e-KEMFIT : Platform Baharu Dalam Pelaksanaan Kursus Di Kalangan Murid Sekolah Rendah

Labuan, 21 November –  Seramai 69 orang peserta tahun 1 hingga 6 daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Wen dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa menghadiri Kem Fitrah Kasih yang dilaksanakan secara maya bermula jam 8.00 pagi melalui aplikasi google meet.

Kem Fitrah Kasih (KEMFIT) ini dilaksanakan bagi memantapkan aktiviti Pendidikan Islam bagi murid-murid Islam di SJKC. Ia merupakan program pembentukan jati diri seiring dengan keperluan syariat dengan menekankan aspek aqidah, ibadah, akhlak, pengurusan dan tanggungjawab sebenar sebagai hamba Allah, insan, anak dan murid.

Menurut penyelaras program Tuan Haji Sahrum bin Samlan, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), KEMFIT dilaksanakan saban tahun yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengukuhan kefahaman tentang asas akidah, ibadah dan akhlak Islam agar proses penghayatan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian dapat diamalkan.

“Seperti tahun-tahun lalu, KEMFIT dilaksanakan selama dua hari di mana peserta perlu bermalam. Mereka akan dibimbing menjalani rutin harian bermula dengan aktiviti riadah, sesi suai kenal, sesi kuliah, solat berjemaah, makan beramai-ramai dengan adab yang betul, sesi perbincangan dalam kumpulan, pembentangan dan juga qiamulail. Namun disebabkan situasi pendemik covid-19 yang tidak mengizinkan, kem pada tahun ini dilaksanakan secara atas talian sahaja”.

“Kita mengharapkan agar peserta yang mengikuti kem ini dapat melaksanakan amalan ibadah secara konsisten seperti solat berjemaah, membaca al-Quran dan zikir setiap hari, suka mendengar tazkirah, kuliah mahupun ceramah, berwuduk dengan betul, menutup aurat dan sebagainya, inshaAllah” katanya semasa berucap di dalam kem tersebut.”.

Menurutnya lagi, pendedahan dan pengukuhan berkaitan dengan aspek disiplin diri seperti menepati masa, menjaga kebersihan seperti mencuci tangan, memakai hand sanitizer, menjaga penjarakan social, duduk di rumah jika tiada keperluan untuk keluar, menjaga kekemasan diri, semangat kerja sepasukan dan persaingan sihat sesama peserta amat dititikberatkan di dalam kem ini biarpun ianya dilaksanakan secara atas talian.

Pelaksanaan e-KEMFIT dan sesi perbincangan di kalangan peserta berjalan lancar dengan menggunakan aplikasi google Meet.

Terdapat dua jenis aktiviti yang boleh dilakukan di bawah program ini iaitu aktiviti berbentuk kem penghayatan Islam dan aktiviti pengukuhan berbentuk Kuiz. Aktiviti berbentuk kem penghayatan Islam bertujuan untuk mengukuhkan kefahaman dan penghayatan amalan Islam sepanjang kursus ini dan menekankan persaingan sihat. Manakala aktiviti kuiz dilaksanakan untuk menilai kefahaman peserta kursus.

Sektor Pendidikan Islam mengucapkan tahniah kepada Guru-guru Pendidikan Islam SJKC Chi Wen dan SJKC Chung Hwa selaku penyelaras program di peringkat sekolah dan ibu bapa yang berjaya memastikan peserta kursus hadir dengan jayanya mengikut ketetapan masa yang diberikan oleh pihak penganjur.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam




Tafaqquh Fiddin : Jalinan Kerjasama Antara JPWPL Dengan KUPU

Labuan, 20 November – Program Tafaqquh Fiddin, jalinan kerjasama antara Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama,(KUPU) Seri Begawan secara dalam talian berjaya dilaksanakan dalam suasana muhibbah pagi tadi.

