Modul Mumtaz Pendidikan Islam: Buah tangan untuk Calon SPM 2020

Labuan, 16 Oktober  Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama guru-guru Pendidikan Islam Tingkatan Lima di Labuan berjaya menghasilkan Modul Mumtaz Pendidikan Islam SPM 2020. 

Modul Mumtaz Pendidikan Islam SPM merupakan modul yang menghimpunkan soalan-soalan topikal Pendidikan Islam tingkatan 4 dan tingkatan 5 kertas 1 dan kertas 2 sebagai latih tubi untuk murid-murid menjawab soalan-soalan bagi persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan pada Januari 2021.

Seramai 21orang jawatankuasa penggubal soalan telah memerah tenaga dan fikiran mereka dalam menghasilkan modul ini. Penerbitan modul muntaz merupakan cetusan idea Penolong Pengarah Perancangan dan Pembangunan Pendidikan Islam Sektor Pendidikan Islam (SPI) Ustaz Mohd Syahir Bin Mohd Yusoff semasa Dialog Prestasi SPM bersama Ketua Panitia Pendidikan Islam Sekolah Menengah yang diadakan pada Jun lalu.

Majlis penyerahan Modul Mumtaz Pendidikan Islam SPM telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) Puan Khaziyati binti Osman kepada pengetua dalam majlis ringkas selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Aset Kerajaan (JPAK) di Bilik Botanikal JPWPL pada 12 Oktber lalu.

Pengetua SMK Lajau, Encik Mohd Jamatin (kanan) menerima modul Mumtaz daripada Puan Khaziyati (dua dari kanan)

Dalam perutusan Pengarah, Puan Khaziyati mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan  dan tahniah kepada Guru-guru Pendidikan Islam (GPI) di sekolah menengah khususnya Guru Pendidikan Islam yang mengajar Tingkatan 5  atas kerjasama dalam menyumbangkan masa dan tenaga untuk menghasilkan Modul Mumtaz Pendidikan Islam SPM 2020.

Menurutnya lagi, penerbitan modul ini selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu untuk meningkatkan prestasi murid dalam peperiksaan awam secara berterusan.

Puan Khaziyati turut menzahirkan pengharapan agar calon-calon SPM berusaha dengan gigih untuk mencapai kecemerlangan diri dalam mata pelajaran Pendidikan Islam Kertas 1 dan 2 seterusnya menghargai pengorbanan ustaz dan ustazah mendidik dan membimbing sepanjang sesi persekolahan bermula dari tingkatan satu hingga tingkatan lima .

Modul Mumtaz Pendidikan Islam SPM 2020.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam JPWPL, Ustazah Kamariah binti Salim turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Guru-guru Pendidikan Islam tingkatan 5 di atas penerbitan Modul Mumtaz Pendidikan Islam SPM 2020.

Katanya, di sebalik isu Pendemik Covid-19 yang melanda dunia dengan penutupan beberapa buah sekolah menengah dan rendah di Wilayah Persekutuan Labuan yang diikuti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semestinya menimbulkan keresahan dalam kalangan warga pendidikan dan ibu bapa terhadap pembelajaran anak-anak mereka. Justeru, modul Mumtaz ini diharap dapat digunakan oleh calon-calon SPM untuk membuat ulangkaji dalam melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebagai alternatif pembelajaran norma baharu.

 “SPI berharap agar modul yang sangat berharga ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar tingkatan 5 seterusnya membantu mereka untuk belajar secara kendiri dalam suasana yang ketidak tentuan iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini “.

“Kita mendoakan agar usaha murni para asatizah diberkati Allah s.w.t. seterusnya dapat melonjakkan lagi prestasi SPM 2020 di Wilayah Persekutuan Labuan, inshaAllah.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Ustaz Mohd Fadzli dan Ustazah Mahani menerima sijil penghargaan sebagai jawatankuasa penggubal Modul Mumtaz daripada pengetua Encik Yahya.
Pegawai-pegawai Sektor Pendidikan Islam bergambar bersama Modul Mumtaz Pendidikan Islam SPM 2020.



SK Pekan II, W.P Labuan Johan Peringkat Kebangsaan bagi Pertandingan Adiwira Nano 2020

Labuan – 15 Oktober 2020, Pusat Nanoteknologi  Kebangsaan, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah mengadakan Pertandingan Adiwira Nano 2020. Pertandingan ini terbuka kepada semua sekolah seluruh Malaysia dan terbahagi kepada dua kategori iaitu Kategori Sekolah Rendah dan Kategori Sekolah Menengah.

Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan pemahaman pelajar sekolah dalam bidang nanoteknologi di samping mencungkil daya kreativiti dan inovasi para pelajar serta meningkatkan kepakaran mereka dalam teknik penyelesaian masalah. Pertandingan ini hanya perlu menghasilkan sebuah video berbahasa Melayu berdurasi tiga minit yang lengkap dengan plot cerita serta menyelitkan penggunaan aplikasi teknologi nano dalam menangani masalah isu – isu sosial seperti pencemaran alam sekitar, masalah kesihatan, sumber tenaga dan sebagainya.

Tarikh tutup pertandingan ini adalah pada 31 Julai 2020. Berikut adalah maklumat berkaitan Team Nano SK Pekan II, WPL:

Tajuk Video: “MISI EJEN NANO”

Guru Pembimbing:

  1. En.Mohamad Musa Bin Bakar
  2. Cik Paula Peter

Krew (Pelakon):

  1. Alexandra Hazel anak Robert Edward Ngayong sebagai Ejen Shine Shine,
  2. Adi Putra sebagai Ejen Adi
  3. Oystien Jeriel Rixferd @ Alberttilo sebagai watak penjahat.

Krew Kamera & Edit:

  1. EN.Kanagarajah Nadarajah (GPB)
  2. En.Ronny Supain (Pembantu)

Pencapaian:  JOHAN KATEGORI SEKOLAH RENDAH PERINGKAT KEBANGSAAN 2020 (HADIAH WANG TUNAI BERJUMLAH RM2000.00 DENGAN SIJIL PENYERTAAN)




Program Ujian Pengesahan Covid-19 Untuk Warga Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2020

Labuan – Pada 8 Oktober yang lepas, Ujian pengesahan COVID-19 yang dikendalikan oleh CPRC Wilayah Persekutuan Labuan telah diadakan di Pusat Kokurikulum Negeri bermula dari pukul 7.30 pagi dan berakhir pada pukul 3.00 petang.  Seramai lima orang urusetia dari Jabatan Pendidikan dan 15 orang petugas KKM terlibat untuk merealisasikan program ini. Semua pegawai JPN, Pengetua, Guru Besar, guru-guru dan AKP yang sudah mengambil ujian COVID-19 dan mula dikuarantin pada 27 September hingga 06 Oktober diWAJIBkan hadir.  Seramai 238 orang warga pendidikan telah hadir untuk menjalani ujian ini. Kerjasama yang telah diberikan oleh warga pendidikan ini adalah sangat baik dan mendapat pujian daripada petugas barisan hadapan KKM yang bertugas.

Para petugas barisan hadapan KKM bersama urusetia program

Puan Khaziyati binti Osman Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Labuan bersama Dr. Ismuni Pengarah Jabatan Kesihatan, Puan Nurzalizah Kartika Abdullah Pengarah Majlis Keselamatan Negeri  ( Labuan ) turut hadir memantau pelaksaan ujian yang dijalankan pada hari tersebut.  Puan Pengarah berpuas hati dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan khususnya kepada petugas barisan hadapan atas kerjasama untuk melaksanakan ujian COVID-19 khas untuk warga pendidikan. Tidak lupa juga ucapan terima kasih Puan Pengarah kepada pihak RML dan media yang hadir pada hari tersebut.  Puan Pengarah berharap agar program-program akan datang bersama Jabatan Kesihatan dan RML serta agensi lain akan dapat diteruskan.

Sehubungan itu, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua warga pendidikan khasnya kepada Sektor Pembangunan Murid dan Sektor Pengurusan Sekolah kerana telah berjaya menjadi urusetia dan telah menunjukkan semangat kerja berpasukan yang tinggi sepanjang program ujian pengesahan COVID-19 berlangsung.

Semoga program yang telah dijalankan ini memberikan manfaat yang sangat besar dalam usaha kerajaan untuk membendung pandemik  Covid-19 dari telus menular dalam kalangan warga pendidikan khasnya dan keseluluruhan rakyat  Malaysia amnya.  Semoga kita semua sentiasa dilindungi dan dijauhkan dari bala ini oleh Allah yang maha kuasa.

