Energizer Break

Labuan, 13 Mei 2026 – Program bulanan Energizer Break anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah dilaksanakan dengan jayanya melibatkan seluruh warga jabatan di lokasi masing-masing.
 
Pelaksanaan program ini bertujuan untuk menyemarakkan budaya kerja positif, meningkatkan semangat berpasukan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga jabatan. Aktiviti santai dan interaktif yang dijalankan turut membantu mewujudkan suasana kerja yang lebih ceria, harmoni dan bertenaga.
 
Program ini juga merupakan salah satu usaha berterusan jabatan dalam menyokong inisiatif Pembudayaan Keseronokan Bekerja yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah memperkukuh kesejahteraan emosi, motivasi serta hubungan sosial dalam organisasi.



Bengkel Pengurusan Pentaksiran Autentik Mata Pelajaran Sains Peringkat JPWP Labuan 2026

Labuan, 9 Mei 2026 – Seramai 56 orang guru Sains sekolah rendah dan sekolah menengah serta guru RBT telah menyertai Bengkel Pengurusan Pentaksiran Autentik Mata Pelajaran Sains Peringkat JPWP Labuan yang bertujuan memperkukuh kompetensi guru dalam melaksanakan pentaksiran autentik secara lebih sistematik, bermakna dan berfokus kepada perkembangan murid secara holistik.
 
Bengkel ini telah dikendalikan oleh penceramah jemputan, YBrs. Dr. Haiza Atmareni Harmeni, Pensyarah IPGM Kampus Gaya, yang telah berkongsi pelbagai input berkaitan pengurusan pentaksiran autentik, pembinaan instrumen serta amalan penilaian alternatif dalam PdP Sains.
 
Antara aktiviti utama bengkel ialah pembinaan rubrik penilaian bagi pelaksanaan penilaian alternatif Sains sekolah rendah dan sekolah menengah. Peserta turut dibimbing membina kriteria penilaian yang lebih jelas, autentik dan selaras dengan objektif pembelajaran serta kehendak kurikulum semasa.
 
Turut hadir menyantuni peserta ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, En. Ag. Rozlan Manan, yang menekankan kepentingan guru melaksanakan pentaksiran yang mampu menilai penguasaan sebenar murid dari aspek pengetahuan, kemahiran saintifik, kreativiti, komunikasi dan penyelesaian masalah.
 
✅ Outcome Program:
* Guru memahami konsep dan pengurusan pentaksiran autentik dalam mata pelajaran Sains.
* Terhasil draf rubrik penilaian alternatif yang boleh digunakan dan disesuaikan di sekolah.
* Guru meningkatkan kemahiran membina instrumen pentaksiran yang lebih berkualiti dan bermakna.
🌟 Impak Program:
* Pentaksiran bilik darjah dapat dilaksanakan secara lebih autentik dan berfokus kepada pembelajaran murid.
* Meningkatkan penglibatan aktif murid melalui tugasan berasaskan penyiasatan, projek dan aplikasi dunia sebenar.
* Menyokong pembangunan kemahiran abad ke-21 serta pengukuhan literasi sains murid selaras dengan aspirasi pendidikan negara.



Dialog Prestasi j-QAF 2026: Integriti Data dan Kemenjadian Murid MADANI

Labuan, 12 Mei 2026 – Dialog Prestasi j-QAF Bil. 1 Tahun 2026 anjuran Sektor Pendidikan Islam telah berlangsung dengan jayanya di Dewan C.U.N SK Pekan 1 bermula jam 2.30 petang.
 
Dialog ini menghimpunkan Guru Besar dan Ketua Panitia Pendidikan Islam dari semua sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan serta dipengerusikan oleh En. Yahya Ahmad Puteh, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan.
 
Antara pengisian utama yang dibincangkan termasuk sasaran KPI program j-QAF, intervensi penguasaan al-Quran dan khatam al-Quran, pencapaian aspek solat serta pemerkasaan penguasaan Jawi.
KPI yang ditetapkan oleh Bahagian Pendidikan Islam KPM memberi fokus kepada penguasaan al-Quran murid Tahun 6 sebanyak 98.50%, khatam al-Quran Tahun 6 sebanyak 54%, amali solat Tahun 6 mencapai 100%, serta penguasaan Jawi Tahun 6 sebanyak 99%.
 
Keseluruhan KPI ini menjadi panduan jelas bahawa program j-QAF bukan sekadar pelaporan pencapaian tetapi usaha menyeluruh untuk memastikan murid benar-benar menguasai asas Fardhu Ain, celik al-Quran, menguasai Jawi serta berakhlak mulia.
 
