Jalinan Pintar JPWPL dan KUPU, Brunei Darussalam

Labuan, 23 Julai – Jalinan kerjasama pintar yang telah terjalin bermula Januari 2019 yang lalu menjadi wadah kepada kerjasama berterusan antara Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama (KUPU) Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam.

Lawatan kerja perkongsian komuniti pembelajaran professional dalam inovasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) para pensyarah dan pelajar KUPU bermula 22hb sehingga 25hb Julai merupakan peluang yang sangat berharga kepada warga pendidik di Wilayah Persekutuan Labuan.

Rombongan seramai 17 orang ini diketuai oleh Pensyarah KUPU, Ustaz Dr Zulkifli bin Haji Zakaria.

Dalam beberapa siri lawatan ke sekolah, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin telah diwakili oleh Puan Khaziyati Osman, Ketua Sektor Jaminan Kualiti, merangkap Pengurus Program.

Antara sekolah yang dilawati oleh KUPU ialah SK Sungai Bedaun, SK Bebuloh, SK Pantai, SK Tanjung Aru, SMK Taman Perumahan Bedaun. Sekolah-sekolah ini merupakan sekolah yang terlibat dengan Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25).

Para Pelajar dan guru didedahkan dengan bahan inovasi yang dihasilkan oleh pensyarah dan pelajar KUPU
Lawatan Perkongsian Inovasi PdP KUPU ke SK Bebuloh

Rombongan juga turut melawat Sekolah Menengah Agama, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (SMA MAIWP Labuan) dan membuat sesi perkongsian bersama guru Pendidikan Islam di Wilayah ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persektuan Labuan, Encik Raisin Saidin mengalu-alukan semua ahli rombongan ke pulau yang indah ini untuk lawatan kerja perkongsian pembelajaran melalui inovasi dan kreativiti pedagogi yang boleh memberikan kepelbagaian bentuk alat inovasi yang boleh membantu guru-guru di Wilayah Persekutuan Labuan.

Inovasi merupakan tindak kerja untuk membina satu perkara atau hasil yang baharu atau membuat satu pembaharuan. Dalam hal ini, sebarang inovasi yang dihasilkan dapat menyemarakkan idea kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah bagi guru serta pengurusan berkesan kepada pemimpin dan pengurus di jabatan dan sekolah.

“Sehubungan dengan kehadiran rakan-rakan pendidik daripada negara Brunei Darussalam, bukan hanya dapat berkongsi kemahiran berinovasi dan berkreativiti dalam pendidikan, malah dapat mengukuhkan silaturrahim yang telah sedia terjalin”. Encik Raisin Saidin

Encik Raisin Sadin tertarik mendengar penerangan mengenai Inovasi KUPU oleh Ustaz Haji Roslan

Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Puan Khaziyati binti Osman berkata perkongsian ini akan memberi peluang kepada sekolah dan guru-guru Pendidikan Islam untuk menimba ilmu inovasi PdP yang pastinya boleh menambah kemahiran guru sedia ada.

Sementara itu, Ustaz Dr Zulkifli bin Haji Zakaria selaku ketua rombongan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan di atas sambutan dan layanan yang cukup istimewa kepada ahli rombongan.

Besarlah harapan beliau agar lawatan kerja pendidikan ini dapat mengukuhkan lagi jalinan pendidikan antara Malaysia dan Brunei Darusalam serta diberkati dengan silaturrahim berterusan.

Puan Khaziyati (4 dari kiri) dan Ustaz Dr Zulkifli bersama Ketua-Ketua Sektor, Pegawai JPWPL dan Para Pensyarah serta pelajar-pelajar KUPU ketika lawatan ke Jabatan Pendidikan WP Labuan

Sekitar Perkongsian Pintar inovasi KUPU bersama guru-guru Pendidikan Islam di Wilayah Persekutuan Labuan

Sekitar Perkongsian Pintar inovasi KUPU bersama guru-guru dan murid-murid SK Sungai Bedaun




Program Adikku Sayang Membentuk Jatidiri Remaja Muslim

Labuan, 21 Julai : Seramai 50 murid SMK MUTIARA dan 10 murid SMK LABUAN telah terpilih mengikuti kursus membina jatidiri remaja muslim bertempat di SMK MUTIARA dari 19 hingga 21 Julai 2019.

