Edisi 2 – Keluaran khas sempena Perintah Kawalan Pergerakan : MURID BELAJAR DI RUMAH, GURU MENGAJAR DARI RUMAH

( Gambar hiasan : Encik Raisin Saidin ketika melawat murid-murid di sekolah Labuan awal Januari 2020 )

Labuan, 26 Mac 2020 – Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan menyeru guru-guru agar menggunakan pelbagai kaedah yang bersesuaian dalam mengajar murid dari rumah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, pada minggu ini guru tidak lagi bercuti, sebaliknya mengajar dari rumah dan perlu menyediakan bahan pembelajaran untuk anak-anak murid sepanjang PKP ini berjalan.

Tugasan dan arahan kerja rumah boleh dilaksanakan oleh guru daripada semudah-mudah bentuk komunikasi iaitu SMS, WhatsApp sehinggalah menggunakan Facebook Live, Zoom Meeting, IG, dan bentuk komunikasi lain yang ada dari rumah.

Guru boleh menggunakan apa-apa sahaja sumber pembelajaran yang ada di rumah atau boleh diakses.

“Guru dan murid boleh menggunakan buku teks, buku kerja, buku ulang kaji dan lain-lain yang dimiliki oleh murid-murid yang ada di rumah.”

Katanya lagi, warga pendidik harus berlaku adil kepada murid dan ibu bapa. Jika ada ibu bapa atau murid mahu mengemukakan pertanyaan berkaitan latihan/tugasan/kerja rumah yang diberikan, guru hendaklah menjawab panggilan atau mesej media sosial atau SMS yang dihantar oleh ibu bapa.

Salah satu sifat ‘Guru Mengajar Dari Rumah’ ialah guru tidak perlu terikat dengan jadual waktu mengajar. Ia bergantung kepada kesesuaian media perhubungan yang digunakan dan juga keupayaan serta bentuk komunikasi yang digunakan.

Sudah tentu murid ini berasa seronok untuk menghantar kepada guru latihan-latihan yang telah mereka siapkan . Jika murid menghantar latihan dan kerja rumah melalui aplikasi whatsapp atau emel, guru boleh memeriksa atau menyemak pada masa itu ataupun menunggu pada masa yang sesuai.

Gambar hiasan : Encik Raisin Saidin bersama murid-murid SK Lubok Temiang pada awal Januari 2020

Saya juga ingin mengingatkan agar guru mengelakkan penggunaan bahan bercetak yang perlu diambil dan dihantar ke sekolah.

Guru juga hendaklah mengelakkan murid menghantar kepada guru secara bercetak skrip jawapan atau tugasan yg mereka siapkan ketika ini.

Pendekatan ‘Guru mengajar dari rumah’ adalah terikat kepada PKP yang sedang berkuatkuasa.

“Harapan saya ialah guru-guru sudah mula mengajar murid-murid dari rumah dengan menggunakan pelbagai kaedah sesuai dengan keadaan setempat.” Encik Raisin Saidin

Libatkan ibu bapa murid dalam sesi PdP di rumah. Peranan dan pemahaman ibu bapa amat penting kerana kemungkinan kita terpaksa menggunakan smart phone, laptop atau emel mereka untuk menyalurkan arahan atau latihan/tugasan/kerja rumah kepada murid-murid.

Rancanglah dengan baik dan bersungguh-sungguh pelaksanaan murid belajar di rumah ini.

“Saya memahami dan mengambil maklum bahawa bukan semua ibu bapa mempunyai kemampuan untuk menyediakan kemudahan pembelajaran secara maya kepada anak-anak mereka. Tidak ada paksaan kepada ibu bapa untuk terpaksa berbelanja lebih bagi tujuan tersebut.

Saya sedar ada lagi keperluan yang lebih mendesak iaitu membeli barang-barang keperluan seharian iaitu makanan dan perubatan.

Oleh itu, saya meminta pihak sekolah supaya mengenal pasti kumpulan berkenaan dan memastikan mereka diberikan perhatian yang istimewa bila mereka kembali ke sekolah dengan memberikan mereka latihan yang cukup”. Encik Raisin Saidin – Pengarah Pendidikan WP Labuan

GURU SAYANG MURIDNYA’

#Just Stay At Home, #Mengajar Dari Rumah




GURU DAN MURID HARUSLAH MELAKSANAKAN PENDEKATAN BELAJAR DARI RUMAH

Labuan 25 Mac 2020 : Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan menyeru para guru dan murid supaya melaksanakan pendekatan belajar dari rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PKP telah dikuatkuasakan sejak 18 Mac 2020 dan seharusnya akan berakhir pada 31 Mac 2020 berikutan penularan wabak COVID-19 kini dilanjutkan lagi sehingga 14 April 2020.

PKP merupakan satu cara untuk memutus atau menghentikan rantaian penularan wabak COVID-19.

Lantaran itu, sekolah telah ditutup sepanjang tempoh berkenaan dan guru serta murid tidak dibenarkan datang ke sekolah bagi tujuan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.

Sehubungan ini, murid hendaklah belajar di rumah dan belajar dari rumah.

Belajar di rumah bermaksud murid mengambil inisiatif belajar secara kendiri dengan menggunakan buku teks sedia ada atau menggunakan buku-buku kerja yang ada.

Selain itu, murid juga boleh menyiapkan latihan-latihan ulangkaji dan pengukuhan yang telah disediakan oleh guru-guru sebagai tugasan semasa cuti sekolah.

