Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan Peringkat SMK Mutiara Anjuran Unit Bimbingan Dan Kaunseling SMK Mutiara, Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 29 Ogos – Dalam usaha Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara, Wilayah Persekutuan Labuan menyahut dan menyemarakkan lagi sambutan bulan kaunseling kebangsaan yang diadakan pada setiap bulan oktober setiap tahun, pelbagai aktiviti melibatkan semua pelajar SMK Mutiara bukan sahaja pelajar aliran perdana tetapi juga melibatkan Pelajar Pendidikan Khas Interaktif(PPKI) dilaksanakan. Pelbagai program diadakan sepanjang bulan kaunseling kebangsaan yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara. Program-program yang telah dijalankan adalah Pertandingan Mewarna Bertemakan Kerjaya dan Kasih Sayang(PPKI), “Ooppss” Rawak Kekemasan Diri Murid, Serahan Kit Sarapan Pagi, Mentor Mentee, Sambutan Hari Lahir Oktober, “My Inner Self”, Kuiz Kahoot Kenali UBK dan Hebahan Promosi UBK.

Pelbagai program yang telah dirancang dan dilaksanakan adalah juga selari dengan kefungsian am unit bimbingan dan kaunseling iaitu sebagai sistem sokongan kemenjadian murid khususnya pelajar-pelajar SMK Mutiara. Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara berhasrat untuk mendekatkan semula organisasi dengan pelajar yang telahpun mula datang ke sekolah walaupun secara penggiliran disamping menyahut dan memanfaatkan bulan kaunseling semaksimum mungkin.

Menurut Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara iaitu Encik Ahmad Radzi bin Ab Halim(K.B.P.A) dan Puan Normaisaraf binti Abdul Rashid(K.B.P.A), bulan kaunseling kebangsaan tahun ini adalah sangat istimewa kerana pelajar telah mula datang ke sekolah secara berperingkat, dan program bersifat menyeluruh wajar dilaksanakan sebagai tanda dan sokongan menyambut bulan kaunseling kebangsaan. “Walaupun masih berada dalam fasa pandemik, namun itu tidak menjadi penghalang kepada UBK SMK Mutiara untuk merangka dan melaksanakan program yang bersesuaian”, ujar Encik Mohd Hasrul Bin Mohd Redzuan selaku guru bimbingan dan kaunseling pelatih daripada Universiti Putra Malaysia yang sedang menjalankan latihan beliau di Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara.

Antara sesi pelaksanaan Program Kit Sarapan Pagi anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara

Pengetua SMK Mutiara, Encik Yahya Bin Ahmad Puteh berkata, “Saya amat kagum dengan usaha dan inisiatif yang begitu banyak dan aktif  daripada kaunselor-kaunselor SMK Mutiara dalam mendekati pelajar semula disamping menyambut bulan kaunseling kebangsaan tahun ini dengan aktiviti dan program yang banyak namun bersesuaian”.

“Program ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh kerana wujud kerjasama yang begitu hebat daripada guru-guru SMK Mutiara selari dengan trademark SMK Mutiara yang terkini iaitu SMK Mutiara H.E.B.A.T”, ujar Puan Normaisaraf selaku salah seorang kaunselor di SMK Mutiara.

Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara dan sekolah secara amnya akan terus berusaha membantu, memahami dan mendekati pelajar dalam usaha meningkatkan kemenjadian murid selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan agar masyarakat yang maju dan berdaya saing akan dapat dibentuk khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan.

Pelaksanaan aktiviti Mentor-Mentee sempena Bulan Kaunseling Kebangsaan

Berita Oleh : SMK Mutiara




Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) : Pemantapan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Untuk Guru-Guru SMK Taman Perumahan Bedaun

Labuan, 24 Ogos 2021 (Selasa) – Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) Pemantapan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) oleh pegawai SISC+ dan Mentor PBD Unit TVET Sektor Pembelajaran bersama warga guru SMK Taman Perumahan telah dilaksanakan pada Selasa lalu. Bengkel Pemantapan PBD ini disampaikan oleh pegawai SISC+, Cik Juraidah binti Aman dan dua orang guru daripada SMK Lajau iaitu En Rafizi bin Hj Yusuf merupakan penyelaras mata pelajaran Perniagaan SMK Lajau dan Cik Ebby Haryani binti Rahmat selaku Ketua Panitia RBT SMK Lajau. Pendekatan program ini membabitkan perkongsian amalan baik dalam pelaksanaan PBD guru dan pengurusan PBD dalam panitia. Penolong Kanan Pentadbiran Pn. Chai Yee San memulakan program dengan menerangkan bahawa tujuan program ini adalah untuk memantapkan dan memperkasakan pengurusan dan pelaksanaan pentaksiran bilik darjah (PBD) yang mana PBD merupakan salah satu komponen utama dalam dasar pendidikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menjurus kepada kemenjadian murid.

Bengkel ini berlangsung secara dalam talian melalui aplikasi ‘Google Meet’ dan dihadiri oleh 38 orang guru SMK Taman Perumahan Bedaun. Turut mengikuti bengkel ini Pengetua En. Awang Rozlan bin Manan, Penolong Kanan Pentadbiran Pn Chai Yee San, Penolong Kanan Kokurikulum Pn Lau Chin Ying dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid En Awang Adi bin Tuah. Perkongsian yang disampaikan oleh Cik Juraidah dapat membentuk kesediaan guru dalam pelakasanaan PBD kepada murid dan sejauh mana Ketua Panitia menguruskan pelaksanaan PBD di sekolah.

Beliau juga turut memaklumkan bahawa pelaksanaan PBD ini mestilah berlandaskan Buku Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah. Buku ini sangat penting dan wajib ada pada setiap guru sebagai sumber rujukan  panduan untuk melaksanakan PBD tersebut. Antara intipati yang terdapat dalam buku panduan tersebut seperti yang dinyatakan oleh Cik Juraidah ialah berkenaan tentang pengurusan PBD di sekolah supaya pelaksanaan PBD itu lebih berkesan dan berkualiti. Selain itu , beliau juga menyatakan tentang asas PBD adalah menggunakan pelbagai kaedah strategi, pelbagai aras, pengetahuan, kemahiran dan mestilah berasaskan standard kurikulum iaitu DSKP. DSKP ini sangat ditekankan kepada guru agar dapat menguasainya dan mahir dalam memberikan PBD yang berkesan kepada murid-murid. Ini akan menunjukkan pelaksanaan PBD itu sangat berkesan dan berkualiti terhadap perkembangan murid.

Guru-guru yang menghadir dalam talian program CPD

Menurut Cik Juraidah, dalam merancang pelaksanaan PBD ini tangunggjawab pengetua, penolong kanan pentadbiran, setiausaha PBD dan ketua panitia  mestilah memahami konsep , kepentingan dan pelaksanaan PBD itu. Ini dapat memantapkan dan memperkasakan lagi dari segi pengurusan pelaksanaan PBD di sekolah.

Manakala perkongsian daripada  Cikgu Rafizi pula ialah berkaitan dengan pengurusan panitia berkenaan dengan pelaksanaan PBD terutama sekali dalam matapelajaran Perniagaan yang dikongsinya pada hari tersebut. Cikgu Rafizi juga menyatakan bahawa penggunaan DSKP adalah sangat penting terutama sekali guru-guru perlu mendapatkan DSKP yang terbaru. Ini kerana didalam DSKP tersebut sangat lengkap untuk menjadi panduan dan memudahkan guru-guru untuk melaksanakan PBD kepada murid. Selain itu beliau juga berkongsi tentang pelbagai kaedah yang digunakan untuk melaksanakan PBD kepada murid berdasarkan DSKP yang menjadi sumber rujukannya.

Bengkel pemantapan PBD ini juga dikongsikan bersama dengan Cikgu Ebby. Beliau berkongsi tentang bagaimana pengurusan fail PBD itu dilaksanakan oleh Ketua Panitia terutama sekali dalam matapelajaran yang diajar oleh beliau iaitu matapelajaran RBT. Cikgu Ebby menyatakan pengurusan fail PBD yang dilaksanakan di sekolah beliau ialah dengan cara atas talian. Beliau mewujudkan pengurusan fail PBD itu dengan cara perekodan di dalam Google Drive agar lebih memudahkan kepada semua guru terutama guru-guru yang ada dibawah bidang TVET. Terdapat satu folder yang telah diwujudkan di dalam Google Drive tersebut iaitu folder fail pengurusan PBD. Di dalam folder tersebut terdapat tujuh pecahan folder yang telah diwujudkan. Antaranya ialah  Surat Lantikan Pentaksiran, Surat Akuan Penerima Pentaksiran, Dokumen Standard Kurikulum dan pentaksiran (DSKP), Standard Prestasi, Senarai Semak Rekod Sementara, Pelaporan dan Lampiran. Beliau memaklumkan bahawa wujudnya Sistem perekodan pengurusan fail PBD atas talian ini amat memudahkan beliau dan juga kepada guru-guru yang lain. Dalam masa yang sama pihak pentadbir dan ketua bidang serta ketua panitia dapat melihat apa yang dilaksanakan oleh guru-guru terutama sekali dalam perekodan laporan PBD yang telah dilaksanakan.

Akhir sekali, pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada Pegawai SISC+ JPWPL Cik Juraidah binti Aman, Cikgu Rafizi dan Cikgu Ebby yang sudi meluangkan masa untuk memberi bimbingan, tunjuk ajar dan ilmu kepada guru-guru SMKTPB ini untuk memperkasa dan memantapkan lagi Pentaksiran Bilik Darjah bagi merealisasikan visi pelestarian TS25 di SMK Taman Perumahan Bedaun.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Program Let’s Talk Bersama Alumni Inspirasi SMK Mutiara, W.P Labuan

Labuan,26 OGOS 2021 – Dalam usaha pihak sekolah menyampaikan maklumat dan menyuntik motivasi pelajar untuk belajar aktif secara Pdpr, Unit Bimbingan dan Kaunseling Smk Mutiara telah melaksanakan program Let’s Talk Bersama Alumni Inspirasi iaitu satu program yang mengetengahkan alumni daripada SMK Mutiara sendiri untuk berkongsi pengalaman, pandangan dan memberi suntikan motivasi untuk para pelajar SMK Mutiara turut mencapai kejayaan dalam bidang atau aliran masing-masing.

Program ini dilaksanakan secara bersiri dan siri yang kedua telah dilaksanakan pada 25 Ogos 2021 yang lepas. Walaupun dijalankan secara atas talian, namun sambutan daripada warga sekolah amat memberansangkan. Menurut Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara iaitu Encik Ahmad Radzi bin Ab Halim dan Puan Normaisaraf binti Abdul Rashid, program ini membantu memberi bayangan dan menyuntik motivasi pelajar untuk mencapai kejayaan dalam akademik kerana perkongsian yang diberikan adalah daripada alumni sekolah mereka sendiri yang dahulunya turut bersekolah disekolah yang sama dan pelajar seperti mereka suatu ketika dahulu. Pengetua SMK Mutiara, En. Yahya Bin Ahmad Puteh berkata,”SMK Mutiara dan alumni sekolah bergerak seiring dalam membantu perkembangan pelajar di sekolah untuk mencapai kejayaan dalam bidang mereka”. Aktiviti selingan yang menarik seperti cabutan bertuah turut dilaksanakan ketika program siri yang kedua dilaksanakan.