Program yang dikenali sebagai Adikku Sayang… Sayangi Masa Depanmu ini adalah anjuran SMK MUTIARA dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) WP Labuan . Antara objektifnya adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran remaja Islam dalam menangani isu dan cabaran masa kini.

Beberapa penceramah dan fasilitator telah dijemput untuk membuat perkongsian terbaik melalui sesi ceramah dan aktiviti perbengkelan. Antaranya ialah Ustaz Shahirul bin Abdullah daripada Kolej Matrikulasi Labuan, Cikgu Firdaus Lee Abdullah dari SMK Mutiara dan Ustaz Kapten Kamarulzaman Mat Isa daripada KAGAT TUDM Labuan.

Ustaz Shahirul sedang mengendalikan sesi ceramah

Ketika ditemui, Ustaz Zainal Wahab selaku penyelaras program telah melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak JAWI WP Labuan kerana telah menyediakan peruntukan kepada pihak sekolah untuk menganjurkan program-program berbentuk pembinaan insaniah ini.

Peruntukan telah digunakan sebaiknya terutamanya dalam membentuk remaja muslim seiring dengan perubahan cabaran semasa. Beliau juga merasakan bertuah kerana SMK Mutiara telah terpilih oleh pihak JAWI WP Labuan untuk menjalinkan kerjasama erat dalam pembangunan modal insan muslim bermula dari alam remaja.

Program yang berlangsung selama 3 hari ini telah berjaya meningkatkan semangat dan motivasi diri para peserta yang terdiri daripada murid-murid tingkatan 3 hingga 5, Kelas Aliran Agama SMK Mutiara dan peserta jemputan dari tingkatan 3, SMK Labuan.

Mengulas lanjut perkara ini, Ustaz Mohd Zulaini Yaacob, Penolong Pengarah Kanan JAWI WP Labuan berkata pihaknya komited dalam menjalin kerjasama dengan sekolah- sekolah di wilayah ini. Sebenarnya inilah hasrat pihak JAWI W.P. Labuan iaitu memberikan kefahaman yang jelas tentang Agama Islam secara menyeluruh bermula dari bangku sekolah lagi. Semoga kerjasama erat ini dapat berterusan pada masa akan datang.

Adik Rahidun Bin Asri dari kelas 5 Ibnu Sina yang juga penghulu kursus telah diumumkan sebagai peserta terbaik lelaki manakala adik Nurul Ain Haziqah Binti Mohd Rashidin dari tingkatan 4 Ibnu Khaldun telah dipilih sebagai peserta terbaik wanita.

Salah satu aktiviti sepanjang kursus Adikku Sayang…. Sayangi Dirimu

Penutupan kursus telah disempurnakan oleh Encik Mohd Nizam bin Yasim, pengetua SMK Mutiara. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan tentang cabaran-cabaran bentuk baharu yang perlu ditangani dengan oleh remaja muslim masa kini. Setiap individu perlu bersedia untuk membuat perubahan dan melengkapkan diri masing-masing dengan kemahiran insaniah terutama dalam menangani arus Revolusi Industri 4.0.

Semoga jalinan kerjasama yang erat antara pihak JAWI WP Labuan dan SMK Mutiara ini dapat melahirkan modal insan yang unggul peribadi dan budi pekerti sebagai Muslim sejati.

Turut hadir dalam majlis penutupan kursus ini ialah Puan Siti Aminah Binti Zakaria, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Mutiara,Ustaz Mohd Basri Bin Mahadi, pegawai JAWI WP Labuan, En. Mohd Zahriman bin Ahmad, wakil PIBG SMK Mutiara, Ustazah Siti Sarah Abdul Majid, Ketua Panitia Pendidikan Islam SMK Mutiara, pegawai- pegawai JAWI WP Labuan dan ahli jawatankuasa kerja Program Adikku Sayang…Sayangi Masa Depanmu.

