RIMUP SK Pekan Satu Lahirkan Generasi Berilmu, Bersemangat Muhibah

Labuan, 6 Feb 2020 – Program RIMUP : Sambutan Tahun Baru Cina SK Pekan Satu yang melibatkan semua warga SKPS merupakan cerminan ikatan ukhuwah yang padu dijalinkan tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.

Ianya bersesuaian dengan matlamat  RIMUP “melahirkan generasi Malaysia yang berilmu, bersemangat muhibah, memiliki jiwa dan peribadi unggul serta mampu menghadapi cabaran secara kolektif dan bersepadu demi kesejahteraan negara.”

Majlis Perasmian disempurnakan oleh Guru Besar SK Pekan Satu Puan Anita Shyamini A/P S. Azman. Turut hadir memeriahkan majlis ialah PK Pentadbiran SKPS Encik Airol Azmi bin Abd Gani, PK HEM SKPS Puan Normah Binti Rahimi, PK Kokurikulum SKPS Encik Esmit bin Amat, PK PPKI SKPS Encik Mohd Faisal bin Haji Moin, dan 85 orang guru.

SK Pekan Satu telah mengundang khas kumpulan Tarian Singa Labuan International School untuk membuat persembahan kepada warga sekolah.

Murid-murid berkumpul di dataran terbuka bagi menonton tarian singa.

Dalam ucapannya, Puan Anita Shyamini mengucapkan terima kasih dan syabas kepada kumpulan Tarian Singa Labuan International School kerana dapat menyajikan persembahan yang amat memukau para hadirin terutamanya murid-murid.

“Program sebegini bukan sahaja memberi pendedahan kepada murid-murid bangsa lain tentang suasana dan  sambutan  Tahun Baru Cina malah ianya dapat merapatkan lagi hubungan sillaturahim tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan bangsa”.

Konklusinya, Program RIMUP yang dilaksanakan di SKPS mencapai objektif perpaduan antara kaum. Program silang budaya seperti ini sangat digalakkan di Malaysia kerana kepelbagaian kaum, agama dan bangsa yang mempunyai pelbagai keunikan dan tersendiri menyuntik semangat perpaduan dalam  keharmonian globalisasi negara Malaysia pada hari dan masa hadapan.

Sikap saling menerima dan memahami perbezaan inilah yang akan merapatkan jurang perbezaan dan  membentuk kekuatan kepelbagaian etnik, sekali gus akan menjadi satu kekuatan dan kebanggaan buat negara yang tercinta.

Penyelaras program, Puan Nor Irdawati melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada semua terutama kepada guru-guru yang mengawal keadaan murid bagi melancarkan program ini.

Tambahnya lagi, tanpa komitmen yang tinggi daripada semua pihak maka program seumpama ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sepertimana yang diharapkan.

Berita Oleh : SK Pekan Satu

Murid-murid prasekolah berkesempatan berfotografi bersama Singa
Dari kiri Puan Normah, Puan Anita, Encik Airol dan Encik Faisal.



Tarian Singa Pupuk Perpaduan Warga SK Pantai

LABUAN, 4 FEBRUARI –
Tarian Singa yang sinonim dengan sambutan Tahun Baharu Cina telah diadakan
dengan meriah di Dataran Datuk Mary Yap, SK Pantai. Aktiviti yang dijadikan
sebagai acara tahunan bermula dari tahun lepas itu berperanan sebagai salah
satu usaha pihak sekolah dalam memupuk semangat perpaduan dalam kalangan warga
SK Pantai.

Majlis pelancarannya
telah disempurnakan oleh Puan Mahani Bt Hussin, Guru Besar SK Pantai. Dalam
ucapannya, selaras dengan tema nilai murni bulan Februari, amalan hormat
menghormati haruslah disemai dalam jiwa seluruh warga SKP dalam meraikan
perbezaan antara kaum-kaum di Malaysia. Beliau turut menggesa agar warga SKP
menjadi warga yang harmoni dan saling sayang menyayangi antara satu sama lain
tanpa mengira agama atau kaum.

Majlis tersebut turut
dihadiri oleh barisan pentadbir yang terdiri daripada En Mohamad Rizdauddin B
Abd Wahap, Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Azlina Bt Abd Garip, Penolong Kanan
HEM, Puan Farina Bt Mustapa, Penolong Kanan Kokurikulum  dan Puan Halifah Bt Salim, Penolong Kanan
PPKI. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran semua guru dan staf sokongan
SKP. Menariknya, bukan hanya murid-murid yang teruja dengan persembahan
tersebut, ia turut menarik perhatian staf kesihatan KKM yang sedang menjalankan
pemeriksaan kesihatan di sekolah pada hari tersebut.