Kaedah penyampaian maklumat terhadap pelajar adalah secara bual bicara yang dijalankan secara atas talian bermula pada jam 8 malam sehingga 9 malam. Program ini telah mendapat sambutan yang sangat memberansangkan daripada pengetua, guru-guru dan para pelajar SMK Mutiara kerana keterujaan pengembalian nostalgia oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara, perkongsian daripada alumni SMK Mutiara yang kini telah berjaya menempatkan diri masing-masing dalam bidang kerjaya mereka. En. Mohd Hasrul Bin Mohd Redzuan, guru bimbingan dan kaunseling pelatih daripada Universiti Putra Malaysia yang kini menjalankan latihan di SMK Mutiara berkata,”usaha sekolah melalui peranan penting Unit Bimbingan dan Kaunseling mampu membantu pelajar dalam meningkatkan lagi motivasi mereka untuk Berjaya dalam akademik seperti alumni mereka kerana bukti yang nyata telah mereka lihat sendiri”.

Pihak sekolah akan terus berusaha meningkatkan motivasi pelajar untuk berjaya dengan pelaksanaan program-program yang berupa sedemikian dalam era pandemik kini.

Berita Oleh : SMK Mutiara




Program Bual Bicara Pengarah Jabatan Pendidikan W.P. Labuan Dengan Murid-Murid Tingkatan 5 Sekolah Menengah Berjaya Menarik Respon Yang Amat Memberangsangkan

Labuan, 23 Ogos : Satu Program Bual Bicara Pengarah Pendidikan, Tuan Yusup Hj Mohamad, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan bersama murid-murid tingkatan 5 sekolah menengah  telah diadakan pada 14 Ogos 2021 bersamaan dengan hari Sabtu pada jam 8.30 malam secara dalam talian di rumah masing-masing. Program ini dianjurkan oleh Sektor Pembelajaran, dan merupakan insiatif pengarah sendiri untuk lebih mendekati calon-calon SPM 2021.

Seramai 250 orang telah mengikuti program ini yang terdiri daripada Pengarah,Timbalan Pengarah, Ketua Penolong Pengarah, semua pegawai sektor pembelajaran, pengetua-pengetua sekolah menengah, penolong-penolong kanan, kaunselor, lima orang guru-guru tingkatan 5 dari setiap sekolah  dan 162 murid tingkatan lima yang terdiri daripada 18 orang daripada setiap sekolah.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada murid tingkatan 5 sekolah menengah W.P. Labuan  berinteraksi secara terus bersama Pengarah  Pendidikan. Program ini sebagai medan terbuka  untuk murid-murid melontarkan pandangan dan pendapat masing-masing berkaitan isu dan cabaran yang dihadapi semasa mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Respon daripada murid amat memberangsangkan apabila mereka berjaya membangkitkan isu dalam situasi mereka berhadapan dengan norma baharu.

Pengarah  memaklumkan program ini diadakan  pada waktu malam supaya semua murid dapat mengikutinya  dan tidak timbul isu peranti digunakan oleh ibu bapa yang bekerja. Murid kohort SPM 2021 yang  mengikuti PdPR selama hampir 2 tahun ekoran pandemik Covid-19 ini berhadapan dengan cabaran dan kekangan yang perlu didengari oleh pihak jabatan. Pengarah berpendapat program ini dapat memberi maklumat mengenai keinginan dan harapan anak-anak murid Tingkatan 5 agar jabatan boleh mencari resolusi untuk membantu mereka.

Menurut salah seorang calon SPM 2021, adik Corliss Lim Jing Shi  dari SMK Labuan yang berada dalam aliran sains tulen, mengatakan bahawa rakannya menghadapi masalah apabila guru menggunakan aplikasi google meet tetapi bilangan yang mengikuti  hanya 2 ke 3 orang sahaja. Beliau menyatakan bahawa apabila guru memberi link youtube atau slides, tidak ada penerangan tentang isi kandungan pembelajaran tersebut. Dia turut mencadangkan guru untuk menyediakan video atau bahan rujukan yang mempunyai penerangan supaya senang difahami oleh murid terutama silibus KSSM yang baharu.

Hal ini turut dikongsi bersama oleh Evania Liew Hui Chen dari SMK Pantai yang mengutarakan isu capaian Internet yang kurang baik serta kurangnya pendedahan membuat eksperimen membuatkan murid  merasa sedikit kurang yakin untuk menduduki kertas amali sains SPM.

Antara perkara menarik yang turut dikongsikan oleh murid-murid ini adalah cara-cara  meningkatkan motivasi dan  kesiapsiagaan sesama mereka dari sudut mental, emosi dan kerohanian dalam menghadapi SPM nanti. Adik Aiman Nazim  dari SMK Lajau mencadangkan mengikuti Study Group PPTI yang boleh membantu dalam masalah pelajaran dan boleh dirujuk menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya. Hal ini turut dikongsi oleh Teo Siti Raydiana dari SMK Lajau yang mengajak rakan-rakannya untuk mengubah cara berfikir dengan memegang prinsip hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Beliau juga meminta rakan-rakan untuk tidak terlalu berharap dengan bahan rujukan daripada guru ataupun dalam google meet semata tetapi perlu mencari sendiri bahan-bahan rujukan lain serta keluar dari zon selesa untuk lebih berdikari.

Pengarah  menyatakan rasa syukur dan amat gembira dengan pelbagai cadangan dan juga pandangan yang telah dikemukakan oleh murid-murid. Segala isu dan cadangan akan diambil perhatian dan tindakan yang sewajarnya. Beliau juga menasihati murid-murid untuk sentiasa menjaga kesihatan dan membiasakan diri dengan budaya pembelajaran norma baharu sesuai dengan situasi Pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara sekarang serta mempersiapkan diri secukupnya bagi menghadapi SPM 2021.




219 Peranti diedar kepada murid SMK Labuan dibawah Inisiatif CERDIK

Labuan, 20 Ogos Sebanyak 219 unit lagi peranti komputer riba termasuk langganan internet selama setahun telah diedarkan kepada murid-murid SMK Labuan yang berkelayakan, baru-baru ini.

Edaran peranti ini merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2021 untuk menyediakan akses digital pendidikan melalui akses kepada peranti dan sambungan data internet yang menyasarkan murid dari keluarga berpendapatan rendah.

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah berharap agar peranti yang dibekalkan kepada murid ini dapat meningkatkan peratus kehadiran murid melalui sesi pembelajaran di rumah secara dalam talian.

“Besarlah harapan saya agar murid yang menerima peranti ini tidak lagi ketinggalan dalam mengikuti pembelajaran secara dalam talian” . Encik Ismail Abdullah.

Agihan telah dilaksanakan secara pandu lalu pada 5 Ogos 2021 di perkarangan sekolah SMK Labuan dan turut dihadiri oleh Encik Yusup Haji Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad, Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid.

Encik Ismail menyerahkan peranti kepada ibu murid yang hadir secara pandu lalu
Tuan Haji Abdul Rahman menyerahkan peranti kepada pelajar Ahmad Khuizzan

Encik Yusup berkata peranti yang dibekalkan ini merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu murid-murid yang memerlukan komputer demi meneruskan kelangsungan proses pendidikan melalui pembelajaran digital di kediaman masing-masing.

“KPM menerusi pelbagai insentif dan inisiatif dilaksanakan bagi memastikan semua murid tidak tercicir dalam arus pendidikan” . Encik Yusup Haji Mohamad

Sementara itu, pelajar Nur Afiqah yang hadir bersama ayahnya mengucapkan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan komputer riba ini. Berkongsi kesyukuran, pelajar Mohammad Harriz yang melahirkan rasa kegembiraan di atas bantuan yang diberikan.

“Saya sangat gembira dengan bantuan yang diberikan dan akan menggunakan komputer ini untuk pembelajaran di rumah nanti”. Mohammad Hariz, murid Tingkatan 3 Fasih.

Pelajar Nur Afiqah berterima kasih atas bantuan yang diberikan

Untuk rekod, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengedarkan sebanyak 455 unit peranti inisiatif CERDIK dan sambungan data internet kepada 455 orang murid melibatkan tiga buah sekolah iaitu SK Pekan Dua, SMK Pantai dan SMK Labuan.

Guru SMK Labuan sedang menerangkan secara ringkas kepada murid mengenai sambungan data internet yang diberikan
ibu murid sedang membuat pendaftaran peranti sambil dibantu oleh guru SMK Labuan
Guru sedang bertungkus-lumus membuat persiapan agihan peranti CERDIK SMK Labuan
Guru membuat serahan komputer kepada ibu bapa yang hadir



“Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti” Semarakkan Sambutan Maal Hijrah 1443H Warga Pendidikan di WP Labuan

LabuanSambutan Maal Hijrah 1443H terus dihayati dan disemarakkan oleh warga pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan. Majlis yang dianjurkan oleh Sekolah Kebangsaan Bebuloh (SKB) dengan kerjasama Sektor Pendidikan Islam (SPI), JPWPL telah diadakan secara dalam talian baru-baru ini dimeriahkan dengan kehadiran dua selebriti terkenal Hafiz Hamidun dan Hazamin Inteam.

Tema Sambutan Maal Hijrah tahun ini “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti” amat bertepatan dengan realiti rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai masyarakat majmuk berbilang kaum, bangsa dan agama.

Sikap saling hormat menghormati, bertoleransi, saling memaafkan dan bersifat belas kasihan yang dianjurkan oleh Islam dapat dilihat melalui konsep Rahmatan Lil ‘Alamin yang dibawa junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Selaras dengan tema sambutan Maal Hijrah ini, negara memerlukan kesatuan fikrah dan hala tuju dalam menghadapi kekalutan dunia yang sedang bergelut dengan pendemik COVID-19 serta isu yang menghimpit masyarakat. Namun dalam apa jua cabaran yang dihadapi kebajikan, kemanusiaan, nilai kasih sayang dan bakti kepada ummah merentasi agama dan bangsa.

Majlis Maal Hijrah dimulai dengan bacaan doa akhir tahun yang dipimpin oleh Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Ustaz Haji Sahrum bin Samlan bermula jam 6.00 petang. Diikuti dengan bacaan doa awal tahun dibawah pimpinan saudara Hafiz Hamidun dan bacaan surah Yaasin yang dipimpin oleh saudara Hazamin Inteam .

Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusop bin Haji Mohamad dalam ucapannya mengajak warga pendidikan agar bangkit bersama-sama untuk mengukuhkan perpaduan, menjaga kesihatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan demi negara tercinta disamping sentiasa berjiwa besar dalam mendepani apa jua cabaran selain mempunyai keyakinan dan emosi yang kukuh ketika berdepan pandemik COVID-19.