Pihak sekolah berharap agar sumbangan dan bantuan berterusan daripada pelbagai pihak untuk meningkatkan kemenjadian murid dan kualiti sekolah selaras dengan Anjakan ke-9, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Encik Mohd Nizam menyampaikan cenderahati kepada Ustaz Zulaini



Charity Run dan Fun Walk SMK Mutiara Promosi Cara Hidup Sihat Sambil Menyumbang

Labuan – SMK MUTIARA dengan kerjasama PIBG sekolah telah menganjurkan acara Charity Run dan Fun Walk pada 20 Julai 2019 sebagai suatu wadah promosi gaya hidup sihat dan pada masa yang sama menyumbang kepada tabung PIBG sekolah.

Acara yang bermula mulai jam 6 pagi telah berjaya menghimpunkan 338 peserta pelbagai peringkat umur dari dalam dan luar Labuan. Ada peserta yang datang dari Inanam, Tenom dan Keningau semata-mata untuk menyertai acara yg julung-julung kali dianjurkan oleh PIBG SMK MUTIARA ini.

Pelepasan peserta acara Charity Run telah dilakukan tepat jam 6.30 pagi oleh YB Datuk Rozman Isli, Ahli Parlimen Labuan. Manakala pelepasan acara Fun Walk telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan W. P. Labuan, Encik Raisin Saidin 5 minit kemudian.

Sebelum pelepasan, semua peserta telah mengikuti sesi senam robik yang turut disertai oleh YB Datuk Rozman Isli dan Encik Raisin Saidin. Ketika ditemui, YB Datuk Rozman melahirkan rasa bangga atas penganjuran pelbagai aktiviti di pulau ini oleh pelbagai agensi. Pihaknya sentiasa akan memberi sokongan kepada program-program sebegini kerana ia memberi manfaat terutamanya dalam menjalani kehidupan sihat.

Acara Fun Walk disertai oleh pelbagai peringkat umur

Pengarah Pendidikan, En Raisin Saidin mengucapkan tahniah kepada penganjuran acara ini yang berjaya menarik peserta dari dalam dan luar Labuan. Hal ini  menunjukkan acara ini bukan sahaja mampu meningkatkan kutipan tabung PIBG malah memberi impak positif kepada sektor pelancongan di pulau mutiara laut cina selatan ini.

Dalam acara Charity Run sejauh 9km kategori terbuka lelaki telah diungguli oleh pelari dari Inanam, Sabah iaitu Aizan Safizan bin Ahmad dengan catatan masa 38 minit 51 saat. Aizan membawa pulang hadiah wang tunai RM300 dan sijil kemenangan. Manakala tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dimenangi oleh Rayner Jumid dan Benry Betty.

Dalam kategori terbuka wanita pula, johan disandang oleh peserta remaja dari Tenom,  adik Melshira Jumid. Adik Melshiera berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM300 dan sijil kemenangan dengan catatan masa 49 minit dan 35 saat mengatasi pelari tempat kedua dan ketiga iaitu Stella Suib dan Jessica Suib.

Acara kali ini turut dimeriahkan dengan 54 cabutan bertuah. Hadiah-hadiah kemenangan telah disampaikan oleh YDP PIBG SMKM, Puan Liza anak Didi dan Pengetua SMK MUTIARA, Encik Mohd Nizam bin Yasim.

Ketika mengulas kejayaan penganjuran kali pertama ini, Puan Liza mengucapkan terima kasih kepada AJK Pelaksana yang berjaya menarik penyertaan oleh pelbagai peringkat umur dari dalam dan luar Labuan. Acara ini harus dilihat sebagai menifestasi kerjasama erat dalam kalangan guru, ibubapa dan masyarakat dalam menjana kecemerlangan murid dalam pelbagai bidang. PIBG SMK Mutiara juga akan sentiasa berusaha dalam meningkatkan keupayaan kewangan bagi membantu sekolah menjayakan aktiviti-aktiviti pendidikan.

