Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD), Pembugaran STEMEC (PBL STEM) SMK Taman Perumahan Bedaun

Labuan, 19 Julai 2022 (Selasa) – Seramai 77 orang guru daripada 3 buah sekolah iaitu SMK Taman Perumahan Bedaun,  SM St. Anthony dan SK Sungai Bedaun telah menghadiri CPD Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) Pembugaran STEMEC – Project Based Learning (PBL) STEM anjuran SMK Taman Perumahan Bedaun. CPD ini telah disampaikan oleh pegawai SISC+ Puan Arni Samiraty Adol Samat dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Pilah.

Pengetua Puan Norazita Md Nor dalam ucapannya menerangkan  tujuan program ini adalah untuk memberi pendedahan tentang STEMEC dan PBL STEM khasnya kepada guru-guru baharu dan juga untuk memperkukuhkan pemahaman guru-guru terhadap program STEMEC ini, program ini turut dibuka penyertaannya untuk guru-guru Sekolah STEMEC yang lain di Labuan (SM St. Anthony dan SK Sg Bedaun).

Melalui program ini, pegawai SISC+ menyampaikan taklimat secara terperinci mengenai aplikasi Project Based Learning (PBL) STEM yang perlu dikaitkan dalam PdP guru. Program ilmiah ini dijalankan secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet.

Konsep PBL STEM yang diaplikasikan dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) perlu melibatkan enrolmen pelajar di dalam bilik darjah untuk meningkatkan pengetahuan murid yang lebih mendalam dalam bidang STEM. Tambahan Puan Arni lagi, STEM dalam konteks pendidikan meliputi 3 aspek iaitu STEM sebagai Bidang, STEM sebagai Aliran dan STEM sebagai Pendekatan.

Berdasarkan penerangan yang disampaikan, terdapat 3 aspek pendekatan PdP STEM yang perlu diterapkan dalam PdP iaitu Pengetahuan STEM, Kemahiran STEM dan Nilai STEM.

Secara keseluruhannya, PdP STEM melibatkan pengintegrasian pengetahuan, kemahiran dan nilai yang membudayakan amalan STEM melalui strategi inkuiri, penyelesaian masalah dan projek dalam konteks dunia sebenar.

Kiri atas : Puan Arni (SISC+ PPD Kuala Pilah) memberi penerangan tentang Pendekatan PdP STEM kepada Norazita (kanan atas) (Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun), warga guru SMK Taman Perumahan Bedaun, SM St. Anthony dan SK Sg. Bedaun.

Bagi mencapai objektif PdP STEM dalam kalangan murid, pembudayaan 3 aspek pendekatan PdP STEM perlu diaplikasikan dalam PdP guru melalui amalan pengajaran STEM dengan menekankan 7 ciri PdP STEM dalam bilik darjah.

Menurut Puan Arni, perancangan PdP guru perlu melibatkan 7 ciri PdP STEM. Sekiranya wujud ciri-ciri tersebut, guru sudah dalam proses melahirkan murid ke arah pembelajaran STEM. Sehubungan dengan itu, kaedah PdP ini sekaligus dapat meningkatkan kompentensi murid dalam aspek pembelajaran STEM.

Antara amalan STEM yang boleh diterapkan dalam PdP guru ialah menyoal dan mengenal pasti masalah, merancang dan menjalankan penyiasatan, menjelaskan dan mereka bentuk penyelesaian dengan kreatif dan inovatif serta membangunkan dan menggunakan model.

Oleh itu, guru perlu menyediakan aktiviti PdP yang menarik minat, memotivasikan dan relevan, menggalakkan murid bekerjasama dalam satu pasukan dan memberi peluang murid untuk eksplorasi ilmu menggunakan pelbagai media.

Penekanan PBL STEM dalam PdP perlu melibatkan pengintegrasian dua bidang mata pelajaran seperti pengintegrasian STEM antara Bidang Sains dan Bidang Kemanusiaan atau Bidang Bahasa dan Bidang Sains. PBL STEM mesti melibatkan elemen S.T.E.M dan merupakan satu projek yang dilaksanakan dalam satu tempoh tertentu.

