Majlis Khatam Al Quran Peringkat JPWPL mengimarahkan Malam 29 Ramadan 1441 Hijrah

Labuan, 21 Mei – Seramai 60 orang pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), guru-guru pendidikan Islam (GPI) dan guru Bahasa Arab (GBA) menghadiri majlis khatam Al-Quran sempena Program Ihya’Ramadan 2020 secara dalam talian dari rumah masing-masing malam tadi.

Majlis Khatam Al-Quran yang diurus setiakan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI), JPWPL bermula jam 9.30 malam. Majlis ini telah dipimpin oleh Ustaz Mohd Fadzli Bin Sheikh Abdul Rahim  selaku ketua mursyid Labuan.  Manakala bacaan surah bermula daripada surah Ad Dhuha hingga Al Fatehah dibaca secara bergilir-gilir oleh guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Puan Khaziyati Binti Osman, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Tuan Hj Abdul Rahman Bin Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Puan Kamariah Binti Salim, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pegawai-pegawai JPWPL, para Pengetua, Guru Besar juga Guru-Guru di sekitar wilayah ini.

Dalam ucapannya, Puan
Kamariah mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang sama-sama menyertai
kumpulan khatam Al-Quran serta menjayakan majlis ini secara normal baharu iaitu
secara dalam talian.

Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac lalu
berikutan pandemik Covid-19, secara tidak
langsung perlu diambil peluang untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan
yang sebelum ini sukar dilakukan berikutan sibuk dengan tugas masing-masing.

PKP yang terjadi pasti ada hikmahnya. Ianya memberi peluang kepada ibu bapa untuk mewujudkan persekitaran muafakat dengan meluangkan masa bersama keluarga seperti bertadarus, solat berjemaah, bersolat terawih dan sebagainya di bulan Ramadan ini. Di samping itu, golongan guru dapat  memanfaatkan teknologi untuk mendidik anak murid dalam tempoh waktu ini melalui Pengajaran dan Pemudahcaraan secara maya, dengan platform yang dominan seperti Google Classroom (GC) dan Microsoft Teams, menurutnya lagi.

Program Ihya’ Ramadan merupakan aktiviti tahunan yang dilaksanakan di peringkat jabatan dan juga sekolah bagi mengimarahkan Ramadan Al Mubarak.

Pelbagai aktiviti telah disusun antaranya Infaq Ramadan yang dilaksanakan dengan kerjasama Kelab Pendidikan, Tadarus secara berkumpulan, Kuliah Tiga Minit (KULTIM) di kalangan warga pendidik dan pegawai JPWPL dan Aktiviti Gempak Ramadan yang melibatkan murid sekolah rendah dan menengah.

Aktiviti KULTIM yang julung kali
diadakan merupakan cetusan idea Ustaz Mohd Syahir Bin Mohd Yusoff, Penolong
Pengarah Perancangan dan Pembangunan Pendidikan Islam, Sektor Pendidikan Islam
dan di siarkan dalam saluran youtube.

Menurut Ustaz Sahrum Bin Samlan, Penolong Pengarah Pembangunan Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam, aktiviti Gempak Ramadan yang diadakan secara dalam talian ialah Pertandingan Tahfiz Cilik Sekolah Rendah, Pertandingan Kuliah Qiyadi,  Pertandingan Poster Ramadan dan Pertandingan Kuliah Tiga Minit (KULTIM) di kalangan murid-murid.

“Bakat yang terpendam dalam diri para pelajar dapat dicungkil dan dilatih secara maksima. Para pelajar dapat membiasakan diri dalam suasana yang Citra Islam berasaskan Al-Quran malah berpeluang mendapat Sijil Penyertaan di peringkat Negeri”. katanya selepas majlis Khatam Al-Quran.

Seramai 31 murid telah menyertai Gempak Ramadan pada tahun ini. Aktiviti ‘Gempak Ramadan’ ini bertujuan untuk memupuk bakat murid dalam penghayatan Al-Quran serta  melahirkan murid yang boleh menghayati Ramadan dengan penuh tawaduk.  Adalah diharapkan juga aktiviti ini dapat mendidik jiwa nurani murid dalam suasana pengamalan Al-Quran dalam bulan yang mulia ini.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Ustazah Kamariah menyampaikan ucapan ringkas semasa majlis tersebut.



Lambaian Kasih dan Sanjungan Budi Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 20 Mei 2020 – Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Kanan, Sektor Perancangan dan Pengoperasian, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia bermula 6 Mei 2020.

Majlis Lambaian Kasih dan Sanjungan Budi Pengarah Pendidikan JPWPL telah diadakan secara dalam talian sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bertempat di Bilik Mesyuarat Botanikal.