Belajar dari rumah pula secara mudahnya boleh diertikan sebagai murid dapat berinteraksi dengan guru-guru mereka dengan pelbagai cara.

Cara yang paling mudah dan popular ketika ini ialah melalui whatsapp dan telegram hanya dengan menggunakan telefon pintar. Malahan penggunaan ‘zoom clouds meeting’ juga telah mula digunakan oleh guru dan murid.

Banyak lagi cara lain yang boleh difikirkan oleh guru bagi membantu murid belajar dari rumah.

“Saya amat yakin guru-guru era digital ini mempunyai pelbagai kreativiti dan inovasi berdasarkan teknologi yang boleh membantu murid terus belajar dengan bimbingan guru tanpa hadir ke sekolah atau bilik darjah” – Encik Raisin Saidin

Seperti yang dijangka, PKP yang seharusnya berakhir pada 31 Mac 2020 ini telah dilanjutkan lagi tempohnya sehingga 14 April 2020. Semua pihak berharap agar penularan wabak COVID-19 di negara kita dapat dihentikan.

Adalah penting untuk guru-guru yang berada di barisan paling hadapan di bilik darjah menyediakan platform yang sesuai untuk murid-murid yang kita sayangi terus belajar.

Saya juga memohon supaya Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bersama dengan Sektor Pembelajaran dapat membantu, membimbing dan memberi khidmat bantu guru- guru dalam memastikan murid belajar dari rumah benar-benar memberi manfaat kepada murid-murid.

Ini amat bertepatan dengan slogan kita GURU SAYANG MURIDNYA




PATUHI SEPENUHNYA ARAHAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

Labuan, 19 Mac 2020 : Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengingatkan semua warga Jabatan Pendidikan Labuan supaya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menghentikan rantaian penularan wabak Covid-19.

Semua Pejabat Jabatan Pendidikan WP Labuan dan sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan ditutup bermula 18hb sehingga 31hb Mac 2020,

Encik Raisin Saidin berkata, selama tempoh dua minggu ini, warga pendidikan diingatkan agar sentiasa berada di rumah dan tidak perlu bergerak ke mana-mana.

Bagi mendapatkan keperluan asas seperti makanan dan perubatan, hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan keluar dan terus pulang ke rumah setelah selesai urusan.

Program-program anjuran Jabatan Pendidikan WP Labuan, sekolah dan aktiviti pihak NGO bersama sekolah juga ditangguhkan sepanjang tempoh ini.

Tindakan mengosongkan premis jabatan meliputi ibu pejabat di Ujana Kewangan, Bukit Kalam, SSTP, SPMICT, Pusat Kokurikulum dan semua bangunan sekolah adalah untuk menghentikan rantaian penulran virus COVID-19.

Mudah-mudahan jangkitan COVID-19 dapat dihindari dan penularan wabak ini insyaAllah dapat dibendung.

Katanya, inilah tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan oleh kerajaan.

Tujuannya bukan untuk membolehkan balik ke kampung, memenuhi jemputan kenduri, membeli belah di pasaraya, bersiar-siar di taman atau bercuti di tempat peranginan.

Tujuannya ialah supaya duduk di rumah di mana anda berada. Stay at home and protect yourself and family.

Kerajaan mengisytiharkan penutupan sekolah supaya murid-murid tidak akan bersentuhan dengan rakan-rakan yang mungkin membawa virus COVID-19.

Begitu juga ke tempat kerja supaya tidak berinteraksi secara dekat dan bersentuhan dengan orang lain yang mungkin membawa virus ini.

Akhirnya, rantaian jangkitan dapat diputuskan dan jumlah orang yang dijangkiti wabak ini dapat dikurangkan. Inilah tujuannya.

Marilah kita sama-sama berdoa, menadah tangan agar kita bebas daripada COVID-19. Encik Raisin Saidin

#Just stay at home

Pejabat Jabatan Pendidikan WP Labuan di Ujana Kewangan ditutup dari 18-31 Mac 2020



SMK Mutiara dan SK Kerupang dinobat Juara Baharu Kejohanan MSSWPL Kali Ke 20 Tahun 2020

Labuan, 13 Mac 2020 – Sekolah Sukan Negeri SMK Mutiara dan Sekolah Kebangsaan Kerupang dinobatkan sebagai juara baharu Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan (MSSWPL) Kali Ke 20 tahun 2020.

SSN
SMK Mutiara merampas kembali kejuaraan Kejohanan Olahraga MSSWPL yang dimenangi
oleh SMK Pantai dua tahun berturut-turut pada tahun 2018 dan 2019.

SMK
Mutiara unggul dengan pungutan 17 pingat emas, 9 perak dan 9 gangsa.

SMK
Pantai IBWS terpaksa berpuas hati di tempat ke-dua dengan pungutan 13 emas, 16
perak, 6 gangsa, manakala SBT SM Sains meraih tempat ke-tiga dengan 11 emas, 6
perak dan 6 gangsa.

SK
Kerupang mengungguli kategori sekolah rendah dengan mendapat 6 emas, 1 perak, 2
gangsa.

SJK(C) Chung Hwa muncul naib johan dengan 3 emas, 1 perak, 1 gangsa dan SK Sungai Bedaun di tempat ke-tiga dengan 3 emas, 1 perak, 1 gangsa.