Pengetua Puan Norazita bersoal jawab dengan penceramah program

Projek yang dihasilkan bertujuan untuk membantu guru mencapai Standard Pembelajaran (SP) dan Standard Kandungan (SK) yang terkandung dalam Dokumen Standard Kurikulum Pembelajaran (DSKP) termasuklah membantu penglibatan murid berkaitan dengan pengalaman pembelajaran yang kontekstual dan relevan dalam kehidupan harian.

Guru-guru perlu mengaplikasikan PBL STEM dalam projek STEMEC berpandukan Model IDEAL dalam Projek STEMEC kerana pembelajaran STEM yang dilaksanakan secara bersepadu merupakan indikator utama pelaksanaan pendidikan STEM yang berkesan di sekolah.

Bagi merealisasikan hasrat ini semua pihak harus berusaha untuk mencapai matlamat Pendidikan STEM dengan memberi sokongan dan inspirasi kepada warga sekolah ke arah kecemerlangan pendidikan STEM. Pendidikan STEM yang menekankan konsep berpandukan komponen 4C atau 4K iaitu komunikasi, kerjasama, kreativiti dan pemikiran kritikal seperti yang terkandung di dalam pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) serta kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dapat melahirkan generasi muda yang mempunyai kemahiran tinggi dalam menyelesaikan masalah kompleks.

Hadir bersama dalam progam ini pengetua SM St Anthony Encik Saibin Gunsari, Guru Besar SK Sg Bedaun Puan Dg Sarifah A. Mahmod, Penolong Kanan Pentadbiran SMKTPB Puan Chai Yee San dan Penolong Kanan Pentadbiran SM St. Anthony Puan Leberie @ Liberiah H. Dalus.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Antara para peserta program CPD



SMK Rancha-Rancha Naib Johan Pusat Sumber Sekolah Peringkat Kebangsaan 2021

7 Julai 2022 – Bukit Kiara, Majlis Digital Utilisation and Technology Awards 2021 (DUTA) telah berlangsung dengan jayanya. Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menjadi pelaksana utama penganjuran program. Penganugerahan DUTA 2021 dalam pelbagai kategori ini merupakan pengiktirafan kepada warga pendidikan yang telah menunjukkan komitmen dan kesungguhan dalam menjayakan inovasi pendidikan digital.

Pada majlis yang berlangsung , SMK Rancha-Rancha telah mencipta sejarah untuk Jabatan Pendidikan Labuan atas kejayaan menjadi Naib Johan Pertandingan Pusat Sumber Sekolah Peringkat Kebangsaan 2021. Pada tahun ini, anugerah telah disampaikan secara bersemuka untuk setiap kategori termasuklah Anugerah Pusat Sumber Sekolah.

Majlis telah dirasmikan oleh Menteri Kanan Pendidikan Malaysia iaitu Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md Jidin .Sewaktu ucapan beliau berkata

“ penganugerahan sebegini dapat menjadi pemangkin ke arah pembudayaan inovasi pendidikan digital dalam kalangan murid dan guru. KPM sentiasa berusaha untuk melaksanakan penambahbaikan terhadap ekosistem pendidikan negara, khususnya pendidikan digital agar seiring dengan perkembangan pendidikan global. Dalam konteks ini, inovasi dalam pedagogi perlu terus dipertingkat dan diperluas bagi mempelbagaikan pendekatan pengajaran dan pembelajaran dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi digital dan berpusatkan murid serta bersesuaian dengan keadaan semasa. KPM terus komited untuk memastikan hala tuju pendidikan negara kekal relevan, kompetitif dan sejajar dengan dasar-dasar Kerajaan, kehendak industri serta keperluan semasa ”.

Menteri Kanan Pendidikan  Malaysia Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md Jidin ketika membuat ucapan

Sebelum diumumkan masuk 5 terbaik dalam pertandingan Pusat Sumber Sekolah Peringkat Kebangsaan 2021, Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha telah dinilai bersama 13 buah wakil negeri dan 3 wilayah seluruh Malaysia oleh panel hakim yang berwibawa. Penilaian kedua berlangsung pada 10 November 2021.