Majlis secara maya ini telah dihadiri oleh hampir 250 orang warga pendidikan WP Labuan.

Dalam ucapannya, Encik Raisin Saidin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Warga Pendidikan Labuan yang sentiasa memberi kerjasama dan sokongan sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Saya bersyukur kerana pernah berjuang bersama tuan/puan yang sangat komited, amanah dan professional dalam memikul tanggungjawab. Semoga kecemerlangan tersebut akan terus dipertingkatkan demi Labuan tercinta ini”.

“Saya sentiasa mendoakan agar tuan/puan sekalian diberikan kekuatan dan petunjuk untuk memimpin sekolah masing-masing seterusnya memacu kemakmuran Labuan”. Encik Raisin Saidin

Sepanjang tempoh 4 tahun 7 bulan menerajui Jabatan Pendidikan WP Labuan, beliau yang sinonim dengan tagline ‘Roh Guru Sentiasa Mendarah Daging’ ini telah banyak membawa perubahan dan kejayaan.

Antaranya ialah pengemblengan sumber manusia, pengurusan kewangan, pengurusan sekolah dan akademik serta pengurusan pentadbiran yang lebih efektif.

Seluruh warga Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada Encik Raisin Saidin di atas pelantikan sebagai  Timbalan Pengarah Kanan, Sektor Perancangan dan Pengoperasian, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Semoga tuan terus maju jaya di bawah kepimpinan baharu ini demi kemenjadian murid-murid di Malaysia.




Kalam Wahyu Semarakkan Sambutan Hari Guru Tahun 2020 Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 15 Mei – Majlis Kalam Wahyu sempena Sambutan Hari Guru 2020 Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) diadakan secara dalam talian dengan disertai lebih daripada 100 orang warga pendidik di pejabat dan kediaman masing-masing pagi tadi.

Majlis
Kalam Wahyu Sempena Hari Guru ini diurus setiakan oleh Sektor Pendidikan Islam
(SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bermula jam 8.00 pagi.
Majlis Bacaan surah Yassin telah diketuai oleh Ustaz Sahrum Bin Samlan manakala
bacaan doa selamat pula diketuai oleh Ustaz Mohd Syahir Bin Mohd Yusoff.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh Timbalan Pengarah Kanan, Sektor Perancangan dan Pengoperasian, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Encik Raisin Bin Saidin yang merupakan mantan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Turut hadir ialah Timbalan- timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah , pegawai-pegawai JPWPL, para pengetua, guru besar juga guru-guru di sekitar wilayah ini.

Majlis Kalam Wahyu secara telesidang yang dikendalikan oleh Ustaz Mohd Syahir menggunakan aplikasi google meet berjalan lancar. 

Dalam ucapan selepas bacaan doa selamat, Encik Raisin Saidin berkata guru yang hebat dan ingin memajukan diri dan anak-anak murid ialah guru yang bersedia menerima amanah dan tanggungjawab.

“Cabaran dan halangan sepanjang menunaikan amanah dan tanggungjawab bukanlah suatu penderaan, meyusahkan apalagi sia-sia. Hasil selepas melalui cabaran dan halangan di dalam tanggungjawab akan menjadikan kita berilmu dan meningkatkan kualiti dan jati diri sebagai guru yang murabbi” katanya di dalam telesidang dalam majlis tersebut.

Katanya lagi, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac lalu berikutan pandemik Covid-19, secara tidak langsung perlu diambil peluang untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang sebelum ini sukar dilakukan berikutan sibuk dengan tugas masing-masing.

Encik Raisin Saidin menyampaikan amanat kepada warga pendidik di JPWPL semasa Majlis Kalam Wahyu.

PKP adalah inisiatif untuk membantu mendidik anak-anak dirumah terutama dari aspek pembelajaran, kebersihan dan keselamatan diri.

“Segala yang terjadi pasti ada hikmahnya. Mungkin apa yang terjadi ini memberi peluang kepada ibu bapa untuk mewujudkan persekitaran muafakat bersama keluarga dengan meluangkan masa bersama seperti bertadarus, solat jemaah, solat terawih dan sebagainya di bulan Ramadan ini”.

“Ia memang satu perubahan drastik, namun kita perlu berlapang dada dan menerima situasi ini kerana ia bukan sahaja membabitkan nyawa seseorang malah kita bertanggungjawab memutuskan semua rantaian Covid-19 dalam semua komuniti,” Encik Raisin Saidin.

Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di wilayah ini.

“Berguru Demi llmu, Bina Generasi Baharu”, tema ini menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Dalam telesidang tersebut, turut diadakan gimik penyampaian infaq Kasih Ramadan oleh Kelab Pendidikan. Tabung Infaq Kasih Ramadan telah dilancarkan oleh Encik Raisin Saidin pada 24 April 2020 yang lalu.