Suasana Ujian Saringan Covid-19 sedand dijalankan
Ujian sampel darah



SPI Turun Padang : Promosi Kelas Aliran Agama

Labuan, 23 September – Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) mengadakan Sesi Kunjung Bantu ke sekolah-sekolah yang menawarkan Kelas Aliran Agama (KAA) untuk mempromosikan  KAA bagi murid tingkatan empat tahun 2021.

Sesi Kunjung Bantu ke tiga buah sekolah yang menawarkan KAA iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara (SMKM), Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha (SMKRR) ini dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam Ustazah Kamariah Binti Salim dan Penolong Pengarah Perancangan dan Pembangunan Pendidikan Islam Ustaz Mohd Syahir Bin Mohd Yusoff .

Program yang bermula jam 8.30 pagi di SMK Mutiara berakhir dengan jayanya jam 12.50 tengah hari di Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha. Sasaran program adalah murid tingkatan 3 yang sedang mengikuti KAA di sekolah berkenaan. Turut hadir dalam program tersebut ialah pengetua SMKM, Encik Mohd Nizam bin Yassin dan pengetua SMKRR, Encik Yahaya Bin Puteh.

Objektif Kunjung Bantu Ke KAA adalah untuk menarik minat murid tingkatan tiga agar meneruskan pembelajaran di KAA semasa tingkatan empat tahun 2021 nanti.

Ustazah Kamariah berkata pelajar-pelajar tingkatan tiga aliran agama mempunyai peluang yang luas untuk memilih opsyen sama ada aliran STEM agama atau sastera agama semasa di tingkatan empat.

“JPWPL dalam rangka kerja membuat pemusatan KAA di Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha (SMKRR) mulai tahun 2021 dengan pengambilan pertama pelajar menengah atas iaitu tingkatan empat. InshaAllah tahun 2022, pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima akan berada di SMKRR” katanya semasa program kunjung bantu tersebut.

Promosi: Kamariah (kanan) menyampaikan taklimat berkaitan kemasukan pelajar ke Kelas Aliran Agama dan kemasukan pelajar ke Sekolah Khusus iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)

Katanya, pada tahun hadapan pelajar tingkatan dua dan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara (SMKM) akan meneruskan pembelajaran mereka sehingga selesai kohort pembelajaran menengah rendah begitu juga pelajar  tingkatan lima di SMKM.

Dalam ucapannya Ustazah Kamariah menzahirkan pengharapan agar murid-murid tingkatan tiga ini dapat meneruskan pembelajaran di KAA.

“Hakikatnya, pelajar lepasan KAA telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dan meneruskan pengajian di institut pengajian tinggi tempatan dan luar negara serta mungkin lebih baik daripada aliran lain. Malah ada di antara mereka yang menjawat jawatan penting di Syarikat Petroleum dan institusi kewangan”.

Justeru, stigma masyarakat yang beranggapan lulusan KAA hanya menjadi seorang ustaz dan ustazah adalah kurang tepat. Malahan di Labuan ini, JPWPL berharap agar pelajar lepasan KAA dapat mengisi jawatan guru pendidikan Islam yang amat diperlukan kini”

Sementara itu, Ustaz Mohd Syahir turut memberi ceramah motivasi bertajuk Auta versus Fakta Kelas Aliran Agama dan 5 sebab menjadi murid Kelas Aliran Agama.

Beliau berkata, senario remaja hari ini yang dilanda pelbagai masalah disiplin dan salah laku, maka aspek pendidikan agama harus lebih dititik beratkan di samping persekitaran sekolah yang beriklim dinie ke arah membentuk pelajar bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malah mempunyai akhlak yang mulia.

“Pelajar KAA merupakan permata masa hadapan yang akan melahirkan tenaga professional yang berjiwa tasawur pemikiran Islam. Mereka menjadi contoh tauladan atas kecemerlangan akademik dan berkeperibadian mulia. Malah dicemburui oleh rakan-rakan kerana disayangi guru” katanya lagi.

Tekun: Murid-murid Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara begitu tekun mendengar promosi KAA yang disampaikan oleh penceramah.

Pengetua SMKM, Encik Mohd Nizam Bin Yassin berkata, pelajar  KAA beruntung berbanding aliran biasa kerana mereka memperolehi bahasa tambahan iaitu Bahasa Arab. Malah mereka juga berpeluang untuk meningkatkan kemahiran membaca Al-Quran di dalam Kelas Kemahiran Al- Quran (KKQ).

