkan enam sekolah yang menawarkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) menyertai karnival ini.

Sekolah-sekolah yang menawarkan PPKI di sekolah Wilayah Persekutuan Labuan adalah SMK Lajau, SMK Mutiara, SK Pekan Satu, SK Bukit Kalam, SK Rancha-Rancha dan SK Pantai.

Karnival ini adalah bertujuan untuk mencungkil bakat Murid Berkeperluan Khas (MBK) dalam bidang sukan dan permainan dan seterusnya melahirkan atlet yang terdiri daripada MBK yang boleh diketengahkan ke peringkat negeri atau kebangsaan.

Antara pengisian Karnival Permainan tersebut adalah melibatkan Pertandingan Futsal, Badminton, Bocee dan Petanque.

Pertandingan Futsal yang dikelolakan oleh SMK Lajau telah diadakan pada 27 Ogos 2019 bertempat di Gelanggang Futsal, Kompleks Sukan Labuan. Manakala Pertandingan Badminton bagi kategori Perseorangan dan Bergu pula diadakan pada 27 dan 28 Ogos 2019. Pertandingan Badminton ini telah dikelolakan bersama diantara SK Pekan Satu dan SK Pantai.

PPKI Sk Pantai dinobatkan sebagai johan Futsal sekolah rendah

Manakala Pertandingan Badminton bagi kategori Perseorangan dan Bergu pula diadakan pada 27 dan 28 Ogos 2019. Pertandingan Badminton ini telah dikelolakan bersama diantara SK Pekan Satu dan SK Pantai.

Pertandingan Bocce kelolaan SK Rancha-Rancha dan SK Bukit Kalam telah diadakan pada 28 Ogos 2019 dan melibatkan semua MBK yang dikategorikan sebagai MBK Berkefungsian Rendah.

Manakala SMK Mutiara pula mengelolakan Pertandingan Petanque yang melibatkan penyertaan daripada MBK, Guru dan PPM Pendidikan Khas. Pertandingan Petanque ini telah diadakan pada 28 dan 29 Ogos 2019 bertempat di Gelanggang Petanque, Kompleks Sukan W.P. Labuan

Majlis Perasmian Penutupan Karnival Pendidikan Khas Peringkat W.P. Labuan Tahun 2019 yang telah dirasmikan oleh Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan W.P. Labuan telah berlangsung pada 29 Oktober 2019 bertempat di Ruang Legar My Park, Kompleks Sukan Wilayah Persekutuan Labuan.

Encik Raisin Saidin ketika menyampaikan ucapan Penutupan Karnival Permainan Pendidikan Khas WP Labuan 2019

Majlis ini turut sama dihadiri oleh Puan Mahanum bin Fauzi, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Puan Maimoon binti Matnoh, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Encik Afandi bin Nasir, Penolong Pengarah Unit Pendidikan Khas, Pengetua, Guru Besar dan Penolong Kanan Pendidikan Khas serta guru-guru dan MBK PPKI di keenam-enam sekolah.

Dalam ucapan Encik Raisin Saidin pada majlis tersebut, beliau mengingatkan kepada semua individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung pada anak-anak MBK, sama ada Guru, Ibu Bapa atau komuniti masyarakat, supaya sentiasa mencari peluang untuk mencungkil bakat dan potensi MBK dalam apa-apa bidang yang bersesuaian dengan mereka.

Beliau juga berharap program ini mampu memupuk keyakinan diri kepada MBK supaya boleh bersaing dengan rakan sebaya yang lain.

Berita Oleh : Cik Maznah Embran, Sektor Pengurusan Sekolah