Menurut Pengerusi Kelab Pendidikan, Encik Azeryn Hj Mamma, tabung infaq Kasih Ramadan merupakan idea yang dicetuskan oleh Encik Raisin Saidin untuk menyantuni rakan-rakan anggota kumpulan pelaksana (AKP) gred N19 ke bawah di samping mengeratkan lagi kemesraan di antara ahli.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Pengerusi Kelab Pendidikan, Encik Azeryn Hj Mamma (tengah,kiri) menyampaikan sumbangan Infaq Kasih Ramadan kepada ahli kelab pendidikan.



Edisi 5 : Keluaran Khas Sempena Perintah Kawalan Pergerakan
Selamat Hari Pekerja Tahun 2020

Assalamualaikum
Salam sejahtera
Catatan Pengarah Pendidikan WP Labuan

1 Mei 2020

Selamat Hari Pekerja kepada seluruh warga pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan di semua peringkat pengurusan, di ibu pejabat dan sekolah.

Kita melalui satu pengalaman yang lain daripada kebiasaan dalam tempoh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19. Satu pengalaman yg kita tidak pernah terfikir sebelum ini.

Bekerja dari rumah, mengajar dari rumah, guru berinteraksi dengan anak-anak murid dari rumah dan mengambil kehadiran murid dari rumah bagi setiap sesi PdP.

Semua ini dilakukan secara maya. Tentu saja pelbagai halangan terpaksa ditempuhi. Tetapi ayuh guru-guru Labuan, teruskan usaha murni memikul amanah guru. Bangga dapat mengharungi pengalaman ini. Bakal diceritakan kepada generasi akan datang.

Demikian juga pegawai-pegawai di Jabatan Pendidikan WP Labuan, bermesyuarat dari rumah menggunakan teknologi terkini.

Merancang, melaksana, memantau dan membuat penambahbaikan kepada aktiviti-aktiviti berpusat kepada murid yang dilaksanakan semasa PKP. Semua ini dilaksanakan secara maya. Terima kasih atas dedikasi anda semua.

Jiwa dan roh guru hadir dalam diri saya pada saat ini. Teringat saya akan sambutan Hari Guru yang kita sambut dan rayakan setiap tahun. Tahun ini tidak akan ada sambutan seperti tahun-tahun yang berlalu. Tiadalah sorakan gempita kerana johan sekolah paling ceria kerana keseragaman pakaian Hari Guru, kehadiran paling ramai, sorakan paling ceria dan lain-lain. Ini semua adalah sejarah yg akan disebut sampai bila-bila.

Hari Guru adalah hari kita. Besar maknanya kepada kita. Tinggi nilainya, kerana guru adalah pembina peradaban dan tamadun manusia. Hari Guru lambang kesatuan hati guru-guru.

Saya doakan semua guru WP Labuan diberikan Allah kesihatan yang baik dan meneruskan tugas dengan penuh dedikasi.

Selamat Hari Pekerja tahun 2020.

Salam mesra kepada semua guru di pelbagai peringkat.

Raisin Saidin
Pengarah Pendidikan
JPWP Labuan
1 Mei 2020

Stay at home
Kita boleh menang!!!




Edisi 4 : Keluaran Khas Sempena Perintah Kawalan Pergerakan
Dari Pengarah Pendidikan W.P. Labuan

29 April 2020

Assalamualaikum,
Salam sejahtera,

Semoga tuan/puan sihat walafiat dan dapat menjalani kehidupan dengan baik di samping melaksanakan tugas sesuai dengan keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah masuk fasa keempat bermula hari ini.

Kita kekal terus mematuhi arahan PKP demi memutuskan rantaian Covid19 yang melanda seluruh dunia.

Kita di Malaysia bertuah dan bersyukur kerana nampak tanda-tanda positif rantaian Covid19 semakin.

Salah satu faktor kritikal kejayaan ini kerana rakyat Malaysia termasuk setiap seorang daripada kita mengamalkan disiplin tinggi menyanjung makna STAY AT HOME dan guru-guru pula MENGAJAR DARI RUMAH.

Saya faham guru-guru Labuan telah melaksanakan tugas ini dengan penuh komited atas pancaran kasih sayang mereka terhadap masa depan anak-anak didik. Saya amat terharu dengan dedikasi guru-guru walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran mengajar dari rumah.

Saya mewakili seluruh warga Jabatan Pendidikan WP Labuan ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan terima kasih kepada semua guru.

Semoga Allah jua yang akan memberi ganjaran kepada guru-guru sekalian dalam pelbagai bentuk rezeki yang tidak dijangka. InshaAllah.