Persatuan Goh Lion Dance Association telah dijemput bagi tahun kedua berturut-turut untuk memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina dengan mempersembahkan tarian singa. Turut menarik perhatian ialah dinding yang dihiaskan dengan tema Tahun Baru Cina, serta di seluruh kawasan sekolah termasuk pondok Nilam, pondok PPKI dan prasekolah, yang meningkatkan rasa keterujaan dalam kalangan murid-murid dalam menantikan kedatangan tarian singa. Tarian singa tersebut turut disertai oleh murid-murid program pendidikan khas integrasi dengan singa buatan sendiri.

Bertepatan dengan
Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan, majlis seperti ini sangat
sesuai diadakan diperingkat sekolah sebagai salah satu aktiviti tahunan untuk
menerapkan perpaduan dan meningkatkan rasa hormat menghormati di kalangan
murid-murid SK Pantai. Dengan acara sebegini telah memberikan platform kepada
murid pelbagai kaum berinteraksi supaya menjadi lebih erat. Program seumpama
ini juga sebagai salah satu cara untuk menangani gejala ponteng dengan menarik
minat murid bermasalah kehadiran untuk datang ke sekolah.

Penyelaras program, Pn
Natasha turut berterima kasih kepada semua warga SKP khasnya barisan pentadbir
dan guru-guru atas kerjasama yang mantap dalam memastikan kelangsungan dan
kelancaran majlis tersebut.




SK Sungai Bedaun Sedia Pertahan Kejuaraan

Labuan, 4 Feb 2020 – Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) yang diadakan pada setiap tahun kini semakin menghampiri.

Pada tahun ini, kejohanan tersebut akan diadakan pada 8 Februari 2020 bertempat di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Sekolah-sekolah di WP Labuan telah mengambil pelbagai inisiatif dalam menyediakan atlet-atlet sekolah masing-masing untuk menyertai kejohanan ini. Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun WP Labuan juga tidak ketinggalan dalam melatih atlet-atlet muda yang akan mewakili sekolah.

Guru Besar SK Sungai Bedaun, Puan Dg Sarifah binti A. Mahmod berkata beliau memberi kepercayaan penuh kepada guru-guru yang berkemahiran untuk melatih murid-murid dengan mengutamakan keselamatan dan mengikuti garis panduan yang ditetapkan.

Jurulatih-jurulatih yang diketuai oleh Penolong Kanan Ko Kurikulum, Encik Mohammad Aizam bin Abdul Rahim, dan jurulatih utama, Encik Mohammad Azwan bin Saad, telah menyediakan jadual latihan intensif yang begitu padat dan berkesan.

Encik Mohammad Aizam menyatakan bahawa murid-murid yang akan mewakili SK Sungai Bedaun pada tahun ini telah dipilih dengan melihat tahap konsistensi dan stamina serta berdasarkan pencapaian semasa Kejohanan Merentas Desa peringkat sekolah yang diadakan pada bulan Januari yang lalu.        

Untuk rekod, SK Sungai Bedaun telah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Sekolah Rendah WP Labuan dalam kejohanan yang lalu apabila berjaya merangkul Johan Berkumpulan Perempuan Bawah 12 Tahun dan Naib Johan Berkumpulan Lelaki Bawah 12 Tahun.

Dengan itu, SK Sungai Bedaun berhasrat untuk mempertahankan kejuaraan peringkat negeri pada tahun ini dan seterusnya mara ke peringkat kebangsaan.  

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Latihan Penyesuaian Laluan Merentas Desa yang dibuat di UMSKAL bagi memberi pendedahan awal kepada atlet-atlet SK Sungai Bedaun WP Labuan



Pusat Sumber SMK Rancha-Rancha Capai Objektif 5 Dalam 1 Melalui Pameran Bertemakan Sambutan Tahun Baharu Cina 2020

Labuan, 3 Feb 2020 – Seramai 600 orang pengunjung dianggarkan ke Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha sepanjang berlangsungnya Program Hiasan Bertema sempena Tahun Baharu Cina pada 30 Januari lalu.