Pengetua SMK Rancha-Rancha Ustaz Wan Azman bin Wan Awang mengulas sedikit tentang tema majlis pada hari itu berkata “ Pembangunan bakat dan modal insan dalam ekonomi digital memerlukan persiapan generasi murid kalis masa hadapan yang fasih digital dan berupaya menghadapi apa jua cabaran di era teknologi disruptif. Oleh yang demikian, budaya inovasi dalam kalangan murid perlu dipupuk agar mereka bersedia untuk mendepani perubahan sejajar perkembangan teknologi global. DUTA juga memperkukuh konsep Sekolahku SEJAHTERA yang bermatlamat melahirkan generasi muda pewaris negara yang hebat serta mampu bersaing di peringkat dunia. Kesemua elemen yang diterapkan dapat memupuk tiga teras utama Keluarga Malaysia iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran serta memperkaya nilai-nilai yang terkandung di dalamnya, dalam usaha melonjakkan pendidikan berkualiti, mengangkat negara berstatus negara maju serta berpendapatan tinggi dan meletakkan Malaysia di persada dunia

Keputusan penuh Anugerah Pusat Sumber Sekolah peringkat kebangsaan 2021 adalah seperti berikut Johan SMK Agama Miri Sarawak, Naib Johan SMK Rancha-Rancha, Ketiga SMK Batu Rakit Terengganu, Keempat SMK Tawau Sabah dan Kelima SMK Tunku Mahmood Iskandar Johor.

Guru Perpustakaan dan Media SMK Rancha-Rancha selaku perancang utama misi kejayaan PSS DSDN SMK Rancha-Rancha  Cikgu Sapri bin Idris berkata “ saya amat bersyukur atas kejayaan pada kali ini. Alhamdulillah, semoga kejayaan yang dicapai akan menguatkan semangat saya untuk terus memberikan khidmat yang terbaik kepada pelajar di SMK Rancha-Rancha. Saya juga berharap kejayaan ini akan dapat dijadikan motivasi dan inspirasi kepada GPM di W.P Labuan yang memiliki semangat untuk memajukan diri dan membangun kapasiti intelek mereka melalui kerjaya sebagai guru perpustakaan dan media.

Pengetua SMK Rancha-Rancha bersama GPM Cikgu Sapri bin Idris menerima trofi kemenangan daripada Menteri Kanan Pendidikan  Malaysia Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md Jidin

Terima kasih buat keluarga, penaung PSS iaitu Datuk Seri Datin Hajah Norsiah Abdullah, Mantan Pengetua Haji Omar Baki bin Matusin, En Yahya bin Ahmad Puteh, Pengetua sekolah Ustaz Wan Azman bin Wan Awang dan rakan sejawat yang selama ini banyak menyokong dan membantu saya. Tidak lupa juga kepada semua pengawas PSS saya yang menjadi tulang belakang saya selama ini yang banyak banyak membantu saya merealisasikan kejayaan sekolah SMK Rancha-Rancha. Semoga Allah SWT membalas jasa baik kalian dengan ganjaran kebaikan, insya-Allah

Anugerah Pusat Sumber Sekolah ini merupakan pengiktirafan dan penghargaan khususnya kepada Guru Perpustakaan dan Media atas kecemerlangan melaksanakan pengurusan PSS dengan memberi penekanan kepada pendidikan digital. Pemberian pengiktirafan dalam bentuk anugerah kecemerlangan ini merupakan satu manifestasi keprihatinan KPM dan kerajaan dalam menyokong kualiti pengajaran dan pembelajaran, kemenjadian guru serta murid, pembangunan bakat dan modal insan serta memupuk budaya inovasi yang berterusan. Pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi serta inovasi dalam bidang pendidikan adalah seiring dengan hasrat KPM untuk melengkapkan generasi masa hadapan dengan kemahiran teknologi.