Saya percaya guru-guru ini telah terpaksa berbelanja lebih dari kebiasaan khususnya dari segi bil internet bagi memastikan murid mereka dapat dibekalkan dengan bahan-bahan PdP yang mencukupi. Sekali lagi saya menyusun jari 10 tanda penghargaan saya kepada guru-guru sekalian.

Kepada semua Pengetua dan Guru Besar, andalah juga sebenarnya penentu kepada kejayaan pelaksanaan PdP semasa PKP ini. Kepimpinan anda dalam menggerakkan guru dan memberikan motivasi kepada mereka amat saya harga dan sanjungi.

Akhir kata, marilah kita seluruh warga pendidik memastikan roh guru terus membara dalam diri kita yang bergelar guru dengan panggilan keramatnya CIKGU…

#Stay at home #Duduk di rumah

Salam hormat,

Raisin Saidin
Pengarah Pendidikan WP Labuan
29 April 2020




Pelancaran Ihya Ramadhan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2020

Labuan, 24 April 2020 – Ramadhan sudahpun menjelang tiba. Bulan yang mulia, penuh keberkatan, kerahmatan dan keampunan yang Allah janjikan kepada seluruh umat untuk mendapat pahala yang berlipat ganda. Bulan ini disambut penuh meriah oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Bagi mereka yang mempunyai azam yang tinggi untuk merubah hidup, Ramadhan menjadi salah satu titik permulaan bagi mereka untuk membina diri dan keluarga yang lebih dekat dengan Allah S.W.T.

Ramadhan adalah merupakan madrasah tarbiyah ruhiyyah wa jasadiyah untuk mendidik dan membentuk diri menjadi mukmin sejati serta meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan satu tujuan agar diri menjadi hamba yang diredhai dan dicintai Allah serta selamat di dunia dan akhirat.

Justeru, pelbagai amalan sunat yang semestinya kita kerjakan tanpa meremehkan tuntutan fardhu.

Menyedari hakikat inilah, Kelab Pendidikan dengan kerjasama Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan W.P.Labuan meneruskan kesinambungan tarbiyah dengan menyusun pelbagai pengisian di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. Mudah-mudahan melalui penyertaan program seumpama ini, akan membuahkan hasil dan diterima sebagai amal ibadah di sisi Allah SWT.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda :

“ Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredhaannya, akan diampunkan semua dosanya yang telah telah lepas. ”
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pada tahun 2020 ini, kita semua menyambut Ramadhan kareem dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Memulakan suatu yang baharu di rumah bersama keluarga. Iaitu amalan yang kebiasaannya dahulu dilakukan secara beramai-ramai seperti solat tarawih yang kebiasaannya secara berjemaah di masjid, bersungkai beramai-ramai, bertadarus dan bertadabbur Al Quran secara berkumpulan dan sebagainya. Namun, itu bukanlah penghalang untuk kita melakukan ibadah-ibadah lain untuk mengimarahkan Ramadhan pada kali ini.

Oleh yang demikian, bagi menyambut seruan Rasulullah S.A.W., kami warga JPWPL bersedia untuk merebut ganjaran yang berlipat ganda yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T. dengan menjayakan program Ihya’Ramadhan, inshaAllah.

Program Bacaan Yassin secara dalam talian setiap hari jumaat

Program ini tidak lain tidak bukan adalah untuk kelangsungan tarbiyah warga JPWPL di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Tujuan Program Ihya’ Ramadhan 1439H ini dilaksanakan adalah untuk:

  1. ​Menyemarakkan ramadhan kareem dalam diri setiap muslim khususnya ahli kelab dan ummat Islam amnya.
  2. ​Meningkatkan amalan di bulan ramadhan melalui amalan bersedekah, bertadarus, mendengar tazkirah, menjalin ukhuwah.
  3. ​Merungkai permasalahan berkaitan ibadah berpuasa, ibadah fardhu ain dan fardhu kifayah.
  4. ​Mengeratkan muhibbah dan silaturrahim di kalangan ahli kelab.
  5. Menanamkan sifat dan rasa bersyukur, saling berkongsi rezeki dan
    membantu orang sekeliling yang hidup dalam kesempitan dan kelaparan melalui amalan bersedekah.

Aktiviti program Ihya’Ramadan tahun 2020:

  1. Tabung infa’ Ramadhan
  2. Tazkirah Jumaat
  3. Soal jawab agama `Biar tahu jangan keliru’
  4. Bacaan surah yassin setiap pagi Jumaat
  5. Tadarus Al-Quran berjemaah di rumah masing-masing.
  6. Penyampaian sumbangan ‘kasih sayang’ warga kelab pendidikan.
  7. Kuiz agama
  8. Edaran template & bahan digital berkaitan kaifiat berpuasa

Majlis Pelancaran Ihya Ramadhan dan Tabung Infaq Ramadhan Kelab Pendidikan JPWPL telah disempurnakan oleh Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan dalam program bacaan Yassin secara dalam talian, hari ini.