Program ini merupakan program tahunan yang dijalankan oleh Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha dalam usaha menyuburkan literasi maklumat dalam kalangan pelajar, guru dan ahli komuniti setempat.

Pengetua sekolah, Encik Yahya bin Ahmad Puteh sewaktu ucapan alu-aluan di majlis penutupan berkata program itu adalah antara platform memupuk perpaduan pelbagai kaum apabila pelajar dapat mengetahui budaya orang Cina di Malaysia.

Tambah beliau lagi, hampir 99 % pelajar di SMK Rancha-Rancha adalah daripada orang Melayu dan justifikasi pelaksanaan program seperti ini amat dituntut untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada warga SMK Rancha-Rancha tentang kebudayaan serta perayaan orang Cina.

Beliau berkata,
keharmonian yang terserlah dalam perayaan Tahun Baharu Cina di negara ini
mencerminkan Malaysia sebagai negara majmuk yang istimewa.

” Sekolah sebagai entiti penting pendidikan  dan ahli komuniti perlu berganding bahu mengekalkan nilai toleransi, perpaduan dan kerjasama antara kaum bagi meneruskan keharmonian yang tercipta sejak dulu,” Encik Yahya Ahmad Puteh.

Program telah dirasmikan oleh tokoh komuniti Dr Chong Vui Hiong dan tetamu yang hadir, Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan  Encik Awang Marteen bin  Datuk Haji Abdul Rahman, barisan pentadbir SMK Rancha-Rancha, para guru serta pengawas pusat sumber sekolah.

Dr Chong Vui Hiong merasmikan penutupan hiasan bertema sempena Tahun Baharu Cina anjuran Pusat Sumber DSDN smk Rancha-Rancha

Pada majlis tersebut Dr Chong Vui Hiong seorang tokoh komuniti aktif di W.P Labuan  berasa sungguh gembira kerana dijemput sebagai perasmi penutupan program yang dijalankan.

“Semua ini perlu dilakukan bagi memastikan pembangunan negara dapat terus dipacu menuju matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50), sekali gus memberi manfaat kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Perpaduan kaum membolehkan kerajaan merancang dan melaksanakan pembangunan dengan lancar serta taraf hidup rakyat di negara ini dapat dipertingkatkan,” katanya.

Atas rasa tanggungjawab sebagai ahli komuniti , pada majlis tersebut, beliau telah bermurah hati memberi angpau kepada 20 orang guru  serta 25 orang pengawas pusat suber sekolah. Dr Chong Vui Hiong juga telah memberi sedikit sumbangan berbentuk wang kepada pusat sumber sekolah.

Guru perpustakaan dan Media SMK Rancha-Rancha En. Sapri bin Idris  berkata program hiasan bertema sempena Tahun Baharu Cina 2020 yang dijalankan oleh Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha ini berkonsepkan 5 dalam 1.

Melalui program tersebut jalinan komuniti dan agensi kerajaan dapat dilakukan. Selain itu pembudayaan literasi maklumat dalam kalangan warga sekolah juga dapat disuburkan. Akhir sekali, amalan sivik melalui nilai kasih sayang dapat dipraktikkan yang akhirnya akan membuahkan perpaduan.

Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha

Cikgu Sapri bin Idris menerima sumbangan kewangan untuk PSS DSDN SMK Rancha-Rancha daripada Tokoh komuniti Dr Chong Vui Hiong
Pemberian angpau kepada pelajar dan pengawas pusat sumber DSDN SMK Rancha-Rancha



Pemimpin Cilik SK Pekan Satu Jadi Suri Teladan

Labuan, 31 Januari 2020 Sekolah Kebangsaan Pekan Satu, W.P. Labuan telah mengadakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Cilik bagi  tahun 2020 di Dewan C.U.N.

Pemimpin Cilik SKPS yang menerima watikah pelantikan seramai 365 orang murid terdiri daripada 130 orang Pengawas Sekolah, 64 orang Pengawas Kebersihan , 15 orang Pengawas RMT, 15 orang Pembimbing Rakan Sebaya, 53 orang Pengawas PSS, 10 orang Pengawas SPBT  dan  78 orang merupakan  Ketua & Penolong Ketua Kelas .

Objektif utama program adalah untuk mewujudkan suatu budaya kepimpinan yang boleh diikuti oleh semua murid.

