Program Meningkatkan Kehadiran Murid Risiko Cicir Ke Sekolah Secara Pdpr Dan Bersemuka Semasa Tempoh Pandemik Covid-19

Labuan, 15 Nov – Seramai 40 orang Jurulatih Pusat Kokurikulum telah mengikuti TOT Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang dikendalikan oleh Majlis Guru Kaunseling Jabatan Pendidikan W.P. Labuan. Program ini dijalankan bagi persediaan semua jurulatih yang bakal menjadi fasilitator bagi Intervensi Meningkatkan Kehadiran Murid Risiko Cicir ke Sekolah Secara Penglibatan PdPR dan Bersemuka semasa tempoh pandemik Covid 19,  Peringkat Negeri Tahun 2021.

Sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) telah dilaksanakan. Pendekatan dan norma baharu dalam pengajaran dan pembelajaran ini adalah sejajar dengan tuntutan serta keperluan semasa berlakunya pandemik Covid-19. Semasa PdPR dilaksanakan terdapat isu dan masalah yang dihadapi dan perlu ditangani, bagi memastikan pengetahuan dan kemahiran pembelajaran dapat disampaikan kepada semua murid. Antara isu yang timbul ialah berkaitan keciciran murid dalam PdPR disebabkan pelbagai faktor.

Sebagai langkah mendepani isu dan masalah dalam pelaksanaan PdPR, terutama isu yang telah dikenalpasti iaitu berkaitan keciciran murid, maka Jabatan Pendidikan WP Labuan telah merancang melaksanakan program Meningkatkan Kehadiran Murid Berisiko Cicir ke Sekolah Secara PdPR dan Bersemuka semasa tempoh pandemik Covid 19,  Peringkat Negeri Tahun 2021.

Latihan dalam kumpulan

Mantan YDP Majlis Guru Kaunseling WP. Labuan, Maizura Musliman, menegaskan bahawa sudah tiba masanya bagi semua warga pendidikan untuk meningkatkan kehadiran murid ke sekolah sama ada secara bersemuka atau  PdPR dengan mengambilkira isu-isu yang telah dikenalpasti setelah Labuan negeri pertama yang diisytiharkan memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara. KPM telahpun memberi kebenaran untuk Pengoperasian Pembukaan Persekolahan secara bergilir-gilir bermula 4 Oktober 2021 lalu.

Barisan Jurulatih Pusat Kokurikulum ini didedahkan cara untuk menarik minat murid agar mempunyai kesedaran dan bermotivasi untuk  fokus belajar bersama guru dalam kedua-dua mod pembelajaran sebagai landasan ke arah kecemerlangan. Perkara pokok yang perlu didedahkan pada murid terlibat adalah dengan mencantas pemikiran yang mendorong kepada sikap negatif terhadap keperluan hadir ke sekolah dan penglibatan dalam PdPR disamping memantapkan sahsiah, mengukuh jati diri dan disiplin  murid.         

Peserta kursus sangat berminat dan memberi tumpuan sepenuhnya dengan perkongsian dari barisan guru Kaunseling yang terlibat. Seramai 5 orang Guru Kaunseling yang telah membuat pembentangan dan simulasi LDK kepada semua jurulatih Aktiviti berakhir pada 5.00 petang dan semua peserta berjaya mematuhi SOP dengan segera beredar meninggalkan tapak aktiviti sejurus selesainya program.

Gelagat Jurulatih – Peniruan dilakukan agar menyamai situasi sebenar bersama murid nanti
MAIZURA BINTI MUSLIMAN – Ketua Penceramah

Berita Oleh : Pusat Kokurikulum W.P Labuan




Kursus Tahsin Al-Quran Bersama Ustaz Nik Azizan

Labuan – Sektor Pendidikan Islam mengambil inisiatif untuk mengadakan Kursus Tahsin Al Quran di kalangan Guru Pendidikan Islam dan murid-murid daripada kelas aliran agama (KAA) secara dalam talian pada 30 Oktober lalu.

Bagi merealisasikan misi Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu ”Melestarikan Sistem Pendidikan yang Berkualiti untuk Membangunkan Potensi Individu bagi Memenuhi Aspirasi Negara”, satu usaha kolektif antara Sektor Pendidikan Islam dengan kerjasama Sektor Sumber Manusia  menyediakan platform meningkatkan kompetensi Guru Pendidikan Islam dan murid kelas aliran agama (KAA) di wilayah ini  mendalami ilmu kemahiran Al Quran.

Kursus ini dikendalikan oleh penceramah undangan ustaz Nik Azizan bin Dato’ Nik Jaafar, personaliti TV3 dan TV9.

Ustaz Nik Azizan dalam ceramahnya menerangkan tahap-tahap penguasaan Al-Quran iaitu tahap mengaji, tahap taranum, tahap tahsin dan yang paling tinggi tahap tazyin. Kursus yang disampaikan secara santai dan penuh ilmiah menyentuh tentang kewajipan memperbaiki bacaan Al-Quran, hukum tajwid serta kelebihan memahami ayat-ayat yang dibaca agar penghayatan dapat dirasai dan dihayati.