Dialog ini turut menekankan kepentingan intervensi khatam al-Quran dengan perancangan bacaan harian murid, perkongsian amalan baik serta pemerkasaan Jawi melalui modul Jawi baharu yang akan dihasilkan.
Selain itu, aspek integriti data turut diberi penekanan di mana perekodan data dilaksanakan tiga kali setahun (April, Julai, Oktober) dan perlu dibincangkan di peringkat panitia sebelum disahkan oleh pentadbir dalam sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu KPM.
 
Penekanan terhadap integriti ini bagi memastikan semua murid ditaksir dan direkodkan dengan tepat sekali gus menjadikan data yang dikumpul sahih, telus dan boleh dijadikan asas kepada perancangan strategik dan intervensi.
 
Keseluruhannya, Dialog Prestasi j-QAF Bil. 1 Tahun 2026 menjadi wadah penting untuk menilai pencapaian semasa, merangka intervensi berfokus serta memastikan sasaran KPM tercapai. Ia selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 yang menekankan pembangunan holistik murid – bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berakhlak mulia, berjiwa penyayang, berdisiplin serta berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa depan.
 
Dialog ini menegaskan komitmen bersama dalam melahirkan generasi MADANI yang seimbang dari segi ilmu, kemahiran, nilai, dan integriti.



Kem Fitrah Kasih (KEMFIKA) Sekolah Rendah Peringkt WP Labuan Tahun 2026

Labuan, 8 Mei 2026 – Program Kem Fitrah Kasih (KEMFIKA) Sekolah Rendah Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Sultan Muhammad bermula jam 7.30 pagi.
 
Program yang dikelolakan oleh SJKC Chi Wen ini melibatkan seramai 56 murid Tahun 6 dengan bimbingan 12 guru Pendidikan Islam daripada SJKC Chi Wen, SJKC Chung Hwa dan SK St Anne yang bertindak sebagai fasilitator.
 
Objektif utama KEMFIKA adalah memperkukuh penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan murid muslim, menyemai rasa kasih sayang dan semangat kebersamaan serta membentuk sahsiah murid yang seimbang dari aspek intelek, rohani dan jasmani.
 
Pengisian utama program ialah pengurusan jenazah yang dikendalikan oleh Ustaz Ibrahim bin Mat, pensyarah Kolej Matrikulasi Labuan.
 
Lebih istimewa para peserta turut berpeluang menyaksikan sendiri proses pengurusan jenazah yang kebetulan berlangsung di masjid berkenaan, seterusnya menunaikan solat jenazah.
Para peserta turut diberi pendedahan tentang kaifiat solat jenazah, adab terhadap jenazah, serta kaifiat mengiringi jenazah ke kubur.
 
Pengalaman ini bukan sahaja memberi ilmu fardu kifayah, tetapi juga mendidik murid dengan nilai insaniah yang mendalam. Ia selaras dengan Strategik 4 Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, iaitu pembinaan sahsiah dan karektor murid.
 
Melalui program ini, murid dididik menjadi insan yang berakhlak mulia, berjiwa penyayang serta bertanggungjawab terhadap masyarakat.
 
Harapan daripada pelaksanaan KEMFIKA ialah agar murid terus membina jati diri yang kukuh, menghayati nilai MADANI dalam kehidupan seharian, dan menjadi generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga seimbang dari segi sahsiah dan karektor.



PROGRAM JARINGAN DAN JALINAN MODEL PENDIDIKAN PRASEKOLAH MALAYSIA BERSAMA JEMAAH NAZIR NEGERI SABAH DAN SK PANTAI WP LABUAN

Program Jaringan dan Jalinan Model Prasekolah Malaysia ini diadakan bertujuan untuk memperkukuh hubungan profesional antara pihak Jemaah Nazir Negeri Sabah dengan warga SK Pantai dalam usaha memperkasakan pengurusan dan pelaksanaan pendidikan prasekolah berkualiti tinggi.

Program ini juga menjadi platform perkongsian amalan terbaik serta pengiktirafan terhadap kecemerlangan pengurusan prasekolah yang menepati Standard Kualiti Prasekolah Kebangsaan (SKPK) 2.0.

Turut hadir Jemaah Nazir Negeri Sabah Kementerian Pendidikan En. Ibnu bin Haji Jaani Ketua Nazir Negeri, Jemaah Nazir Negeri Sabah Kementerian Pendidikan Malaysia Haji Rostam bin Haji Abd Hamid Timbalan Ketua Nazir Negeri, Jemaah Nazir Negeri Sabah Kementerian Pendidikan Malaysia, En. Ibrahim bin Ahmad Nazir Sekolah,Jemaah Nazir Negeri Sabah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Objektif Program ini adalah bagi mengukuhkan hubungan jaringan dan jalinan profesional antara pihak sekolah dan Jemaah Nazir Negeri Sabah.