Perasmian: Yusup mengucapkan Salam Maal Hijrah dan menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

“Saya menyeru kepada diri saya dan saudara saudari sekalian, marilah bersama-sama kita menjiwai peristiwa hijrah. Kita memasang azam dan iltizam untuk berusaha lebih kuat di tahun baru hijrah ini agar kejayaan yang lebih tinggi dan impian yang mahu direalisasikan dapat dizahirkan dengan sempurna. Mencapai kejayaan yang lebih tinggi dalam kehidupan masing-masing serta meningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

“Kesukaran hidup kesan wabak telah dirasai dan memerlukan motivasi dan semangat juang yang tinggi. Paling penting adalah bagaimana semangat persaudaraan Muhajirin dan Ansar wajar dipraktikkan oleh kita semua dalam usaha membantu mereka yang hilang mata pencarian mereka akibat wabak yang telah melanda,” katanya lagi.

Perkongsian Ilmu: Hafiz Hamidun memimpin bacaan doa awal tahun hijrah 1443 dan menyampaikan secebis kata dalam majlis tersebut
Hazamin Inteam memimpin bacaan surah Yaasin, doa dan menyampaikan secebis kata dalam majlis tersebut

Sementara itu, Guru Besar SK Bebuloh, Encik Abdul Rahman bin Salim turut terima kasih kepada ibu bapa murid-murid SK Bebuloh atas yang diberikan dan pengorbanan dalam memastikan anak-anak mengikuti pembelajaran di rumah.

Majlis yang disertai seramai 250 peserta melalui aplikasi ‘Google meet’ dan turutdisiarkan melalui ‘facebook live SK Bebuloh’ turut  dihadiri oleh Timbalan- timbalanPengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pengetua, Guru Besar, pegawai-pegawai di JPWPL, ustaz ustazah, guru-guru di WP Labuan dan seluruh Malaysiadari kediaman masing-masing.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Bersyukur: Abdul Rahman merakamkan ucapan terima kasih rasa syukur atas kelancaran program dan kehadiran ramai peserta dalam majlis tersebut.
Rakam kenangan: Peserta program merakamkan gambar kenangan bersama penceramah.



Program Interaksi Akademik Calon SPM 2021, Dapat Sambutan daripada Ibu Bapa

Labuan– SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah berjaya mengadakan  “Program

Interaksi Akademik” bersama guru-guru Tingkatan 5, ibu bapa dan calon SPM 2021 pada 17 Ogos 2021 (Selasa). Program yang dilaksanakan secara dalam talian melalui medium “google meet” telah dihadiri oleh 90 calon SPM 2021 bersama- sama dengan ibu bapa masing-masing. Turut hadir bersama dalam program ini ialah Tuan Pengetua, En. Ag. Rozlan bin Manan, Pen. Kanan Pentadbiran, Pn. Chai Yee San, Pen. Kanan HEM, En. Awang Adi bin Tuah, Pen. Kanan Kokurikulum, Pn. Lau Chin Ying serta Guru-guru Kanan Bidang. Objektif program ini dilaksanakan adalah untuk mewujudkan interaksi dua hala antara pihak sekolah dan ibu bapa dalam membincangkan isu dan pencapaian anak-anak calon SPM 2021 agar peningkatan pencapaian dapat dihasilkan dari masa ke masa.

Majlis dimulakan dengan pembentangan analisis pencapaian murid-murid Tingkatan 5 dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun (PPT) 2021 baru-baru ini oleh Tuan Pengetua, En. Ag Rozlan bin Manan. Sebelum memulakan pembentangan, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa yang sudi hadir demi  memastikan kecemerlangan  anak-anak dalam SPM 2021. Dapatan daripada analisis PPT 2021, Tuan Pengetua memaklumkan bahawa Gred Purata Sekolah (GPS) yang dicapai ialah 5.59, manakala peratus lulus ialah 79.76 peratus. Selain itu, seramai 7 orang murid didapati gagal dalam kedua-dua mata pelajaran wajib lulus iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah dalam peperiksaan ini. Pihak sekolah amat berharap agar semua murid lulus dalam semua mata pelajaran dan mencapai sekurang-kurangnya Gred “C” dalam peperiksaan akan datang. Berdasarkan kepada analisis pencapaian PPT juga, masih banyak lagi intervensi yang harus dilaksanakan bagi mencapai sasaran sekolah dalam SPM 2021 iaitu dengan mencapai GPS 4.37 dan 100 peratus lulus, iaitu semua calon SPM layak mendapat sijil. Tuan Pengetua juga turut memaklumkan bahawa daripada analisis keputusan PPT 2021, seramai 12 orang murid telah dikenal pasti sebagai murid target cemerlang. Namun begitu, adalah menjadi harapan semua guru dan pihak sekolah agar semua murid akan lebih cemerlang dalam peperiksaan SPM kelak.

Dalam ucapannya selepas pembentangan pencapaian setiap mata pelajaran, Tuan Pengetua, En. Ag Rozlan memaklumkan kepada ibu bapa berkaitan analisis kehadiran murid-murid sepanjang PdPR berlangsung. Masih ada segelintir murid yang didapati kurang memberikan komitmen untuk hadir mengikuti PdPR. Oleh itu, kerjasama daripada ibu bapa amatlah diharapkan memandangkan sesi persekolahan secara bersemuka belum dapat dilaksanakan. Tanpa sokongan ibu bapa, anak-anak sudah pasti akan tercicir dalam pembelajaran yang kini hanya berlangsung di rumah. Beliau turut menjelaskan kepada ibu bapa bahawa pelaksanaan PdPR sememangnya tidak sama dengan pembelajaran secara bersemuka. Pembelajaran secara bersemuka membolehkan semua guru memberikan 100% tumpuan dan bimbingan kepada semua murid terutamanya murid yang masih lemah dalam penguasaan mana-mana mata pelajaran.