Berita Oleh : Cikgu Mohd Nizam Yasim, Pengetua SMK Mutiara

Penyampaian Cenderahati kepada YB Datuk Rozman oleh YDP PIBG, Puan Liza Didi
Adik Melsheira mengungguli kategori wanita terbuka 9 km



Program Kem Bestari Solat : Jalinan Sukarelawan Dalam Kelas (SdK) antara SK Pekan Dua dan Maahad Tahfiz Merinding

Labuan : Pelibatan semua pihak yang berkepentingan akan mewujudkan ekosistem pembelajaran yang memperkukuhkan pengajaran ilmu, kemahiran dan nilai tambah yang diajar kepada murid-murid di sekolah. Jesteru pelibatan Ibu Bapa sebagai sukarelawan dalam Kelas (SdK) Inisiatif #66: Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti dalam ekosistem sekolah (PIBK) amat dialu-alukan.

Melalui program Kem Bestari Solat SK Pekan Dua anjuran Panitia Pendidikan Islam buat julung kalinya telah menjalin khidmat Sukarelawan dalam Kelas (SdK) bersama-sama Pelajar Maahad Tahfiz Merinding yang telah dilaksanakan dengan jayanya, baru-baru ini.

Jalinan rangkaian komuniti ini sebagai rakan yang mampu memberi sumbangan kepakaran untuk kemajuan sekolah dalam membangunkan modal insan dan  dapat meningkatkan prestasi sekolah dan sebagai rakan dalam membantu pembelajaran murid-murid.

Guru Besar dan Pentadbir SKPD meraikan kehadiran Maahad Tahfiz Merinding

Antara objektif Kem Bestari Solat (KBS) diadakan supaya murid-murid dapat menguasai cara-cara mengambil wuduk dengan cara yang betul dan dapat memahami segala  perbuatan wuduk, memahami segala perbuatan solat, sama ada dari segi rukun, syarat-syarat sah solat, perkara sunat dan juga perkara yang membatalkan solat serta melaksanakan solat dengan sempurna, yakni sama ada secara individu mahupun berjemaah.

Murid juga didedahkan kepada kaedah menguasai bacaan dan mengaplikasikannya ketika solat, seterusnya ini dapat memastikan murid-murid menunaikan solat dengan sempurna dari segi bacaan dan perbuatan serta seronok serta suka melaksanakan ibadat.

Aktiviti ini dilaksanakan secara intensif dan murid-murid di tempatkan di beberapa lokasi seperti di Surau, di Pusat Sumber, dataran perhimpunan dan dewan kantin sekolah serta bilik-bilik khas mengikut kumpulan.

Sambutan Kem Bestari Solat untuk kali pertama bersama pelajar Maahad Tahfis ini mendapat sambutan yang membanggakan daripada semua guru dan semua murid Tahun 1 hingga Tahun 6.

Dalam menjayakan program ini, seramai 2 orang ustaz dan 8 orang pelajar Tahfiz bergabung tenaga sebagai tenaga pengajar dengan Guru Pendidikan Islam SK Pekan Dua.

Dalam pada itu Puan Hajah Dayang Bt Hj Md Yassin selaku Guru Besar SK Pekan Dua menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini sehingga berjalan dengan lancar dan berharap program kerjasama ini dapat mengeratkan hubungan sesama guru-guru dan memperkukuhkan lagi semangat kerja berpasukan antara guru-guru di SK. Pekan Dua WP. Labuan ini dengan Pelajar Maahad Tahfiz Merinding dalam erti kata yang sebenar “Together We Are Stronger”.

Berita Oleh : SK Pekan Dua

LDK bacaan solat di Surau SK Pekan Dua



Program Motivasi Ibu Bapa dan Murid Tahun 6 ‘Ibu Bapa Hebat, Murid Cemerlang’ SKK Rancha Rancha

Labuan, Sabtu – Sekolah
Kebangsaan Rancha-Rancha (Sekolah Kluster Kecemerlangan) mengadakan Program
Motivasi Ibu Bapa dan Murid Tahun 6 ‘Ibu Bapa Hebat, Murid Cemerlang’ pada 20
Julai 2019 bertempat di Dewan Kuliah, Universiti Malaysia Sabah. Program ini disertai
seramai 42 orang murid calon UPSR bersama ibu bapa masing-masing dan guru -guru
SK Rancha-Rancha, Wilayah Persekutuan Labuan.

