Kenduri Kesyukuran JPWPL 2025: Manifestasi Syukur dan Doa Kejayaan

LABUAN, 12 Disember 2025 – Kenduri Kesyukuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) Tahun 2025 telah berlangsung dengan penuh kesyukuran dan suasana harmoni pagi tadi di Pusat Kokurikulum Negeri, Kampung Ganggarak, WP Labuan.
 
Majlis yang bermula sekitar jam 7.45 pagi itu diadakan sebagai manifestasi rasa syukur atas pelbagai kejayaan, kecemerlangan serta pencapaian penting yang diraih oleh JPWPL sepanjang tahun 2025.
Selain itu, majlis turut bertujuan memohon keberkatan dan memanjatkan doa khusus buat para calon SPM dan STPM yang sedang menduduki peperiksaan agar beroleh kejayaan cemerlang.
 
Antara pengisian dalam majlis tersebut ialah bacaan Surah Al-Kahfi (10 ayat awal atau akhir), Surah Yaasin serta Doa Kesyukuran yang dipimpin dalam suasana penuh tertib dan ketenangan.
 
Pengarah Pendidikan WP Labuan, En. Yahya bin Ahmad Puteh, dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga JPWPL serta warga sekolah atas komitmen, kerjasama dan kejayaan cemerlang yang dicapai sepanjang tahun 2025.
 
Beliau turut menyatakan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana WP Labuan sentiasa berada dalam lindungan, dipelihara daripada sebarang perkara yang tidak diingini serta terus diberi keberkatan sepanjang melaksanakan amanah pendidikan.
 
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan Program “Back To School 2025: i-Asnaf Zakat Support Program” oleh ER East Malaysia Region – Sabah dan Labuan.
 
Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Dana Asy-Syakirin bagi membantu murid dalam kalangan miskin, miskin tegar dan B40 di WP Labuan.
 
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh En. Zulpekar Zaaim bin Othman, Manager, Employee Relations East Malaysia Region – Sabah & Labuan, kepada YDP Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) WP Labuan, En. Ismail bin Abdullah serta Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia (PPGB) WP Labuan, En Mohd Al Ghaffar bin Mohd Maidin.
 
Majlis Kenduri Kesyukuran JPWPL 2025 bukan sahaja menjadi simbol penghargaan atas pencapaian tahun ini, tetapi juga sebagai permulaan yang penuh harapan agar tahun mendatang terus diberkati dengan kecemerlangan, keberkatan dan kejayaan berterusan dalam ekosistem pendidikan WP Labuan.



PERKUKUH BUDAYA QURANI DALAM KALANGAN MURID, LAHIRKAN GENERASI BERILMU DAN BERAKHLAK MULIA

Labuan, 03 Disember 2025 – Hampir 54 peratus murid Tahun Enam sekolah rendah di Labuan berjaya khatam Al-Quran pada tahun ini.
 
Selain itu, Labuan juga mencatat peningkatan ketara dalam penguasaan Al-Quran, iaitu 99 peratus murid Tahun Enam berbanding 79.48 peratus pada tahun sebelumnya.
 
Timbalan Pengarah Sektor kurikulum Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan, Azizan Muhammad berkata kejayaan itu atas usaha pelaksanaan pelbagai program atau intervensi ke arah generasi Qurani.
 
Beliau berkata guru bukan sahaja melahirkan murid cemerlang dalam akademik tetapi juga membentuk insan beradab, berakhlak mulia dan memiliki jati diri kukuh.
 
“Sebenarnya untuk penguasaan Al-Quran dan khatam Al-Quran ini memang peranan dari semua pihak daripada pihak guru, pihak pentadbir sekolah dan juga masyarakat untuk memastikan murid ini dapat khatam dengan baik maknanya sudah pastilah kerjasama semua pihak yang terlibat sangat diperlukan untuk memastikan murid ini dapat khatam sepertimana yang diharapkan”, katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Gema Al-Quran 2025.
 
Program itu sempena Majlis Khatam Al-Quran Sekolah-Sekolah Rendah Kementerian Pendidikan peringkat Labuan yang berlangsung di Dewan Auditorium Sekolah Antarabangsa Labuan.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yahya Ahmad Puteh.
 
Sementara itu, Program Gema Al-Quran dirangka bagi menyemarakkan kecintaan terhadap Al-Quran serta memotivasikan anak-anak untuk menguasai bacaan dan seterusnya khatam Al-Quran.
Dengan pendekatan itu, generasi Qurani mampu menjadi peneraju masa depan negara yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.
 
SUMBER BERITA : FB BES LABUAN



Program Pemantauan Fizikal Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)

Labuan, 26 November 2025 — Program Pemantauan Fizikal Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) telah diadakan hari ini bersama Dr. Khalik Khassunah bin Muzir, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia.
 
Lawatan ini memberi fokus kepada penilaian kemudahan, penyelarasan pelaksanaan program, serta keperluan penambahbaikan bagi memastikan PPKI di Labuan terus memenuhi standard perkhidmatan yang ditetapkan KPM. Dr. Khalik turut berinteraksi dengan pentadbir, guru dan murid bagi mendapatkan gambaran sebenar keperluan semasa di sekolah.
 
Pemantauan ini menjadi asas kepada perancangan penambahbaikan perkhidmatan pendidikan khas bagi tahun 2026.



Mesyuarat Sektor Pendidikan Khas JPWPL Bil. 2/2025 bersama Pengarah Pendidikan Labuan

Kundasang, 22 November 2025 — Sektor Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan WP Labuan telah mengadakan Mesyuarat Bil. 2/2025 bersama Pengarah Pendidikan Labuan, Tuan Yahya bin Ahmad Puteh, di Kundasang Mount Garden dari 19 hingga 22 November 2025 bagi menetapkan KPI tahun 2026.
 
Mesyuarat memberi tumpuan kepada pemantapan pelaksanaan inklusif, peningkatan keberfungsian MBPK, pembangunan profesional guru serta pengukuhan penggunaan Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK). Pengarah menegaskan keperluan sasaran yang berimpak dan selaras dengan hala tuju pendidikan khas negara.
 
Lawatan kerja ke SMK Mat Salleh Ranau telah diadakan bagi perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan program inklusif, pengurusan sukan dan sokongan murid serta perkongsian tatakelola SPK JPN SABAH.



Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 25 November 2025 — Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) Wilayah Persekutuan Labuan rasmi dibuka dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Labuan, Tuan Yahya bin Ahmad Puteh.
 
Penubuhan 3PK Labuan bertujuan menyediakan perkhidmatan sokongan pendidikan khas secara berpusat merangkumi intervensi awal, terapi, penilaian, pembangunan profesional guru serta penyelarasan program. Pusat ini dijangka menjadi tumpuan utama ibu bapa, sekolah dan agensi berkaitan dalam mendapatkan khidmat pakar secara lebih teratur.