Labuan,15 Mac – ‘World Speech Day’ diadakan pada 15 Mac setiap tahun dimana Simon Gibson merupakan pelopor utama program ini dijalankan sejak 2015.
Pada tahun 2019, terdapat lebih 100 buah negara akan menyertai aktiviti pengucapan awam dengan adanya penglibatan dari pihak sekolah, institusi pengajian tinggi, tokoh-tokoh ilmuan dan NGO.
Sehubungan dengan itu, SMK Labuan telah menganjurkan World Speech Day 2019 pada 15 Mac, hari Jumaat yang lalu.
Majlis telah disempurnakan oleh Puan Khaziyati Osman, wakil rasmi Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran tetamu-tetamu khas dari Jabatan Pendidikan W.P. Labuan, Pengerusi PIBG Smk Labuan, Tuan Haji Md. Yusof Hj. Chuchu, guru-guru dari sekolah-sekolah yang berlainan serta ibu-bapa pelajar.
Program kali ini dianjurkan oleh Bidang Bahasa SMK Labuan, dengan kerjasama Toastmaster Club W.P Labuan, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan dan PIBG SMK Labuan.
Penyertaan yang sangat menggalakkan daripada ahli-ahli Toastmaster Club Labuan, Persatuan Orang-orang Pekak (W.P. Labuan W.P. Deaf Society), para pelajar dari SMK Labuan, Smk Pantai, SMK Lajau, SMK Rancha-Rancha, SMK Mutiara, SMK Taman Perumahan Bedaun, SM MAIWP, dan SK. St. Anne.
Para peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar SMK Labuan bergambar di photo booth yang telah disediakan.
Pada World Speech Day kali ini, sedikit kelainan dan keunikan ditampilkan dengan penyampaian ucapan awam dalam tujuh bahasa iaitu, Bahasa Melayu, English, Mandarin, French, Arab, Tagalog dan juga bahasa isyarat (sign language).
Sofia Umaira bt. Ismail , peserta dari SMK Labuan sedang menyampaikan ucapan beliau dalam bahasa French.
Program ini direncanakan selaras dengan objektif ‘World Speech Day’ iaitu menggunakan kekuatan keunikan pengucapan awam sebagai wadah untuk meneroka dan berkongsi idea-idea baharu.
Ia juga dilihat sebagai satu usaha untuk meningkatkan kemahiran bertutur dan dapat menerapkan semangat ingin mencuba dalam kalangan pelajar SMK Labuan khasnya, dan seluruh pelajar di W.P. Labuan, secara keseluruhan. Pada kali ini, majlis telah berlangsung dengan lancar dan meriah.
Tuan Pengetua, Encik Ismail Abdullah, menyampaikan cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada Susanna Koh, Pengerusi Kelab Toastmaster W.P. Labuan.
SPA Menyuntik Semangat Guru-guru Baharu Sekolah Menengah
Seramai 11 guru yang baharu ditempatkan di sekolah-sekolah menengah di Labuan telah mengikuti kursus orientasi selama 2 hari mulai 14 dan 15 Mac 2019 di Bilik Dataran.
Kursus ini dianjurkan oleh Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Ketua Sektor Pengurusan Akademik (SPA), Encik Yusup bin Mohamad telah mengetuai pegawai SPA dalam pengisian slot selama 3 jam mulai jam 2pm hingga 5pm pada 14 Mac 2019.
Semasa menerang fungsi Sektor Pengurusan Akademik, Encik Yusup turut menyatakan hasrat dan harapan yang tinggi pihak jabatan kepada guru-guru generasi baharu untuk terus mendokong semangat LABUAN HEBAT: Guru Sayang Muridnya.
Guru-guru juga harus peka terhadap tuntutan perubahan sistem pendidikan negara serta fokus dan gerak kerja KPPM seperti yang terkandung di dalam Naratif Baharu Amalan Pendidikan.
Ketua Unit Bahasa, SPA, Puan Amiah Buah juga berkesempatan untuk menerangkan kepada guru baharu mengenai kaedah menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang betul.
Puan Amiah sedang menerangkan kaedah penyediaan RPH yang betul.
Selain itu, antara perkara yang telah diberi penekanan dalam kursus tersebut ialah berkaitan SKPMg2, KBAT dan PAK21.
Sepanjang kursus tersebut, para guru baharu terlibat secara aktif, bersemangat dan memberi respons yang sangat positif.