Bersama mantan pengarah JPN Labuan Tuan Raisin Saidin dan Ketua Penolong Pengarah SSTP Labuan Tuan Awang Marten bin Datuk Haji Abdul Rahman serta pengawai SSTP Labuan
GPM Johan dan Naib Johan Pusat Sumber Sekolah Peringkat Kebangsaan 2021



Sambutan Aidiladha 2022, Ibadah Korban Anjuran PEKDIS Labuan Kembali Meriah

Labuan, 13 Julai – Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-sekolah (PEKDIS) Cawangan Labuan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah menganjurkan korban berkelompok di perkarangan Pusat ko-Kurikulum, Kampung Ganggarak baru-baru ini.

Pelaksanaan ibadah korban kali ini kembali disambut dengan penuh rasa syukur dan meriah selepas dua tahun terikat dengan SOP susulan pandemik Covid-19.

Walaupun SOP mengekang Covid-19 dilonggarkan, orang ramai yang hadir untuk membantu menyempurnakan ibadah korban tetap mengamalkan kawalan kendiri pemakaian pelitup muka dan mensanitasi tangan sebagai langkah berjaga-jaga.

Program Korban Berkelompok merupakan inisiatif PEKDIS untuk mendekati masyarakat, memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga Pendidikan selain dapat meraikan golongan kurang berkemampuan dan wajar diberi perhatian. Sebanyak tiga ekor lembu telah dikorbankan pada pagi 10 Zulhijjah iaitu sejurus solat sunat hari raya Aidil Adha.

Penyelaras Program Korban PEKDIS Ustaz Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim berkata, bagi memastikan kelancaran program, pihak urus setia sentiasa mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa dan membuat tinjauan di Pusat Ko-Kurikulum.

Merakam kenangan: Para petugas di bahagian melapah daging sempat merakam gambar bersama tuan pengarah

“Alhamdulillah, kehadiran ramai petugas secara sukarela amat membantu dalam menyempurnakan pengurusan ibadah korban. Seawal pagi ada yang telah menimba lubang kumbahan yang dipenuhi air hujan. Mereka begitu bersemangat membantu menumbangkan lembu untuk penyembelihan.

“Semangat pengorbanan yang ditunjukkan jelas terpancar sepanjang melaksanakan kerja-kerja melapah daging, menimbang, memotong dan membungkus daging,” katanya.

Proses agihan kepada 54 orang asnaf miskin dalam kalangan murid-murid sekolah sekitar wilayah Persekutuan Labuan berjalan lancar. Begitu juga agihan yang dilakukan untuk peserta korban sendiri serta agihan untuk sahabat dan jiran terdekat.

Sementara itu, Pengerusi PEKDIS Cawangan Labuan Ustazah Kamariah Salim berkata perancangan untuk program korban ini telah dilakukan sejak Januari lagi di mana para peserta membuat bayaran ansuran.

 “Terima kasih diucapkan kepada semua peserta korban yang begitu bersungguh-sungguh dalam merealisasikan hajat ini. Begitu juga petugas yang datang membantu dan berkongsi juadah yang lazat untuk dinikmati bersama di pagi Aidil Adha.

“Ibadah korban disebutkan oleh al-Quran sebagai syiar Allah di mana terdapat kebaikan untuk umat manusia iaitu bukan sekadar menyembelih lembu.

Tuan Yusup Bin Haji Mohamad (kiri) dan  Ustazah Kamariah Binti Salim (kanan) bergambar bersama daging korban.

“Kerana itu, di samping kita digalakkan untuk mensyukuri dan mengingati nama Allah semasa menjalankan ibadah korban, kita tidak boleh melupakan ada bahagian yang perlu diberikan untuk mereka yang memerlukan dan alhamdulillah, kita berjaya menyantuni 54 orang asnaf miskin untuk agihan daging korban tahun ini.

“Kesyukuran itu bukan semata-mata amalan peribadi tetapi juga mempunyai sisi kemasyarakatan yang dizahirkan melalui amalan membantu dan memberi makan golongan fakir miskin dan mereka yang memerlukan” katanya lagi.