Memberi pengiktirafan kepada Prasekolah SK Pantai sebagai Model Prasekolah Malaysia.

Berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan dan pelaksanaan pendidikan prasekolah berkualiti.

Meningkatkan motivasi guru dan Pembantu Pengurusan Murid dalam memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak.

Program telah berlangsung dengan jayanya di Kelas Prasekolah Zuhrah, SK Pantai, W.P. Labuan dalam suasana penuh mesra dan harmoni.




Kem Literasi Al-Quran WP Labuan: Membina Generasi Celik Al-Quran

Labuan, 8 Mei 2026 – Program Kem Literasi Al-Quran Siri 1/2026 Peringkat Negeri telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Jamek An-Nur bermula jam 7.00 pagi.
 
Seramai 92 murid Tahun 6 dan 23 guru pendidikan islam daripada semua sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan telah menyertai program ini yang memberi fokus kepada usaha memperkukuh kemahiran bacaan dan kefahaman Al-Quran.
 
Program ini dianjurkan bagi memastikan murid Tahun 6 mencapai tahap literasi Al-Quran yang baik sebelum melangkah ke sekolah menengah.
 
Antara objektif utama ialah menyokong pencapaian sasaran KPI Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebanyak 98.5% murid Tahun 6 menguasai Al-Quran, selain menyemai kecintaan terhadap Al-Quran sebagai panduan hidup dan sumber kekuatan rohani.
 
Seramai 23 orang murid berjaya melepasi iqra 3 dalam kem yang dilaksanakan hari ini.
Pelaksanaan program ini turut selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 yang menekankan pembangunan holistik murid melalui keseimbangan ilmu, kemahiran dan nilai.
 
Kem Literasi Al-Quran menjadi wahana penting dalam menyokong kemenjadian murid, iaitu melahirkan generasi yang celik Al-Quran, berilmu, berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada nilai-nilai MADANI.
 
🌿 Kem Literasi Al-Quran – Membina generasi celik Al-Quran, menjayakan kemenjadian murid seiring aspirasi RPM 2026–2035.



Kem Generasi Madani Al-Quran di Hati Siri 1/2026

Labuan, 8 Mei 2026 – Kem Generasi Madani Al-Quran di Hati: Program Khatam Al-Quran Murid Tahun 6 telah berlangsung dengan jayanya di Surau Darul Kifayah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan pagi tadi.
 
Seramai 132 murid Tahun 6 dari semua sekolah rendah bersama 33 fasilitator yang terdiri daripada murid Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam WP Labuan (SMA MAIWPL) serta para asatizah telah menyertai program ini yang dikelolakan oleh SMA MAIWPL dengan kerjasama Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan WP Labuan.
 
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif nasional Pecutan Khatam Al-Quran yang digerakkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sepanjang tahun 2026.
Antara objektif utama ialah membantu murid menyempurnakan bacaan 30 juzuk dengan bimbingan fasilitator.
 
Pengisian program merangkumi tasmik dan bacaan intensif bersama fasilitator SMA MAIWPL. Melalui pendekatan ini, murid bukan sahaja mencapai kemahiran membaca Al-Quran dengan baik tetapi turut diasuh dengan nilai disiplin, adab, dan tanggungjawab sosial.
 
Usaha ini selaras dengan Strategik 4 Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, iaitu pembinaan sahsiah dan karektor murid.
 
Program ini membuktikan bahawa pendidikan Islam bukan sekadar memberi ilmu, tetapi membentuk kemenjadian murid yang holistik – berilmu, berakhlak, dan berjiwa sejahtera.
 
Adalah diharapkan melalui program ini, kadar murid khatam Al-Quran di Wilayah Persekutuan terus meningkat melepasi sasaran nasional yang ditetapkan KPM iaitu 54%. Program ini menjadi sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan murid celik Al-Quran dan menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup.
 
🌿 Kem Generasi Madani Al-Quran di Hati – Menyemai cinta Al-Quran, membina generasi berakhlak mulia.



VERIFIKASI AKHIR PENILAIAN DIGITAL UTILISATION AND TECHNOLOGY AWARDS (DUTA) – KATEGORI ANUGERAH EMAS BAGI TAHUN 2025

Labuan, 5 Mei 2026 – Sesi Verifikasi Akhir Penilaian Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) Kategori Anugerah Emas Tahun 2026 telah dilaksanakan di SK Layang-Layangan pada 5 Mei 2026 sebagai sebahagian daripada proses penilaian akhir bagi mengiktiraf tahap pembudayaan digital sekolah.
 