Penceramah jemputan program motivasi ini ialah Encik Hendri bin Hamsah yang merupakan perunding latihan yang sangat berpengalaman dalam bidang ceramah dan motivasi. Beliau mempunyai kemahiran dalam penyampaian yang mendekati para peserta program secara santai tetapi penuh dengan tuntutan rohani.

Program ini merupakan
kesinambungan program tahunan yang telah dirancang bagi mengukuhkan keyakinan
diri, memberi kesedaran dan memantapkan persediaan mental dan fizikal
murid-murid sebelum menghadapi UPSR pada September 2019. Selain itu, objektif
program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada semua ibu bapa dalam
menangani masalah dan isu yang berkaitan dengan anak mereka di saat-saat akhir
sebelum bermulanya UPSR.

Guru Besar SK Rancha-Rancha, Norinnie binti Kassim dalam ucapannya berharap agar program ini dapat memberi impak kepada semua ibu bapa dan murid yang menyertai program ini. Beliau juga berharap melalui perkongsian ilmu dan pengalaman penceramah akan dapat membantu para ibu bapa dan penjaga serta murid-murid Tahun 6 dalam membina kesediaan mental, emosi dan fizikal untuk menempuh peperiksaan UPSR yang bakal tiba.

Norinnie mengucapkan terima kasih di atas kehadiran ibu bapa dalam menyertai Program Motivasi Ibu Bapa dan Murid Tahun 6 ‘Ibu Bapa Hebat, Murid Cemerlang’. Beliau juga berharap peserta program dapat memanfaatkan segala ilmu yang diperolehi atau dipelajari sepanjang tempoh program ini dijalankan. Kejayaan program ini bergantung kepada komitmen ibu bapa, murid-murid dan guru-guru. Oleh itu diharapkan program ini dapat membina empayar kejayaan bagi semua yang terlibat.




MPSM Labuan Tuan Rumah Bengkel Kerja Profesional MPSM Peringkat Kebangsaan

Labuan, 19 Julai – Wilayah Persekutuan Labuan telah dipilih menjadi lokasi Bengkel Profesional Pengetua, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Kebangsaan Bil.1/2019 dari 16 hingga 18 Julai 2019.

Bengkel yang menghimpunkan 25 exco tertinggi MPSM dari seluruh negara ini telah diadakan di salah sebuah hotel di pusat bandar.

Antara matlamat bengkel ialah menyediakan kertas-kertas cadangan bagi meningkatkan dan memartabatkan profesion keguruan secara komprehensif.

Kertas-kertas cadangan ini akan dimajukan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk perbincangan dan tindakan selanjutnya.

Yang DiPertua MPSM Kebangsaan, Dato’ Hj Sabuddin bin Hj Sani berkata Kementerian Pendidikan sentiasa terbuka untuk menerima cadangan daripada mana-mana pertubuhan dalam memartabatkan agenda pendidikan negara. Peluang ini perlu digunakan sebaik-baiknya demi kemenjadian anak-anak murid seluruh negara.

Selain itu, delegasi ini juga dibawa melawat tempat-tempat menarik di Labuan sebagai sebahagian daripada aktiviti mempromosikan Labuan sebagai destinasi pelancongan terbaik. Kompleks Sukan Laut Labuan menjadi lokasi pertama lawatan. Lokasi lain yang dilawat ialah Kompleks Ujana Kewangan dan Pasar Sentral UTC.

Di akhir sesi lawatan para delegasi di bawa melawat Pantai Layang-Layangan yang juga merupakan pantai untuk menikmati pemandangan indah matahari terbenam. Bagi ahli delegasi yang pertama kali datang ke Labuan, mereka melahirkan rasa kagum atas kecantikan dan kebersihan pulau bebas cukai ini.

Para delegasi turut diraikan dalam satu majlis makan makan di salah sebuah restoran di pusat bandar.

Encik Raisin Saidin menyampaikan cenderahati dari JPWPL kepada YDP MPSM Kebangsaan, Dato’ Hj Sabuddin

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin bin Saidin hadir meraikan delegasi MPSM kebangsaan.

Dalam ucapannya, Encik Raisin Saidin melahirkan rasa bertuah dan berterima kasih kerana MPSM Kebangsaan telah memilih Labuan menjadi lokasi bengkel profesional kali ini, seterusnya dapat menjana ekonomi di Labuan.

“Kedatangan MPSM kebangsaan ini juga, sudah tentu membantu merancakkan sektor pelancongan Labuan seterusnya menjana ekonomi Labuan”. Encik Raisin Saidin

Beliau turut berharap agar kerjasama antara MPSM Kebangsaan dan MPSM Labuan memberi manfaat terutamanya dalam meningkatkan kualiti sekolah.

Berita Oleh : Cikgu Mohd Nizam Yasim, Pengetua SMK Mutiara

Encik Raisin Saidin meraikan delegasi MPSM Kebangsaan dalam majlis makan malam



Perhimpunan Bulanan JPWPL, Julai 2019 : Data Kita Tanggungjawab Kita

Labuan, 18 Julai – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah melancarkan Sambutan Bulan HRMIS Peringkat Negeri yang telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan, Encik Raisin Saidin pada Perhimpunan Bulanan JPWPL bertempat di BTPN Labuan, kelmarin.

Bulan Julai telah dijadikan Bulan HRMIS peringkat kebangsaan bagi mempromosi HRMIS, berkongsi maklumat serta permasalahan, meningkatkan ketepatan data HRMIS dan memperluaskan penggunaan Business Intelligence (BI) dalam analisis data HRMIS.

Encik Raisin Saidin berkata semua pemilik kompetensi (Competency Owner/ CO) perlu memastikan data masing-masing dalam HRMIS sentiasa dikemaskini, tepat dan berintegriti.

Ketepatan dan kesahihan data dalam HRMIS adalah tanggungjawab masing-masing. Saya menyeru semua warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan untuk bertanggungjawab dengan data yang terdapat dalam HRMIS seperti tagline Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Data Kita, Tanggungjawab Kita. Encik Raisin Saidin

Beliau juga menzahirkan kegembiraan dan tahniah di atas kejayaan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dengan meraih 5 bintang Anugerah Kecemerlangan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) HRMIS bagi tahun 2018.

Anugerah 5 Bintang HRMIS 2018 disampaikan kepada Pegawai Meja Puan Ajiejah

Dalam masa yang sama, Encik Raisin Saidin mengingatkan semua warga pendidikan, masih ada ruang penambahbaikan dalam HRMIS terutama memastikan data adalah sahih dan terkini.

Di majlis yang sama telah diadakan taklimat Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Labuan, penyampaian sijil kepada sekolah, surat kenaikan pangkat, sijil dan cenderamata, staff of the month dan sambutan Hari Lahir bagi bulan Julai 2019.

Cikgu Roziah Abdul Rahman, guru SM St Anthony telah diangkat sebagai Adiwira Guru Labuan bagi bulan Julai 2019.

Sambutan Hari Lahir Warga Pendidikan Labuan yang lahir pada bulan Julai
Encik Christopher menerima sijil kenaikan pangkat daripada Encik Raisin Saidin
Puan Khaziyati menyampaikan goodies Hari Lahir kepada Encik Raisin Saidin
Encik Azizi menerima sijil Staff Of The Month bagi bulan Julai 2019



SMK Labuan Juara Hoki Lelaki Bawah 18 Tahun MSS WP Labuan

Labuan – SMK Labuan dinobatkan sebagai juara kategori Lelaki Bawah 18 di Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan (MSSWP) Labuan (4’S Modified Game) yang berlangsung di gelanggang Serbaguna Terbuka SK Bukit Kallam pada 11 hingga 13 Julai.

Pada perlawanan akhir, SMK Labuan berjaya menebus kekalahan 0-1 di peringkat liga di tangan SM Sains Labuan setelah menang bergaya dengan keputusan 5-0.

Adik Mohd Noorhakimin Noorashikan dari SMK Labuan muncul penjaring terbanyak dengan 4 gol.

Perlawanan yang diadakan secara liga dalam satu kumpulan itu menyaksikan dua pasukan teratas iaitu SM Sains Labuan dan SMK Labuan layak ke perlawanan akhir.

Terdahulu, pada peringkat liga, SMK Labuan mengalahkan SMK Pantai IBWS 4-0, seri dengan SMK Mutiara 0-0 dan tewas di tangan SM Sains Labuan (SM Sains Labuan) 0-1.

Kejohanan pada kali ini dikelolakan oleh SMK Labuan serta Jawatankuasa Teknik dan Pembangunan Sukan Hoki Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan.

Hadiah berbentuk medal, trofi dan sijil disampaikan oleh Ketua Unit Sukan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Ag Mohd Zain Ag Anak.

Mohd Noorhakimin menerima anugerah penjaring terbanyak daripada Encik Ag Mohd Zain diperhati oleh Encik Ismail dan Encik Mohd Afendi

Turut hadir, Pengetua SMK Labuan Ismail Abdullah yang juga pengerusi pengelola kejohanan dan Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan Hoki MSSWPL Encik Mohamad Affendi Abas.

Pengadilan sepanjang kejohanan itu dibantu oleh ahli Kelab Hoki WP Labuan.

Sementara itu, Encik Ismail berharap agar SMK Labuan dapat meneruskan kejayaan dalam sukan hoki ini pada tahun-tahun akan datang termasuk bagi kategori perempuan.

“Tahniah buat pemain dan jurulatih pasukan hoki lelaki yang menjuarai kejohanan itu. Saya berharap kejayaan itu akan dituruti oleh pasukan hoki perempuan,” katanya selepas perlawanan akhir dilangsungkan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada PIBG yang memberi sokongan dan bantuan kepada pembangunan sukan SMK Labuan termasuk sukan hoki.

Berita Oleh : SMK Labuan




Pesta Pantun Sekolah-Sekolah Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2019

Labuan, 10-12 Julai 2019 – SK Pekan Satu dinobatkan sebagai naib johan Pesta Pantun sekolah-sekolah peringkat Wilayah Persekutuan Labuan. Pesta pantun yang berlangsung selama tiga hari, berkampung di SMK Pantai Labuan, berjaya mencungkil malah mengilap bakat, kretiviti dan kritis serta kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) secara spontan dikalangan murid SKPS.

Dari kiri barisan hadapan Nur Uzma Khairunnisa, Iman Khayra Binti Haniz. Dari kiri barisan belakang
Alya Mahirah, Nur Amna Amierra

Seramai lima orang
peserta Pesta Pantun cili api SKPS
yang diwakili oleh adik Nurul Arifah Binti Sazali Rithouddin (5 Genius), Nur
Amna Amierra Binti Amiruddin (5 Genius), Alya Mahirah Binti Wahid (5 Genius), Nur
Uzma Khairunnisa Binti Ahmad (5 Genius) dan Iman Khayra Binti Haniz (5 Genius).
Semua peserta Pesta Pantun SKPS ini adalah dibawah bimbingan Pn. Masnah Ali
Hussin, Cik Nuradilah Binti Sami dan Cik Suriana Abdul Kadir selaku jurulatih
utama dan guru pengiring peserta SKPS.

Kejayaan peserta pantun SKPS
meraih kedudukan naib johan dalam Pesta Pantun ini membuktikan bahawa
murid-murid SKPS gagah memberikan saingan gerun
malahmenggugat kedudukan 14  buah
sekolah lain yang turut menyertai Pesta Pantun tahun ini. Berkat kesungguhan
dan kegigihan guru-guru pembimbing membuktikan bahawa bakat dan kehandalan
murid-murid SKPS sukar disangkal dan sudah semestinya akan terus digilap dari
rebungnya bak kata pepatah melayu “melentur
buluh biar dari rebungnya”.

 Ibarat harimau yang mengaum guru-guru SKPS pastinya
akan melipat gandakan usaha, serta sentiasa menyuntik pengetahuan, kaedah,
teknik yang bersifat intelektual. Anjakan demi anjakan akan sentiasa
dilestarikan malah pelbagai diagnosis akan dilakukan oleh
para guru sebagai alternatif sesuai dengan kehendak dan perkembangan Pesta
Pantun pada masa akan datang.

Terima kasih atas sokongan padu Guru Besar SKPS  Pn Anita Syahmini Binti S Azman, Barisan penolong kanan pentadbiran dan seluruh warga SKPS kerana sentiasa memberi sokongan serta galakan kepada peserta SKPS sepanjang Pesta Pantun di jalankan. Selaku Guru Besar SKPS, Pn Anita Syahmini yakin kejuaraan Pesta Pantun dalam genggaman SKPS pada tahun hadapan.

Gambar peserta Pesta Pantun SKPS bersama PK Kokum En Esmit bin Amat dan jurulatih

Secara konklusinya, alternatif yang dinamis akan diteruskan
untuk meraih kejuraan dalam apa juga pertandingan yang akan disertai oleh
murid-murid SKPS. Guru-guru SKPS sudah pasti menjadi saluran failitator kepada murid-murid dan
sentiasa bersiap siaga untuk menyahut cabaran sebagai pencabar utama dalam apa
juga pertandingan di peringkat Wilayah Persekutuan Labuan. Usaha tangga
kejayaan pasti membuah kan hasil yang lumayan. Syabas dan tahniah kepada
peserta pesta pantun SKPS!!!




Pemimpin Sekolah Labuan Menghadiri Kursus Speed-Up Anjuran IAB

Labuan, 13 Julai – Seramai 34 orang pemimpin sekolah rendah di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan menghadiri kursus Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SPeeD-uP) yang dikelolakan oleh Institut Aminuddin Baki (IAB) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Labuan pada 9 hingga 11 Julai di Bilik Benua, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN).

Program Pembangunan Prestasi Sekolah bertujuan untuk meningkatkan pencapaian sekolah dalam pelbagai bidang, menganjakkan sekolah ke tahap yang lebih baik seterusnya menjadikan sekolah sebagai pusat kecemerlangan pendidikan. 

Kursus selama tiga hari tersebut dikendalikan oleh pensyarah IAB iaitu Encik Zulkifli Bin Manap, Encik Abd Razak bin Abu Samah dan Dr Abdul Rahim Bin Abdul Rashid. Ianya dihadiri oleh 15 orang guru besar dan 19 orang guru penolong kanan.

En Abd Razak bin Abu Samah, pengurus program SPeeD-uP berkata   kursus ini  bertujuan untuk membimbing pemimpin sekolah untuk mengenalpasti konsep dan kemahiran-kemahiran kepimpinan bagi pengurusan sekolah yang berkesan.

Dr Abd Rahim sedang membimbing peserta kursus menyediakan Pelan Tindakan Sekolah.
Para peserta begitu tekun menyediakan Pelan Tindakan Sekolah.

Selain itu, peserta kursus turut dibimbing menggunakan laporan SKPMg2 bagi menganalisis isu kelemahan sekolah masing-masing. 

Peserta turut teruja mendengar ceramah mengenai “Deliverology” yang disampaikan oleh En Zulkifli. “Deliverology” merupakan satu proses yang sistematik untuk mendorong kemajuan dan membuahkan hasil.

Dalam kursus ini, para peserta diminta mengaplikasikan proses “Deliverology”  untuk melancarkan pelaksanaan perancangan di sekolah masing-masing.

Pembentangan Pelan Tindakan Sekolah telah disampaikan oleh guru besar dengan dibantu oleh guru penolong kanan.

Adalah diharapkan melalui kursus ini semua
sekolah dapat melonjakkan pencapaian semua murid melepasi tahap penguasaan
minima serta berkongsi dapatan kursus dengan warga sekolah.

Berita oleh Puan Kamariah Salim, SK Sungai Bedaun

Pemimpin sekolah begitu ceria merakamkan gambar kenangan bersama pensyarah IAB selepas sesi pembentangan.