En. Ag Rozlan turut menjelaskan bahawa sepanjang pencapaian SPM 2018 sehingga SPM 2020, komitmen daripada ibu bapa amat membanggakan kerana sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah untuk memastikan anak-anak mencapai kecemerlangan dalam SPM. Hal ini terbukti apabila keputusan SPM sejak tiga tahun kebelakangan ini semakin meningkat iaitu SPM 2018 (GPS 5.34), SPM 2019 (GPS 5.14) dan SPM 2020 (GPS 4.76).  Oleh hal yang demikian, beliau amat yakin dengan komitmen yang ditunjukkan oleh guru-guru di samping yakin dengan kemampuan murid untuk memastikan sasaran sekolah pada tahun ini dapat dicapai.

En. Ag Rozlan membentangkan analisis pencapaian PPT 2021

Pada akhir ucapannya, beliau turut memaklumkan beberapa intervensi telah dirancang oleh pihak sekolah bagi menangani isu murid cicir dalam PdPR. Beliau amat mengharapkan kerjasama daripada ibu bapa yang merupakan kekuatan dalam kejayaan pelaksanaan PdPR kerana anak-anak sepenuhnya berada di rumah. Beliau juga yakin dan percaya bahawa semua guru akan menggunakan pelbagai kaedah yang terbaik untuk memberikan bimbingan walaupun melalui PdPR. Untuk makluman bersama, Program Interkasi Akademik bagi murid-murid Tingkatan 1, 2, 3 dan 4 juga berlangsung pada pada masa dan tarikh yang sama melalui medium luar talian (telegram, whatsApp atau telefon). Majlis berakhir dengan penyerahan slip keputusan Peperiksaan Pertengahan Tahun 2021 dalam bentuk PDF kepada ibu bapa secara peribadi.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Sebahagian daripada ibu bapa dan murid-murid yang turut hadir



“Tajamkan Minda, Teguhkan Jiwa” Suntik Semangat Motivasi Warga Pendidikan di WP Labuan

Labuan: Isu kesihatan mental merupakan cabaran terkini warga Malaysia dalam era pandemik Covid-19. Isu ini bukan sahaja di hadapi oleh Malaysia malah turut dihadapi oleh negara-negara lain. Impak psikologi yang negatif terhadap diri seperti takut, cemas, tertekan, bimbang dan murung memberikan kita hala tuju yang tidak sihat kepada kehidupan sehingga  membawa kepada tekanan kerja dan kepuasan kerja yang rendah.

Menyedari kepentingan status kesihatan mental semua warganya, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) mengambil inisiatif mengadakan  Program motivasi Ke Arah Pembangunan Modal Insan Guru bertajuk “Tajamkan Minda, Teguhkan Jiwa” yang diterajui oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI) bersama Sektor Psikologi dan Kaunseling, Sektor Pembelajaran, Sektor Pengurusan Maklumat dan Sektor Pendidikan Khas baru-baru ini.

Program Jaringan Kerjasama JPWPL dengan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan ini amat bertepatan dengan pendemik yang sedang dialami sekarang iaitu untuk membugarkan prestasi kerja guru di samping melihat cabaran-cabaran yang dihadapi guru-guru sehingga mempengaruhi perkembangan profesional mereka.

Ketua Penolog Pengarah Sektor Pendidikan Islam Ustazah Kamariah binti Salim berkata, dalam mendepani pendemik covid 19, guru perlu ada ‘tambah nilai’ dalam penggunaan teknologi pengajaran dan pembelajaran terkini. Guru bukan sahaja memerlukan kemahiran ICT, kreatif dan inovatif dalam menyampaikan pengajaran tetapi juga perlu berupaya mengawal emosi ketika berhadapan dengan pelbagai isu.

“Sebagai warga pendidik kita memerlukan kecekalan hati, bersabar , sentiasa tabah dan bersemangat dalam mendidik generasi kini melalui norma baharu dan dalam masa yang sama  juga perlu mengurus keluarga sendiri yang juga berdepan dengan pelbagai cabaran,” katanya semasa majlis tersebut berlangsung .

Urusetia Program: Ustazah Kamariah merakamkan rasa kesyukuran di atas kelancaran program dan terima kasih atas jaringan kerjasama bersama PPZ.

Ceramah motivasi “Tajamkan Minda, Teguhkan Jiwa”  telah disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Huzili Hussin, Ketua Pusat Kecemerlangan, Inovasi dan  Kelestarian Sosial (COESIS), Universiti Malaysia Perlis. Pakar Motivasi Terapi Tingkah Laku Kognitif (CBT) Malaysia secara santai namun penuh ilmiah.

Antara perkara yang dibincangkan ialah berkaitan hebatnya diri kita sebagai makhluk ciptaan Allah dalam mencari ketenangan dan kebahagiaan berdasarkan dua kuadron iaitu  menjaga hubungan dengan tuhan dan hubungan baik dengan manusia.

“Untuk mencapai matlamat hidup, banyak halangan yang ditempuhi dan sukar untuk membuat pilihan. Namun, jika seseorang itu ‘diracuni’ pemikiran atau kita sendiri yang terkena ‘racun’, amat sukar untuk mengetahui impak ‘racun’ tersebut kepada kita.

“Apa yang jelas, pemikiran dan jiwa yang diracuni akan memberi kesan besar kepada kemakmuran masyarakat serta amat sukar untuk dipulihkan,” katanya penuh semangat.

Menurutnya lagi, seseorang itu akan mudah diracuni sekiranya membiarkan diri mereka dimanipulasi atau dikuasai orang lain. Tambahan pula dengan sikap malas berfikir, kurang berusaha mencari kebenaran dan ketagih sebagai penyebar cerita.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusop bin Hj Mohamad.