“InsyaAllah dengan usaha murni pelancaran Tabung Infaq Ramadhan Kelab Pendidikan ini juga diharap dapat meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik terutamanya dalam tempoh yang sukar ini serta menyemai kasih sayang yang lebih erat di kalangan warga kelab pendidikan”.

“Tabung ini akan dibuka sehingga penghujung bulan Ramadhan bagi menggalakkan warga JPWPL untuk sama-sama menyumbang dan merebut pahala di bulan penuh barakah nanti,” Encik Raisin Saidin

Ahli kelab yang ingin memberi sumbangan kepada Tabung Infaq Ramadan Kelab Pendidikan boleh menghubungi pengerusi kelab Encik Azeryn Hj Mamma.

Saya akhiri ucapan ini, dengan serangkap pantun:

“Marhaban ya Ramadhan..
Pohon langsat bertunas menjulang,
Dahannya patah jatuh ke halaman,
Puasa Ramadhan kembali menjelang,
Salah dan khilaf mohon dimaafkan”

“saya dan keluarga mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada semua ahli Kelab Pendidikan dan rakan muslimin.
Sekian, wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warohmatullahi wabarakatuh”




SMK RANCHA-RANCHA Cipta Sejarah Jom Baca Bersama 10 Minit Rentas Sempadan Melibatkan 50 Buah Sekolah Seluruh Negara

Labuan, 23 APRIL 2020 – Pusat Sumber Dato Seri Datin Hajjah Norsiah (PSS DSDN) SMK Rancha-Rancha(SMKRR) telah melaksanakan program ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit Rentas Sempadan’ yang telah merentas sempadan negeri-negeri di Malaysia secara atas talian.

Pada tahun ini, pihak pengurusan PSS DSDN telah mengambil inisiatif pintar dengan membuat penganjuran secara kolaboratif bersama SMK Taman Keramat, Gombak, Selangor.

Program yang dijalankan semasa negara berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan sempena pandemik Coronavirus-19 ini telah sepenuhnya menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi secara maya sepertimana yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Aplikasi Google Meet menjadi media utama perkumpulan peserta yang terdiri dari pentadbir sekolah,  guru, pelajar yang datang dari lebih 50 buah sekolah dan tidak ketinggalan ahli komuniti setempat.Peserta yang terdiri dari pelbagai kaum ini berjaya menyahut seruan kerajaan untuk mengintegrasikan kaum di Malaysia.

Di dalam ucapan alu-aluannya kepada para peserta, Encik Yahya bin Ahmad Puteh selaku Pengetua SMKRR telah memberikan pujian kepada pihak pengurusan PSS DSDN SMKRR dibawah pengurusan Encik Sapri bin Idris selaku Guru Perpustakaan & Media. Beliau telah mengambil langkah proaktif dan berani untuk penganjuran secara atas talian ini, sekaligus berjaya mendapatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat pendidikan terutamanya, dari seluruh negara.

Pengetua SMKRR ini juga berharap agar kerjasama yang telah dijalin untuk berbagai program semenjak tahun 2018 lagi bersama SMK Taman Keramat, Gombak Selangor akan terus berkekalan dengan pelbagai program kolaborasi antara kedua-dua buah sekolah.

SMKRR yang terkenal sebagai sebuah Sekolah Komuniti, membuka luas dan mengalu-alukan penyertaan seumpama ini di kalangan komuniti dan masyarakat setempat untuk merealisasikan kemenjadian murid di SMKRR.

EN.YAHYA BIN AHMAD PUTEH PENGETUA SMK RANCHA-RANCHA

Majlis turut member ruang kepada wakil Tuan Zainal bin Ismail, Timbalan PPD Sektor Pembelajaran, Daerah Gombak , Selangor iaitu Puan Rohanah binti Abdul Rahim menyampaikan ucapan.

Dalam ucapannya, beliau mengucapkan setinggi-tinggi rasa kagum dan tahniah kepada SMK Rancha-Rancha dan SMK Taman Keramat. Kedua-dua sekolah ini berjaya menjadi penganjur bersama di dalam program ilmu yang sangat member impak kepada para peserta program.

Beliau turut menegaskan bahawa budaya membaca perlu disuburkan agar Matlamat Pendidikan Negara dapat dicapai. Majunya sebuah negara itu bergantung kepada penduduknya yang cintakan kepada budaya membaca.

Pegawai Perasmi, Ustaz Abd Rahman bin Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan (JPWPL), wakil rasmi Pengarah Pendidikan (JPWPL),Tuan Raisin bin Saidin dalam ucapannya berkata, pihak JPWPL memberi sokongan penuh penganjuran berterusan di masa-masa akan datang untuk  Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit Rentas Sempadan ini.