Majlis yang diurus setiakan oleh Sektor Pendidikan Islam, JPWPL bermula seawal jam 8.00 pagi dengan bacaan surah Al Kahfi ayat 1 hingga 10 dan ayat 100 hingga 110 yang dipimpin oleh Al Fadl ustaz Mohd Fadzli bin Sheikh Abdul Rahim dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-Rancha. Ianya diikuti dengan bacaan surah Yaasin dan doa yang dipimpin oleh Al Fadl ustaz Jailani bin Muda dari SMK Labuan.

Tafaqquh Fiddin merupakan Program Bina Upaya Warga Pendidikan khususnya Guru Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Program ini dilaksanakan untuk memastikan wujud kesatuan pemikiran dalam kalangan warga pendidikan dan masyarakat.

Melalui Program Bina Upaya ini adalah diharapkan warga pendidikan dapat menerima dengan jelas hala tuju dan citra negara terutamanya peranan mereka sebagai pendakwah agar menepati 5 ciri Pendidik Muslim iaitu sebagai Muallim, Mudarris, Murabbi, Muaddib dan Mursyid

Program Tafaqquh Fiddin kali ini dilaksanakan secara kerjasama antara JPWPL dengan KUPU bagi meraikan hubungan strategik pendidikan antara Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama (KUPU) Seri Begawan,Negara Brunei Darussalam sepertimana Perjanjian Persefahaman yang telah dimeterai pada 15 Januari 2019.

Majlis secara maya menggunakan aplikasi google meet ini telah dihadiri oleh Pengarah JPWPL, Puan Khaziyati binti Osman, Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pengetua dan Guru Besar, pegawai-pegawai di JPWPL, guru-guru Pendidikan Islam dan warga pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan. Siaran langsung majlis ini turut dimuat naik dalam Facebook Live  dan You Tube Live.

Yang Mulia Dr. Haji Adanan bin Haji Basar, Ra’es, Kolej Universiti Perguruan Ugama (KUPU), Seri Begawan telah dijemput sebagai penyampai slot bingkisan ilmu dan Yang Mulia Barisan Pensyarah Pusat Ilmu Teras, KUPU.

Yang Mulia Dr. Haji Adanan dalam bingkisan ilmunya memberi pelbagai tips sebagai hamba dalam mencari redha Allah s.w.t..

“Untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat perlulah mendapat keredhaan Allah s.w.t.. Allah redha kita, semua yang ada di dunia dan di langit akan redha kepada kita. Justeru, perkara asas dalam kehidupan ialah kembali kepada sunnah. Siapa yang mengamalkan sunnah pasti mendapat kerahmatan daripada Allah s.w.t.”.

Beliau turut menyenaraikan empat ciri utama yang perlu ada dalam diri pendidik iaitu Hayyin, pendidik yang memilik sikap tenang tidak mudah marah dan penuh pertimbangan sebelum mengambil keputusan. Layyin, pendidik yang baik dalam bertutur kata serta bersikap santun dan lembut terhadap orang lain. Qarib, pendidik yang ramah ketika berbicara, akrab, menyenangkan orang lain dan yang terakhir Sahl iaitu pendidik yang selalu memudahkan urusan orang lain.

Sementara itu Pengarah Pendidikan JPWPL, Puan Khaziyati binti Osman melahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih di atas kesudian Yang Mulia Dr. Haji Adanan bin Haji Basar memenuhi undangan dalam Program Tafaqquh Fiddin.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana jalinan kerjasama pendidikan di antara JPWPL dengan KUPU masih lagi terjalin biarpun dalam situasi Covid-19. Kita berdoa semoga jalinan kerjasama ini akan berterusan dan majlis seperti ini dapat dilaksanakan sama ada seminggu sekali ataupun sebulan sekali untuk kita berkongsi ilmu”.

“Kita di Malaysia sekarang berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sehingga 6 Disember. Alhamdulillah, meskipun semua sekolah ditutup namun anak-anak kita masih lagi meneruskan pembelajaran melalui Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah  (PDPR) sehingga 18 Disember 2020. Pengenalan kepada norma baharu yang terarah kepada pengajaran berpusatkan pelajar (student based-learning) tidak menghadkan peranan guru untuk berbakti.” katanya lagi.