Encik Raisin Saidin bersama Juara baharu SK Kerupang, Naib Johan SJK (C) Chung Hwa dan Tempat Ketiga SK Sungai Bedaun
Ceria dan Gembira ! Juara Keseluruhan Sekolah Rendah, Sekolah Kebangsaan Kerupang
Horrey kami juara ! Sekolah Menengah SMK Mutiara

Kontinjen SMK Labuan dan SK Sungai Bedaun dinobatkan sebagai Johan perbarisan kategori menengah dan rendah pada kali ini.

SMK Mutiara dan SM St Anne masing-masing mendapat naib johan dan ketiga perbarisan sekolah menengah.

SK Bukit Kalam naib johan dan tempat ketiga SK Bebuloh bagi pertandingan perbarisan kategori sekolah rendah.

Kejohanan berlangsung di Kompleks Sukan Labuan, bermula 9 Mac dan berakhir hari ini.

Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin bin Saidin.

Encik Raisin Saidin dalam ucapannya berkata pungutan pingat bukan merupakan sasaran utama tetapi yang lebih penting adalah ukhuwah yang terjalin dan kualiti kesihatan yang diperolehi sepanjang melaksanakan sukan ini.

Juara Perbarisan Sekolah Menengah, SMK Labuan, Naib Juara SMK Mutiara dan Ketiga SM St Anne

Atlet SMK Mutiara, Aizul Hussin muncul olahragawan terbaik 18 tahun dengan memenangi 3 emas, 1 perak dan 1 gangsa. Beliau mencatat 3 rekod baharu kejohanan dalam acara 100 meter lari bepagar, 400 meter lari berpagar dan lompat kijang.

Manakala Julianne Myra Robin dari Kolej Vokasional dinobatkan sebagai olahragawati 18 tahun dengan pungutan 3 emas melalui acara 200 meter, 100 meter dan merejam lembing.

Mohd Hadi dari SMK Lajau memenangi olahragawan kategori 15 tahun dengan 3 emas 400 meter, 200 meter dan 800 meter.

Kontinjen SMK Mutiara semakin ceria setelah Dayangku Nurdzyuhairah bt Ak Abdul Rahman meraih olahragawati 15 tahun dengan 4 emas dan 1 perak.

Anugerah Olahragawan dan Olahragawati 12 Tahun telah dimenangi oleh atlit dari SK Kerupang iaitu Muhammad Syahputra Hafify El bin Rozi atlet SK Kerupang dan Nur Shafira bt Sambarin.

Muhammad Syahputra menggondol 3 emas melalui acara 100 meteri, 200 meter dan 4 x 100 meter, manakala Nur Shafira memenangi 2 emas dalam acara 400 meter dengan catatan rekod baharu kejohanan dan 4 x 100 meter serta 1 perak dalam 4 x 200 meter.

Encik Mohd Nizam bersama Olahragawan 18 Tahun dari SMK Mutiara Aizul Hussin

Untuk rekod, SM St Anne dan SKK SK St Anne merupakan pengelola bersama Kejohanan Olahraga MSSWPL Kali ke 20 Tahun 2020.

“ Sekalung Penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kejohanan kali ini. ” Pengelola bersama SM St Anne dan SKK SK St Anne

Berikutan cuaca yang agak panas dan sebagai langkah berjaga-jaga dalam penularan wabak Covid -19, acara majlis penutupan disusun semula supaya menjadi lebih singkat.

“ Langkah memendekkan masa ini merupakan salah satu daripada intervensi Jabatan Pendidikan Labuan bagi memastikan kesihatan murid dan guru serta ibu bapa yang hadir memeriahkan kejohanan sentiasa diutamakan”.

“ Setiap sekolah juga telah menyediakan kanopi yang sesuai untuk para peserta perbarisan masing-masing berlindung dari cuaca panas ketika menunggu pengumuman para pemenang dan juara keseluruhan. Apapun saya yakin kemeriahan kejohanan olahraga ke-20 ini dirasai oleh semua atlet dan murid-murid guru dan ibu bapa. ” Encik Raisin Saidin

Penyerahan Bendera Kejohanan kepada Pengelola Kejohanan Tahun 2021 SMK Lajau dan SK Sungai Bedaun
Encik Raisin Saidin, Tuan Haji Abdul Rahman bersama Timbalan-timbalan, KPP, Pengelola Kejohanan dan Para Pengetua Guru Besar yang hadir memberi sokongan



Alumni SK Sungai Bedaun Memimpin Jawatankuasa PIBG Sesi 2020/2022

Labuan – Mesyuarat Agung PIBG Sk. Sungai Bedaun kali ke-31  tahun 2020 telah dirasmikan oleh Puan Maimoon binti Matnoh (Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah JPWPL).

Turut hadir, Encik Mohamad bin Pindut, (Pegawai Agkat Sekolah), Puan Wiwik Iswandari binti Sudirman (Mantan YDP PIBG SK Sungai Bedaun sesi 2018/2020). Mesyuarat ini telah dihadiri oleh ibu bapa dan penjaga dan juga guru-guru SK Sungai Bedaun, Lebih kurang 200 orang ibu bapa yang hadir dalam mesyuarat PIBG pada kali ini.