Tegasnya, program ini berupaya menyumbang kepada pembangunan sahsiah masyarakat melalui nilai murni yang diterjemah melalui pembacaan. Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada program penganjuran bersama rentas sempadan kedua-dua buah sekolah.

Selain dari dapat mewujudkan hubungan baik dengan lebih 50 buah sekolah di seluruh Negara, ia merupakan langkah inovatif dalam memberi nafas baharu kepada kempen pembacaan selaras dengan Program Dekad Membaca Kebangsaan 2020-2030.

Objektif penganjuran program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit Rentas Sempadan secara atas talian ini untuk menggalakkan peserta memupuk budaya suka membaca berterusan sepanjang hayat, tercapai.

Disamping itu, program ini Berjaya menjadikan warga pendidikan dan komuniti yang bukan hanya membuat pembacaan yang berorientasikan peperiksaan sahaja lagi. Sesungguhnya tabiat membaca menggalakkan sesiapa sahaja dapat menyemai idea kreatif dan inovatif.

SEBAHAGIAN PESERTA PROGRAM SECARA ATAS TALIAN

ANALISIS PESERTA PROGAM ‘JOM BACA BERSAMA UNTUK 10 MINIT RENTAS SEMPADAN TAHUN 2020 IKUT KATEGORI

BIL KATEGORI BILANGAN PESERTA
1 Guru SMKRR 35 orang
2 Murid SMKRR 141 orang
3 Ibubapa SMKRR 9 orang
4 Komuniti Labuan 38 orang
5 Guru dan murid SMART 99 orang
6 Komuniti luar (jemputan) 415 orang
  JUMLAH KESELURUHAN  737 orang

PECAHAN KAUM PESERTA

KAUM JUMLAH PESERTA
Melayu 559
Cina 9
India 169
JUMLAH
KESELURUHAN
737

Sungguh pun baru pertama kali program atas talian ini dianjurkan, ia telah mendapat penglibatan luar jangka. Seramai 737 orang peserta telah mendaftarkan kehadiran mereka semasa program berlangsung.

Antara peserta yang telah ikut serta program ini ialah Puan Norsiah Sulaiman, Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Dan Penddikan JPWPL danTuan Zainal bin Ismail selaku Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah dari Sektor Pembelajaran Daerah Gombak.

Majlis turut memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada adik Mohamad Hazfarizal Bin Ismail, pelajar Tingkatan 4 dari SMKRR. Antara pengisian program ini adalah ucapan alu-aluan daripada pentadbir sekolah dan pegawai pendidikan negeri.

Selain itu persembahan montaj perasmian juga turut ditayangkan kepada seluruh peserta. Acara kemuncak pada hari itu ialah bacaan secara serentak selama 10 minit dari jam 11.00 pagi hingga 11.10 minit pagi oleh semua peserta program. 

Di akhir majlis, wakil peserta yang terdiri daripada 4 orang pelajar, wakil Pengetua dan Guru Besar serta Guru Perpustakaan dan Media  telah diberi peluang untuk memberi ucapan penghargaan mengenai program ini.

EN SAPRI BIN IDRIS, GURU PERPUSTAKAAN DAN MEDIA PSS DSDN SMKRR
BERTINDAK SELAKU SETIAUSAHA PROGRAM

Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha




Edisi 3 – Keluaran Khas Sempena Perintah Kawalan Pergerakan :
PdP DALAM TEMPOH PKP DI LABUAN BERJALAN LANCAR

Murid SK Patau-Patau menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru melalui internet

Labuan, 17 April 2020 – Dalam tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ke-3 sehingga 28 April ini, Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di Labuan  tetap berjalan dengan lancar.

Meskipun berhadapan dengan cabaran baharu kepada pendidik dengan penutupan sekolah, guru-guru Labuan sentiasa memastikan murid-murid mereka terus dapat belajar walau dengan cara apa sekali pun.  

Mengikut kajian dan analisis yang dibuat oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama pihak sekolah, didapati bahawa penggunaan aplikasi WhatsApp merupakan kaedah yang paling popular digunakan oleh guru-guru di Labuan. Murid-murid juga mudah menggunakan kaedah ini. 

Hal ini kerana,  aplikasi WhatsApp mudah dan telah sedia ada digunapakai oleh hampir keseluruhan  ibu bapa yang memiliki telefon pintar. 

Seramai 1118 orang guru atau 88.5% guru di Labuan menggunakan aplikasi WhatsApp sebagai medium interaksi bersama ibu bapa dan murid.