Kehadiran Tuan Pengarah Pendidikan, Encik Yusup Hj Mohamad ke Pusat Ko- kurikulum telah menambah seri program tersebut. Beliau turut dibawa meninjau ke kawasan melapah, memotong dan membungkus daging korban. Proses agihan daging dan kerja-kerja pembersihan kawasan berakhir jam 1.30 petang.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Tuan Yusup Bin Haji Mohamad turut hadir memeriahkan majlis dan meninjau proses memotong dan mencincang daging.



Bengkel Pemimpin Muda Asah Bakat Kepimpinan Murid-Murid SMK Labuan

Labuan, 5 Julai – SMK Labuan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Tingkatan 6 sekolah berkenaan telah berjaya melaksanakan Bengkel Kepimpinan Pemimpin Muda pada 2 Julai 2022, Sabtu lalu.

Bengkel sehari anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling telah menghimpunkan seramai 193 peserta yang terdiri daripada Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber(PSS) dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS).

Menurut Penyelaras Program, Puan Rozzanne John, kem kepimpinan kali ini telah dikelolakan sepenuhnya oleh pelajar tingkatan 6 yang terdiri daripada 13 orang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan 7 orang pelajar lain sebagai fasilitator yang diketuai oleh adik Hani Syafika.

“Sepanjang bengkel, para peserta kem telah menjalani pelbagai aktiviti dalam membina jati diri kepimpinan termasuklah membina keperibadian mulia, perwatakan hebat dan komunikasi serta interaksi berkesan. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah termasuklah Latihan Dalam Kumpulan (LDK), aktiviti lain seperti Duty On Call, Am I A Good Leader dan Explorace.” kata beliau yang juga merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) sekolah berkenaan.

Para peserta bengkel tetap bersemangat walaupun penat menjalani pelbagai aktiviti yang mencabar mental dan fizikal. Salah seorang peserta, adik Mariana ketika ditemui berkata beliau bersyukur kerana berpeluang menyertai bengkel kali ini.

Adik Haziman yang juga terpilih sebagai peserta terbaik lelaki menyifatkan aktiviti yang dilaksanakan telah berjaya meningkatkan keyakinan dirinya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua murid SMK Labuan.

Peserta terbaik wanita pula disandang oleh Adik Racheal, beliau begitu teruja kerana aktiviti-aktiviti yang diterapkan berjaya memberi pengalaman baharu kepada dirinya. Beliau turut berazam menggunakan segala pengalaman itu dalam melaksanakan tugas-tugasnya sebagai pemimpin muda di sekolah.

Majlis penutupan perasmian telah disempurnakan oleh Puan Jamaliah binti Razali selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Labuan. Dalam ucapannya, beliau telah menyuntik semangat dan motivasi kepimpinan kepada para peserta dengan membawa contoh tokoh-tokoh yang telah berjaya menunjukkan daya kepimpinan yang tinggi dalam usia yang sangat muda.

Antaranya ialah Sultan Mohamed Al-Fateh yang ketika itu berusia 21 tahun telah berjaya membuka Kota Constantinople yang dibatasi oleh pagar empat lapisan setinggi 25 kaki dan sepanjang 160 kaki.

“Sejarah telah membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk menjadi pemimpin hebat. Seorang pemimpin mesti mempunyai pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang baik. Ketokohan kepimpinan boleh diasuh dan digilap bukan dilahirkan semata-mata” ujar beliau.

Beliau turut menyeru kepada semua peserta agar segala kemahiran dan pengalaman yang diperolehi dijadikan sebagai azimat dan panduan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin di sekolah.

Di akhir ucapan, Puan Jamaliah turut menzahirkan ucapan terima kasih dan menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan bengkel kali ini.

Turut terlibat dalam pelaksanaan bengkel ialah guru-guru penyelaras Unit Bimbingan dan Kaunseling iaitu Puan Fauziah Henry dan Cik Arita Saip.

Selain itu Puan Hasriah binti Sidik, Puan Maslina Arifin, Encik Mohd Rizam Lamat dan Puan Alicia Pinsom turut membantu menjayakan bengkel kali ini.

Berita Oleh : SMK Labuan