Di akhir ucapan, Puan Khaziyati melahirkan pengharapan agar syor yang dicadangkan oleh mantan pengarah JPWPL iaitu Encik Raisin bin Saidin sewaktu memegang jawatan pengarah JPWPL agar Praktikal training KUPU di Labuan dapat direalisasikan, inshaAllah.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam




Program Virtual Bengkel Penghasilan Drama Radio 7 Filem Pendek Anjuran Pusat Sumber DSDN SMKRR 2020

Labuan, 01 Nov , Pusat Sumber Datin Sri Datuk Hjh Norsiah Binti Abdullah Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha telah mengadakan satu Program atas talian iaitu Virtual Penulisan Drama Radio dan Drama Pendek. Program ini diadakan secara atas talian iaitu melalui aplikasi Google meet seperti mana yang telah digariskan oleh kerajaan dalam pematuhan  SOP yang telah ditetapkan semasa tempoh PKPB . Program ini telah disertai oleh guru dan pelajar dari Sabah , Sarawak dan juga Semenanjung Malaysia  untuk sama-sama mempelajari ilmu penulisan skrip drama radio dan drama pendek . Seramai 167 orang telah membuat pendafataran peserta bengkel melalui boring google form yang disediakan. Program ini adalah hasil usaha dan buah fikiran penyelaras Pusat sumber DSDN SMKRR iaitu  En Sapri idris , sebagai salah satu pengisian ilmu yang cukup bermanfaat kepada anak-anak pelajar SMKRR khasnya dan kepada sesiapa saja yang berminat mempelajarinya. Program ini juga merupakan program yang bertujuan untuk meninggkatkan minat murid untuk mempelajari bidang-bidang penulisan serta penerbitan dalam bentuk berkreativiti. Selain itu ianya juga dapat melatih murid untuk lebih baik dalam bidang penulisan kerana ini merupakan pendidikan di luar kelas yang sangat berkaita rapat dengan penguasaan Bahasa melayu.

Program yang di anjurkan oleh PSSDSDN ini juga dapat memberi ruang  kepada para pelajar untuk lebih berminat melibatkan diri dalam dunia penyiaran radio yang sememangnya merupakan satu kerjaya yang agak menarik. Selain itu ianya juga mendedahkan kepada mereka pengetahuan asas bagaimana sesebuah karya kreatif itu dapat menyampaikan sesuatu yang positif kepada masyarakat melalui drama radio. Program ini juga merupakan program pembelajaran di luar kelas yang berteraskan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang menjadi kewajipan pada Sekolah ini untuk sentiasa menerapkan nilai KBAT di kalangan pelajar samada Pembelajaran  di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Yang lebih membanggakan terdapat penyertaan melalui online dari luar Labuan seperti penyertaan guru dan pelajar dari SMKJK San Min Teluk Intan,SMK Bukit Damar lancing Pahang,Sk Convent Teluk Intan, SMK Dato Harun Tanjung Karang, SK Mengkabong Tuaran,SK Merlimau Melaka dan juga penyertaan guru-guru serta murid dari sekolah-sekolah menengah dan rendah dari WP Labuan snediri. Sambutan terhadap program ini sungguh mengalakkan.

Cikgu Jasmini Daud bertindak sebagai penceramah jemputan

Penceramah bagi program ini adalah  guru SMKRR sendiri iaitu cikgu Jasmini Daud, yang merupakan guru kesenian dan teater yang berpengalaman dalam bidang teater dan drama.  Beliau merupakan penerima anugerah ikon Seni dari Jabatan Pendidikan wilayah Persekutuan Labuan. Pengetahuan dan pengalaman beliau dalam bidang seni teater dan drama bermula sejak beliau menjadi salah seorang Jurulatih Seni Budaya di bawah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan negeri Sabah( JKKN ) sejak tahun 2006. Beliau juga pernah menjadi johan penulisan skrip drama radio anjuran Radio Malaysia Labuan, sering membawa pelajar-pelajar sekolah beliau memenangi pelbagai pertandingan teater, sketsa dan drama samada di peringkat negeri mahupun kebangsaan. Beliau juga merupakan pemegang ijazah Drama dan teater dan sangat berpengalaman luas dalam pementasan dan teater. Kerana pengetahun serta pengalaman tersebut itu lah beliau di jemput menjadi penceramah dalam program kali ini.

Perkongsian beliau kali ini lebih tertumpu kepada penulisan skrip drama radio kerana penulisan asas drama radio lebih mudah difahami oleh pelajar-pelajar atau sesiapa sahaja yang baru berjinak-jinak dalam penulisan kreatif ini. sesiapa sahaja boleh mencuba bakat penulisan skrip radio,  dengan mempelajari beberapa pengetahuan asas penulisan yang betul. Cikgu Jasmini berkata dalam ceramah beliau, penulisan skrip adalah merupakan satu naskah sastera yang diilhamkan oleh seorang penulis kemudiaan akan di jadikan sebuah drama jika ianya dilakonkan sebagai sebuah cerita yang diperdengarkan di radio, dan ini adalah sesuatu karya yang boleh dihasilkan oleh sesiapa sahaja yang mempunyai bakat dan minat serta pengetahuan penulisan yang betul. Oleh itu beliau telah memberi banyak tips mudah kepada yang mengikuti kursus kali ini agar mereka boleh mula berkarya dan menyampaikan idea positif melalui penulisan dan penerbitan drama radio.

Beliau juga telah menyampaikan pelbagai perkara asas untuk memulakan penulisan skrip, antaranya ialah cara penulisan mengikut durasi yang sesuai bagi sesuatu penyiaran , bagaimana menghasilkan watak dan perwatakan dalam sesebuah drama radio serta bagaimana menentukan kesan bunyi yang berkesan dalam sesebuah drama serta cara menentukan watak dan dialog sesebuah drama tersebut.

Ucapan aluan-aluan disampaikan oleh Pengetua SMK Rancha-Rancha
En Yahya bin Ahmad Puteh

En Yahya Bin Ahmad Pengetua SMKRR mengucapkan jutaan terimakasih kepada cikgu Jasmini kerana sudi berkongsi pengalaman dan pengetahuan pada program kali ini  dan beliau mengucapkan tahniah atas usaha En Sapri Idris serta semua pengawas Pusat Sumber Datin Sri Datuk Hjh Norsiah Abdullah (PSSDSDN) yang terlibat  serta penyelaras program online Cikgu zaharah Mat Jali ketua Bidang Bahasa bidang Bahasa.  Beliau juga mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan penyertaan Guru-guru dari seluruh malaysia yang telah log masuk dalam program kali ini. Beliau berbangga atas usaha Pusat Sumber DSDN SMKRR kerana  berjaya menganjurkan program yang sungguh berimpak tinggi kepada pelajar terutama dalam penerokaan bidang baharu dalam penulisan dan bahasa ini. Beliau juga berbangga kerana program ini juga merupakan satu penerapan nilai KBAT yang sangat jelas dan berguna kepada pelajar khususnya. Beliau juga berterimakasih kerana  prorgram ini diusahakan dalam talian dan mendapat sambutan yang sangat baik. Beliau berharap agar program seumpama ini akan diteruskan di pada masa akan datang dan dapat dipelbagaikan lagi demi menyebarkan lebih bayak ruang dan peluang pelajar menimba ilmu baru seumpama ini. Selain dapat mencungkil bakat pelajar program ini sangat bermanfaat bagi murid dan juga guru terutama yang mempunyai bakat penulisan tetapi masih belum tahu cara untuk menyalurkan bakat penulisan mereka.  bidang penulisan skrip drama radio  sememangnya satu bidang yang diminati ramai dan masih lagi mempunyai sambutan walaupun sekarang ini radio mendapat saingan dari pelbagai media sosial yang lain . namun tidak dinafikan masih ramai pendengar yang ingin mendengar drama radio sebagai satu bahan hiburan. Beliau menutup ucapan beliau dengan berharap program ini dapat  di teruskan di masa-masa akan datang.

Cikgu Sapri bin Idris GPM SMK Rancha-Rancha bertindak selaku penganjur program



Ceramah “Utusan Terakhir” Mewarnai Sambutan Maulidur Rasul Peringkat JPWPL

Labuan, 30 Oktober – Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) diadakan secara dalam talian dengan disertai lebih daripada 250 orang warga pendidik di pejabat dan kediaman masing-masing pagi tadi .

Sambutan Maulidur Rasul ini diurus setiakan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Majlis dimulai dengan bacaan surah Al Kahfi ayat 1 hingga 10 diketuai oleh Ustaz Sahrum Bin Samlan, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam manakala bacaan Surah Yassin dan bacaan doa selamat pula diketuai oleh Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, JPWPL.

Ceramah Maulidur Rasul bertajuk ‘Utusan Terakhir’ telah disampaikan oleh Al-Fadil Ustaz Haji Ahmad Sharizal bin Mohd Saffian daripada Puzat Pungutan Zakat (PPZ) Cawangan Labuan secara santai namun penuh ilmiah. Penceritaan tentang kehidupan, keperibadian dan langkah perjuangan Rasulullah bersama para sahabat dalam menegakkan syiar Islam di kota Mekah dan Madinah amat terkesan di hati pendengar.

“Mencintai Rasulullah s.a.w. itu tidak ada tempoh masa tertentu, ia perlu disemarakkan setiap hari dalam kehidupan seharian kita termasuk dalam konteks rumah tangga, kemasyarakatan sehingga kepada Negara”. katanya .

Tuan Haji Ahmad Sharizal menyampaikan ceramah “Utusan Terakhir”.
Majlis Sambutan Maulidur Rasul Tahun 2020M/1442H diadakan secara telesidang menggunakan aplikasi google meet dan Facebook live berjalan lancar.

Majlis tersebut dihadiri oleh Pengarah Pendidikan JPWPL, Puan Khaziyati binti Osman, Timbalan- timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pengetua dan Guru Besar, pegawai-pegawai di JPWPL , ustaz ustazah dan juga guru-guru di sekitar wilayah ini.

Dalam ucapannya Puan Khaziyati  berkata Majlis Sambutan Maulidur Rasul diadakan secara atas talian sebagai langkah untuk menjaga kemaslahatan bersama dalam usaha menangani Covid-19.

“Saya berdoa semoga Allah Ya Alim Ya Hakeem memberkati kita semua. Semoga seluruh warga Pendidikan di W.P. Labuan ini dikurniakan dengan pertambahan ilmu dan kebijaksanaan serta merahmati  majlis ini sebagai medium untuk meningkatkan kefahaman dan ilmu agama kita dalam memantapkan kecintaan kita kepada junjungan kita Rasulullah s.a.w”.

Katanya lagi, 12 Rabi’ul Awwal pada setiap tahun adalah sangat penting untuk diraikan, sebagai tanda syukur dan bahagia dengan kelahiran dan perutusan Baginda Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan satu nikmat dan rahmat kepada seluruh alam.

“Sesuai dengan tema Ummah Rabbani Negara Harmoni. Apabila ummah kembali kepada nilai-nilai agama Islam atau agama Rabb maka pastinya Negara berada dalam suasana harmoni. Maka bersama kita mengambil iktibar dari Pendekatan Nabi dalam menghadapi wabak covid-19 yang telah dikongsikan oleh Ustaz Ahmad Salehuddin bin Shafie, BPI KPM iaitu akronim PKP yang dirujuk sebagai Pencegahan, Kelebihan Berdoa Dan Pengamalan”. Katanya semasa berucap dalam majlis tersebut.

Puan Khaziyati menyampaikan ucapan semasa Majlis Sambutan Maulidur Rasul.

Beliau turut berdoa agar ceramah yang disampaikan tadi dapat meneguhkan jati diri dan akhlak kita sebagai seorang muslim yang bersama-sama membina Ummah Rabbani agar kita dapat hidup harmoni dalam Negara Malaysia tumpah darah kita ini.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan di akhiri dengan bacaan selawat yang dipimpin oleh Ustaz Haji Ahmad Sharizal.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Tuan Hj Abdul Rahman memimpin bacaan surah Yassin dan doa selamat semasa Majlis Sambutan Maulidur Rasul.