WhatsApp  dan telegram digunakan oleh para guru untuk menyampaikan maklumat, video, rakaman suara, arahan, tugasan dan latihan kepada murid-murid.

Pembelajaran digital google classroom yang telah sedia ada digunakan di Kementerian Pendidikan Malaysia untuk pembelajaran murid dapat membantu guru selain aplikasi lain yang membolehkan interaksi secara terus dengan murid dapat dilakukan.

Bagaimanapun tidak semua ibu bapa mampu  untuk menyediakan fasiliti pembelajaran dalam talian. 

Sehubungan itu, guru mengambil inisiatif sedia ada dengan menggunakan buku teks, buku latihan sebagai bahan pembelajaran dan telefon sebagai medium perantaraan interaksi.

Semuanya ini untuk memastikan pembelajaran tetap berjalan lancar walaupun mereka tidak berada di sekolah mahupun di dalam bilik darjah.

Tinjauan penglibatan guru-guru di Wilayah Persekutuan Labuan mendapati 93.75% melaksanakan PdP dalam tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 3 April 2020.

Perkembangan pembelajaran digital dan PdP berbantukan internet di Labuan juga menunjukkan peningkatan yang positif.

Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan berharap PdP guru mengajar dari rumah sentiasa berjalan dengan baik dan lancar sepanjang tempoh PKP berjalan.

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengenalpasti beberapa isu dan cabaran dalam melaksanakan PdP sepanjang PKP ini. Antara isu dan cabaran ialah :

  • Tidak semua ibu bapa mampu untuk menyediakan fasiliti pembelajaran dalam talian.
  • Ibu bapa berkongsi telefon pintar mereka dengan anak-anak . Bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak bersekolah, masalah ini bertambah lebih berat.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa yang amat memahami pelaksanaan PdP semasa PKP ini dan mengambil berat tugasan yang guru hantar ke telefon pintar serta laptop ibu bapa.” Encik Raisin Saidin

Berikut adalah kaedah yang digunakan oleh guru-guru di Wilayah Persekutuan Labuan mengikut kaedah pembelajaran :

Sumber : Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan WP Labuan

Berikut pula adalah data penglibatan guru-guru Wilayah Persekutuan Labuan dalam PdP bermula 30 Mac sehingga 3 April 2020 :

Test
Sumber : Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan WP Labuan

Koleksi gambar yang mewarnai pelaksanaan PdP semasa PKP di Labuan.

Murid SK Tanjung Aru membuat latihan bertulis di rumah



Edisi 2 – Keluaran khas sempena Perintah Kawalan Pergerakan : MURID BELAJAR DI RUMAH, GURU MENGAJAR DARI RUMAH

( Gambar hiasan : Encik Raisin Saidin ketika melawat murid-murid di sekolah Labuan awal Januari 2020 )

Labuan, 26 Mac 2020 – Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan menyeru guru-guru agar menggunakan pelbagai kaedah yang bersesuaian dalam mengajar murid dari rumah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, pada minggu ini guru tidak lagi bercuti, sebaliknya mengajar dari rumah dan perlu menyediakan bahan pembelajaran untuk anak-anak murid sepanjang PKP ini berjalan.

Tugasan dan arahan kerja rumah boleh dilaksanakan oleh guru daripada semudah-mudah bentuk komunikasi iaitu SMS, WhatsApp sehinggalah menggunakan Facebook Live, Zoom Meeting, IG, dan bentuk komunikasi lain yang ada dari rumah.

Guru boleh menggunakan apa-apa sahaja sumber pembelajaran yang ada di rumah atau boleh diakses.

“Guru dan murid boleh menggunakan buku teks, buku kerja, buku ulang kaji dan lain-lain yang dimiliki oleh murid-murid yang ada di rumah.”

Katanya lagi, warga pendidik harus berlaku adil kepada murid dan ibu bapa. Jika ada ibu bapa atau murid mahu mengemukakan pertanyaan berkaitan latihan/tugasan/kerja rumah yang diberikan, guru hendaklah menjawab panggilan atau mesej media sosial atau SMS yang dihantar oleh ibu bapa.

Salah satu sifat ‘Guru Mengajar Dari Rumah’ ialah guru tidak perlu terikat dengan jadual waktu mengajar. Ia bergantung kepada kesesuaian media perhubungan yang digunakan dan juga keupayaan serta bentuk komunikasi yang digunakan.

Sudah tentu murid ini berasa seronok untuk menghantar kepada guru latihan-latihan yang telah mereka siapkan . Jika murid menghantar latihan dan kerja rumah melalui aplikasi whatsapp atau emel, guru boleh memeriksa atau menyemak pada masa itu ataupun menunggu pada masa yang sesuai.