Majlis Perasmian disempurnakan oleh Guru Besar SK Pekan Satu Puan Anita Shyamini A/P S. Azman. Turut hadir memeriahkan majlis ialah PK Pentadbiran SKPS Encik Airol Azmi bin Abd Gani, PK HEM SKPS Puan Normah Binti Rahimi, PK Kokurikulum SKPS Encik Esmit bin Amat, PK PPKI SKPS Encik Mohd Faisal bin Haji Moin, dan 85 orang guru.

Dalam ucapannya, Puan Anita Syamini mengucapkan syabas dan
tahniah kepada semua Pemimpin Cilik SKPS yang telah berjaya dilantik, ini
kerana murid-murid yang mempunyai kepimpinan sahaja yang dapat memegang
jawatan  agar mampu memimpin rakan-rakan
murid yang lain.

“Pada masa yang sama program ini juga bertujuan agar Pemimpin Cilik SKPS menjadi murid contoh yang berdisiplin, berbudi pekerti, mempunyai jati diri yang tinggi serta sentiasa berbakti kepada guru dan sekolah.”

“Murid-murid lain jangan berkecil hati kerana tidak terpilih pada kali ini tetapi biarlah perkara ini menjadi pembakar semangat untuk terus melakukan tanggungjawab serta kebaikan di sekolah agar pada tahun hadapan kamu turut dilantik menjadi Pemimpin Cilik SKPS ” Puan Anita Syamini

Setelah selesai penyampaian watikah pelantikan kepada Pemimpin Cilik SKPS, Muhammad Bazli Isyraf bin Irwan Shah selaku Ketua Murid memimpin bacaan ikrar Pemimpin Cilik SKPS bagi sesi 2020.

Ketua Murid Muhammad Bazli Isyraf memimpin bacaan ikrar Pemimpin Cilik SKPS bagi sesi tahun 2020.

Penyelaras program, Encik Muhamad Zafar bin Abu Bakar melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada semua terutama kepada Unit Bimbingan dan Kaunseling yang telah berjaya mengadakan majlis pada pagi ini.

Beliau juga berharap agar Pemimpin Cilik SKPS mampu menjalankan tugas-tugas yang telah diamanahkan dengan jujur, amanah, dedikasi dengan penuh tanggungjawab selaras dengan visi dan misi sekolah.

Berita Oleh : SK Pekan Satu




Seramai 221 “LEADERSHIP JUNIOR SKPII” Menerima Watikah Pelantikan

Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Badan-badan Pengawas Sekolah seramai 221 orang yang terdiri daripada Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber Sekolah, Pengawas Kebersihan dan Keceriaan, Pengawas Pembimbing Rakan Sebaya, Pengawas Kantin dan Ketua dan Penolong Ketua Kelas Sekolah telah berlangsung di Pusat Sumber Gemilang SK. Pekan II, WP. Labuan.

Matlamat Majlis Penyampaian Watikah Pengawas ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada pemimpin-pemimpin cilik yang sama-sama bertanggungjawab menjaga disiplin dan sahsiah dalam kalangan murid-murid sekolah ini.

Antara lain objektifnya adalah untuk melahirkan pemimpin pelapis cilik yang bertanggungjawab terhadap tugas-tugas murni yang diamanahkan, selain meningkatkan tahap motivasi murid-murid yang dipilih untuk menjalankan tugas dengan baik.

Ketua Pengawas Sekolah menerima Watikah pelantikan daripada Guru Besar disaksikan oleh Penolong-Penolong kanan

Majlis disempurnakan oleh Guru Besar, Puan Hajah Dayang Hj Md Yassin disertai oleh barisan Penolong Kanan Kurikulum, Penolong Kanan HEM dan Penolong Kanan KoKurikulum.

Lembaga Pengawas Sekolah yang terdiri daripada murid-murid sekolah ini dan mereka akan membantu menjalankan pelbagai aktiviti untuk mencapai matlamat dan objektif sekolah. Dengan cara memberi pengiktirafan sebegini dapat menjentik dan memberi inspirasi serta semangat kepada pemimpin cilik tersebut dengan sepenuh tanggungjawab dan dedikasi supaya mereka dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sebaiknya.

Mereka yang dilantik akan membantu guru-guru melicinkan lagi operasi pemantauan disiplin sekolah, kebersihan kantin dan keceriaan sekolah serta pusat sumber sekolah dan menjadi pembimbing rakan sebaya sekolah.

Selain itu, mereka juga akan melaksanakan tugas-tugas yang berkaitan dengan kepelbagaian bidang tugas pengawas yang telah diamanahkan kepada mereka dan menjalankan aktiviti dalam memberi khidmat bantuan kepada rakan mereka dalam setiap program yang dijalankan.

Pengawas Sekolah bersama Pentadbir dan Guru Pembimbing

Terdahulu dalam ucapannya, Guru Besar mengucapkan terima kasih kepada guru-guru pembimbing kerana berjaya membentuk kredibiliti pemimpin cilik ini.

Syabas dan tahniah kepada semua Pengawas yang menerima watikah pelantikan serta menyeru supaya pengawas menjadi contoh disiplin yang terbaik kepada murid-murid yang lain. selain itu beliau juga berkata pengawas adalah tulang belakang dan pembantu utama guru dalam memastikan pematuhan disiplin semua murid berada pada tahap yang terkawal.

Pihak sekolah berharap jawatan yang diamanahkan kepada mereka akan dapat digalas sebaik-baiknya demi melatih murid-murid menjadi pemimpin teladan yang bersemangat dan berdedikasi, bertanggungjawab serta amanah dalam melaksanakan tugas.

“ Murid-murid yang memainkan peranan sebagai “Leadership Junior” di peringkat sekolah ini adalah merupakan suatu permulaan yang baik kepada mereka untuk menjadi pemimpin yang berwibawa kepada masyarakat pada masa akan datang”. Puan Hajah Dayang Hj Md Yassin

Dalam pada itu juga Guru Besar telah mengumumkan akan memberi kemudahan “Bilik Operasi Pengawas Cilik” (BOPc) iaitu sebuah bilik untuk pengawas menjalankan operasi mereka dalam masa terdekat ini.

Beliau juga menyeru supaya pengawas mempunyai tahap prestasi yang cemerlang dalam pelajaran mereka. Untuk itu mereka perlu pandai mengagihkan masa demi memastikan semua pengawas terus cemerlang dalam pelajaran walaupun pada masa yang sama menjalankan tugas sebagai pengawas.

Berita Oleh : SK Pekan II

Barisan Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas bersama Pentadbir.



Guru Penolong Kanan Hem Bersara Dirai Seperti Raja Sehari

Labuan, 31 Januari 2020 :Persaraan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, Encik Sabar bin Dalimin diraikan dengan meriah dalam satu ‘majlis perkahwinan’ bagi mengenang khidmat cemerlangnya di sekolah itu. Sabar, 60 secara sah menamatkan perkhidmatan pada 31 Januari lalu selepas berkhidmat sebagai guru selama 21 tahun. Pada hari tersebut, beliau mengenakan busana songket berona jingga dan bersulam keemasan.

Rombongan seterusnya bergerak ke Sekolah Kebangsaan Pekan Dua dimana Encik Sabar telah 7berkhidmat di sekolah tersebut pada tahun 201 hingga 2018. Encik Sabar telah dipersembahkan dengan satu persembahan daripada murid-murid SKPD dengan lagu ‘Cinta Terbaik dan Memori Tercipta’ yang begitu menyayat hati dan menggamit memori untuk Encik Sabar sepanjang mendidik di sekolah ini.

Seterusnya perjalanan rombongan diteruskan ke Sekolah Kebangsaan Membedai. Beliau mula berkhidmat di sekolah tersebut pada tahun 2010.  Beliau disambut mesra oleh barisan pentadbir, guru-guru dan murid sekolah disana. Acara menandatangi turut menjadi penyeri sambutan di sana.

Sekolah yang keempat dimana Encik Sabar bertugas pada tahun 2011 di Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan. Beliau disambut oleh barisan pentadbir, guru-guru dan semua murid sekolah. Upacara memotong kek menjadi penyeri sepanjang berada di Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan. Encik Sabar sempat bersalam-salaman dengan bekas murid-murid beliau sepanjang di Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan.

Pergerakan rombongan diteruskan ke Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru dimana sekolah terakhir beliau berkhidmat sebagai seorang Penolong Kanan Hal Ehwal dan seorang pendidik. Belliau sempat berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru pada tahun 2019 hingga kini. Beliau telah disambut dengan meriah. Beliau dikejutkan dengan paluan kompang dan kehadiran isteri tercinta, Puan Esah binti Hussin yang turut mengenakan busana pengantin simbolik pasangan seumur hidup beliau.

Semua
guru mengiringi beliau dan pasangan ke Dewan Sekolah Tanjung Aru. diserikan,
persembahan tayangan multimedia dan penyampaian hadiah daripada kelas-kelas. Beliau
dipersembahkan dengan tayangan montaj sepanjang perkhidmatan beliau sebagai seorang
pendidik sehingga kini. Beliau turut memberikan ucapan terharu dan terima kasih
kepada warga sekolah. 

“ Saya mengucapkan terima kasih kepada barisan guru dan pentadbir yang sanggup bersusah payah mengatur majlis pada hari ini. Kejutan yang paling tidak disangka-sangka kehadiran isteri beliau pada hari ini”. Kata beliau dengan begitu gembira. Selain itu, beliau sempat menitipkan pesanan buat rakan guru yang lain. “ Saya berasa amat sedih kerana terpaksa meninggalkan kerjaya perguruan yang sudah sebati dengan jiwa. Bagaimanapun, saya gembira kerana dapat mendidik anak bangsa menerusi kerjaya sebagai guru. Semoga rakan-rakan yang lain sentiasa bersemangat dalam meneruskan kerjaya sebagai seorang guru dan teruskan komitmen yang jitu.”. katanya




Kehadiran Ibu Bapa Murid SK Sungai Bedaun Dapat Sambutan Memberangsangkan

Labuan, 28 Januari 2020 – Kehadiran ibu bapa murid SK Sungai Bedaun ke Majlis Penutupan Program Transisi dan Guru Penyayang Tahun 1 bagi tahun 2020 pada 17 Januari lalu, mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan catatan kehadiran seramai 71 orang.

Ini menampakkan satu respon positif daripada ibu bapa dalam memberi sokongan kepada aktiviti-aktiviti sekolah yang mana berkait rapat dengan kemenjadian murid itu sendiri.

Guru besar SK Sungai Bedaun, Puan Dg Sarifah A.Mahmod merakamkan ribuan terima kasih atas kesudian para ibu bapa yang hadir meskipun dengan kekangan kerja di luar yang begitu sibuk.

Murid-murid telah menunjukkan bakat masing-masing dengan mempersembahkan beberapa persembahan yang mencuit hati para penonton.

Program Transisi Tahun 1 merupakan satu program yang bertujuan untuk membantu murid-murid menyesuaikan diri dengan keadaan, persekitaran dan pembelajaran yang berbeza daripada alam pendidikan di prasekolah atau tadika.

“ Melalui Program Transisi ini, para guru dapat menyelaras keperluan kognitif, emosi dan jasmani murid-murid secara menyeluruh sebelum memulakan proses pengajaran dan pembelajaran secara formal di Tahun 1. Adalah diharapkan kanak-kanak yang datang dari pelbagai latar belakang sosio ekonomi, persekitaran dan pengetahuan akan dapat menyesuaikan diri dan bersedia meneruskan pembelajaran secara formal.” Ujar Puan Dg Sarifah.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Pegawai Angkat sekolah, Encik Mohamad bin Pindut. Hadir bersama dalam majlis ini ialah Puan Wiwik Iswandari Sudirman, YDP PIBG SK Sungai Bedaun.

Encik Mohamad selaku pegawai angkat sekolah turut berasa gembira atas kerjasama padu yang diberikan oleh ibu bapa SK Sungai Bedaun. Beliau mengharapkan agar para ibu bapa dapat terus menyokong segala usaha sekolah dalam membangun sahsiah serta akademik anak-anak murid.

Murid-murid gembira bergambar bersama Encik Mohamad (empat dari kiri) Puan Dg. Sarifah (tiga dari kiri) , Puan Wiwik (dua dari kiri) , Puan Zubaidah (kiri sekali) dan Puan Mylsa -Guru Kelas (kanan sekali) sambil memegang hadiah masing-masing.

Majlis turut diceriakan dengan pelbagai persembahan menarik daripada kesemua 112 orang murid Tahun 1 yang begitu cilik sekali. Dalam tempoh 3 minggu transisi ini, murid-murid telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran bukan sahaja asas menulis, membaca dan mengira, malahan juga unsur kebudayaan dan kesenian.