Di akhir kursus, Encik Yusup berbesar hati menyampaikan cenderahati kepada 5 guru baharu yang bertuah berbentuk sebuah buku Pembelajaran Abad ke-21 sebagai satu suntikan semangat untuk guru-guru baharu untuk terus mendalami konsep 4C1V dalam amalan PdPc masing-masing.
Berita Oleh : Cikgu Mohd Nizam Yasim, SPA
Encik Yusup menyampaikan cenderamata kepada guru baharu yang bertuah
Kejohanan MSSWPL 2019 Membuka Tirainya
Labuan, 19 Mac : Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) 2019 membuka tirainya secara rasmi hari ini.
Majlis pembukaan telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin bin Saidin, di Kompleks Sukan Labuan.
Pada hari pertama kejohanan, kelmarin 18hb Mac, tiga rekod kejohanan telah dipecahkan.
Nazerra Anak Jerah dari SM St Anthony telah berjaya mempertahankan emas dan memperbaharui rekod sendiri dengan catatan baharu 28.06 meter (rekod lama 27.09) dalam acara Merejam Lembing Perempuan Bawah 18 Tahun.
Md Alias Muhammad Junaidi dari SMK Labuan telah berjaya memecahkan rekod kejohanan 1500 meter Lelaki Bawah 18 Tahun Akhir dengan catatan baharu iaitu 4m:37:25s.
Mohd Norhakimin bin Noor Ashikan, SMK Labuan juga memperbaharui rekod sendiri dalam acara dengan lompatan 13.32 meter mengatasi rekod lama 13.02 meter yang diciptanya tahun 2018.
Separuh Akhir Acara 100 meter Lelaki
Setakat jam 4 petang hari ini 19 Mac 2019, sebanyak 5 lagi rekod kejohanan MSSWPL 2019 telah dipecahkan.
Adam bin Kitli, SMK Labuan, 400 M Lari Berpagar Lelaki 18 Tahun Akhir – 58.84 s
Valendra Anting, SM Sains Labuan, 200 M Lari Berpagar Perempuan 15 Tahun Akhir – 32.18 s.
Aizul bin Husin, SSN SMK Mutiara, 200 M Lari Berpagar Lelaki 15 Tahun Akhir – 25.84 s.
Nur Athirah Aliah bt Ali Omar, SMK Pantai IBWS, Lempar Cakera Perempuan 18 Tahun Akhir – 27.41 m.
Ricci Ryan Robin, SKK SK St Anne, Lompat Tinggi Lelaki 12 Tahun Akhir – 1.51 m.
Pengerusi Bersama Pn Dona Binti Undoh (Pengetua SM St. Anthony) dan En. Rosli Bin Mohd Ali (Guru Besar SK Bukit Kallam) mengharapkan agar kejohanan olahraga MSSWPL kali ke-19 ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan mendapat sambutan yang meriah.
Pada tahun ini, Sekolah Menengah St. Anthony bersama Sekolah Kebangsaan Bukit Kalam adalah merupakan pengelola bersama.
Selamat bertugas kepada semua Ahli Jawatankuasa Pelaksana Kejohanan MSSWPL 2019.
Kalau bukan kitani, siapa lagi? Ayuh ! sama-sama kita gegarkan dan meriahkan Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan di Kompleks Sukan, Labuan bermula 18hb Mac sehingga 22hb Mac (penutup Kejohanan hari Jumaat sebelah pagi ).
Warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengalu-alukan kedatangan anda ke Kejohanan MSSWPL 2019 ( 18 Mac – 22 Mac )
Menyantuni Cakna Budaya Sekolah Penyayang : Mesyuarat Agung PIBG SK Layang-Layangan
SK Layang-Layangan WP. Labuan telah mengadakan mesyuarat Agung PIBG bagi melantik Majlis Tertinggi untuk tahun 2019/2020 yang dilaksanakan pada 16 Mac 2019 bertempat di Dewan Surapit SK Layang-Layangan.
Mesyuarat kali ini dirasmikan oleh En. Embran bin Yunus, Penolong Pengarah Sains dan Matematik JPN WP. Labuan merangkap Pegawai Angkat Sekolah, selaku wakil rasmi Pengarah Pendidikan, Encik Raisin bin Saidin.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Guru Besar SK. Layang-Layangan, Puan Hajah Dayang @ Saidah Bte Hj. Mohd. Yassin, YDP PIBG SKLL Encik Roziman Bin Hj. Sabtu dan Insp. Rose @ Norhashimah Binti Soumin Pegawai Perhubungan Polis Sekolah, Penolong-Penolong Kanan, ibu bapa dan guru-guru.