Turut hadir, Encik Mohamad bin Pindut, (Pegawai Agkat Sekolah), Puan Wiwik Iswandari binti Sudirman (Mantan YDP PIBG SK Sungai Bedaun sesi 2018/2020). Mesyuarat ini telah dihadiri oleh ibu bapa dan penjaga dan juga guru-guru SK Sungai Bedaun, Lebih kurang 200 orang ibu bapa yang hadir dalam mesyuarat PIBG pada kali ini.

Puan Maimoon dalam ucapan perasmian beliau berkata, kesepakatan ibu bapa dan guru akan membangunkan murid yang cemerlang dan menjadikan sekolah terbilang, sesuai dengan tagline SK Sungai Bedaun Mekar Terbilang. Beliau juga menyeru ibu bapa untuk sentiasa bersedia membantu pihak sekolah mengikut keupayaan masing-masing.

Puan Dg. Sarifah (Guru Besar SK Sungai Bedaun) mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada barisan AJK PIBG 2018-2020 yang diketuai oleh Puan Wiwik Iswandari Sudirman selaku YDP PIBG  telah menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap sekolah sepanjang tahun  2018 dan 2019.

Barisan Ahli Jawatankuasa PIBG SK Sungai Bedaun sesi 2020/2022 diketuai oleh Tuan Haji Sahrum bin Samlan (lima dari kiri).

Begitu juga  kepada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan kepada pihak sekolah dan berharap agar ibu bapa terus memberi sokongan kepada pihak sekolah dalam setiap aktiviti yang dianjurkan. Katanya lagi, pihak sekolah sentiasa komited untuk mendidik murid untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam setiap bidang samaada akademik, kokurikulum dan sahsiah.

“Kejayaan seseorang murid tidak hanya terletak pada bahu guru semata-mata.  Kami sebagai guru hanya memberi ilmu pengetahuan dan murid-murid bersedia menerima apa yang disampaikan. Apa yang diterima oleh murid akan hilang jika tidak diulangkaji dan diasah.  Di sini letaknya peranan anda sebagai  ibubapa.  Tuan tuan dan puan-puan  semua perlu bertindak sebagai pendorong., mneggalakkan anak-anak belajar, mengulangkaji apelajaran atau menyiapkan kerja rumah.  Jangan kita terlalu ikut kehendak anak-anak terlalu memanjakan mereka kerana sikap sebegini akan merugikan kita sebagai ibubapa pada masa akan datang.” ujarnya

Puan Dg. Sarifah menyampaikan ucapan pada majlis tersebut

Pemilihan Jawatankuasa PIBG SK Sungai Bedaun sesi 2020-2022 disandang oleh Tuan Haji Sahrum bin Samlan (YDP PIBG), Puan Sabrinah binti Ishak (NYDP PIBG), Ustazah Norlinda binti Suhut (Setiausaha PIBG), Ustazah Anfal binti Amir (Naib Setiausaha PIBG) , dan Ustazah Yuhana binti Yunus (Bendahari PIBG).  Di samping itu 10 orang  AJK dari kalangan guru dan ibu bapa turut dipilih untuk melengkapkan organisasi PIBG SK Sungai Bedaun.

YDP PIBG SK Sungai Bedaun merupakan Alumni SK Sungai Bedaun, beliau juga merupakan guru Bahasa Arab di SK Sungai Bedaun sebelum bertugas di Jabatan Pendidikan WP Labuan sebagai Penolong Pengarah Unit Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam.            

Diharap barisan Jawatankuasa PIBG SK Sungai Bedaun akan terus komited bekerjasama dengan pihak sekolah untuk melahirkan pemimpin masa depan yang seimbang dari segi Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Puan Dg. Sarifah menyampaikan cenderahati kepada Pn. Maimoon sambil diperhatikan oleh Penolong penolong kanan , barisan ajk pibg 2018-2020 dan pegawai angkat En. Mohamad
Dari kiri : Encik Mohamad bin Pindut (Pegawai Angkat SK Sungai Bedaun), Puan DG. Sarifah binti A.Mahmod (Guru Besar SK Sungai Bedaun), Puan Maimon binti Matnoh (Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, JPWPL), Puan Noraliza binti Allbi (Penolong Kanan pentadbiran SK Sungai Bedaun).



Mesyuarat Agung PIBG SK Pekan II `Seikat Bagai Sirih, Serumpun Bagai Serai’

Labuan – Sekolah Kebangsaan Pekan II, WP. Labuan telah mengadakan mesyuarat Agung PIBG bagi melantik Majlis Tertinggi bagi tahun 2020-2022 yang dilaksanakan pada 06 Mac 2020 bertempat di Dewan Terbuka Gemilang.

Mesyuarat telah dirasmikan oleh YBhg. Tuan Raisin Bin Saidin, Pengarah Pendidikan WP. Labuan.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh, Datuk Ramasamy Ketua Masyarakat India, Puan Hajah Rohana Binti Yassin, YDP PIBG SK Pekan II, KK Osman Bin Kadir, Ketua Kampung Gersik, Encik Sofian Bin Said, Pengerusi LAFA, Encik Hussien Bin Sulaiman, Sarjan Marteen Pegawai Perhubungan Polis Sekolah, Penolong-Penolong Kanan, ibu bapa dan guru-guru.

Dalam ucapan perasmiannya, Tuan Pengarah Pendidikan menekankan tentang perlunya ibu bapa memahami peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah adalah bertujuan untuk mewujudkan permuafakatan antara ibubapa dan guru.