Ustaz Nik Azizan

Bacaan ayat Al-Quran daripada Johan e-hafazan Peringkat Kebangsaan Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan baru-baru ini iaitu adik Nurin Nuha yang berasal daripada Tawau turut diperdengarkan. Peserta-peserta turut dibimbing untuk membacakan surah An-Nas mengikut bacaan taranum bayati.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Ustazah Kamariah binti Salim,  kursus ini bertujuan untuk memberi nilai tambah terhadap kemahiran Al Quran melalui bacaan taranum, hukum tajwid dan kaedah pengajaran Al Quran yang menarik dan interaktif.

“Di samping itu adalah diharapkan agar guru-guru dapat mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam kursus bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembejaran kemahiran Al Quran  kepada murid-murid di sekolah.

“Kepentingan mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain merupakan syari’ at yang di bawa oleh Rasulullah S.A.W. Para ulamak juga sangat menitik beratkan agar mencari guru yang pakar dalam bidangnya agar ilmu al-Quran yang ingin dipelajari itu dapat dikuasai dengan lebih sempurna” katanya semasa berucap dalam majlis penutupan kursus tersebut.  

Seramai 170 peserta yang terdiri daripada guru- guru Pendidikan Islam dan guru Bahasa Arab sekolah menengah dan sekolah rendah di wilayah ini  mengikuti kursus melalui aplikasi google meet dan disiarkan juga melalui Youtube Ustaz Azizan channel.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam




Ceramah “Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti” Mewarnai Sambutan Maulidur Rasul Peringkat JPWPL Tahun 2021M/ 1443H

Labuan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) diadakan secara atas talian dengan disertai lebih daripada 250 orang warga pendidik dari kediaman masing-masing baru-baru ini.

Sambutan Maulidur Rasul ini diurus setiakan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Majlis dimulai dengan bacaan zikir mathurat yang dipimpin oleh Ustaz Sahrum Bin Samlan, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam.

Ceramah Maulidur Rasul bertajuk ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ telah disampaikan oleh Al-Fadil Tuan Haji Salehuddin bin Shafie, Pegawai Akidah daripada Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia secara santai namun penuh ilmiah.

Penceritaan tentang kehidupan, keperibadian dan langkah perjuangan Rasulullah bersama para sahabat dalam menegakkan syiar Islam di kota Mekah dan Madinah amat terkesan di hati pendengar.

“Manusia perlu mencontohi setiap yang ada pada diri Rasulullah SAW sebagai sumber inspirasi dalam menjalani kehidupan demi kesejahteraan di dunia dan akhirat. Kisah kehidupan Nabi Muhammad SAW ini bukan hanya untuk dibaca atau didengarkan saja setiap kali sambutan kelahiran baginda, tetapi untuk dijadikan contoh dalam kehidupan kita.

“Baginda mempamerkan adab dan kesopanan dalam interaksinya sesama manusia, tidak kira sama ada kawan atau lawan, bangsa dan keturunan. Rasulullah SAW juga menghiasi dirinya dengan pelbagai sifat mulia seperti amanah, berani, menetapi janji, ramah, sabar, jujur dan berjiwa bersih” ujarnya dalam ceramah tersebut.

Tuan Haji Salehuddin menyampaikan ceramah sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Jabatan Pendidikan W.P.Labuan

Majlis tersebut dihadiri oleh Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusup bin Haji Mohamad, Timbalan- timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pengetua dan Guru Besar, pegawai-pegawai di JPWPL , ustaz ustazah dan juga guru-guru di sekitar wilayah ini.

Dalam ucapannya Encik Yusup  berkata Majlis Sambutan Maulidur Rasul diadakan secara atas talian sebagai langkah untuk menjaga kemaslahatan bersama dalam usaha menangani Covid-19.

“Sesuai dengan tema Manhaj Rabban Ummah Berkualitii merupakan sebuah jalan hidup yang telah ditetapkan oleh Allah Taala untuk seluruh makhlukNya. Berpegang kepada Al Quran dan Sunnah adalah ukurannya. Sehubungan itu ummat Islam sewajarnya menghayati tema ini sebagai usaha kita untuk kembali bangkit menjadi ummat yang gemilang” katanya semasa berucap dalam majlis tersebut

Katanya lagi, 12 Rabi’ul Awwal pada setiap tahun adalah sangat penting untuk diraikan, sebagai tanda syukur dan bahagia dengan kelahiran dan perutusan baginda Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan satu nikmat dan rahmat kepada seluruh alam.

“Dakwah paling sejati adalah dengan menunjukkan akhlak yang baik, menjadi bukti yang dapat dilihat, ditiru dan dicontohi oleh orang lain. Akhlak yang baik dapat mewujudkan suasana kasih sayang dalam hubungan manusia.”.

Beliau turut berharap agar ceramah yang disampaikan tadi dapat meneguhkan jati diri dan akhlak kita sebagai seorang muslim sejati serta berusaha memperbaiki diri demi mencapai ciri-ciri muslim berkualiti.

Encik Yusup menyampaikan ucapan semasa Majlis Sambutan Maulidur Rasul.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan di akhiri dengan bacaan selawat.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam