Rumah Kenyalang Juara Baru Kejohanan Olahraga SMK Labuan 2020

Labuan, 2 Mac 2020 – Persaingan perebutan juara antara Rumah Kenyalang dan Rumah Rajawali dalam Kejohanan Olahraga SMK Labuan Kali Ke 60 Tahun 2020 berlangsung sengit.

Dengan pungutan 23 emas, 13 perak, 12 gangsa, akhirnya Rumah Kenyalang diistiharkan sebagai juara baru meninggalkan Rumah Rajawali dengan pungutan 21 emas, 10 perak dan 22 gangsa.

Tempat ke-tiga dan ke-empat masing-masing diraih oleh Rumah Garuda (13 emas, 19 perak, 16 gangsa) dan Rumah Merak (7 emas, 21 perak, 13 gangsa).

Kali terakhir Rumah Kenyalang menjuarai Kejohanan Olahraga SMK Labuan ialah pada tahun 2014.

Lebih manis, atlit Rumah Kenyalang, Muhammad Hanis Syazwan dinobatkan sebagai Olahragawan Lelaki 18 Tahun dengan unggul memenangi pingat emas 100 meter lari berpagar, memecahkan rekod kejohanan 200 meter lari berpagar, dan pingat perak dalam acara lompat kijang.

Naib Johan Keseluruhan Rumah Rajawali

Mavis Yong Xiao Yee dari Rumah Merak pula dinobatkan sebagai Olahragawati Perempuan 18 Tahun dengan memenangi pingat emas dalam acara 100 meter, 400 meter (rekod baharu kejohanan), 3000 meter dan pingat perak dalam acara 4 x 100 meter.

Rumah Rajawali menguasai gelaran olahragawan Lelaki dan Perempuan 15 Tahun melalui Elvinsius Romanus Rely dan Zukrina Azra Zainudin.

Elvinus memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh, lompat kijang, 800 meter, 4 x 400 meter dan 4 x 100 meter.

Zukrina pula memenangi pingat emas lompat jauh, lompat kijang, 400 meter, 4 x 100 meter dan 4 x 400 meter.

Muhamad Hanis Olahragawan Lelaki 18 Tahun
Elvinsius (Olahragawan L15) dan Zukrina Azra (Olahragawati P15)

Kejohanan ini berlangsung pada 28 dan 29 Februari di Kompleks Sukan Labuan, dirasmikan oleh Dato’ Sri Haji Amir bin Haji Hussien, Pengerusi Perbadanan Labuan, merangkap Bapa Angkat Korporat SMK Labuan.

Dato’ Sri Haji Amir berkata bidang sukan merupakan antara platform terbaik untuk melahirkan murid-murid yang cergas fizikal dan mental.

“ Menerusi latihan yang konsisten dan seimbang daripada pelbagai aspek yang merangkumi minda, fizikal, otot, saraf dan emosi, sukan juga mampu membentuk seorang murid yang cergas, patuh dengan aturan ”.

“ Secara tidak langsung  membentuk seorang atlet yang  berhemah tinggi, bertanggungjawab, berdisiplin dan mempunyai  jati diri yang kental serta mempunyai daya kepimpinan ”. Dato’ Sri Haji Amir bin Haji Hussien.

Gambar kenangan bersama guru-guru SMK Labuan

Sementara itu, Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah menzahirkan penghargaan kepada PIBG sekolah di atas bantuan membiayai sebahagian kos penganjuran kejohanan. Begitu juga sumbangan yang diberikan oleh bekas murid-murid tingkatan 5 SMK Labuan yang banyak membantu guru-guru dalam jawatankuasa teknikal.

Encik Ismail berharap SMK Labuan dapat memberi cabaran hebat dalam Kejohanan Olahraga MSSWPL yang akan berlangsung pada 9-13 Mac 2020. Sasaran SMK Labuan sekurang-kurangnya tempat kedua keseluruhan.

Turut hadir, YDP PIBG SMK Labuan, Tuan Haji Md Yusof Haji Chuchu dan Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Cheah Teong Aik.

Berita Oleh : SMK Labuan

Kontinjen Rumah Garuda
Kontinjen Rumah Merak
Olahragawati Perempuan 18 Tahun Mavis Yong Xiao Yee
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada sukarelawan yang terdiri daripada bekas murid-murid SMK Labuan
Cikgu Hasriah Sidik (Ketua Guru Rumah Kenyalang – 2 dari kanan) gembira bersama guru-guru dan ahli-ahli Rumah Kenyalang



Lawatan SK Rosok Kota Belud Ke Sungai Bedaun : Perkongsian Amalan Terbaik dan Pengurusan PIBK

Labuan, 2 Mac 2020 – Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bedaun menerima kunjungan muhibbah guru-guru dan Ahli Jawatnkuasa PIBG SK Rosok, Kota Belud Sabah pada 29 Februari lalu.

Rombongan ini diiringi oleh Puan Rina @ Farrina binti Dakim (Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah Unit Sekolah Khas, JPWP Labuan).

Turut hadir YDP PIBG SK Sungai Bedaun, Tuan Haji Sahrum bin Samlan bersama Ahli Jawatankuasa PIBG SK Sungai Bedaun sesi 2020/2022. Rombongan SK Rosok , Kota Belud telah diketuai oleh Guru Besar, En. Abd. Aziz Zaman berserta ahli rombongan seramai 22 orang terdiri dari Guru-guru dan AJK PIBG SK Rosok  turut rombongan tersebut  En Sigam Anggor YDP PIBG Sk Rosok.

Guru Besar SK Sungai Bedaun (SKSB) Puan Dg Sarifah binti A Mahmod, berkata fokus lawatan penanda arasan ini ialah Pengurusan PIBK dan perkongsian amalan terbaik dalam pelaksanaan program TS 25, SKSB merupakan sekolah TS 25 bagi kohort 2. Amalan terbaik yang dikongsikan berkenaan Projek menaik taraf Musalla Al-Kauthar.

PERSEFAHAMAN: Puan Dg. Sarifah telah menandatangani memorandum Persefahaman Kolaboratif Startegik Pengurusan PIBK bersama en. Abd Aziz zaman , Guru Besar SK. Rosok sambil disaksikan Puan Rina Farrina (berdiri, dua dari kanan), Ustaz Sahrum bin Samlan (YDP PIBG) EN. Sigam Anggor (YDP PIBG SK Rosok) serta Penolong-Penolong Kanan SKSB dan SK Rosok, Kota Belud, Sabah.

YDP PIBG telah membuat perkongsian tentang program-program yang melibatkan PIBK sepanjang tahun 2018 dan 2019, sehingga melayakkan SKSB menerima penarafan 5 bintang bagi PIBK peringkat kebangsaan.

Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Noraliza binti Allbi pula berkongsi tentang projek menaik taraf Musalla Al-Kauthar sehingga dipilih untuk mewakili WP Labuan ke Pertandingan Anugerah Surau Imarah Sekolah-Skeolah (ASISS) peringkat kebangsaan pada tahun 2019.

Rombongan
melihat persembahan kulintangan dari murid-murid SKSB dan  dibawa melawat ke kelas-kelas prasekolah
SKSB, Galeri Permata SKSB, Taman Herba SKSB, Sudut STEM, Taman Botani
Al-Kauthar, dan Musalla Al-Kauthar.

Majlis
menandatangani memorandum Persefahaman Kolaboratif Startegik di antara
kedua-dua SKSB dan SK Rosok turut diadakan di akhir sesi lawatan.  

Dalam ucapan balas, En. Abd Aziz mewakili ahli rombongan mengucapkan tahniah dan terimakasih kepada pihak sekolah atas perkongsian amalan terbaik dan kejayaan-kejayaan yang telah dicapai, segala perkongsian ini wajar dicontohi terutama sekali dalam penglibatan ibubapa untuk memacu kecemerlangan sekolah.

Semoga dengan adanya jalinan ini kedua-dua pihak akan saling berkongsi ilmu dan bertukar pandangan ke arah pemantapan Pengurusan PIBK di tempat masing-masing.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

KENANGAN: Puan Dg. Sarifah (duduk, tengah), Puan Rina Farrina (duduk, dua dari kanan) bersama En. Abdul Aziz Guru Besar SK Rosok, Kota Belud (duduk , tiga dari kiri) , En. Sigam Anggor YDP PIBG ,Sk Rosok (duduk dua dari kiri) Us sahrum Samlan YDP Pibg sk. Sungai Bedaun(duduk kiri
TERUJA; Ahli rombongan teruja melihat keadaan persekitaran sekolah yang menghijau ditumbuhi oleh tanaman pelbagai jenis sayur-sayuran di sekitar Taman Botani Al-Kauthar



Pengarah Pendidikan W.P Labuan Merasmikan Bilik Rehat Guru Sk Rancha-Rancha

Labuan 1 Mac – Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Raisin bin Saidin telah merasmikan bilik rehat “Rest & Relax” untuk guru-guru SKK SK Rancha-Rancha. Bilik ini diwujudkan bagi memberikan keselesaan dan keceriaan kepada guru.

Guru Besar, Norinnie binti
Kassim berkata, sekolah mengambil inisiatif itu selaras dengan dasar
Kementerian Pendidikan (KPM) yang menyarankan pihak sekolah mewujudkan ruang
rehat kepada warga guru.

“Bilik rehat ini dapat
digunakan guru yang mempunyai masa lapang setelah selesai menjalankan proses
pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

Bilik rehat yang diusahakan oleh Kelab Staff SK Rancha-Rancha telah berjaya menyiapkan bilik rehat yang selesa untuk guru sekolah ini. Pengerusi Kelab Staff, Laidin bin Saipin berkata “kami bergotong-royong menyediakan bilik itu, menggubah dan menghias bilik agar kelihatan kemas serta ceria sepanjang masa”.

Bilik rehat guru “rest & relax” SK Rancha-Rancha

Raisin berkata berkata bilik
rehat yang kondusif dan ceria mampu menyuntik semangat guru agar gigih bekerja
mendidik anak bangsa sehingga berjaya.

“Tahniah saya ucapkan
kepada warga SK Rancha-Rancha kerana dapat menyediakan bilik rehat guru yang
kondusif dan ceria. Dengan adanya bilik rehat ini, guru dapat mengeratkan
hubungan silaturahim, mesra kawan dan saling rasa hormat dengan rakan
sejawat,” katanya.

Perasmian bilik tersebut sempena mesyuarat agung PIBG SK Rancha-Rancha yang berlangsung di Dewan terbuka SK Rancha-Rancha. Seramai 202 orang ibu bapa dan guru hadir pada mesyuarat tersebut. Turut hadir penolong kanan pentadbiran, Midah binti Yusop, penolong kanan HEM, Shawal bin Abd Rahman, penolong kanan ko-kurikulum, Zulkipli bin Pabin dan penolong kanan KPKP, Rodhy Edward Anak Edward Jalin.

Raisin (tengah) bergambar kenangan bersama ibu bapa yang hadir mesyuarat agung PIBG

Tertib acara diteruskan lagi dengan taklimat
kesihatan oleh Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), Dr
Mohammad Hamim Mohammad Hanifah, dan seterusnya taklimat keselamatan murid oleh
pegawai perhubungan polis sekolah, ASP Sukvinderjeet Singh A/L Chanan Singh dan
taklimat Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBD) oleh Guru Besar, Norinnie binti
Kassim dan taklimat Inklusif & Zero Reject Policy oleh Penolong Pengarah,
Sektor Pendidikan Khas, JPNWPL, Noraini binti Hj Sabudin. Turut hadir, pegawai
angkat sekolah, Zaliha binti Mohd Salleh dan ibu angkat sekolah, Datin Hjh Dyg
Pungut binti Abd Jalil. Mesyuarat  telah
membentangkan aktiviti dan perbelanjaan tahun 2019/20 dan usul ibubapa yang
telah diedar melalui “Google form”.




SMK Labuan Cipta Hatrik Johan Keseluruhan Catur MSSWPL 2020

Labuan, 1 Mac 2020 – SMK Labuan mencipta hatrik Kejohanan Catur Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan (MSSWPL) 2020, setelah menjadi johan keseluruhan 3 tahun berturut-turut bermula tahun 2018.

Kejohanan Catur MSSWPL 2020 telah berlangsung di Dewan SK Layang-Layangan pada 25 hingga 28 Februari lalu.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Labuan, Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad.

SMK Labuan muncul johan berpasukan bagi kategori Lelaki 18 tahun,
Perempuan 18 tahun, Lelaki 15 tahun dan naib johan berpasukan bagi kategori
Perempuan 15 tahun.

SMK Labuan menyapu bersih kategori Lelaki 18 tahun dengan Wong Wei Jie dinobatkan sebagai johan, Lim Chee Yong naib johan dan Wong Wei Hao di tempat ketiga.

Tuan Haji Abdul Rahman menyampaikan Trofi Johan Berpasukan L18 kepada Cikgu Masyitah Musa

Edison Lau Wei Chun meraih johan bagi kategori Lelaki 15 tahun, manakala Connie Lam Poh Yi dan Celine Tan Xing Er masing-masing meraih naib johan dan ketiga kategori Perempuan 18 tahun.

Guru Penasihat Pasukan Catur SMK Labuan, Cikgu Cheah Teong Aik, Cikgu Masyitah Binti Musa, Cikgu Rubaizah Binti Basir dan Cikgu Liaw Chia Chiun.

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan catur SMK Labuan di atas kejayaan yang membanggakan ini dan berharap pasukan akan lebih gigih berlatih untuk persiapan kejohanan peringkat kebangsaan kelak.

“Kejayaan ini adalah berkat daripada usaha Kelab Catur SMKL yang aktif melaksanakan Klinik Catur peringkat sekolah secara konsisten utk memastikan sentiasa ada pemain pelapis untuk kejohanan-kejohanan akan datang.” Encik Ismail Abdullah

Kejohanan Catur Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dijangka akan diadakan pada 14 hingga 20 Mac 2020, di Kuala Lumpur.

Berita Oleh : SMK Labuan

SMK Labuan Johan Berpasukan L15 , Cikgu Rubaizah Basir menerima trofi kemenangan
Johan Berpasukan P18
Tuan Haji Abdul Rahman menyampaikan Trofi Johan Keseluruhan kepada En Cheah Teong Aik (PK Kokurikulum SMKL)



PIBG aktif bangun sahsiah sekolah pacu murid

Labuan, 29 Februari – Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru dengan
kerjasama Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sekolah telah mengadakan Mesyuarat
Agung PIBG kali ke-16 bagi tahun 2020. Keaktifan
aktiviti sekolah boleh diukur melalui peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) seiring dengan keperluan sekolah, guru dan pembangunan murid. Program
ini telah dirasmikan oleh Puan Zaliha binti Mohd Salleh selaku pegawai angkat
Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru.

Seramai 151 orang
ibu bapa dan guru telah menghadiri Mesyuarat Agung PIBG pada kali ini. PIBG merupakan
badan yang sah ditubuhkan sebagai penghubung antara ibu bapa, guru, sekolah,
masyarakat dan murid. Komitmen, kerjasama dan sumbangan pelbagai pihak
berkepentingan seperti masyarakat, ibu bapa, murid dan guru amat penting dalam
memantapkan kecemerlangan murid selaku individu yang mampu menyumbang dan
memajukan masyarakat. Pencapaian murid lebih bermakna apabila keluarga mereka
juga turut berperanan dan membabitkan diri dalam kejayaan anak-anak mereka.

Perkongsian Hala Tuju Sekolah Tahun 2020 yang disampaikan oleh Pn Faridah Binti Amit, Guru Besar, Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, WP Labuan pada 29 Februari 2020 dalam Mesyuarat PIBG Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru kali 16 menggariskan 6 teras yang perlu dicapai antaranya pemantapan Pengurusan Sumber Manusia, Pemantapan Pengurusan Kewangan dan Aset, Pemantapan Pengurusan Kurikulum, Pemantapan Pengurusan Hal Ehwal Murid, Pemantapan Pengurusan Kokurikulum dan Pemantapan Pengurusan PIBG dan Komuniti Setempat. Dalam pernyataannya, Guru Besar menekankan bahawa 6 teras ini hanya akan dapat dicapai jika pihak sekolah dan ibubapa serta penjaga saling bekerjasama demi kemanjadian anak-anak di sekolah ini.

Puan Zaliha menerima cendera kenangan daripada En Kepli.
(Dari kiri Puan Dhia, Puan Rositah, En. Kepli, Puan Zaliha, Puan Faridah, dan En. Irham).




“CREATE THE FUTURE BY THE PAST” – Meniup Semangat Juang Calon SPM SMK Mutiara

Labuan, 27 Feb 2020 – Bagi memastikan calon-calon SPM SMK Mutiara 2020 bersemangat dan bersedia seawal mungkin, pihak sekolah telah menganjurkan sesi pertemuan Pengetua bersama calon-calon SPM sekolah ini pada Rabu lepas.

Sesi pertemuan yang bermula jam 1.30 pm di Dewan Semarak sekolah ini telah dianjurkan oleh Unit Akademik sekolah yang dipimpin oleh Penolong Kanan Pentadbiran , Puan Siti Aminah Binti Zakaria.

Menurut Puan Siti Aminah, terdapat seramai 145 calon SPM pada tahun ini yang melibatkan 21 mata pelajaran. “Sebahagian Besar mereka mengambil maksimum 9 mata pelajaran termasuk mata pelajaran elektif” katanya.

Tujuan utama pertemuan ini ialah untuk membimbing calon-calon SPM 2020 sebelum mereka membuat keputusan terakhir mendaftar mata pelajaran yang akan diambil. Sesi pendaftaran mata pelajaran SPM bermula 1 Mac dan berakhir pada 31 Mac 2020.

“Sebahagian daripada mereka keliru dengan keperluan dan kepentingan sesuatu mata pelajaran sehingga ada yang memohon untuk menggugurkan mata pelajaran tertentu” jelasnya lagi.

Sesi pertemuan dimanfaatkan dengan ucapan oleh Pengetua sekolah, Encik Mohd Nizam bin Yasim. Dalam ucapannya beliau telah mengimbau sejarah Zaman kegemilangan Tanah Melayu masa lalu sebelum kedatangan penjajah yang memerintah Tanah Melayu selama lebih 500 tahun. Tanah Melayu sebelum tahun 1500 berada dalam zaman kegemilangan iaitu sebelum Melaka jatuh ke tangan Portugis.

“Kejatuhan empayar Melaka pada tahun 1511 adalah kesilapan bangsa kita sendiri yang mengkhianati amanah kerana dorongan kebendaan. Ini telah menyebabkan hasil mahsul negara telah dijarah dengan rakus oleh Portugis, Belanda, British dan Jepun sehinggalah kita berjaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957”. katanya.

Encik Mohd Nizam mengimbau sejarah Zaman Kegemilangan Tanah Melayu

Beliau menjelaskan bahawa usaha keras, kerjasama dan kesetiaan kepada pemimpin adalah elemen-elemen yang akan membawa kejayaan kepada sesuatu bangsa dan negara. Siam adalah contoh sebuah negara yang rakyatnya amat menghormati Pemimpin sehingga berjaya mengekalkan negara daripada dijajah oleh kuasa-kuasa luar.

“Begitu juga peranan kita sebagai seorang murid. Kita seharusnya sanggup berusaha gigih untuk belajar dan sentiasa menunjukkan rasa hormat kepada guru-guru yang telah berusaha mendidik kita tanpa mengira penat dan lelah”, tegasnya lagi.

Selain itu, Encik Mohd Nizam turut menyatakan bahawa dunia pendidikan dan pekerjaan sekarang berubah dengan begitu drastik dan menuntut keupayaan kita mengaplikasi kemahiran Komunikasi, kolaboratif, berfikiran kritikal dan kreatif secara bersungguh-sungguh dalam menangani cabaran. Kemahiran-kemahiran ini perlu diterapkan di dalam setiap sesi pembelajaran dan Pengajaran di dalam bilik darjah selaras dengan Pendidikan Abad ke-21.

“Sebahagian pekerjaan yang ada pada hari ini akan lenyap dalam masa 5 atau 10 tahun akan datang. Peluang-peluang kerja baharu akan muncul menuntut kemahiran yang berbeza dari hari ini. Justeru kita mesti menguasai pelbagai kemahiran hari ini walaupun kita rasa sesuatu mata pelajaran itu sukar dan mencabar” tegasnya lagi.

Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Siti Aminah Zakaria turut menyeru agar semua calon SPM 2020 dapat membuat keputusan yang bijak dalam mendaftar setiap mata pelajaran kerana ia mampu mempengaruhi hala tuju pendidikan mereka di peringkat lepasan menengah.

“Pemilihan mata pelajaran yang sesuai mengikut pakej yang betul adalah sangat penting untuk menyambung pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.”ujar beliau lagi.

Dalam perjumpaan ini, Penolong Kanan Kokurikulum Encik Jostelen Lamibai turut mengambil peluang menyedarkan murid-murid tingkatan 5 tentang kepentingan pencapaian dalam kokurikulum.

Beliau mengingatkan calon SPM supaya sentiasa mengemas kini kad pelaporan kokurikulum dan mengambil peluang menyertai sebarang aktiviti kerana penyertaan mereka akan menyumbang kepada markah PAJSK.

Majlis yang tamat pada jam 4 petang turut dihadiri oleh Encik Jostelen Lamibai, Puan Nurul Syazwanie Mohd Zaid, Ustazah Hjh Roshidah binti Saad dan Encik Mohd Kamil.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Calon-calon SPM SMK Mutiara Tahun 2020



SK Sungai Lada & SM Sains Labuan Rangkul Johan Bola Jaring MSSWPL Tahun 2020

Labuan, 27 Feb 2020 – Sekolah Kebangsaan Sungai Lada dan Sekolah Menengah Sains Labuan merangkul gelaran Johan dalam Kejohanan Bola Jaring, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) tahun 2020.

Pertandingan akhir telah diadakan pada 12 Februari 2020 bagi kategori sekolah rendah dan 27 Februari 2020 bagi kategori sekolah menengah.

Sekolah Kebangsaan Bukit Kalam dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun telah diberi mandat untuk menjadi pengelola bagi kejohanan kali ini.

Kejohanan Bola Jaring MSSWPL yang berlangsung selama dua minggu telah berlangsung pada 10 Februari hingga 12 Februari 2020 bagi ketegori sekolah rendah.

Manakala pada 24 Februari hingga 27 Februari 2020 bagi kategori sekolah menengah yang telah menyaksikan persaingan sengit antara semua kontinjen sekolah di W.P.Labuan.

Perlawanan Akhir antara SMS Labuan dan SSN Mutiara bagi Kategori 15 Tahun

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Abdul Rahman bin Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid. Turuh hadir Encik Asbola @ Hasbollah bin Amit, Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Encik Ag. Rozlan bin Manan, Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun dan Encik Rosli Mohd Ali, Guru Besar SK Bukit Kalam.

SK Sungai Lada telah merangkul johan sekolah rendah diikuti oleh SK Lubok Temiang sebagai naib johan dan tempat ketiga bersama SK Pekan 1 dan SK Bukit Kalam.

Kategori Bawah 15 Tahun, SMS Labuan muncul johan diikuti oleh SSN Mutiara sebagai naib johan dan tempat ketiga bersama SMK Rancha-rancha dan SM St Anne.

SMS Labuan juga dinobatkan sebagai johan Kategori Bawah 18 Tahun diikuti oleh SSN Mutiara sebagai Naib Johan dan tempat ketiga bersama SMK Labuan dan SM St Anne.

Johan, Naib Johan dan Ketiga Bersama bagi kategori Sekolah Rendah (SK Sungai Lada, SK Lubok Temiang dan SK Pekan 1 serta SK Bukit Kalam)

Pemain terbaik kategori sekolah rendah diungguli oleh, Nor Sorfina Safwah, SK Sungai Lada sebagai pemain tengah terbaik, Claire Ivony Jimeno juga dari SK Sungai Lada dipilih sebagai penjaring terbaik. Adik Claire Ivory Jimeno telah merangkul dua kategori iaitu pemain pertahanan terbaik dan pemain terbaik.

Kategori 15 Tahun Sekolah Menengah, Pemain Pertahanan Terbaik dimenangi oleh Fadilah Mansur dari SMS Labuan, Pemain Penjaring Terbaik Safinah Saflee dari SMS Labuan dan Farah Ain juga dari SMS Labuan merangkul dua kategori iaitu Pemain Tengah Terbaik dan Pemain Terbaik.

Manakala Kategori 18 Tahun Sekolah Menengah pula, Honesty Evia Harnot dari SMS Labuan merangkul Pemain Tengah Terbaik, diikuti Zezybell dari SSN Mutiara sebagai Pemain Pertahanan Terbaik. Nursyafiah Salleh dan Jocelyn Debra Jilinus dari SMS Labuan masing-masing merangkul Pemain Penjaring Terbaik dan Pemain Terbaik untuk kejohanan kali ini.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Johan, Naib Johan dan Ketiga Bersama bagi kategori 15 tahun sekolah menengah (SMS Labuan, SSN Mutiara dan SMK Rancha-rancha serta SM St Anne)
Johan, Naib Johan dan Ketiga Bersama bagi kategori 18 tahun sekolah menengah (SMS Labuan, SSN Mutiara dan SMK Labuan serta SM St Anne).



Syarikat Industri Minyak dan Gas Terus Komited Bantu Anak Nelayan Labuan

LABUAN, 27 Feb 2020 – Jabatan Pendidikan
Wilayah Persekutuan Labuan dan Syarikat Repsol Oil & Gas Malaysia Limited
telah mengadakan Majlis Anugerah Inovasi Bagi Murid-Murid Ujian Penilaian
Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) Bagi Tahun 2019
daripada Komuniti Nelayan, kelmarin.

Menurut Pengurus Kanan, Stakeholder Relations, Repsol Oil & Gas Malaysia Limited, Encik Ahmad Fakhrurrazi Arshad, pihaknya komited untuk membantu masyarakat dan komuniti tempatan di mana mereka beroperasi.

Majlis Anugerah Motivasi pada hari ini merupakan kesinambungan usaha-usaha tersebut yang memfokuskan kepada pendidikan, khasnya kepada anak-anak nelayan di Labuan yang masih di bangku sekolah.

“Hasrat kami adalah untuk membantu dan menyuntik semangat di kalangan anak-anak ini untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik dan aktiviti kokurikulum sekolah.” Encik Ahmad Fakhrurrazi Arshad ketika merasmikan majlis tersebut.

Harapan jangka panjang Repsol adalah untuk melihat anak-anak muda yang menerima Anugerah Motivasi ini berjaya di dalam pelajaran mereka dan mendapat kerjaya yang baik supaya boleh meningkatkan taraf hidup diri dan keluarga masing-masing.

Gambar kenangan bersama penerima anugerah motivasi murid-murid UPSR dan PT3 Tahun 2019 dari golongan Komuniti Nelayan Labuan
Murid-murid penerima Anugerah Motivasi Repsol 2019

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Saidin merakamkan ribuan terima kasih kepada Repsol atas usaha murni ini.

Katanya, dengan adanya bantuan ini dapat meningkatkan motivasi murid-murid dalam pembelajaran dan kemenjadian murid.

“Saya berharap murid-murid yang menerima sumbangan dapat memanfaatkan faedahnya untuk berjaya dalam pelajaran dan seterusnya memberi pulangan kepada memajukan negara suatu hari kelak”.

“Majlis Anugerah Motivasi ini merupakan tahun yang ketujuh dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan. Maka saya menyeru murid-murid yang telah menerima anugerah ini supaya sentiasa bersyukur dengan belajar bersungguh-sungguh demi sebuah kejayaan yang boleh mengubah nasib pada masa akan datang ” . Encik Raisin Saidin

Pada majlis tersebut, seramai 40 murid dari tahap UPSR dan 20 murid dari tahap PT3 telah menerima anugerah ini. Setiap penerima UPSR akan menerima wang tunai RM300 manakala penerima PT3 akan menerima wang tunai RM400 menjadikan jumlah anugerah kesemuanya adalah RM20,000.

Turut hadir, Datuk Eddie Abdullah, Penasihat Perhubungan Komuniti dan Kerajaan bagi Negeri Sabah & Labuan, Repsol Oil & Gas Malaysia Limited dan Encik Ag. Marten Datuk Hj Abdul Rahman, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan W.P Labuan

Terima kasih kepada pihak Repsol kerana memberi bantuan ini untuk membantu keperluan murid
Penghargaan kepada kepada Pihak Sekolah. Encik Jamatin menerima Sijli Penghargaan daripada Encik Ahmad Fakhrurazzi



SK Sungai Lada Ungguli Johan Bola Jaring MSSWPL 2 Kali Berturut-turut TAHUN 2020 Pedas Berhabis!

Labuan, 27 Feb 2020 – Sekolah Kebangsaan Sungai  Lada merangkul gelaran Johan 2 kali berturut-turut dalam Kejohanan Bola Jaring, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) tahun 2020.

Mengimbas kembali sejarah lampau, Sekolah Kebangsaan Sungai
Lada merupakan pesaing utama dalam sukan bola jaring dalam era 80-an dan 90-an.
SK Sungai Lada pernah mendapat Naib Johan(2015), Johan(2016), tempat
ketiga(2017), Naib Johan(2018) dan Johan (2019). Sukan Bola Jaring dipilih
sebagai sukan kebitaraan buat SK Sungai Lada.

Barisan pemain bola jaring SK Sungai Lada : Diana
Emylia Binti Ali, Nou’r Zahirah Binti Mukti, Nur Fatin Farhana Binti Md Sakri,
Siti Norhalis Binti Ortiz, Claire Ivony Jimeno, Claire Ivory Jimeno, Heryssa
Hazell Binti Hermon, Nur Sorfina Safwah Binti Sanusi, Siti Fadiyah Binti Mohd
Syaifudin Duakim dan Azimah Fauzana Binti Abd Rauf.

Pasukan SK
Sungai Lada dibarisi Pengurus Pasukan Siti Aliza Binti Ag. Emran, Mohammad
Hanafi Bin Salim (jurulatih), Noranisah Binti Junaidi(jurulatih), Tracy Jipiu(pegawai
fisioterapi),Federica S. Inansul (pegawai teknikal), Siti Safiah(guru
pengiring) dan Aida(guru pengiring).

Pertandingan bermula pada 17 Februari  dan Pertandingan akhir telah diadakan pada 19 Februari 2020 bagi kategori sekolah rendah. Penyampaian hadiah telah dibuat di Dewan Arena Bukit Kuda pada 27 Februari 2020(Khamis).

FINAL : Sesi bergambar antara pasukan SK Lubok Temiang dengan pasukan SK Sungai Lada perlawanan akhir MSSWPL

Majlis penyampaian hadiah
bola jaring telah disempurnakan oleh Encik Abdul Rahman bin Ahmad, Timbalan
Pengarah Sektor Pembangunan Murid. Turut hadir Encik Asbola @ Hasbollah bin
Amit, Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Encik Ag. Rozlan bin Manan,
Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun dan Encik Rosli Mohd Ali, Guru Besar SK
Bukit Kalam.

Pemain terbaik kategori sekolah rendah diungguli oleh Nur
Sorfina Safwah, SK Sungai Lada sebagai pemain tengah terbaik, Claire Ivony
Jimeno juga dari SK Sungai Lada dipilih sebagai penjaring terbaik. Adik Claire
Ivory Jimeno telah merangkul dua kategori iaitu pemain pertahanan terbaik dan
pemain terbaik.

Berikut adalah keputusan SKSL sepanjang perlawanan bola
jaring MSSWPL :

1 SKSL vs SKPP 13 – 0 Perlawanan dalam Kumpulan A
2 SKSL vs SKB 11- 0 Perlawanan dalam Kumpulan A
3 SKSL vs SKKRR 13- 1 Perlawanan dalam Kumpulan A
4 SKSL  vs SKSB 13 – 2 SUKU AKHIR
5 SKSL  vs   SKBK 16 -1 SEPARUH AKHIR
6 SKSL   vs   SKLT 16 – 2 PERLAWANAN AKHIR

“Pemilihan pemain bola jaring dan jadual latihan intensif
telah dibuat sejak awal bulan Januari 2020. Perlawanan persahabatan juga dibuat
dengan beberapa buah sekolah yang berdekatan untuk mengenalpasti kelemahan dan memperkuatkan
pasukan sebelum kejohanan sebenar.” kata Pengurus Pasukan Siti Aliza Binti Ag
Emran.

Guru Besar Encik Maidan Dali amat gembira mengucapkan tahniah
kepada pasukan bola jaring dan usaha semua guru penasihat di atas usaha
membantu mengekalkan juara bola jaring MSSWPL buat kali kedua berturut-turut.

Jurulatih pasukan bola jaring  Mohammad Hanafi Bin Salim dan Noranisah Binti Junaidi juga menambah mengucapkan terima kasih kepada ibubapa yang memberikan kerjasama dan menghantar pemain ke sekolah untuk menjalani latihan intensif pada setiap petang. Ini secara tidak langsung menyuntik semangat terhadap pasukan bola jaring SKSL.

JOHAN : Pasukan Bola Jaring SKSL bergambar dengan Guru Besar Encik Maidan Dali, pentadbir, jurulatih dan guru penasihat.

SKSL PEDAS BERHABISSSS!




Kursus Tarbiyah Kepimpinan Pemimpin Kecil SK Lubok Temiang

Labuan, 27 feb 2020 – Seramai 140 orang murid yang terdiri daripada pengawas sekolah,  pengawas pusat sumber sekolah,  pengawas bestari dan pembimbing rakan sebaya Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang telah mengikuti Kursus Tarbiyah Kepimpinan Pemimpin Kecil 2020.  Kursus yang dilaksanakan sehari di Pusat Kokurikulum Negeri WP Labuan antara lain bertujuan melatih dan membimbing bakal pemimpin masa depan ini berkaitan kemahiran komunikasi berkesan terutama ketika mereka menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin yang berkeperibadian luhur.  

Selain itu, kursus ini juga memberi penekanan terhadap kepentingan membentuk dan mengamallan sifat terpuji yang boleh dijadikan contoh kepada murid yang lain. Menurut Haji Adam bin Abdul Rahim,  guru besar Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang mengharapkan agar kursus seumpama ini dijadikan sebagai program tahunan demi memastikan momentum gaya kepimpinan dalam kalangan pemimpin kecil ini tidak kendur dalam usaha melaksanakan hala tuju sekolah demi melahirkan generasi bertrampilan.  Dalam kursus ini, peserta telah menjalani pelbagai aktiviti yang mencabar keupayaan fizikal dan mental seperti latihan dalam kumpulan, merentas halangan dan permainan dinamika. 

Di samping itu, Puan Maizura Musliman,  kaunselor dari SMK Labuan turut dijemput  menyampaikan ceramah Tips Menjadi Pemimpin Terbaik.   Sijil watikah pelantikan kepada semua pengawas turut disampaikan oleh Haji Adam di akhir program kelolaan unit disiplin dan unit bimbingan dan kaunseling ini.  Kursus kali pertama ini juga telah mendapat khidmat kerjasama dari jurulatih Pusat Kokurikulum, Jabatan Pendidikan WP Labuan.