Dengan permuafakatan dapat membina kesefahaman tentang tugas dan tanggungjawab bersama dalam usaha untuk meningkatkan mutu kualiti murid di sekolah, seterusnya dapat menghasilkan kualiti sekolah yang lebih baik.

Beliau turut memuji perjalanan mesyuarat ini yang beliau sifatkan  sebagai professional, kehadiran ibu bapa yang luar biasa kehadiran dan sokongan mereka meskipun mesyuarat ini dibuat pada waktu bekerja, teratur dan menunjukkan tertib pemilihan AJK PIBG yang baharu.

Beliau mengucapkan syabas dan tahniah atas kepimpinan Guru Besar dan yakin bahawa sekolah ini akan terus cemerlang dalam pelbagai bidang dengan adanya sokongan padu daripada ibu bapa yang berterusan. Begitu juga harapan beliau terhadap kepimpinan PIBG yang baharu agar dapat menambahbaik lanskap kemenjadian dan keberhasilan murid-murid sekolah ini.

Menandatangani permuafakatan strategik antara Guru Besar dan Datuk Ramasamy, Encik Sofean dan Encik Hussein disaksikan oleh Tuan Raisin Saidin

Sebelum itu Guru Besar, Puan Hajah Dayang Damit @ Saidah Haji Md Yassin selaku penasihat persatuan ini dalam ucapannya mengingatkan semula tentang perkara berkaitan Batasan Kuasa Persatuan  Ibu   Bapa Dan Guru yang perlu dipatuhi pada setiap masa seperti mana yang   tercatat dalam SPI Bilangan 5 Tahun 2001 yang dikeluarkan oleh pejabat   Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, KPM.

Perkara-perkara yang disentuh di   dalam surat pekeliling itu ialah PIBG sekolah bertujuan untuk mewujudkan permuafakatan antara ibu bapa dan guru-guru di sekolah yang berkenaan.

Permuafakatan seumpama ini diharapkan dapat membina kesefahaman tentang peranan dan tugas serta tanggungjawab bersama dalam usaha untuk   meningkatkan mutu dan kaedah pengajaran guru-guru dan pembelajaran murid di sekolah, selain mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian  antara   pihak sekolah, ibu bapa, dan komuniti setempat (school home community partnership).

Di samping itu fungsi dan peranan PIBG, KSIB, PIBKS dan SdK di sekolah perlu dibugarkan serta memperlihatkan kejayaan-kejayaan yang telah diperolehi oleh sekolah ini khususnya dalam Pelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS) yang mana SK Pekan II telah melahirkan ‘Star Junior’ peringkat Negeri, Kebangsaan dan Antarabangsa melalui Pertandingan Karate, Muaytai, renang, silambam, boxing, catur dan sebagainya.

Ibubapa dan guru berpisah tiada, selaras dengan moto “Together We Are Stronger” sama-sama mempunyai peranan yang padu dan saling lengkap-melengkapi, ibarat `SEIKAT BAGAI SIRIH, SERUMPUN BAGAI SERAI’,  berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing dalam menyediakan prasarana, kemudahan, dan suasana sekolah yang kondusif kepada murid-murid dan guru-guru di sekolah ini.

Beliau juga mengingatkan ibu bapa bahawa kecemerlangan anak-anak sebenarnya bermula dari rumah kerana merekalah yang  menentukan  sama ada anak-anak terdidik dengan nilai-nilai yang murni dan mempunyai kekuatan dalaman untuk berhadapan dengan segala gejala negatif di luar rumah.

Jelasnya lagi, tanggungjawab dalam menentukan keperibadian anak-anak sebenarnya adalah tanggungjawab ibu bapa. Amat tidak adil untuk melepaskan tanggungjawab itu sewenang-wenang ke atas bahu guru dan pihak sekolah. Dalam konteks ini, PIBG sekolah perlulah bersikap proaktif untuk menyumbang ke arah usaha tersebut selain daripada membantu dalam kebajikan murid, guru dan juga pembangunan sekolah.

YDP dan AJK PIBG 2020-2022 merakam kenangan bersama Guru Besar

Terdahulu Puan Hajah
Rohana Binti Yassin, YDP PIBG 2017-2019 juga dalam ucapannya turut berterima
kasih kepada semua guru-guru, AJK PIBG dan semua ibu bapa dan mengharapkan
kepimpinan baharu Majlis Tertinggi PIBG dapat membantu pihak sekolah
meningkatkan kecemerlangan sekolah, memantapkan lagi hubungan guru-guru bersama
ibu bapa melalui aktiviti anjuran bersama seperti Program Motivasi,
Kecemerlangan UPSR, Sukan, Hari Anugerah Sekolah dan sebagainya.

Dalam pada itu jaringan permuafakatan antara sekolah dengan pihak-pihak yang bermurah hati memberi sumbangan telah disaksikan oleh Pengarah Pendidikan.

Pengerusi LAFA iaitu Encik Sofian Bin Said menyumbangkan bola sepak kepada team bola sepak sekolah ini. Encik Shahezy Bin Salim telah menyumbangkan 4 biji sportlight bagi kegunaan murid-murid latihan di padang sekolah pada waktu malam. Begitu juga Datuk Ramasamy melaksanakan kelas Bahasa Tamil secara percuma di sekolah ini.

Kehadiran ibubapa dalam mesyuarat kali ini juga amat menggalakkan dan melebihi sasaran sekolah.