“Pihak sekolah telah menyediakan ruang dan peluang untuk pelajar memilih opsyen tingkatan empat tahun hadapan. Rebutlah peluang ini untuk anda meneruskan pembelajaran kerana asas KAA selama tiga tahun telah kamu lalui dengan jayanya” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam program tersebut.

Seramai 85 pelajar tingkatan tiga mengikuti Promosi KAA yang diadakan di sekolah masing-masing iaitu 41 pelajar dari SMKM, 21 pelajar dari SMKTPB dan 23 pelajar daripada SMKRR. Program ini telah diurus setiakan oleh penyelaras KAA sekolah terlibat dengan jayanya.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Amanat: Yahaya menyampaikan taklimat mengenai perancangan sekolah dalam memperkasa KAA.
Potret kenangan: Ustazah Kamariah (dua dari kanan) dan Ustaz Mohd Syahir (kiri) merakamkan gambar kenangan bersama Encik Yahaya (dua dari kiri) dan Ustaz Mohd Fadzli (kanan) di Pusat Sumber SMKRR.
Kunjung Bantu: Gambar sekitar program Kunjung Bantu SPI ke KAA



Warga SMK Mutiara Santuni Warga Emas

Labuan – Sempena sambutan Hari Warga Emas Sedunia yang disambut pada 1 Oktober setiap tahun, SMK Mutiara telah melaksanakan program Ziarah Kasih Perwira Negara kepada 16 belas pesara tentera pada Sabtu lalu.

Program yang diselaraskan oleh Unit HEM SMK Mutiara ini adalah sejajar dengan Dasar Warga Emas Negara(DWEN) yang menjadi salah satu agenda penting di peringkat sekolah.

Menurut Penolong Kanan HEM, Encik Hisyam bin Abdul Aziz program pada tahun ini diadakan dengan kerjasama 3 agensi lain iaitu Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Cawangan Labuan dan Persatuan Anak Muda Labuan (PAMULA).

Antara objektif program ini ialah untuk mengucapkan terima kasih atas jasa-jasa veteran tentera yang telah berjuang untuk memerdekakan negara sehingga kini.

“Sambutan pada tahun ini adalah berbeza dengan sambutan sebelum ini.Pengagihan sumbangan dibuat dari rumah ke rumah dengan jumlah rombongan yang dihadkan kepada 15 orang sahaja. Ini adalah sebahagian daripada pematuhan kita kepada SOP dalam tempoh PKPP” kata beliau lagi.

Sesi beramah mesra dengan veteran ATM

Selain sumbangan daripada PPZ dan PAMULA , pihak sekolah turut mendapat sumbangan daripada guru-guru, murid-murid dan Anggota Khidmat Pelaksana (AKP) SMK Mutiara. Sebanyak 16 bakul bahan-bahan makanan dapat dikumpulkan selain daripada wang tunai.

Program yang bermula jam 8 pagi telah menziarah ke 16 buah rumah pesara tentera di beberapa buah kampung di sekitar Pulau Labuan. Bakul makanan telah disampaikan oleh Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim selaku ketua rombongan.

Manakala sumbangan tunai pula telah disampaikan oleh Encik Ahmad Adha bin Ahmad Zohdi selaku YDP PIBG SMK Mutiara.

Salah seorang penerima, Encik Hassanuddin bin Abdullah berkata, beliau sangat bersyukur atas ziarah dan sumbangan ini yang sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan harian beliau sekeluarga.

Setiap ziarah ke rumah pesara tentera telah diakhiri dengan bacaan doa selamat yang dipimpin oleh Ustaz Zainal bin Abdul Wahab.

Antara veteran tentera yang dilawat

Lawatan berakhir pada jam 2 petang. Timbalan Ketua Cawangan PVATM WP Labuan, Tuan Haji A.Latiff bin Amdan mengucapkan terima kasih atas keprihatin warga SMK Mutiara, PPZ dan PAMULA kepada pesara-pesara tentera kerana sudi menghulurkan bantuan.

Turut serta dalam ziarah tersebut ialah AJK tertinggi PVATM, wakil PIBG SMK Mutiara dan guru-guru SMK Mutiara.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Sebahagian daripada AJK tertinggi PVATM yang terlibat dalam program ziarah