Dalam ucapan perasmiannya, Encik Embran menekankan tentang perlunya ibu bapa memahami konsep Pentaksiran Bilik Darjah khususnya bagi murid Tahap 1 bagi menjamin kualiti pentaksiran sekolah dan kemenjadian anak-anak murid SKLL.
Beliau turut memuji perjalanan mesyuarat ini yang beliau sifatkan sebagai professional, teratur dan menunjukkan tertib pemilihan AJK PIBG yang baharu.
Beliau mengucapkan syabas dan tahniah atas kepimpinan Guru Besar dan yakin bahawa sekolah ini akan terus cemerlang dalam pelbagai bidang dengan adanya sokongan padu daripada ibu bapa yang berterusan.
Begitu juga harapan beliau terhadap kepimpinan PIBG yang baharu agar dapat menambahbaik lanskap kemenjadian dan keberhasilan murid-murid sekolah ini.
Sebelum itu Guru Besar selaku penasihat persatuan ini dalam ucapannya mengingatkan semula tentang fungsi dan peranan PIBG, KSIB, PIBKS dan SdK di sekolah serta memperlihatkan kejayaan-kejayaan yang telah diperolehi oleh sekolah ini khususnya dalam Pelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS) yang mana SK. Layang-Layangan telah diiktiraf sebagai Johan Pertandingan Pameran PIBK dan juga menerima pengiktirafan sebagai Sekolah Cemerlang PIBK peringkat negeri 2018.
Guru Besar menyampaikan cenderahati kepada perasmi
Manakala beliau sendiri turut dinobatkan sebagai “Tokoh Guru Besar Inspirasi PIBK 2018” peringkat negeri.
Beliau juga berkongsi dasar dan amalan-amalan terbaik PIBK di sekolah ini sebagai contoh keterlibatan murid-murid Maahad Tahfiz Marinding dalam program Kem Bestari Solat dan Tasmiq.
Pelibatan ahli-ahli akademik menyumbang kepakaran ilmu dalam subjek Matematik dan Bahasa Inggeris juga kesungguhan ibu bapa mencantik dan menghiaskan kelas-kelas telah memberi Impak kepada sekolah dan mendapat Naib Johan pertandingan Kelas dan Sekolah Ceria, menerima piala pusingan dan rm 500 daripada Tuan Pengarah Pendidikan WP. Labuan.
SK. Layang-Layangan juga telah mendapat anugerah pengurusan BOSS Cemerlang 4 Bintang yakni pengurusan Buku Teks daripada Kementerian Pendidikan Malaysia baru-baru ini.
Beliau berharap dan mengajak semua ibubapa melibatkan diri dalam menceriakan lanskap sekolah memandangkan sekolah ini tercalon untuk pertandingan 3K dan Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar pada tahun ini.
Disamping itu beliau juga menyentuh tentang perkembangan semasa dalam pendidikan serta hala tuju sekolah ini bagi tahun 2019 dengan pelbagai program dan intervensi bagi mencapai peningkatan UPSR tahun ini.
Beliau juga mengalu-alukan kehadiran ibu bapa ke sekolah dan melebarkan konsep sekolah penyayang dan keterbukaan kepada ibu bapa kerana sekolah adalah milik masyarakat dan berharap lebih ramai dari kalangan ibu bapa dan komuniti akan turut serta dalam “Hari Keusahawanan” yang bakal berlangsung April nanti dan juga majlis ‘Opening Ceremony Bilik PIBKS”.
Kehadiran ibubapa dalam mesyuarat kali ini juga menggalakkan dan melebihi sasaran sekolah. Ibu bapa juga bermurah hati menyediakan juadah untuk mesyuarat ini.
Guru Besar menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada En. Jumali Bin Kastari YDP PIBG
Beberapa keputusan penting telah dicapai antaranya kadar sumbangan ibubapa kepada tabung PIBG bagi tahun 2019 dan hal-hal berkaitan kebajikan dan keselamatan murid. Juga mesyuarat memutuskan kepada mana-mana ibu bapa yang tidak dapat hadir ke mesyuarat Agung PIBG dikehendaki membayar rm 10 sebagai “Wang Ihsan Pengganti Diri” kerana ketidak hadiran mereka.