Majlis diakhiri dengan sambutan hari lahir murid-murid yang lahir pada Bulan Januari dan sesi pemotongan kek. Sambutan ini adalah di bawah program Bimbingan dan Kaunseling, yang dikendalikan oleh Puan Norsidah Binti Mat Yassin, selaku guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Encik Mohamadmenyampaikan hadiah kepada Adik Muhammad Fahmi Zharfan murid terbaik sepanjang Program Transisi dilaksanakan sambil diperhatikan oleh Puan Dg. Sarifah (dua dari kiri) dan Puan. Wiwik Iswandari(kiri sekali)
Murid-murid yang lahir pada bulan Januari juga diraikan menyambut hari jadi mereka
En. Mohamad Pindut (empat dari kiri) bergambar kenangan sebaik selesai merasmikan majlis Penutupan Minggu Transisi Tahun 1 SKSB . Turut kelihatan Puan Dg. Sarifah (tiga dari kiri) Puan Wiwik (dua dari kiri) Penolong-penolong kanan dan AJK Pelaksana Program



SMK Mutiara Rangkul Dua Anugerah Dalam Simposium dan Ekspo Kaunseling Peringkat Kebangsaan

Labuan, 29 Januari 2020 – SMK Mutiara telah dianugerahkan dua pengiktirafan dalam Simposium dan Ekspo Kaunseling Serta Pembangunan Sahsiah Murid  Peringkat Kebangsaan Kali ke-6 yang telah berlangsung pada 11 sehingga 13 November 2019 di Infrastructure University Kuala Lumpur.

Anugerah berjaya diperolehi oleh Unit Hal Ehwal Murid SMK Mutiara atas penarafan cemerlang kebangsaan dalam kategori Pengurusan Sahsiah Terpuji Gemilang (Sekolah Menengah). Satu lagi anugerah yang diterima ialah dalam kategori Perkhidmatan Kaunseling Cemerlang (Sekolah Menengah).

Kedua-dua anugerah disampaikan oleh Pengarah Pendidikan W.P.Labuan, Encik Raisin Saidin pada 16 Januari 2020 sempena majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), Sungai Lada.

Program ini dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai acara tahunan untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam pengurusan kaunseling sekolah-sekolah di Malaysia.

Penolong Kanan HEM SMK Mutiara, Encik Hisham Abdul Aziz ketika ditemui berkata pengiktirafan yang diterima adalah sangat bermakna kerana secara langsung pihak kementerian telah mengiktiraf usaha-usaha dan amalan-amalan terbaik sekolah ini dalam menangani masalah disiplin dalam kalangan murid-murid yang berisiko.

Beliau turut menyingkap sejarah pada tahun 2016 di mana SMK Mutiara telah dikategorikan sebagai sekolah Hotspot Salah laku Disiplindi Wilayah Persekutuan Labuan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Bermula daripada itu, pihak sekolah telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menangani masalah disiplin dalam kalangan murid-murid. Antara program yang terhasil ialah Suluhkan Sinar iaitu program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di mana agensi-agensi kerajaan dan swasta turut dilibatkan dalam program sekolah khusus untuk memberi khidmat bantu dan bimbingan mengikut kepakaran masing-masing.

“Kes salah laku disiplin murid ditangani secara berfokus dan berperingkat. Murid-murid yang tidak dapat ditangani melalui sesi kaunseling individu dan berkelompok akan diserapkan di dalam Kem Suluhkan Sinar. Jika murid-murid masih tidak menunjukkan perubahan disiplin diri yang positif, mereka akan diserap masuk ke dalam program Cabaran Suluhkan Sinar (The Good Behavior Game)” jelasnya lagi.

Encik Raisin Saidin menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Encik Mohd Nizam sambil diperhatikan oleh Ustaz Syahir dan Encik Azryn

Program ini telah dibiayai secara konsisten oleh agensi kerajaan dan swasta sejak tahun 2016 sehingga kini. Penganjuran sulungnya pada tahun 2016 telah dibiayai sepenuhnya oleh Isar Group.

Seterusnya program ini turut mendapat sokongan daripada Pejabat Ahli Parlimen Labuan dan agensi-agensi kerajaan di Labuan seperti Perbadanan Labuan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), PEMADAM, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertanian, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pusat Koreksional, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Turut memberi sokongan dan bantuan ialah tentera udara dan darat yang berpangkalan di Labuan, Education Performance and Delivery Unit (PADU), Koperasi SMK Mutiara Berhad dan PIBG SMK Mutiara.