Sebelum itu pemilihan AJK baharu telah dijalankan yang dipengerusikan oleh YM Hajah Tengku Yassmin Binti Tengku Ibrahim Penolong Kanan Pentadbiran selaku pengerusi sementara.

YDP PIBG bagi sesi 2020/2022 ialah Puan Annur Binti Hussin, NYDP Encik Irham Bin Hamid, Cikgu Noraini Binti Awang Besar selaku setiausaha dan Puan Sandrah Binti Daupin selaku naib Setiausaha serta Cikgu Kanagarajah selaku Bendahari. 

Selaku YDP PIBG yang baharu Puan Annur berharap agar hubungan kukuh antara sekolah dan ibubapa yang sedia terjalin dapat dijaga demi kemenjadian dan keberhasilan anak-anak SK. Pekan II khususnya.

Berita Oleh : SK Pekan II

Puan Hajah Dayang menerima sumbangan 4 biji sportlight daripada Encik Hussein bin Sulaiman yang mewakili Encik Sahezy bin Salim.



Puteri Helena Yasmeen Tokoh Nilam Bahasa Inggeris Labuan 2020

Labuan, 9 Mac 2020 – Puteri Helena Yasmeen pelajar SMK Labuan telah berjaya meraih Tokoh Nilam Bahasa Inggeris Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2020.

Anugerah Tokoh Nilam ini telah berlangsung pada 4 hingga 6 Mac 2020 di Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, WP Labuan.

Pertandingan ini bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada murid yang telah berjaya menjalankan Program Nilam dengan memenuhi kriteria yang ditetapkan selain memberi penghargaan atas usaha gigih murid dalam aktiviti pembacaan.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah Anugerah Tokoh Nilam Bahasa Melayu (Sekolah Rendah dan Menengah) dan Anugerah Tokoh Nilam Bahasa Inggeris (Sekolah Rendah dan Menengah) serta Folio terbaik Bahasa Melayu dan Bahasa Ingggeris (Sekolah Rendah dan Menengah).

Puteri Helena dibimbing oleh Guru Perpustakaan Media (GPM) SMK Labuan Puan Maslina Arifin.

Sementara itu, Pengetua SMK Labuan Ismail Abdullah mengucapkan terima kasih atas usaha kolaboratif antara GPM dengan Panitia Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu membantu persiapan peserta SMK Labuan.

“Usaha ini juga untuk membentuk sikap murid untuk rajin membaca serta memupuk kebolehan murid berkomunikasi dengan yakin,” Encik Ismail Abdullah

Majlis telah dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Encik Ag Marten bin Datuk Haji Abd Rahman.

Beliau berharap kepada murid-murid agar aktiviti-aktiviti dan pendedahan yang diberikan akan menjadikan mereka lebih berkeyakinan untuk terus aktif dalam pembacaan serta mampu mempengaruhi dan memimpin murid-murid lain untuk sama-sama membaca.

Pertandingan peringkat kebangsaan akan diadakan di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Selangor pada 30 Mac hingga 1 April depan.

Berita Oleh : SMK Labuan

Puteri Helena Yasmeen menerima anugerah Tokoh Nilam BI daripada Encik Ag Marten



Kem Interaksi Pemimpin Muda Asah Bakat Kepimpinan Murid-Murid SMK Mutiara

Labuan, 9 Mac 2020 – SMK MUTIARA dengan kerjasama Persatuan Belia Harmoni, UMSKAL telah berjaya melaksanakan Kem Interaksi Pemimpin Muda (KIPM) 3.0 pada 6 hingga 8 Mac 2020 yang lalu.

KIPM yang turut mendapat kerjasama daripada Pertumbuhan IKRAM Malaysia dan MAIWP telah menghimpunkan seramai 150 peserta yang terdiri daripada Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber(PSS) dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS).

Menurut Penyelaras Program, Ustazah Rohani binti Tali, kem kepimpinan 3 hari ini telah dikelolakan sepenuhnya oleh Persatuan Belia Harmoni (PBH) Labuan yang terdiri daripada 40 mahasiswa dan mahasiswa daripada UMSKAL sebagai fasilitator.

Selain itu, seramai 10 orang guru SMK Mutiara terlibat dalam memastikan keselamatan dan kebajikan semua peserta terjaga.

“Sepanjang 3 hari ini, para peserta kem telah menjalani pelbagai aktiviti dalam membina jati diri kepimpinan termasuklah membina keperibadian mulia, perwatakan hebat dan komunikasi serta interaksi berkesan. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah termasuklah Explorace 9 stesyen, sesi ceramah Terlajak Laris dan sesi motivasi diri” Ustazah Rohani binti Tali

Para peserta kem tetap bersemangat walaupun penat menjalani pelbagai aktiviti yang mencabar mental dan fizikal.

Penceramah sedang berinteraksi dengan peserta program, murid-murid SMK Mutiara

Salah seorang peserta, Adik Mohd Afiq Dzulfadli ketika ditemui berkata beliau bersyukur kerana berpeluang menyertai KIPM kali ini. Adik Mohd Afiq yang juga terpilih sebagai peserta terbaik lelaki menyifatkan aktiviti yang dilaksanakan telah berjaya meningkatkan keyakinan dirinya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua murid SMK Mutiara.