Pada mesyuarat ini juga ibu bapa setuju untuk sama-sama menjayakan “Program Ziarah Cakna” iaitu lawatan guru-guru ke rumah murid-murid.
Ziarah Cakna ini bagi memperluas konsep sekolah penyayang dan memperkukuh hubungan antara sekolah dengan ibu bapa, penjaga dan murid-murid yang dijalankan sepanjang tahun ini.
Amalan ziarah guru ke rumah pelajar terpilih adalah untuk menyantuni golongan ibu bapa atau penjaga mereka dan memahami latar belakang keluarga mereka serta berkongsi pandangan bagi memastikan kemenjadian murid.
Sebelum itu pemilihan AJK baharu telah dijalankan oleh En. Ismail Bin Abdul Hamid selaku pengerusi sementara. YDP PIBG bagi sesi 2019/2020 ialah Encik Jumadi Bin Kastari, NYDP Encik Mohd. Shahredzuan Bin Salleh, Cikgu Nur Alif Syafina selaku setiausaha dan Puan Murnie Binti Mohd. selaku naib Setiausaha dan Cikgu Norlinda Paman selaku Bendahari.
Selaku YDP PIBG Encik Jumadi berharap agar hubungan kukuh antara sekolah dan ibubapa yang sedia terjalin dapat dijaga demi kemenjadian dan keberhasilan anak-anak di SK. Layang-Layangan khususnya dan di W.P.Labuan amnya.
Berita Oleh : SK Layang-Layangan
Kembar Pengakap Raja SMK Labuan Cemerlang Dalam SPM
Adik beradik kembar Yap Joewin dan Yap Melwin merupakan calon SPM 2018 SMK Labuan yang telah berjaya mencapai keputusan cemerlang.
Yap Joewin telah berjaya mencapai semua A dalam SPM iaitu gred A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi. Gred A dalam Pendidikan Moral serta A- dalam Grafik Komunikasi Teknikal dan Bahasa Cina.
Adiknya Yap Melwin juga
mencapai keputusan yang cemerlang iaitu 7A 3B. Iaitu pencapaian gred A+ dalam Sejarah,
gred A dalam Bahasa Melayu dan Matematik, serta A- dalam Pendidikan Moral,
Matematik Tambahan, Grafik Komunikasi Teknikal dan Bahasa Cina, mendapat gred B+ dalam Bahasa
Inggeris dan Kimia, serta gred B dalam Fizik.
Yap Joewin mencapai 7A dalam
UPSR serta 10A dalam PT3, manakala Yap Melwin mencapai 6A dalam UPSR serta 6A
dalam PT3.
Anak kembar kepada pasangan
Yap Keng Soon seorang peniaga, serta Lau Chin Ying seorang guru Penolong Kanan
Kokurikulum SMK Taman Perumahan Bedaun WP Labuan, mempunyai cita-cita yang
berbeza. Yap Joewin bercita-cita menjadi seorang Jurutera Mekanikal, manakala
Yap Melwin ingin menjadi seorang guru Grafik Komunikasi Teknikal.
Kedua-duanya aktif dalam aktiviti pengakap dan telah diberi matlamat untuk mencapai anugerah Pengakap Raja sebelum mereka tamat tingkatan lima.
Cikgu Lau Chin Ying, Yap Joewin, Encik Ismail, Yap Melwin
Ini merupakan cabaran yang sangat besar kerana persiapan untuk mencapai Pengakap Raja memerlukan mereka melalui beberapa kursus dan ujian, yang terpaksa berjalan seiring dengan usaha untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik juga.
Berkat semangat dan dorongan ibu bapa, bimbingan guru pengakap SMK Labuan Cikgu Atiqah Syahidah Abd Rahman serta semua jurulatih daripada Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Labuan, akhirnya mereka dianugerahkan Pengakap Raja pada 10 Nov 2018 yang disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara , Y.Bhg. Mej. Jen. Prof Dato’ Dr Haji Mohd Zin bin Bidin.
Kejayaan mencapai keputusan
cemerlang dalam SPM membuktikan bahawa penglibatan dalam aktiviti pengakap
tidak menjejaskan persiapan akademik mereka, malahan dapat memberi lebih
kekuatan dan keyakinan untuk mencapai kejayaan dalam kedua-dua bidang.
Kedua-dua beradik ini mengucapkan terima kasih dan penghargaan terutama kepada ibu bapa, guru-guru SMK Labuan, serta jurulatih-jurulatih daripada Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Labuan yang gigih membimbing mereka hingga berjaya.
Mereka berharap agar kejayaan dalam SPM serta gelaran Pengakap Raja yang mereka perolehi akan menjadi pembakar semangat untuk mereka mencapai kejayaan lebih besar dalam kehidupan akan datang.
Berita Oleh : SMK Labuan
Mesyuarat Agung PIBG SK Patau-Patau Medan Perkukuh Hubungan Ibu Bapa dan Sekolah
Labuan, 17 Mac : Sekolah Kebangsaan Patau-Patau (SKPP) telah mengadakan mesyuarat agung PIBG bertempat di Dewan Terbuka SK Patau-Patau.
Mesyuarat kali ini dirasmikan oleh Pegawai Angkat Sekolah, Encik Sazali bin Dinin selaku wakil rasmi Pengarah Pendidikan, Encik Raisin bin Saidin.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Guru Besar SKPP, Encik Abdul Rahman bin Salim dan YDP PIBG SKPP, Encik Mohd Nizam bin Yasim.
Di dalam ucapan perasmian, Encik Sazali menekankan bahawa sekolah adalah milik masyarakat dan berharap agar hubungan ibubapa dan pihak sekolah sentiasa kukuh bagi menjamin kualiti sekolah dan kemenjadian anak-anak murid SKPP.
Dalam ucapan Guru Besar, beliau turut berkongsi dasar dan perkembangan semasa pendidikan serta hala tuju sekolah untuk tahun 2019.
Selain itu beliau turut memaklumkan SKPP menyasarkan semua murid mampu mencapai penguasaan minimum (MTM) dalam UPSR tahun ini.
Pelbagai acara sampingan diadakan sempena mesyuarat kali ini. Antaranya ceramah berkaitan kepentingan saringan kesihatan dalam kalangan murid oleh Dr. Nur Anisah binti Hassan, pegawai perkhidmatan kesihatan sekolah dari Jabatan Kesihatan W.P.Labuan.
Di samping itu, PIBG juga menganjurkan program BELI & SUMBANG kertas A4 untuk kegunaan sekolah. Acara jualan amal pakaian terpakai untuk pembiayaan pembelian PA System baharu turut diadakan.
Encik Rahman bersama ibu bapa : Program Beli dan Sumbang
Kehadiran ibubapa dalam mesyuarat kali ini juga agak menggalakkan dan mencapai sasaran sekolah. Beberapa keputusan penting telah dicapai antaranya kadar sumbangan ibubapa kepada tabung PIBG bagi tahun 2019 dan hal-hal berkaitan kebajikan dan keselamatan murid.
Pada tahun ini tiada pemilihan Ahli Jawatankuasa baharu dijalankan. YDP PIBG bagi sesi 2018/2020, Encik Mohd Nizam berharap agar hubungan kukuh antara sekolah dan ibubapa dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa demi anak-anak di Wilayah Persekutuan Labuan.
Berita Oleh : SK Patau-Patau
Keputusan SPM 2018 Labuan
Labuan, 15 Mac : Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 Wilayah Persekutuan Labuan menyaksikan pencapaian yang lebih baik dari segi peningkatan peratus layak mendapat sijil dengan jumlah peratus 92.72% berbanding 89.48% tahun 2017, peningkatan sebanyak 3.24%.
Gred Purata Negeri (GPN) tahun 2018 mencatatkan 4.98 berbanding 4.94 pada tahun 2017.
Bagaimanapun, menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin, pencapaian pelajar cemerlang dengan memperoleh A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran meningkat.
Seramai 14 orang pelajar cemerlang bersamaan 1.55% berbanding 13 orang calon iaitu 1.37% tahun 2017, peningkatan sebanyak 0.18%.
Beliau mengumumkan Keputusan SPM 2018 di Dewan Mutiara, Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan.
Pada keseluruhannya pencapaian sekolah kerajaan di Labuan dalam SPM 2018 untuk setiap mata pelajaran adalah amat memberangsangkan. Daripada 35 mata pelajaran yang diambil oleh calon, 17 mata pelajaran telah mencapai 100%.