Gambar hiasan : Encik Raisin Saidin bersama murid-murid SK Lubok Temiang pada awal Januari 2020

Saya juga ingin mengingatkan agar guru mengelakkan penggunaan bahan bercetak yang perlu diambil dan dihantar ke sekolah.

Guru juga hendaklah mengelakkan murid menghantar kepada guru secara bercetak skrip jawapan atau tugasan yg mereka siapkan ketika ini.

Pendekatan ‘Guru mengajar dari rumah’ adalah terikat kepada PKP yang sedang berkuatkuasa.

“Harapan saya ialah guru-guru sudah mula mengajar murid-murid dari rumah dengan menggunakan pelbagai kaedah sesuai dengan keadaan setempat.” Encik Raisin Saidin

Libatkan ibu bapa murid dalam sesi PdP di rumah. Peranan dan pemahaman ibu bapa amat penting kerana kemungkinan kita terpaksa menggunakan smart phone, laptop atau emel mereka untuk menyalurkan arahan atau latihan/tugasan/kerja rumah kepada murid-murid.

Rancanglah dengan baik dan bersungguh-sungguh pelaksanaan murid belajar di rumah ini.

“Saya memahami dan mengambil maklum bahawa bukan semua ibu bapa mempunyai kemampuan untuk menyediakan kemudahan pembelajaran secara maya kepada anak-anak mereka. Tidak ada paksaan kepada ibu bapa untuk terpaksa berbelanja lebih bagi tujuan tersebut.

Saya sedar ada lagi keperluan yang lebih mendesak iaitu membeli barang-barang keperluan seharian iaitu makanan dan perubatan.

Oleh itu, saya meminta pihak sekolah supaya mengenal pasti kumpulan berkenaan dan memastikan mereka diberikan perhatian yang istimewa bila mereka kembali ke sekolah dengan memberikan mereka latihan yang cukup”. Encik Raisin Saidin – Pengarah Pendidikan WP Labuan

GURU SAYANG MURIDNYA’

#Just Stay At Home, #Mengajar Dari Rumah




GURU DAN MURID HARUSLAH MELAKSANAKAN PENDEKATAN BELAJAR DARI RUMAH

Labuan 25 Mac 2020 : Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan menyeru para guru dan murid supaya melaksanakan pendekatan belajar dari rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PKP telah dikuatkuasakan sejak 18 Mac 2020 dan seharusnya akan berakhir pada 31 Mac 2020 berikutan penularan wabak COVID-19 kini dilanjutkan lagi sehingga 14 April 2020.

PKP merupakan satu cara untuk memutus atau menghentikan rantaian penularan wabak COVID-19.

Lantaran itu, sekolah telah ditutup sepanjang tempoh berkenaan dan guru serta murid tidak dibenarkan datang ke sekolah bagi tujuan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.

Sehubungan ini, murid hendaklah belajar di rumah dan belajar dari rumah.

Belajar di rumah bermaksud murid mengambil inisiatif belajar secara kendiri dengan menggunakan buku teks sedia ada atau menggunakan buku-buku kerja yang ada.

Selain itu, murid juga boleh menyiapkan latihan-latihan ulangkaji dan pengukuhan yang telah disediakan oleh guru-guru sebagai tugasan semasa cuti sekolah.

Belajar dari rumah pula secara mudahnya boleh diertikan sebagai murid dapat berinteraksi dengan guru-guru mereka dengan pelbagai cara.

Cara yang paling mudah dan popular ketika ini ialah melalui whatsapp dan telegram hanya dengan menggunakan telefon pintar. Malahan penggunaan ‘zoom clouds meeting’ juga telah mula digunakan oleh guru dan murid.

Banyak lagi cara lain yang boleh difikirkan oleh guru bagi membantu murid belajar dari rumah.

“Saya amat yakin guru-guru era digital ini mempunyai pelbagai kreativiti dan inovasi berdasarkan teknologi yang boleh membantu murid terus belajar dengan bimbingan guru tanpa hadir ke sekolah atau bilik darjah” – Encik Raisin Saidin

Seperti yang dijangka, PKP yang seharusnya berakhir pada 31 Mac 2020 ini telah dilanjutkan lagi tempohnya sehingga 14 April 2020. Semua pihak berharap agar penularan wabak COVID-19 di negara kita dapat dihentikan.

Adalah penting untuk guru-guru yang berada di barisan paling hadapan di bilik darjah menyediakan platform yang sesuai untuk murid-murid yang kita sayangi terus belajar.

Saya juga memohon supaya Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bersama dengan Sektor Pembelajaran dapat membantu, membimbing dan memberi khidmat bantu guru- guru dalam memastikan murid belajar dari rumah benar-benar memberi manfaat kepada murid-murid.

Ini amat bertepatan dengan slogan kita GURU SAYANG MURIDNYA