Peserta terbaik wanita pula disandang oleh Adik Nur Ain Haziqah binti Mohd Rashidin. Beliau begitu teruja kerana aktiviti-aktiviti yang diterapkan berjaya memberi pengalaman baharu kepada dirinya. Beliau turut berazam menggunakan segala pengalaman itu dalam melaksanakan tugas-tugasnya sebagai Penolong Ketua Pengawas sekolah.

Majlis penutupan perasmian telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim. Dalam ucapannya, beliau telah menyuntik semangat dan motivasi kepimpinan kepada para peserta dengan membawa contoh tokoh-tokoh yang telah berjaya menunjukkan daya kepimpinan yang tinggi dalam usia yang sangat muda.

Antaranya ialah Sultan Mohamed Al-Fateh yang ketika itu berusia 21 tahun telah berjaya membuka Kota Constantinople yang dibatasi oleh pagar empat lapisan setinggi 25 kaki dan sepanjang 160 kaki. Manakala Usamah bin Zaid pula telah dilantik sendiri oleh Baginda Rasulullah s.a.w sebagai panglima perang pada usia 18 Tahun.

“Sejarah telah membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk menjadi pemimpin hebat. Seorang pemimpin mesti mempunyai pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang baik. Ketokohan kepimpinan boleh diasuh dan digilap bukan dilahirkan semata-mata” ujar beliau.

“Di zaman milinuem ini pula, dunia telah menyaksikan Perdana Menteri termuda di dunia dari Austria, Sebastian Kurn yang berusia 32 tahun. Manakala Finland, sebuah negara terhebat dalam pendidikan pula dipimpin oleh seorang Perdana Menteri wanita, Sanna Marin yang berusia 34 tahun” tambah beliau lagi.

Salah seorang penceramah jemputan sedang memberi motivasi kepada murid-murid SMK Mutiara

Beliau turut menyeru kepada semua peserta agar segala kemahiran dan pengalaman yang diperolehi dijadikan sebagai azimat dan panduan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai pengawas sekolah.

Di akhir ucapan, Encik Mohd Nizam turut menzahirkan ucapan terima kasih dan menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan KIPM 3.0 kali ini.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Dr. Muhammad ‘Ammar bin Abdul Wahab, wakil Pertumbuhan IKRAM Malaysia, Mohd Nadzri bin Mohammad @ Namli, Pengerusi Belia Harmoni Labuan, Puan Nurul Izzati binti Abdul Razak, Penyelaras Program dan Mohammad Azmi bin Abdul Ahmad, Pengarah program KIPM 3.0.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Encik Mohd Nizam menyampaikan hamper kepada peserta terbaik lelaki Mohd Afiq Dzulfadli
Peserta terbaik perempuan Nur Ain Haziqah binti Mohd Rashidin



Mesyuarat PIBG SK Pekan Satu

Labuan, 08 MAC- Mesyuarat tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pekan Satu yang melibatkan semua warga SKPS diadakan di Dewan C.U.N. PIBG merupakan salah satu wadah penting membantu pihak sekolah meningkatkan kualiti pengurusan pendidikan meliputi sistem PdP dan kemudahan prasarana di samping membina hubungan baik di antara pihak sekolah dengan ibu bapa. Perasmian majlis disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin bin Saidin.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Guru Besar SKPS  Puan Anita Shyamini A/P S Azman,  Yang Dipertua (YDP) PIBG SK Pekan Satu Encik Azrul Rizhan bin Abd Rahman,  Penolong Pengarah Unit Pendidikan Swasta Sektor Pengurusan Sekolah JPWPL merangkap NYDP PIBG SKPS Puan Zaliha binti Mohd Salleh, Pegawai Cawangan Khas IPD W.P. Labuan merangkap PPS SKPS Asp. Mohd Sudirman Bin Abu, Ketua Kampung Gersik Saguking Encik Osman Kadir, 4 orang pentadbir SKPS, 10 orang Ajk Tertinggi PIBG, 85 orang guru serta 400 orang ibu bapa.

Suasana dewan C.U.N semasa majlis mesyuarat PIBG berlangsung

Encik Azrul Rizhan menyatakan mesyuarat ini menjadi satu wadah penting kepada ibu bapa dan guru bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan murid-murid SKPS. “Mesyuarat ini juga membolehkan ibu bapa dan guru berbincang bagi mengusahakan bagaimana menambah kewangan sekolah dan meningkatkan kemudahan fizikal bagi tujuan mempertingkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran” tambah beliau lagi.

Tuan Raisin amat teruja dengan berlangsungnya program sebegini yang dapat membantu dalam memperkasakan lagi kerjasama antara pihak sekolah dengan ibu bapa khususnya. Beliau berkesempatan menyampaikan ucapan “Ibu bapa hendaklah sentiasa membantu para guru untuk mendidik murid-murid dengan cara menyemak buku latihan anak-anak serta mendorong mereka melakukan kerja rumah yang telah diberikan, perkara sebegini dilihat enteng oleh kita namun ianya merupakan langkah permulaan bagi anak-anak mencapai kejayaan”. “Sesuai dengan wabak Covid-19 yang kini menular, saya berpesan agar kita sentiasa menasihati anak-anak agar menjaga kebersihan diri, salah satu  mengamalkan mencuci tangan bagi mengelak sebarang penyakit” tambahnya lagi.