Sebanyak 25 mata pelajaran mengatasi pencapaian nasional.
Encik Raisin Saidin, Encik Ismail, Encik Sawal dan Hj Md Yusof bersama pelajar cemerlang SPM 2018
Audrey Agang Teo Li Xin dari SMK Labuan menjadi pelajar terbaik Labuan SPM 2018 dengan memperoleh 9A+ dan 1A.
SM Sains Labuan mencatat 100% lulus dan mencapai Gred Purata Sekolah 2.25.
SMK Rancha-Rancha yang merupakan tahun pertama pelajar sekolah ini menduduki peperiksaan SPM mencapai 100 peratus calon SPM layak mendapat sijil.
Berikut adalah senarai 14 orang pelajar cemerlang SPM 2018 :
Audrey Agang Teo Li Xin, SMK Labuan : 9A+,1A
Janice Su Shi Fen, SMK Labuan : 8A+,2A
Yap Joewin, SMK Labuan : 8A+,1A,2A-
Tan Xuan Jie, SMK Labuan : 7A+,3A,2A-
Nur Syafiqah Amira Lee bt Muhammad Fuad Lee Abdullah, SM St Anne : 7A+,2A
Nor Khalidah bt Sanip, SM Sains : 7A+,2A-
Belle Tan Bei Er, SMK Labuan : 6A+,3A,2A-
Muhammad Asyraf Farhan bin Bacho, SM Sains : 5A+,4A
Shyazrul Amrie bin Rosli, SM Sains : 5A+,4A
Muhammad Ali Syaharzuhdi bin Yusri, SM Sains : 5A+,2A,2A-
Mohammad Ezlii Erzuan Lee bin Lee Kok Keng, SM Sains : 2A+,6A,1A-
Jayne Carey Wong, SMK Labuan : 2A+,5A,3A-
14 Pelajar Cemerlang SPM 2018 Labuan (dan wakil ibu)
Audrey Pelajar Terbaik SPM 2018 Labuan
Pelajar SMK
Labuan, Audrey Agang Teo Li Xin telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik SPM
2018 WP Labuan setelah mencapai 10A dalam SPM iaitu 9A+ dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan Muzik, Matematik
Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi, serta mendapat A dalam Pendidikan Moral.
Audrey kini menetap bersama keluarga di WP Labuan, ayahnya David Agang Teo Chuan Fook, berasal dari Kuala Penyu, bekerja sebagai Head – Base Operations/Business Development of Asian Supply Base, dan ibunya Janet Moh Kiew Yen berasal dari WP Labuan, bekerja sebagai Assistant Manager – Asset Management.
Anak kedua daripada tiga orang adik beradik ini bersekolah di SJK (C) Chung Hwa WP Labuan dan telah mencapai 5A 1B 1C dalam UPSR. Seterusnya Audrey bersekolah di SMK Labuan dan telah mencapai 9A dalam PT3 pada tahun 2016.
Berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan bercita-cita menjadi seorang doktor, Audrey mempunyai kegemaran membaca novel dan komik.
Audrey merakamkan ucapan terima kasih kepada pengetua dan semua guru yang telah mendidiknya dengan penuh dedikasi serta sentiasa berusaha tanpa lelah untuk membantunya mencapai kejayaan dalam SPM, juga kepada kedua ibu bapa serta keluarga yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan untuk belajar dengan lebih tekun.
Seramai 7 orang pelajar SMK Labuan telah berjaya mencapai semua A dalam SPM 2018. Ini merupakan 50% daripada jumlah 14 orang murid cemerlang SPM seluruh WP Labuan. Mereka ialah Janice Su Shi Fen (8A+, 2A), Yap Joewin (8A+, 1A, 2A-), Tan Xuan Jie (7A+, 3A, 2A- ), Belle Tan Bei Er (6A+, 3A, 2A- ), Wynette Clarissa Liew Chea Chyee (3A+, 6A, 1A- ) dan Jayne Carey Wong (2A+, 5A, 3A- ).
Jumlah pelajar cemerlang ini meningkat berbanding 4 orang pada 2017.
Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya, serta ucapan penghargaan dan terima kasih kepada PIBG yang sentiasa memberi sokongan dan bantuan dalam pelaksanaan program-program akademik.
Encik Ismail dan Pelajar Terbaik SPM 2018, Audrey Agang
Bilangan murid yang ramai menyebabkan sekolah perlu menyusun strategi untuk memenuhi matlamat membantu dan membimbing pelajar mengikut keupayaan masing-masing.
Selain daripada tumpuan kepada pelajar cemerlang, sekolah juga memberi tumpuan kepada kumpulan murid sederhana dan lemah untuk meningkatkan peratus penguasaan minimum.
Encik Ismail juga berharap jumlah pelajar yang layak melanjutkan pelajaran ke program Matrikulasi, Diploma dan Tingkatan Enam akan meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik dari segi pencapaian akademik juga akan dibantu dari segi khidmat nasihat tentang peluang-peluang yang boleh diceburi selepas ini berdasarkan potensi masing-masing kerana warga SMK Labuan sentiasa berpegang kepada slogan “Setiap Murid Bernilai”
Berita Oleh : SMK Labuan
Bengkel Anugerah Surau Imarah Sekolah-Sekolah (ASISS) 2019
Labuan, 14 Mac 2019 – SK Rancha-Rancha (Sekolah Kluster Kecemerlangan) telah mengelola bengkel Anugerah Surau Imarah Sekolah-sekolah (ASISS) 2019 bertempat di Musolla Nurul Iman SK Rancha-Rancha.
Bengkel disertai oleh guru-guru Pendidikan Agama Islam SK Rancha-Rancha, penyelaras surau SMK Pantai, SMK Mutiara dan SK Membedai. Bengkel turut dihadiri oleh Ustaz Mohd Syahir bin Mohd Yusoff, Ketua Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan W.P Labuan dan Puan Midah binti Yusop, Penolong Kanan Pentadbiran SKRR dan Puan Rositah binti Abd Rahman, Penolong Kanan HEM SKRR.
Ustaz Syahir memaklumkan untuk ASISS, penilaian dibuat dari segi kebersihan, inovasi, aktiviti serta inisiatif yang diterapkan oleh pihak sekolah dalam usaha untuk mengimarahkan musalla. Oleh itu, setiap sekolah yang terlibat akan menjalani sesi penilaian dan disenarai pendek untuk peringkat negeri dan seterusnya peringkat kebangsaan.
Andesh Johan Tokoh Nilam Kategori Bahasa Inggeris Peringkat Negeri W.P Labuan
Labuan ,13 Mac
2019 (Rabu) – SKK SK ST. Anne telah menghantar wakil bagi PENILAIAN TOKOH NILAM
Peringkat WP. Labuan. Andesh A/L Thevendran mewakili sekolah bagi kategori
Bahasa Inggeris. Manakala Nur Azrieana Afizah Binti Mohammad Nazri mewakili kategori
Bahasa Melayu. Selain itu, sekolah juga menghantar penyertaan bagi kategori
Folio Kreatif Sekolah Rendah.
Andesh telah
mendapat Johan bagi kategori Bahasa Inggeris dan Nur Azrieana Afizah mendapat
tempat ketiga bagi kategori Bahasa Melayu. Bagi kategori Folio Kreatif Sekolah
Rendah pula, Andesh mendapat tempat ketiga dan Nur Azrieana Afizah mendapat
Naib Johan.
Andesh akan mewakili WP. Labuan ke peringkat kebangsaan pada bulan April nanti.
Andesh (kiri) dan Azrieana Afizah (kanan) bergambar kenangan bersama-sama trofi kemenangan
Dorongan ibu
bapa dan bimbingan para guru telah berjaya membantu kejayaan peserta Tokoh
NILAM sekolah ini. Tanpa dorongan dan bimbingan daripada ibu bapa dan
guru-guru, kejayan ini tidak akan dapat dicapai.
SKK SK. Anne
sentiasa melakar kejayaan dalam Penilaian Tokoh NILAM peringkat WP. Labuan.
Pada tahun ini merupakan tahun keenam SKK SK ST. Anne berjaya mendapat Johan
dan mewakili WP. Labuan ke peringkat kebangsaan. Semoga Andesh akan beroleh
kejayaan di Peringkat Kebangsaan nanti dan mengharumkan nama WP. Labuan.
Pembimbing bagi tokoh nilam SKK SK St Anne adalah Puan Muharna Mucklie, Guru
Perpustakaan dan Media SKK St Anne W.P Labuan