Dalam ucapannya, Encik Yusup menzahirkan kebimbangan terhadap masalah kesihatan mental sebagai isu yang terpencil suatu ketika dahulu kini menjadi cabaran dan isu yang boleh mengugat kredibiliti dan prestasi kerja.

“Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan tidak memandang sebelah mata kesukaran dan cabaran yang dihadapi oleh warga pendidik di pelbagai peringkat jawatan dan kedudukan, setiap masa pihak jabatan melalui sektor-sektor sentiasa mencari pendekatan untuk memudahkan apa juga urusan di peringkat sekolah dan jabatan dengan mencari kaedah terbaik bagi menangani cabaran ini secara bersama.

 “Sektor Pendidikan Islam umpamanya mengetengahkan Program Bacaan Yaasin dan Doa Munajat setiap malam, Bacaan Zikir Al Mathurat setiap pagi sebagai langkah mengukuhkan iltizam kerohanian dalam menghadapi pendemik berpaksikan rahmat dan inayah ketuhanan.

 “Sektor Psikologi dan Kaunseling melaksanakan Program Minda Sejahtera melalui soal selidik Stress, Anxiety dan Depression (eDASS) secara dalam talian dan mengurusetiakan Program Warga Prihatin sebagai saluran menghulurkan bantuan dengan kadar termampu sebagai sokongan emosi dan psikologi kepada warga pendidikan yang terkesan akibat pandemik covid 19,” katanya.

Sektor Pembangunan Murid telah melancarkan Program Solidariti Hamparan Kasih dengan tumpuan khusus kepada murid-murid yang terkesan dan ditimpa musibah seperti kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali akibat Covid 19, bencana kebakaran, positif Covid 19 dan sebagainya.

“Sektor-sektor yang lain juga menjadi sektor peneraju dan sokongan kepada pelaksanaan program pencegahan, pembangunan, pemulihan dan intervensi kepada inisiatif jabatan dalam mendepani kesukaran kemelut pandemik ini,” ujarnya lagi.

Dalam ucapannya Encik Yusup turut mengajak rakan-rakan guru serta hadirin di dalam talian untuk membayar zakat melalui potongan gaji yang diuruskan oleh PPZ. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan PPZ atas jaringan kerjasama ini dan berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan lagi dalam program-program kerohanian di masa akan datang.

Perasmian: Encik Yusup menyampaikan ucapan perasmian motivasi warga pendidikan dengan penuh semangat.

Majlis tersebut turut  dihadiri oleh Timbalan- timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pengetua, Guru Besar, pegawai-pegawai di JPWPL, ustaz ustazah dan juga guru-guru di sekitar wilayah ini diadakan secara atas talian dengan disertai lebih daripada 150 orang warga pendidik melalui aplikasi google meet dari kediaman masing-masing.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Rakam kenangan: Peserta program merakamkan gambar kenangan bersama penceramah



“Hijrah: Ke Manakah Kita?”

Labuan, 10 Ogos– SK Pekan Satu telah mengadakan Program Sambutan Maal Hijrah 2021/1443H yang bertemakan “Hijrah: Ke Manakah Kita”. Program ini amat penting bagi mengimbau kembali Peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Kota Madinah di mana Baginda  mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar yang merupakan satu kisah penting  kerana dari situlah agama Islam dapat disebarkan sehingga ke serata dunia. Pada kali ini, pihak sekolah menjemput Penolong Pegawai Unit Agama, PPD Sri Aman Sarawak Ustaz Muhammad Aizat Bin Che Romli.

Program ini telah dijalankan secara maya melalui aplikasi GoogleMeet bagi menepati SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan Malaysia. Objektif utama program ini adalah bertujuan meningkatkan keyakinan para hadirin tentang Ukhuwah Islamiah yang kuat dan jitu adalah asas kepada perpaduan dan kesatuan ummah yang membawa kepada kemajuan dan kejayaan umat Islam ke era  global demi menjulang nama Islam dipersada dunia serta menjadi ikon terbaik di alam maya ini.

Puan Anita Shyamini mengucapkan jutaan terima kasih kepada para jemputan terutama Ustaz Muhammad Aizat, guru-guru, murid-murid dan semua yang terlibat dalam Program Sambutan Maal Hijrah 2021/1443H peringkat sekolah. “Bagi pengetahuan semua, hijrah adalah sesuatu perkara yang sering kita lakukan namun ianya terbahagi kepada dua iaitu hijrah kepada yang lebih baik atau sebaliknya, maka dengan ini marilah kita sama-sama berazam untuk hijrah dari perkara baik kepada yang lebih baik” tambah beliau lagi.

Dalam ceramah yang bertajuk “Hijrah : Ke Manakah Kita?”, Ustaz Muhammad Aizat menekankan tentang hijrah yang perlu dilakukan dari sekecil-kecil perkara berbanding menanti-nanti penghijrahan yang  besar. Penceramah juga menyeru para hadirin untuk menghidupkan kembali sunnah Nabi Muhammad SAW walaupun ianya sekecil-kecil amalan seperti mengucap Alhamdulillah selepas bangun dari tidur. “Jika sunnah ini diamalkan secara istiqamah maka ianya disukai oleh Allah seperti mana hadis Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya Sesungguhnya amalan yang paling dicintai Allah ialah amalan yang dikerjakan secara berkekalan walaupun sedikit” tambah beliau lagi.

Peserta Motivasi Tekun Mendengar Ceramah Maal Hijrah Yang Disampaikan Oleh Penceramah.
 

Konklusinya, penyelaras program iaitu Puan Sanisah Binti Zulkifle menyatakan dengan adanya program seumpama ini amat diharap ianya akan menjadi pemangkin serta wadah penghijrahan kejayaan murid-murid SKPS dari segi sahsiah, pelajaran dan lain-lain. Tambahnya lagi, tanpa komitmen yang tinggi daripada semua pihak, maka program seumpama ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sepertimana yang diharapkan.