Sesi verifikasi ini telah dihadiri oleh Puan Nurul Nadiah binti Zulkipli dari Sektor Pengintegrasian Teknologi Pendidikan, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP). Kehadiran pihak BSTP dalam sesi ini memperkukuh proses penilaian serta memberi ruang kepada pihak sekolah untuk membentangkan evidens, amalan terbaik dan inisiatif digital yang telah dilaksanakan.
 
Verifikasi ini memberi tumpuan kepada aspek penggunaan teknologi dalam pengurusan sekolah, pengajaran dan pembelajaran, penglibatan guru serta kesediaan murid dalam ekosistem digital. Sepanjang sesi berlangsung, pihak SK Layang-Layangan telah menunjukkan komitmen yang baik dalam menyediakan evidens, perkongsian amalan serta pelaksanaan inisiatif digital yang menyokong transformasi pendidikan.
 
Pihak SSTP JPWPL merakamkan penghargaan kepada pihak BSTP, barisan pentadbir, guru-guru dan murid SK Layang-Layangan atas kerjasama serta kesediaan yang ditunjukkan sepanjang sesi verifikasi. Usaha ini diharap dapat terus memperkukuh budaya digital sekolah seiring dengan aspirasi Dasar Pendidikan Digital dan pembangunan pendidikan masa hadapan.
 
Semoga SK Layang-Layangan terus cemerlang sebagai sekolah yang progresif, kreatif dan berdaya saing dalam penggunaan teknologi pendidikan.



SESI LIBAT URUS DAN MAJLIS PELANTIKAN PETUGAS DASAR PENDIDIKAN DIGITAL 2026

Labuan, 6 Mei 2026 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan melalui Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan telah mengadakan Sesi Libat Urus Petugas Dasar Pendidikan Digital (DPD) 2026 bertempat di Bilik KIAMSAM, SSTP.
 
Sesi ini diadakan bagi menyelaraskan kefahaman dan gerak kerja pelaksanaan agenda pendigitalan pendidikan di peringkat negeri, khususnya berkaitan hala tuju Dasar Pendidikan Digital, struktur tadbir urus pelaksanaan, enam teras utama DPD serta peranan setiap sektor dalam menyokong ekosistem pendidikan digital secara menyeluruh.
 
Pada hari yang sama, turut diadakan Majlis Pelantikan Petugas Dasar Pendidikan Digital Tahun 2026 sebagai simbol komitmen dan pengiktirafan kepada pegawai yang akan bersama-sama menggerakkan pelaksanaan DPD di peringkat Jabatan Pendidikan WP Labuan.
 
Pelantikan ini melibatkan petugas daripada pelbagai sektor yang berperanan secara kolaboratif dalam aspek pembelajaran digital, pembangunan murid, pendidikan Islam, pendidikan khas, pengurusan maklumat, pengurusan sekolah, sumber manusia, infrastruktur dan perolehan serta penyelarasan teknologi pendidikan.
 
Melalui pelantikan ini, diharapkan semua petugas DPD dapat memainkan peranan sebagai pembimbing, pemudah cara, pemantau dan penggerak utama dalam memastikan agenda pendidikan digital dapat dilaksanakan secara terancang, berfokus dan berimpak di sekolah-sekolah WP Labuan.
DPD bukan tanggungjawab satu sektor sahaja, tetapi agenda bersama yang memerlukan kesepakatan seluruh ekosistem pendidikan.
 
Satu Pasukan, Satu Sasaran: Pendidikan Digital untuk Semua.



BENGKEL PENINGKATAN KOMPETENSI DIGITAL PEMIMPIN SEKOLAH (PENOLONG KANAN)

Labuan, 5 Mei 2026 – Bengkel Peningkatan Kompetensi Digital Pemimpin Sekolah yang melibatkan Penolong Kanan Pentadbiran sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan Labuan telah dilaksanakan pada 05 Mei 2026 di Bilik Seminar Raflesia, Ujana Kewangan.
 
Bengkel ini diurus setiakan oleh Sektor Pengurusan Sekolah dan Sektor Sumber Teknologi Dan Pendidikan, JPWP Labuan merupakan inisiatif di bawah Teras 3: Pemerkasaan Kompetensi Digital Pemimpin Pendidikan dalam Dasar Pendidikan Digital, yang bertujuan memperkukuh keupayaan pemimpin sekolah dalam mengintegrasikan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan kurikulum.
 
Sepanjang bengkel, para peserta telah didedahkan dengan penggunaan Canva AI, NotebookLM dan GEMINI bagi menghasilkan bahan pengurusan kurikulum yang lebih sistematik, berimpak tinggi serta berasaskan data seperti dashboard, infografik, laporan analitik dan dokumen digital.
 
Diharapkan usaha ini dapat mempercepatkan transformasi pengurusan kurikulum ke arah lebih efisien, moden dan berdaya saing, selaras dengan keperluan pendidikan masa kini.
 
Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.