Encik Isyamudin Noordin menerima sijil Waris Prihatin daripada Tuan Raisin

Seterusnya Asp. Mohd Sudirman menegaskan agar para ibu bapa mematuhi peraturan sekolah kerana ibu bapa adalah cerminan kepada anak-anak. “Saya berpesan supaya ibu bapa menitikberatkan peraturan kepada anak-anak dan janganlah terlampau memanjakan anak-anak sehingga mereka sewenang-wenangnya melakukan kesalahan tanpa rasa bersalah.”

Dalam ucapannya, Puan Anita Shyamini mengucapkan terima kasih dan syabas kepada hadirin dan AJK program kerana dapat melaksanakan program dengan cemerlang. “Pelbagai strategi PdP yang telah diterapkan oleh para guru kepada murid bagi memupuk minat pembelajaran dalam diri antaranya melalui kesenian yang mana murid SKPS mampu melukis potret, mencanting batik, mewarna dan sebagainya” tambahnya lagi. Beliau juga menyeru ibu bapa untuk menyumbang kepada sekolah bagi merealisasikan hasrat untuk membeli Projektor LCD bagi murid-murid tahun 6 khususnya supaya sesi PdP lebih berkesan seperti umum ketahui bahawa PdP menggunakan ICT adalah cara yang terbaik pada era globalisasi ini.Penyelaras program, Encik Muhamad Zafar bin Abu Bakar melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada semua kerana majlis ini dapat dilangsungkan dengan jayanya. Tambahnya lagi, tanpa komitmen yang tinggi daripada semua pihak, maka program seumpama ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sepertimana yang diharapkan. Beliau juga berharap agar PIBG menjadikan majlis ini sebagai pemangkin semangat untuk terus berjaya pada masa hadapan.

Menandatangani Sijil Jalinan Kerjasama antara SKPS dengan PPS dan Ketua Kampung.



SK Rancha-Rancha Sekolah Pengelola Qiadi Junior Sekolah-Sekolah KPM Peringkat JPWPL Tahun 2020

Labuan, 7 Mac – Sekolah Kluster Kecemerlangan
(SKK) SK Rancha-Rancha telah mengelola Kem Qiadi Junior Sekolah-sekolah KPM
peringkat W.P Labuan bagi tahun 2020. Program yang berlangsung selama 2 hari
berturut-turut itu diadakan di Dewan Sri Kedayan, SK Sg Lada.

Program
anjuran Sektor Pendidikan Islam (SPI) Jabatan Pendidikan W.P Labuan (JPWPL) di
bawah unit Unit Pembangunan Adab dan Nilai (ADNI) disertai seramai seramai 66 orang
murid yang terdiri dari pengawas sekolah dari 17 buah sekolah rendah di W.P Labuan.
Manakala, seramai 10 orang fasilitator dari kalangan Jurulatih Utama ADNI.

Pengisian
program yang berlangsung selama dua hari ini ialah, sirah qiadiah iaitu sejarah
pemimpin-pemimpin dari kalangan para sahabat baginda Rasulullah S.A.W, riadah
qiadiah, galeri qiadi dan explorasi qiadi. Murid-murid sangat teruja dan
gembira menyertai setiap aktiviti yang dijalankan.

Majlis penutupan yang berlangsung pada hari kedua telah dihadiri oleh Pengarah Pendidikan JPWPL, Raisin bin Saidin. Turut hadir Ketua Penolong Pengarah SPI JPWPL, Ustaz Mohd Syahir bin Mohd Yusof dan Penolong Pengarah ADNI, Ustaz Sharum bin Samlan, Guru Besar SK Rancha-Rancha, Norinnie binti Kassim dan Guru Besar SK Sg.Lada, Maidan bin Dali.

RAISIN (tiga dari kiri) bersama peserta dan guru pengiring SKRR yang telah menyertai program tersebut.

Raisin
berkata program qiadi sebagai suntikan ilmu kepimpinan supaya lebih bersahsiah
tinggi, taat kepada Allah SWT dan memantapkan pengurusan disiplin. Program
seperti ini dapat melatih murid menjadi pemimpin kecil dalam perspektif Islam.

Sharum
dalam ucapannya berkata” syabas dan tahniah kepada panitia Pendidikan Islam
SKRR khasnya dan kepada warga kerja SKRR amnya kerana berjaya menjadi pengelola
qiadi junior 2020 dengan jayanya”. Seramai 45 orang AJK pengelola dari SK
Rancha-Rancha. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada 17 orang guru
pengiring dari penyelaras ADNI setiap sekolah.

Norinnie
berkata, peranan pemimpin kecil cukup besar di peringkat sekolah dalam memikul
amanah diberikan bukan sahaja dalam membentuk disiplin malah pembentukan jati
diri yang positif sebagai pemimpin.

Seterusnya, majlis penyampaian sijil kepada peserta dan guru pengiring. Aqil Zafran bin Mohamed Fadli dari SK Sg.Bedaun sebagai Peserta Mithali Lelaki, manakala Ilysa Zuleika binti Hafizi dari SK Bukit Kallam sebagai peserta mithali perempuan. Majlis diakhiri dengan sesi fotografi beramai-ramai.

Aqil Zafran bin Mohamed Fadli dari SK Sg.Bedaun sebagai Peserta Mithali Lelaki.
Ilysa Zuleika binti Hafizi dari SK Bukit Kallam sebagai Peserta Mithali Perempuan.