Berita Oleh : SK Pekan Satu

Kad Jemputan Program Sambutan Maal Hijrah 2021/1443H
 



Majlis Pentauliahan Jurulatih Pusat Kokurikulum Negeri

LABUAN, 8 Julai 2021- Seramai 39 orang guru telah berjaya melalui Ujian Penarafan Jurulatih Pusat Kokurikulum bagi tahun 2021 yang telah dijalankan secara atas talian bermula pada 8 Julai hingga 12 Julai yang lalu.

Majlis Pentauliahan Jurulatih Pusat Kokurikulum dirasmikan oleh Pengarah, Jabatan Pendidikan WP. Labuan En. Yusup bin Hj Mohamad. Turut hadir, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Tn. Hj. Abdul Rahman bin Ahmad; Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid En. Samsul bin Mandisin; Penolong Pengarah Pusat Kokurikulum En. Abdul Kahar bin Abdul Rahim; Barisan Pengetua Guru Besar (PGB) dan Barisan Guru Penolong Kanan Kokurikulum.

Menurut Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Tn. Hj. Abdul Rahman bin Ahmad, aktiviti sukan dan kokurikulum ini sangat penting kepada murid terutamanya dalam menyerlahkan bakat dan kemahiran mereka. Namun, tanpa jurulatih yang bertauliah yang mahir untuk mengendali dan menguatkuasakan SOP segala aktiviti luar . Aktiviti tak kan dapat dijalankan. Segala aktiviti luar ini mestilah dikendalikan oleh barisan personel tertentu yang bukan sekadar menguasai pengetahuan, pedagogi dan psikologi… malah perlu cergas dan boleh melakukan demo atau tunjuk cara kepada peserta pada bila-bila masa, malah dapat mengesan kesilapan dan membetulkannya dengan kadar segera.

Barisan jurulatih Pusat Kokurikulum ini sebenarnya telah dianugerahkan sikap dan semangat sukarelawan yang tinggi kerana disamping bertugas sebagai jurulatih, mereka juga sebenarnya wajib melakukan tugasan PDPR dan  pengurusan organisasi di sekolah masing-masing. Kebanyakan dari kalangan mereka juga memegang jawatan-jawatan penting termasuklah sebagai Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan Kokurikulum dan Penolong Kanan Pendidikan Khas.

Empat daripada 39 orang jurulatih yang berjaya menerima Pentauliahan

Menurut Pengarah, Jabatan Pendidikan WP. Labuan En. Yusup bin Hj Mohamad, Pandemik ini telah mencetuskan kelainan dalam memberi penarafan kepada Jurulatih bukan sahaja di WP.Labuan.. malah melibatkan seluruh Pusat Kokurikulum di Malaysia. Barisan Kejurulatihan Pusat Kokurikulum Labuan telah cuba membuat protocol baru yang bersesuaian secara maya dalam menjayakan Majlis Pentauliahan ini. Saya difahamkan juga, banyak perbincangan dan modul uji lari yang telah dilakukan. Natijahnya… Pusat Kokurikulum Labuan secara tidak langsung telah berjaya menjadi Pusat Kokurikulum yang pertama di Malaysia yang menerajui dan mendahului Ujian Penarafan Jurulatih secara maya.

Ini menunjukkan, sungguhpun kita berada dalam situasi yang genting akibat pandemik Covid-19 Sektor Pembangunan Murid khususnya Unit Pembangunan Bakat Murid mampu melaksanakan aktiviti T.O.T dan Kejurulatihan serta aktiviti lain yang bersesuaian. Semoga usaha seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang untuk mendepani keadaan yang semestinya lebih mencabar. Tahniah diucapkan kepada barisan Pengurusan dan Kejurulatihan

Majlis Pentauliahan Jurulatih Pusat Kokurikulum ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada jurulatih yang berjaya melepasi  4 peringkat ujian yang telah ditetapkan dalam Skim Kejurulatihan KPM iaitu Ujian Kecergaan, Ujian Temuduga, Ujian Bertulis dan Praktikal sebagai Urusetia Program. Panel Kejurulatihan Negeri telah ditauliahkan kepada En. Roslan bin Musa dari SK Pantai; En. Shahrolnizam bin Doimin dari SK. Bebuloh, Pn. Niza Utiya Binti Hj. Hamzah dari SK Membedai dan Cik Kasum Binti Md Yusop dari SK. Pekan Dua. 17 orang ditauliahkan sebagai Jurulatih Kanan Negeri dan 13 orang ditauliahkan sebagai Jurulatih Negeri.

Bergambar kenangan  selepas sahaja selesai sesi temuduga untuk kumpulan 5

Walaupun Majlis Pentauliahan ni dijalankan secara atas talian, namun pelaksanaannya seolah-olah dijalankan secara bersemuka kerana protocol majlis langsung tidak diubah. Majlis yang dikendalikan oleh Moderator En. Ak Mohd Fitri bin Awangku Kalong dari SM St Anthony disusun secara terperinci dengan dimulakan dengan Nyanian Lagu Kebangsaan dan Lagu Maju Sejahtera dan seterusnya diikuti dengan Pelaporan dan Bacaan doa. Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Tn. Hj. Abdul Rahman bin Ahmad, telah menyampaikan ucapan alu-aluan sebelum dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan.

TAMAT.

Gambar kenangan Jurulatih Pusat Kokurikulum bersama semua hadirin dari kalangan Pengarah Pendidikan, Timbalan Pengarah SPM, Pengetua, Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Kokurikulum.