Pelibatan pelajar-pelajar UMS KAL, Labuan Combat Gym dan Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK) adalah sebagai nilai tambah bagi memantapkan program ini.

“Klinik Psikiatri Jabatan Kesihatan turut mengguna pakai data murid-murid berisiko di bawah kawalan Unit Bimbingan dan Kaunseling, SMK Mutiara sebagai data sokongan dalam mengenal pasti murid-murid yang perlu dibantu. Mereka yang diserap masuk ke dalam program Cabaran Suluhkan Sinar telah dibimbing oleh tiga orang doktor psikiatri dan Majlis Perwakilan Pelajar UMS KAL. Pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan pula bertindak sebagai pemudah cara” ujar Encik Hisham lagi.

Keupayaan SMK Mutiara menggembleng tenaga dan sumber-sumber tempatan dalam menangani kes-kes salah laku disiplin di sekolah telah menjadi inspirasi kepada Perbadanan Labuan untuk mengangkat program ini ke peringkat negeri.

Program ini telah dijenamakan semula sebagai TANGKIS ( Tak Aku Nak Gagal Kali Ini dan Selamanya) sesuai dengan usaha gigih pihak sekolah dan komuniti yang tidak jemu dalam menangani kes-kes salah laku disiplin dalam kalangan murid-murid di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Setiap murid berhak mendapat peluang kedua dan semoga ada sinar yang terang menunggu di hujung terowong yang gelap” kata Encik Hisham menutup perbualan mengulas kejayaan SMK Mutiara merangkul dua anugerah peringkat kebangsaan Tahun 2019.

Berita Oleh : SMK Mutiara




370 Murid Jayakan Kejohanan Merentas Desa SK Sungai Bedaun 2020

Labuan, 28 Januari 2020 – SK Sungai Bedaun telah menjayakan kejohanan merentas desa peringkat sekolah pada 22 Januari lalu yang disertai oleh seramai 370 orang peserta terdiri daripada murid tahun 3,4,5 dan 6. Ibu bapa dan komuniti turut serta memeriahkan kejohanan tersebut.

Laluan larian merentas desa ini melibatkan persekitaran Kampung Sungai Bedaun dan Taman Mutiara sejauh 4 KM. Sebelum acara larian, sesi memanaskan badan dijalankan di Dewan Permata SK Sungai Bedaun.

Guru Besar, Puan Dg Sarifah bt A.Mahmod dan YDP PIBG melepaskan murid untuk berlari pada jam 8 pagi. Pelepasan peserta didahului oleh murid perempuan kemudian diikuti oleh murid lelaki.

Semua guru terlibat dalam menjayakan program ini, beserta ibu bapa yang berkelapangan. Pegawai polis trafik juga terlibat untuk mengawal lalu lintas sepanjang program ini.

Pentadbir SK Sungai Bedaun bersama murid-murid perempuan yang mendapat tempat pertama hingga kesepuluh dalam Pertandingan Merentas Desa peringkat SK Sungai Bedaun 2020

Sebelum larian
merentas desa dimulakan Penolong Kanan Kokurikulum En. Mohamad Aizam Abdul
Rahim telah  menyampaikan taklimat
keselamatan kepada semua peserta.

Melalui
program ini, semangat perpaduan dapat disemai dalam kalangan murid, serta
pembudayaan gaya hidup sihat merupakan objektif program ini.

Pingat Emas bagi Acara Merentas Desa peringkat SK Sungai Bedaun pada Tahun 2020 diungguli oleh adik Pengiran Muhammad Shahrizal bin Pg Masri dari rumah Kasawari (Biru) dan Nur Washfasha binti Gapor dari rumah Garuda (Hijau) bagi Kategori Perempuan.

Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang berjaya menamatkan larian.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Pengiran Muhammad Shahrizal bin Pg Masri dari rumah Kasawari (Biru) dan Nur Washfasha binti Gapor dari rumah Garuda (Hijau )Johan Merentas Desa 2020 Lelaki dan Perempuan
Penglibatan ibu bapa dalam Acara Merentas Desa , Turut serta Pn Wiwik iaitu YDP PIBG SKSB(empat dari kiri) bersama guru-guru yang bertugas di setiap stesen check point
Pegawai Polis Trafik yang terlibat dalam memastikan kelancaran
Program Merentas Desa
Para guru yang bertugas di Stesen Air menyediakan minuman untuk para peserta merentas desa